View Categories

SURAH AL-KAHF : AYAT 66-70

\"\"

NABI MUSA MINTA NAK BERGURU DENGAN KHADHIR, BEBERAPA SYARAT BELAJAR DIKENAKAN & PENGAJARAN DAN IBRAH YANG DAPAT DIAMBIL.

Full video: https://youtu.be/2ONP-jheNnM

MUQADDIMAH :
1. Kisah lepas Nabi Musa a.s apabila dia sedang berkhutbah kepada Bani Israil, dia ditanya siapakah orang yang paling alim.
2. Nabi Musa sebagai seorang nabi dan rasul, menjawab dengan yakin bahawa dia adalah orang yang paling alim.
3. Lalu Allah s.w.t menegurnya kerana tidak menjawab: Wallahu a’lam. Serta memberitahunya tentang seorang hamba-Nya yang diberi ilmu dan hikmah. Dia duduk di atas sebuah batu, di antara pertembungan dua laut. Tandanya ialah ikan yang mereka bawa akan hidup kembali dan terjun ke laut.
4. Lalu segera Nabi Musa memulakan perjalanannya untuk mencari lelaki soleh itu bersama teman/muridnya yang bernama Yusya’. Sepakat ulama\’ mengatakan Lelaki itu ialah Khadir/Khidir, seorang nabi atau wali Allah yang terpilih.
5. Juga diceritakan kenapa namanya Khadir (hijau) serta beberapa perbincangan ulama\’ tentangnya:
i- Nabi atau hanya orang soleh bukan nabi.
ii- Hidup atau sudah mati.
Kedua-dua persoalan ini ada para ulama\’ besar yang menyokong kedua jenis pendapat ini. Ada penjelasan dalam siri lepas.
6. Maka kisah dalam siri ini adalah tentang pertemuan mereka dan perjalanan bersamanya yang sarat dengan ilmu dan pengajaran yang tidak terjangkau akal fikiran manusia biasa.
7. Pengajaran pertama yang Musa dapat dari Khadir ialah; Bandingan ilmu Allah dan ilmu manusia. Seolah patukan burung dan air laut. Antara isi daripada hadis Rasulullah s.a.w yang panjang tentang kisah mereka ini:
“Kemudian keduanya berjalan di tepi pantai, dan keduanya menjumpai perahu. Maka keduanya meminta kepada para pemilik perahu itu agar mereka berdua diperbolehkan menaiki perahu itu. Kemudian ada seekor burung pipit hinggap di sisi perahu itu, lalu minum air laut itu dengan paruhnya sekali atau dua kali patukan.
Maka Khadir berkata kepada Musa, \”Tiadalah ilmuku dan ilmumu dibandingkan dengan ilmu Allah, melainkan seperti kurangnya air laut ini oleh apa yang diminum oleh burung pipit ini.\” [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 66- {NABI MUSA BERKATA KEPADANYA: BOLEHKAH AKU MENGIKUTMU, DENGAN SYARAT ENGKAU MENGAJARKU DARI APA YANG TELAH DIAJARKAN OLEH ALLAH KEPADAMU, ILMU YANG MENJADI PETUNJUK BAGIKU?\”} (AL-KAHFI 18:66)1,

Pertama sekali sampai Musa a.s memberi salam kepada Khadir dan terus memperkenalkan dirinya. Begitulah yang adab yang sepatutnya dan penting sekali.
2. Lalu menyatakan hasratnya datang untuk belajar dan menuntut ilmu daripada Khadir. Nabi Musa minta izin lagi untuk mengikut Khadir dengan penuh tertib dan merendah diri. Inilah adabnya, bukan sombong bodoh.
3. Khadir bertanya tidak cukupkah wahyu dan Kitab Taurat yang Allah turunkan kepadamu? Sesungguhnya aku mempunyai ilmu yang tidak perlu kamu ketahui dan bagi kamu ilmu yang aku tidak ketahui.
4. Ilmu yang Musa mahu belajar dari Khadir ini adalah ilmu yang berbeza dari yang dia dapat dari Taurat, iaitu bukan berkaitan dengan hukum-hakam dan perundangan umum untuk seluruh Bani Israil, kerana Musa sebagai seorang rasul.
5. Musa mahu menambah ilmunya dengan ilmu khas yang Allah beri kepada Khadir, ilmu yang bermanfaat, yang bersifat tersendiri, kes personal, isu khas yang bergantung kepada keadaan.

AYAT 67- {IA MENJAWAB: \”SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUSA), TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT BERSABAR BERSAMAKU.} (AL-KAHFI 18:67)

1. Khadir memberi nasihat kepada Musa a.s agar dia tidak mengikutnya, bahawa dia tidak akan dapat bersabar dengannya kerana ilmunya itu sesuatu yang khas dan istimewa.

AYAT 68- {DAN BAGAIMANA ENGKAU AKAN SABAR TERHADAP PERKARA YANG ENGKAU TIDAK MENGETAHUINYA SECARA MELIPUTI?} (AL-KAHFI 18:68)
1. Khadir memberi peringatan sekali lagi kepada Musa a.s; bahawa dia tidak akan dapat bersabar dan akan membantah perbuatannya nanti.
2. Ini kerana Musa a.s tidak akan dapat memahami dan tidak mengetahui hikmahnya kerana ia adalah di luar kemampuan kesabaran dan pemikirannya.

AYAT 69- {NABI MUSA BERKATA: \”ENGKAU AKAN DAPATI AKU, INSYAA ALLAH: ORANG YANG SABAR; DAN AKU TIDAK AKAN MEMBANTAH SEBARANG PERINTAHMU\”.} (AL-KAHFI 18:69).
1. Nabi Musa tidak berputus-asa dan terus merayu untuk mengikut Khadir. Dia berjanji insya\’ Allah akan cuba bersabar dan tidak akan membantah.
2. Ulama\’ mengatakan Musa berkata Insya’Allah kerana dia juga kurang yakin dia akan dapat bersabar kerana sifatnya.

AYAT 70- {IA MENJAWAB: \”SEKIRANYA ENGKAU MENGIKUTKU, MAKA JANGANLAH ENGKAU BERTANYA KEPADAKU AKAN SESUATUPUN SEHINGGA AKU CERITAKAN HALNYA KEPADAMU\”.} (AL-KAHFI 18:70).
1. Lalu akhirnya Khadir menerimanya dengan memberi syarat kepada Musa supaya jangan bertanya, membantah atau komen apa-apa perbuatannyna sehinggalah dia sendiri memberitahu sebabnya kepada Musa.
2. Maka bersetujulah Musa dan bermulalah pengembaraan mereka berdua, tentang Yusya’ tidak disebut lagi, mungkin hanya menemani setakat itu sahaja.
3. Kita akan mulakan pengembaraan bersama Musa a.s dan Khadir dalam ayat-ayat seterusnya, insya\’ Allah.

PENGAJARAN DAN FAEDAH :
1. Nabi Musa a.s telah melalui rehlah perjalanan yang panjang tempoh dan jaraknya. Penat dan mencabar semata-mata untuk menuntut ilmu.
2. Ini menjadi dalil dan menunjukkan akan kelebihan menuntut ilmu dan galakan untuk mengembara kepadanya. Jangan berpada dengan apa yang di kampung kita sahaja.
3. Kita kena cuba dan ambil peluang untuk bertemu dengan orang-orang soleh dan alim
Sebagaimana kisah sahabat Jabir bin Abdullah yang mengembara ke Syam untuk bertemu dengan Abdullah bin Unais r.a selama sebulan, semata-mata untuk bertanya tentang sebuah hadis. Hadis tentang keadaan manusia dibangkitkan di padang Mahsyar, Akhirat kelak.
4. Mesti membuat persediaan mental dan fizikal dalam mencari ilmu walaupun susah. Sebagaimana Nabi Musa a.s yang sudah bersedia untuk menempuh perjalananan yang jauh jarak dan lama tempohnya. Tetapi dengan mukjizat Allah s.w.t, dia tidak merasa letih dan penat pada awalnya.
5. Kepentingan meningkat dan menambahkan ilmu. Sebagaimana Nabi Musa a.s yang meninggalkan sekejap tugasnya sebagai seorang rasul dan pemimpin kepada Bani Israil semata-mata untuk menuntut dan menambah ilmunya.
6. Maka para pendakwah dan penceramah, sebelum menyampaikan sesuatu ilmu kepada orang ramai kita wajib murajaah (buat rujukan dan kepastian) dan membuat kajian terlebih dahulu.
7. Bukan semua soalan/isu wajib dijawab, hanya boleh jawab jika kita ada ilmu dan tahu tentang persoalan itu, serta ia boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
8. Penuntut ilmu kena musafir dan bersusah-payah dalam mencari ilmu.
9. Jika buat satu kesilapan jangan salahkan kepada taqdir.
10. Nabi Musa a.s melayan pembantunya dengan baik, ajak makan sekali dan tidak memarahinya jika ada salah.
11. Perbezaan keadaan Nabi Musa ketika bermusafir kepada manusia kali ini merasa lapar dan penat, manakala ketika dia bermunajat kepada Allah dulu tidak berasa lapar dan penat.
12. Ini kerana; Musafir kepada dunia kita berjalan dengan kaki, Musafir kepada Allah kita berjalan dengan hati.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs