SURAH AL-FATH : AYAT 11-14

\"\"

ALASAN GOLONGAN YANG TAK IKUT KE AL-HUDAIBIYAH, MENDEDAHKAN KEBOHONGAN MEREKA & ANCAMAN UNTUK KAFIR.

Full video : https://youtu.be/UpQtX2ZVQ7Q

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t dedahkan tentang Alasan-alasan tidak cerdik Golongan Yang Tak Ikut Ke Al-Hudaibiyah.
  2. Allah s.w.t juga mendedahkan Kebohongan Mereka serta Ancaman Untuk Kafir bahawa sesiapa tidak beriman akan disediakan neraka & azab yang dahsyat.
  3. Munasabah ayat- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t larang agar jangan batalkan perjanjian serta ancaman untuk yang mungkir janji. maka dalam ayat 11 ini Allah s.w.t nyatakan tentang puak Badwi yang ada di sekitar Madinah.

Mereka telah beriman dan masuk Islam, tetapi melarikan diri dari ikut serta Rasulullah s.a.w yang keluar ke Hudaibiyah.
i- Allah sebut tentang golongan yang ikat setia dengan Nabi s.a.w, yang tidak lari dan menuntut bela bersama, maka para pendengar pasti akan ternanti tentang cerita golongan lain yang tidak ikut serta dalam ikat setia ini.

Maka Allah mulakan cerita tentang mereka yang munafiq serta mereka yang sudah Islam tetapi masih lemah iman mereka.

AYAT 11- {ORANG-ORANG \”A\’RAAB\” (KAUM ARAB BADWI) YANG KETINGGALAN TIDAK TURUT (BERSAMA-SAMA DENGANMU KE HUDAIBIYAH), AKAN BERKATA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD): \”KAMI TELAH DIHALANGI OLEH URUSAN MENJAGA KESELAMATAN HARTA BENDA DAN ANAK ISTERI KAMI; OLEH ITU, POHONKANLAH AMPUN KEPADA ALLAH UNTUK KAMI\”. MEREKA BERKATA DENGAN LIDAHNYA APA YANG TIDAK ADA DALAM HATINYA. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD: \”JIKA DEMIKIAN SEBAB KETINGGALAN KAMU) MAKA ADAKAH SESIAPA YANG BERKUASA MEMPERTAHANKAN KAMU DARIPADA TERKENA ATAU MENERIMA SESUATU KETETAPAN DARI ALLAH JIKA IA TETAPKAN KAMU DITIMPA BAHAYA ATAU BEROLEH MANFAAT? (TIDAK ADA SESIAPAPUN, DAN APA YANG KAMU KATAKAN ITU BUKANLAH MENJADI SEBAB) BAHKAN ALLAH ADALAH MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA TENTANG SEBAB KETINGGALAN YANG KAMU LAKUKAN ITU (DAN IA AKAN MEMBALASNYA).} (AL-FATH 48:11)

  1. Ini adalah tentang golongan Arab Badwi yang ketinggalan tidak turut sama ke Hudaibiyah. Mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w bahawa bukan mereka tidak hendak ikut sama tetapi tiada orang yang nak jaga & tunggu keluarga & harta-benda mereka kalau mereka terpaksa ikut serta.
  2. Kata ulama\’ tafsir: mereka ini adalah penduduk sekitar Madinah, Arab Badwi yang sudah memeluk Islam tetapi masih lemah imannya. Apabila Nabi s.a.w bertanya kenapa tidak ikut, mereka datang datang membawa pelbagai alasan yang tidak logik.
  3. Mereka katakan mereka berasa bersalah dan minta Rasulullah s.a.w berdoa minta keampunan untuk kesilapan mereka.
  4. Ibnu Asyur berkata: Penduduk Arab Badwi sekitar Madinah ada 6 kabilah iaitu: Ghifar, Muzainah, Juhainah, Asyja\’, Aslam dan ad-Dail.
  5. Pada awalnya mereka datang berjumpa Rasulullah s.a.w untuk keluar bersama-sama. Apabila Baginda tekad untuk keluar menunaikan umrah, ahli Makkah menegahnya. Mereka ini pun lari tidak mahu ikut.
  6. Ada ulama\’ kata mereka yang lari ini adalah golongan munafiqin. Tetapi ulama\’ lain kata mereka adalah golongan yang baru masuk Islam, masih lemah imannya dan tidak dapat pendidikan yang baik lagi.
  7. Mereka ini sebenarnya hanya berdusta & berlakon saja seolah menyesal, cakap dengan mulut sahaja tetapi tidak sampai di hati. Keampunan yang mereka minta hanya bohong semata, hanya bermanis muka bukan menyesal sungguh.
  8. Oleh kerana perbuatan mereka tidak mahu ikut dan mereka menyangka memberi alasan kepada Rasulullah s.a.w itu dapat melepaskan mereka dari perkara yang tidak baik, lalu Allah s.w.t bagi jawapan kepada mereka dalam ayat ini.
  9. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata dan menjawab kepada mereka ini: Tiada siapa yang dapat menyelamatkan kamu daripada ketetapan Allah s.w.t. jika Allah kehendaki kamu mati dan musnah atau beroleh kejayaan maka tiada yang dapat menghalangnya.
  10. Maka tak perlulah kamu mencari alasan serta berpura berlakon menyesal dan insaf! Allah s.w.t mengetahui segalanya dan telah memaklumkannya kepada Rasulullah s.a.w.

AYAT 12- {\”(ITU BUKANLAH SEBABNYA) BAHKAN SEBABNYA KAMU TELAH MENYANGKA BAHAWA RASULULLAH DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN (YANG PERGI BERPERANG AKAN BINASA SEMUANYA DAN) TIDAK AKAN KEMBALI LAGI KEPADA ANAK ISTERI DAN KELUARGA MASING-MASING SELAMA-LAMANYA; DAN SANGKAAN YANG DEMIKIAN ITU DIPERELOKKAN (OLEH SYAITAN) DI DALAM HATI KAMU (SERTA MENERIMANYA); DAN LAGI KAMU TELAH MENYANGKA BERBAGAI-BAGAI SANGKAAN YANG BURUK (TERHADAP AGAMA ALLAH YANG DIBAWA OLEH RASULNYA); DAN (DENGAN ITU) MENJADILAH KAMU KAUM YANG ROSAK BINASA\”.} (AL-FATH 48:12)

  1. Sangkaan buruk mereka adalah bahawa Rasulullah s.a.w & mereka yang beriman, golongan yang pergi berperang ini akan pergi tak akan kembali lagi, bahawa Rasulullah dan rombongannya akan dikalahkan oleh kaum Quraisy lalu akan terbunuh. Meninggalkan isteri dan kaum keluarga selamanya.
  2. Sangkaan mereka ini dihiasi lagi dengan hasutan syaitan yang memperelokkannya. Menyababkan hati mereka bertambah yakin menerima sangkaan buruk ini.
  3. Maka dengan sebab sangkaan tersebut jadilah mereka kaum yang rosak binasa dan kerugian, tiada kebaikan bagi mereka. Inilah ancaman yang amat buruk dan berat terhadap mereka!

AYAT 13- {DAN (INGATLAH BAHAWA) SESIAPA YANG TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, MAKA SESUNGGUHNYA KAMI SEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG KAFIR ITU API NERAKA YANG MENJULANG-JULANG.} (AL-FATH 48:13)

  1. Kerana perbuatan dan sangkaan buruk mereka itu, mereka berhak mendapat balasan buruk dan azab yang dahsyat.
  2. Iaitu disediakan bagi mereka api neraka yang menjulang tingginya. Na\’uzubillah.

AYAT 14- {DAN (INGATLAH JUGA BAHAWA) KUASA PEMERINTAHAN LANGIT DAN BUMI ADALAH HAK KEPUNYAAN ALLAH, IA BERKUASA MENGAMPUNKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN IA JUGA BERKUASA MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA; DAN ALLAH ADALAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-FATH 48:14)

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t nyatakan tentang janji & pahala yang besar bagi orang taat setia pada janji dalam ikat setia dan balasan syurga bagi mereka, serta ancaman azab dan siksa bagi mereka yang khianat serta mungkir janji; Allah sebut dan nyatakan pula disini bahawa semua pengampunan dan penyiksaan adalah di bawah kehendak dan kuasa Allah s.w.t.
  2. Allah s.w.t bersifat dengan pengampunan dan kasihan belas selama-lamanya. Keampunan Allah s.w.t lebih umum dan luas. Rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya. Dengan limpah kurnia-Nya Allah s.w.t ampunkan dosa-dosa hamba-Nya serta menyembunyikan dosa mereka.
  3. Maka diberinya nikmat atas dunia ini kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    i- bagi orang yang beriman ia adalah satu nikmat yang besar.

ii- bagi orang yang kafir itu adalah satu istidraj. Yakni Allah beri untuk menambahkan kesombongan dan kekufuran mereka sehingga bertambah lalai.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 11- {Orang-orang \”A\’raab\” (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): \”Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami\”.}- kata ulama\’ tafsir ini menunjukkan bahawa alasan mereka ini agak cerdik dan pandai putar-belit, iaitu mereka terhalang tidak dapat pergi kerana menjaga keluarga dan harta yang sedia ada, bukan alasan kerana sibuk mencari dan mengejar yang baru.
    Ini kerana memang urusan mencari dan mengejar harta dunia ini tidak akan selesai dan habis sehingga manusia meninggalkan dunia ini.
  2. Ayat 11- {Orang-orang \”A\’raab\” (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): \”Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami;}- mereka ini berkata dengan lidah apa yang bukan lahir dalam hati mereka! Memang apa yang ada dalam hati manusia hanya Allah s.w.t yang tahu, sesama manusia tidak akan tahu apa yang ada dalam hati orang lain!

Maka dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan kepada Rasulullah s.a.w apa yang ada dalam hati mereka. Allah s.w.t telah dedahkan perbuatan mereka kepada Rasulullah s.a.w sebelum mereka datang minta ampun lagi. Mereka datang Nabi s.a.w telah kenal mereka & mengetahuinya, apabila mereka datang memberi alsan itu.
Ini adalah antara mukjizat al-Quran yang menceritakan perkara yang ghaib dan apa yang tersembunyi dalam hati manusia.

Bukan seperti cerita tok guru ajaran sesat yang mengaku mempunyai ilmu ghaib & batin, dengan cerita karut-karutnya menyebabkan pengikut mereka makin taksub dan mengikut dengan buta mata & buta hati.

  1. Ayat 11- {Orang-orang \”A\’raab\” (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): \”Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami;}- kata ulama\’ tadabbur; sesiapa yang menjadikan alasan untuk jaga harta dan keluarga sehingga menjauhkan dia dari Allah maka dia termasuk dalam golongan yang kerugian seperti golongan badwi ini.

Allah s.w.t berfirman mengingatkan kita tentang hal ini:
i- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.} (Al-Munaafiquun 63:9)

ii- {Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.} (Saba\’ 34:37)

  1. Ayat 11- {Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya.}- ini menunjukkan berkata dengan mulut sahaja tetapi tidak sampai ke hati ia tidak terpakai dan satu perkataan yang batil!
    Mesti ucap dengan lidah bersama tasdiq (membenarkan) dengan hati. Mungkin bagi manusia selamat dan terlepas, tetapi dengan Allah s.w.t tidak akan selamat!

Firman Allah s.w.t juga:
{(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.} (Al-Kahfi 18:5)

  1. Ayat 12- {\”(Itu bukanlah sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan)}- sangkaan buruk mereka menjadi pegangan mereka.
    Kata pepatah: Kecintaan kamu terhadap sesuatu benda menyebabkan kamu menjadi buta & tuli.

Begitu juga bila dah benci pada sesuatu atau seseorang; tiada lagi kebaikan walaupun dia tidak pernah mendengar keburukan atau kesalahan yang disangkanya itu!

Maka sangkaan buruk puak yang lemah iman ini menjadikan mereka tidak mahu ikut Nabi s.a.w.

Powered by BetterDocs