View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 48-50

MELAKSANAKAN HUKUM AL-QURAN, JANGAN IKUT NAFSU PUAK KAFIR & HUKUMAN JAHILIYYAH.

Full video : https://youtu.be/jw4iNU8kAgk?si=t_bDZ38SDGEVn12c

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 48 sehingga 50 dalam juzu’ yang keenam.
  1. Ayat hari ini adalah berkenaan dengan al-Quran. Sebelum ini tentang Taurat kemudian tentang kitab Injil, hari ini bahagian kita pula. 
  1. Allah SWT bawa perintah kepada Rasulullah SAW agar melaksanakan hukum al-Quran serta larangan agar jangan ikut nafsu seperti puak kafir sama ada kafir ahli kitab atau kafir yang tiada kitab.
  1. Serta jangan sesekali mencari & memilih hukum jahiliyyah iaitu hukum yang lain selain daripada hukum Allah!
    Hukum Allah SWT adalah yang terbaik kenapa kita nak cari yang tidak baik!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa, serta Allah puji & suruh ikutnya.
    Kemudian tentang Injil yang Allah turunkan juga, Allah puji & suruh ikutnya juga!

    ii- Kemudian datang ayat ini iaitu tentang kitab al-Quran, semua manusia yang ada bermula dari turun al-Quran sehingga ke hari Kiamat, wajib beriman & ikut al-Quran.
    Ini al-Quran diturunkan untuk menjadi pedoman & petunjuk kepada manusia seluruhnya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 48- {DAN KAMI TURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KITAB (AL-QURAN) DENGAN MEMBAWA KEBENARAN, UNTUK MENGESAHKAN BENARNYA KITAB-KITAB SUCI YANG TELAH DITURUNKAN SEBELUMNYA DAN UNTUK MEMELIHARA SERTA MENGAWASINYA. MAKA JALANKANLAH HUKUM DI ANTARA MEREKA (AHLI KITAB) ITU DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH (KEPADAMU), DAN JANGANLAH ENGKAU MENGIKUT KEHENDAK HAWA NAFSU MEREKA (DENGAN MENYELEWENG) DARI APA YANG TELAH DATANG KEPADAMU DARI KEBENARAN. BAGI TIAP-TIAP UMAT YANG ADA DI ANTARA KAMU, KAMI JADIKAN (TETAPKAN) SUATU SYARIAT DAN JALAN AGAMA (YANG WAJIB DIIKUTI OLEH MASING-MASING).} (AL-MA’IDAH 5:48)

  1. Allah nyatakan bahawa al-Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dari sisi Allah dengan penuh kebenaran {بِٱلْحَقِّ}.
    Turunnya benar dari Allah, ceritanya benar, hukumnya penuh kebenaran, tidak ada yang dusta, bohong, kezaliman dan sebarang keraguan di dalamnya.
  1. Antara tugas besar al-Quran ialah:
    i- Menjadi saksi akan kebenaran (مُصَدِّقًۭا) kitab-kitab yang terdahulu sebelum darinya. 
    Ia juga bertepatan dari segi asasnya iaitu mengajak kepada tauhid kepada Allah dan meninggalkan segala syirik & keburukan.

    ii- Al-Quran juga menjadi pengawas, pengawal (وَمُهَيْمِنًا) yang mengawal selia isi kandungan kitab terdahulu jika ada yang telah diseleweng atau benda pelik dari al-Quran, maka jangan terima bererti ia telah ditukar dan seleweng.
    Itulah kekarutan yang dibuat oleh ahli kitab terhadap kitab yang diturunkan kepada mereka.
  1. Kemudian Allah perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk berhukum ke atas agar semua manusia sama ada yang ada kitab sebelumnya atau tidak dengan hukum al-Quran.

    Yakni wajib untuk mengikut & berhukum dengan al-Quran, kesemua manusia terikat dengannya.
  1. Serta jangan seleweng ilmu & fakta yang ada dalam al-Quran, jangan ikut kehendak & karenah mereka yang mengikut hawa nafsu, tetapi ikutlah apa yang diperintahkah oleh Allah SWT.
  1. Allah nyatakan setiap umat itu ada perundangannya yang tersendiri mengikut masa & keadaannya berdasarkan kitab masing-masing.
    Yakni agama itu satu, Islam & paksinya ialah tauhid kepada Allah SWT, cuma mungkin berbeza dari segi cabang seperti perundangan Syari’ahnya. 
    Ianya adil & sempurna ikut keadaan & masa mereka.

    Tetapi Syari’ah Islam ini adil & tetap sehingga ke hari Kiamat, tiada tukaran atau gantian lagi, sebagaimana Rasulullah SAW itu rasul penutup yang terakhir.

AYAT 48- {DAN KALAU ALLAH MENGHENDAKI NESCAYA IA MENJADIKAN KAMU SATU UMAT (YANG BERSATU DALAM AGAMA YANG SATU), TETAPI IA HENDAK MENGUJI KAMU (DALAM MENJALANKAN) APA YANG TELAH DISAMPAIKAN KEPADA KAMU. OLEH ITU BERLUMBA-LUMBALAH KAMU MEMBUAT KEBAIKAN (BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH). KEPADA ALLAH JUALAH TEMPAT KEMBALI KAMU SEMUANYA, MAKA IA AKAN MEMBERITAHU KAMU APA YANG KAMU BERSELISIHAN PADANYA.} (AL-MA’IDAH 5:48)

  1. Allah juga menyatakan jika Dia mahu boleh saja dijadikan umat manusia ini satu jenis saja, iaitu satu agama tauhid & kepercayaan, bersatu dalam beragama & beramal!
  1. Tetapi tidak begitu, Allah mahu menguji kamu, maka diberi pelbagai jalan untuk kamu pilih, sama ada kamu telah menerima, beriman & menjalankan perintah yang telah disampaikan kepada kamu.
    Mengikut kajian pengkaji di Malaysia ini saja ada lebih daripada 60 jenis agama! 
    Bukan mazhab tetapi AGAMA!
  1. Allah juga mahu menguji manusia siapa yang taat dan beramal soleh serta siapa yang ingkar! 
    Maka kita hendaklah berlumba & bersegera untuk melakukan ketaatan & kebaikan. 
    Apa saja ujian yang Allah beri kita bersegeralah melakukan kebaikan, amar ma’ruf & nahi munkar, ikut al-Quran & ikut Sunnah Nabi SAW!
  1. Kita jangan ikut orang tetapi kita ikut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
    Ini kerana manusia itu pelbagai dan bermacam kepercayaannya. 
    Maka kita jangan ragu & keliru, apa yang tidak pasti & meragukan (syubhah) kita tinggal, kita ambil yang diperintahkan oleh Allah & apa sahih dari Baginda Nabi SAW!
  1. Akhirnya Allah kata {Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya}-

    Tak usah dok bertegang leherlah atas dunia ini!
    Kelak nanti apabila di Akhirat akan terzahirlah apa yang benar! 
    Kamu akan diberitahu & melihat sendiri kebenaran yang kamu dok perselisihkan dan berbalah dulu! 
  1. Tetapi apa boleh buat pengetahuan & penyesalan itu sudah terlambat, dulu orang kata ini yang Nabi ajar, ini yang Sunnah tetapi kita tidak mahu ikut; bahkan pergi cari yang lain yang diajar tok-tok syeh, yang khilaf, yang harus dan sipi-sipi! 
    Bukan yang benar yang dibawa oleh al-Quran & Sunnah Nabi SAW!
    Inilah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat- kita tidak tahu nak ikut yang mana, kita pakai ikut orang ramai lalu apa nak jadi, jadilah!
  1. Boleh baca kitab “Islam Adalah Cara Hidup” untuk memahami bagaimana boleh terjadi khilaf di kalangan umat ini serta cara menanganinya. 

    Ada juga kuliah oleh DAAM pada setiap pagi Jumaat di Masjid ar-Rahman PSD jika tak musafir: https://dartaibah.com/…/*NEW-Buku-Islam-Cara-Hidup…

AYAT 49- {DAN HENDAKLAH ENGKAU MENJALANKAN HUKUM DI ANTARA MEREKA DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT KEHENDAK HAWA NAFSU MEREKA, DAN BERJAGA-JAGALAH SUPAYA MEREKA TIDAK MEMESONGKANMU DARI SESUATU HUKUM YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH KEPADAMU. KEMUDIAN JIKA MEREKA BERPALING (ENGGAN MENERIMA HUKUM ALLAH ITU), MAKA KETAHUILAH, HANYASANYA ALLAH MAHU MENYEKSA MEREKA DENGAN SEBAB SETENGAH DARI DOSA-DOSA MEREKA; DAN SESUNGGUHNYA KEBANYAKAN DARI UMAT MANUSIA ITU ADALAH ORANG-ORANG YANG FASIK.} (AL-MA’IDAH 5:49)

  1. Sekali lagi Allah SWT ulang dalam ayat ini untuk berhukum dengan ayat-ayat Allah SWT iaitu al-Quran, sama ada terhadap mereka ahli kitab atau mereka yang tidak ada kitab! 
    Jangan sampai kamu termasuk dalam golongan yang fasiq iaitu mereka yang berpaling enggan menerima hukum Allah. 
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan untuk ikut hukum al-Quran. 
    Serta pastilah juga Sunnah Nabi SAW.

    ii- Maka sekali Allah SWT perintahkan dalam ayat ini untuk ikut hukum Allah, jangan ikut hawa nafsu & karenah (ikut erey = Kelantan) puak kafir!
    Ikutlah kehendak al-Quran iaitu apa yang diperintahkan Allah kepada kamu!

    Allah ulang untuk menguatkan peringatan ini!
  1. Allah juga berpesan kepada Rasulullah SAW agar berjaga-jaga, berhati-hati agar tidak dipesongkan, terpedaya dengan musuh sama ada yahudi dan seumpamanya! 
    Jangan terpedaya dengan muslihat mereka, yang datang dengan lembik leher mencari keringanan; tetapi bertegaslah dengan menghukum mereka dengan apa yang ada dalam al-Quran.

    Iaitu tentang yahudi bani Quraizah yang telah buat kejahatan yang begitu dahsyat lalu datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dengan harapan mendapat hukuman yang ringan.

    Boleh lihat kisah panjang mereka ini dalam buku Madinah: https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
  1. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka;
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa kebanyakan manusia itu fasiq. 
    Ini menunjukkan bahawa orang yang beriman, taat & murni aqidah serta benar-benar cintakan Nabi SAW itu tidak ramai.

    Kebenaran itu bukan diukur dengan ramai atau sedikit orang yang mengikutnya tetapi apa yang bertepatan dengan perintah Allah SWT & ajaran Nabi SAW.
  1. Kata ulama’ : Ayat ini menenangkan hati Rasulullah SAW. 
    Ini kerana kebenaran itu bukan diukur dengan ramainya pengikut atau penyokong. 
    Tetapi kebenaran itu ialah yang mengikut perintah Allah & Rasul-Nya.
  1. Allah SWT yang pilih siapa yang akan berada dalam kebenaran walaupun tidak ramai, ya Allah jadikan kami dari golongan yang terpilih walaupun sedikit bilangannya.

AYAT 50- {SESUDAH ITU, PATUTKAH MEREKA BERKEHENDAK LAGI KEPADA HUKUM-HUKUM JAHILIYAH? PADAHAL – KEPADA ORANG-ORANG YANG PENUH KEYAKINAN – TIDAK ADA SESIAPA YANG BOLEH MEMBUAT HUKUM YANG LEBIH PADA DARIPADA ALLAH.} (AL-MA’IDAH 5:50)

  1. Allah SWT bertanya kepada puak yang mengikut hawa nafsu ini: Apakah kamu masih mahu mengikut hukum jahiliyyah lagi? 
    Selepas turun al-Quran yang jelas nyata kamu mahu lagi guna hukum jahiliyyah???
  1. Kata ulama’ tafsir tentang makna hukum jahiliyyah ini :
    i- Yahudi bani Nadhir & bani Quraizah setelah ditangkap dan akan dihukum; mereka meminta kepada Rasulullah SAW untuk berhukum dengan hukum jahiliyyah yang mereka gunakan sebelum ini! 
    Macam-macamlah karenah & perangai yang mereka buat.

    ii- Maka Rasulullah SAW kata tidak sekali-kali; sesiapa saja yang khianat kepada agama Islam & lawan Baginda SAW akan dijatuhkan hukuman berpandukan kepada kitab al-Quran yang ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat ini juga sekali lagi nak memalukan ahli kitab yahudi & nasrani! 
    Kamu ada kitab tetapi kamu masih nak mencari hukum lain???!! 
    Hukum jahiliyyah ialah hukum yang selain dari Allah SWT.
  1. Sama seperti umat Islam hari ini; al-Quran dengan jelas & nyata menyatakan hukum, perintah & larangannya tetapi umat Islam masih lagi mencari alasan dan keuzuran untuk meninggalkannya. 

    Contoh: 
    i- Riba itu jelas haram, kamu masih mencari helah untuk memebnar & mengamalkanya atas pelbagai alasan dan sebab.

    ii- Al-Quran terang-terangan mengatakan menutup aurat itu wajib tetapi kamu masih mencari alasan atas sebab kerja, peraturan syarikat dan lain-lain, yakni seolah mencari hukum jahiliyyah untuk menyelesaikan masalah.
  1. Kata Syeikh al-Hasan al-Basri RHM : Ayat ini tempelak bagi semua golongan yang mencari & meminta hukum lain selain dari hukum Allah. Kerana atas dunia ini ada dua saja iaitu hukum Allah iaitu Syari’ah Islam, selain itu adalah hukum jahiliyyah.
  1. Tiada siapa yang boleh buat hukum selain daripada hukum Allah. 
    Kita sebagai orang yang beriman, kita yakin & percaya 100% bahawa hukum Allah adalah yang terbaik. 
    Tiada siapa yang lebih adil, lebih cantik, lebih sempurna dalam hukumnya selain daripada Allah Azza wa Jalla. 

    Cuma jika negara tidak dapat mengamalkannya itu bukan salah kita lagi tapi atas pemerintahlah tanggungjawabnya.
  1. Hanya orang yang beriman & yakin dengan Allah akan yakin kepada hukum Allah dengan sepenuhnya! 
    Jika orang yang tidak yakin, dia akan mencari-cari pelbagai alasan untuk tidak beramal dengannya. 
  1. Inilah kecelakaan & kemalangan besar yang menimpa umat ini apabila mereka tidak mampu melaksanakan undang-undang Allah SWT, sama ada dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat & negara! 

    Kita minta perlindungan dengan Allah SWT daripada dibiarkan kita teruambang-ambing tanpa bimbingan & panduan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 48- {Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.}-

    Allah kata Dia turunkan kepada manusia al-Quran kitab yang benar (بِٱلْحَقِّ) & membenarkan (مُصَدِّقًۭا) kitab-kitab yang terdahulu! 

    Ulama’ tadabbur kata : Dalam ayat ini Allah SWT memuji kitab-Nya sendiri iaitu al-Quran; 
    i- Benar dalam penurunannya, 

    ii- Benar dalam khabar ceritanya, 

    iii- Kisahnya menjadi pengajaran & iktibar, 

    iv- Adil dalam hukum-hakamnya,

    v- Syari’anya penuh dengan hikmah & kebijaksanaan.

    Sifat al-Quran yang kedua ialah sebagai (مُهَيْمِنًا- Muhaimin): Iaitu menjadi pengawal kepada kitab yang terdahulu. 
    Jika ada penyelewengan dalam kitab-kitab yang terdahulu kita boleh guna al-Quran sebagai parameter atau kayu pengukurnya. 
    Tak betul jika bercangah dengan al-Quran dari sudut tauhid, tetapi jika dari syari’at mungkin ada perbezaan.
  1. Ayat 48- { dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.}-

    Allah melarang orang beriman dari mengikut kehendak hawa nafsu & menyeleweng dari kebenaran yang telah jelas ada di depan mata!
    Ulama’ kata : Apabila Allah larang sesuatu yang buruk, Dia akan bawa sebab kenapa larangan itu atau bawa yang halal / yang dibenarkan sebagai ganti kepada larangan itu.
    Contoh: Apabila Allah larang berzina, tetapi dibuka pintu perkahwinan yang halal & suci sebagai gantinya.
    Kemudian Allah kata kamu jangan ikut hawa nafsu, orang Islam ini kena ada jati diri.
    Yakni kita sendiri kena bersikap tegas & berprinsip dalam agama. 
    Jangan rasa malu & rendah diri dengan sebab agama.
    Malangnya usaha jahat orang kafir untuk menghilangkan identiti & jati diri orang Islam telah berjaya melalui proses globalisasi. 
    Globalisasi ialah mereka nak kita orang Islam ikut gaya hidup & agama mereka sejauh mungkin! 
    Mereka mahu kita makan apa yang mereka makan, pakai apa yang mereka pakai, maka telah terjadilah apa yang mereka mahu ini! Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 48- {Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu.}-

    Allah kata jika Dia mahu, boleh saja Allah jadikan umat manusia ini satu saja dalam beragama.
    Tetapi Allah tidak jadikan manusia begitu kerana ingin menguji kita! 
    Umat Islam sekarang ini berpecah sehingga lebih kepada 70 bahagian, yahudi & nasrani juga berpecah. 
    Tetapi semua perpecahan itu mestilah diuruskan di bawah garis panduan iaitu al-Kitab & Sunnah, barulah kita selamat.
    Jika betul nak kembali bersama & tidak mahu berpecah, maka kembalilah kepada al-Quran wa Sunnah Nabi SAW sebagaimana yang ditafsirkan oleh para ulama’ Salafus-Soleh.

    Jika ulama’ kemudian banyak sangat harus-harus, ini kerana orang yang berani mengharuskan apa yang bercanggah dengan Syari’ah, itulah orang yang keras kepala & tak dengar kata!
  1. Ayat 49- {dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.}-

    Berhati-hatilah kamu dalam berhukum, jangan sampai kamu dipesongkan oleh mereka yang kafir dengan karenah, rayuan dan helah mereka.
    Maka kita kena kertegas dalam hukum-hakam Allah kerana {Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya}- maka jangan dok ragu-ragu dan lemah. 
    Kena tegas & berani, apa yang benar kita kata benar apa yang salah kita kata salah! 
    Jangan dok terpengaruh terpedaya & lemah dengan orang kafir.
  1. Ayat 50- {Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah?}-

    Ulama’ kata semua hukum yang bercanggah dengan Islam dipangil hukum jahiliyyah walaupun pada zaman millenium ini! 
    Jahiliyyah ini adalah sifat atau gelaran bagi satu kumpulan yang menentang Syari’ah Allah, tidak kira bila & di mana.
    Semua hukum yang bercanggah dengan Islam, yang menentang Islam, yang menyalahi al-Quran dan Sunnah dikira jahiliyyah.

Alhamdulillah tamatlah, tafsir & faedah ayat kita secara ringakas untuk hari ini.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.

Powered by BetterDocs