View Categories

SURAH AL-AHQAF : AYAT 17-20

\"\"

KEADAAN ANAK DERHAKA TAK MAHU BERIMAN, IBU BAPA MASIH MENGHARAPKAN KEBAIKAN & BALASAN DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/15IyKok-4A8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang ini Allah s.w.t menceritakan tentang keadaan anak derhaka yang tidak mahu beriman bahkan marah pula kepada ibu bapanya yang beriman.
  2. Tetapi sebagai ibu bapa walau seburuk mana anakanya, masih berharap dan tetap berdoa agar anaknya menjadi baik.
  3. Kemudian Allah s.w.t memberitahu kita agar menggunakan nikmat atas dunia ini sebaik-baiknya, kerana ia adalah bekalan untuk kita ke Akhirat. Kena ingat bahawa Dunia ini bukan Syurga!
  4. Kita akan mengalami kerugian yang amat besar jika menganggap dan menjadikan dunia yang hanya sementara dan tempat persinggahan ini sebagai sesuatu yang kekal seumpama syurga.

BUKU SUSUNAN AAM DUNIA BUKAN SYURGA :

http://www.dartaibah.com/

  1. Munasabah ayat:
    Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menyebutkan tentang orang yang baik kepada kedua ibu bapa serta berdoa untuk mereka, berkhidmat kepada dua ibu bapa ketika hidup atau selepas mati mereka. Maka mereka akan mendapat kebahagiaan dan kemenangan di Akhirat, maka Allah bawakan pula ayat ini tentang anak yang derhaka dan berperangai buruk kepada dua ibu bapanya.
  2. Ulama\’ tafsir juga berkata dalam ayat yang lepas menyatakan secara umum apabila sampai umur 40 tahun seseorang itu berdoa untuk diri, ibu bapa dan zuriatnya.
    Ada yang mengatakan ayat ini turun dan berkait dengan kisah Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a yang berdoa maka Allah kabulkan doanya, lalu semua anak-anak dan ibu bapanya memeluk Islam.

AYAT 17- {DAN (SEBALIKNYA AMATLAH DERHAKANYA) ORANG YANG BERKATA KEPADA KEDUA IBU BAPANYA (KETIKA MEREKA MENGAJAKNYA BERIMAN): \”AH! BOSAN PERASAANKU TERHADAP KAMU BERDUA! PATUTKAH KAMU MENJANJIKAN KEPADAKU BAHAWA AKU AKAN DIBANGKITKAN KELUAR DARI KUBUR, PADAHAL BERBAGAI UMAT SEBELUMKU TELAH BERLALU (MASIH LAGI BELUM KEMBALI)? \”SAMBIL MENDENGAR KATA-KATANYA ITU – IBU BAPANYA MERAYU MEMOHON PERTOLONGAN ALLAH (MENYELAMATKAN ANAK MEREKA) SERTA BERKATA (KEPADA ANAKNYA YANG INGKAR ITU): \”SELAMATKANLAH DIRIMU! BERIMANLAH (TENTANG HIDUP SEMULA MENERIMA BALASAN AMAL)! SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH TETAP BENAR\”. LALU IA MENJAWAB (DENGAN ANGKUHNYA): \”SEMUANYA ITU HANYALAH CERITA-CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU KALA!\”} (AL-AHQAAF 46:17)

  1. Allah s.w.t menyatakan betapa dahsyatnya seorang anak yang derhaka dan menengking ibu bapanya apabila di ajak untuk beriman.
    Dia juga mengatakan (أُفٍّ) iaitu bosan dan jemu dengan ajakan itu.
  2. Sebagai satu maklumat dan ilmu; ada riwayat yang mengatakan ayat ini turun kepada Abd Rahman bin Abu Bakar as-Siddiq r.anhuma yang pada awalnya menolak Islam apabila didakwah oleh bapanya.

Tetapi ramai para ulama\’ tafsir seperti as-Sam\’ani menafikannya serta mengatakan ia adalah satu cerita yang tidak benar serta diingkari oleh adiknya sendiri iaitu UM Aisyah r.a. Ayat in bukan turun kepada abangnya Abd Rahman.

Ini kerana beliau pada akhirnya memeluk Islam dan menjadi seorang mukmin dan sahabat yang terbaik manakala orang contoh dalam ayat ini berterusan dalam kekufurannya.

  1. Anak itu juga menolak untuk beriman dengan kebangkitan semula dengan berhujjah mengatakan: Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu masih lagi belum kembali)?
    Hujjah yang biasa digunakan oleh semua yang menolak tentang Kebangkitan semula.
  2. Tetapi ibu bapa itu masih berharap berdoa kepada Allah s.w.t agar menyelamatkan anaknya serta terus merayu agar anaknya sedar dan beriman. Ini kerana takut kelak dia akan menerima pembalasannya kerana janji Allah s.w.t adalah benar dan tepat!
  3. Anak derhaka itu terus menjawab dengan sombong: Apa yang kamu cakapakan ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu (أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ) yang karut dan khurafat serta tiada asas!
  4. Marilah kita perbanyakkan doa ini:
    اللَّهُمَّ اعصمنا وأهلينا من الفِتَنِ، ما ظهَرَ منها، وما بطَنَ،
    Ya Allah lindungilah kami dan keluarga kami dari fitnah yang zahir dan yang tersembunyi!

AYAT 18- {MEREKA (YANG INGKAR DERHAKA SEPERTI ITU) IALAH ORANG-ORANG YANG TETAP MENERIMA HUKUMAN (AZAB) BERSAMA-SAMA DENGAN UMAT-UMAT YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA – DARI KALANGAN JIN DAN MANUSIA; KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MENYEBABKAN DIRI MEREKA MENJADI ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-AHQAAF 46:18)

  1. Orang yang derhaka yang berkata dan berhujjah dengan hujjah itu adalah orang yang berhak untuk menerima azab Allah s.w.t, bersama umat terdahulu yang juga mendustakan dari kalangan jin dan manusia!
  2. Mereka akan menjadi manusia yang kerugian besar kerana telah menghalang diri mereka daripada menerima kebaikan dan nikmat balasan baik dari Allah s.w.t.
  3. Mereka akan kerugian di dunia & Akhirat iaitu:
    i- rugi di dunia kerana tidak mendapat hidayah dari Allah s.w.t kerana sebab sombong & takabbur.

ii- manakala rugi di Akhirat pula kerana terlepasnya syurga yang dijanjikan oleh Allah Azza wa Jalla.

AYAT 19- {DAN BAGI MEREKA MASING-MASING (DARI PUAK JIN DAN MANUSIA – YANG BERBUAT BAIK DAN YANG BERBUAT JAHAT) DISEDIAKAN BERBAGAI PERINGKAT (BALASAN) YANG SESUAI DENGAN APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN, DAN (KETETAPAN YANG DEMIKIAN IALAH) SUPAYA ALLAH MENYEMPURNAKAN BAGI MEREKA BALASAN AMAL-AMAL MEREKA, SEDANG MEREKA TIDAK DIRUGIKAN (SEDIKITPUN).} (AL-AHQAAF 46:19)

  1. Sesungguhnya semua makhluk samada dari kalangan jin atau manusia terbahagi kepada dua kumpulan; yang beriman & kafir, yang berbuat baik dan yang berbuat jahat.
  2. Kedua golongan ini ada tempatnya di sisi Allah s.w.t, disediakan bagi mereka berbagai peringkat balasan, sesuai mengikut apa yang mereka kerjakan di dunia dulu serta mereka tidak akan dizalimi sama sekali!
  3. Ayat ini menunjukkan keadilan Allah s.w.t dan limpah kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
  4. Kata ulama\’ ahli Sunnah:
    i- Allah bagi keampunan & nikmat kepada hamba-Nya dengan limpah kurnia-Nya.
    ii- sesiapa yang diazab pula adalah dengan keadilan Allah s.w.t!

AYAT 20- {DAN (INGATLAH), SEMASA ORANG-ORANG KAFIR DIDEDAHKAN KEPADA NERAKA (SERTA DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”KAMU TELAH HABISKAN NIKMAT-NIKMAT KESENANGAN KAMU DALAM KEHIDUPAN DUNIA KAMU, DAN KAMU TELAH BERSENANG-SENANG MENIKMATINYA; MAKA PADA HARI INI KAMU DIBALAS DENGAN AZAB YANG MENGHINA KERANA KAMU BERLAKU SOMBONG TAKBUR DI MUKA BUMI DENGAN TIDAK BERDASARKAN ALASAN YANG BENAR, DAN KERANA KAMU SENTIASA BERLAKU FASIK.\”} (AL-AHQAAF 46:20)

  1. Apabila tiba saat kematian mereka, dibentangkan kepada mereka neraka dan balasan buruk yang menanti mereka.
  2. Munasabah ayat:
    Allah telah menjelaskan bahawa orang yang menerima balasan nikmat Allah s.w.t itu banyak sekali, maka dibawa pula keadaan dan balasan orang yang derhaka.
    Dalam surah ini banyak dibawa amaran dan peringatan akan balasan atas perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t!
  3. Ada ulama\’ kata maksudnya didedahkan kepada neraka (يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ) ini:
    i- ditayangkan dulu sebelum dicampakkan.
    ii- atau diazab terus dicampak ke dalam neraka.
    Yakni kedua-duanya ditayang dulu kemudian dicampakkan!
  4. Sekarang ini kamu akan diazab dan dihina sebagai balasan atas kamu berlaku sombong, takabbur dan fasiq atas dunia.
  5. Malaikat datang mencela mereka dengan berkata; kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu tidak akan dapat lagi segala nikmat itu bahkan akan dibalas dengan azab yang menghina.
  6. Ulama\’ kata ayat ini asalnya ditujukan kepada orang kafir yang sombong dan takabbur atas dunia dulu, segala kebaikan mereka atas dunia Allah s.w.t bayar selalu dan beri kepadanya balasan atas dunia terus.

Tetapi sebagai orang Islam kita juga boleh ambil pengajaran dan iktibar dalam kehidupan dan amalan kita. Kita juga jika derhaka kepada Allah s.w.t akan dibalas lalu kerugianlah juga!

  1. Jangan sampai kita mendapat istidraj dari Allah iaitu kebaikan kerana Allah biarkan dan murka, bukan senang kerana Allah redha!
  2. Di Akhirat akan dibalas dengan sebab kezaliman, takabbur atas dunia dapat kehinaan di Akhirat, orang beriman yang tawadhuk di dunia akan mendapat kemuliaan di Akhirat.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan orang yang tawadhuk!
  3. Mereka juga akan diazab kerana sebab fasiq atas dunia dulu.
    Fasiq ialah orang yang melakukan sesuatu diluar peraturan undang-undang Tuhan. Orang yang derhaka dan keluar dari ketaatan kepada Allah, terjebak dengan maksiat.
  4. Orang Islam juga ada tingkatannya, yang beriman tetapi melakukan maksiat juga termasuk dalam golongan fasiq!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 17- {Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): \”Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua!….}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut golongan kafir yang derhaka kepada dua ibu bapa dan mendustakan kebangkitan semula.
    Tidak ada satu dosa yang lebih besar selepas syirik kepada Allah s.w.t selain daripada derhaka kepada dua ibu bapa.

Hadis – tentang dosa besar yang paling besar.
أَلا أُنَبِّئُكُمْ بأَكْبَرِ الكَبائِرِ قُلْنا: بَلَى يا رَسولَ اللَّهِ، قالَ: الإشْراكُ باللَّهِ، وعُقُوقُ الوالِدَيْنِ، وكانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فقالَ: ألا وقَوْلُ الزُّورِ، وشَهادَةُ الزُّورِ، ألا وقَوْلُ الزُّورِ، وشَهادَةُ الزُّورِ
Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya: \”Mahukah kamu semua aku ceritakan tentang dosa besar yang paling besar.
Para sahabat berkata, \’Tentu saja ya Rasulullah\’.

Rasulullah lalu bersabda: Mempersekutukan syirik kepada Allah, kemudian derhaka kepada orangtua,\” sebelumnya Rasulullah separuh duduk, Baginda lalu duduk penuh dan berkata,\” (ketiga) janji dan kesaksian palsu.\” [HR Bukhari, Muslim, dan Ahmad].

Bila tengok perangai anak yang tidak elok wajib muhasabah diri kita dan baik pulihkan akhlak kita sendiri juga!
Semak balik hubungan kita dengan ibu bapa, apa sikap dan perangai kita, biasanya ia akan kembali dalam hidup ini. Maka insaf dan menyesallah, bertaubatlah kepada Allah.

Berdoalah agar Allah jangan jadikan kerosakan perangai serta buruk hubungan kita dengan ibu bapa, turun kepada anak cucu kita, kita putuskan rantaian itu.

اللهم لا تجعل ما فسد من أحوالي ظاهرا وباطنا وراثة لأولادي وذرياتي.

  1. Ayat 18- {Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; – Allah sebut dalam ayat ini golongan yang binasa itu ada dari kalangan jin dan manusia dari umat yang terdahulu.

Kata ahli tafsir Syeikh Ibnu Athiyah, ayat ini menunjukkan bahawa:
i- kaum jin itu mati seperti manusia juga, generasi demi generasi.
ii- jin dan manusia adalah dua makhluk yang ada taklif iaitu tanggung-jawab Syara\’. Maka akan diazab berdasarkan amalan masing-masing.

Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.} (Az-Zaariyaat 51:56)

Dalam sebuah hadis riwayat Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bercerita tentang hal-hal ghaib seperti nikmat dan azab kubur.
Antaranya apabila mayat itu di soal malaikat dan ia tidak dapat menjawabnya …
Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Malaikat pun akhirnya memukul keras orang yang menjawab tidak tahu tersebut dengan pemukul dari besi. Ia pun berteriak sekerasnya sehingga makhluk yang ada di sekitarnya dapat mendengarnya kecuali manusia dan jin.\” [HR Bukhari].
Ini menunjukkan bahawa tingkatan azab itu terkena ke atas jin dan manusia.

  1. Ayat 20- {Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): \”Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya;}- ayat ini menunjukkan bahawa kekayaan dan kemewahan hidup orang kafir atas dunia ini yang dinikmati, mereka tidak akan dapatnya lagi di Akhirat! Yakni Allah bagi untuk mereka habiskan atas dunia ini dan balasan azab dan kehinaan di Akhirat kelak. Nikmat Akhirat adalah bagi orang yang bertaqwa.

Ayat ini penawarnya ialah dengan firman Allah s.w.t:
{Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.} (Taha 20:131)

Sayyidina Umar bin Khattab r.a pernah menangis melihat Rasulullah tidur di atas tempat tidur, tikar yang kasar, sehingga membekas belakang Baginda s.a.w.
Ketika melihat tangisan Sayyidina Umar, Rasulullah pun bertanya: \”Mengapa engkau menangis, wahai Umar?\”
Sayyidina Umar pun menjawab: \”Saya teringat Kisra (raja Persia) dan Kaisar (raja Romawi). Tuan adalah Nabi Allah, tidur di tempat seperti itu. Sementara mereka tidur di atas tilam dan katil emas, dan pakaian mereka adalah kain-kain sutera yang bagus\”.
Mendengar hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Wahai Umar, apakah kamu tidak rela jika mereka hanya memperoleh hal itu di dunia saja, sementara nanti akhirat hanya akan menjadi milik kita?\” [HR Bukhari].

Maka sabarlah orang yang beriman jika melihat orang yang kufur itu mendapat nikmat dan kemewahan dunia, bagi mereka di dunia dan bagi kita di Akhirat insya\’ Allah!

Tetapi firman Allah s.w.t juga tidak menghalang kita orang mukmin daripada berhias menggunakan rezeki halal yang Allah beri, untuk beribadat tanpa sombong dan bangga diri:
{Katakanlah (wahai Muhammad): \”Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?\” Katakanlah: \”Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat\”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.} (Al-A\’raaf 7:32)

Tetapi orang mukmin kena ingat biarlah dunia hanya sekadar di tangan kita bukan masuk di dalam hati sehingga kita ditunggang dunia!

Kapal berada di atas air adalah selamat, tetapi bila kapal dimasuki air akan tenggelam!

  1. Ayat 20- {Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): \”Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina}- yakni telah habis segala nikmat telah kamu gunakan tanpa hak atas dunia ini, gopoh menggunakan segala nikmat yang dilarang contoh seperti arak & zina, memakai emas & sutera, maka tiada lagi haknya di Akhirat kelak.

Kata ulama\’: Sesiapa yang berpuasa atas dunia ini, maka dia akan berbuka di Akhirat kelak.
Yakni sesiapa yang menahan diri, meninggalkan perkara yang haram dan buruk atas dunia ini, Allah akan gantikannya dengan yang lebih baik dan besar di Akhirat kelak!

Daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
\”Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir\”. [HR Muslim].

Hadis riwayat Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di Akhirat kelak (di Syurga).\” [HR Muslim].

Begitu juga dalam hadis-hadis lain yang menyatakan tentang haramnya pemakaian sutera dan bekas-bekas emas bagi orang muslim.

Hadis-hadis ni semua menunjukkan bahayanya melanggar Syari\’ah Allah s.w.t.

  1. Ayat 20- {Maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik.\”}- ayat ini menunjukkan dalil bahawa orang kafir akan dipersoalkan tentang cabang-cabang ibadat yang difardhukan Allah atas dunia ini. Seperti tidak solat, puasa, tutup aurat dan sebagainya, mereka akan dipersoalkan.

Orang kafir akan diazab dengan dua sebab:
i- sebab kekafiran mereka.
ii- sebab fasiq- iaitu tidak buat apa yang Allah s.w.t perintahkan.

Yakni dosa kafir satu hal dan dosa meninggalkan & melanggar Syari\’ah Allah pula satu hal!

Powered by BetterDocs