View Categories

SURAH AD-DUKHAN : AYAT 1-8

\"\"

KEDUDUKAN AL-QURAN, MALAM LAILATUL QADR MUBARAKAH & SIFAT ALLAH YANG MENURUNKAN AL-QURAN.

Full video : https://youtu.be/pSEnPBQ3JVI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah ceritakan tentang kedudukan al-Quran yang turun dari sisi Allah s.w.t pada malam yang diberkati iaitu malam Lailatul-Qadr.
  2. Kemudian Allah s.w.t perkenalkan sifat-Nya sebagai Penurun al-Quran ini.
  3. Iaitu sifat yang melayakkan untuk kita semua menyembah dan minta pertolongan hanya kepada-Nya, memuja dan memuji-Nya.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.


AYAT 1- {HAA, MIIM- حم} (AD-DUKHAAN 44:1)

  1. Surah ini dimulai dengan dua ayat yang mengandungi huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim).
    Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang kelima.
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (إعجاز) mukjizat al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
    Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran.
    Mukjizat pula sesuatu yang mencarik adat, perkara di luar kebiasaan yang diberi kepada para rasul.
  3. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Ia tiada maksudnya yang khas, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui- wallahu a\’lam.
    Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- {DEMI KITAB AL-QURAN YANG MENYATAKAN KEBENARAN.} (AD-DUKHAAN 44:2)

  1. Allah nyatakan bahawa al-Quran itu jelas dan menjelaskan (الْمُبِينِ) kepada segala perkara yang memerlukan penjelasan dan yang diperlukan oleh makhluk atas dunia ini.
  2. Apa saja yang kita perlu, kita cari dalam al-Quran. Di dalamnya ada samada huraian terperinci atau apa yang diperjelaskan oleh para ulama\’, alhamdulillah.

AYAT 3- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN AL-QURAN ITU PADA MALAM YANG BERKAT; (KAMI BERBUAT DEMIKIAN) KERANA SESUNGGUHNYA KAMI SENTIASA MEMBERI PERINGATAN DAN AMARAN (JANGAN HAMBA-HAMBA KAMI DITIMPA AZAB).} (AD-DUKHAAN 44:3)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bilakah waktu al-Quran itu diturunkan.
  2. Al-Quran diturunkan pada malam yang diberkati iaitu malam Lailatul-Qadr. Sebagaimana yang diterangkan dalam ayat pertama surah al-Qadr, pada bulan Ramadhan.

Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.} (Al-Qadr 97:1)

  1. Apakah maksudnya yang diberkati (مُبَارَكَةٍ)? Iaitu banyak kebaikan yang terdapat padanya.
    Seperti:
    i- waktu yang diberkati- yakni kita sempat buat banyak kebaikan dan perkara yang berfaedah padanya.

ii- Anak yang diberkati Allah- anak yang soleh, baik akhlak, cemerlang dalam pelajaran, suka tolong orang dan seumpamanya.

  1. Di sini seolah bercanggah, ada tiga masa al-Quran diturunkan disebut:
    i- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat;} (Ad-Dukhaan 44:3)

ii- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.} (Al-Qadr 97:1)

iii- {Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia.} (Al-Baqarah 2:185)

Jawapannya :
Tidak bercanggah sama sekali, kita pasang sekali tiga ayat ini mengikut susunannya, maka lengkap dan jelaslah faktanya:
Al-Quran itu diturunkan pada pada bulan Ramadhan, pada malam Lailatul-Qadr iaitu malam yang diberkati.
Inilah yang ditafsirkan oleh kebanyakan ulama\’ tafsir seperti Ibnu Abbas r.a dan lain-lain.

  1. Ada ulama\’ yang mengatakan malam itu {pada malam yang diberkati} adalah malam nisfu Sya\’ban, iaitu malam ditukar buku rekod manusia. TETAPI alasan dakwaan ini lemah dan tidak sahih. Walaupun kelebihan nisfu Sya\’ban ada dalam beberapa hadis tetapi ia bukan malam tukar buku rekod.
  2. Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: Mana-mana ulama\’ yang menyangka bahawa maksud {pada malam yang diberkati} malam tukar buku adalah malam nisfu Sya\’ban, maka dia telah silap dan jauh dari jalan yang benar. Salah perkiraaannya.
  3. Bagaimana pula cara diturunkan itu (إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ):
    i- al-Quran asalnya tertulis di Lauh Mahfuz.

ii- diturunkan ke langit dunia pada malam Lailatul-Qadr.
Ini pula ada ulama\’ kata:
a) diturunlan seluruhnya,
b) atau malam permulaan turun al-Quran kepada Rasulullah s.a.w.

iii- malaikat Jibril bawa turun ayat-ayat al-Quran kepada Rasulullah s.a.w, mengikut keperluannya secara berperingkat selama 23 tahun.

  1. Tujuan al-Quran diturunkan untuk memberi peringatan dan amaran kepada hamba-hamba-Nya agar jangan sesekali buat dosa dan maksiat, tidak taat serta melanggar arahan dan perintah Allah s.w.t, jika tidak mereka akan ditimpa azab jika tidak bertaubat dan beriman.

AYAT 4- {(KAMI MENURUNKAN AL-QURAN PADA MALAM YANG TERSEBUT, KERANA) PADA MALAM YANG BERKAT ITU, DIJELASKAN (KEPADA MALAIKAT) TIAP-TIAP PERKARA YANG MENGANDUNGI HIKMAT SERTA TETAP BERLAKU, (TIDAK BERUBAH ATAU BERTUKAR).} (AD-DUKHAAN 44:4)

  1. Pada malam Lailatul-Qadr ini Allah s.w.t berikan kepada malaikat rekod perjalanan hidup, taqdir manusia dan dunia ini selama setahun. Contoh; bila hujan akan turun, banyak mana rezeki seseorang itu, bila seseorang itu akan lahir dan mati.
  2. Yakni malam tukar buku, malam yang Allah tetapkan
    (يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ) segala perkara. Perkara yang telah tetap akan berlaku, tidak berubah atau bertukar lagi.
  3. Kata Ibnu Kathir rhm.: pada malam Lailatul-Qadr diberi kepada malaikat urusan taqdir yang diambil dari Lauh Mahfuz urusan setahun berikutnya.
  4. Hadis- Rasulullah s.a.w bersabda:
    وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
    Maksudnya: \”Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.\” [HR Ibnu Majah (4022), Ahmad (22745)].
    *Yakni kita boleh berdoa untuk selamat, bukan bermakna taqdir kita yang asal di sapu atau ditukar.
  5. Maksud (أَمْرٍ حَكِيمٍ) boleh jadi perkara:
    i- arahan yang tetap, yang teguh serta tidak boleh berubah dan bertukar iaitu taqdir yang Allah telah tetapkan.

ii- semua perbuatan Allah s.w.t itu mengandungi hikmah dan kebijaksanaan, kerana itu jangan sesekali kita pertikaikan hukum dan taqdir Allah.

AYAT 5- {IAITU PERKARA-PERKARA YANG TERBITNYA DARI HIKMAT KEBIJAKSANAAN KAMI; SESUNGGUHNYA TELAH MENJADI ADAT KAMI MENGUTUS RASUL.} (AD-DUKHAAN 44:5)

  1. Semua arahan yang ditetapkan atau yang terjadi itu kerana ia datang dari Allah s.w.t maka ia menjadi mulia, hebat dan teguh!
  2. Allah telah mengutuskan para rasul untuk menyampaikan risalah dari Allah s.w.t untuk disampaikan kepada umatnya. Membawa rahmat petunjuk serta peringatan dan amaran kepada manusia.

AYAT 6- {(UNTUK MENYAMPAIKAN) RAHMAT DARI TUHANMU (KEPADA UMAT MANUSIA); SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI (AKAN SEGALA KEADAAN HAMBA-HAMBANYA).} (AD-DUKHAAN 44:6)

  1. Kerja rasul ialah untuk menyampaikan rahmat dari Tuhan kepada umat manusia. Maka sesiapa yang beriman kepada Allah, taat dan ikut rasul-Nya, maka dia akan mendapat rahmat dari Tuhannya.
  2. Sesungguhnya Allah s.w.t itu sifat-Nya:
    i- Yang Maha Mendengar,
    ii- lagi Maha Mengetahui akan segala keadaan hamba-hambaNya.
  3. Semoga dengan meyakini sifat-sifat Allah s.w.t ini dalam hati kita, kita tidak akan berani melanggar hudud hukum Syari\’ah yang telah ditetapkan-Nya. Tetapi jika lupa sifat Allah dan tidak terpasak dalam hatinya, maka manusia akan berani melanggarnya.

AYAT 7- TUHAN (YANG MENCIPTA DAN MENTADBIRKAN KEADAAN) LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA; KALAU BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG YAKIN (AKAN HAKIKAT ITU, MAKA TERIMALAH SAHAJA APA YANG DIUTUSKAN KEPADA KAMU).} (AD-DUKHAAN 44:7)

  1. Setelah bagi arahan itu, Allah perkenalkan lagi dirinya, siapakah Allah itu? Iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan keadaan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Yakni segalanya di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.
  2. Jika kamu yakin (مُوقِنِينَ) dengan segala hakikat ini, maka terima dan berimanlah dengan betul-betul akan apa saja yang diutuskan Allah kepada kamu.

AYAT 8- {TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN DIA; DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN DAN YANG MEMATIKAN; (DIA LAH JUA) TUHAN KAMU DAN TUHAN DATUK NENEK KAMU YANG TELAH LALU.} (AD-DUKHAAN 44:8)

  1. Dalam ayat ini adalah kata pemutus; Tiada Tuhan yang berhak disembah, dipuja & dipuji, diminta pertolongan melainkan Allah Azza wa Jalla.
  2. Kuasanya juga Yang menghidupkan dan Yang mematikan; yakni hanya Allah yang berkuasa dalam hal ini. Tiada yang lain dapat mengakuinya.
  3. Allah-lah juaTuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu. Dia yang mencipta, Pemilik dan yang memberi rezeki kepada kamu dan semua datuk nenek kamu yang dahulu! Rezeki itu telah tetap, tidak boleh kamu mahu lebih atau kurang darinya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 3- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat;}- erti berkat ialah Allah s.w.t beri kebaikan, keelokan dan kebajikan yang banyak.
    Allah s.w.t telah memberi kepada beberapa waktu (malam Lailatul-Qadr), hari (Jumaat), tempat (Makkah, Madinah & Aqsa) dan manusia yang ada kelebihan dan berkat yang lebih ini (seperti yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w), maka orang yang bijak akan berusaha mendapatkan waktu yang istimewa ini.

Ayat ini adalah khusus untuk malam yang diberkati iaitu malam Lailatul-Qadr yang berlaku pada setiap tahun pada bulan Ramadhan. Maka pada malam itu kita kena bersiap sedia menunggu dan mendapatkan kelebihan pahala yang Allah tawarkan ini.

  1. Ayat 3- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat;}- Allah sifatkan malam itu sebagai diberkati. Ini untuk menggerakkan hati manusia untuk mengetahuinya. Iaitu malam permulaannya turunnya al-Quran kepada Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadhan di Gua Hira\’.

Turunnya al-Quran itu membawa keberkatan kepada manfaat dunia dan Akhirat sekali. Siapa nak berkat dampingkan dirinya dengan al-Quran.

Maksud Al-Qadr juga:
i- malam yang mulia yang banyak keberkatan dan kebaikan padanya.
ii- malam yang sempit bumi kerana para malaikat turun dari langit ke bumi untuk berdoa dan membawa keberkatan kepada manusia.

  1. Ayat 4- {(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).}- ayat ini dalil kepada penetapan taqdir yang akan berlaku selama setahun diputuskan pada malam Lailatul-Qadr. Allah serahkan kepada malaikat rekod dan laporan setahun pada malam itu untuk menjalankannya.

Penetapan taqdir ada beberapa jenis:
i- taqdir perjalanan hidup semua makhluk ini sehingga Kiamat. Ia telah ditetapkan 50 ribu tahun sebelum diciptanya makhluk itu.

ii- taqdir individu seseorang manusia itu. Bermula dari ia dicipta dalam rahim ibunya terus ditulis taqdir seperti umur, jodoh dan rezekinya. Tetapi wajib berusaha untuk mendapatkannya.

iiii- taqdir harian. Semua perkara telah ditetapkan oleh Allah s.w.t,

  1. Ayat 6- {(Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya).}- Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Dia besarkan al-Quran itu dengan 3 perkara:
    i- Al-Quran itu sendiri mulia. Allah s.w.t bersumpah dengan al-Quran.
    Kata ulama\’: Allah tidak akan bersumpah dengan sesuatu kecuali dengan kemuliaannya.

Semua yang berkait dengan al-Quran itu mulia:
a- ia turun dari Allah Azza wa Jalla.
b- dibawa turun oleh Jibril ketua malaikat yang paling mulia.
c- turun pada malam Lailatul-Qadr yang mulia.
d- diturunkan kepada Muhammad s.a.w, rasul yang paling mulia.

ii- Allah nyatakan kemuliannya kerana Allah turunkan ia pada malam yang diberkati.

iii- Mulianya al-Quran kerana yang menurunkannya adalah Allah s.w.t yang Maha Agung.

Maka sesiapa yang nak jadi mulia- sentiasalah bersama al-Quran, membaca dan mentadabburinya.

  1. Ayat 8- {(Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.}- kenapa dalam ayat ini Allah sebut sebagai Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu? Ini kerana kaum kafir musyrikin itu banyak berhujjah dengan menggunakan nama datuk nenek mereka dahulu.
    Apabila Rasulullah ajar sesuatu mereka akan berkata: Kami tak dengar atau lihatpun yang datuk nenek kami yang telah lalu buat semua ini?

Firman Allah s.w.t: {Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.} (Al-Mu\’minuun 23:24)

Begitu juga manusia hari ini yang mahu berpegang kepada amalan datuk nenek, jika yang baik baguslah tetapi jika yang sebaliknya maka rugilah!
Bila kita baca hadis-hadis mereka akan akan kata: Kami tak dengar atau lihatpun yang datuk nenek kami beritahu atau buat semua ini?

Kerana itu kita mesti menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w dan ajar manusia tentangnya. Ini supaya anak-anak kecil apabila mereka akan membesar tidak akan berhujjah bahawa mereka tidak pernah dengar pun tentang ajaran atau amalan ini.

Kewajipan para pendakwah, biar masuk dalam telinga mereka bahawa ini baik atau tidak, mereka ikut atau tidak terpulang, yang penting kita sudah sampaikan apa yang baik dan sepatutnya.

Powered by BetterDocs