SURAH AL-FATH : AYAT 1-3

\"\"

ALLAH NYATAKAN KEPADA NABI S.A.W PEMBUKAAN HUDAIBIYAH & 4 KELEBIHAN YANG DIANUGERAHKAN KEPADA NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/lqTz-FBdOSc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan ditujukan ayat ini kepada Rasulullah s.a.w bahawa Allah akan beri kemenangan dengan Pembukaan kota Makkah setelah berlakunya Perjanjian Hudaibiyah.
  2. Allah s.w.t juga anugerahkan dalam 3 ayat awal surah ini perkara khas kepada Rasulullah s.a.w, secara umumnya 5 perkara iaitu Pembukaan Yang Nyata serta 4 lagi selepasnya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMBUKA BAGI PERJUANGANMU (WAHAI MUHAMMAD) SATU JALAN KEMENANGAN YANG JELAS NYATA,} (AL-FATH 48:1)

  1. Allah nyatakan kepada Rasulullah s.a.w bahawa dia akan diberikan satu kemenangan yang jelas nyata.
  2. Yakni kemenangan yang disebabkan ekoran dari Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum musyrikin Makkah.
    Perjanjian ini akhirnya membawa kemenangan yang besar sehingga Baginda berjaya menguasai Makkah dan menegakkan Islam di Tanah Haram itu!
  3. Terdapat pula beberapa pandangan tentang bilakah bermulanya pembukaan ini { فَتْحًا مُبِينًا }, apakah dengan Perjanjian Hudaibiyah atau dengan Pembukaan Kota Makkah itu sendiri?
  4. Kata az-Zajjaj; Banyak datang dalam alam tafsir, ramai ulama\’ mufassirin yang mengatakan ianya bermula dari Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada bulan Zul-Qa\’dah, tahun ke-6H.
  5. Makna al-Fath (الفتح):
    i- dari segi bahasa ialah; membuka sesuatu yang tertutup.

ii- satu lagi pembukaan juga, dengan makna (الصلح) perjanjian damai yang terhasil antara Rasulullah s.a.w dan pihak musyrikin di Makkah di Hudaibiyah. Asalnya Makkah tertutup, tidak ada jalan untuk dimasuki sehingga Allah s.w.t membukanya.

  1. Kata Jabir bin Abdullah r.a: Kami kira perjalanan fathu Kota Makkah itu bermula dengan perjanjian di Hudaibiyah.
  2. Kata az-Zuhri rhm.: Tidak ada pembukaan yang lebih besar selain daripada Perjanjian Damai Hudaibiyah kerana kaum muslimin bercampur gaul dengan kaum musyrikin pada hari itu, mereka mendengar apa yang diucapkan dan kelakuan orang muslimin yang membaca al-Quran dan lain-lain. Kesannya ada yang masuk ke dalam hati mereka dan selama dalam tempoh 3 tahun itu begitu ramai sekali golongan musyrikin yang memeluk Islam.

Ini adalah pandangan pertama mengatakan Pembukaan itu bermula dengan Perjanjian Damai Hudaibiyah.

  1. Manakala pandangan kedua ia adalah Pembukaan Kota Makkah yang berlaku dua tahun selepas itu.
  2. Antara isi perjanjian itu kaum muslimin tidak dibenarkan masuk ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada tahun itu walaupun mereka sudah memakai ihram. Lain-lain kandungan perjanjian boleh dibaca dalam buku Makkah seperti yang dinyatakan tadi.
  3. Ianya seolah berat sebelah sehingga menimbulkan kemarahan dan ketidakpuashati Sayyidina Umar al-Khattab kerana seolah tidak adil bagi pihak muslimin.
    Sedangkan ianya membawa hikmah dan strategi yang amat besar untuk dakwah dan perkembangan agama Islam.
  4. Kata Ibnu Asyur rhm., sebahagian ulama\’ tafsir mengatakan pembukaan ini adalah Pembukaan Makkah kerana maknanya (إِنَّا فَتَحْنَا) adalah: Kami akan buka, tetapi Perjanjian Damai Hudaibiyah termasuk juga sebagai muqaddimah.
  5. Yakni ia bermula dengan Perjanjian Damai Hudaibiyah yang sepatutnya selama 10 tahun tetapi kerana Quraisy khianat dengan perjanjian ini hanya selepas 2 tahun maka Rasulullah s.a.w menggunakan peluang ini menawan Makkah.
  6. Hadis:
    Al-Hakim dan yang lainnya meriwayatkan dari Miswar bin Makhramah dan Marwan bin Hakam yang berkata, \”Surah al-Fath, dari awal hingga akhir, turun dalam perjalanan Nabi s.a.w antara Makkah dan Madinah. Turunnya berkenaan dengan peristiwa di Hudaibiyah.\” (487)
  7. Dari Anas bin Malik r.a: \”Adalah ayat ini turun { إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا } sehingga ke ayat 5, ketika Rasulullah s.a.w kembali dari perjanjian Hudaibiyah untuk balik ke Madinah setelah disekat oleh kaum Quraisy dari memasuki Makkah.\”

Rasulullah s.a.w kemudian memanggil Sayyidina Umar r.a dan bersabda: \”Telah diturunkan satu surah kepadaku, sunguh ia lebih aku suka melebihi apa yang disinari matahari.\”[HR Muslim].

Ini kerana Sayyidina Umar kurang setuju pada awalnya dengan perjanjian yang nampak seolah berat sebelah kepada pihak Quraisy, sedangkan untuk jangka-masa panjang ia membawa kemenangan untuk Islam.

Ini adalah khabar gembira setelah Rasulullah s.a.w dalam keadaan sedih dan kecewa, terpaksa tunggu setahun lagi serta segala sembelihan terpaksa disembelih.

  1. Dari al-Bara\’ bin \’Azib r.a:
    تَعُدُّونَ أَنْتُمُ الْفَتْحَ فَتْحَ مَكَّةَ وَقَدْ كَانَ فَتْحُ مَكَّةَ فَتْحًا وَنَحْنُ نَعُدُّ الْفَتْحَ بَيْعَةَ الرُّضْوَانِ يَوْمَ الْحُدَيْبِيَةِ

Kamu kira pembukaan itu adalah Pembukaan Kota Makkah, memanglah Pembukaan Kota Makkah itu satu pembukaan, tetapi kami para sahabat menganggap pembukaan itu bermula dari ikat setia (بيعة الرضوان) Bai\’ah Ridhwan ketika hari kami di Hudaibiyah.\” [HR al-Bukhari (4150)]

AYAT 2- {KEMENANGAN YANG DENGAN SEBABNYA ALLAH MENGAMPUNKAN SALAH DAN SILAPMU YANG TELAH LALU DAN YANG TERKEMUDIAN, DAN MENYEMPURNAKAN NIKMATNYA KEPADAMU, SERTA MENAMBAHKANMU HIDAYAH KE JALAN YANG LURUS (DALAM MENGEMBANGKAN ISLAM DAN MELAKSANAKAN HUKUM-HUKUMNYA).} (AL-FATH 48:2)


A. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan beberapa kelebihan Rasulullah s.a.w:

1- Allah memberikan Pembukaan Kota Makkah untuk mengampunkan segala kesalahan Rasulullah s.a.w.

a. Hadis: UM Aisyah R.A, berkata: \”Nabi S.A.W menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, \’Mengapakah engkau melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah? \’Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?\” (HR Bukhari dan Muslim)

b. Berdasarkan hadis ini, kata al-Mawardi, ada 3 pandangan:
i- dosa yang lalu atau sebelumnya ialah dosa sebelum Pembukaan Kota Makkah dan selepasnya sehingga ke mati.

ii- dosa sebelum menjadi nabi dan dosa selepasnya.

iii- dosa yang sudah lepas dan dosa yang belum terjadi jika ada.
Ada juga yang mengatakan dosa sebelum turun ayat ni & selepas turun ayat ini.

c. Apa yang penting Allah s.w.t memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w sudah tidak ada dosa samada yang lalu atau yang akan datang, semuanya telah diampunkan. Inilah perbezaan Rasulullah s.a.w dengan para rasul dan anbiya\’ yang lain. Baginda sudah dimaklumkan oleh Allah s.w.t akan keistimewaannya ini, yang ma\’sum.

d. Untuk penjelasan masalah ini boleh tengok buku terjemahan Dr Abu Anas Madani:
http://www.dartaibah.com/

  1. Kelebihan yang kedua: Allah s.w.t menyempurnakan nikmat-Nya ke atas Rasulullah s.a.w di dunia & akhirat.

a- maksudnya ada beberapa pendapat:
i- nikmat sempurnanya kemenangan Rasulullah s.a.w mengalahkan musuhnya.

ii- Allah angkatkan sebutan nama Rasulullah s.a.w semasa di dunia lagi seperti di dalam azan, iqamat, tasyahud solat dan lain-lain.

iii- Allah s.w.t hapuskan kesalahan Rasulullah s.a.w di Akhirat kelak, tiada dosa.

iv- keredhaan Allah s.w.t terhadap Baginda s.a.w.

v- Allah lantiknya sebagai rasul, nabi dan penuh hikmah kebijaksanaan.

vi- dengan menzahirkan agama Islam mengatasi segala agama lain.

v- selain jawatan Nabi, Rasulullah s.a.w juga sebagai ketua negara Islam.

Iaitu Allah sempurnakan nikmat-Nya kepada Baginda s.a.w di dunia juga di Akhirat.

  1. Kelebihan yang ketiga: Allah s.w.t bimbing Rasulullah s.a.w kepada jalan lurus dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumannya.

i- Allah bagi bimbingan kepada jalan yang lurus, tiada yang bengkok. Islam yang dibawanya jelas, boleh menyampaikan kepada keredhaan Allah s.w.t & syurga-Nya.

ii- Kata ulama\’ tafsir: Allah s.w.t berikan hidayah kepada Nabi s.a.w dan memberi penjelasan yang luas dalam Syari\’ah, setipa masa Baginda mendapat wahyu, arahan dan perintah dari Allah s.w.t. Setiap perbuatan Rasulullah s.a.w duduk di bawah wahyu Allah s.w.t.

AYAT 3- {DAN DENGAN SEBABNYA ALLAH MEMBERIKANMU PERTOLONGAN (UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN) DENGAN SEPUNUH-PENUH DAN SEHANDAL-HANDAL PERTOLONGAN (YANG TIDAK ADA BANDINGANNYA).} (AL-FATH 48:3)

  1. Kelebihan yang keempat: Allah s.w.t juga beri pertolongan yang sepenuhnya, sehandal bantuan kepada Rasulullah s.a.w, untuk mengalahkan musuhnya dengan bantuan yang mantap & kuat, yang tiada tolak bandingnya!
  2. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Aku diberi pertolongan oleh Allah s.w.t dengan dijadikan perasaan takut dalam diri musuh.\” [HR Bukhari & Muslim].

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Tiga ayat yang kita tadabbur hari ini, kata ulama\’; Cuba kamu perhatikan, Allah s.w.t telah kumpulkan dalamnya lima perkara yang dianugerahkan kepada Rasulullah s.a.w:
    i- Pembukaan yang nyata.
    ii- keampunan bagi dosa yang lepas & kemudian.
    iii- hidayah bimbingan ke jalan yang diredhai-Nya.
    iv- Allah sempurnakan nikmat-Nya.
    v- Allah beri kemenangan yang cukup besar.

Timbul persoalan kenapa Allah s.w.t guna perkataan yang menunjukkan bahawa Pembukaan telah berlaku (فَتَحْنَا)?

Ini menunjukkan bahawa pandangan yang mengatakan ia bermula dari Perjanjian Hudaibiyah lagi adalah lebih tepat. Kerana Pembukaan Kota Makkah berlaku dua tahun selepas itu.

  1. Ayat 2- {Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian}- Apa kaitan kemenangan/buka Kota Makkah dengan Allah s.w.t beri keampunan kepada Rasulullah s.a.w?

Kata ulama\’; jawapannya:
i- Allah jadikan pengampunan itu sebagai balasan atas perjuangan Rasulullah s.a.w selama ini, Baginda telah menyempurnakan tugasnya dengan tabah & sabar. Bermula dari di Makkah & juga di Madinah.

ii- sesungguhnya dengan Pembukaan itu menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sentiasa bersyukur dengan anugerah Allah s.w.t maka Allah beri keampunan kepadanya yang lepas dan kemudian. Maka kita umatnya wajib sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t untuk mendapatkan pengampunan-Nya.

iii- menunjukkan kepada wajib iltizam atas perjuangan, maka sesiapa yang nak pengampunan kena istiqomah dan teguh atas perjuangannya.

  1. Ayat 2- {Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian,}- ini adalah ciri-ciri khas bagi keistimewaan Rasulullah s.a.w, tidak kepada nabi-nabi yang lain.
    Khas kemuliaan & kelebihan Rasulullah s.a.w. Tiada hadis-hadis sahih yang lain menyatakan sebaliknya.

Untuk keterangan lanjut boleh lihat:
http://www.dartaibah.com/…

  1. Ayat 2- {serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).}- yakni Allah beri hidayah selepas Baginda menjadi nabi & rasul.
    Ini untuk menambah & memantapkan lagi iman Rasulullah s.a.w, makrifahnya sentiasa bertambah.

Allah s.w.t ajar di dalam al-Quran kepada Nabi s.a.w doa ini:
وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
{Dan berdoalah dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku\”.} (Taha 20:114)}

Ini sekaligus menunjukkan bahawa iman kita ini bertambah & berkurangan.

  1. Ayat 2- {serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus.} & Ayat 3- {Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan)} – hidayah & pertolongan adalah dua anugerah yang sempuran & mantap dari Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w.

Begitu juga kita hari ini jika ada hidayah (ilmu) untuk beramal kita juga perlu kepada pertolongan iaitu bantuan dari Allah untuk melaksanakan Syari\’ah dan dakwah Islam, serta untuk melawan mereka yang menentang.
Jika kita ada ilmu sahaja tanpa kuasa dan pertolongan kita tidak dapat melaksanakannya dan tidak akan dapat kemenangan.
Maka kita sabar dulu, tetapi jika kita ada keduanya alhamdulillah itulah { فَتْحًا مُبِينًا}.

Powered by BetterDocs