View Categories

SURAH AL-KAHF : AYAT 71-78

\"\"

NABI MUSA DAN KHADHIR MULAKAN PERJALANAN DENGAN PERAHU, DIROSAKKAN OLEH KHADHIR DAN JUMPA BUDAK SEDANG BERMAIN DI BUNUH OLEH KHADHIR, NABI MUSA MEMBANTAH DAN MINTA MAAF KERANA MENEGUR.

Full video : https://youtu.be/bJluEtEUKhE

MUQADDIMAH :
1. Siri lalu disebut beberapa fawaid (faedah) dari kisah Nabi Musa dan Khadir, iaitu 11 perkara pengajaran dan faedah.
2. Kita sambung lagi hari ini:
1- Musa a.s ini seorang rasul dan nabi tetapi apabila Allah s.w.t memberitahu bahawa ada lgi orang yang lebih alim daripadanya maka nb Musa a.s tidak teragak-agak untuk pergi mencari orang alim itu dan cuba menuntut ilmu darinya. Menunjukkan sifat yang tawadhuk dan cintakan ilmu, tamak untuk belajar dan menambahnya.
2- Antara adab menuntut ilmu lagi, setiap murid perlu ada sifat merendah diri dan nampak berkehendak dan menginginkan untuk belajar ilmu.
3. Musa a.s mengambil risiko yang tinggi untuk belajar ilmu yang barubaginya, jadi kena sabar dalam ujian dan risiko.
4. Sesama manusia atau orang alim itu saling lengkap-melengkapi ilmu dan pengetahuannya.
5. Tafsir al-Munir mengatakan Khadir bukanlah nama sebenarnya, hanya gelaran sahaja, dikatakan Namanya Baliya bin Malkan.
6. Akhirnya Khadir bersetuju untuk membenarkan Musa a.s mengikutnya dengan syarat: Jangan bertanya, membantah atau komen apa-apa perbuatannyna sehinggalah dia sendiri memberitahu sebabnya kepada Musa.
2. Maka bersetujulah Musa dan bermulalah pengembaraan mereka berdua, tentang Yusya’ tidak disebut lagi, mungkin hanya menemani setakat itu sahaja.
3. Kita akan mulakan pengembaraan bersama Musa a.s dan Khadir dalam ayat-ayat seterusnya, insya\’ Allah.

AYAT 71- {LALU BERJALANLAH KEDUANYA SEHINGGA APABILA MEREKA NAIK KE SEBUAH PERAHU, IA MEMBOCORKANNYA. NABI MUSA BERKATA: \”PATUTKAH ENGKAU MEMBOCORKANNYA SEDANG AKIBAT PERBUATAN ITU MENENGGELAMKAN PENUMPANG-PENUMPANGNYA? SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH MELAKUKAN SATU PERKARA YANG BESAR\”.} (AL-KAHFI 18:71)
1. Mereka berdua berjalan sehingga tiba ke tepi laut. Terjumpa sebuah perahu yang tuannya mengenali Khadir lalu mereka pun menaikinya. Ini menunjukkan bahawa Khadir dikenali oleh penduduk kawasan itu.
2. Tiba-tiba setiba di tengah laut, Khadir mencabut/memecahkan sekeping dinding perahu itu, Musa a.s yang terkejut terus bertanya dan memarahinya dengan berkata: \”Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar\”.
3. Ini kerana Musa a.s tidak mengetahui sebab perbuatan Khadir itu, maka bagi dia itu adalah satu perbuatan yang pelik dan salah.
4. Apabila kita tahu sebab maka hilanglah kepelikan.

AYAT 72- {IA MENJAWAB: \”BUKANKAH AKU TELAH KATAKAN, BAHAWA ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT BERSABAR BERSAMAKU?\”} (AL-KAHFI 18:72).
1. Khadir terus mengingatkan Musa a.s akan pesanannya, “Bukankah aku telah katakan kepadamu bahawa aku tahu pasti kamu tidak akan dapat bersabar”.

AYAT 73- {NABI MUSA BERKATA: \”JANGANLAH ENGKAU MARAH AKAN DAKU DISEBABKAN AKU LUPA (AKAN SYARATMU); DAN JANGANLAH ENGKAU MEMBERATI DAKU DENGAN SEBARANG KESUKARAN DALAM URUSANKU (MENUNTUT ILMU)\”.} (AL-KAHFI 18:73)
1. Musa a.s terus sedar dan meminta maaf kepada Khadir, agar jangan diambil kira kelupaannya.
2. Dia juga meminta kepada Khadir agar jangan berbuat sesuatu yang memberatinya dalam rehlah menuntut ilmu ini.

AYAT 74- {KEMUDIAN KEDUANYA BERJALAN LAGI SEHINGGA APABILA MEREKA BERTEMU DENGAN SEORANG PEMUDA LALU IA MEMBUNUHNYA. NABI MUSA BERKATA \”PATUTKAH ENGKAU MEMBUNUH SATU JIWA YANG BERSIH, YANG TIDAK BERDOSA MEMBUNUH ORANG? SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH MELAKUKAN SATU PERBUATAN YANG MUNGKAR!\” (AL-KAHFI 18:74)
1. Lalu mereka pun meneruskan perjalanan lalu bertemu dengan seorang budak yang sedang beramain-main tepi jalan. Budak maknanya seorang yang belum cukup umur lagi.
2. Tiba-tiba Khadir mengambil dan membunuh budak itu. Terdapat beberapa riwayat dalam hadis bagaimana cara dibunuhnya.
3. Pastilah terkejut Nabi Musa a.s lalu sekali lagi menegur dan mengkritik perbuatan Khadir itu yang jelas nampak seperti satu perbuatan yang mungkar, iaitu membunuh seorang budak yang suci tidak berdosa.

AYAT 75- {IA MENJAWAB: \”BUKANKAH, AKU TELAH KATAKAN KEPADAMU, BAHAWA ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT BERSABAR BERSAMAKU?\” (AL-KAHFI 18:75)
1. Khadir terus mengingatkan Musa a.s akan pesanannya, “Bukankah aku telah katakan kepadamu bahawa aku tahu pasti kamu tidak akan dapat bersabar”.

AYAT 76- {NABI MUSA BERKATA: \”JIKA AKU BERTANYA KEPADAMU TENTANG SEBARANG PERKARA SESUDAH INI, MAKA JANGANLAH ENGKAU JADIKAN DAKU SAHABATMU LAGI; SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH CUKUP MENDAPAT ALASAN-ALASAN BERBUAT DEMIKIAN DISEBABKAN PERTANYAAN-PERTANYAAN DAN BANTAHANKU\”.} (AL-KAHFI 18:76)
1. Nabi Musa a.s sedar akan kesilapannya yang tidak dapat bersabar di atas perbuatan pelik Khadir, dia tidak lagi meminta maaf atas sebab lupa.
2. Ulama\’ kata Musa a.s tidak meminta maaf atas perbuatnya menegur perbuatan Khadir membunuh, kerana ia adalah satu kemungkaran dan dosa besar dalam ilmu dan hukum syariahnya. Maka atas menjaga prinsipnya, dia terpaksa menegur Khadir walaupun dia tahu dia akan melanggar janji, yakni bukan kerana dia terlupa lalu menegur.
3. Lalu dia sendiri terus membuat janji, jika selepas ini sekali lagi dia bertanya atau mempersoalkan perbuatan Khadir, maka sudah tiada maaf dan alasan untuknya bersama Khadir lagi.
4. Kerana jika dia terus ikut Khadir cuma akan menyusahkan dan mengganggu tugas dan pekerjaan Khadir dengan sebab bantahan dan soalan-soalannya.
3. Cukuplah jika tiga kali membuat kesilapan, begitulah juga cara dan adab kita dalam persahabatan, perjanjian dan sebagainya. Hatta talaq dalam Islam pun Allah bagi peluang 3 kali.

AYAT 77- {KEMUDIAN KEDUANYA BERJALAN LAGI, SEHINGGA APABILA MEREKA SAMPAI KEPADA PENDUDUK SEBUAH BANDAR, MEREKA MEMINTA MAKAN KEPADA ORANG-ORANG DI SITU, LALU ORANG-ORANG ITU ENGGAN MENJAMU MEREKA. KEMUDIAN MEREKA DAPATI DI SITU SEBUAH TEMBOK YANG HENDAK RUNTUH, LALU IA MEMBINANYA. NABI MUSA BERKATA: \”JIKA ENGKAU MAHU, TENTULAH ENGKAU BERHAK MENGAMBIL UPAH MENGENAINYA!\”} (AL-KAHFI 18:77)
1. Mereka pun meneruskan perjalan sehingga tiba ke sebuah bandar. Tentang nama dan lokasi bandar ini terdapat terlalu banyak pandangan yang berbeza untuk dipilih. Ulama\’ berkata kerana Allah s.w.t tidak menyebutnya maka tidak perlulah kita mengoreknya.
2. Sebagai musafir yang keletihan dan kelaparan, setiba di sana mereka meminta budi baik penduduknya untuk meminta makanan. Tetapi malangnya penduduk kampung itu adalah golongan yang bakhil dan enggan menerima mereka sebagai tetamu.
3. Lalu mereka pun pergi untuk berehat dipinggir kota itu dan bersandar kepada sebuah tembok/dinding yang hampir runtuh. Khadir pun terus membaiki tembok itu sehingga berdiri dengan teguh semula.
4. Musa a.s pun terus menegurnya dengan mengatakan kalaulah dia mengambil upah daripada penduduk yang bakhil itu, bolehlah mereka gunakannya untuk makan dan tempat berteduh. Yakni perbuatan Khadir itu adalah sia-sia, tiada guna berbuat baik dengan percuma kepada penduduk kota itu.

AYAT 78- {IA MENJAWAB: \”INILAH MASANYA PERPISAHAN ANTARAKU DENGANMU, AKU AKAN TERANGKAN KEPADAMU MAKSUD (KEJADIAN-KEJADIAN YANG DIMUSYKILKAN) YANG ENGKAU TIDAK DAPAT BERSABAR MENGENAINYA.} (AL-KAHFI 18:78)

1. Lalu dalam ayat ini Khadir memutuskan terus akan perpisahan mereka, cukuplah setakat itu.
2. Tetapi sebelum itu dia akan menjelaskan kepada Musa a.s akan semua rahsia perbuatannya yang menjadi persoalan dan bantahan Nabi Musa a.s.
3. Kita akan dengarnya dalam ayat-ayat seterusnya dalam siri yang akan datang, insya\’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs