HUKUMAN KE ATAS PENCURI, TAUBAT MEREKA & ALLAH PEMILIK ALAM INI.
Full video : https://youtu.be/wgBF00IWp8A?si=gEzJHFiPmdr3wTpE
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 38 sehingga 40.
- Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan tentang hukuman yang dikenakan ke atas pencuri.
- Serta apa yang terjadi jika mereka bertaubat, bagaimana pula hukumannya.
- Kemudian Allah nyatakan kekuasaan-nya sebagai Pemilik & Penguasa alam ini, langit & bumi serta isinya.
Semua benda berlaku dengan kehendak Allah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukum rompakan & samun secara kekerasan serta melakukan kerosakan atas muka bumi ni!
Allah nyatakan hukumannya adalah potong kaki & tangan secara silang bagi mereka yang merompak secara kekerasan & keganasan.
ii- Manakala dalam hukum ini mereka yang mencuri secara senyap-senyap tanpa melakukan keganasan maka hukumnya hanya potong satu tangan.
- Munasabah kedua:
i- Apabila Allah menyebut tentang bahayanya kesalahan membunuh yang begitu besar dosanya serta hukuman bunuh-balas (Qisas) yang dijatuhkan ke atasnya.
ii- Maka datang selepasnya, ayat merompak & mencuri yang tidak sampai kepada membunuh orang lain; tetapi hanya terlibat dengan harta saja, maka hukumnya lain pula.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 38- {DAN ORANG LELAKI YANG MENCURI DAN ORANG PEREMPUAN YANG MENCURI MAKA (HUKUMNYA) POTONGLAH TANGAN MEREKA SEBAGAI SATU BALASAN DENGAN SEBAB APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN, (JUGA SEBAGAI) SUATU HUKUMAN PENCEGAH DARI ALLAH. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-MAAIDAH 5:38)
- Allah tegaskan sesiapa yang mencuri sama ada pencuri lelaki atau pencuri perempuan, hukumannya adalah dipotong tangan mereka.
Allah mulakan dengan pencuri lelaki kerana dalam hal ini biasanya lelaki yang lebih mempunyai kekuatan.
- Kata ulama’ hukumnya :
i- Ayat ini ditujukan kepada semua manusia semua sekali tetapi ia kembali kepada pemerintah/imam yang berkuasa untuk melaksanakannya.
Bukan boleh dibuat senang-senang oleh ketua kampung atau orang biasa dalam masyarakat sahaja.
ii- Had tangan untuk dipotong itu ialah setakat pergelangan tangan, telah sabit dalam Sunnah Nabi SAW.
- Hukuman ini sebagai balasan dari perbuatan jahat, mencuri yang mereka kerjakan itu.
Ia juga sebagai satu undang-undang pencegahan dari Allah SWT!
Selain untuk menghukum, Allah juga buat hukuman ini untuk mencegah & menghalang orang lain daripada melakukannya lagi!
- Kerana itu hukuman hudud dalam Islam mesti dilakukan di tempat terbuka, disaksikan oleh orang ramai secara public.
Ini untuk mencampakkan perasaan gerun & takut dalam hati manusia.
Jika buat secara tersembunyi orang tak nampak & tidak akan sampai tujuan hukuman itu sebagai pencegahan!
Betapa sempurnanya undang-undang Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya.
- Serta ingatlah bahawa Allah SWT:
i- Allah Maha Berkuasa {عَزِيزٌۭ} yakni Allah berkuasa, mampu & gagah perkasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas pencuri ini serta ahli maksiat yang lain!
ii- Serta Allah Maha Bijaksana {حَكِيمٌۭ} yakni hukum Allah itu penuh dengan hikmah & kebijaksanaan.
Jangan sesekali kamu tidak yakin & pertikaikannya.
- Kita sebagai orang beriman; apa yang Allah perintahkan, larang dan tetapkan kita terima semuanya dengan yakin, serta akur dengan penuh ketaatan!
AYAT 39- {MAKA SESIAPA YANG BERTAUBAT SESUDAH IA MELAKUKAN KEJAHATAN (CURI) ITU DAN MEMPERBAIKI AMAL USAHANYA, SESUNGGUHNYA ALLAH MENERIMA TAUBATNYA; KERANA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MAAIDAH 5:39)
- Ayat ini adalah hukum bagi orang yang bertaubat.
Yakni selepas mencuri itu dia menyesal, insaf lalu bertaubat serta memperbaiki kerosakan yang dibuatnya, elokkan perangai dan kehidupannya kembali kepada Allah; maka Allah akan menerima taubatnya.
Ini menunjukkan betapa Allah menggalakkan manusia agar bertaubat secara sukarela.
- Tetapi ada dua keadaan taubat & lain hukumannya:
i- Bertaubat secara sukarela sebelum ditangkap lagi (taubat nausha).
ii- Taubat terpaksa selepas ditangkap baru insaf (taubat truk atau taubat ulu golok) tetap kena hukum juga apabila sudah dibawa kepada pemerintah, hukum hudud tidak boleh digugurkan lagi!
Hadis Nabi SAW yang menegur seorang sahabat yang hendak memaafkan seorang pencuri yang telah dibawa ke hadapan Baginda SAW untuk dihukum.
Jika nak maaf, maafkan sebelum itu.
- Kata Imam Ibnu Kathir RHM : Tetapi walaupun mereka bertaubat & diampunkan Allah ATAU telah dihukum & lalu bertaubat, dalam dua-dua kes ini barang & harta orang yang diambil wajib dipulangkan balik atau bayar ganti-ruginya jika telah tiada.
Bukan lepas begitu saja.
Inilah keadaan dalam perundangan Islam.
Jika tidak seronoklah para pencuri & perompak, mengumpul hasil haram mereka, menerima hukuman kemudian menikmatinya selepas dihukum itu!
- Serta ingatlah bahawa Allah SWT:
i- Allah Maha Pengampun, {غَفُورٌ} yakni Allah sifatnya pemaaf & mengampuni ke atas pencuri ini serta ahli maksiat yang lain jika mereka benar insaf & mahu bertaubat!
ii- Lagi Maha Mengasihani {رَّحِيمٌ} Dia juga maha Mengasihani, akan menerima taubat mereka dengan penuh kasihan belas.
- Lihatlah perbezaan antara dua penutup ayat ini:
i- Apabila galakan untuk orang bertaubat Allah kata Dia: {Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani}
ii- Manakala dalam ayat sebelum ini adalah untuk menjatuhkan hukuman maka Allah kata Dia: {Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana}.
AYAT 40- {TIDAKKAH ENGKAU MENGETAHUI BAHAWA ALLAH MENGUASAI PEMERINTAHAN LANGIT DAN BUMI? IA MENYEKSAKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIATNYA), DAN MENGAMPUNKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIATNYA). DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MAAIDAH 5:40)
- Allah perkenalkan diri-Nya & nyatakan kekuasaan-nya sebagai Penguasa langit & bumi, berkuasa ke atas manusia.
Ini mengikut aturan Syari’ah-Nya & berkuasa ke atas setiap sesuatu!
- Munasabah ayat:
i- Setelah Allah nyatakan hukuman ke atas pencuri yang kena potong tangan & diazab di Akhirat kelak jika mereka tidak bertaubat.
Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia akan terima taubat mereka jika mereka benar-benar bertaubat dengan taubat nasuha.
ii- Maka datang ayat ini Allah nak tunjukkan kuasa-Nya; Aku Pemilik langit & bumi ini, apa Aku nak buat Aku buat, siapa Aku nak ampunkan, siapa Aku nak siksakan, Aku berkuasa ke atas setiap sesuatu.
- Kata ulama’ : Setelah menyatakan hukum hudud yang keras ini, Allah menyatakan, memperkenalkan siapakah diri-Nya, Zat-Nya yang maha Mulia, Pemilik alam ini, jangan kamu nak pertikaikannya.
- Allah boleh buat apa saja yang Dia kehendaki, Allah ampunkan siapa yang nak ampunkan & Allah azab siapa yang Dia nak azab.
- Serta ingatlah bahawa Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu:
Kita tidak boleh nak pertikaikan undang-undang, kehendak & kekuasaan Allah SWT, maka kita tunduk akurlah kepada perintah-Nya maka barulah kita aman di dunia & selamat di Akhirat kelak!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 38- {Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka}-
Allah sebut satu-satu & asingkan antara pencuri lelaki & pencuri perempuan, ini untuk menghilangkan keraguan siapa yang kena hukum.
Ini kerana pada zaman jahiliyyah perempuan ini tiada harga maka pastilah tiada hukuman juga ke atas mereka.
Maka untuk menghilangkan fahaman salah ini – Allah sebut dengan jelas keduanya, pencuri lelaki & pncuri perempuan, keduanya kena potong tangan!
Sebagaimana firman Allah SWT:
{Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.} (Al-Baqarah 2:178)
Maka dalam Islam; perempuan jangan sedap hati jika kamu buat jenayah & dosa, kamu tetap akan kena hukum juga.
Beza cara sebut ayat bagi pencuri & ayat bagi zina:
i- Dalam ayat mencuri ini disebut pencuri lelaki dulu sebelum perempuan:
ini kerana perbuatan mencuri ini biasanya orang yang berhati keras, kasar dan perlu kekuatan, biasanya lelaki yang bersifat begini.
Kerana itu biasanya lebih ramai pencuri lelaki daripada perempuan, tetapi tetap ada pencuri perempuan.
ii- {Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat} (An-Nur 24:2)
Tetapi dalam bab zina disebut perempuan dulu kerana ia lebih memberi mudharat & kesan buruk ke atas perempuan.
Jenayahnya sangat dahsyat & lebih teruk kesannya ke atas perempuan daripada lelaki, mereka boleh hilang maruah, hamil tanpa nikah dan pelbagai lagi keburukan.
- Ayat 38- {maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan..}-
Maka potonglah tangan mereka itu lelaki atau perempuan.
Syarat potong tangan sebagaimana yang telah dihadkan oleh Sunnah Nabi SAW:
i- Mencuri dari tempat simpanan. Bukan seperti barang yang jatuh di tepi jalan, atau tertinggal di tempat awam. Tetap kena hukum tetapi tidak jatuh kena potong tangan. Juga ambil secara senyap-senyap, sembunyi bukan dihadapan tuannya.
ii- Barang yang dicuri mesti cukup nisab (jumlah harga tertentu) ada yang kata satu perempat dinar atau 3 dirham atau yang senilai dengannya sekarang ini.
Jika tidak cukup nisab itu tidak kena hukuman tangan tetapi kena hukum juga dengan ta’zir.
iii- Barang yang dicuri itu barang yang berharga seperti makanan & harta yang mempunyai nilai dalam Islam.
Bukan mencuri barang yang tiada kehormatan, hina, kotor & haram dalam Islam seperti alat muzik, babi, anjing dan seumpamanya.
Kena hukum juga ta’zir tetapi bukan potong tangan.
iv- Tidak ada sebarang keraguan atau syubhat dalam perbuatannya itu.
Huraian panjang boleh lihat dalam kitab Feqah seperti Fiqh al-Manhaji.
Boleh lihat rakaman kuliah DDAAM di: https://youtu.be/2i-BKXcZA5A?si=JTGWDjloF7wGgaG4
- Ayat 38- {maka (hukumnya) potonglah tangan mereka..}-
Ulama’ kata : Ayat ini menunjukkan kepada wajib adanya pemerintah Islam yang berkuasa untuk menjalankan hukum hudud ini!
Wajib lantik pemerintah untuk melaksanankan hukum hudud!
Kita orang kampung atau masyarakat awam tidak boleh ambik tindakan sendiri.
Boleh tangkap & ikat dia lalu serahkan kepada polis atau pihak berkuasa yang berkenaan.
Jangan ambil tidak sendiri jika tidak kamu pula akan kena hukum jika mereka tercedera apatah lagi jika sampai terbunuh!
Had potong tangan:
i- Setakat pergelangan tangan & hanya sebelah sahaja untuk permulaan.
ii- Tangan yang dipotong ialah tangan kanan (sebagaimana seperti bacaan Ibnu Mas’ud RA), tangan dipilih dulu jika buat lagi yang kiri pula atau jika tiada tangan kanan baru dipotong tangan kiri terus.
Persoalan 1:
Kenapa potong tangan kanan, bukankah kita nak guna untuk tasyahud dan lain-lain kebaikan?
Jawapan: Ini kerana biasanya tangan kanan lebih dominan & kerap diguna, jarang-jarang ada yang kidal maka tangan kanan dipilih dulu.
Persoalan 2:
Hukum mencuri potong tangan tetapi kenapa hukum zina tidak potong alat kelamin atau zakarnya???
i- Kerana jika potong tangan kanan masih ada lagi tangan kiri untuk digunakan tetapi jika potong zakar satu je, tiada lagi la alat kelamin lain untuk digunakan!
ii- Hukuman hudud untuk dimanifestasikan kepada orang ramai, supaya nampak zahir untuk diambil iktibar; maka jika potong alat kelamin, tak nampak kerana ia tersembunyi dalam kain, potong tangan semua orang boleh nampak dan tahu tu sebab hudud.
iii- Potong tangan tidak menghilang keturunan seperti potong alat kelamin.
Kita bukan nak buang keturunannya, kita hanya nak beri hukuman atas jenayahnya sahaja. Wallahu a’lam.
- Ayat 38- {(juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah..}-
Allah tegaskan bahawa hukum itu dibuat sebagai satu pencegahan yang datang dari Allah {نَكَـٰلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ}!
a) Yakni Allah buat hukuman ini kerana nak cegah jenayah itu:
i- Pertama dari sudut perlaksanaan undang-undangnya yang keras.
ii- Yang kedua Allah akan beri keberkatan kepada kerajaan yang melaksanakan undang-undang Syari’ah!
Contoh di Tanah Haram, apabila orang azan saja para peniaga hanya meninggalkan kedai mereka dengan tudung dengan kain begitu saja tanpa perlu kunci grill yang berat-berat untuk ke masjid solat jemaah.
Ayat ini juga menolak fahaman Jabariyah yang mengatakan manusia ini seperti robot yang hanya ikut remote control saja tanpa kuasa ke atas diri sendiri, maka tidak boleh hukum orang yang mencuri kerana perbuatan itu diluar kawalan mereka. Ini karut!
b) Hudud ini juga sebagai:
i- Hudud satu penghapus dosa (kaffarah) kerana itu Allah kata ia adalah sebagai balasan () maka sebagai balasan kena hukum, Allah hapuskan dosanya & tidak akan tambah lagi dosa ke atasnya.
Setelah selesai jalani hukuman hudud, Allah tidak akan tambah lagi dosa ke atasnya di Akhirat kelak.
ii- Pencegahan kerana ia akan membuatkan orang lain jadi takut, tak berani nak buat, walaupun ada juga pencuri tetapi amat sedikit sekali di negara yang menjalankan hukuman hudud ini.
Kemudian di akhir ayat sebagai penutup Allah kata: {وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ } Allah Maha Kuasa serta Allah Maha Bijaksana:
Yakni Allah yang menjatuhkan hukuman hudud ini ialah Tuhan Yang Maha Kuasa, mampu & gagah perkasa lagi Maha Bijaksana; bukan Tuhan yang lemah & bodoh.
Kisah seorang badwi yang mendengar seseorang silap membaca ayat ini dengan diletak penutup ayat yang lain, dia boleh menegurnya kerana tidak sesuai maknanya, jadi ayat yang Allah tutup ini akat kena & sesuai!
- Ayat 39- {Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya;}-
Sesiapa yang bertaubat selepas dia melakukan kezaliman dengan taubat nasuha (yang ikhlas & bersungguh-sungguh) Allah akan terima taubatnya.
Tetapi yang penting sebelum kesnya diangkat kepada pemerintah, maka selamatlah tangannya tidak dipotong tetapi dia kena insaf serta pulangkan balik barang orang yang diambil itu!
Jika sudah sampai kepada pemerintah tidak dapat digugurkan lagi undang-undang, walaupun mangsa itu tiba-tiba memaafkannya!
Jika nak maafkannya wajib sebelum dibawa ke hadapan pemerintah.
Sebagaimana hadis Nabi SAW di atas tadi.
Ini kerana berbeza hukuman yang akan dijatuhkan bagi yang bertaubat sebelum atau selepas ditangkap & diangkat kepada pemerintah.
Maka kita perlu beri keterangan & kefahaman kepada masyarakat agar mereka tidak berani buat jenayah mencuri & menzalimi orang kerana ia adalah satu perbuatan jenayah yang besar dan merosakkan.
Di akhir dua ayat Allah kata: {غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ} {Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani} & {وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ } Allah Maha Kuasa serta Allah Maha Bijaksana:
Banyak sekali dalam ayat-ayat dalam al-Quran yang Allah gabungkan dua sifat-Nya ini, sesuai dengan keadaan & hukum yang dibawa.
Munasabah ayatnya begitu:
i- Jika Allah itu gagah & kuat, Dia juga Bijaksana maka hukuman & tindakannya penuh hikmah dan tidak melulu.
Bukan seperti sesetengah manusia yang ada kuasa & gagah mula salah gunanya tidak menentu.
ii- Dalam bab taubat, bab rahmat Allah kata Dia Maha Pengampun menghapuskan dosa kamu serta kasihan belas memberi rahmat kepada kamu.
Ilmu hujung atau ayat penutup ini amat berfaedah untuk kita kaji & fahami kerana ia menunjukkan akan kebijaksanaan, kesempurnaan & kekuasaan Allah SWT serta menjadikan kita orang yang mudah faham & dengar kata.
Alhamdulillah tamatlah perbincangan untuk kuliah kita hari ini.
Semoga mendapat manfaat & pengajarannya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.