JANJI ALLAH KEPADA ORANG BERIMAN, ORANG KAFIR & INGATLAH NIKMAT ALLAH MENJAGA KAMU.
Full video : https://youtu.be/feNY4rpzt-k?si=JPf1xX57nn7SB-4X
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 9, 10 dan 11, dalam juzu’ keenam.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang janji Allah kepada orang beriman & beramal soleh iaitu balasan syurga bagi mereka.
- Sebaliknya janji Allah kepada orang kafir & mereka yang ingkar; merekalah penghuni neraka yang akan kekal di dalamnya selama-lamanya!
- Kemudian Allah peringatkan orang Islam supaya ingat akan nikmat Allah menjaga dengan memberi pertolongan kepada orang Islam dari dirempuh & dilanyak oleh orang kafir.
Kerana itu bersyukur & bertaqwalah kepada Allah SWT kerana sebaik tempat kita bergantung & tawakkal adalah kepada Allah Azza wa Jalla.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang larangan & perintah Allah SWT bagi mereka yang beriman.
ii- Maka dalam ayat ini dibawa janji pulangan dari Allah bagi mereka yang dengar kata taat setia melakukan segala arahan & larangan.
Maka kenapa kita tidak boleh nak mengaharapkan pahala sedangkan Allah sendiri yang beri tawaran & jaminannya.
- Munasabah kedua:
i- Dalam beberapa ayat yang lepas Allah sebut & ulang beberapa kali tentang taqwa kepada Allah SWT dan antara sifat yang mendekatkan kepada taqwa ialah adil & telus, jangan bias & pilih kasih.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bagi muttaqin orang yang bertaqwa mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
- Alhamdulillah kita yakin dengan janji Allah tetapi darjat keyakinan kita itu setinggi mana?
Ini kerana darjat keimanan & keyakinan itu tidak sama.
Maka inilah yang kita dok mengaji, belajar semua itu untuk meningkatkan ketaqwaan & keyakinan kita kepada Allah!
Ini supaya makin banyak kita belajar akan semakin tinggi darjat keyakinan kita kepada Allah SWT.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 9- {ALLAH MENJANJIKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MEREKA AKAN BEROLEH KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR.} (AL-MAAIDAH 5:9)
- Allah yang tidak mungkir janji telah membuat satu janji kepada orang yang beriman & beramal soleh tanpa riya’ & takabbur nak menunjuk kepada manusia.
- Sebagaimana telah kita katakan syirik ini terbahagi kepada 3 iaitu:
i- Syirik akbar (شرك أكبر) syirik yang besar seperti munafiq & kafir sembah selain Allah-atau murtad, gugur semua amalannya sebelum ini.
ii- Syirik asghar (شرك أصغر) syirik yang kecil iaitu syirik dalam ibadat seperti riya’ buat ibadat nak menunjuk kepada orang, maka gugur yang ada riya’ itu saja, tidak ibadat soleh yang lain.
iii- Syirik khofi (شرك خفي) syirik yang tersembunyi boleh jadi dua-dua besar atau kecil.
Ia sesuatu yang tidak nampak, dalam hati seperti munafiq.
- Maka Allah sebut syarat amalan itu diterima & soleh ialah:
i- Mesti ikhlas kerana Allah SWT, inilah kayu ukur yang pertama.
ii- Mesti ikut berdasarkan ajaran Nabi SAW, apa yang Nabi suruh kita buat, apa yang Nabi larang kita tinggalkan.
Apa yang Nabi tak buat & ajar jangan sesekali kita pergi reka & tambahnya!
- Mereka yang buat & ikut sebagaimana yang Allah perintahkan ini maka bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.
- Uslub perkataan yang digunakan yang menunjukkan mukjizatnya:
i- Pertama Allah kata { وَعَدَ ٱللَّهُ} yakni Dia telah janjikan, sejak dari awal lagi kerana itu diguna uslub yang telah lepas (فعل الماضي) : Past tense.
Tetapi janji untuk orang kafir tidak begitu.
ii- Allah guna perkataan { وَأَجْرٌ} yang bermaksud upah untuk pahala, yakni sebagai balasan atau ganjaran untuk perbuatan baik & amalan soleh kamu!
Allah guna perkataan upah untuk menampakkan janji-Nya itu benar. Ia adalah satu bayaran yang akan dibayar & diberi- sudah digezetkan akan diberi maka jangan kamu jangan bimbang & runsing!
AYAT 10- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI (AL-QURAN), MEREKALAH AHLI NERAKA.} (AL-MAAIDAH 5:10)
- Serta bagi orang kafir yang ingkar & mendustakan ayat-ayat Allah, balasan mereka adalah neraka yang penuh azab.
- Janji neraka untuk orang kafir ini tidak digunakan past tense tetapi Allah guna (جملة اسمية) yang menunjukkan bukan tetap atau kekal- masih ada lagi peluang untuk orang kafir bertaubat & insaf sebelum mereka mati!
- Sampaikanlah Islam kepada orang bukan Islam yang kita kenal agar mereka masuk Islam & selamat dari azab neraka!
Sekali-sekala apa salahnya kita kenalkan mereka kepada Islam, betapa banyak risalah yang telah dibuat oleh para pendakwah sebagai bahan untuk diberi sebagai rujukan mereka!
Tunaikan tanggungjawab kita untuk menyampaikan kebenaran, memberi ilmu; mereka terima atau tidak itu atas hidayah yang Allah berikan pula!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan pahala tentang orang yang beriman dan amala soleh iaitu pahala yang besar.
ii- Maka datanglah ayat ini menyatakan balasan untuk golongan yang sebaliknya, iaitu balasan neraka bagi orang kafir!
Begitulah uslub al-Quran pasti ada kembarnya positif & negatif, yang baik & yang buruk.
- Kafir dalam ayat ini bukan setakat kufur kepada Allah mereka juga mendustakan ayat-ayat dalil dari Allah iaitu:
i- Ayat-ayat Allah yang dibaca (مقروءة) iaitu al-Quran.
ii- Ayat-ayat Allah yang dapat dilihat (منظورة)- jika dulu Rasulullah SAW itu sendiri contoh yang amat tinggi, bukan saja indah rupa tetapi juga akhlak yang terpuji lagi indah!
Rupa tak apalah tidak boleh dipilih, tetapi akhlak dapat kita bentuk & pilih, dakwa cinta Nabi tetapi akhlak tidak ikuit Nabi!
- Dalam ayat ini Allah seburt sifat buruk yang kembar dua, kafir & mendustakan ayat Allah.
Jika Abu Lahab ada kembar 3 iaitu kafir, mendustakan & menyakiti orang mukmin!
Maka pastilah bertambah banyak sifat buruk bertambah dahsyat balasan azabnya!
Sebagaimana kita tahu syurga itu ada darjatnya (درجة), neraka juga ada lapisannya (دركة).
- Allah sebut mereka sebagai penghuni neraka (أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ) yang bermaksud kamulah tuan & penghuni neraka yang akan kekal di dalamnya tidak pindah-pindah keluar!
Na’uzu billah kita minta perlindungan Allah daripada neraka.
AYAT 11- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KENANGLAH NIKMAT ALLAH (YANG TELAH DIKURNIAKANNYA) KEPADA KAMU KETIKA KAUM (KAFIR YANG MEMUSUHI KAMU) HENDAK MENGHULURKAN TANGANNYA (UNTUK MENYERANG KAMU), LALU ALLAH MENAHAN TANGAN MEREKA DARIPADA (MENYERANG) KAMU. OLEH ITU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH; DAN KEPADA ALLAH JUALAH (SESUDAH BERTAQWA ITU) HENDAKLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERSERAH DIRI.} (AL-MAAIDAH 5:11)
- Wahai orang yang beriman hendaklah kamu sentiasa kenang nikmat Allah yang dikurniakan dengan bersyukur kepada-Nya.
- Syukur ini ada 3 kategori sama ada dengan:
i- Dengan lidah : Sentiasa berzikir memuji kepada Allah.
ii- Ingat hati : Kita sentiasa ingat & bersyukur kepada Allah.
iii- Dengan anggota : Dengan melakukan kebaikan & amal ibadat ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla. Seperti ibadat, berdakwah & amar ma’ruf nahi munkar!
- Antara nikmat itu ialah apabila Allah tolak perancangan jahat musuh-musuh, kafir yang mahu menyerang & membuat kejahatan ke atas kamu sama ada:
i- Allah tolaknya dengan palingkan hati mereka daripada keinginan untuk menyerang kamu.
ii- Atau jika telah berlaku pertempuran Allah akan beri pertolongan kepada orang mukmin dengan bawa tentera yang kamu tidak nampak!
- Firman Allah SWT:
{Dan Dia lah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.} (Al-Fat-h 48:24) |
- Selain beriman & beramal soleh kamu juga kena bertaqwa, takut kepada Allah dengan meninggalkan apa yang Allah larang & ikut perintah-Nya.
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah sebut nikmat-Nya dengan menahan tangan orang kafir daripada menyerang kamu, menolak perancangan jahat kafir,
ii- Maka Allah sebut mekanisme- sebab-sebab yang membolehkan kita mendapat kemenangan atas orang kafir iaitu taqwa & tawakkal.
Pertolongan Allah itu bersyarat- kamu tolong Allah, Allah akan tolong kamu!
Kamu bertaqwa Allah akan tolong kamu!
- Sebagaimana dalam hadis Nabi SAW: Seorang lelaki dikatakan telah datang berjumpa Rasulullah. Lelaki itu turut membawa untanya, lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah harus aku membiarkan untaku ini dan bertawakal kepada Allah?” Rasulullah dengan tenang memberikan jawapan yang jelas dalam sabdanya yang menyebutkan: “Ikatlah unta itu dan bertawakal kepada Allah.” [HR at-Tirmizi].
Bukannya lepas unta kemudian bertawakkal kepada Allah atau tinggal kunci pada motosikal dengan tawakkal- akan boleh faedahlah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 9- {Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.}-
Allah janjikan syurga kepada orang yang beriman & beramal soleh.
Kata ulama’ : Tidak cukup jika beriman saja tetapi tidak beramal.
Begitu juga beramal sahaja tetapi tidak beriman pasti tidak ada pahalanya.
Mesti ada dua-dua, iman yang mantap dengan amal yang soleh.
Bahaya golongan murji’ah yang sesat yang memisahkan antara iman & amal dengan mengatakan: Cukup untuk beriman sahaja- tidak perlu beramal soleh- apabila seseorang sudah mengucap cukuplah baginya!
Yang fanatik lagi kata sesiapa yang sudah mengucap; iman mereka setara dengan Saidina Abu Bakar atau malaikat walaupun tidak beramal!
Ini seakan sama seperti puak sekular & liberal hari ini yang memisahkan agama dari kehidupan, inilah yang mereka mahu!
Syarat amalan soleh untuk diterima:
i- Ikhlas kepada Allah.
ii- Ikut Sunnah ajaran Nabi SAW –
Jika tidak sesuatu amalan itu akan ditolak!
Sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang bukan berdasarkan perintah Kami, dia tertolak.” (HR Muslim 1718 [18]).
Tak usah tunjuk warak jika tidak ikut apa yang diajar oleh Nabi SAW- berzikir hatta tercabut serban bergoyang lantai pun tidak akan diterima Allah.
- Perbezaan maksudnya dalam dua ayat ini:
i- Ayat 9- {Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman- }-
Dalam konteks orang beriman Allah guna jumlah fi’liyyah (الجملة الفعلية) & sighah yang lepas- (فعل الماضي -past tense).
Menunjukkan bahawa benda itu telah berlaku- yakni untuk orang beriman & beramal soleh Allah telah tetapkan, telah gezetkan balasan syurga bagi mereka.
Ini supaya orang yang beriman itu sentiasa rindu kepada Allah, rindu kepada syurga, rindu untuk bersama Rasulullah SAW dalam syurga!
Tetapi jika tahu syurga saja tidak beramal tidak akan tercapai juga!
ii- Ayat 10- {Dan orang-orang yang kafir- وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ }-
Bagi orang kafir pula Allah guna jumlah ismiyyah (الجملة الإسمية) dan isim mausul (اسم موصول).
Menunjukkan hukum itu memang ada & akan kena jika mereka tidak bertaubat akan kekal di dalam neraka!
Allah tidak guna feel madhi (sudah berlaku ketetapan) seperti orang beriman kerana bagi mereka masih ada harapan lagi untuk insaf & bertaubat.
Tidak kata kekal & tetap akan masuk neraka dari awal lagi!
Kerana itu seperti yang kita katakana tadi kempen ajaklah kawan-kawan kita yang bukan Islam kepada Islam agar mereka selamat & tidak akan mempersalahkan kita di Akhirat nanti!
- Ayat 9- {Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.}-
Allah sebut balasan syurga untuk orang beriman dan beramal soleh.
Ayat 10- {Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah ahli neraka.}-
Balasan neraka untuk orang kafir dan ingkar.
Dalam al-Quran pasti ada kembarnya positif & negatif, baik & buruk.
Iaitu apabila Allah sebut tentang orang yang buat amalan soleh, Allah kan sebut juga tentang yang buat amalan tholeh, sebut balasan syurga. Akan disebut juga balasan neraka!
Ini supaya orang yang berharap tidak letakkan harapan saja tetapi mesti beramal!
Manakala orang takut tidak akan takut saja sehingga kecewa; tetapi masih ada harapan untuk kembali ke pangkal jalan.
Yakni kita tahu ada syurga yang dijanjikan; maka kita akan beramal soleh untuk mendapatkannya.
Kita juga tahu jika langgar larangan Allah akan ada balasan neraka yang menanti maka kita akan jauhinya!
Allah juga sebut dalam ayat ini orang yang kafir & orang yang mendustakan.
Begitulah dalam ayat-ayat al-Quran kadang-kadang Allah sebut:
i- Kafir saja, sebagaimana firman-Nya: {Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.} (Ali-‘Imran 3:131)
ii- Ada yang disebut berdusta saja bergantung kepada kisah yang dibawa.
Seperti firman Allah SWT ini: {(Apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya.} (Az-Zumar 39:32)
iii- Ada yang disebut dua-dua sifat seperti dalam ayat kita ini.
Lagi dahsyat! Jika satu saja sudah teruk apatah lagi dua atau tiga sifat buruk!
Allah kata orang mendustakan ayat kami iaitu termasuklah ayat yang kita nampak seperti alam ini (kauniyyah) dan ayat-ayat al-Quran yang dibaca!
- Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu),}-
Ayat ini membawa persoalan kenapa Allah SWT selalu mengungkit untuk syukur nikmat, mengingatkan kita akan nikmat-Nya?
Ini kerana jika kita ingat akan Pemberi Nikmat maka kita akan syukur, kita akan akur & mudah untuk beribadat apabila kita tahu & kenal Allah sebagai Pemberi nikmat yang banyak kepada kita!
Semua yang kita guna ini hasil daripada rahmat & kasih sayang Allah SWT.
Jika kita tahu tetapi tidak syukur maka ia akan menghilangkan nikmat itu.
Nikmat itu sama ada:
i- Allah beri apa yang kita tidak ada lagi seperti isteri, keluarga & harta atau;
ii- Allah tahan atau selamatkan kita daripada ditimpa bala musibah, sakit yang sembuh, orang nak khiatat dan seumpamanya. Itu adalah nikmat juga jangan kita nampak nikmat itu sebagai dapat harta atau duit saja!
- Ayat 11- {Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.}-
Wajib ke atas orang beriman untuk bertaqwa & bertawakkal kepada Allah!
Kriteria bagi orang beriman ialah mesti mempunyai sifat taqwa & tawakkal.
a) Taqwa adalah sifat yang sinonim bagi orang mukmin:
i- Jika dapat nikmat dia syukur
ii- Jika ditimpa ujian dia sabar.
b) Sifat kedua ialah bertawakkal kepada Allah iaitu pergantungan hati terhadap Allah!
Jika tidak dia akan menyeru memohon dengan benda yang dia puja itulah.
Jangan sampai menjadi seperti setengah fahaman sesat yang memuja tokoh tertentu sehingga peringkat mensucikannya.
Kemudian claim jihad ekonomi Islam mesti dibantu, sedangkan yang utama & pertama ialah kita wajib jaga aqidah dulu!
Jika sudah jelas dengan bukti & saksi-saksi aqidahnya tidak betul wajib kita lawan & jangan sokong!
Hargailah keberanian para sahabat kita yang membongkar dan mendedahkan kesongsangan & kesesatan yang ada!
- Ya Allah sabitkan kami atas al-Quran & Sunnah, agar kami hanya bertawakkal kepada Allah & mulut kami tidak menyebut memohon kepada yang lain selain daripada Allah SWT!
Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita untuk siri ini moga Allah selamatkan kita di dunia & aman di Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.