View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 100-101

TEGAHAN DARI IKUT AHLI KITAB, SEBAB MANTAPNYA IMAN & KEWAJIPAN BERI’TISOM DENGAN ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/kJDXFzd2of8?si=9Ua5nDKstFi_tR_l

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 100 sehingga 101, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam siri ini Allah SWT bawa tegahan dan larangan sekali-kali jangan ikut perangai ahli kitab yahudi & nasrani. 
    Juga perangai orang yang baca Al-Quran sekadar baca taranum & berlagu tetapi tidak ikut undang-undang Al-Quran, tidak jadikan Al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan & dustur perundangan negara.
  1. Kemudian Allah SWT nyatakan sebab umat Islam ini mantapnya iman dan kukuhnya aqidahnya; iaitu kerana adanya Al-Quran & Sunnah Nabi SAW bersama kita. 
  1. Allah juga nyatakan kewajipan beri’tisom (berpegang, bergantung & beramal) dengan jalan Allah SWT. & Sunnah Nabi SAW sebagai jalan yang selamat & bahagia. 
    Siapa ambil jalan ini, Allah akan tunjukkan ke jalan yang dikehendaki-Nya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT cela & keji ahli kitab kerana mereka ada kitab, ada ilmu & maklumat, tahu yang benar tentang Rasulullah SAW tetapi mereka tetap mendustakannya & lawan.
    Mereka juga telah menyekat orang lain daripada beriman & menerima Islam. 
    Maka Allah biarkan mereka begitu! 

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah tujukkan perintah ini untuk orang beriman pula, memberi amaran supaya jangan terpengaruh dengan gaya & di’ayah yang dibuat oleh mereka ahli kitab yang kufur! 
    Jangan ikut, jangan dengar kata-kata mereka kerana mereka membawa fitnah kepada orang Islam.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 100- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JIKA KAMU TAAT AKAN SESUATU PUAK DARI ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG DIBERIKAN KITAB ITU, NESCAYA MEREKA AKAN MENGEMBALIKAN KAMU MENJADI ORANG-ORANG KAFIR SESUDAH KAMU BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:100)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT panggil dan seru orang yang beriman. 
    Begitulah apabila nak beri apa-apa hukum & undang-undang- kerana orang yang beriman saja yang akan tunduk, patuh & akur kepada perintah Allah!
    Ya Allah jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang beriman ini.
  1. Manakala orang yang tidak beriman pasti akan menentang & mengingkarinya. Sebagaimana dua ayat yang sebelum ini iaitu seruan dan ancaman untuk ahli kitab yang kufur! 
  1. Allah beri amaran dan peringatan kepada orang beriman agar jangan sekali-kali taat kepada puak yahudi & nasrani.
  1. Andaikata kamu ikut mereka yang mendakwa ikut kitab Taurat & injil yang sudah dipesongkan itu; pasti mereka akan berusaha untuk mengembalikan kamu kepada agama selain Islam iaitu murtad!
  1. Zaman dulu zaman penjajahan colonial yang datang menjajah negara-negara Islam dengan ketenteraan lalu menjahanamkan pegangan & otak anak-anak orang Islam dengan kekufuran yang mereka buat & kemodenan yang mereka bawa. 
    Kita belajar sejarah kena faham-faham betul agar sejarah yang buruk tidak berulang lagi.
  1. Kemudian pada zaman ini datang pula cara penjajahan yang lebih dahsyat iaitu penjajahan otak orang Islam tanpa senjata yang membuatkan mereka terpengaruh dengan pemikiran & minda barat.
    Al-Ghazwu al-Fikri lebih tajam sehingga menjadi jerebu & celaru minda anak-anak orang Islam lalu membenci ajaran & hukum Syari’ah.
  1. Kesan dari penjajahan minda ini mereka menjadi geng sekular, liberal dan seumpamanya yang merendahkan Islam & tiada sensitiviti apabila agama Islam dihina & dipijak.
    Inilah pemesongan fikiran, mereka laghakan masa dan waktu dengan hiburan & maksiat lalu semakin jauh dari ajaran agama.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW.).} (Al-Baqarah 2:109)
  1. Allah gambarkan perbuatan ini berlaku kerana perasaan hasad dengki dalam diri mereka- lawan tetap lawan walaupun ayat-ayat keterangan dan hujjah yang nyata jelas di depan mata mereka!
  1. Hadis – Ketika kedamaian dan kepimpinan Madinah dikuasai oleh orang Islam, Kabilah Aus dan Khazraj baru sahaja menamatkan perbalahan antara mereka sejak sekian lama. Bagaimanapun, perdamaian kedua-dua kabilah itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan Yahudi Madinah. Mereka bimbang penyatuan tersebut bukan sahaja dalam konteks akidah dan iman tetapi dikhuatiri akan membina kekuatan umat, ekonomi, politik dan ketenteraan Islam. Seorang bapa Yahudi di Madinah bernama Shas ibn Qays berkata: “Aus dan Khazraj dahulunya bergaduh sesama mereka. Demi Tuhan, aku tidak boleh membiarkan mereka bersatu!” Lalu Yahudi Madinah pun mengambil inisiatif untuk mengapi-apikan permusuhan lama antara kabilah Aus dan Khazraj sehingga perdamaian yang dikecapi itu tercemar dengan perkelahian & bibit permusuhan. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda memangil mereka & menasihati mereka dengan penuh hikmah & kebijaksanaan Baginda. Kedua-dua kabilah tersebut tersedar insaf dan menangis dengan penuh keinsafan kerana terpengaruh dengan bisikan syaitan serta racun perseteruan yang dihidupkan oleh Yahudi dan Munafiq untuk memastikan umat Islam sentiasa berpecah. [Tafsir at-Tobari, sabab nuzul al-Wahidi].
  1. Walaupun ayat ini untuk Aus & khazraj pada waktu itu; Kita umat Islam hari ini juga berhati-hatilah dengan permainan & tipu-daya orang kafir sama ada kafir yahudi atau Kristian, yang akan sentiasa cuba mencelah masuk dengan diayah mereka untuk menggoyahkan keimanan & memecah-belahkan kesatuan umat Islam.
  1. Apa-apa yang ada kaitan dengan yahudi & zionis kita jauhi dan jangan cuba terlibat!
    Apatah lagi Kristian di dalam negara kita ini yang berselindung di sebalik nama kelab-kelab & NGO kebajikan atas nama bantuan kemanusiaan dan seumpamanya.
  1. Zaman ini adalah zaman globalisasi (العولمة) iaitu zaman orang kafir nak suruh kita makan apa yang dia makan, pakai apa yang dia pakai, buat apa yang dia buat! 
    Contoh sekarang : Nama makanan- roti john, hotdog dan seumpamanya. Pakaian perempuan baju tak cukup size belako. 

AYAT 101- {DAN BAGAIMANA KAMU AKAN MENJADI KAFIR PADAHAL KEPADA KAMU DIBACAKAN AYAT-AYAT ALLAH (AL-QURAN), DAN DALAM KALANGAN KAMU ADA RASULNYA (MUHAMMAD, SAW)? DAN SESIAPA BERPEGANG TEGUH KEPADA (AGAMA) ALLAH, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH BEROLEH PETUNJUK HIDAYAH KE JALAN YANG BETUL (LURUS).} (ALI-‘IMRAN 3:101)

  1. Wahai orang yang beriman bagaimana kamu nak berpaling dari agama Islam ini, menjadi kafir kembali, meninggalkan ajaran Al-Quran & ajaran Rasulullah SAW setelah kamu menerima kebenaran & Islam.
  1. Sedangkan alat penguat iman sudah ada bersama kamu iaitu:
    i- Al-Quranul Karim yang kamu baca, yang kamu tadabbur & kamu amalkan ajarannya! Kerana itu orang kafir tidak mahu kita faham, tadabbur & beramal dengan Al-Quran, hanya baca & berlagu saja tak apa.

    ii- Adanya Rasulullah SAW bersama kita. Yakni pada zaman sahabat mereka ada Rasulullah SAW bersama mereka.
    Kita pada zaman ini pula ajaran & Sunnah Rasulullah SAW tidak pupus dan masih ada bersama kita. 
  1. Serta huraian ulama’ muktabar kepada dua sumber ini. 
    Bahkan para ulama’ sudah memeriksa dan menghuraikan tafsiran Al-Quran & taraf hadis yang mana sahih atau tidak; untuk kita pilih & berpegang dengannya.
  1. Kamu tidak akan sesat & terpesong selagi berpegang dengan Al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
    Yakni bergantung dengan ajaran Allah SWT serta bertawakkal kepada Allah. 
    Allah akan bimbing kita kepada jalan yang diredhai-Nya dan masuk ke dalam syurga insya’ Allah.
  1. Sesiapa yang berpegang teguh dengan agama Allah & ajaran Rasulullah SAW yang disambung oleh para sahabat, tabien dan imam-imam besar, dia akan selamat & diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang lurus!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 100- {Wahai orang-orang yang beriman!}-

    Ini adalah seruan dan panggilan kepada orang yang beriman.
    Allah seru mereka kerana hanya orang yang beriman yang akan dengar, akur patuh & taat kepada perintah Allah. 
    Orang yang tidak beriman pastilah akan mengingkarinya.
    Maka Allah muliakan orang beriman dengan seruan ini!
    Beza ayat seruan kepada orang beriman ini dengan ayat seruan kepada ahli kitab yang kafir ialah tanpa ada arahan kepada Rasulullah SAW untuk mengatakan: Katakan – qul { قُل}. 
    Dua kali juga Allah ulang perintah untuk katakan ini!
    Tetapi kepada orang beriman adalah khitab- percakapan (seruan secara lansung) tidak perlu ada Qul lagi kerana mereka adalah orang yang taat & patuh.
  1. Ayat 100- {Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu,}-

    Jika kamu ikut ahli kitab kamu akan rosak & binasa.
    Ayat ini adalah secara terang-terangan membawa larangan dari Allah SWT agar orang beriman jangan ikut ahli kitab yahudi atau nasrani.
    Kerana itu sebahagian ahli tafsir seperti Fakhruddin ar-Razi RHM dan lain-lain menyebut dalam tafsir:
    Ayat ini larangan daripada mentaati ikut ahli kitab serta pergi belajar, mengaji agama dengan mereka! 
    Memang tidak dapat dinafikan sekarang ini adalah realiti anak orang Islam yang belajar Al-Quran sejak dari kecil; pergi belajar ilmu Islam pada peringkat yang tertinggi- seperti tafsir & hadis dengan orang kafir (orientalis) yang tidak pernah mengucap kalimah syahadah, tidak pernah mandi junub itu! 
    Amat ajaib sekali- orang kafir jadi tok guru kepada orang Islam dalam ilmu agama Islam!
    Jika pengkaji itu lemah pasti akan koyak & terpengaruh sedikit sebanyak dengan pandangan mereka!
    Jika dapat dielakkan tak payahlah anak orang Islam pergi belajar agama dengan orang kafir! 
  1. Ayat 101- {Dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, SAW)?}-

    Rasulullah SAW ada di kalangan para sahabat RAnhum pada zaman mereka itu.
    Dalam ayat ini Allah SWT perkenalkan kelebihan para sahabat, yang besar sebagai satu anugerah yang Allah berikan. 
    Para sahabat mereka duduk dengan Nabi SAW, mereka menyaksikan turunnya wahyu, ayat-ayat Al-Quran- orang yang pertama terus dengar wahyu itu direct daripada nabi SAW sendiri!

    Hadis- Diriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Kudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah mencaci dan mencerca sahabat-sahabatku. Seandainya di antara kalian menginfakkan emas sebesar bukit Uhud, nescaya (pahalanya) tidak dapat menyamai satu cupak sedekah mereka ataupun setengahnya.” [HR Bukhari & Muslim].

    Tetapi ada manusia yang celupar mulut seperti golongan syiah yang berbuih mulut mencela & menghina para sahabat yang mereka benci. 
    Kita tidak berada di kalangan mereka dimana terlalu banyak cabaran mereka tempuhi bersama Nabi SAW.
  1. Ayat 101- {Dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, SAW)?}-

    Bagaimana para sahabat & orang-orang yang hidup bersama Rasulullah SAW nak tinggalkan ajaran agama Islam?????
    Kita sekarang ini walaupun Rasulullah SAW sudah wafat; ajaran Baginda masih ada bersama mereka.
    Dua mekanisma penguat imam para sahabat:
    i- Pada zaman para sahabat dulu membaca Al-Quran di hadapan Nabi SAW. 

    ii- Adanya Rasulullah SAW di kalangan para sahabat. 
    Bersama mereka Nabi SAW dan mereka dapat melihat keunggulan akhlah Nabi yang mulia, menyaksikan pelbagai mukjizatnya termasuk Al-Quran.

    Zaman kita pula setelah Baginda wafat; dua mekanisme ini masih tetap menjadi sumber penguat iman kita juga:
    i- Iaitu Al-Quran yang masih ada & terjaga. Bacalah Al-Quran, tadabburlah Al-Quran dengan isi kandungannya serta yang paling penting beramal dengan isi kandungannya!
    Jaga etika sebagai ahli Quran.
    Ahli quran jangan bergedik tayang bini dalam media sosial.

    ii- Setelah Nabi wafat tetapi ada ajaran & Sunnah Nabi SAW yang sahih. 
    Banyak ilmu, banyak makrifat yang ada dalam Sunnah Rasulullah SAW.
    Alhamdulillah DAAM telah khatam kuliah beberapa kuliah kitab hadis seperti: Hadis 40 daran syarahnya Al-Wafi.
    Kitab Riyadhus-Solihin, Mestika Hadis dan lain-lain.
    Boleh cari playlistnya di: https://www.youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046
    Jangan kata Rasulullah SAW tidak ada kita terumbang-ambing- Sunnah Nabi ada di depan kita, selagi hayat dikandung badan; Al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW menjadi pedoman & panduan!
  1. Ayat 101- {Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).}-

    Siapa yang berpegang dengan agama Allah; inilah tali yang paling kukuh, benteng yang kuat, tempat perlindungan yang paling gagah. Iaitu dengan mengamalkan ajaran Al-Quran dan mengikut Sunnah Nabi SAW. yang sahih & benar.
    Maka siapa nak selamat, nak dapat hidayah Allah maka berpeganglah dengan Al-Quran, dengan Sunnah Nabi SAW, maka kamu akan mendapat jalan petunjuk dari Allah!
    Ya Allah jadikan kami semua, orang yang berpegang dengan Al-Quran & Sunnah Nabi SAW, berilah kepada kami menjadi orang yang memahami & beramalk dengannya. 
    Sehingga Al-Quran & Sunnah menjadi pembimbing kami di dunia, peneman kami di dalam kubur & pedoman kami menuju ke syurga di Akhirat kelak. 
    Jadikan kami termasuk dalam golongan yang dibebaskan daripada api neraka.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs