View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 57-61

JAUHI PENGHINA AGAMA, SEBAB MEREKA BENCI ISLAM & DILAKNAT OLEH ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/mh5emxoo5ZM?si=Fmb2YHJoZO6AUT1t

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 57 sehingga 61.
  1. Dalam siri ini Allah SWT masih lagi bawa larangan untuk menjauhi dari berwala’, berbaik serta ikat setia dengan orang kafir para penghina agama, yang mempermainkan Islam serta bencikannya.
  1. Kemudian Allah nyatakan apakah sebab mereka benci Islam dan bagaimanakah caranya mereka menentang Islam. 
  1. Mereka adalah golongan yang dilaknat oleh Allah SWT. 
    Maka jangan kita berteman rapat & beri kasih sayang kepada mereka! 
    Bagi kafir yang hidup dalam negara Islam yang tidak menentang Islam secara agresif, kita boleh bertoleransi dan lakukan muamalat dengan mereka tetapi bukan kata berwala’ memberi kasih sayang dan taat setia!
    Tetapi kafir yang menentang Islam wajib kita boikot dan lawannya setakat kemampuan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan larangan untuk menjadikan orang kafir sebagai ketua, teman rapat dan memberikan taat setia.

    ii- Maka datang ayat ini sekali lagi Allah memberi amaran agar jangan tinggalkan peraan sayang kepada kafir, takutilah kepada Allah! 
    Jika tidak kamu termasuk dalam orang yang tidak dengar kata & keras kepala.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 

AYAT 57- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENGAMBIL ORANG-ORANG YANG MENJADIKAN AGAMA KAMU SEBAGAI EJEK-EJEKAN DAN PERMAINAN – DARI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN KITAB SEBELUM KAMU, DAN ORANG-ORANG KAFIR MUSYRIK ITU: MENJADI PENOLONG-PENOLONG; DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, JIKA KAMU BENAR-BENAR ORANG YANG BERIMAN.} (AL-MA’IDAH 5:57)

  1. Allah menyeru orang beriman lagi, agar jangan rapat duduk dekat dengan orang yang menghina agama kamu dan memandang lekeh terhadap Islam.
    Sama ada orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum ini atau orang-orang kafir musyrik kafir tulen.
  1. Mereka yang menjadikan perbuatan menghina & memperlekehkan agama Islam & umat Islam sebagai satu hobi. 
    Menggelarkan dengan pelbagai gelaran buruk & celaan terhadap orang yang mahu mengangkat Islam & membela Sunnah Nabi SAW.
    Orang kafir tulen perli caranya, konservatif la, primitive la dan seumpamanya. 
    Orang Islam pula perli sesama Islam dengan caranya, golongan lebai, label khas & tertentu untuk perli! 
    Allahu al-Musta’an!
  1. Di akhir ayat Allah menyeru untuk bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman, jangan buatlah apa yang Allah larang tinggalkan perasaan sayang kepada orang kafir!
    Jika tidak kamu akan termasuk dalam golongan kafir yang keras kepala! 

AYAT 58- {DAN APABILA KAMU MENYERU (AZAN) UNTUK MENGERJAKAN SEMBAHYANG, MEREKA MENJADIKAN SEMBAHYANG ITU SEBAGAI EJEK-EJEKAN DAN PERMAINAN. YANG DEMIKIAN ITU IALAH KERANA MEREKA SUATU KAUM YANG TIDAK BERAKAL.} (AL-MA’IDAH 5:58)

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah telah nyatakan sifat orang kafir yang suka mengejek, memerli dan menghina Islam.

    ii- Maka datang ayat ini Allah bawa contoh antara mainan & ejekan orang kafir terhadap Islam.
  1. Iaitu apabila berbunyi seruan azan untuk solat mereka jadikannya sebagai bahan ejekan & mainan. 
    Mengeluarkan kata-kata buruk kepada muazzin atau azan itu sendiri!
    Contoh : Tok bilal telah menyalak atau melalak!

    Ia sama ada dari orang kafir asli atau anak-anak orang Islam yang derhaka!
    Jika orang Islam yang istihza’, perli & memburukkan azan maka dia telah kufur & wajib bertaubat!
  1. Banyak lagilah cercaan dan ejekan mereka kepada orang Islam sama ada dari sudut muamalat, pergaulan dan pakaian, kolot tidak terbuka dan sebagainya.
  1. Allah katakan perbuatan mereka menghina Islam itu adalah kerana mereka adalah suatu kaum yang tidak berakal!

AYAT 59- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI AHLI KITAB! KAMU TIDAK MENCELA DAN MENYALAHKAN KAMI MELAINKAN KERANA KAMI BERIMAN KEPADA ALLAH DAN BERIMAN KEPADA APA YANG DITURUNKAN KEPADA KAMI, SERTA BERIMAN KEPADA APA YANG DITURUNKAN SEBELUM ITU, DAN KERANA KEBANYAKAN KAMU SESUNGGUHNYA ADALAH ORANG ORANG YANG FASIK”.} (AL-MA’IDAH 5:59)

  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah sebut tentang golongan kafir yang perli dan permainkan orang Islam dan agama Islam;

    ii- Dalam ayat ini Allah suruh tanya kepada mereka; kenapa kamu membenci dan mengejek kami hanya kerana kami beriman kepada kitab kami iaitu al-Quran & beriman dengan kitab yang telah diturunkan kepada kamu juga iaitu Taurat & Injil!
  1. Allah suruh Nabi SAW tanya kepada puak kafir yang memerli & mengejek itu! 
    Inilah ayat sentap untuk membuka mata & hati puak kafir ahli kitab itu; Kenapa kamu nak marah, cela & ejek kami orang Islam sedangkan kita sama-sama beriman kepada Allah & kepada kitab yang telah Allah turunkan kepada kami & juga kepada kamu!
    Kita juga percaya kepada kitab Taurat & Injil yang asli yang diturunkan Nabi Musa & Nabi Isa AS, bukan yang telah ahli kitab itu ubah & seleweng! 
  1. Ayat ini telah ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    Maksudnya: {Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!} (Al-Buruj 85:8)

AYAT 60- {KATAKANLAH: “MAHUKAH, AKU KHABARKAN KEPADA KAMU TENTANG YANG LEBIH BURUK BALASANNYA DI SISI ALLAH DARIPADA YANG DEMIKIAN ITU? IALAH ORANG-ORANG YANG DILAKNAT OLEH ALLAH DAN DIMURKAINYA, DAN ORANG-ORANG YANG DIJADIKAN DI ANTARA MEREKA SEBAGAI KERA DAN BABI, DAN PENYEMBAH TAGHUT. MEREKA INILAH YANG LEBIH BURUK KEDUDUKANNYA DAN YANG LEBIH SESAT DARI JALAN YANG BETUL”.} (AL-MA’IDAH 5:60)

  1. Allah tanya apakah kamu nak dengar khabar yang dahsyat lagi iaitu tentang golongan yahudi yang terdahulu yang telah dikenakan azab atas dunia lagi dengan ditukar rupa mereka menjadi monyet & babi.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah cela yahudi & nasrani sebagai orang yang mempermainkan agama.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah cela lagi mereka dengan memperingatkan pula tentang tok nenek mereka yang lebih dahsyat iaitu yang telah ditukarkan rupa mereka kepada kera & babi akibat keingkaran mereka kepada Allah SWT!
  1. Itulah balasan untuk umat terdahulu, Allah turunkan azab direct semasa masih hidup atas dunia ini! 
    Alhamdulillah kita umat Muhammad SAW Allah tidak kenakan hukuman segera atas dunia ini yang sebegitu! 
    Allah tidak hina umat Nabi Muhammad atas dunia ini dengan azab yang segera begitu! 
    Ini adalah salah satu rahmat dari Rasulullah SAW sebagai Rahmatan lil-Alamin.
    Tetapi jika manusia yang bersifat seperti monyet banyak, lihat saja dalam konsert nyanyian & muzik yang besar, bagaimana perilaku penyanyi dan penontonnya yang terkinja-kinja seperti monyet, bergaul bebas bercampur jantina dan seumpamanya! 
  1. Hadis- Sabda Rasulullah SAW:
    لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِى أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ ، وَلَيَنْزِلَنَّ أَقْوَامٌ إِلَى جَنْبِ عَلَمٍ يَرُوحُ عَلَيْهِمْ بِسَارِحَةٍ لَهُمْ ، يَأْتِيهِمْ – يَعْنِى الْفَقِيرَ – لِحَاجَةٍ فَيَقُولُوا ارْجِعْ إِلَيْنَا غَدًا . فَيُبَيِّتُهُمُ اللَّهُ وَيَضَعُ الْعَلَمَ ، وَيَمْسَخُ آخَرِينَ قِرَدَةً وَخَنَازِيرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
    Maksudnya: “Sungguh, benar-benar akan ada di kalangan umatku sekelompok orang yang menghalalkan zina, sutera, khamr (arak) dan alat musik. Dan beberapa kelompok orang akan singgah di lereng gunung dengan binatang ternak mereka. Seorang yang fakir mendatangi mereka untuk suatu keperluan, lalu mereka berkata, ‘Kembalilah kepada kami esok hari.’ Kemudian Allah mendatangkan siksaan kepada mereka dan menimpakan gunung kepada mereka serta Allah mengubah sebahagian mereka menjadi kera dan babi hingga hari kiamat.” (HR. Bukhari 2/203).

    Ulama’ kata : Bertukar sifat saja bukan bertukar rupa seperti umat terdahulu itu. 
    Ini kerana tidak ada lagi kejadian bertukar rupa secara fizikal umat Nabi Muhammad yang telah dapat dikenal pastikan secara sahih! 

    Buktinya lihatlah keadaan manusia hari ini pada konsert yang besar-besar itu terutamanya oleh para kafir, anak orang Islam sendiri juga yang terkinja-kinja seperti monyet! 
  1. Tentang berita yang tular dan disebarkan bahawa ada orang yang menjadi monyet kerana derhaka kepada ibu bapanya itu tidak dipastikan sahih atau tidak, jika ada gambar pun kita tidak dapat pastikan benar atau tidak, takut edit.
  1. Ini kerana kecangihan teknologi modern hari ini seperti AI & chat GPT yang dapat buat apa saja amat menakutkan sehingga kita tidak bezakan lagi yang mana realiti & yang mana palsu. 
    Fitnah & tuduhan dapat direka dengan dibuat bukti menggunakan teknologi canggih ini. Allahu al-Musta’an!
  1. Dalam masa yang sama semua teknologi canggih & modern lagi ghaib ini menunjukkan kepada tanda-tanda Kiamat yang lebih dekat menunjukkan akan kekuasaan Allah SWT!
    Contoh:
    i- Tidak peliklah jika malaikat boleh tahu & faham semua bahasa manusia atas dunia ini dan mencatatnya! 
    Seperti Chat GPT, CCTV, drone dan sebagainya lagi, jadi apa peliknya malaikat tahu, faham dan nampak apa saja perbuatan & perkataan manusia, di mana saja!!

    ii- Makin tinggi teknologi makin kuat hujjah Allah SWT ke atas kita! 
    Tidak boleh guna alasan tak tahu lagi, AI ada GPT, Google ada dan lain-lainnya, kamu tak tahu juga????? 
    Kalau dulu kita suka-suka kata, pen pun pandai baca al-Quran, sekarang robot pun boleh baca!
    Awas jangan terpengaruh dan hati-hati dengan segala teknologi ciptaan kafir & bab syaitan ini, seperti yang diviralkan tentang Chat GPT yang menjawab tentang Islam, tentang agama, tentang solat dengan baik & betul, posotif kepada Islam. 
    Ini baru permulaan nanti kemudian hari akan dilipat dan putar belit serta selewengnya!
    Jangan dok happy & bangga sangat! 
  1. Ini sebagaimana kaedah yang dipesan oleh Rasulullah SAW bahawa puak jin & syaitan ini mereka bercakap benar sekali pada awalnya, kemudian mereka akan berbohong 100 kali pula!
    Jadi kita bimbang alat-alat, gajet-gajet yang dibuat oleh puak kafir ini, dia buat baik & betul dulu nak suruh kita taksub, lalu kita ingat bagus molek guna AI & GPT ini, kemudian dia akan tukar & pusingnya lipat tengkuk kita!
    Kita boleh guna & manfaatkan teknologi & kemudahan ini tetapi dengan ilmu bukan dengan membabi buta serta taksub!
  1. Khabar buruk yang Allah sebutkan dalam ayat ini ialah kehinaan yang besar disisi Allah SWT, iaitu:
    i- Orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya,

    ii- Orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi,

    iii- Dan penyembah Taghut tidak sembah Allah SWT!

    Kerana itu jangan sembah taghut, bukan sembah tetapi ikut taghut amalan tu, seperti tidak amal undang-undang Islam, orang yang mahu bela Sunnah Nabi dilabelkan & dimomok-momokkan dengan tuduhan jahat serta ikut hawa nafsu!
  1. Mereka ini balasannya akan mendapat kedudukannya yang amat buruk dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.
    Mereka sangka mereka betul tetapi sebenarnya mereka itu sesat & terpesong apabila mereka tidak ikut arahan dan peraturan Allah SWT!

AYAT 61- {DAN APABILA MEREKA (ORANG-ORANG YAHUDI ATAU MUNAFIK ITU) DATANG KEPADA KAMU, MEREKA BERKATA: “KAMI TELAH BERIMAN”. PADAHAL SESUNGGUHNYA MEREKA ITU MASUK MENEMUI KAMU DENGAN KEKUFURANNYA, DAN SESUNGGUHNYA MEREKA KELUAR (DARI SISI KAMU) DENGAN KEKUFURANNYA JUGA; DAN (HENDAKLAH MEREKA INGAT), ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN.} (AL-MA’IDAH 5:61)

  1. Allah nyatakan lagi apabila orang yahudi atau munafiq datang kepada Rasulullah SAW & orang Islam dengan mengaku sebagai orang beriman dengan bermuka-muka, lidah mengaku beriman tetapi hati kafir! 
  1. Allah nyatakan tak perlulah mereka sembunyikan kekufuran yang ada dalam hati mereka itu Allah tahu semuanya apa yang zahir atau batin!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 57- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan……}-

    Sekali lagi Allah memperingatkan orang beriman agar jangan mengambil kafir yang menghina & mengejek-ejek agama Islam sebagai wali ketua atau teman rapat!
    Ayat ini secara total, larang penuh agar jangan jadikan kafir atu ahli kitab sebagai ketua atau teman rapat kerana mereka ini mempermain-mainkan agama!  
    Mereka ini ada kitab, ada ilmu, tahu apa yang sebenarnya tetapi tetap mempermainkan agama! 
    Kerana itu orang yang ada ilmu itu kadang-kadang lebih dahsyat ke atas dirinya sendiri daripada orang yang jahil!
    Sama seperti orang Islam sendiri yang ada ilmu tetapi tidak beramal kerana cintakan dunia, nak habuan dunia sanggup jual agama walaupun tahu ia tidak patuh Syari’ah!
    Kafir yang lunak yang tidak menentang Islam secara terangan kita boleh berkawan dan berurusan dalam hal dunia mereka tetapi tetap tidak boleh ketua, teman setia & teman rapat (wala’)!
    Manakala jika kafir harbi yang jelas memusuhi, zahir menentang Islam kita wajib lawan & musuhi!
  1. Ayat 58- {Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang,}-

    Seruan di sini bermaksud azan untuk solat.
    Kata ulama’ tafsir : Azan ini menjadi dalil bahawa azan ada perintahnya dalam al-Quran & hadis Nabi SAW tentang mimpi sahabat tentangnya. 
    Azan itu ada Syari’atnya dalam al-Quran, ia merupakan suatu Syari’at dan antara amalan yang terbaik dalam Islam.  
    Kerana itu para bilal, AJK Masjid; jangan gugurkan azan solat walaupun ada kuliah atau cermah panjang, jangan terus iqamat! 
    Jangan gugurkan azan kerana ia adalah dari Syi’ar Islam. Ia bukan boleh dibuat dengan persetujuan sesama manusia tetapi ia adalah perintah Allah & Sunnah Nabi SAW.

    Boleh minta laluan dulu untuk azan kemudian sambung kuliah atau azan selepas habis kuliah biarpun agak lewat, tidak ada masalah!  
    Bahkan Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya Bilal RA untuk azan walaupun telah keluar dari waktu solatnya! [HR Bukhari].
  1. Ayat 59- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami,}-

    Orang yang memperli mempermainkan Islam itu adalah golongan fasiq! 
    Serta orang yang jahat & fasiq ini lebih ramai daripada orang yang baik, orang kafir lebih ramai daripada bilangan orang Islam. 
    Jahat itu ada dua kategori:
    i- Jahat dari sudut aqidah : Jahat kepada Allah. Walaupun dia baik dan hormat dengan manusia,

    ii- Jahat dua-dua : Dengan manusia pun jahat & zalim dengan Tuhan pun pastilah jahat juga apabila jahat kepada manusia.
    Ada juga yang baik dengan Tuhan tetapi perangai huduh, tak baik! 

    Ingat parameter untuk amalan kita diterima:
    i- Ikhlas kerana Allah

    ii- Ikut Sunnah Nabi SAW. 
    Jika kita sayangkan Nabi ikut & buatlah apa yang Nabi ajar bukan cari yang selainnya!

    Allah juga berfirman: (Ayat 60) {Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu?}-
    Kata para ulama’ ayat ini mengajar kita orang Islam bahawa kedudukan kita jangan tengok kepada mata manusia tetapi kita tengok kepada Allah Azza wa Jalla.
    Allah SWT tilik ke dalam hati kita; jika hati kita baik, beriman dan ikhlas itu yang ada nilai di sisi Allah SWT!
    Kayu ukur kita orang beriman adalah ikhlas & amalan yang bertepatan dengan Sunnah Nabi SAW. 
    Jika sayangkan Nabi ikutlah apa yang Nabi ajar bukan yang sebaliknya!
  1. Ayat 60- {Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut.}-

    Umat nabi-nabi terdahulu memang terjadi perubahan rupa ini secara fizikal & rupa.  
    Umat Nabi Muhammad tidak bertukar rupa tetapi ada yang bertukar sifat seperti binatang monyet dan lain-lain, contoh lihat di tempat maksiat mungkar dan lagha seperti di konsert hiburan, kelab malam dan seumpamanya!
    Sifat babi ini tiada sifat cemburu seperti orang yang dalam keadaan mabuk berbuat suka hati bertukar isteri dan suami, Allahu al-Musta’an, minta dijauhkan dari berlaku kepada anak cucu kita.
    Rasulullah SAW apabila ditanya tentang manusia yang ditukar rupa menjadi monyet & babi ini mengatakan; Biasanya manusia yang ditukar rupa ini akan dibinasakan selepas beberapa hari serta tiada keturunan! 

    Monyet & babi yang ada hari ini ini binatang ciptaan khas tiada kaitan dengan mana-mana bangsa manusia!
    Setengah riwayat ahli tafsir seperti dari Ibnu Ishak, Ibnu Jarir dan Ibnu Abbas, semua mereka itu dikutuk sehingga berubah rupa menjadi monyet. 
    Tetapi setelah mereka menjadi monyet itu, mereka tidak dapat makan dan tidak dapat minum, sehingga tidak sampai tiga hari sesudah perubahan rupa itu, merekapun mati semua. 
  1. Ayat 61- {Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang kepada kamu, mereka berkata: “Kami telah beriman”…}-

    Kata para ulama’ Islam : Sifat munafiq ini ada di mana-mana. Munafiq kafir tulen, munafiq ahli kitab hatta munafiq di dalam masyarakat kita pun ada.
    Allah katakan bahawa Dia tahu apa yang tersembunyi & apa yang batin dan ghaib. 
    Hanya Allah jua yang tahu apa yang ada dalam hati manusia! 
    Maka kerja kita manusia biasa hanya menghukum secara zahir saja, jika mereka mengaku beriman maka kita terimalah.
    Masalah hati manusia kita tidak tahu & tak perlu koreknya! 
    Kita jaga & betulkan diri kita tidak perlu nak sibuk & siasat hati orang lain!

    Doa: “اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ؛ فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ ”.
    “Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, {bersihkanlah} amalku dari riya’, {bersihkanlah} lisanku dari dusta, {bersihkanlah} mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.”

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs