View Categories

SURAH AL-HUMAZAH : AYAT 1-9

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, AZAB BAGI PENCELA DAN PENGUTUK & AKAN DIHUMBANKAN KE HUTAMAH.

Full video : https://youtu.be/sCavX-w7ufY?si=AQ4eBoMTFf3bOrOO

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Isnin 27 Muharram 1445H bersamaan 14hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Humazah – سورة الهمزة.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Humazah – سورة الهمزة adalah surah ke-104 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh tujuh dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-\’Asr – سورة العصر.
    Mengandungi 9 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Dalam surah ini Allah s.w.t nyatakan satu perangai buruk yang ada dalam masyarakat manusia iaitu { هُمَزَةٍۢ& لُّمَزَةٍ} iaitu pencela dan pengutuk samada dengan mulut atau mimik muka & mata, dengan isyarat atau emoji.
  6. Kita minta Allah s.w.t selamatkan kita daripada penyakit yang bahaya ini kerana ia akan diazab dengan dihumbankan ke dalam neraka Hutamah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Humazah – سورة الهمزة yang bermakna {Pencaci/Pencela} kerana pada awal surah Allah s.w.t memberi amaran dengan azab neraka Hutamah yang seburuk-buruknya bagi setiap pencaci & pengeji!
  2. Surah ini juga dikenali dengan dua nama lain seperti:
    i- diambil penuh dari ayat pertamanya
    { وَيْلٌۭ لِّكُلِّ هُمَزَةٍۢ لُّمَزَةٍ}
    ii- dipanggil juga dengan nama surah { ٱلْحُطَمَةِ} dengan kalimah yang ada di dalamnya.

Bagi para pencinta ilmu boleh kihat tentang nama-nama ini dalam Kitab:
(Basoir Zawit Tamyiz Fi Lathoiful Kitabil \’Aziz) susunan Fairuz Abadi-
بصائر ذوي التمييز في لطائف الكتاب العزيز · المؤلف: محمد بن يعقوب الفيروزآبادي

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan keburukan orang yang mencemuh & menghina dan memandang rendah kepada orang lain, kerana dia senang & kaya raya.
    Padahal kesenangan & kekayaannya itu tidak dapat memberinya sebarang faedah di akhirat kerana dia bakhil & tidak menggunakannya pada jalan kebajikan!

Yakni Allah s.w.t cela orang kaya yang sombong kemudian menghina orang lain!

  1. Sebagai seorang yang telah dilapangkan hidupnya sepatutnya dia bersyukur kepada Allah & menghormati serta berhubung mesra dengan orang lain!

Orang yang sombong dan bermegah dengan kesenangan & kemewahannya serta mencemuh orang lain, tidak mempunyai perasaan rahim untuk menolong orang yang memerlukan bantuan; tidak akan dikenang & disebut dengan sebutan yang baik di dunia apatah lagi untuk menyelamatkan dirinya di akhirat!

  1. Dia menyangka harta itu dapat mengekalkannya di dalam dunia ini!
    Tidak sekali-sekali!
    Kerana yang dapat mengekalkan kedudukan seseorang itu atas dunia ini ialah ilmu yang baik, akhlak yang mulia & amal soleh yang mengikut ajaran Nabi s.a.w!

Maqasid/Objektif Surah :

  1. Antara objektifnya ialah Allah s.w.t sebut beberapa sifat golongan yang akan binasa; iaitu yang suka menghina dan mengejek, orang kaya yang sombong suka mencemuh menghina orang lain serta bakhil
  2. Amaran keras bagi orang yang mengaibkan orang lain! Memerli menghina orang serta suka bercakap mengata orang dengan sebab banyak harta, besar pangkatnya.
    Dia juga merentang perkara yang benar!
  3. Lalu Allah s.w.t menyatakan akhir kesudahan siksa bagi mereka yang berperangai buruk seperti ini!

MUNASABAH SURAH AL-HUMAZAH – سورة الهمزة DENGAN SURAH AL-\’ASR – سورة العصر SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-\’Asr – سورة العصر:

  1. Dalam surah al-asr Allah s.w.t menyebut bahawa manusia akan dalam kerugian kecuali mereka yang mempunyai sifat ini, iaitu:
    i- mereka yang beriman.
    ii- beramal soleh.
    iii- berpesan dengan kebenaran.
    iv- berpesan dengan kesabaran.
  2. Maka dalam surah al-Humazah ini pula Allah s.w.t bawa satu contoh lagi orang yang rugi iaitu: Humazah & lumazah iaitu orang yang suka perli, caci & hina orang!
  3. Begitulah manusia ini dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman & takut kepada Allah sahaja yang akan selamat!
  4. Hadis Rasulullah s.a.w:
    Abu Hurairah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرَ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا \”

Ketahuilah! Sesungguhnya dunia ini dilaknati, apa yang ada padanya dilaknati. Kecuali zikir kepada Allah, ketaatan kepada Allah, orang yang alim, dan orang yang belajar. [HR At-Tirmizi & Ibnu Majah].

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan beriman & bertaqwa {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {KECELAKAAN BESAR BAGI TIAP-TIAP PENCACI, PENGEJI,} (AL-HUMAZAH 104:1)

  1. Dalam ayat ini & ayat yang berikutnya Allah s.w.t menerangkan keburukan orang yang mencemuh & menghina memandang rendah kepada orang lain, kerana dia senang & kaya raya. Padahal kesenangan & kekayaannya itu tidak dapat memberinya sebarang faedah di akhirat kerana dia bakhil & tidak menggunakannya pada jalan kebajikan!
  2. Apakah makna {هُمَزَةٍۢ لُّمَزَة} ini?
    i- kata Ibnu Juzai rhm.: semua orang yang menghina kehormatan orang dengan segala perbuatan buruk itu mencaci mencela mengedit dan seumpamanya; semuanya termasuk dalam dua golongan ini!

ii- ada juga ulama\’ seperti Muqatil bin Sulaiman rhm. yang mengasingkannya:
a- {هُمَزَةٍ}- humazah ialah mengata orang di belakangnya iaitu mengumpat.

b- {لُّمَزَة}- lumazah pula ialah menghina mengata orang secara berdepan Hina atas mukanya terus!
Ada juga yang berkata sebaliknya- yakni tukar makna dua ini!

iii- ada pula yang mengasingkannya dengan mengatakan bahawa:
a- {هُمَزَةٍ}- humazah ialah hina dengan perkataan.
b- {لُّمَزَة}- lumazah pula ialah dengan perbuatan atau isyarat!

  1. Kesimpulannya dua ini adalah sifat buruk samada dibuat secara berdepan atau belakang, kita perli orang dengan perkataan atau perbuatan atau isyarat, lirikan mata atau mulut muka dan seumpamanya!
  2. Ibnu Asyur rhm. berkata:
    a- {هُمَزَةٍ}- humazah ialah perli manusia dengan isyarat guna mata atau lain-lain anggota. Samada di depan dia atau belakang dia- semuanya adalah buruk!
  3. Kesimpulan dari ar-Razi rhm. pula: Semua pandangan ini berdekatan & kita kembali kepada larangan asalnya iaitu jangan menghina mencemuh manusia dengan apa cara sekalipun!
  4. Dari sudut sejarah, dikatakan ayat ini turun kepada al-Akhnas bin Syariq yang suka menghina orang.
    Ada kata yang turun kepada Umayyah bin Khalaf dan al-Walid bin Mughirah.
    Semua mereka adalah pemuka Quraisy yang jahat pada zaman Rasulullah s.a.w.
  5. Kata Ibnu Juzai rhm. walaupun ia diturunkan kepada siapa saja pada zaman Rasulullah s.a.w; tetapi Allah s.w.t kata semua yang bersifat dengan {هُمَزَةٍۢ لُّمَزَة} menghina orang akan termasuk dalam golongan ini semuanya!
  6. Firman Allah stw:
    {Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).} (Al-Qalam 68:11)

AYAT 2- {YANG MENGUMPULKAN HARTA DAN BERULANG-ULANG MENGHITUNG KEKAYAANNYA;} (AL-HUMAZAH 104:2)

  1. Kemudian Allah s.w.t sebut pula sifat buruk yang kedua:
    i- suka mengumpul harta yang banyak
    ii- kemudian sibuk menghitung & membilangnya!
  2. Yakni kumpul harta dari sumber yang haram kemudian bakhil tidak mahu infaq fi-sabilillah! Ataupun jika sebaliknya tetap buruk!

AYAT 3- {IA MENYANGKA BAHAWA HARTANYA ITU DAPAT MENGEKALKANNYA (DALAM DUNIA INI)!} (AL-HUMAZAH 104:3)

  1. Dia menyangka dengan harta yang banyak itu dapat mengekalkan dia untuk hidup atas dunia ini!
    Kerana itu dia bakhil & sayang untuk infaqnya! Habis insuran & perubatan dibelinya tapi infaq jauh sama sekali.
  2. Kata ulama\’ bahasa: Hartanya itu menjadikan dia panjang angan-angan dan bercita-cita jauh sehinggalah dia makin lagha, makin sombong & jauh dari Allah sehinggalah dia mati ternganga!
  3. Al-Biqa\’i kata: Ayat ini boleh menjadi ayat sindiran (kinayah) bahawa orang yang tenggelam dalam maksiat, jauh dari Allah s.w.t, ikut hawa nafsu, sibuk mencari harta atas dunia ini sehingga lupakan akhirat.
  4. Ini adalah orang yang celaka!
    Dia ingat harta dia boleh menolongnya untuk kekal atas dunia panjangkan kuasanya!

Allah jawab dalam ayat berikutnya-

AYAT 4- {TIDAK! SESUNGGUHNYA DIA AKAN DICAMPAKKAN KE DALAM \”AL-HUTAMAH\”.} (AL-HUMAZAH 104:4)

  1. Allah jawab: Tidak sekali-sekali! Ia bukan seperti yang kamu sangka & angankan!
  2. Bahkan Allah s.w.t bersumpah: Kamu akan mati & di akhirat kelak akan dicampak atau dihumbankan ke dalam neraka Hutamah!

AYAT 5- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI, APA DIA \”AL-HUTAMAH\” ITU?} (AL-HUMAZAH 104:5)

  1. Allah bertanya untuk manusia memberi perhatian & ambil berat akan soalannya ini!
  2. Apakah yang kamu tahu tentang Hutamah ini?

AYAT 6- {(AL-HUTAMAH) IALAH API ALLAH YANG DINYALAKAN (DENGAN PERINTAHNYA),} (AL-HUMAZAH 104:6)

  1. Hutamah itu ialah neraka yang dinyalakan Allah apinya!

AYAT 7- {YANG NAIK MENJULANG KE HATI;} (AL-HUMAZAH 104:7)

  1. Api neraka itu akan menjulang naik membakar sehingga ke hati!

Allah sebut hati kerana manusia atas dunia ini jika hatinya cedera atau rosak dia akan mudah mati!

Kerana itu para anggota keselamatan memakai jaket kalis peluru untuk melindungi hati / jantung mereka!

  1. Tetapi ingat walaupun kena hati dan atau di mana sahaja, kamu tidak akan mati lagi selamanya kerana mati itu sudah mati & tiada lagi di akhirat!

AYAT 8- {SESUNGGUHNNYA API NERAKA ITU DITUTUP RAPAT ATAS MEREKA.} (AL-HUMAZAH 104:8)

  1. Neraka itu ditutup rapat tiada lubang udara, ini untuk memaksimakan kepanasan.
    Seperti kaedah oven atau pressure cooker yang tertutup rapat.
  2. Ini untuk menunjukkan betapa dahasyatnya azab & kepanasan neraka itu!.

AYAT 9- {(MEREKA TERIKAT DI SITU) PADA BATANG-BATANG PALANG YANG MELINTANG PANJANG.} (AL-HUMAZAH 104:9)

  1. Mereka pula terikat kemas pada tiang-tiang yang kukuh di dalam neraka itu- tidak akan dapat melepaskan diri & keluar lagi selamanya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,} &
    Ayat 2- {Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;}-

Allah menyatakan tentang dua sifat buruk orang yang akan kerugian iaitu: pencaci & pengumpul harta!

Allah s.w.t nyatakan dalam surah ini melalui ayat-ayat yang kita baca ini supaya kita faham maknanya, tahu bahasa & maksudnya bahawa manusia yang celaka & rugi itu ialah manusia yang bersifat buruk & keji ini!

i- Sifat pertama iaitu suka menghina, mengutuk & mengeji orang lain, ini adalah sifat Humazah {هُمَزَةٍۢ لُّمَزَةٍ}.
Ini termasuk semua perbuatan mengaibkan orang samada melalui percakapan, perbuatan, pekerjaan mengedit gambar & video atau isyarat.

ii- sifat kedua ialah: {ٱلَّذِى جَمَعَ مَالًۭا وَعَدَّدَهُۥ} Orang yang mencari harta tanpa mengira dengan cara riba, menipu, rasuah & apa saja cara yang haram. Mengejar kedudukan & pangkat dengan sanggup menzalimi & menindas orang lain tanpa hak!

  1. Ayat 1- {Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,} &
    Ayat 2- {Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;}-

Dari dua ayat yang menyatakan tentang dua sifat buruk ini: pencaci & pengumpul harta!

Asalnya sifat ini digunakan pada zaman Rasulullah s.a.w dulu.
Perbuatan ini telah dilakukan oleh para musyrikin pembesar Quraisy yang sombong takabbur terhadap orang Islam yang lemah lagi dhaif.
Mereka merasakan mereka adalah orang yang mulia & berkuasa manakala orang Islam hanya mereka yang miskin & dari golongan hamba kebanyakannya.

Maka secara umumnya sesiapa saja dari orang Islam yang menghina ahli agamanya sendiri juga termasuk dalam golongan yang diberi amaran keras ini!

Celakalah mereka yang bersifat dengan sifat ini! Tunggulah apabila datang janji Allah baru kamu tahu apakah akhir kesudahan kamu kelak!

  1. Ayat 4- {Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam \”Al-Hutamah\”.}-

Allah kata tidak sekali-kali- bahkan kamu akan dicampak ke dalam neraka Hutamah.

Persoalan:
Kenapa Allah s.w.t gunakan kalimah campak {لَيُنۢبَذَنَّ} ini?

JAWAPAN :

Ini untuk menunjukan kehinaan kepada puak kafir serta kepada sesiapa yang bersifat seperti mereka!

Ini kerana semasa di dunia mereka menyangka & merasakan mereka adalah orang yang mulia atas dunia ini, yang paling bertamadun, yang paling maju & bijak.
Sedangkan sebenarnya merekalah orang yang paling hina di sisi Allah s.w.t!

Kenapa pula dipanggil neraka ini Hutamah {ٱلْحُطَمَةِ}?
i- Supaya sama lafaz-lafaznya. Ini adalah antara mukjizat ayat-ayat al-Quran- keindahan susunan bahasa & maknanya juga. Maka orang yang membacanya akan terasa kagum dan faham.
Golongan humazah lumazah akan dicampak ke dalam hutamah!

ii- juga menunjukkan bahawa balasan itu selari dengan perbuatan.
Hutamah juga adalah sebagai neraka pemakan daging ahlinya!

Ini kerana Allah s.w.t telah gambarkan bahawa orang yang menghina & mengumpat (humazah) ini seolah memakan daging saudarnya sendiri akan dicampak ke dalam (hutamah).

  1. Ayat 6- {(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya),}
    Ini menunjukkan bahawa api neraka itu tidak pernah padam!
    Itu adalah sifat api neraka- menyala yang tidak akan pernah-pernah padam bukan hanya ta\’kid kepada api!

Neraka sudah ada sekarang, telah dinyalakan, menunggu untuk dicampak dilontar para pendosa bakal ahli neraka!

  1. Ayat 4- {Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam \”Al-Hutamah\”.}- dari ayat ini perkataan dicampak ini menunjukkan bahawa benda itu dalam.

Begitulah sifat neraka yang amat besar lagi amat dalam, dasarnya tidak diketahui!

Ayat 8- {Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.}- ini juga menunjukkan betapa dahsyatnya sifat neraka!

Ia adalah neraka yang tertutup rapat- tiada pintu atau lubang untuk keluar lagi.
Untuk menunjukkan cara azab siksaan, agar neraka itu mencapai kepanasan yang maksima maka tiada lubang & ditutup rapat.

Dapat kita fahami keadaan ini dengan alat yang kita gunakan hari ini; samada oven atau pressure cooker yang mesti ditutup rapat apabila hendak digunakan!

Kita minta perlindungan dari Allah s.w.t dengan nama-Nya yang indah, dengan sifat-Nya yang mulia, daripada sifat buruk yang suka menghina mengeji mengata orang, serta sifat buruk mengumpul harta kemudian sombong dan bakhil dari mengeluarkan haknya!

Powered by BetterDocs