Surah Al-Baqarah : Ayat 178-179

HUKUM QISAS, HAK WALI MEMAAFKAN & HIKMAH QISAS.

Full video : https://youtu.be/2Z75Sh2EyqA?si=CG-ApJzyDU3xNRhL

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 178 sehingga ayat 179 bagi surah Al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang hukum Qisas (القصاص) iaitu bunuh balas, dalam Islam.
  3. Kemudian Allah nyatakan juga hak wali iaitu kerabat/pewaris orang yang dibunuh untuk memberi kemaafan pengampunan kepada si pembunuh. Bukan wali pemerintah- inilah hukum Syari’ah, perlembagaan Islam.
  4. Dalam ayat berikutnya Allah nyatakah hikmah kenapa Qisas dilaksanakan dalam undang-undang Syari’ah Islam.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 178 – {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! DIWAJIBKAN KAMU MENJALANKAN HUKUMAN “QISAS” (BALASAN YANG SEIMBANG) DALAM PERKARA ORANG-ORANG YANG MATI DIBUNUH IAITU: ORANG MERDEKA DENGAN ORANG MERDEKA, DAN HAMBA DENGAN HAMBA, DAN PEREMPUAN DENGAN PEREMPUAN. MAKA SESIAPA (PEMBUNUH) YANG DAPAT SEBAHAGIAN KEAMPUNAN DARI SAUDARANYA (PIHAK YANG TERBUNUH), MAKA HENDAKLAH ORANG YANG MENGAMPUNKAN ITU) MENGIKUT CARA YANG BAIK (DALAM MENUNTUT GANTI NYAWA), DAN (SI PEMBUNUH PULA) HENDAKLAH MENUNAIKAN BAYARAN GANTI NYAWA ITU) DENGAN SEBAIK-BAIKNYA. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH SUATU KERINGANAN DARI TUHAN KAMU SERTA SUATU RAHMAT KEMUDAHAN. SESUDAH ITU SESIAPA YANG MELAMPAUI BATAS (UNTUK MEMBALAS DENDAM PULA) MAKA BAGINYA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-BAQARAH 2:178)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa diwajibkan ke atas kamu {كُتِبَ} untuk menjalankan hukum Qisas (القصاص).
  2. Makna {كُتِبَ} ini adalah {فرض} difardhukan iaitu hukum yang wajib kamu laksanakan.
    Ini adalah kutiba {كُتِبَ} yang pertama kemudian akan ada banyak lagi.
  3. Maksud hukum qisas (القصاص) ialah hukum yang seimbang- balasan yang setara- jejak demi jejak, langkah demi langkah;
    i- Orang tu potong tangan orang, hukumannya potong tangannya juga, cungkil mata orang- cungkil matanya juga, cabut gigi orang- cabut giginya juga; begitulah seterusnya- hukuman adil yang seimbang & setara.

    ii- Bunuh balas : Nyawa dengan nyawa, bunuh dengan bunuh. Iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. (lelaki atau perempuan yang bunuh lelaki atau perempuan (silang jantina) sama saja).

    iii- Ataupun diyat (دية) membayar ganti rugi yang dipersetujui (pampasan).
  4. Yang dimaksudkan di sini ialah bunuh balas ke atas semua orang kecuali yang mereka dikecualikan oleh Syara’.
    Antaranya ialah ibu bapa ke atas (datuk/nenek-moyang) tidak boleh dibalas bunuh dengan sebab mereka bunuh anaknya berdasarkan kaedah Sunnah Nabi SAW, bahawa kita tidak boleh bunuh balik orang yang menjadi sebab kita wujud atas dunia ini.
    Merdeka bunuh hamba, juga tidak setaraf.
  5. Kata ulama’ tadabbur: Apabila Allah SWT menyeru: {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟}
    Wahai orang yang beriman; kita kena ambil perhatian bahawa di situ ada perintah hukuman yang Allah nak sampaikan atau larangan yang Allah mahu tetapkan! Hanya orang beriman saja yang akan dengar arahan Allah ini.
  6. Tetapi Allah pesan juga agar jangan melampaui batas dalam membalas ini- balasan sekadar perbuatan jenayah yang dilakukan & ke atas pelaku itu saja.
    Tidak boleh bunuh selain orang yang melakukan jenayah itu seperti pergi serang kabilah atau ketuanya, ibu bapanya atau anaknya, kaumnya atau sesiapa saja yang ada kaitan dengannya itu satu kezaliman!
  7. Undang-undang jenayah pembunuhan sebelum Islam ada pelbagai & berbeza:
    i- Dalam undang-undang yahudi ada hukum qisas.

    ii- Manakala dalam undang-undang nasrani ada hukum diyat.
    Maka Islam datang dan menggabungkan kedua hukum ini.

    iii- Orang Arab pula menggunakan hukum balas dendam, jika salah seorang dari kabilah mereka dibunuh mereka akan pergi serang balas dan bunuh siapa saja yang mereka dapati daripada kabilah pembunuh tersebut, sedikit atau ramai tak kira!
    Islam datang dan menghapuskan kezaliman ini- bunuh balas hanya boleh dijatuhkan ke atas pembunuh itu saja; bukan ke atas orang lain walaupun pewarisnya!
  8. Allah juga nyatakan jika si pewaris mangsa dibunuh mahu memberi keampunan kepada si pembunuh maka hukuman qisas tidak boleh dijalankan, walaupun hanya salah seorang daripada ramai-ramai pewaris itu.
    Ini kerana nyawa tidak boleh dibahagi-bahagikan.
  9. Kuasa untuk memaafkan pembunuh itu hanya ada di tangan keluarga terdekat (wali/pewaris) seperti bapa, anak kandung dan seumpamanya yang tertentu.
    Hak pewaris untuk memaafkan, pemerintah/kerajaan pun tidak boleh paksa atau larang dari dijalankan hukuman itu.
  10. Banyak kisah benar tentang pengampunan ini berlaku dalam dunia Islam.
    Ada pewaris yang pada saat akhir, tiba-tiba terbuka hatinya untuk memaafkan si pembunuh.
    Hukuman pancung ini biasanya dilaksanan dikhalayak ramai untuk disaksikan oleh kaum muslimin yang ada untuk menjadi pengajaran.
    Terutamannya di negara Arab Saudi yang mengisytiharkan bahawa Dustur (Perlembagaan undang-undang) mereka adalah berdasarkan Al-Quran & Sunnah.
  11. Hukum bunuh itu digugurkan & boleh ditukar kepada:
    i- Diyat (دية) iaitu membayar tebusan berdasarkan jenis pembunuhan yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Ambil setakat yang Syara’ tetapkan. Jangan lebih-lebih pula. (العفو الى البدل) Diyat ini besar biasanya 100 ekor unta yang cukup syarat tertentu.

    ii- Sama ada ampunkan terus tanpa apa-apa bayaran. Bergantung kepada persetujuan pewaris. (العفو مطلقا)
  12. Ada juga undang-undang minta damai (sulh) keluarga pembunuh minta kepada pewaris si mati agar memberi kemaafan kepada anak mereka itu dan sanggup membayar pampasan yang dipersetujui.
  13. Indahnya Syari’ah Islam dan begitu mudah, agama yang adil penuh dengan kemaafan & pengampunan.
  14. Inilah satu keringanan yang Allah beri untuk umat ini dan kemaafan untuk hamba-Nya. Apabila pewaris memaafkan gugurlah hukuman qisas dan dibayar diyat yang tidak melampaui dari apa yang Allah tetapkan.
  15. Kemudian Allah SWT pesan jangan sesiapa melampaui batas dalam hukum qisas ini selepas dimaafkan.
    Iaitu sama ada:
    i- Orang yang memaafkan tadi menyesal lalu pergi bunuh pula atau buat khianat terhadap penjenayah itu atau;

    ii- Pembunuh yang dimaafkan itu tidak menyesal & insaf selepas dibebaskan- buat jenayah & dosa lagi; atau cuai dalam bayar diyat yang dijanjikan!
  16. Maka bagi mereka yang begini akan dikenakan hukuman pula jika terbukti bersalah dan di akhirat kelak azab yang pedih menanti mereka!
    Jika sudah dimaafkan kedua-duanya kena bersikap baik-
    i- Yang memafkan kena berlapang dada terus selamanya, tiada lagi perasaan dendam dan;

    ii- Yang dimaafkan hendaklah bersyukur atas nyawanya, insaf bertaubat kepada Allah dari dosanya dan menjadi orang yang baik.

AYAT 179- {DAN DI DALAM HUKUMAN QISAS ITU ADA JAMINAN HIDUP BAGI KAMU, WAHAI ORANG-ORANG YANG BERAKAL FIKIRAN, SUPAYA KAMU BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:179)

  1. Ayat ini menyatakan hikmah qisas. Kenapa Allah SWT syari’ahkan hukuman yang berat ini? Tidak adakah Rahmah dalam kes ini?
  2. orang yang tadabbur Al-Quran akan nampak hikmanya. Ini kerana dalam Qisas terdapat jaminan hidup atau nyawa seorang manusia. Apakah makna {حَيَوٰةٌۭ} jaminan hidup ini?
    Seseorang tidak akan berani untuk membunuh orang lain dengan mudah dan sewenang-wenangnya kerana tahu ia akan dibunuh balik! Dengan adanya qisas ia telah menyelamatkan nyawa orang yang mahu dibunuh juga menyelamatkan nyawa si pembunuh itu daripada di hukum bunuh pula.
  3. Pada zaman jahiliyah dulu orang Arab dengan senangnya bunuh-bunuh antara satu qabilah dengan qabilah yang lain. Seorang kena bunuh satu qabilah kena serang maka ramailah yang mati terbunuh! Islam datang menyekat semua ini, hanya pembunuh itu yang dikenakan hukum bunuh, bukan orang lain walaupun anak atau bapanya, apatah lagi dari qabilahnya!
  4. Inilah rahsia & hikmah Allah letakkan Qisas ini pada tempatnya yang begitu besar & penting iaitu dalam kes pembunuhan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 178 – {Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang)}-

    Ulama’ tafsir nyatakan ayat ini menunjukkan dalil bahawa hanya orang yang kuat imannya yang dapat menjalankan hukum Qisas dalam negara kita ini.
    Maka negara yang yang tidak mahu atau tidak dapat menjalankan undang-undang Allah maka ia adalah negara yang lemah & masih lagi jauh dari menjalankan hukum Allah SWT.
    Kenapa begitu? Kerana ayat ini ditujukan kepada orang yang beriman!
    Jika kamu beriman buatlah hukum ini, jika kamu orang yang beriman kamu akan dengar kata; kerana orang yang tidak beriman tidak akan dengar kata!
    Ini yang menjadi masalah kepada kita hari ini. Dalam dunia hari ini, kita ada 50 lebih negara yang menjadi angota OIC (PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM atau OIC (Organisation Of Islamic Cooperation) tetapi setakat ini hanya negara Arab Saudi sahaja satu-satunnya negara yang menjalankan hukum hudud Allah.
    Apa yang berlaku dalam waktu terdekat ini kita berdoa semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada semua.
  2. Kita telah sebut tadi bahawa dalam agama yahudi ada qisas, dalam nasrani ada diyat- maka datangnya Syari’ah Islam, Syari’ah Nabi Muhammad SAW mengumpulkan dua hukum ini!

    Maka pilihannya di tangan wali mangsa bunuh, sama ada nak qisas (bunuh balas), diyat (bayar pampasan) atau pengampunan penuh, maaf terus!
    Fakta:
    i- Waktu qisas : Walaupun hanya salah seorang wali daripada ramai-ramai yang memaafkan; gugur terus hukumnya.

    ii- Waktu diyat : Gugur mengikut saham wali masing-masing, sama ada yang nak maaf atau yang nak tuntut diyat.

    Dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menggalakkan orang yang beriman untuk mengampun dan memaafkan orang yang bersalah:
    i- {Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.} (Al-Baqarah 2:237)

    ii- {Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).} (Al-Israa’ 17:33)

    iii- Ayat yang kita baca hari ini { Ayat 178 }.

    Dalam Islam jenayah bunuh ada 3 kategori:
    i- Bunuh dengan sengaja (القتل العمد) hukumannya qisas & diyat yang berat.

    ii- Bunuh dengan separuh sengaja (القتل شبه العمد) hukumannya ada diyat yang berat.

    iii- Bunuh dengan tersalah (القتل الخطأ) tiada niat nak bunuh. Boleh tengok Kuliah AAM dalam siri Kitab Fiqh Manhaji Bab jenayah.
  3. Ayat 178 – { Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh),}-

    Allah SWT sebut sesiapa yang mendapat pengampunan dari saudaranya { مِنْ أَخِيهِ}.
    Ini menunjukkan bahawa dia (si pembunuh) masih dikira orang Islam lagi.
    Kata ulama’: Dalam Islam, mengikut pandangan ahli Sunnah wal Jama’ah; orang yang melakukan jenayah dan dosa besar tidak akan terkeluar dari Islam, tidak kafir lagi kecuali dia menghalalkan perbuatan dosanya itu, sama ada pembunuhan atau apa saja. Allah tidak panggilnya kafir lagi, masih memanggilnya sebagai saudara kepada orang Islam lain lagi. Ini kerana jika sudah terkeluar dari iman & menjadi kafir Allah tidak akan panggil saudara lagi!
  4. Ayat 178 – {Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.}-

    Siapa (pembunuh) yang dimaafkan oleh pewaris, maka dia hendaklah insaf & berbuat baik kepada orang yang melepaskannya.
    Walaupun hanya seorang yang memaafkannya maka dia terlepas dari hukum bunuh itu.
    Maka si pembunuh itu kena jujur & bersyukur kepada Allah, berterima kasih kepada pewaris yang memaafkannya & tunaikan hutang diyat yang telah dipersetujui.
    Jadilah manusia yang bersyukur dan ubahlah kehidupan kepada yang lebih baik.
    Jangan jadi seperti anjing yang tersepit, apabila orang tolong lepaskan ia gigit pula tangan orang itu!
    Begitu juga perangai orang lari dari hutang, jika tak mampu bayar lagi beritahu & bincang baik-baik!
    Bukan mengelak melarikan diri apatah lagi jika telah mampu sebenarnya!
  5. Ayat 179- {Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.}- wahai orang yang ada akal, orang yang cerdik yang boleh berfikir {اولي الألباب}-

    Kamu kena perhati & ambil iktibar dari hikmah hukum qisas yang Allah Syari’atkan ini!
    Ini kerana dengan undang-undang ini, nyawa & kehidupan manusia terjamin, orang akan berhati-hati & beringat, tidak berani dan takut untuk membunuh & melakukan jenayah sesuka hati kerana hukuman yang berat menanti. Walaupun hukuman nampak keras tetapi ia adalah pencegahan dari Allah SWT. Jika tidak masing-masing akan tunjuk gedebey (berani), pembunuhan akan berlaku sana sini seperti zaman sebelum Islam. Dunia tidak akan aman dan menakutkan.

    Hikmah undang-undang Islam ada tiga:
    i- Pencegahan (زواجر) zawajir- ini yang utama sekali. (نكالا من الله) pencegahan dari Allah- orang jadi takut nak buat jenayah kerana hukumannya keras.

    ii- Menghapuskan kesalahan (جوابر) jawabir- apabila dijalankan hudud- Allah ampunkan dosanya sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

    iii- Mencari keamanan bagi manusia yang hidup atas dunia ini kerana ada jaminan dari Allah SWT, kita rasa aman kerana undang-undang melindungi kita.

    Perbezaan antara undang-undang Syari’ah dengan undang-undang civil ciptaan manusia sangat ketara:
    i- Walaupun mungkin ada undang-undang civil yang lebih keras dan berat hukumannya dari undang-undang Syari’ah tetapi ia tidak ada roh & pencegahan dari Allah (نكالا من الله) kerana yang rekanya orang kafir!

    ii- Sesiapa yang buat dosa, lalu dikenakan hukuman hudud- dosanya terhapus secara automatik dan dia tidak kena azab lagi di akhirat.
    Tetapi yang buat dosa tetapi tak kena hukuman hudud walaupun dihukum dengan undang-undang lain, dosanya tidak terhapus secara automatik- ini terserah kepada kuasa & rahmat Allah di akhirat nanti.

    Hadis riwayat Ubadah bin Somit r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَايَعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَهْطٍ فَقَالَ أُبَايِعُكُمْ عَلَى أَنْ لَا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا تَسْرِقُوا وَلَا تَزْنُوا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ وَلَا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ وَلَا تَعْصُونِي فِي مَعْرُوفٍ فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَأُخِذَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَطَهُورٌ وَمَنْ سَتَرَهُ اللَّهُ فَذَلِكَ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُ
    “….. dan sesiapa pula yang melakukan dosa-dosa itu, lalu dia dihukum di dunia ini, maka hukuman itu adalah kaffarah (penghapus) baginya dan juga pembersih. Dan sesiapa pula yang dilindungi rahsianya oleh Allah (tidak dihukum kerana melakukan kesalahan-kesalahan itu), maka hukumannya itu nanti diserahkan kepada Allah kelak (di hari akhirat), kalau Allah mengkehendaki, Allah boleh sahaja mengazab pesalah itu ataupun mengampunkannya.” [HR Bukhari & Muslim].

    Boleh lihat buku Keindahan Islam untuk melihat hikmah di sebalik Syari’ah Allah SWT: https://dartaibah.com/?page_id=179…

Semoga Bermanfaat buat semua. Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Fatihah & Al-Baqarah (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Contoh perlaksanaan Hukum Qisas Di Makkah, Arab Saudi sekarang. Baca : https://www.al-madina.com/…/%D8%AA%D9%86%D9%81%D9%8A%D8…

Powered by BetterDocs