BANI ISRAIL DIINGATKAN NIKMAT ALLAH, DATUK-NENEK MEREKA SELAMAT DARI FIRAUN & PERISTIWA 40 MALAM MUSA MUNAJAT.
Full video : https://youtu.be/d6xfA90bvM4?si=eJCYR-WSYnKd5KwM
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat {47 sehingga 52} bagi surah Al-Baqarah. Surah Al-Baqarah adalah surah yang kedua dalam juz yang pertama.
- Dalam siri ini Allah SWT ungkit & ingatkan bani Israil akan nikmat Allah yang banyak & besar kepada mereka. Dalam ayat seterusnya Allah SWT akan sebut 10 nikmat besar yang diberikan kepada mereka.
- Satu masalah juga apabila kita lupa kepada Pemberi nikmat yang hakiki (المنعم) iaitu Allah Azza wa Jalla. Kita hanya nampak manusia yang menyampaikan itu sahaja!
Tetapi dalam masa yang sama kita juga kena berterima-kasih kepada manusia yang menyampaikan nikmat itu jangan pula mengenepikan terus budi & jasanya pula!
Adab & kenang jasa budaya mulia.
- Allah juga ingatkan bagaimana datuk nenek mereka dulu selamat dari penindasan & perhambaan Firaun dengan nikmat Allah.
- Allah SWT juga sebut tentang peristiwa Nabi Musa bermunajat di bukit Tursina selama 40 malam.
Pada ketika ini bani Israil yang ditinggalkan buat onar & kerenah buruk dengan menyembah patung anak lembu.
- Antara nikmat Allah ke atas mereka juga, Allah ampunkan sekali lagi kesalahan mereka ini apabila mereka insaf & bertaubat!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 47- {WAHAI BANI ISRAIL! KENANGKANLAH NIKMAT-NIKMATKU YANG AKU TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, DAN (INGATLAH) BAHAWASANYA AKU TELAH MELEBIHKAN (NENEK-MOYANG) KAMU (YANG TAAT DAHULU) ATAS ORANG-ORANG (YANG ADA PADA ZAMANNYA). } (AL-BAQARAH 2:47)
- Ayat ini percakapannya (Khitab) yang Allah tujukan kepada bani Israil- iaitu anak cucu Nabi Ya’kub.
Kerana Allah akan sebut 10 nikmat yang diberikan kepada mereka!
- Sebelum itu Allah SWT seru mereka dulu; wahai bani Israil, wahai anak cucu Ya’kub: Datuk nenek kamu dulu (Ibrahim) adalah keturunan yang baik-baik, sangat ikhlas beriman kepada Allah SWT.
Hendaklah kamu menjadi seperti ayah, datuk & moyang kamu.
- Ingatlah akan nikmat yang Allah SWT telah beri kepada kamu & keturunan kamu.
Bukan ingat saja tetapi jadilah orang yang beriman & taat kepada Allah dengan menganut agama & taat kepada Rasul yang ada sekarang ini!
- Antara limpah kurnia Allah kepada bani israil ialah:
i- Datuk nenek mereka ialah ramai dari kalangan nabi-nabi & rasul datang dari kaum bani Israil. Ada yang Allah sebut dalam Al-Quran ada yang tidak disebut.
Jika tidak Al-Quran tidak akan jadi 30 juzu’ mungkin beratus juzuk.
- Mereka juga dikurniakan kita iaitu kitab Taurat & Injil.
Nabi-nabi mereka diutuskan kepada kaum mereka pada zaman itu yakni lokal bukan global seperti Rasulullah SAW.
Mereka adalah nabi atau orang alim yang terbaik pada zaman mereka itu!
- Mereka juga dikurniakan kerajaan yang besar iaitu pada zaman Nabi Daud & anaknya nabi Sulaiman AS, mereka adalah rasul & raja pemerintah Kerajaan yang agung.
Tiada yang dapat mengatasi Kerajaan mereka dalam seluruh alam pada masa itu!
- Firman Allah SWT juga:
i- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu).} (Ad-Dukhaan 44:32)
ii- Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.} (Al-Maaidah 5:20)
AYAT 48- {DAN PELIHARALAH DIRI KAMU DARI (AZAB SENGSARA) HARI (AKHIRAT), YANG PADANYA SESEORANG TIDAK DAPAT MELEPASKAN ORANG LAIN (YANG BERDOSA) SEDIKITPUN (DARI BALASAN AZAB), DAN TIDAK DITERIMA SYAFAAT DARIPADANYA, DAN TIDAK PULA DIAMBIL DARIPADANYA SEBARANG TEBUSAN; DAN MEREKA (YANG BERSALAH ITU) TIDAK AKAN DIBERI SEBARANG PERTOLONGAN.} (AL-BAQARAH 2:48)
- Munasabah ayat:
i- Setelah ingatkan bani Israil akan nikmat ke atas mereka yang banyak, lalu Allah bawa pula amaran jika mereka masih degil keras kepala menolak kebenaran ini.
ii- Lalu Allah perintahkan mereka untuk beriktiqad beriman kepada Allah, jauhi syirik, buat amalan yang dapat menyekat mereka daripada azab Allah pada hari Kiamat.
Hari dimana tiada orang yang boleh menolong orang lain, walaupun ibu bapa dengan anak-anak.
Manusia berjalan tidak berbaju & tidak berselipar mencari siapa yang dapat membantu mereka! Tiada siapa dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada orang lain pada masa itu!
- Firman Allah SWT juga:
i- {Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.} (Al-Muddaththir 74:48)
ii- {Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan, Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.} (Asy-Syu’araa’ 26: 100-101)
- Tetapi orang yang beriman dapat memberi & menerima syafaat dengan izin Allah SWT.
Firman Allah SWT:
{(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.} (An-Najm 53:26)
Kerana itulah kata Al-Hasan Al-Basri RHM. : Wahai orang yang beriman carilah teman yang baik-baik. Bersahabatlah dengan orang alim, orang yang soleh & bertaqwa yang dapat menolong kita ke arah kebaikan di dunia & memberi syafaat pertolongan di akhirat kelak!
- Tidak ada tebusan pada hari itu, yakni nak tebus atau tukar dengan orang lain untuk menggantikannya juga tidak dapat.
Firman Allah juga:
i- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.} (A-li’Imraan 3:91)
ii- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Maaidah 5:36)
iii- {“Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!”} (Al-Hadid 57:15)
- Allah nyatakan juga bahawa mereka yang bersalah itu tidak akan diberi sebarang pertolongan sebagaimana firman-Nya:
i- {Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).] (At-Taariq 86:10)
ii- {“Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu?”
(Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili)} (As-Saaffaat 37: 25-26)
iii- {Maka sepatutnya mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.] (Al-Ahqaaf 46:28)
AYAT 49- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI SELAMATKAN KAMU DARI FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA, YANG SENTIASA MENYEKSA KAMU DENGAN SEKSA YANG SEBURUK-BURUKNYA; MEREKA MENYEMBELIH ANAK-ANAK LELAKI KAMU DAN MEMBIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN KAMU; SEDANG KEJADIAN YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI BALA BENCANA DAN CUBAAN YANG BESAR DARI TUHAN KAMU.} (AL-BAQARAH 2:49)
- Bermula ayat ini adalah nikmat pertama yang Allah beri kepada bani Israil.
Allah ungit: Dan ingatlah {وَإِذْ}.
- Iaitu nikmat pertama:Allah selamatkan mereka dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa bani Israil dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki dan membiarkan hidup anak-anak perempuan bani Israil. Inilah bala bencana yang amat besar!
- Firaun ini ialah gelaran bagi raja yang memerintah Mesir pada waktu itu.
Sebagaimana beberapa gelaran bagi maharaja-maharaja keraajan pada zaman dulu: Qaisar- Raja Rum, Kisra- Raja Parsi, Tubba’- Raja Yaman, Najjasyi- Raja Habsyah, Kaghan- Turki, Batlimos- raja Hindi dan lain-lain.
- Allah SWT mahu memalukan Firaun yang takut akan kebangkitan bani Israil dengan membunuh semua anak lelaki bani Israil, mengaku jadi Tuhan lagi; tertutup mata & akalnya dengan mengambil nabi Musa semasa bayi sebagai anak angkatnya!
Sedangkan Musalah yang akan menjadi penentang & menjatuhkan kerajaannya! Sepatutnya dia camlah Musa sebagai budak yang aneh & ajaib.
AYAT 50- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BELAHKAN LAUT (MERAH) UNTUK KAMU LALUI (KERANA MELARIKAN DIRI DARI ANGKARA FIRAUN), MAKA KAMI SELAMATKAN KAMU DAN KAMI TENGGELAMKAN FIRAUN BERSAMA-SAMA TENTERANYA, SEDANG KAMU SEMUA MENYAKSIKANNYA.} (AL-BAQARAH 2:50)
- Juga ingatlah! Nikmat yang kedua ialah Allah buka/keringkan khas laut Merah untuk Musa dan kaumnya melintas & menyelamatkan diri dari Firaun!
Lalu apa yang berlaku kepada Firaun dan bala tenteranya ketika mereka mengejar Nabi Musa AS dan pengikutnya.
Inilah bumi yang hanya sekali disentuh cahaya matahari. Perut Laut Merah atau namanya dulu, Laut Qalzum!
- Dengan kuasa Allah SWT, Laut Merah terbelah dua dengan pukulan tongkat Nabi Musa AS.
Dengan izin Allah SWT jua, Nabi Musa AS dan kaumnya dapat menyeberangi Laut Merah dengan selamat.
Tetapi, apabila Firaun & bala tentera cuba ikut juga; ia menjadi kubur besar kepada Firaun dan bala tenteranya yang angkuh dan sombong itu.
- Demikianlah yang Allah SWT lakukan untuk menghukum kaum yang zalim angkuh sombong seperti Firaun yang mengaku Tuhan dan berbangga mengaku sungai-sungai yang mengalir di Mesir adalah di bawah kuasanya!
- Mereka ini tenggelam & binasa sedangkan Nabi Musa & kaum bani Israil melihatnya!
- Kisah penuhnya ada dalam surah Asy-Syu’ara’- ayat 60- 66: {Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit.
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”.
Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”. Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.} (Asy-Syu’araa’ 26: 60-67)
- Kemudian Allah SWT hantar mayat Firaun ke pantai supaya:
i- Para pengikut & pentaksubnya tahu bahawa Firaun telah benar-benar mati.
ii- Orang yang selepas boleh ambil pengajaran bahawa orang yang berkuasa, sombong, angkuh, takabbur & keras kepala pun akan mati juga!
- Semua kezaliman atas dunia ini akan hilang, tetapi kejahatan & kezalimannya itu akan dikenang dikutuk selamanya!
AYAT 51- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BERJANJI KEPADA NABI MUSA (UNTUK MEMBERI TAURAT KEPADANYA SESUDAH IA BERSIAP SELAMA) EMPAT PULUH MALAM. KEMUDIAN, SETELAH IA PERGI, KAMU MENYEMBAH (PATUNG) ANAK LEMBU, DAN KAMU SEBENARNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM (TERHADAP DIRI SENDIRI).} (AL-BAQARAH 2:51)
- Allah SWT telah berjanji untuk memberi kepada nabi Musa AS kitab Taurat selepas dia bermunajat selama 40 malam. Lalu Nabi Musa pun pergi selepas membuat persiapan.
- Urusan bani Israil diserahkan kepada saudaranya nabi Harun AS, yang lebih lembut dari Musa AS. kerana itu apabila mereka dihasut oleh Musa As-Samiriy, mereka tidak takut & tidak dengar nasihat larangannya.
Kisahnya sepeninggalan nabi Musa itu Samiriy mengukir patung lembu yang dapat mengeluarkan suara seolah berbisik & mengangkatnya sebagai Tuhan, sebahagian bani Israil percaya dan menerima patung tersebut sebagai Tuhan.
- Nabi Musa dapat maklumat semasa di Tursina lagi bahawa nabi Israil telah menyembah lembu tetapi Musa kena bersabar kerana belum boleh balik lagi!
- Selepas cukup tempoh 40 hari, Musa kembalil kepada kaumnya dan apabila melihat sendiri perbuatan syirik mereka itu Musa amat marah sehingga tercampak Lauhah (ayat-ayat) yang diterimanya di Tursina.
Lalu dinasihati mereka untuk bertaubat dan dicampak buang patung lembu itu!
- Kerana itu kata ulama’: Sesuatu perkara itu tak sama antara tengok sendiri dengan hanya mendengar dari orang!
AYAT 52- {KEMUDIAN SESUDAH ITU KAMI MAAFKAN KESALAHAN KAMU, SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-BAQARAH 2:52)
- Lalu Allah SWT maafkan bani Israil & menerima taubat mereka!
Inilah nikmat Allah yang ketiga kepada bani Israil! Walaupun mereka bersalah tetapi Allah qabulkan taubatnya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 47- {Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu,}-
Wahai bani Israil ingat & syukur akan semua nikmat yang Allah berikan kepada kamu!
Kata ulama‘ : Semua nikmat ini kita kena sandarkan kepada Allah SWT kerana Dia-lah yang memberi segala nikmat itu kepada kita.
Nikmat itu datang dari Allah bukan datang dengan sendiri atau dengan sebab hasil usaha susah payah mereka atau pusaka dari tok nenek mereka!
Semua itu adalah nikmat yang Allah beri kepada kamu {أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ}.
Mana tak nikmat, Firaun kejar, laut terbelah!
Kita hari ini pun jika bukan kerana dengan nikmat Allah, nikmat iman, nikmat Islam, nikmat kefahaman, tak tau di mana kita akan berada sekarang!
- Ayat 49- {yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;}-
Seburuk-buruk azab itu ialah mereka menyembelih anak-anak kamu.
Dalam ayat surah Al-Baqarah ini antara {seksa yang seburuk-buruknya;}- {سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ} & {mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu} {يُذَبِّحُونَ أَبْنَآءَكُمْ} tidak ada kata hubung {dan- وَ ).
Tetapi dalam surah Ibrahim ini pula ada kata hubung {dan- وَ ): {Yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;} (Ibrahim 14:6)
Jawapan:
i- Dalam surah Al-Baqarah Allah SWT mahu menyatakan jenis azab; mereka menyiksa kamu dengan menyembelih anak-anak lelaki kamu.
ii- Dalam surah Ibrahim, Allah mahu menyebut tentang nikmat maka kerana itu ada huruf { وَ } dengan makna dan.
Inilah ilmu latoif (keindahan) Al-Quran, kita akan asyik dan tenggelam di dalamnya.
- Ayat 50- {Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.}-
Allah SWT tenggelamkan semua keluarga Firaun {ءَالَ فِرْعَوْنَ} bersama dengan dia sendirilah.
Apabila disebut keluarga {ءَال} maka termasuk semualah, si fulan itu, anak cucu dan semua keturunannya!
Allah juga kata {Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.}- Ini juga sebagai satu nikmat & kemenangan bagi satu kaum apabila melihat kebinasaan & ketewasan musuhnya!
Kerana itu orang sekarang suka drama Tanah Kubur, apabila orang jahat mati, terus akan nampak siksa, ular, ulat busuk menunggu terus dikubur apabila nak kebumikan!
Ini semua adalah khurafat kerana Allah sembunyikan rahsia alam barzakh itu.
Allah juga binasakan Firaun dengan keangkuhannya sendiri, dia bangga dengan sungai-sungai yang mengalir di Mesir yang dikatakan dengan kuasanya, maka Allah tenggelamkan dia di dalam air juga (laut).
Begitu juga kaum-kaum dulu yang lain:
i- Kaum Nabi Nuh AS, dengan banjir yang besar. Air bah itu menenggelamkan banyak orang yang ingkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh.
ii- Kaum nabi Hud iaitu kaum ‘Ad yang terkenal dengan binaan yang tinggi & besar. Allah hantar angin yang dahsyat disertai dengan bunyi letusan suara yang dahsyat.
Semua itu menggelegar runtuh hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa.
iii- Kaum Thamud, kaum Nabi Soleh AS yang membina rumah dengan memahat bukit, Allah hantar suara yang amat keras sehingga memecahkan telinga & otak.
iv- Kaum Nabi Luth terkenal dengan perbuatan menyimpang, iaitu hubungan sesama jenis (homoseksual dan lesbian)- Allah menghantar azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu dan akhirnya dibalikkan bumi tempat mereka itu.
Itulah balasan yang sesuai; songsang & terbalik.
Begitulah sesiapa yang sombong dengan sesuatu benda atas dunia ini; akan diazab dengan perkara itu!
- Ayat 51- {Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam.}-
Nabi Musa AS pergi bermunajat kepada Allah selama 40 malam di bukit Tursina sebagai persediaan untuk menerima kitab Taurat.
i- Allah sebut 40 malam dalam ayat ini; maka apakah kita kena bermunajat, bertapa selama 40 malam juga seperti nabi Musa AS itu?
Jawapannya: Tidak, tidak ada dalam Sunnah Rasulullah SAW untuk bermunajat atau beriktikaf selama itu.
Yang paling lama Rasulullah SAW buat adalah iktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Masih ada orang sekarang yang pergi bertapa dalam gua, dalam hutan seorang diri, sehingga meninggalkan solat jemaah & solat Jumaat.
Ini adalah perbuatan yang karut & tidak ada nas dari Rasulullah SAW.
ii- Allah sebut 40 malam: yakni 40 hari juga. Disebut malam kerana dalam sudut Sejarah, dalam kalendar Islam satu-satu hari itu dikira bermula dari malam iaitu selepas tenggelamnya matahari pada waktu (maghrib).
Kecuali waktu Haji, di mana hari Arafah bermula pada tengahari zohor hari ke-9 dan berakhir pada subuh hari 10 Zul-Hijjah.
- Ayat 52- {Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.}-
Allah kata Dia akan maafkan mereka jika mereka insaf & bertaubat, semoga mereka akan bersyukur dengan nikmat itu!
Bani Israil ini amat banyak sekali dosa & karenahnya, syirik, sembah lembu, dan bermacam karenah mereka; tetapi Allah SWT tetap akan menerima taubat & maafkan mereka jika mereka bertaubat & menyesal sungguh-sungguh atas kesalahan itu.
Begitu besar rahmat & luasnya limpah kurnia Allah SWT, besar mana dosa pun, Allah akan ampunkan jika kamu benar-benar insaf & bertaubat!
Mudah-mudahan pula kita akan menjadi orang yang bersyukur.