SURAH AL-KAHF : AYAT 16-18

\"\"

PEMUDA BERUZLAH KE DALAM KAHFI, KEADAAN MEREKA DALAM GUA PAGI PETANG & ANJING BERKAWAN DENGAN ORANG SOLEH

Full video: https://youtu.be/HjmL20V4Gfk

MUQADDIMAH:
1. Ayat-ayat ini menceritakan tentang sekumpulan pemuda Islam yang beriman kepada Allah s.w.t.
2. Mereka tahu kaum mereka sesat dan menyembah selain dari Allah yang tidak berkuasa sedikitpun. Maknanya mereka sekarang ini sedang melawan arus perdana.
3. Lalu mereka mengambil keputusan untuk keluar dari bandar dan mencari perlindungan di sebuah gua untuk menyelamatlan akidah dan iman mereka serta berdoa mengharapkan pertolongan Allah s.w.t.
4. Diceritakan juga keajaiban karamah yang Allah kurniakan kepada mereka, mereka ditidurkan selama 300 tahun lebih dan jasad mereka tidak rosak.

AYAT 16 – {DAN OLEH KERANA KAMU TELAH MENGASINGKAN DIRI DARI MEREKA DAN DARI APA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH, MAKA PERGILAH KAMU BERLINDUNG DI GUA ITU, SUPAYA TUHAN KAMU MELIMPAHKAN DARI RAHMATNYA KEPADA KAMU, DAN MENYEDIAKAN KEMUDAHAN-KEMUDAHAN UNTUK (MENJAYAKAN) URUSAN KAMU DENGAN MEMBERIKAN BANTUAN YANG BERGUNA\”. AL-KAHFI- AYAT 16:
1. Pemuda-pemuda yang beriman itu bermusyawarah sesama mereka berbincang cara untuk menyelamatkan diri dan agama dan akidah mereka. Ini kerana kaum mereka serta raja mereka semuanya kafir menyembah selain dari Allah.
2. Lalu mereka ambil keputusan untuk ka pergi berlindung ke sebuah gua yang mungkin sudah menjadi tempat kebiasan mereka guna untuk beribadat sebelum ini.
3. Mereka keluar dengan harapan Allah s.w.t melimpahkan dari rahmatnya dan mempermudahkan urusan mereka dengan memberi bantuan-Nya yang berguna.
4. Lalu Allah s.w.t mmengabulkan doa mereka ini dan memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka sebagaimana kisah dalam ayat seterusnya.

AYAT 17 – {DAN ENGKAU AKAN MELIHAT MATAHARI KETIKA TERBIT, CENDERUNG KE KANAN DARI GUA MEREKA; DAN APABILA IA TERBENAM, MENINGGALKAN MEREKA KE ARAH KIRI, SEDANG MEREKA BERADA DALAM SATU LAPANGAN GUA ITU. YANG DEMIKIAN IALAH DARI TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN) ALLAH. SESIAPA YANG DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH, MAKA DIA LAH YANG BERJAYA MENCAPAI KEBAHAGIAAN; DAN SESIAPA YANG DISESATKANNYA MAKA ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN BEROLEH SEBARANG PENOLONG YANG DAPAT MENUNJUKKAN (JALAN YANG BENAR) KEPADANYA. AL-KAHFI- AYAT 17:
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan keadaan mereka sesudah mereka berada (ditidurkan) dalam gua itu serta kedudukan gua itu sehingga mereka terselamat daripada panas matahari sepanjang masa.
2. Terpeliharalah mereka dalam keadaan yang sebaik-baiknya dengan kuasa Allah s.w.t disebabkan keimanan dan keikhlasan doa mereka.
3. Keadaan mereka: apabila matahari naik, cahayanya memancar ke arah kanan mereka, bila turun cahayanya memancar ke arah kiri mereka. Yakni jasad mereka tidak kena cahaya panas terik yang boleh merosakkan secara lansung, tetapi haba dan udara kebaikannya memenuhi gua itu sekadar keperluan yang mencukupi.
4. Pencahayaan ini adalah sesuatu yang penting, menunjukkan tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t, karamah yang besar yang Allah s.w.t berikan kepada Ashaabul-Kahfi. Yang penting itulah: {Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah.} untuk kita berfikir, tadabbur dan mngambil pengajaran.
5. Ibnu Kathir berkata Allah s.w.t tidak menyebut di manakah tempat gua itu, maka kita tidak perlu sibuk-sibuk mencarinya kerana ia bukan satu maslahah yang besar dalam agama. Cuma Allah s.w.t gambarkan keadaan mereka.
6. Ulama\’ semasa banyak menyebut tempat berada gua ini, ada kata di Jordan, di Turki dan lain-lain, yang pentingnya والله اعلم Allah s.w.t lebih Mengetahuinya.
7. Ayat ini ditutup dengan kuasa mutlak Allah s.w.t. sesiapa yang diberi petunjuk ke jalan yang benar, maka dialah yang akan selamat dan mendapat petunjuk dan sesiapa yang tidak mendapat hidayah Allah itulah mereka yang sesat dan tiada siapa lagi yang dapat menolongnya.
8. Inilah uslub al-Quran, disebalik setiap kisah ada pengajaran dan ilmu untuk diambil pengajaran, terutamanya untuk para pemuda Islam hari ini.

AYAT 18 – {DAN ENGKAU SANGKA MEREKA SEDAR, PADAHAL MEREKA TIDUR; DAN KAMI BALIK-BALIKKAN MEREKA DALAM TIDURNYA KE SEBELAH KANAN DAN KE SEBELAH KIRI; SEDANG ANJING MEREKA MENGHULURKAN DUA KAKI DEPANNYA DEKAT PINTU GUA; JIKA ENGKAU MELIHAT MEREKA, TENTULAH ENGKAU AKAN BERPALING MELARIKAN DIRI DARI MEREKA, DAN TENTULAH ENGKAU AKAN MERASA SEPENUH-PENUH GERUN TAKUT KEPADA MEREKA.} AL-KAHFI- AYAT 18:
1. Keadaan pemuda itu tidur tetapi mata mereka terbuka, jadi sesiapa yang melihat mereka akan menyangka mereka sedar dan tidak tidur.
**Ibnu Kathir berkata: Sebahagian ulama\’ kata bila Allah s.w.t tutup telinga mereka untuk tidur, maka mata mereka dibuka untuk menyelamatkan dari rosak.
2. Allah s.w.t juga menjaga jasad mereka daripada rosak dengan membalik-balikkan badannya, mengiring dari sebelah kanan kemudian kiri, supaya tidak dimakan tanah atau reput.
3. Manakala anjing mereka duduk menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; mungkin seolah dalam keadaan sedang berjaga mengawal, maka siapa yang tengok akan lari, tidak berani mendekati untuk menyentuh atau mengusik mereka. Maka selamatlah mereka selama beratus tahun selama yang dikehendaki Allah s.w.t.
4. Ibnu Kathir berkata lagi: “Ada setengah ulama\’ sibuk mencari warna dan jenis anjing itu, satu lagi perkara yang tidak perlu dan merugikan masa.”
5. Ada yang bertanya kenapa anjing itu berada di pintu gua? Andaian juga, ini kerana malaikat rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah atau gua yang ada anjing.
Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
مَن اقْتَنَى كَلبًا – إلاَّ كَلبَ صَيْدٍ أوْ مَاشِيَةٍ – فَإنَّهُ يَنقُصُ مِن أَجْرِهِ كُلَّ يَومٍ قِيرَاطَانِ
Yang bermaksud : Barangsiapa yang memelihara anjing- melainkan anjing buruan ataupun bagi pengembalaan kambing- maka akan dikurangkan dari pahala hariannya sebanyak dua Qirat. [HR Riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Yakni memelihara anjing tanpa keperluan yang mendesak, saja suka-suka atau minat.
Anjing perburuan termasuk anjing pengesan polis dan seumpamanya.
7. Maka ingatlah anjing bukan sesuatu haiwan yang boleh kita buat main-main dan ikut suka kepala kita hukumnya.

PENGAJARAN & FAEDAH:

1- ‘Uzlah – عزلة, bermaksud menjauhi atau mengasingkan diri daripada orang lain, menjauhkan diri dari kejahatan, maksiat, dan fitnah malah menghindari perbuatan mubah (harus) yang tidak mendatangkan manfaat. Bahkan Rasulullah s.a.w sentiasa menjauhkan diri dari pasar-pasar yang ramai orang, malah majlis-majlis yang lagha, membingitkan dan bising.
2- ‘Uzlah juga bermakna bersendirian kerana lari untuk menjaga agama dan menghindari fitnah bila keadaan tidak sesuai untuk kita bersama orang ramai.
3- Tetapi ingat, ‘uzlah bukannya bererti menjauhkan diri dari manusia pada waktu-waktu biasa (hatta putus silaturrahim atau persaudaraan) ataupun majlis kebajikan, solat berjemaah, majlis ilmu dan seumpamanya.
4- Konsep ‘uzlah ada 3 kategori:
i- ‘Uzlah hati/batin- untuk memelihara diri sendiri daripada melakukan kejahatan atau keburukan,kawal dan jaga hati dan nafsu kita sendiri.
ii- ‘Uzlah separuh- menjauhkan diri daripada orang dan keadaan yang boleh membawa kepada keburukan dan kerosakan agama kita.
iii- Total lockdown – ‘uzlah penuh seperti Ashaabul-Kahfi ini apabila keadaan memerlukan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Hampir saja sebaik-baik harta seseorang adalah kambing yang dia pelihara di puncak bukit dan lembah, kerana dia lari menyelamatkan agamanya daripada fitnah.” (Riwayat Bukhari)
Hadis ini menggambarkan tuntutan menjauhi tempat fitnah dan memohon dari ALLAH agar memberi keselamatan.
5- Keadaan negara kita sekarang ini belum sampai waktunya, kita masih boleh solat dan beribadat lain dengan aman dan selamat. Maka jangan silap tindakan, sudah mahu lari ke hutan gua dan sebagainya.
Ini kerana Rasulullah s.a.w bersabda juga:
“Seorang mukmin yang bercampur dengan manusia dan bersabar atas kejahatan mereka lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas kejahatan mereka.” (HR Ibnu Majah No: 4022).
*Ini boleh menjadi sebab untuk kita berdakwah kepada masyarakat dengan mempamerkan qudwah hasanah dalam agama dan akhlak, insya’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs