View Categories

(9) Surah Al-An’am : Ayat 25-26

SIKAP KAFIR TERHADAP QURAN, KERAS KEPALA & MENYEKAT ORANG DARI BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/hT8UpvKe6jc?si=V_goxl5RT6TEz5tl

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 25 dan 26.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang sikap kafir terhadap al-Quran, yang dengar tapi buat tak tahu, tahu tetapi buat tak faham!
  1. Mereka ini walaupun tahu tentang kebenaran al-Quran, telah lihat tanda kekuasaan Allah SWT tetapi tetap keras kepala menolak tidak terimanya.
  1. Pekerjaan orang kafir ini juga menyekat orang dari beriman selain mereka sendiri yang menolak untuk beriman!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang keadaan orang kafir di Akhirat kelak.
    Apabila Allah bertanya tentang di mana Tuhan yang mereka sembah di dunia dulu; mereka tak mengaku dan cuba kelentong tetapi apa boleh buat Allah tampal & tutup mulut mereka dari berkata-kata dusta lagi!

    ii- Lalu datang ayat ini Allah nyatakan sebab-sebab mengapa mereka tidak menyahut seruan, tidak beriman & tidak mengikut ajaran Nabi SAW. 
    Puncanya kerana alat mereka untuk menerima maklumat sudah rosak. 
    Iaitu pendengaran & penglihatan sudah rosak maka maklumat tidak akan sampai ke hati lagi!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 25- {DAN DI ANTARA MEREKA ADA YANG MENDENGARKANMU (MEMBACA AL-QURAN), PADA HAL KAMI TELAH JADIKAN TUTUPAN BERLAPIS-LAPIS ATAS HATI MEREKA, YANG MENGHALANG MEREKA DARIPADA MEMAHAMINYA, DAN KAMI JADIKAN PADA TELINGA MEREKA PENYUMBAT (YANG MENJADIKAN MEREKA PEKAK);… .} (AL-AN’AM 6:25).

  1. Rasulullah SAW suka membaca al-Quran di tempat seperti terbuka di sekitar Ka’bah kerana di situ orang ramai lalu-lalang dan dapat mendengarnya.
  1. Lalu Allah nyatakan ada antara orang kafir yang mendengar bacaan al-Quran itu tetapi mereka tetap tidak dapat menerimanya, tidak mendapat manfaat darinya! 
  1. Ini kerana Allah SWT telah jadikan di atas hati mereka penutup, pelindung yang menyebabkan mereka tidak akan dapat menerima lagi maklumat itu. 
    Ini kerana mereka cepat sangat nak menjadi kafir & mendustakan Rasulullah SAW secara pilihan! 
    Yakni bukan kerana mereka tidak kenal Baginda!
  1. Maka oleh kerana mereka dusta, mereka lawan & keras kepala, lalu Allah balas dengan dihilangkan pandangan & cahaya mata hati lalu mereka buta dari menerima petunjuk, dalam telinga mereka pula ada penyumbat!
  1. Hanya Allah SWT saja dapat membantu kita untuk memahami al-Quran, berpegang dengan Sunnah & beramal dengannya! 
    Bukan hanya sebagai acara rasmi & penyeri majlis saja!
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman-firman Allah SWT ini:
    i- Maksudnya: {Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.
    Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.} (Al-Isra’ 17: 45- 46)

    ii- Maksudnya: {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.} (Al-Kahfi 18:57)
  1. Yakni Allah telah jadikan bagi orang kafir ini hijab/dinding dari menerima kebenaran dengan menjadikan hati mereka tertutup & telinga tersumbat. Berat telinga, tuli tidak dapat menerima kebenaran! 
  1. Begitu juga sesiapa yang dengar benda baik tetapi dia tidak memanfaatkannya; maka kedudukannya sama seperti orang yang tuli kerana dengar tetapi tidak ikut!
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: {Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.} (Al-Baqarah 2:171)

    Orang yang dengar tetapi tidak faham seperti orang yang tuli & seperti lembu kenyang!

AYAT 25- {… DAN KALAUPUN MEREKA MELIHAT TIAP-TIAP KETERANGAN (DAN MUKJIZAT YANG MEMBUKTIKAN KEBENARAN RASUL), MEREKA TIDAK JUGA AKAN BERIMAN KEPADA KETERANGAN ITU; SEHINGGA APABILA MEREKA DATANG KEPADAMU, SAMBIL MEMBANTAHMU, BERKATALAH ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU: “INI TIDAK LAIN HANYALAH CERITA-CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU”.} (AL-AN’AM 6:25)

  1. Kemudian jika mereka lihat sekalipun setiap keterangan & mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasulullah SAW mereka tetap tidak akan beriman!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Allah sebut dalam ayat lepas orang kafir tidak akan dapat manfaat kerana akal mereka tidak berfungsi dan telinganya tersumbat.

    ii- Maka Allah sambung ayat seterusnya dengan satu lagi pancaindera mereka yang tidak berfungsi iaitu mata yang tidak dapat melihat dengan baik!
  1. Yakni apa saja dalil & hujjah yang nyata yang mereka lihat, mereka tidak akan tunduk menerimanya & tidak akan membenarkannya.
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: {Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.} (Al-Qamar 54:2)
  1. Kemudian apabila mereka datang berjumpa dengan Nabi SAW mereka akan berlawan antara yang haq & yang batil! 
    Mereka juga akan membantah dengan berkata bahawa apa yang Nabi SAW bawa itu hanyalah diambil dari cerita-cerita dongeng orang terdahulu! 
    Bukan dari Allah SWT sebagaimana yang Nabi dakwa!
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala”.} (Al-Anfal 8:31)

    Apabila Allah cabar mereka untuk bawa satu surah seperti al-Quran, mereka gagal dan tidak mampu sama sekali!

AYAT 26- {DAN MEREKA PULA MELARANG ORANG RAMAI DARI MENDENGAR AL-QURAN DAN MEREKA JUGA MENJAUHKAN DIRI DARIPADANYA, PADAHAL MEREKA (DENGAN PERBUATAN YANG DEMIKIAN) HANYALAH MEMBINASAKAN DIRI SENDIRI (DENGAN BALA BENCANA DAN AZAB YANG DISEDIAKAN UNTUK MEREKA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT KELAK), SEDANG MEREKA TIDAK MENYEDARINYA.} (AL-AN’AM 6:26)

  1. Mereka juga cuba menghalang orang ramai dari mendekati dan mendengar apa yang Nabi SAW cuba sampaikan. 
    Sama ada dengan membuat hingar-bangar dekat Nabi SAW berada atau tuduhan palsu terhadap Baginda SAW!
  1. Ini kerana mereka tidak mahu orang dengar lalu masuk ke dalam telinga mereka dan sampai ke hati orang lalu akan menerimanya!
    Mereka pun buat pelbagai helah & kejahatan untuk meyekatnya.
  1. Yakni mereka sendiri tak mahu dengar dah kemudian mereka sekat pula orang lain daripada mendengarnya! Mereka telah kumpulkan antara sesat & menolak kebenaran dengan menyesatkan orang lain juga!
  1. Maka oleh sebab perbuatan mereka itu; kesan mereka tidak menerima kebenaran & sekat orang dari menerima kebenaran ialah:
    i- Mengundang bala & kebinasaan ke atas mereka sendiri dalam keadaan mereka tidak sedar!  

    ii- Serta azab yang dahsyat juga disediakan, menunggu mereka di Akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 25- {Dan di antara mereka ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran),…}-

    Ada kalangan mereka yang datang dengar tetapi tidak tahu & tidak dapat apa!

    Kata ulama’ tadabbur: التحذير من الاستماع بلا انتفاع
    Ayat ini memberi amaran kepada orang yang dengar perkara yang benar tetapi tidak mendapat manfaat.
    Ini adalah gaya/cara orang kafir, mereka kenal Nabi SAW, mereka tengok kebenaran tetapi tetap tidak mahu terima lalu tidak mendapat manfaatnya!

    Maka bukan semua orang dengar itu akan dapat manfaat sebagaimana firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): “Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.} (Muhammad 47:16)

    Maka kita orang yang beiman dengan Allah, dengan al-Quran, dengan Nabi SAW & Sunnahnya; wajib dengar dan kena faham!
    Kerana itu apabila kita belajar al-Quran kena berusaha paling kurang faham & tahu terjemahannya, isi kandungannya & apa yang mahu disampaikannya!
    Peringkat kita sekarang ini adalah nak suruh faham! 
    Juga apabila kita belajar Sunnah Nabi SAW adalah untuk kita amalkan! 
    Bukan sekadar baca & muliakannya!
    Ayat ini Allah nak nyatakan kepada kita contoh bahawa di kalangan manusia ada yang dengar tetapi tak dapat faedah, ada yang lihat tetapi tak dapat manfaat! 
    Maka kamu wahai orang yang beriman jangan buat perangai begini, dengar tak tahu lihat tak reti!
  1. Ayat 25- {Dan di antara mereka ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran),…}-

    Ada di kalangan manusia yang mendengar.
    Ulama’ kata : Ini menunjukkan bahawa orang kafir itu ada banyak jenis (asnaf):
    i- Ada kafir yang lansung tidak tahu & tidak peduli.

    ii- Ada kafir yang tahu tetapi tidak cuba memahami;

    iii- Ada kafir yang tahu & menentang!
    Di kalangan yang mendengar pula berbeza juga; ada yang dapat tangkap cepat, ada yang tidak dapat faedah darinya!
    Demikianlah manusia ada kedudukan & perbezaannya; akal manusia tidak sama levelnya. 
    Kerana itu Allah nyatakan Dia jadikan atas hati orang kafir itu penutup, ini menunjukkan bahawa orang kafir itu memang hatinya tidak boleh terima, telinganya tersumbat & matanya tertutup!
    Maka kita yang Allah berikan hati yang baik, mata yang celik & telinga yang dengar; maka ambillah manfaat dari al-Quran & as-Sunnah ini!
    Jangan ikut ajaran syaitan yang penuh kepincangan; yang mahu kita orang Islam juga jauh dari al-Quran dengan pelbagai momokan jahat!
    Kefahaman tentang Islam, ajaran Al-Quran & Sunnah & amalan Islam perlu diperlengkapkan lagi! 
    Kita juga perlu tahu bagaimana nak tarik hati manusia supaya terbuka kepada Islam. 
    Kerana itu apabila Allah sebut {Kami jadiakan atas hati mereka penutup}; kata ulama’ tadabbur: Ini bermakna feqah kefahaman itu berpusat di hati.
    Maka sesiapa yang tak dapat manfaat dari al-Quran ini seperti orang yang buta & orang yang tuli!
  1. Ayat 25- {… sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: “Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu”.}-

    Puak kafir datang berjumpa Nabi SAW bukan kerana nak dengar, bukan kerana nak terima atau minta penjelasan’ tetapi setengah untuk berdebat, berbalah dan menentang!
    Mereka dengan degil & keras kepala orang kafir datang mendakwa apa yang Nabi SAW bawa itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu!
    Maka kita orang Islam ini jangan jadikan al-Quran itu begitu, hanya sebagai cerita dongeng orang dahulu! 
    Mereka kafir lihat kekuasaan Allah SWT tetapi tetap tidak beriman!
  1. Ayat 25- {… sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: “Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu”.}-

    Orang kafir ini datang berdebat dengan Rasulullah SAW dan mereka amat suka berbalah dengan Baginda SAW.
    Pada awalnya mereka cuba berhujjah dengan fakta kemudian apabila mereka kehabisan hujjah; mereka kata itu hanya cerita dongeng yang Nabi SAW bawa, guna tuduhan jahat pula!
    Untuk menjauhkan orang ramai dari Baginda & membencinya!
    Pada awal mereka cuba melawan dengan hujjah tetapi apabila mereka mula kalah, mereka akan guna akta atau kuasa & kekerasan. 
    Sama seperti Firaun dengan Nabi Musa AS, awalnya guna hujjah bila kalah guna akta, tangkap & bunuh semuanya!
    Ini kerana dia tahu mereka tidak akan menang lagi jika guna hujjah! 
    Seperti puak Quraisy ini yang membuat pelbagai tuduhan jahat terhadap Rasulullah SAW apabila tiada hujjah untuk lawan lagi! 
    Kata Nabi gila, ahli sihir, penyair dan lain-lain, semua tuduhan untuk membuat orang benci dan jauh darinya.
  1. Ayat 26- {Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.}-

    Orang kafir ini bukan hanya mereka sendiri menolak ingkar ajaran Nabi SAW tetapi mereka juga cuba sekat orang dari menerimanya!
    Begitulah penyakit kafir ini semakin hari semakin banyak & jahat.
    Kata ulama’ tadabbur kenapa Allah sebut sekat & larang orang {وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ} kemudian baru dia sendiri tak terima juga? 
    Sepatutnya dia sendiri tak terima dulu baru sekat orang?

    Jawapan:
    Allah sebut perkataan sekatan dulu sebagai satu isyarat kepada betapa mereka benci, dendam dan sakit hatinya puak kafir ini terhadap dakwah Nabi SAW kerana itu mereka pergi sekat orang & tak terimanya! 
    Untuk menyatakan betapa beratnya perangai puak kafir ini sekat orang & dia sendiri tak terima, double dua kali kejahatan itu!
    Pada akhir ayat Allah kata apa saja cara & teknik yang mereka, kafir buat itu akan membinasakan diri mereka sendiri! 
    Tidak kena atau terlepas atas dunia ini, mereka akan kena juga di Akhirat kelaka!
    Maka ayat ini menenangkan hati Rasulullah SAW, biarlah walaupun mereka lawan & tak terima dakwahnya atas dunia ini; mereka akan terima balasannya di Akhirat kelak!
    Para pendakwah hari ini; Kita pun sabarlah menghadapai tentangan & ujiab cabaran; apabila kita yakin apa yang kita bawa ini bertepatan dengan al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang sahih maka teruskan jangan peduli akan tentangan orang kerana manusia ini begitulah!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah kita untuk hari ini semoga memberi manfaat dan kefahaman yang baik.
Insya Allah untuk ibadat Haji tahun 1426H ini DAAM akan pergi bersama Samrah Travel, untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Ustaz Fahrurazi: 013-932-7257

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs