SURAH AL-FATH : AYAT 15-17

\"\"

LARANGAN IKUT KE KHAIBAR BUAT GOLONGAN TAK KE AL-HUDAIBIYAH, PINTU TAUBAT BUAT MEREKA & GOLONGAN YANG UZUR JIHAD.

Full video : https://youtu.be/A59r_Df-cpg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang niat puak munafiq yang tak ikut serta ke Hudaibiyah untuk ikut serta keluar menawan Khaibar.
    Ini kerana mereka telah mendengar berita bahawa Khaibar akan jatuh ke tangan kaum muslimin dan akan mendapat harta rampasan perang (ghanimah) yang banyak!
    Lalu Allah s.w.t melarang mereka dari ikut serta keluar berjuang ke Khaibar!
  2. Allah s.w.t juga memberi peringatan agar mereka bertaubat dan kembali ke jalan allah, yakni pintu taubat masih terbuka buat mereka yang insaf dan beriman.
  3. Dijelaskan juga beberapa golongan yang dimaafkan dari berjihad, tidak berdosa jika mereka tidak ikut keluar berperang kerana uzur yang sebenar.

AYAT 15- {ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG TIDAK TURUT BERJUANG (BERSAMA-SAMA KAMU) AKAN BERKATA SEMASA KAMU PERGI (MENGEPONG MUSUH SERTA) MENDAPAT HARTA RAMPASAN PERANG: BIARKANLAH KAMI TURUT SERTA DENGAN KAMU!\” MEREKA (DENGAN ITU) HENDAK MENGUBAH JANJI ALLAH (YANG MENENTUKAN HANYA ORANG-ORANG YANG TURUT HADIR DI HUDAIBIYAH SAHAJA YANG BERHAK MENDAPAT HARTA RAMPASAN PERANG ITU). KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”KAMU TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI TURUT SERTA DENGAN KAMI; DEMIKIANLAH ALLAH MENEGASKAN (LARANGAN ITU) SEMENJAK DAHULU LAGI\”. MEREKA AKAN BERKATA PULA: \”(BUKAN TUHAN YANG MELARANG) BAHKAN KAMU DENGKI KEPADA KAMI\”, (APA YANG MEREKA KATAKAN ITU TIDAKLAH BENAR), BAHKAN MEREKA TIDAK FAHAM KECUALI SEDIKIT SAHAJA; (MEREKA HANYA FAHAM TENTANG KEHIDUPAN DAN KESENANGAN DUNIA SEMATA-MATA).} (AL-FATH 48:15)

  1. Berkata golongan Munafiq- iaitu orang yang berpura-pura beriman tetapi dalam hatinya kosong dari iman- kepada Rasulullah s.a.w bahawa mereka ingin ikut serta keluar bersama Baginda s.a.w dan tentera muslimin ke Khaibar.
  2. Apabila Rasulullah s.a.w keluar dari Hudaibiyah pada tahun ke-6 untuk kembali ke Madinah, turun wahyu kepada Baginda s.a.w yang menjanjikan kemenangan yang akan diberikan kepada Nabi s.a.w dengan kaum muslimin yang ikut sama ke Hudaibiyah. Iaitu Pembukaan Khaibar yang dekat, dan harta rampasan perang yang banyak, pada tahun ke-7H.
  3. Apabila mendengar berita ini puak munafiq yang tidak ikut ke Hudaibiyah sebelum itu, terus bersemangat untuk ikut sama demi pulangan harta dunia! Apabila ini berlaku Allah s.w.t terus menurunkan ayat al-Quran yang melarang mereka dari ikut serta.
  4. Kata Ibnu Kathir rhm.: Ayat ini adalah satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w apabila Allah s.w.t menyatakan apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w tentang apakah perbuatan yang akan dilakukan oleh puak munafiqin dan mereka yang lemah iman itu!
  5. Mereka kononnya menyesal dengan perbuatan mereka tentang Hudaibiyah, merayu kepada Rasulullah s.a.w untuk ikut serta keluar ke Khaibar!
    Mereka cuba memutar belit, mahu mengubah janji Allah bahawa hanya orang-orang beriman yang keluar ke Hudaibiyah saja yang dijanjikan akan kemenangan di Khaibar ini!
    *Khaibar- sebuah kota yang besar dan kaya di bawah kekuasaan yahudi di luar bandar Madinah!
  6. Kata Ibnu Kathir rhm.: Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w agar jangan beri kebenaran kepada mereka itu untuk ikut serta ke Khaibar sebagai satu akibat hukuman untuk mereka yang tidak mahu ikut serta ke Hudaibiyah sebelum ini!
    Jika tidak akan terubahlah janji Allah bahawa harta Khaibar adalah sebagai ganti harta dari Makkah untuk ahli Hudaibiyah yang setia dan teguh imannya!
  7. Allah perintahkan untuk Rasulullah s.a.w berkata dengan tegas kepada mereka dan melarang dengan sepenuhnya!
    Kamu sekali-kali tidak mungkin akan ikut kami (لَنْ تَتَّبِعُونَا) ke Khaibar!
  8. Ini kerana Allah s.w.t tahu bahawa mereka hanya mahu ikut ke Khaibar demi mahu mengaut harta rampasan Khaibar yang akan jatuh ke tangan kaum muslimin sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t untuk ahli Hudaibiyah!
  9. Puak kafir ini menjawab balik dengan mengatakan bukan Allah s.w.t yang melarang mereka, tetapi Rasulullah s.a.w yang melarang mereka kerana dengki!
  10. Kata Ibnu Asyur rhm.: Allah s.w.t maklumkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang akan diucapkan oleh golongan yang tidak pergi ke Hudaibiyah itu!
    Jadi puak muslimin juga sudah maklum apa yang akan diucapkan oleh golongan munafiqin ini apabila Rasulullah s.a.w memberitahu mereka. Setelah sebulan setengah berlakulah sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t!
  11. Bukan seperti sangkaan mereka bahawa Rasulullah s.a.w melarang mereka kerana hasad!
    Sedangkan ini adalah satu perintah dan larangan yang jelas dari Allah s.w.t! Mereka ini adalah golongan yang tidak faham bahawa Rasulullah s.a.w ini ada wahyu yang akan datang kepadanya dari Allah s.w.t yang Maha Mengetahui segalanya!

AYAT 16- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK TURUT BERJUANG (BERSAMA-SAMAMU) DARI KALANGAN KAUM-KAUM ARAB BADWI: \”KAMU AKAN DIAJAK MENENTANG SATU KAUM (PENCEROBOH) YANG SANGAT KUAT GAGAH SUPAYA KAMU MEMERANGINYA, ATAU MEREKA MENURUT PERINTAH ISLAM (SECARA DAMAI). JIKA KAMU TAAT (MENJALANKAN PERINTAH ALLAH INI), ALLAH AKAN MENGURNIAKAN KAMU DENGAN BALASAN YANG BAIK (DI DUNIA DAN AKHIRAT), DAN KALAU KAMU BERPALING INGKAR SEPERTI KEINGKARAN DAHULU, NESCAYA ALLAH AKAN MENYEKSA KAMU DENGAN AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA\”. (AL-FATH 48:16)

  1. Allah s.w.t bawa ayat ini untuk menguji mereka, Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada mereka bahawa mereka diajak berperang untuk menentang satu kaum (penceroboh) yang sangat kuat dan gagah perkasa!
  2. Ibnu Juzaiy berkata ulama\’ ada sebut 4 pandangan tentang siapakah kaum itu:
    i- puak Hawazin
    ii- melawan puak Rom di Tabuk.
    iii- ada yang kata peperangan melawan golongan yang murtad pada zaman Abu Bakar r.a.
    iv- ada yang kata untuk melawan puak Parsi!
  3. Ibnu Jarir berkata: Allah s.w.t hanya menyebut sahaja untuk mengajak mereka pergi berperang dengan satu kaum kuat, tetapi Allah s.w.t tidak sebut dengan jelas siapakah golongan ini! Ia hanya satu cabaran yang besar kepada mereka golongan munafiqin!
  4. Allah s.w.t bagi tawaran atau pilihan kepada mereka samada:
    i- keluar berperang melawan pihak yang gagah perkasa; atau

ii- bertaubat dan masuk Islam secara baik! Yakni mereka menurut perintah Islam secara sukarela!

  1. Kemudian Allah nyatakan jika mereka menyahut seruan Rasulullah s.a.w untuk berjuang kepada Allah dengan sesungguhnya, maka Allah janjikan kepada mereka untuk mengurniakan kepada mereka dengan balasan yang baik di dunia dan akhirat!
  2. Tetapi jika mereka berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

AYAT 17- {TIDAKLAH MENJADI SALAH KEPADA ORANG BUTA, DAN TIDAKLAH MENJADI SALAH KEPADA ORANG TEMPANG, DAN TIDAKLAH MENJADI SALAH KEPADA ORANG SAKIT (TIDAK TURUT BERPERANG, KERANA MASING-MASING ADA UZURNYA). DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG TAAT KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, AKAN DIMASUKKANNYA KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; DAN SESIAPA YANG BERPALING INGKAR, AKAN DISEKSANYA DENGAN AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-FATH 48:17)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan pula siapakah mereka golongan yang diberikan keuzuran daripada menyertai peperangan.
  2. Mereka itu ialah yang ada keuzuran seperti:
    i- buta,
    ii- tempang (kekcok),
    iii- orang sakit.
    Menunjukkan rahmat Islam dan tolak-ansurnya.
  3. Kata Ibnu kathir rhm.: Allah s.w.t sebut golongan yang dibenarkan untuk tidak berjihad dengan dua kumpulan:
    i- keuzuran yang berterusan seperti yang buta & tempang. Iaitu sebab yang kekal!
    ii- atau dengan sebab sementara seperti orang sakit yang ada harapan sembuh.
  4. Allah memberi peringatan sekali lagi bahawa sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan-Nya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai!
  5. Manakala sesiapa yang berpaling ingkar (وَمَنْ يَتَوَلَّ) iaitu lari dari ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla, maka akan diseksa-Nya dengan azab yang tidak terperi sakitnya di dunia & Akhirat.
  6. Dapat dilihat bahawa Allah s.w.t mencela orang yang berpaling ingkar (وَمَنْ يَتَوَلَّ) ini dalam banyak tempat dalam al-Quran.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15- {Orang-orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!\”]- menunjukkan bahawa mereka sangat berharap agar Rasulullah s.a.w membenarkan mereka ikut serta dengan berkata: benarkanlah kami ikut kamu (ذَرُونَا نَتَّبِعْكُمْ) yakni secara pasif bukan agresif! Yakni meminta dengan lemah dan mengharapkan ihsan, ikut saja dari belakang pun tidak mengapa. Sanggup semuanya demi mengharapkan habuan harta ghanimah yang bakal dikaut!
  2. Ayat 15- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi\”.}- Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w menjawab: {tidak sekali (لَنْ تَتَّبِعُونَا) kamu akan ikut kami!}. Iaitu dengan ayat nafi (النفي) bukan ayat larangan (النهي)!

Kenapa Allah s.w.t guna sighah nafi bukan larangan?
Terdapat beberapa jawapan ulama\’ tentangnya:
i- Ini kerana Rasulullah s.a.w ceritakan kepada para sahabat mengikut apa yang Allah s.w.t sebutkan kepada Baginda! Allah nafikan maka Baginda guna ayat itu juga kerana Rasulullah s.a.w yakin 100% terhadap apa yang Allah s.w.t wahyukan kepadanya.

ii- Ada juga pandangan yang mengatakan walaupun ayatnya dalam uslub nafi (لَنْ), tetapi maksudnya adalah ayat nahi (لا) (larangan).

iii- ayat ini juga menunjukkan satu mukjizat dan tanda kenabian Rasulullah s.a.w yang besar!
Juga larangan kepada puak munafiq itu agar jangan terus hidup dalam kehinaan & penipuan selamanya.

  1. Ayat 16- {Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: \”Kamu akan diajak menentang satu kaum (penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya,}- ayat ini menunjukkan kepada ketinggian kedudukan para Khalifah ar-Rasyidin (4 orang sahabat) yang mengajak manusia berjihad ke jalan Allah s.w.t & wajib taat mereka.

Ayat ini juga sebagai satu khabar gembira kepada mereka yang tidak ikut serta dalam Hudaibiyah, iaitu golongan yang lemah iman itu jika mereka betul-betul beriman agar kembali bertaubat dan kembali ke jalan Allah s.w.t!

Ini satu peluang kepada mereka, tetapi jika golongan munafiq mereka tidak akan beriman dengan sebenarnya hanya berpura sahaja!

  1. Ayat 16- {Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: \”Kamu akan diajak menentang satu kaum (penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya,}- sebahagian ulama\’ menggunakan ayat ini sebagai dalil kepada sahnya imamah kepimpinan Abu Bakar & Umar al-Khattab r.anhuma, kerana mereka telah keluar berperang menentang golongan yang murtad!

Ayat ini secara umumnya menunjukkan kepada kelebihan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.

  1. Ayat 17- {Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).}- ayat ini menunjukkan bahawa Islam itu satu agama rahmat, yang berjalan atas paksi alam realiti & nyata, memahami tabi\’i dan kemampuan manusia yang normal.

Juga menunjukkan bahawa hukum itu beredar bersama sebabnya!
Seperti orang sakit ada keuzuran, tetapi apabila hilang sakitnya wajib pergi berperang! Manakala orang yang ada keuzuran kekal tidak mengapa.

Mudah-mudahan apa yang kita belajar dan tadabbur pagi ini memberi manfaat kepada kita semua.

Powered by BetterDocs