SURAH AL-MASAD : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KECELAKAAN BAGI ABU LAHAB & HARTA DAN ISTERINYA JUGA BINASA.

Full video : https://youtu.be/umtxbccQYGs?si=rzcODGcM9neNQdrs

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Selasa 05 Safar 1445H bersamaan 22hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Nasr – سورة النصر.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Masad – سورة المسد adalah surah ke-111 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketigapuluh-empat dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah An-Nasr – سورة النصر.
    Mengandungi 5 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Dalam surah ini Allah s.w.t menyatakan kecelakaan bagi Abu Lahab, harta dan isterinya juga binasa.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Masad – سورة المسد yang bermakna {Tali Sabut Yang Dipintal} kerana dalam keseluruhan surah ini Allah s.w.t
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- surah Tabbat تَبَّتْ} diambil dari perkataan pertamanya.
    ii- surah Tabbat Yada Abi Lahabin { تَبَّتْ يَدَآ أَبِى لَهَبٍ} diambil dari ayat pertamanya.
    iii- dikenali juga dengan nama surah Abi Lahabin {أَبِى لَهَبٍ}.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Memberi pengajaran kepada sesiapa yang memusuhi apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w kerana menurut hawa nafsunya & mengutamakan kepercayaan adat-istiadat & perbuatan yang dilakukan turun-temurun.
  2. Juga kerana terpedaya dengan harta-benda & kekuasaan serta pengaruh yang ada padanya! Padahal semuanya itu tidak akan memberi sebarang faedah kepadanya pada hari Akhirat bahkan dia akan menderita azab siksaan!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah menceritakan tentang celakanya Abu Lahab & isterinya sekali. Sama naik & sama jahat suami isteri ini terhadap Rasulullah s.a.w.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa Abu Lahab akan binasa & sangat kerugian!

Sudah ada peluang yang amat dekat kerana Rasulullah s.a.w adalah anak saudaranya, kerabat yang dekat, duduk dalam keluarga, anak beranak tetapi peluang yang diberi ini dilepaskan begitu saja!
Itulah manusia yang rugi & celaka, ada peluang dilepaskan!

  1. Allah juga nyatakan hartanya tidak memberi apa-apa manfaat kepadanya, usahanya juga sia-sia, kerana itu adalah usaha yang tidak baik & jahat!
  2. Allah janjikan untuk dia & isterinya akan dicampakkan ke dalam neraka- wal-\’iyazu billah.

MUNASABAH SURAH AL-MASAD – سورة المسد DENGAN SURAH AN-NASR – سورة النصر SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah An-Nasr – سورة النصر :

  1. dalam surah an-nasr Allah janjikan kepada Rasulullah s.a.w!

Sesiapa yang berjuang pada jalan & agama Allah, Allah akan beri pertolongan & kemenangan.

Kemenangan itu pula samada di depan mata iaitu di dunia terus atau di akhirat nanti!

ii- dalam surah ini pula Allah nyatakan sesiapa yang menentang & menyekat perjuangan Islam maka dia akan celaka & rugi, dia akan dicampakkan ke dalam neraka sebagaimana manusia yang kerugian besar ini iaitu Abu Lahab!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu, bukan mereka yang akan binasa & kerugian pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {BINASALAH KEDUA-DUA TANGAN ABU LAHAB, DAN BINASALAH IA BERSAMA!} (AL-MASAD 111:1)

  1. Binasa & celakalah kedua tangan Abu Lahab dan keseluruhannya!

Abu Lahab merupakan bapa saudara Rasulullah S.A.W. Nama sebenarnya Abdul-Uzza bin Abdul-Muttalib. Juga digelar Abu Utaibah. Selepas kenabian, Abu Lahab selalu menyakiti dan mengkhianati Nabi S.A.W. Dia mencela Nabi dan Islam.

  1. Ayat ini & ayat-ayat berikutnya memberi pengajaran kepada sesiapa yang memusuhi Rasulullah s.a.w kerana menurut hawa nafsunya mengutamakan kepercayaan adat-istiadat & perbuatan yang dilakukan turun-temurun.
  2. Juga kerana terpedaya dengan harta-benda & kekuasaan serta pengaruh yang ada padanya! Padahal semuanya itu tidak akan memberi sebarang faedah kepadanya pada hari Akhirat bahkan dia akan menderita azab siksaan!
  3. Sababun-Nuzul- sebab turun ayat:
    i- Banyak cerita tentang surah ini dalam kitab-kitab tafsir tetapi berhati-hati- semak & pilih dulu yang jelas kesahihannya!

ii- dari Ibnu Abbas r.a, pada suatu hari Rasulullah S.A.W telah pergi ke lembah Batha\’, kemudian Baginda mendaki bukit di sana, lalu baginda melaungkan «يَا صَبَاحَاه» Wahai waktu pagi, (wahai manusia, dengarlah!!)..

Kemudian orang ramai datang mengelilingi Baginda S.A.W, Baginda menyambung:
Adakah kamu percaya jika aku katakan, ada musuh yang akan mendatangi kamu pada waktu atau pada petang?

Orang Quraish menjawab :\” Ya!\”
Rasulullah S.A.W berkata lagi: Sesungguhnya aku diutuskan untuk memberi peringatan kepada kalian tentang azab yang pedih.

Lalu Abu Lahab menyumpah: Adakah kamu mengumpul kami pagi ini hanya untuk mendengar kamu mengarut? Binasalah kamu.

Lalu Allah menurunkan ayat: تَبَّتْ يَدَآ أَبِى لَهَبٍ وَتَبَّ
\”Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama!\” [HR Bukhari].

Ada riwayat mengatakan bahawa, ketika Abu Lahab bangun, lalu menyapu debu di tangannya, kemudian berkata kepada Nabi S.A.W: \”Celakalah kamu Muhammad, adakah kamu mengumpulkan kami pagi ni untuk mendengar kamu mengarut?\”

5. Dari Abu Az-Zinad, seorang lelaki (Rabiah bin Ab-Bad) berkata kepada beliau: \”Pada suatu hari ketika sebelum aku memeluk Islam, aku melihat Rasulullah di pasar Zul Majaj. Beliau berjalan sambil berkata:

«يَا أَيُّهَا النَّاسُ، قُولُوا: لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ تُفْلِحُوا»

\”Wahai Manusia, katakanlah, tiada Tuhan selain Allah, kamu akan berjaya\”
Orang-orang mengelilingi Baginda S.A.W.

Terdapat seorang lelaki yang berwajah cerah, bermuka bengis dengan rambut mempunyai dua pintalan berjalan di belakang Nabi S.A.W sambil berkata:
\”Sesungguhnya dia ni orang yang murtad dari agama kita dan penipu\”.

Lelaki tersebut selalu mengekori Nabi. Jadi aku bertanya kepada orang sekelilingku, \”Siapa lelaki dibelakang tu?\”. Mereka berkata, \”Itulah bapa saudaranya, Abu Lahab.\” [HR Imam Ahmad].

AYAT 2- {HARTANYA DAN SEGALA YANG DIUSAHAKANNYA, TIDAK DAPAT MENOLONGNYA.} (AL-MASAD 111:2)

  1. Allah nyatakan bahawa segala usaha, anak-cucu & harta & yang dikumpulnya selama ini tidak akan dapat memberi apa-apa pertolongan & faedah kepadanya.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?} (Al-Lail 92:11)

AYAT 3- {IA AKAN MENDERITA BAKARAN API NERAKA YANG MARAK MENJULANG.} (AL-MASAD 111:3)

  1. Yakni Allah s.w.t kerat terus & nafikan bahawa akan ada sesiapa yang dapat menolongnya!
  2. Dia akan tetap menderita dalam siksaan api neraka yang menjulang menyala sentiasa, tidak akan pernah terpadam.
  3. Maka hati-hatilah kita jangan sampai terjebak dengan sifat buruk begini, menghalang & menyakiti orang yang berdakwah kepada kebenaran.

AYAT 4- {DAN JUGA ISTERINYA, SEORANG PEREMPUAN PEMUNGGAH KAYU API.} (AL-MASAD 111:4)

  1. Setelah Allah sebut siksaan Abu Lahab dibawa pula kisah isterinya- sebagai pembantu & penyokong kepada suaminya.
  2. Isteri Abu Lahab pula ialah Ummu Jamil (nama gelaran).
    Kata Ibnu Kathir haram: Nama sebenarnya Arwa bint Harb bin Umaiyyah.
    Merupakan saudara perempuan kepada Abu Sufyan.
  3. Ummu Jamil bersepakat dan bersekongkol dengan suaminya dalam kesyirikan dan pengkhianatan terhadap Nabi S.A.W dan agama Islam. Maka, dengan sebab itu, dia akan menjadi pembantu dan menambah seksaan terhadap Abu Lahab.
  4. Antara maksudnya {حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ}- pemunggah kayu api.} mengikut pandangan ulama\’ tafsir:
    i- semasa hidup dia selalu memunggah kayu api berduri untuk diletakkan di tengah jalan laluan Rasulullah s.a.w, supaya Baginda tersepak atau terpijaknya!

ii- oleh kerana perbuatannya atas dunia itu, maka di dalam neraka di akhirat kelak dia juga akan memunggah kayu api sebagai bahan bakaran untuknya & Abu Lahab.

iii- ada yang kata dengan makna perangai buruknya sebagai pembakar atau batu-api- menyebarkan kebencian & fitnah ke atas Rasulullah s.a.w supaya orang membenci Baginda s.a.w.

5. Kesimpulannya kata Ibnu Kathir rhm.: Arwa ini di antara pemimpin wanita terkenal di kalangan Quraisy. Dialah yang memberi semangat, pertolongan & sokongan kepada Abu Lahab supaya membenci, menentang & menyakiti Rasulullah s.a.w.

Dengan sebab perbuatannya itu, maka di akhirat kelak- dia yang bawa kayu api dalam neraka & campakkannya ke atas kepala Abu Lahab. Ini untuk menambahkan lagi siksaan & penghinaan ke atas kejahatan mereka berdua terhadap Rasulullah s.a.w!

AYAT 5- {DI LEHERNYA SEJENIS TALI, DARI TALI-TALI YANG DIPINTAL.} (AL-MASAD 111:5)

  1. Dia memakai di lehernya tali yang dipintal untuk memunggah ranting kayu berduri untuk diletak di jalan laluan Rasulullah s.a.w.
  2. Kata Ibnu Juzai rhm.:
    i- Maksudnya Allah ceritakan perangainya atas dunia ini memunggah kayu berduri manakala di akhirat kelak pula dia akan pakai tali juga memikul kayu api neraka pula!

ii- Ada juga yang berkata: Ummu Jamil ni seorang yang kaya, maka dia memakai kalung besar-rantai emas di lehernya, yang dikatakan akan digunakan untuk menentang Rasulullah s.a.w! Lalu Allah kalungkan dilehernya pula di akhirat dengan kalungan api sebagai siksaan & penghinaan!

  1. Semoga Allah cerahkan hati kita & beri kefahaman untuk kita menjauhkan diri dari sifat seperti watak-watak jahat yang Allah nyatakan ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!}- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan menyatakan kebinasaan ke atas Abu Lahab!

Menunjukkan surah ini adalah diturunkan khas untuk mencerca dan mencela Abu Lahab & isterinya serta semua yang bersifat sepertinya pada sepanjang zaman.
Permulaan cakap menunjukkan isi kandungannya!

Ayat ini untuk membela & mempertahankan Rasulullah s.a.w & menghina Abu Lahab yang sangat jahat kepada Baginda s.a.w!
Hina jugalah orang yang menyekat dakwah Islam di sepanjang zaman.

Persoalan:
Kenapa Allah s.w.t tidak mulakan surah ini dengan {قل} yakni katakan??

JAWAPAN :

Ini kerana Abu Lahab walaupun amat jahat, tetapi dia juga tetap bapa saudara Rasulullah s.a.w sendiri.
Maka Allah s.w.t tidak perintahkan Rasulullah s.a.w mengatakan celaan itu, tetapi Allah sendiri yang terus mencelanya!

Ini untuk mengelakkan kaum keluarga yang lain akan terasa kepada Rasulullah s.a.w serta tidak elok sebagai anak saudara untuk mengata terus atas muka orang tuanya!

Celaan ini kerana berbeza dasar perjuangan & aqidah- bukan perbalahan keluarga. Jika dia memaki & menghinamu wahai Muhammad s.a.w- maka bacalah ayat ini, Allah yang mencelanya bukan kamu!

Ayat ini juga tidak berulang perkataan celaka itu, tetapi sebagai ta\’kid bahawa dia benar-benar celaka!

  1. Ayat 1- {Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!}-
    Surah al-Masad ini diturunkan khusus kepada Abu Lahab & isterinya.

Kedua-dua mereka ini Abu Lahab & isterinya Ummu Jamil adalah dari keturunan Quraisy yang berkedudukan tinggi di kalangan mereka. Abu Lahab adalah bapa saudara Rasulullah s.a.w & Sayyidina Ali, manakala isterinya pula adik kepada Abu Sufyan iaitu ibu saudara kepada Muawiyah bin Abu Sufyan r.a, yang terjadi pertelingkahan antara mereka selepas itu.
Abu Lahab dari Bani Hasyim manakala Ummu Jamil dari Bani Umayyah.

Tidak ada dalam al-Quran seorang kafir yang dicela dengan disebut namanya yang khas kecuali Abu Lahab & isterinya ini.
Ini menunjukkan keturunan tidak memberi kesan atas kebaikan atau kejahatan seseorang itu!

Mulianya seseorang itu kerana ikut Nabi s.a.w bukan semata-mata keturunan Nabi! Walaupun keturunan Nabi tetapi jika tidak ikut ajaran Nabi s.a.w; tidak akan ada apa-apa keistimewaan & faedah.

KATA AHLI SYAIR :

Ahli keluarga atau keturunan Nabi yang betul-betul ialah mereka yang mengikut agama & ajarannya; Samada orang Arab atau bukan Arab atau Sudan.

Jika bukan itu makna keturunan Nabi s.a.w; Pastilah orang akan berselawat ke atas Abu Lahab kerana dia adalah bapa saudara Nabi s.a.w!

Perhatian: Tiada halangan untuk membaca surah ini di dalam solat- kerana Allah sendiri yang menurunkannya khas untuk mencela Abu Lahab.

  1. Ayat 1- {Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!}
    Ayat ini menunjukkan bahawa boleh kita buat gelaran kepada orang kafir!
    Abu Lahab- bapa kepada api yang menyala.

Ini kerana kebiasaannya apabila kita gelaran- ia adalah untuk memberi kemuliaan kepada seseorang .

Tetapi dalam kes Abu Lahab ini kerana nama aslinya ialah hamba berhala (Abdu Uzza) maka Allah tidak mahu memanggilnya dengan nama buruk itu lalu menggunakan nama gelarannya!
Allah tidak mahu mewarwarkannya di dalam al-Quran, nanti seolah mengiktirafnya pula.

Jika Rasulullah s.a.w seorang yang bermuka-muka dalam agama ini pasti Baginda s.a.w tidak menyebut surah celaan terhadap bapa saudaranya ini!

Tetapi agama itu mesti tegas, satu kebenaran yang tidak dapat disembunyikan!

  1. Ayat 4- {Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.}
    Allah gambarkan perihal suaminya sedang dibakar dalam neraka, manakala isterinya pula datang mencampakkan kayu api sebagai bakaran ke atas kepala suaminya pula. Ini adalah satu penghinaan & bertambah.

Ummu Jamil ini semasa di atas dunia memunggah kayu berduri di laluan Rasulullah s.a.w, maka ini menunjukkan satu perbuatan yang amat jahat.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa perkahwinan orang kafir juga diiktiraf!
Allah s.w.t memanggil Ummu Jamil sebagai isterinya {وَٱمْرَأَتُهُۥ}.

  1. Ayat 5- {Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.} –
    Melalui ayat ini Allah mahu menunjukkan bahawa jika kamu ada harta, ada emas perak yang banyak, maka gunakanlah untuk kebaikan & agama!

Jangan gunakan untuk keburukan iaitu samada :
i- kita pakainya dengan riya\’ takabbur nak menunjuk kepada orang.

ii- atau kita gunakan harta & dana itu untuk mengkhianati agama Islam-
Keduanya adalah jalan keburukan.

Ummu Jamil dulu berbangga-bangga dengan kalung & emas yang dipakainya, bahawa akan digunakan untuk melawan Muhammad s.a.w! Maka di dalam neraka Allah s.w.t kalungkan rantai api dilehernya!

KESIMPULAN :

Bahawa keturunan, keluarga, rapat dengan orang soleh, tidak akan memberi manfaat jika tak ikut ajarannya.
Keturunan juga tak beri apa-apa faedah kerana iman itu tidak dapat diwarisi.

Seperti Abu Lahab dan lain-lain penentang Rasulullah s.a.w yang tidak mendapat faedah dari dakwah Rasulullah s.a.w walaupun mereka sudah hidup bersamanya samada menjadi kaum keluarga, jiran dan seumpamanya.

Jangan sampai kita menjadi begini juga, tidak mendapat faedah dari kekeluargaan, kedekatan atau kejiranan!

YA Allah ya Tuhan kami dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang Maha tinggi, berilah kepada kami taufiq hidayah untuk beramal kepada-Mu, mengikut al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

Dan berilah juga taufiq hidayah kepada keluarga kami, jiran tetangga kami & mereka yang ada di sekeliling kami, supaya mereka kembali ke jalan-Mu, bertalaqi dengan memahami al-Quran, belajar Sunnah serta memahami & beramal dengannya.

Jauhkan kami dari sifat buruk, benci kepada Islam, benci kepada Sunnah, benci kepada pendakwah Islam, benci kepada orang yang mengajak kepada Kitab & Sunnah.

Powered by BetterDocs