SURAH AL-MU\’MINUN : AYAT 73-83

\"\"

ALLAH TIMPAKAN BALA AGAR ORANG KAFIR SEDAR, TELINGA, MATA DAN HATI ALAT MENERIMA ILMU & KERANA AMALAN DATUK NENEK KEBENARAN DITOLAK.

Full video : https://youtu.be/j5Kb9tvhiwo

MUQADDIMAH :

1. Alhamdulillah pada pagi ini kita masih berpeluang mencari keberkatan dan menimba ilmu, memahami Kalam Allah swt yang menjadi bimbingan dan petunjuk kepada orang yang bertaqwa, walaupun dalam keadaan PKP 3.0 yang terhad ini.

2. Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk dan jenis, ada yang susah seperti wabak penyakit, kemiskinan dan seumpamanya. Ada ujian dalam bentuk kesenangan dan kemewahan.

3. Kita tidak tahu yang mana lebih berat dan susah bagi kita, tetapi kadangkala ujian senang itu yang boleh mengancam akidah dan keimanan kita. Semoga kita berjaya menghadapinya dengan penuh kesabaran dan mendapat pahalanya.

4. Sebelum ini telah dinyatakan akan jalan yang sesat yang diikuti oleh golongan yang kufur.

5. Maka dalam ayat yang seterusnya Allah s.w.t menunjukkan jalan yang lurus dan benar, serta membersihkan Islam dan Rasulullah s.a.w dari tuduhan jahat yang mereka reka-reka.

6. Inilah keindahan dan mukjizat al-Quran, ada kesinambungan setiap ayat dan surahnya, fakta yang tersusun dan tidak pernah bercanggah atau menyalahi satu dengan yang lainnya. Alhamdulillah.

AYAT 73- {DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) HANYA MENYERU MEREKA KE JALAN YANG LURUS;} (AL-MU\’MINUUN 23:73)

1. Allah s.w.t membersihkan Rasulullah s.a.w dan menyatakan bahawa Baginda dan apa yang dibawanya berada di jalan yang benar dan sahih.

2. Allah s.w.t mengiktiraf bahawa Baginda s.a.w berdakwah dan menyeru mereka kaum Quraisy ke jalan yang benar, yang lurus.

3. Allah s.w.t tidak pernah menyeru Rasulullah s.a.w dengan namannya (Ya Muhammad) dalam al-Quran, bahkan memanggilnya dengan jawatannya; wahai rasul, wahai nabi!

AYAT 74- {DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT, SUDAH TENTU TIDAK MENGIKUTI JALAN YANG LURUS ITU.} (AL-MU\’MINUUN 23:74)

1. Allah s.w.t sebut sekali sifat puak kafir yang tidak percaya akan Hari Kiamat.

2. Mereka inilah yang lari daripada landasan yang benar, mengikut jalan yang sesat, menuju ke neraka wal-iyazubillah.

AYAT 75- {DAN SEKIRANYA KAMI MENARUH BELAS KASIHAN KEPADA MEREKA SERTA KAMI HAPUSKAN KESUSAHAN YANG MENIMPA MEREKA, NESCAYA MEREKA AKAN TETAP TERUS MERABA-RABA DALAM KESESATAN MEREKA YANG MELAMPAUI BATAS ITU.} (AL-MU\’MINUUN 23:75)

1. Orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat ini, walaupun jika Allah s.w.t hapuskan bala dan ujian yang dikenakan atas mereka;

2. Mereka akan tetap kufur dan berada dalam kesesatan yang melampaui batas. Masih dengan kehiduapn taghut yang sama.

3. Ada riwayat mengatakan kisah di sebalik ayat ini ialah apabila mereka ditimpa bala kemarau setelah didoakan oleh Rasulullah s.a.w lalu mereka meminta Baginda doakan agar dihilangkan bala itu. Setelah hilang bala mereka tetap tidak beriman.

Ulama\’ tafsir menolak kisah sebab nuzul ini, kerana ayat ini adalah Makkiyyah, sedangkan kisah sahih tentang Abu Sufian datang berjumpa Rasulullah s.a.w di Madinah untuk mendoakan mereka berlaku selepas hijrah.

4. Ayat ini untuk kita semua, adakah selepas ujian bala wabak ini kita insaf dan menjadi bertambah baik?? Adakah kita mahu ujian yang lebih berat??? wal-iyazubillah.

5. Semoga kita kembali kepada Allah menjadi manusia yang baik, banyak dan baiki amal ibadat, sentiasa beristighfar bukan banyak mengomen mengkritik apatah lagi mengutuk dan mencerca.

AYAT 76- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENIMPAKAN MEREKA DENGAN AZAB (DI DUNIA), MAKA MEREKA TIDAK JUGA TUNDUK PATUH KEPADA TUHAN MEREKA DAN TIDAK PULA BERDOA KEPADANYA DENGAN MERENDAH DIRI (SERTA INSAF DAN BERTAUBAT);} (AL-MU\’MINUUN 23:76)

1. Kaum kafir Quraisy ini telah ditimpakan mereka dengan azab di dunia ini, iaitu kekalahan yang hina dan kematian ramai pembesar mereka dalam peperangan Badar.

2. Tetapi mereka tetap tidak juga insaf dan bertaubat lalu tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepada-Nya.

AYAT 77- {SEHINGGA APABILA KAMI BUKAKAN KEPADA MEREKA SEBUAH PINTU YANG MENYEBABKAN AZAB YANG BERAT, MAKA MEREKA SERTA-MERTA BERPUTUS ASA DENGAN SEBABNYA – DARI MENDAPAT SEBARANG KEBAIKAN.} (AL-MU\’MINUUN 23:77)

1. Apakah mereka mahu menunggu sehingga Allah s.w.t buka pintu dnturunkan azab yang berat?

2. Ulama\’ berbeza tentang azab ini, ada yang kata:

i- azab kemarau dan kelaparan.

ii- azab kekalahan dalam perang Badar.

iii- azab yang tidak tentu,semua bentuknya.

iv- azab di akhirat kelak.

Maka kita pilih yang jamak yakni kesemua bentuk azab ini.

3. Maka bila ini terjadi mereka akan berputus-asa, yakni tidak akan mendapat sebarang kebaikan lagi.

BEBERAPA PENGAJARAN DARIPADA AYAT YANG DIBACA TADI:

1. Allah s.w.t sebut; {Azab di atas dunia ini};- iaitu Allah s.w.t timpakan azab dia atas dunia ini supaya mereka insaf sedar dan kembali kepada-Nya. Jika tidak, atas dunia ini pun mereka akan mati dan di akhirat kelak akan berjumpa azab pula.

2. Sebab-sebab untuk menjadikan seseorang itu beriman ialah dengan tadabbur al-Quran dan menghayati tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t.

3. Manakala sebab-sebab yang menjadi halangan dan menyebabkan seseorang itu kufur ialah takabbur, angkuh sombong serta berpegang dengan ajaran nenek moyang.

AYAT 78- {DAN DIA LAH JUA YANG MENGADAKAN BAGI KAMU PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN SERTA HATI (UNTUK KAMU BERSYUKUR; TETAPI) AMATLAH SEDIKIT KAMU BERSYUKUR.} (AL-MU\’MINUUN 23:78)

1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut beberapa nikmat yang dijadikan alat untuk kita mengetahui bahawa dunia ini ditadbir oleh Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa dengan penuh teratur, hikmah dan kebijaksanaan.

2. Setelah disebut tentang kaum kafir yang masih ingkar dan kufur walaupun Rasulullah s.a.w telah berdakwah dengan hujjah dan dalil yang nyata- lalu Allah s.w.t sebutkan bahawa manusia itu telah diberi alat-alat untuk berfikir.

3. Iaitu diberi pendengaran (telinga untuk dengar kebenaran) dan penglihatan (mata untuk lihat yang baik dan benar) serta hati untuk berfikir (tentang alam ini) lalu akan dapat manfaat dalam kehidupan agama dan dunia lalu bersyukur.

4. Allah s.w.t memberikan 3 pancaindera ini sebagai alat untuk menerima ilmu supaya manusia dapat membezakan mana yang benar dan yang salah, mana yang baik dan buruk.

5. Namun malangnya mereka tetap kufur dan tidak mahu mendengar dan amatlah sedikit yang bersyukur.

6. – اللهم اجعلنا من القليل- Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan orang yang sedikit ini!!!

AYAT 79- {DAN DIA LAH YANG MENCIPTAKAN SERTA MENGEMBANGKAN KAMU DI BUMI, DAN KEPADA-NYALAH KAMU AKAN DIHIMPUNKAN.}(AL-MU\’MINUUN 23:79)

1. Dalam ayat ini ialah nikmat yang ke2 selepas nikmat 3 pancaindera tadi.

2. Iaitu Allah s.w.t menjadikan kita berkembang-biak yakni mempunyai zuriat di atas muka bumi ini.

3. Serta ingatlah kepada Allah-lah nanti kita semua akan dihimpunkan di akhirat kelak.

AYAT 80- {DAN DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN; DAN DIA LAH YANG MENENTUKAN PERTUKARAN MALAM DAN SIANG. MAKA TIDAKKAH KAMU MAHU BERFIKIR?} (AL-MU\’MINUUN 23:80)

1. Allah s.w.t mengingatkan juga Dia lah yang menghidupkan dan mematikankita. Yakni ini adalah nikmat yang ke3, kita diwujudkan dia atas dunia ini.

2. Nikmat kewujudan ini untuk manusia diberi peluang dan ruang menambah ketaatan dan kepatuahn kepada Allah s.w.t, beribadat dan menjana kebaikan di atas dunia ini sebagai bekalan untuk di bawa ke akhirat kelak.

3. Maka berhati-hatilah untuk ambil ilmu dan amalan, ambillah yang sahih dari nabi s.a.w, bukan pakai rembat dan sebar aje apa ajaran yang dishare!!!!

4. Nikmat yang seterusnya iaitu ke4 ialah pertukaran malam dan siang yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Betapa banyaknya nikmat untuk manusia dalam dua keadaan ini, telah banyak dibincangkan.

5. Maka tidakkah kamu ada dan gunakan akal untuk berfikir atas semua nikmat ini????

AYAT 81- {(MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERFIKIR) BAHKAN MEREKA BERKATA SEPERTI YANG DIKATAKAN OLEH ORANG-ORANG DAHULU (YANG INGKAR);} (AL-MU\’MINUUN 23:81)

1. Ayat ini diceritakan sifat orang yang perlu dijauhi.

2. Mereka tetap tidak mahu berfikri dan memberikan jawapan sebagaimana orang-orang ingkar terdahulu.

AYAT 82- {MEREKA BERKATA: \”ADAKAH APABILA KAMI TELAH MATI DAN KAMI MENJADI TANAH DAN TULANG, ADAKAH KAMI AKAN DIBANGKITKAN (HIDUP SEMULA)?} (AL-MU\’MINUUN 23:82)

1. Hujjah yang sama sejak dari umat dahulu sehingga umat Nabi Muhammad s.a.w ini.

2. Adakah setelah mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan dan hidup semula?

AYAT 83- {\”DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH DIJANJIKAN PERKARA INI – KAMI DAN DATUK NENEK KAMI – DARI DAHULU LAGI; PERKARA INI HANYALAH CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU-KALA.\”} (AL-MU\’MINUUN 23:83)

1. Mereka ungkitkan bahawa inilah yang telah dijanjikan sejak dari datuk nenek kami – dari dahulu lagi;

2. Bahkan tetap tidak percaya kerana perkara ini hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu-kala.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

1. Allah s.w.t beri kepada kita alat untuk menerima ilmu iaitu pendengaran, penglihatan dan akal, sebagai hujjah ke atas kita nanti bahawa telah disampaikan.

2. Melalui ayat ini ada 3 makna.:

i- untuk menzahirkan nikmat Allah s.w.t untuk kita fikir,

ii-menuntut supaya hamba-Nya bersyukur.

iii- Allah s.w.t juga nyatakn bahawa sedikit sekali yang bersyukur.

3. Apakah makna syukur? Iaitu melakukan tuntutan dan ketaatan kepada pemberi nikmat dengan:

i- ikrar dengan hati bahawa Allah s.w.t yang wujud dan mencipta serta memberi segala nikmat ini.

ii. Ikrar yakni mengucapkan dengan lidah seperti syahadah.

iii- merealisasikannya dengan beramal dengan anggota yakni dengan amal ibadat. Kena ada dua-dua buat suruhan dan tinggalkan larangan Allah s.w.t, seiring amar makruf dan nahi munkar

4. Sesiapa yang tidak menggunakan alat-alat yang berikan oleh s.w.t untuk mencari ilmu itu maka seolah-olah dia tidak mempunyainya.

5. Haiwan juga ada telinga, mata dan otak, tetapi yang membezakan kita dengan haiwan ialah akal.

6. Tidak cukup dengan akal Allah s.w.t turunkan wahyu dan hantar para rasul a.s. Dengan panduan hidayah al-Quran kita dapat pendidikan dan dengan sunnah Rasulullah s.a.w kita dapat berjalan, alhamdulillah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs