View Categories

SURAH AL-\’ANKABUT : AYAT 16-23

\"\"

KISAH NABI IBRAHIM DAN KAUMNYA, TIGA DALIL YANG DIKEMUKAKAN. WAHDANIYAH, RISALAH & KEBANGKITAN SEMULA.

Full video : https://youtu.be/FRCxpClm0Vg

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Dalam siri yang lepas kita telah dengar tentang kisah nabi Nuh dan pengikutnya yang selamat dari azab taufan, banjir besar yang memusnahkan seluruh manusia lain yang tidak beriman. Hanya pengikutnya yang beriman dan sepasang binatang dari setiap jenis haiwan yang dibawa atas kapal itu yang selamat.
  2. Imam Malik bin Anas rhm. membuat perbandingan; Bahawa Sunnah Rasulullah s.a.w ini seperti bahtera Nabi Nuh a.s, siapa nak selamat kena naik dan berlindung di atasnya.
  3. Dalam siri ini Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal kisah nabi yang kedua dalam surah ini, Nabi Ibrahim a.s., rasul-Nya dan kekasih-Nya.
  4. Setelah disebut tentang kisah nabi Nuh yang telah berdakwah sekian lama kepada kaumnya dengan sabar dan tanpa jemu, di bawa pula kisah nabi Ibrahim yang juga salah seorang rasul Ulul-Azmi. Kedua mereka ini menghadapi ujian dan tentangan yang besar dari kaum masing-masing.
  5. Nabi Ibrahim membawa Tiga Dalil Yang Dikemukakannya iaitu Wahdaniyah, Risalah & Kebangkitan Semula.
  6. Hari ini dalam Sejarah- mengikut Kitab Rahiqul-Makhtum- setelah keluar berhijrah dari Makkah, Rasulullah s.a.w tiba di Quba\’, pinggir bandar Madinah, pada hari Isnin 8 Rabi\’ul Awal bersamaan 23 September 622M.

AYAT 16- {DAN (SEBUTKANLAH PERISTIWA) NABI IBRAHIM, KETIKA IA BERKATA KEPADA KAUMNYA: \”SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH DAN BERTAQWALAH KEPADANYA; YANG DEMIKIAN ITU ADALAH BAIK BAGI KAMU JIKA KAMU TAHU (MEMBEZAKAN YANG BAIK DARI YANG BURUK). (AL-\’ANKABUUT 29:16)

  1. Disebutkan kisah Nabi Ibrahim yang diutuskan kepada kaumnya untuk mengajak mereka beribadah kepada Allah saja. Inilah dakwah para nabi, iaitu mengajak kepada tauhid dan menjauhi syirik.
  2. Menyembah Allah s.w.t dan bertaqwa kepada-Nya adalah sebaik-baik jalan bagi manusia jika mereka tahu!
  3. Kata Ulama\’: \”Takut kepada Allah kita berlari kepada-Nya. Tetapi jika takut kepada makhluk kita lari darinya!\” Takutilah Allah s.w.t dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan segala larangan-Nya sebagai bekalan untuk kita pergi berjumpa dengan-Nya nanti.
  4. Nabi Ibrahim a.s membawa kepada kita Tiga Dalil Yang Besar iaitu Wahdaniyah Keesaan Allah s.w.t, Risalah Kenabian dan Aqidah Kebangkitan Semula.

AYAT 17- {\”KAMU HANYALAH MENYEMBAH BERHALA-BERHALA YANG DIPERBUAT OLEH ORANG, TIDAK MENYEMBAH ALLAH YANG MENCIPTA SEGALA-GALANYA, DAN KAMU HANYA MENGADAKAN PENYEMBAHAN YANG DUSTA. SESUNGGUHNYA MEREKA YANG KAMU SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH ITU, TIDAK BERKUASA MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU; OLEH ITU CARILAH REZEKI DARI SISI ALLAH, DAN SEMBAHLAH AKAN DIA, SERTA BERSYUKURLAH KEPADANYA; (INGATLAH), KEPADA ALLAH JUALAH KAMU AKAN DIKEMBALIKAN. (AL-\’ANKABUUT 29:17)

  1. Berhala yang kamu sembah itu, adalah hasil yang kamu sendiri atau manusia lain yang buatnya!
  2. Ulama\’ kata beza antara makna sembahan yang dibuat oleh mereka ini:
    i- awthaanan – أَوْثَانًا berhala yang dibentuk dari simen batu kayu kapur dan lain-lain.
    ii- asnaaman – أَصْنَامًا berhala yang diukir daripada emas atau perak serta logam lain.
  3. Allah s.w.t membatalkannya dengan berfirman bahawa semua sembahan itu adalah dusta!
  4. Inilah hujjah bagi dalil yang pertama: Berhala itu apa yang kamu buat, kamu ukir lalu kamu sembah!
  5. Dalil yang kedua: Berhala yang kamu sembah itu tidak dapat memberi rezeki atau apa-apa pertolongan.
  6. Maka yang sebenarnya:
    i- carilah rezeki dari sisi Allah.
    ii- sembahlah Allah dan bersyukur kepada-Nya.
    iii- kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan.
  7. Dua ini adalah dalil uluhiyyah, penyembahan kepada Allah Yang Esa, Yang Tunggal.

AYAT 18- {\”DAN JIKA KAMU TERUS-MENERUS MENDUSTAKAN (AJARAN AGAMA ALLAH YANG AKU SAMPAIKAN KEPADA KAMU), MAKA SESUNGGUHNYA UMAT-UMAT YANG SEBELUM KAMU TELAH JUGA MENDUSTAKAN (RASUL-RASULNYA); DAN (INGATLAH) TUGAS RASUL HANYA MENYAMPAIKAN DENGAN PENJELASAN YANG TERANG NYATA\”. (AL-\’ANKABUUT 29:18)

  1. Ayat ini adalah dalil kepada risalah kenabian. Para rasul itu adalah utusan Allah s.w.t kepada kaumnya yang ditetapkan.
  2. Hakikatnya, sesungguhnya umat-umat yang sebelum ini telah juga mendustakan (rasul-rasulnya);. Ayat ini boleh ditujukan kepada Nabi Ibrahim dan juga Nabi Muhammad s.a.w.
  3. Allah s.w.t juga mengingatkan bahawa tugas para Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata. Inilah maksudnya hidayah Irsyad, iaitu menyampaikan ajaran dan memberi bimbingan.

AYAT 19- {TIDAKKAH MEREKA MELIHAT DAN MEMIKIRKAN BAGAIMANA ALLAH MENCIPTA MAKHLUK-MAKHLUK PADA MULANYA, KEMUDIAN IA AKAN MENGEMBALIKANNYA (HIDUP SEMULA SESUDAH MATINYA)? SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU AMATLAH MUDAH BAGI ALLAH. (AL-\’ANKABUUT 29:19)

  1. Setelah Allah s.w.t membuktikan keEsaan dan kekuasaa-Nya dan tugas para rasul, maka Allah s.w.t terangkan pula tentang kebangkitan semula.
  2. Bagi mereka yang mengingkarinya tidakkah mereka lihat dalil akan diri mereka sendiri:
    i- yang sebelum ini tiada lalu ada?
    ii- lalu diberi tempoh hidup di atas dunia sekian lama ikut tempoh masing-masing.
    iii- kemudian dimatikan,
    iv- lalu akan dibangkitkan di akhirat nanti.
  3. Maka jelaslah, sesungguhnya untuk menghidupkan semula manusia itu adalah amat mudah bagi Allah s.w.t.

AYAT 20- {KATAKANLAH: \”MENGEMBARALAH KAMU DI MUKA BUMI, SERTA LIHATLAH BAGAIMANA ALLAH TELAH MEMULAKAN CIPTAAN MAKHLUK-MAKHLUK DARI ASAL JADINYA; KEMUDIAN ALLAH AKAN MEMULAKAN CIPTAAN ITU SEMULA (PADA HARI AKHIRAT) DALAM BENTUK KEJADIAN YANG BAHARU. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU. (AL-\’ANKABUUT 29:20)

  1. Manusia diperintahkan untuk keluar mengembara di atas muka bumi ini untuk melihat dengan lebih jelas lagi dalil-dalil, bukti akan keEsaan dan kekuasan Allah s.w.t.
  2. Mereka akan dapati begitu banyak sekali tanda-tanda ini jika buka mata dan akal untuk berfikir tentangnya.
  3. Maka Allah s.w.t yang menciptakan semua itu pasti amat berkuasa pula untuk mencipta sesuatu yang baru atau membangkitkan semuula yang telah mati!

AYAT 21- {\”IA MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (IAITU ORANG-ORANG YANG INGKAR), DAN IA JUGA YANG MEMBERI RAHMAT KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (IAITU ORANG-ORANG YANG BERIMAN); DAN KEPADANYALAH KAMU SEMUA AKAN DIKEMBALIKAN (UNTUK MENERIMA BALASAN). (AL-\’ANKABUUT 29:21)

  1. Kuasa Allah s.w.t untuk melakukan semua yang dijanjikan-Nya. Siksaan ke atas orang yang ingkar dan rahmat balasan baik bagi orang-orang yang beriman atau sebaliknya, tetapi Allah s.w.t itu Maha Benar dalam janji-Nya.
  2. Pastilah kepada-Nyalah kamu semua akan dikembalikan di Akhirat kelak untuk menerima balasan.

AYAT 22- {\”DAN KAMU TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKAN DIRI (DARI KEKUASAAN ALLAH) DI BUMI DAN TIDAK JUGA DI LANGIT (SEKALIPUN); DAN KAMU TIDAK AKAN MENDAPAT SEBARANG PERLINDUNG DAN PENOLONG YANG LAIN DARI ALLAH\”. (AL-\’ANKABUUT 29:22)

  1. Manusia sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri dari kekuasaan Allah s.w.t samada di langit atau di bumi!
  2. Tidak akan ada yang dapat menjadi pelindung dan penolong kepada makhluk selain dari Allah s.w.t.

AYAT 23- {DAN ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH DAN PERTEMUAN DENGANNYA, MEREKA TETAPLAH AKAN MENJADI ORANG-ORANG YANG PUTUS ASA DARI RAHMATKU; DAN MEREKA PULA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA. (AL-\’ANKABUUT 29:23)

  1. Sesiapa yang kufur akan ayat-ayat (tanda/dalil) dari Allah s.w.t dan kebangkitan semula nanti akan menjadi:
    i- orang-orang yang putus asa dari rahmat Allah semasa di dunia ini;
    ii- di akhirat pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  2. Ayat-ayat Allah ini maksudnya samada:
    i- ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.
    ii- tanda-tanda kekuasan Allah yang dapat dilihat dengan mata atas bumi ini.

PENUTUP / BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 16- {\”Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya} – Sumber kebajikan itu terletak pada keihklasan seorang hamba itu dalam beribadat kepada Allah s.w.t. Pergantungan hati kita hendaklah hanya kepada Allah.
  2. Ayat 17- {Oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia,} – yakni ibadat yang diterima oleh Allah s.w.t hendaklah ada dua syarat:
    i- bebas dari segala bentuk syirik yakni ikhlas kepada Allah s.w.t.
    ii- mengikut apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
  3. Ayat 17- {\”Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang …. } – uslub hujjah iaitu sebelum melarang dan mengingkari sesuatu perbuatan, ialah pertamanya dengan menerangkan, menyatakan keburukan tentang amalan mereka itu. Keburukannya ialah mereka buat dan reka sendiri berhala lalu melakukan pendustaan dengan melantiknya jadi tuhan lalu disembah pula!
  4. Ayat 17- {\”Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala – أَوْثَانًا } – banyaknya jenis sembahan puak kafir itu menunjukkan kepada banyaknya perpecahan dalam aqidah mereka. Ada yang sembah kayu, batu, matahari, patung, pokok dan sebagainya. Sedangkan kita hanya menyembah Allah yang Esa dan yang Tunggal. Umat Islam itu bersatu atas sembahan hanya kepada Allah s.w.t dan Kitab yang satu dari Nabi s.a.w.
  5. Ayat 17- {dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta.} وَتَخْلُقُونَ إِفْكًا – yakni kamu mereka-rekakan pembohongan, dibuat oleh makhluk pembohongan hujjah dibuat untuk menegakkan benang basah, untuk membenarkan perbuatan salah mereka. Duduklah di alam realiti, jika benda itu tidak baik dan mungkar janganlah sekali-kali kita buat dan cuba membenarkannya.
  6. Allah s.w.t sebut kepada kita dalil mahsus (yang boleh dilihat). Antara dalil yang kita boleh nampak adalah seperti REZEKI. Allah s.w.t suruh minta rezeki dengan-Nya. Tetapi wajib berusaha bukan berdoa saja minta rezeki dari Allah. Tetapi terserah atas Allah untuk memberi rezeki banyak atau sedikit, kepada siapa, semuanya di tangan Allah. Setiap orang itu tidak sama rezekinya yang masuk, walaupun melalui pintunya yang sama.
  7. Ayat 18- {\” dan (ingatlah) tugas Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata\”.} – sekali lagi menekankan bahawa tugas para rasul hanya menyampaikan ajaran dakwah dari Allah, mereka hanya dapat memberi hidayah bimbingan, samada manusia menerimanya atau tidak itu terserah kepada hidayah petunjuk, taufiq dari Allah Azza wa Jalla. Yang memberinya hanya Allah s.w.t.
  8. Ayat 18- {\” dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan (untuk menerima balasan).} – bila tahu akan kembali kepada Allah, kena buat yang terbaik. Ini peringatan agar kita jangan berani menyalahi ajaran Allah s.w.t, sedangkan kita akan bertemu dengan Allah nanti untuk pengadilan dan pembalasan. Bagaimana akan kita hadapi dan berhujjah dengannya.
  9. Ayat 23- {Akan menjadi orang-orang yang putus asa dari rahmatKu;} – puak kafir di akhirat esok tiada lagi harapan. Ini nasihat agar orang yang beriman agar jangan putus-asa dan harapan dari rahmat Allah s.w.t. lebih-lebih lagi dekat nak mati jangan putus-asa mengharapakn kemapunan dan rahmat Allah s.w.t! sebagaimana dalam hadis Rasulullah s.a.w.
  10. Ayat 20- {Katakanlah: \”Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan..} – Arahan untuk kita berjalan atas muka bumi UNTUK melihat dan berfikir akan kejadian dan kekuasan Allah s.w.t. bukan sekadar berjalan dan melancong sahaja tanpa mendapat faedah keimanan.

INSYA\’ ALLAH DALAM SIRI YANG AKAN DATANG KITA LIHAT APA JAWAPAN KAUM NABI IBRAHIM KEPADA DAKWAH YANG DISERUNYA INI.

Wallahu a\’alam.

Powered by BetterDocs