View Categories

SURAH AL-AHZAB : AYAT 25-26

\"\"

ALLAH S.W.T KALAHKAN TENTERA AHZAB, MENGEPUNG PERKAMPUNGAN BANI QURAIZAH & KISAH SAAD BIN MUAZ MENGHUKUM MEREKA.

Full video : https://youtu.be/GC7P5R2uY0w

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita sambung kisah, natijah dari peperangan Ahzab. Puak kafir balik dengan tangan kosong, tiada tawanan perang atau harta yang boleh dibawa pulang, tiada sahabat yang boleh dibunuh.
  2. Mereka balik dengan tangan kosong dan kekecewaan, kerana Allah s.w.t sudah katakan bahawa mereka tidak akan mendapat apa-apa, لَمْ يَنَالُوا خَيْرًا.
  3. Juga tentang pembelotan kaum yahudi yang khianat terhadap perjanjian dengan kaum muslim di Madinah dan apakah hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka.
  4. Juga benarlah janji Allah bahawa Islam makin bertambah dan sentiasa berkembang dan tersebar luas selepas peperangan itu.
  5. Dalam siri yang lepas kita juga telah dengar keadaan dan sifat kedua-dua kumpulan di Madinah:
    i- kumpulan pertama – yang jahat kaum munafiq yang menjadi duri dalam daging, berpura beriman di depan tetapi belot di belakang, serta kaum yahudi yang khianat perjanjian.
    ii- kumpulan yang benar, kaum muslim yang tidak goyah, dalam iman dan perjuangan, ada yang menunaikan janjinya dengan syahid dalam Perang Uhud seperti – Anas bin An-Nadhar, Hamzah bin Abdul Muttalib, Mus\’ab bin Umair dan lain-lain ramai lagi. Serta yang masih hidup gagah berani tidak undur walaupun setapak dari medan peperangan, meneruskan perjuangan.
  6. Allah s.w.t telah memberi pertolongan besar kepada Rasulullah s.a.w dan umat Islam seluruhnya, kaum kafir tidak dapat sedikitpun mengalahkan kaum muslimin, untuk masuk ke Madinah pun mereka tidak dapat! Mereka kembali dengan kecewa dan penuh keaiban!
  7. Ayat ini adalah seolah penutup kepada kisah Perang Ahzab, natijah keputusan perang yang bersejarah ini.

AYAT 25- {DAN ALLAH TELAH MENGHALAU KEMBALI (ANGKATAN TENTERA) ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU (KE TEMPAT MASING-MASING) DENGAN KEADAAN MEREKA GERAM MARAH (KERANA GAGAL DAN HAMPA), MEREKA TIDAK MENDAPAT SEBARANG KEUNTUNGAN. DAN ALLAH SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DARI BENCANA MENGHADAPI PEPERANGAN ITU. DAN (INGATLAH) ADALAH ALLAH MAHA KUAT, LAGI MAHA KUASA.} (AL-AHZAAB 33:25)

  1. Alhamdulillah ayat ini melegakan kita, selepas dikepung selama 20 hari lebih (hampir sebulan) oleh tentera bersekutu yang besar itu (ahli sejarah kata lebih kurang 10,000 orang) Madinah dan penghuninya tidak tergugat lansung. Untuk details tentang Perang Ahzab ini boleh baca dalam buku: Madinah Kelebihan & Sejarah. Boleh dapatkan di: http://www.dartaibah.com/…
  2. Bahkan Allah s.w.t telah menghalau mereka kembali ke tempat masing-masing dalam keadaan marah, kecewa dan hampa dengan kegagalan mereka tanpa sebarang keuntungan. لَمْ يَنَالُوا خَيْرًا Tiada tawanan, tiada harta rampasan perang serta tidak mengorbankan musuh.
  3. Allah s.w.t telah menyelamatkan kaum muslim dengan menghantar tentera Allah yang tidak nampak dilihat, iaitu angin ribut untuk memporak-peranda perkhemahan tentera musuh dan berundur lari balik dengan penuh kekecewaan.
  4. Rasulullah s.a.w menghantar seorang sahabat untuk menyusup masuk melihat keadaan mereka iaitu Huzaifah ibnu Al-Yaman. Pada malam itu amat sejuk dengan angin bertiup kencang, yakni selepas serangan angin itu mereka diam.
  5. Huzaifah selamat kembali melaporkan kepada Rasulullah bahawa tentera Ahzab sedang bersiap sedia untuk berundur dengan diketuai oleh Abu Sufyan dengan dikawal oleh Khalid bin Al-Walid dan Amru. Nak balik pun takut lagi!
  6. Allah s.w.t merakamkan kejadian bersejarah ini di dalam al-Quran dan menutup kisah peperangan ini dengan firman-Nya: {Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.}
  7. Setelah melihat tentera Quraisy berundur dengan hampa, kaum munafiq amat kecewa dan marah, manakala yahudi bani Quraizah yang telah membatalkan perjanjian dan khianat kepada kaum muslimin pula amat takut dan gentar untuk menghadapi Rasulullah dan kaum muslimin. Mereka semua ini sedar bahawa mereka silap membuat percaturan dan perhitungan, kita lihat dalam ayat seterusnya!
  8. Hadis Rasulullah s.a.w berdoa minta pertolongan Allah s.w.t untuk menghadapi tentera Ahzab ini: Perisai Muslim: Doa Menghadapi Musuh.
  9. Doa Rasulullah s.a.w sekembalinya dari musafir:
    لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير، آيِبُونِ تَائِبُونِ عَابِدُونِ لِرَبِّنَا حَامِدُونِ، صَدَقَ اللهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
    Maksudnya: Tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, yang menguasai kerajaan serta pujian, Dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu, kami kembali dengan bertaubat, beribadah, dan memuji tuhan kami. Allah yang telah menepati janjinya, membela hamba-hambanya, dan yang menumpaskan musuh bersendirian. [Bukhari & Muslim]
  10. Satu lagi doa Rasulullah s.a.w: Ketika Nabi s.a.w dekat dengan bukit Safa, Baginda membaca:
    Ketika Nabi s.a.w dekat dengan bukit Safa, Baginda membaca:
    إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَآئِرِ اللَّهِ. أَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللَّهُ بِهِ
    Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah termasuk sy\’iar agama Allah. Aku memulai sa\’i dengan apa yang didahulukan oleh Allah.
    Kemudian Baginda mulai dengan naik ke bukit Safa, hingga nampak Ka\’bah. Lalu menghadap kiblat, membaca kalimat tauhid, bertakbir 3x, lalu membaca:
    لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ أَنْجَزَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ
    Tidak ada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah, Yang Maha Esa, Tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian. Dialah Yang Mahakuasa atas segala sesuatu. Tidak ada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah, Yang Maha Esa, yang melaksanakan janji-Nya, membela hamba-Nya (Muhammad) dan mengalahkan golongan musuh yang bersekutu (Ahzab) secara sendirian.
    Kemudian Baginda berdoa. Baginda juga membacanya (zikir di atas dan doa) sebanyak 3x. Di dalam hadits tersebut dikatakan, Nabi s.a.w juga membaca di Marwah sebagaimana Baginda membaca di Safa. [HR Muslim].

AYAT 26- {DAN IA MENURUNKAN GOLONGAN AHLI KITAB (KAUM YAHUDI) YANG MEMBANTU TENTERA MUSUH ITU, DARI BENTENG-BENTENG MEREKA (MENYERAH DIRI), SETELAH DIISIKANNYA HATI MEREKA DENGAN PERASAAN GERUN. (LALU MEREKA DIADILI DAN DIJATUHKAN (HUKUMAN); SEBAHAGIAN DI ANTARANYA KAMU BUNUH, DAN SEBAHAGIAN LAGI KAMU TAWAN.} (AL-AHZAAB 33:26)

  1. Intro- Bani Quraizah ini adalah golongan yahudi terakhir yang ada di Madinah selepas beberapa bani yang lain seperti Qainuqa\’ dan bani Nadhir (ketuanya Huyai bin Akhtab) di halau keluar dari Madinah akibat kejahatan dan pengkhianatan mereka sebelum ini.
  2. Jadi untuk terus berada di Madinah mereka telah melakukan perjanjian damai dengan Rasulullah dan kaum muslimin. Mereka mempunyai kubu-kubu yang besar teguh dan kebun yang luas di Madinah. Sebelum kedatangan tentera Ahzab mereka hidup normal bersama kaum muslim di Madinah, melakukan urusan dan muamalat jual-beli bersama dengan kaum muslimin.
  3. Tetapi akibat hasutan Huyai dari bani Nadhir, mereka setuju untuk menolong tentera Ahzab dan mengkhianati perjanjian mereka dengan Rasulullah s.a.w. Sekarang selepas ditinggalkan tentera Quraisy yang telah kembali, mereka ini akan menghadapi hukumannya! Mereka sedar akan hal ini dan menanti akibat buruk itu dengan debaran, mereka bersembunyi di dalam kubu mereka di sebalik tembok yang tebal!
  4. Selesai dari peperangan, Rasulullah s.a.w membuat satu khemah seperti klinik di kawasan masjid untuk menempatkan sahabat yang cedera seperti Saad bin Muaz r.a yang terkena panah tetapi melarat lukanya.
  5. Sayyidah Aisyah r.a meriwayatkan bahawa ketika Nabi S.A.W baru kembali dari perang Khandaq (Ahzab), Baginda didatangi Malaikat Jibril A.S untuk kembali mengangkat pedang.
    عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ لَمَّا رَجَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْخَنْدَقِ
    وَوَضَعَ السِّلَاحَ وَاغْتَسَلَ أَتَاهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَقَالَ قَدْ وَضَعْتَ السِّلَاحَ وَاللَّهِ مَا وَضَعْنَاهُ فَاخْرُجْ إِلَيْهِمْ قَالَ فَإِلَى أَيْنَ قَالَ هَا هُنَا وَأَشَارَ إِلَى بَنِي قُرَيْظَةَ فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ
    Ertinya: Dari Aisyah R.A, ia berkata; Ketika Nabi s.a.w kembali dari perang Khandaq, setelah Baginda meletakkan senjata dan mandi, malaikat Jibril a.s datang menemui Baginda sambil membuang debu kesan peperangan dari rambutnya. Seraya berkata kepada Rasulullah: \”Apakah Tuan sudah hendak meletakkan senjata? Demi Allah kami tidak akan meletakkannya. Keluarlah kamu (untuk memerangi) mereka.\” Baginda bertanya: \”Ke mana?\” Jibril menjawab: \”Ke sana.\” Jibril memberi isyarat (untuk pergi memerangi) Bani Quraizah. Maka Nabi s.a.w pun berangkat untuk mengepung mereka.\” (HR. Bukhari)
  6. Lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan para sahabat bersiap semula untuk keluar berperang sambil bersabda: \”Jangan kamu solat asar sehingga tiba di penempatan Bani Quraizah.\” [HR Bukhari].
  7. Dari arahan Rasulullah inilah bermulanya berlaku khilaf kerana berlainan pemahaman di kalangan sahabat r.anhum yang mulia.
    Ketika Nabi s.a.w menyebutkan perintah ini, sebahagian sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat (zahir) larangannya, lalu menta\’khirkan solat Asar itu sampai selepas Maghrib (mereka solat Asar selepas waktu Maghrib, ketika sudah sampai di perkampungan Bani Quraizah).
    Dan ada sebahagian sahabat yang lain memahamkan bahawa yang dimaksudkan Nabi s.a.w ialah kiasan agar bersegera cepat pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Sebab itu mereka mengerjakan solat Asar pada waktunya, ketika dalam perjalanan, sebelum tiba ke Bani Quraizah, kemudian mereka bergerak dengan lekas.
    Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan ijtihad ini sampai kepada Nabi s.a.w beritanya, dan Nabi s.a.w berdiam diri tidak membantah apa-apa. Baginda tidak menyalahkan satu pihak dan membenarkan satu pihak yang lain. Baginda berdiam diri menandakan taqrir (pengakuan/pembenaran) darinya bahawa kekhilafan yang berlaku itu adalah dari sudut ijtihad masing-masing dalam memahami hadis Baginda. Jadi, dua-dua pendapat itu benar, selagi ia bertepatan dengan hadis, cuma cara memahami hadis sahaja berbeza. Wallahu a\’lam.
    Untuk menambahkan kefahaman dan penjelasan tentang khilaf , boleh baca buku ini:
    http://www.dartaibah.com/…
  8. Tentera Islam mengepung penempatan Bani Quraizah yang terletak di selatan Madinah selama beberapa hari. Allah s.w.t mencampakkan perasaan gerun dan takut dalam hati mereka sehinggakan mereka membuka sendiri pintu kota mereka dan turun menyerah diri selepas pengepungan selama lebih kurang dalam 25 hari.
  9. Selepas menyerah diri, semasa dibawa untuk pengadilan, bani Quraizah meminta agar diadili oleh Sa\’ad bin Mu\’az, dari Suku Aus, sekutu lama mereka sebelum Islam, sebagai hakim. Sa\’ad, yang tercedera dan sedang dirawat di dalam khemah perubatan tadi pun diusung, dibawa keluar untuk menghakimi Bani Quraizah ini.
  10. Akhirnya Sa\’ad memutuskan bahawa mereka yang melakukan kejahatan perang (semua kaum lelaki dewasa) dijatuhkan hukuman bunuh, harta-benda dibahagi, wanita dan anak-anak dijadikan tawanan. Ini kerana perbuatan khianat mereka akan memberi kesan yang buruk sekali terhadap kaum muslimin jika tiada pertolongan dari Allah s.w.t.
    Mendengar keputusan itu Rasulullah bersabda, \”Demi Allah , kamu telah menjatuhkan hukuman yang diredhai Allah dan Rasul-Nya.
    Lalu diperintahkannya supaya digali beberapa buah parit di satu kawasan. Orang-orang Yahudi itu dibawa dan di sana leher mereka dipenggal, dan di dalam parit-parit itu mereka dikuburkan. Sebenarnya Bani Quraizah tidak menduga akan menerima hukuman sedemikian dari Sa\’ad bin Mu\’az. Mereka menyangka paling teruk mereka hanya akan dihalau keluar dari Madinah.
  11. Selepas penghakiman yang begitu adil dan mengesankan itu Sa\’ad diusung masuk semula ke khemah perubatan dan tidak berapa lama, selepas beberapa hari sahabat yang mulia ini meninggal dunia. Kisahnya sekali lagi begitu ajaib dan menusuk ke kalbu.
    Sebelum itu mari kita kenali Saad bin Muaz bin Nukman r.a secara ringkas. Seorang sahabat Ansar yang asal Madinah. Beliau adalah bangsawan suku Aus yang memeluk Islam ditangan Mus\’ab bin Umair, utusan yang dihantar dari Makkah, sebelum Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah lagi. Pada ketika itu, usianya masih dalam kategori pemuda. Keislaman pemuda dan bangsawan seperti Saad menjadi punca kepada keislaman kabilah Aus secara besar-besaran.
    Rumahnya telah dijadikan markas utama dakwah, Islam terus pantas berkembang, sehingga pada setiap rumah di Madinah pasti ada sekurang-kurangnya seorang memeluk Islam dalam tempoh yang singkat. Selepas Hijrah Rasulullah s.a.w, Saad terus memainkan peranan yang besar dalam Islam sehingga ke hari Ahzab dan kes Bani Quraizah ini. Kehadirannya menjadi menjadi kekuatan kepada Rasulullah s.a.w.
    Lihat kisah Saad bin Muaz di: https://youtu.be/PzbUh9e4AdE
  12. Rasulullah s.a.w mengetahui tentang kematian Saad apabila malaikat Jibril datang bertanya kepada Baginda: Siapakah pembesar yang meninggal dunia ini yang menyebabkan pintu langit terbuka dan Arasy Ar-Rahman bergegar?
    Nabi s.a.w bersabda:
    اهْتَزَّ الْعَرْشُ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ
    Bergegar Arasy Allah Azza wa Jalla kerana kematian Saad bin Muaz [HR al-Bukhari]
    *Tidak ada lagi dalam sejarah dari riwayat yang sahih Arasy bergoncang dengan sebab kematian seseorang kecuali dengan sebab kematian Saad bin Muaz r.a.
    Rasulullah s.a.w juga bersabda tentang azab kubur:
    Daripada Aisyah R.anha, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    إِنَّ لِلْقَبْرِ ضَغْطَةً، لَوْ كَانَ أَحَدٌ نَاجِيًا مِنْهَا نَجَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ
    Maksudnya: \”Sesungguhnya kubur memiliki himpitan, jika seseorang itu terselamat daripadanya, maka Sa\’ad ibn Mu\’az juga terselamat.\” [Riwayat Ahmad]
    Antara makna yang boleh difahami daripada hadith di atas, ia menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah menetapkan himpitan kubur buat setiap orang yang meninggal dunia. Jika seseorang itu terselamat daripadanya maka itu merupakan kelebihan baginya di sisi Allah dan dekatnya hubungan si mati dengan Allah S.W.T. Untuk itu, Rasulullah s.a.w menyatakan Sa\’ad bin Mu\’az merupakan salah seorang yang layak terselamat daripada himpitan tersebut. Untuk itu, hadith-hadith tersebut menunjukkan akan ketinggian kedudukan Sa\’ad bin Mu\’az di dalam Islam setelah beliau menempuh berbagai ujian semata-mata untuk meninggikan agama Allah serta menyelamatkan Baginda S.A.W.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

Bersambung dalam siri seterusnya Insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs