TAFSIR SURAH AD-DUKHAN (03) AYAT [09-16]; KAFIR TETAP RAGU, HARI DISELUBUNGI ASAP YANG MENAKUTKAN & MEREKA MINTA DISELAMATKAN.
Full video : https://youtu.be/GRW_ficGscg
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan puak-puak kafir ini walaupun telah dibawa dalil bukti tentang keesaan dan keagungan Allah s.w.t mereka tetap kufur, ragu-ragu dan was-was.
- Kemudian akan keluar asap (بِدُخَانٍ مُبِينٍ) yang menakutkan sehingga puak kafir itu berasa takut dan minta diselamatkan. Inilah nama surah (دُخَان) yang diambil dari ayat 10 ini.
- Tiada siapa dapat menolong mereka kecuali Allah s.w.t, tetapi apa boleh buat, kerana mereka kufur dan degil, maka terimalah akibat pembalasannya.
- Munasabah ayat: Dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t telah tetapkan Ketuhanan (الألوهية) dan Ketuanan-Nya (الربوبية) dengan dalil yang mantap dan ilmu yang sempurna, ilmu yang dapat menolak sebarang keraguan.
Tetapi Allah ceritakan dalam ayat ini bahawa puak kafir tetap tenggelam dalam keraguan dan kekufuruan mereka. Mereka lupa akan asal-usul kejadian mereka lalu tetap dalam kesesatan dan keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 9- {(MEREKA TIDAK MEYAKINI KEBENARAN YANG DIJELASKAN KEPADA MEREKA), BAHKAN MEREKA MASIH TENGGELAM DALAM KERAGUAN SAMBIL BERMAIN-MAIN DENGAN PERKARA AGAMA.} (AD-DUKHAAN 44:9)
- Puak kafir itu tetap meragui dan tidak percaya dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
- Hati mereka tetap tertutup kerana diselubungi oleh keraguan (شَكٍّ) dan syubhat. Lalu teruslah mereka tenggelam dalam syahwat dan nafsu mereka yang menyebabkan mereka terus kufur dan dalam kesesatan.
AYAT 10- {OLEH ITU TUNGGULAH (WAHAI MUHAMMAD) SEMASA LANGIT MEMBAWA ASAP KEMARAU YANG JELAS NYATA (YANG MENYEBABKAN KEBULURAN YANG DAHSYAT) } (AD-DUKHAAN 44:10)
- Maka jika puak kafir masih lagi degil keras kepala maka tunggulah nanti pembalasan yang akan tiba.
- Ayat ini dan ayat seterusnya menceritakan tentang azab kemarau yang menimpa kaum kafir, lalu kerana tersangat lapar dalam kebuluran apabila mereka memandang ke langit mereka nampak ia berasap.
- Bilakan dukhan ini berlaku?
Ada beberapa pendapat ulama\’:
i- Pandangan Sayyidina Ali & Abdullah bin Abbas r.a berkata: Ia belum berlaku, ia akan berlaku apabila dekatnya hari Kiamat kerana ia salah satu tanda Kiamat yang besar.
ii- Ibnu Mas\’ud pula berkata ia telah berlaku pada zaman Quraisy. Apabila mereka telah terlalu jahat lalu Rasulullah s.a.w berdoa ke atas mereka, sebagaimana dalam sebuah hadis riwayatnya.
Apabila Nabi ﷺ ditolak, diejek dan ditentang, Nabi ﷺ telah berdoa supaya Allah SWT membantunya dengan menurunkan kemarau kepada kaumnya sebagaimana yang telah diberikan kepada kaum Nabi Yusuf عليه السلام. Apabila kemarau berlaku kepada kaum Nabi Yusuf عليه السلام, barulah keadaan Nabi Yusuf عليه السلام bertukar kepada kebaikan. Barulah kaum Nabi Yusuf hendak menerima baginda.
Allah S.W.T telah memakbulkan doa baginda ﷺ dengan memberikan kemarau kepada Musyrikin Makkah. Mereka mengalami kemarau yang teruk sampaikan tidak ada makanan langsung hingga terpaksa makan bangkai binatang dan apa-apa sahaja yang mereka boleh dapat.
Azab itu untuk mengingatkan kaum musyrikin supaya mereka sedar tentang kesalahan dan kelemahan diri. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah SWT tidak membantu. [HR Ibnu Mas\’ud].
- Kata Imam Ibnu Kathir rhm.:
i- Apa yang dihuraikan oleh Ibnu Mas\’ud bahawa dia menimpa atas kaum Quraisy adalah sesuatu yang agak pelik kerana tiada sahabat lain yang meriwayatkan sedemikian.
ii- Manakala pendapat Ali & Ibnu Abbas r.a dan sahabat-sahabat besar r.a yang lain adalah lebih tepat iaitu asap ini belum berlaku dan akan berlaku pada akhir zaman sebagaimana dalam sebuah hadis:
Daripada Huzaifah Bin Asid al-Ghifari berkata: Telah muncul Rasulullah S.A.W di samping kami apabila kami sedang berbincang. Maka Baginda S.A.W bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan perihal al-Sa\’ah (hari Kiamat).
Lalu Nabi S.A.W bersabda:
إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ
Maksudnya: \”Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda\”. \”Baginda S.A.W menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabbah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya\’juj dan Ma\’juj dan tiga khasfu, bumi mendap iaitu satu di Timur, satu di Barat dan satu lagi di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka\”. [Riwayat Muslim (2901)]
- Maka para ulama\’ berpendapat, pandangan yang paling hampir ialah asap ini akan keluar apabila hampirnya Kiamat di akhir zaman lagi.
- Asy-Syaukani pula berkata tidak ada percanggahan antara dua pendapat ini, kerana jika benar ia sudah berlaku pada zaman Quraisy, tetapi ia akan berlaku pula di akhir zaman nanti.
Wallhu a\’lam.
AYAT 11- {YANG AKAN MENIMPA SELURUH KEADAAN MANUSIA (YANG KAFIR ITU, SEHINGGA MEREKA AKAN BERKATA: \”INI ADALAH AZAB YANG SUNGGUH MENYAKITKAN\”.} (AD-DUKHAAN 44:11)
- Azab asap ini akan menimpa seluruh manusia yang kafir. Ia adalah satu azab yang amat menyakitkan dan melemahkan!
AYAT 12- {(PADA SAAT ITU MEREKA AKAN MERAYU DENGAN BERKATA): \”WAHAI TUHAN KAMI! HAPUSKANLAH AZAB INI DARI KAMI, SESUNGGUHNYA KAMI AKAN BERIMAN!\”.} (AD-DUKHAAN 44:12)
- Mereka puak kafir ini apabila ditimpa azab, merayu kepada Tuhan untuk menghapuskan azab dari mereka, berjanji akan beriman jika hilang dukhan ini!
- Itulah fitrah semulajadi manusia, apabila ditimpa kesusahan baru teringat kepada tuhan dan automatik meminta bantuannya!
AYAT 13- {BAGAIMANA MEREKA DAPAT BERINGAT (MENYEMPURNAKAN JANJI MEREKA HENDAK BERIMAN ITU)? PADA HAL MEREKA TELAH PUN DIDATANGI SEORANG RASUL YANG MEMBERI KETERANGAN-KETERANGAN (YANG CUKUP UNTUK MEREKA BERIMAN)!} (AD-DUKHAAN 44:13)
- Tetapi malangnya kerana azab sudah didepan mata, mereka baru menyesal nak insaf dan beriman, baru ingat kepada Tuhan, semuanya tidak ada guna lagi.
- Kerana sebelum ini telah datang kepada mereka Rasul yang memberi keterangan-keterangan yang cukup untuk mereka beriman dan beringat, tetapi mereka mengingkari dan menolaknya!
- Begitulah kita hari ini, jangan tunggu sakit atau susah baru nak ingat kepada Allah dan nak ke masjid, apatah lagi jika sudah mati!
AYAT 14- {SEKALIPUN DEMIKIAN, MEREKA JUGA BERPALING INGKAR DARIPADA MENERIMA KETERANGANNYA SAMBIL BERKATA (SESAMA SENDIRI): \”DIA SEORANG YANG DIAJAR (OLEH BANGSA ASING), DIA JUGA SEORANG YANG GILA!\”} (AD-DUKHAAN 44:14)
- Mereka dulu apabila didatangi Rasul bukan sekadar mengingkari menolak bahkan melempar pelbagai tohmahan dan tuduhan buruk kepada Rasulullah s.a.w.
- Mereka katakan bahawa Rasul itu: \”Dia seorang yang diajar oleh bangsa asing iaitu tali barut mereka, dia juga seorang yang gila!\” Allahu al-Musta\’an.
- Serta banyak lagi tuduhan jahat mereka kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana dalam firman Allah s.w.t ini:
{Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): \”Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila\”.} (Al-Hijr 15:6) - Kita sebagai orang Islam wajib berasa sensitif dan marah terhadap kumpulan yang mengata buruk terhadap Rasulullah dan berbohong atas nama Baginda s.a.w! Membawa hadis palsu dan menolak teguran yang diberi!
Jangan samakan hadis palsu dengan gigi palsu, hati-hatilah para pelajar semua; bukan semua hadis yang disebut dalam kitab itu sahih dan benar!
AYAT 15- {SESUNGGUHNYA (KALAULAH) KAMI HAPUSKAN AZAB ITU BARANG SEDIKITPUN, SUDAH TENTU KAMU AKAN KEMBALI (KUFUR INGKAR).} (AD-DUKHAAN 44:15)
- Allah s.w.t menegasakan bahawa Dia tahu, jika Allah angkat walaupun sedikit azab itu, mereka akan segera kembali kufur! Bukan insaf dan akan berimanpun!
- Kata Ibnu al-Jauzi terdapat beberapa pandangan tentang bilakah azab yang dihapuskan itu;
i- kemarau yang menimpa mereka, Allah hilangkan dengan turun hujan, bumi pun subur balik. Ini mengikut pandangan Ibnu Mas\’ud.
ii- ada yang kata tentang peperangan Badar, apabila Abu Jahal dan lain-lain pembesar dibinasakan
iii- ada ulama\’ kata ia adalah asap yang akan datang apabila hampir Kiamat.
AYAT 16- {(INGATLAH! KALAU KAMU ULANGI KEINGKARAN KAMU, KAMU AKAN DIBINASAKAN) SEMASA KAMI TIMPAKAN (KAMU DENGAN) PALUAN YANG BESAR (DARI PIHAK LAWAN KAMU); SESUNGGUHNYA KAMI TETAP AKAN MENYEKSA (DENGAN AZAB YANG SEBERAT-BERATNYA).} (AD-DUKHAAN 44:16)
- Allah memberi amaran keras jika setelah bencana kebuluran yang berlaku dihilangkan, mereka masih tidak insaf dan beriman kepada Allah s.w.t!
Benar sekali, mereka tidak insaf, bahkan mereka bertindak ganas menindas orang Islam di Makkah sehingga Rasulullah s.a.w dan pengikutnya terpaksa berhijrah ke Madinah. - Maka pihak kafir menerima pukulan paluan yang besar, yang mana mereka telah dikalahkan dengan penuh kehinaan oleh tentera Muslim dalam Perang Badar, dimana seramai 70 orang telah terbunuh termasuk para pemuka seperti Abu Jahal!
Ini juga pendapat Ibnu Kathir. - Ada ulama\’ yang kata Allah s.w.t ambil tindakan ke atas mereka ini maksudnya pada hari Kiamat kelak!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 3- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat;}- apakah hikmah Allah s.w.t turunkan al-Quran itu pada waktu malam? Kenapa bukan pada waktu siang?
Jawapannya kata ulama\’:
Kerana malam itu adalah waktu munajat dan curahan limpahan rahmat Allah itu sangat luas dan banyak kemuliaan yang diberi pada waktu malam!
Dalam buku Memahami Kunci al-Quran- Cara untuk memahami al-Quran ialah:
i- cintakan al-Quran.
ii- faham matlamat kita membacanya.
iii- kita hafaznya.
iv- kita bacanya dalam solat.
v- kita bacanya pada waktu malam.
Kerana pada waktu itu hati kita tenang, suasana sunyi, orang-orang soleh bertaqarrub mendekatkan diri beribadat kepada Allah Azza wa Jalla.
Serta Rasulullah s.a.w sendiri murajaah al-Quran dengan Jibril a.s pada waktu malam-malam bulan Ramadahan.
- Ayat 9- {(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama.}- kena ingat orang yang mainkan agama ialah orang yang ragu, syak dan tidak percaya akan agama! Seperti orang Islam yang tidak yakin akan agamanya sendiri juga, maka dia akan mula mainkan agama ini.
Maka orang yang tidak percaya ragu-ragu terhadap apa yang diturunkan Allah s.w.t- yang paling kuat sekali ialah puak kafir, kemudian orang Islam sendiri yang goyah!
- Ayat 10- {Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)}- kata ulama\’ ini akan menunjukkan bahawa satu peristiwa besar yang akan berlaku apabila dekatnya Kiamat di akhir zaman nanti. Kiamat itu tidak akan berlaku kecuali muncul tanda-tandanya sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w yang sahih di atas.
Kata ulama\’ tanda-tanda Kiamat itu seperti rantaian utas tasbih, dia akan datang satu demi satu secara berangkai. Pemisah antara tanda Kiamat kecil dan besar ialah munculnya Imam Mahadi, diikuti tanda Kiamat besar yang lain.
Pada hari ini sudah banyak tanda Kiamat yang berlaku, serta teori-teori yang dibuat oleh manusia itu jangan dipercayai, cukuplah kita merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w.
- Ayat 12- {(Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): \”Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!\”.}- ulama\’ kata inilah perangai tabi\’i manusia, apabila dia kena bala, susah dan diuji baru teringat kepada Allah s.w.t, berjanji untuk beriman dan berubah dengan pelbagai janji lagi!
Kita sebagai orang beriman jangan tunggu susah dan sakit baru nak insaf, taubat kembali kepada Allah s.w.t! Kita wajib sentiasa ingat dan insaf.
- Ayat 15- {Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar).}- dalam ayat ini memberi peringatan bahawa manusia itu ramai yang tidak tunai janji! Waktu susah baru insaf, berjanji untuk jadi baik, soleh solehah, kembali kepada Allah! Tetapi malangnya apabila hilang bala atau ujian itu mereka akan kembali kufur, buat maksiat, kezaliman dan sebagainya!