SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 12-15

\"\"

NIKMAT ALLAH S.W.T DI LAUTAN, LANGIT DAN BUMI, MAAFKAN ORANG KAFIR & BALASAN UNTUK SEMUA.

Full video : https://youtu.be/aMgBiF-IFo8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang Nikmat Allah s.w.t Di Lautan, Langit Dan Bumi. Iaitu menjelaskan keagungan dan keesaan Allah s.w.t dari semua sudut dan tempat. Bermula dari laut naik ke bumi kemudian naik ke langit biru.
  2. Allah s.w.t nyatakan kepada orang mukmin supaya bersikap pemaaf terhadap walaupun disakiti Orang Kafir. Kemudian turun pula ayat untuk memerangi mereka. Ini menunjukkan bahawa maaf itu ada had dan batasannya, memaafkan itu bukan bermakna tewas atau kalah, tetapi strategi mencari langkah yang baik untuk perjalanan seterusnya.
  3. Diakhiri dengan janji Allah s.w.t dengan balasan Untuk Semua iaitu janji baik (الوعد) untuk orang yang beriman dan janji buruk (الوعيد) untuk mereka yang kufur.
    Realiti secara umum keadaan manusia terbahagi kepada dua keadaan inilah, ada yang ikut syaitan dan ada yang ikut Nabi.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t menyebut bahawa Allah s.w.t sebagai Pencipta, Pemilk dan Pentadbir Alam ini.
    Maka dalam ayat-ayat ini sebagai tanda dalil kekuasaan dan kekuatannya Allah bawa kita kepada dalil yang dapat di lihat di lautan, bumi dan langit pula.

AYAT 12- {ALLAH YANG MEMUDAHKAN LAUT BAGI KEGUNAAN KAMU, SUPAYA KAPAL-KAPAL BELAYAR PADANYA DENGAN PERINTAHNYA, DAN SUPAYA KAMU MENCARI REZEKI DARI LIMPAH KURNIANYA, DAN JUGA SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-JAATHIYAH 45:12)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia cipta laut itu untuk kegunaan manusia, belayar atasnya turun ke dalamnya untuk mencari rezeki dan lain-lain faedah.
  2. Yakni Allah permudahkan (سَخَّرَ) bagi kegunaan kita laut itu seperti:
    i- untuk kapal belayar di atasnya.

ii- mengambil rezeki kehidupan darinya seperti ikan dan lain-lain.

iii- menyelam turun di bawahnya untuk mencari rezeki lain seperti mutiara, karangan dan lain-lain.

  1. Kata Ibnu Athiyah rhm;
    Antara faedah laut ialah:
    i- ahli perniagaan menggunakan kapal belayar mencari rezeki.

ii- ahli ibadat juga naik kapal untuk belayar menunaikan haji.

iii- pejuang dan pendakwah Islam juga belayar mengembara menggunakan kapal menyebarkan agama ke seluruh pelusuk dunia.
Mereka datang mengislamkan orang yang belum Islam, bila mereka tiada orang yang Islam pula membuat khurafat dan kekarutan atas nama mereka, ajaran yang tidak mereka ajar.

  1. Maka dengan segala nikmat Allah yang luas dan besar ini, semoga kamu semua menjadi orang bersyukur kepada-Nya. Iaitu dengan mematuhi segala ajaran Syari\’ah, patuhi perintah dan larangan Allah Azza wa Jalla.
  2. Sifat syukur akan membawa dua kebaikan:
    i- menjaga nikmat yang sedia ada.
    ii- menarik nikmat yang baru juga.

AYAT 13- {DAN IA MEMUDAHKAN UNTUK (FAEDAH DAN KEGUNAAN) KAMU, SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, (SEBAGAI RAHMAT PEMBERIAN) DARIPADANYA; SESUNGGUHNYA SEMUANYA ITU MENGANDUNGI TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEMURAHAN DAN KEKUASAANNYA) BAGI KAUM YANG MEMIKIRKANNYA DENGAN TELITI.} (AL-JAATHIYAH 45:13)

  1. Dari laut kita berpindah ke bumi dan udara pula. Kita naik ke atas pula. Allah s.w.t juga memudahkan segalanya kepada kita.
  2. Munasabah ayat: Apabila Allah tunjukkan tanda kekuasaan-Nya di lautan yang begitu luas dan besar, air laut yang memberi begitu banyak kegunaan dan faedah kepada manusia, menunjukkan keagunga lah Azza wa Jalla. Maka Allah bawa pula perhatian ke udara dan langit, terdapat banyak dalil dan tanda yang banyak juga.
  3. Di atas langit kita dapat lihat ada bulan, bintang, matahari, awan, udara dan sebagainya. Semua ini juga Allah permudahkan untuk memberi manfaat kepada manusia.
  4. Kemudian di bumi pula lagi banyak seperti pokok-pokok tumbuhan, bukit bukau, sungai dan mata air, logam galian dan pelbagai lagi. Semua ini juga kurniaan Allah yang dipermudahkan untuk memberi manfaat kepada manusia.
  5. Firman Allah s.w.t juga: {Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepada-Nyalah kamu meraung meminta pertolongan.} (Al-Nahl 16:53)
  6. Sesungguhnya semua ini memberi tanda yang cukup nyata dan dalil-dalil yang jelas kepada manusia yang berfikir dan meggunakan akal, akan bukti kemurahan rahmat Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya.
  7. Maka manusia yang tidak bersyukur dan berpada dengan nikmat Allah s.w.t, dia akan menjadi manusia yang tidak redha dan kecewa. Inga apa yang kita dapat atas dunia ini semuanya adalah anugerah dari Allah s.w.t.
  8. Kebenaran itu bukan bergantung kepada ramainya pengikut semata-mata tetapi kepada kebenaran yang dibawa apakah bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Tetapi begitulah manusia itu yang pelik dan tidak tahu dari mana itulah yang disukai dan dipercayai.

AYAT 14- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN: HENDAKLAH MEREKA MEMAAFKAN (KEJAHATAN DAN GANGGUAN) ORANG-ORANG YANG TIDAK MENARUH INGATAN KEPADA HARI-HARI (PEMBALASAN YANG TELAH DITENTUKAN) ALLAH; (DISURUH BERBUAT DEMIKIAN), KERANA ALLAH AKAN MEMBERI KEPADA SATU-SATU PUAK: BALASAN YANG PATUT DENGAN APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN.} (AL-JAATHIYAH 45:14)

  1. Dalam ayat in ialah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w untuk memberitahu kepada orang yang beriman yang diganggu oleh orang kafir untuk memaafkan mereka.
  2. Apabila para sahabat melihat golongan kafir yang menyakiti Rasulullah s.a.w dan kaum muslim yang lemah dan ditindas, mengejek al-Quran dan dakwah yang dibawa oeh Nabi, pastilah timbul kemarahan mereka.
    Tetapi Allah suruh mereka bersabar dan jangan melawan kerana mereka masih lemah tiada kekuatan dan tidak mampu untuk melawan.
    Maka terpaksa sabar dan akur dulu.
  3. Ini kerana Allah s.w.t yang akan memberi balasan yang adil dan setimpal kepada mereka di Akhirat kelak.
    Maksudnya (أَيَّامَ اللَّهِ) adalah samada pada hari Kiamat kelak atau kemenangan pada masa akan datang.
  4. Dalam ayat yang lepas kita sudah belajar bahawa ada 4 jenis azab yang Allah s.w.t sebut:
    i- azab yang pedih (بِعَذَابٍ أَلِيمٍ).
    ii- azab yang menghinakan (عَذَابٌ مُهِينٌ).
    iii- azab yang besar (عَذَابٌ عَظِيمٌ).
    iv- azab dari pelbagai jenisnya yang pedih (عَذَابٌ مِنْ رِجْزٍ أَلِيمٌ).
  5. Kata Ibnu Jarir rhm., ayat untuk bersabar dan bertenang ini telah dimansukhkan dengan ayat yang membenarkan dan menyuruh melawan dan berperang!
  6. Sebahagian ulama\’ kata ayat ini tidak dimansukh, tetapi kita jamakkan antara dua ayat ini. Ia mengajar kita untuk bertindak mengikut keadaan semasa;
    i- jika umat Islam pada masa diserang itu lemah dan tiada kekuatan & kemampuan untuk melawan, maka bersabar dan bertahan dulu agar tidak membawa kemudharatan kepada mereka, jika kalah akan binasa dan Islam akan dihina lagi.

ii- Jika kuat dan mampu untuk melawan maka silakan lawan untuk mempertahan dan menegakkkan Islam. Kena guna ayat peperangan itu pula.
Pandangan yang mengumpulkan dua ayat ini lebih menepati.

  1. Hadis Usamah bin Zaid r.a meriwayatkan bahawa Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w dan para sahabat agar sabar dan tenang menghadapi karenah puak kafir dan ahli Kitab, dan sabar menghadapi kejahatan mereka apabila lemah, tetapi apabila kuat lawanlah. [HR Bukhari].
  2. Jika lemah buat cara lemah, tetapi jika kuat, bangkit, bangun & lawanlah jangan terus tidur dan lalai juga. Juga jangan melampau seperti pengganas pula.

AYAT 15- {(TIAP-TIAP BALASAN BERDASARKAN KAEDAH): SESIAPA YANG MENGERJAKAN AMAL SOLEH, MAKA FAEDAHNYA AKAN TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI; DAN SESIAPA YANG BERBUAT KEJAHATAN, MAKA BAHAYANYA AKAN MENIMPA DIRINYA SENDIRI; KEMUDIAN KAMU AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA TUHAN KAMU.} (AL-JAATHIYAH 45:15)

  1. Setiap perbuatan manusia akan kembali faedah atau balasannya; baik atau buruk akan kembali kepada dirinya sendiri.
  2. Setelah Allah beri semangat kepada orang beriman dan amaran kepada puak kafir bahawa setiap kita akan menerima balasan.
    Maka ayat ini Allah bahagikan kepada dua:
    i- siapa melakukan ketaatan dan menjauhi segala larangan, buat baik dan amal soleh, maka manfaatnya akan kembali kepada dirinya sendiri.

ii- dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri juga.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t juga:
    i- {Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;
    Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.} (Ar-Ruum 30: 44-45)

ii- {Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.} (Yunus 10:23)

  1. Kemudian kita akan bertemu dengan Allah s.w.t. sebagai satu pengakhiran dan tempat kembali yang abadi. Pada hari Kiamat semua akan terima balasan atas apa yang dilakukanya atas dunia dulu, baik atau buruk!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 12- {Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya.}- kata ulama\’ tadabbur, ayat ini sebagai pengajaran dan iktibar kepada kita akan nikmat Allah yang besar kepada kita, bagaimana kapal yang yang kecil dan lemah itu dapat belayar dengan aman dan mudah atas lautan yang luas dengan ombak yang bergelombang.

Bagaimana Allah buat kapal itu boleh belayar dan bergerak atas lautan?
i- angin yang bertiup megikut arah yang dikehendaki oleh kapal itu menuju destinasinya.

ii- Allah jadikan permukaan air yang lembut itu sebagai highway yang dapat menanggung kapal yang berat itu.

iii- Allah jadikan ada kayu dan besi-besi yang dapat terapung dia atas air dan tidak tenggelam.
Semua ini pastilah di bawah kuasa Allah Tuhan yang Amat berkuasa dan Maha Bijaksana!

  1. Ayat 13- {Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya;}- asalnya Allah jadikan semua makhluk dan haiwan atas dan ini bersih dan halal untuk digunakan oleh manusia.

Kaedah:
i- Asal sesuatu benda dan haiwan itu adalah HALAL kecuali ada dalil yang jelas mengharamkannya atau melarangnya.

ii- Tetapi dalam bab ibadat; Asal semua perbuatan itu tidak harus, tidak boleh buat KECUALI ada dalil yang meluluskannya.
Jangan guna dalil lemah- orang nak buat baik apa salahnya!

  1. Ayat 14- {Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang..}- Allah ajar satu sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji iaitu memaafkan.
    Tetapi ingat: memaafkan seseorang apabila kita mampu untuk lawan atau ambil tindakan ke atasnya itulah sabar yang sebenarnya.
    Orang kafir pun Allah s.w.t ajar untuk kita memaafkannya, apatah lagi sesama muslim.
  2. Ayat 15- {(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri;}- dalam ayat ini Allah s.w.t bawa dua keadaan manusia; yang baik dan yang jahat.

Dari segi uslub kita dapat lihat cara penggunaan bahasa Arab:
i- doa baik biasanya digunakan perkataan (bagi- لِ) seperti dalam ayat ini (فَلِنَفْسِهِ)- bagi dirinya sendiri.

ii- doa buruk dan minta dijauhkan sesuatu diguna perkataan (ke atas-) seperti dalam ayat ini (فَعَلَيْهَا)- maka ke atasnya.

  1. Ayat 15- {(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri;}- apakah ciri-ciri amalan soleh itu?
    Kata ulama\’: Semua amalan yang dibuat dengan tidak ikhlas kepada Allah s.w.t akan memberi keburukan kepada kita.
    Perbuatan mengungkit dan riya\’ akan menghapuskan segala pahala amalan yang tersimpan selama ini.

Kata ulama\’, syarat amal itu untuk menjadi soleh ialah:
i- Ikhlas kepada Allah s.w.t.
ii- bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w. bukan yang direka.
Yang Nabi ajar pun tak habis nak buat, sibuk cari yang manusia lain ajar pula!

Semoga kita semua terselamat dari menjadi golongan yang sia-sia amal ibadatnya.

Powered by BetterDocs