View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 65-68

TAWARAN KEAMPUNAN KEPADA AHLI KITAB, NIKMAT KESENANGAN & KEWAJIPAN TABLIGH BAGI RASUL.

Full video : https://youtu.be/beNaPXag4ak?si=2L4wFGu0NfyLxCpr

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 65 sehingga 68.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang tawaran keampunan kepada ahli kitab, yang ada kitab Taurat yang ada kitab Injil dan semua kafir yang ada, marilah masuk Islam kamu akan selamat. 
  1. Allah akan maafkan segala kesalahan yang lalu dan akan dapat nikmat kesenangan atas dunia ini lagi serta nikmat syurga di Akhirat kelak.
  1. Kemudian Allah perintahkan bagi Rasulullah SAW untuk tabligh menyampaikan kepada umatnya apa yang telah disampaikan oleh Allah kepadanya. 
    Kemudian Allah SWT telah mengiktiraf bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan tugasnya dengan amanah, lengkap dan sempurna!
    Sehingga Allah mengatakan pada hari ini aku telah sempurnakan agama bagi kamu.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah mencela ahli kitab kerana cara mereka terima kitab tetapi putar belit serta selewengnya, nasrani yang ada ketaatan juga tapi reka ibadat pula! 

    ii- Maka datang ayat ini Allah menyeru mereka sekali lagi agar terima al-Quran & dakwah Rasulullah SAW barulah kamu akan menjadi orang yang betul-betul beriman dan diberi tawaran begitu istimewa.
    Ayat ini menyatakan rahmat Allah itu luas, menawarkan pakej yang lengkap iaitu keampunan & nikmat syurga yang besar kepada mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 65- {DAN SEKIRANYA AHLI KITAB ITU BERIMAN DAN BERTAQWA TENTULAH KAMI AKAN HAPUSKAN DARI MEREKA KEJAHATAN-KEJAHATAN MEREKA, DAN TENTULAH KAMI AKAN MASUKKAN MEREKA KE DALAM SYURGA-SYURGA YANG PENUH NIKMAT.} (AL-MA’IDAH 5:65)

  1. Allah nyatakan sekiranya ahli kitab Taurat & Injil itu beriman dan bertaqwa kepada Allah & Rasulullah SAW dengan sebenarnya, maka mereka diberi tawaran yang amat besar iaitu:
    i- Allah akan hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka walaupun sebesar mana. 
    Inilah peluang untuk mereka menjadi manusia yang baik! 
    Ini di dunia lagi nikmatnya.

    ii- Manakala di Akhirat kelak Allah akan masukkan mereka ke dalam syurga yang penuh nikmat! 
    Sebagaimana yang Allah telah sebut dalam hadis Qudsi; Syurga itu sesuatu yang tidak pernah mata manusia lihat, dengar dan bayangkan dengan hati! 

    Maka apakah lagi yang kamu mahu! 
    Kita kena fikirkan bagaimana kita nak sampai ke syurga!
  1. Tetapi malangnya ahli kitab ini degil keras kepala maka kerugianlah mereka!

AYAT 66- {DAN KALAU MEREKA BERSUNGGUH-SUNGGUH MENEGAKKAN (MENJALANKAN PERINTAH-PERINTAH ALLAH DALAM) TAURAT DAN INJIL DAN APA YANG DITURUNKAN KEPADA MEREKA DARI TUHAN MEREKA (AL-QURAN), NESCAYA MEREKA AKAN MAKAN (YANG MEWAH) DARI ATAS MEREKA (LANGIT) DAN DARI BAWAH KAKI MEREKA (BUMI). DI ANTARA MEREKA ADA SEPUAK YANG ADIL, DAN KEBANYAKAN DARI MEREKA, BURUK KEJI AMAL PERBUATANNYA.} (AL-MA’IDAH 5:66)

  1. Sekali lagi Allah nyatakan dan beri tawaran, seruan keimanan & tauhid kepada mereka: jika mereka benar-benar menegakkan & ikut apa yang ada dalam Taurat dan Injil dari segi tauhidnya & beriman dengan al-Quran dari segala segi; tauhid, hukum & perundangannya.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat 65 yang lepas Allah kemukakan janji & tawaran di Akhirat dengan keampunan, nikmat kesenangan & syurga.

    ii- Ayat ini pula bawa janji kesenangan awal di dunia, kemewahan hidup iaitu rezeki yang turun dari langit & keluar dari bumi!
    Ini untuk mengumpulkan antara kebaikan dunia & Akhirat.
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: “{Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah, limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.}” (Al-A’raf 7:96)

    Kemewahan itu Allah beri supaya kita bersyukur bukan semakin kufur & jauh dari Allah! 
    Allah nak uji kita syukur atau tidak, jika kaya & mewah tetapi tidak syukur akan jadi istidraj pula, iaitu supaya makin lagha & lalai.
  1. Ayat ini juga menyatakan bukan semua ahli kitab itu jahat, ada juga segelintir mereka yang baik {أُمَّةٌۭ مُّقْتَصِدَةٌۭ}- sekumpulan jamaah yang menjalankan apa yang Allah SWT perintahkan meninggalkan apa yang dilarang, tidak tambah tidak kurang, tidak melampaui & tidak cuai!
  1. Tetapi malangnya kebanyakan dari mereka amat buruk dan keji amal perbuatannya.
    Kebanyakan golongan ramai yang disebut dalam al-Quran ini adalah golongan yang buruk & tidak baik! 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan yang sedikit, iaitu yang beriman & bersyukur.

AYAT 67- {WAHAI RASUL ALLAH! SAMPAIKANLAH APA YANG TELAH DITURUNKAN KEPADAMU DARI TUHANMU; DAN JIKA ENGKAU TIDAK MELAKUKANNYA (DENGAN MENYAMPAIKAN SEMUANYA), MAKA BERMAKNA TIADALAH ENGKAU MENYAMPAIKAN PERUTUSANNYA; DAN ALLAH JUALAH AKAN MEMELIHARAMU DARI (KEJAHATAN) MANUSIA. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KAUM YANG KAFIR.} (AL-MA’IDAH 5:67)

  1. Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW untuk menyampaikan risalah dakwahnya, apa yang diturunkan dari Tuhannya kepada manusia. 
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah menceritakan kepada kita segala karenah & onar, segala perbuatan karut-marut yang telah dibuat oleh musuh Rasulullah SAW sama ada kafir tulen musyrikin, ahli kitab atau yang tersembunyi seperti munafiqin.

    ii- Maka datang ayat ini Allah gerakkan hati Nabi SAW supaya terus bekerja, beri semangat & motivasi agar jangan takut, lemah & kecewa dengan perbuatan mereka tetapi teruskan dakwah & gerak kerja sebagaimana sepatutnya!
    Jangan takut, kecewa & peduli akan karenah orang kafir!
    Kecewa dalam dakwah tidak ada, jika tidak, seolah kita tidak ikut Sunnah Nabi SAW dalam dakwah.
  1. Hadis riwayat dari UM Aisyah RA: 
    مَن حَدَّثَكَ أنَّ مُحَمَّدًا ﷺ كَتَمَ شيئًا ممّا أنْزَلَ اللَّهُ عليه، فقَدْ كَذَبَ، واللَّهُ يقولُ: ﴿يا أيُّها الرَّسُولُ بَلِّغْ ما أُنْزِلَ إلَيْكَ مِن رَبِّكَ﴾ الآيَةَ. الراوي: عائشة أم المؤمنين • البخاري، صحيح البخاري (٤٦١٢) [صحيح]

    i- Sesiapa yang berkata bahawa Nabi SAW pernah sembunyi maklumat yang diturunkan oleh Allah SWT; maka orang itu telah berbohong/ berdusta. Allah telah perintahkan Nabi SAW dengan firman-Nya:{Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu;}. [HR Bukhari].

    ii- UM Aisyah RA kata lagi:
    وَلَوْ كانَ مُحَمَّدٌ ﷺ كاتِمًا شيئًا ممّا أُنْزِلَ عليه لَكَتَمَ هذِه الآيَةَ: ﴿وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أنْعَمَ اللَّهُ عليه وأَنْعَمْتَ عليه أمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ واتَّقِ اللَّهَ وتُخْفِي في نَفْسِكَ ما اللَّهُ مُبْدِيهِ وتَخْشى النّاسَ واللَّهُ أحَقُّ أنْ تَخْشاهُ﴾ [الأحزاب: ٣٧]. الراوي: عائشة أم المؤمنين • مسلم، صحيح مسلم (١٧٧) • [صحيح]
    Maksudnya: “Jika Nabi Muhammad SAW nak sembunyikan sesuatu yang turun ke atasnya dari al-Quran, pasti ayat al-Quran inilah yang akan disembunyikannya iaitu: {Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).} (Al-Ahzab 33:37). [HR Muslim].
    Kisahnya panjang tentang perceraian Zaid & Zainab, kemudian Allah kahwinkan Baginda Rasulullah SAW dengan Zainab pula.

    iii- Satu lagi hadis riwayat Jabir bin Abdullah RA ketika Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya semasa Hajjatul-Wada’:
    Baginda SAW bersabda yang bermaksud; “Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunnah nabi-Nya. Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya. Semua hadirin mengiyakan Baginda sudah melunaskan tanggungjawabnya. Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah menyaksikan peristiwa itu. Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.” [HR Muslim].
  1. Jika Rasulullah SAW tidak menyampaikan risalahnya bermakna Baginda tidak menjalankan tugasnya sebagai seorang rasul.
    Alhamdulillah semua umat telah menyaksikan bahawa Rasulullah SAW telah menjalankan tugasnya, kita umat yang terkemudian ini juga telah menyaksikan bahawa Baginda SAW telah menyampaikannya!
  1. Kerana itulah antara cara kita beri salam kepada Rasulullah SAW apabila menziarahi makamnya di Madinah adalah dengan menyatakan juga persaksian kepada Baginda SAW: السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ اللهَ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا نَبِيَّ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيْرَةَ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيرَةَ رَبِّ العَالَمِيْنَ. جَزَاكَ اللهُ يَا رَسُوْلَ اللهَ عَنَّا أَفْضَلَ مَا جَزَى نَبِيًّا وَرَسُوْلاً عَنْ أُمَّتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ عَبْدُهُ وَرَسُوْلِهِ مِنْ خَلْقِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّيْتَ الأَمَانَةَ، وَنَصَحْتَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدْتَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ.
    Maksudnya: “Sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.”
  1. Kemudian Allah nyatakan & beri jaminan bahawa Dia yang akan menjaga Rasulullah SAW. maka kamu jangan takut & bimbang; tidak ada siapa yang akan dapat menyakiti & memudharatkan kamu! 
    Kerana Allah yang jaga kamu! 
  1. Cerita panjang dari sebuah hadis tentang kisah sahabat nak jaga Rasulullah SAW serta kaitannya dengan Tiang Pengawal yang ada dalam Raudhah Nabi SAW, boleh baca dalam buku ini:
    Madinah Munawwarah Kelebihan Dan Sejarah. https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
  1. Allah tutup ayat ini dengan mengatakan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan beri hidayah petunjuk kepada kaum kafir!

AYAT 68- {KATAKANLAH: “WAHAI AHLI KITAB! KAMU TIDAK DIKIRA MEMPUNYAI SESUATU AGAMA SEHINGGA KAMU TEGAKKAN AJARAN KITAB-KITAB TAURAT DAN INJIL (YANG MEMBAWA KAMU PERCAYA KEPADA NABI MUHAMMAD) DAN APA YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU DARI TUHAN KAMU (IAITU AL-QURAN)” DAN DEMI SESUNGGUHNYA, APA YANG DITURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DARI TUHANMU ITU, AKAN MENAMBAHKAN KEDERHAKAAN DAN KEKUFURAN KEPADA KEBANYAKAN MEREKA. OLEH ITU JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA TERHADAP KAUM YANG KAFIR ITU.} (AL-MA’IDAH 5:68)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah suruh Nabi SAW menyampaikan dakwahnya, orang terima atau tidak, jangan peduli & kecewa.

    ii- Maka ayat ini Allah SWT tujukan kepada ahli kitab, supaya mereka dengar kata & terima, jangan degil & keras kepala! 
  1. Wahai ahli kitab, kamu tiada nilai apa di sisi Allah SWT walaupun ada kitab di tangan kamu; kecuali jika kamu tunaikan ilmu yang ada dalam Taurat iaitu beriman kepada Nabi SAW. ini kitab ada, amal tidak, maka tidak jadi apa.
  1. Sama juga dengan orang Islam yang mendakwa ahli Quran, tetapi tidak beramal dengan ajaran al-Quran. Malang & kerugian besar juga.
  1. Ramai dari kalangan ahli kitab yahudi & nasrani ini yang apabila turunnya al-Quran makin bertambah kafir & jahat menolak al-Quran, bukan nak beriman! 
  1. Maka kita pun tak perlu nak bernyanyi bernasyid, kalaulah Nabi ada bersama kita, kerana Baginda SAW sudah wafat yang ada bersama kita adalah apa yang Baginda SAW tinggalkan untuk kita iaitu al-Quran & Hadis; berpeganglah dengan teguh jika kita sayang Baginda SAW. 
    Alhamdulillah walaupun kita umat yang datang pada akhir zaman, kita beriman dengan Rasulullah SAW dan berpegang dengan al-Quran & ajaran Sunnahnya!
  1. Bila berlaku demikian (ditolak oleh mereka) Allah SWT tenangkan Rasulullah SAW agar jangan sedih, kecewa & dukacita, kamu sudah menyampaikan tugas dengan amanah dan sempurna.
  1. Begitu juga kita hari ini yang menyampaikan apa yang difirmankan Allah & sabda Rasulullah SAW (قال الله و قال رسول الله) tetap juga dicop dilabel dengan pelbagai tuduhan yang tidak sepatutnya! 
    Pastilah ada juga rasa kecewa tetapi kalau Nabi pun orang tuduh apatah lagi kita, maka sabarlah sebaik ubat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 65- {Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa..}-

    Jika mereka beriman & bertaqwa.
    Kenapa Allah sebut juga bertaqwa sedangkan jika iman saja sudah cukup tetapi suruh bertaqwa juga?
    Ini kerana iman itu adalah aqidah tetapi bertaqwa itu ialah beramal dengan apa yang kita terima! 
    Jika tidak, nescaya jadi seperti murji’ah yang beriman tetapi tidak beramal!
    Allah sebut iman dulu kerana ia adalah asasnya kemudian dibina dengan taqwa sebagai bangunannya.
    Iman – tapak, taqwa bangunannya.
  1. Ayat 65- {Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.}-

    Allah beri tawaran kepada ahli kitab kalaulah kamu beriman & bertaqwa maka akan diberi tawaran-tawarannya. 
    Iaitu Allah akan beri kelebihan dunia & Akhirat.

    Sesiapa yang taubat dari dosa akan dapat dua pahala:
    i- Diampunkan dosa dan akan dapat makan nikmat rezeki yang turun dari langit & keluar dari bumi. Yakni nikmat yang banyak.

    ii- Di Akhirat kelak akan mendapat rahmat Allah & dimasukkan ke dalam syurga yang penuh nikmat.
    Maka kamu pilihlah, apa lagi yang kamu mahu!
  1. Ayat 66- {Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil…}-

    Allah kata jika mereka menegakkan Taurat & Injil.
    Kata ulama’ : Menegakkan agama itu pada mana-mana masa & zaman adalah merupakan sebab untuk mendapat kebaikan. 
    Kerana Allah telah berjanji di sini; jika kamu tegakkan Taurat, injil atau al-Quran, Allah akan beri balasannya di dunia & Akhirat:
    i- Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.

    ii- Nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi).
    Yakni kita kena beramal dengan segala undang-undang yang Allah turunkan barulah akan terbuka pintu langit & pintu bumi, untuk keluar segala nikmat Allah kepada kita!

    Negara kafir tu pun cantik juga? 
    Ini kerana atas dunia ini Allah akan beri semua rezeki-Nya kepada yang beriman atau kafir tetapi Akhirat Allah tidak akan beri kecuali kepada orang yang Dia sayang.
  1. Ayat 67- { dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.}-

    Ayat ini menjadi kewajipan kepada ahli ilmu- tuan syeikh, babo, ustaz, ulama’ para tok guru; untuk menyampaikan ilmu yang benar, jangan sembunyikannya! 
    Ini kerana ulama’ itu adalah pewaris para Nabi, yang benar sampaikan, jangan sembunyi!
    Ada orang yang tahu tetapi dia tidak sampaikan kerana takut tidak akan dapat duduk di atas arus perdana! 
    Ingatlah Sunnah mana yang kita bawa, kamu akan bertanggungjawablah terhadap apa yang disampaikan & apa yang tidak disampaikan.
    Kemudian Allah beri jaminan kepada Rasulullah SAW dalam ayat ini bahawa Dia akan jaga Rasulullah SAW daripada kejahatan manusia.

    Jagaan Allah itu ada dua:
    i- Allah tidak letakkan dalam hati orang kafir itu untuk bunuh & sakiti secara fizikal Nabi SAW & para pendakwah. Mereka khianat tetapi tidak pukul atau bunuh.

    ii- Mereka nak buat tetapi tidak dapat buatnya dengan jagaan Allah SWT.
    Sebagaimana dalam hadis di atas tadi.
  1. Ayat 68- {Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu agama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)”..}-

    Allah kata kepada ahli kitab, kamu tidak ada apa-apa nilai di sisi Allah SWT sehingga kamu melaksanakan undang-undang Allah yang ada dalam kitab kamu itu! 
    Jika kamu tidak jalankan tugas, tiada nilainya!
    Kita orang Islam kena ambil pengajaran dari ayat ini walaupun kita umat nabi Muhammad SAW, ketua segala rasul, tetapi jika tidak beramal, tidak menjalankan tugas, tidak ikut dengan al-Quran & Sunnah kita tidak akan ada apa-apa di sisi Allah SWT!
    Walaupun Nabi kita adalah rasul & Nabi yang paling mulia, tetapi jika kita tidak ikut apa yang diperintahkan Allah Azza wa Jalla & Baginda Nabi SAW – maka jawabnya kita tidak ada apa nilai di sisi Allah.
    Kita berdoa kepada Allah agar Allah bukakan hati, lapangkan dada kita untuk menjadi ahli Sunnah yang berpegang & mengikut Sunnah Nabi SAW dalam ibadat & kehidupan kami. Hidupkan kami dalam Sunnah & matikan kami dalam Husnul-Khatimah! 

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir untuk hari ini dan akan bersambung pada hari Isnin insya’ Allah.
Sedekah kita minggu ini, kita akan pergi ke Utara Thailand pula iaitu di Chiang- Rai & Chiang- Mai, Utara Thailand. Untuk beberapa masjid & Pusat Dakwah di sana.

Untuk menyumbang kepada Dakwah di Utara Melalui:
Pertubuhan Muafakat Dakwah Malaysia:
Akaun Maybank: 552116250249

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs