View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 102-103

SERUAN BENAR-BENAR BERTAQWA, BERSATU JANGAN BERPECAH & NIKMAT BERUKHUWWAH.

Full video : https://youtu.be/B053c0IeIWo?si=XQVMJzD__BBXT1_J

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini dengan limpah kurnia-Nya kita diberikan hidayah & peluang untuk teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 102 sehingga 103, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam ayat ini Allah bawa seruan agar umat Islam benar-benar bertaqwa, bukan hanya sekadar beriman secara luaran.
  1. Juga arahan untuk umat Islam agar bersatu jangan berpecah kerana jika berpecah kita akan dipijak, dipermain-mainkan oleh orang kafir kerana kita sudah tidak ada kekuatan lagi!
  1. Kemudian Allah tegaskan nikmat berukhuwwah yang ada dalam hati orang Islam dan inilah yang dicemburui oleh golongan kafir, munafiq, yahudi & nasrani.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah beri amaran & peringatan kepada orang yang disampaikan ayat-ayat-Nya ini agar jangan mudah terpengaruh, terpedaya, jangan mudah koyak dengan diayah yang dimainkan oleh ahli kitab yahudi & nasrani dan sesiapa saja yang permainkan Al-Quran & cuba pesongkan orang Islam dari agamanya. 

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah beri galakan & semangat supaya kamu benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Kerana orang yang bertaqwa akan menambahkan kebaikan iaitu: -mantap imannya, – amalannya kuat & -akhlaknya mulia!
  1. Sempena Ramadhan ini akan keluarlah pelbagai persoalan yang hampir sama berlegar seperti tentang niat solat witir, bilangan rakaat tarawih, di mana lebih afdhal untuk wanita solat dan lain-lain.
    Alhamdulillah kebanyakan isu & persoalan ini sudah ada penjelasan & jawapan yang dibuat oleh DAAM;
    Boleh cari di dalam FB: https://www.facebook.com/AbuAnasMadani
    Atau channel youtube beliau: https://www.youtube.com/channel/UCGT4PFIcawWxaBcjH8JY4Vw…

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 102- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA, DAN JANGAN SEKALI-KALI KAMU MATI MELAINKAN DALAM KEADAAN ISLAM.} (ALI-‘IMRAN 3:102)

  1. Sekali lagi Allah menyeru orang yang beriman, orang yang disayangi & dimuliakan oleh Allah SWT. 
    Maka jika kita rasakan kita orang yang beriman; maka bukalah mata, buka telinga & lapangkan dada untuk mendengar apakah perintah yang Allah nak sampaikan & apakah tegahan yang hendak dijelaskan itu.
  1. Allah seru agar orang yang beriman benar-benar bertaqwa dengan kerahkan tenaga & mantapkan usaha untuk mengikut segala suruhan Allah SWT sedaya upaya usaha kita & kena usahakan untuk tinggalkan segala larangan Allah SWT!
    Ada orang mudah buat ibadat tetapi dalam masa yang sama susah untuk tinggalkan maksiat! 
    Bercampur antara amalan soleh & maksiat- amat malang!
  1. Kata Ibnu Mas’ud ketika menafsirkan ayat ini {dengan sebenar-benar taqwa- ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ } iaitu:
    i- Allah SWT ditaati jangan diderhakai sekali-kali. 

    ii- Allah diingati jangan dilupai, sentiasa zikrullah.

    iii- Kita kena syukur kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali kufur kepada-Nya.
     [Riwayat Ibnu Abi Hatim dalam tafsir].
  1. Maka dalam perkara arahan Allah SWT ada sedikit kelegaan kepada kita kerana Allah SWT sendiri sebut dalam firman-Nya:
    i- {Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya);} (At-Taghaabun 64:16)

    ii- Hadis- sabda Rasulullah SAW : “Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah apa yang kamu mampu dan apabila aku MELARANG kamu daripada melakukan sesuatu, maka jauhilah ia”. [HR al-Bukhari].

    Yakni dalam bab arahan kita buat lah setakat yang mampu tapi dalam bab larangan wajib kita jauhi & tinggalkannya terus.
  1. Allah tutup ayat ini dengan berpesan agar; jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam!
    Apakah kita tahu bila kita akan mati? 
  1. Maka kerana kita tidak tahulah kata ulama’ tafsir: kita kena sentiasa sepanjang hidup kita ini berpegang dengan agama Islam, duduk atas landasan taqwa, jaga semua perintah Allah & jauhi semua larangan-Nya sehingga kita mati dalam keadaan diredhai Allah Azza wa Jalla! Inilah maksudnya ayat ini!
  1. Ertinya ayat ini mengarahkan kita agar duduk atas landasan agama ini dengan sebenarnya, jangan lari dan jangan belot serta sentiasa ingat kepada Allah dengan bersedia untuk mati.
    Yakni apabila kita mati, kita mati dalam keadaan beriman, dengan husnul-khatimah! 
    Kerana kita tidak tahu bila kita akan mati bila maka kita hendaklah sentiasa bersedia untuk mati!
  1. Kerana itu sebelum tidur kita baca beberapa doa ini, maka jika kita tidur lalu kita mati, insya’ Allah kita mati dalam iman.
    Boleh rujuk buku Perisai Muslim: https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
  1. Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang duduk atas muka bumi ini dengan menurut segala arahan-Mu dan matikan kami dalam husnul-khatimah! 
    i- اَللّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِاْلاِسْلاَمِ وَاخْتِمْ لَنَا بِاْلاِيْمَانِ وَاخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ
    “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan Islam, akhirilah hidup kami dengan membawa iman dan akhirilah hidup kami dengan husnul khotimah.”

    ii- Serta perbanyakkan juga doa ini: اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
    “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

AYAT 103- {DAN BERPEGANG TEGUHLAH KAMU SEKALIAN KEPADA TALI ALLAH (AGAMA ISLAM), DAN JANGANLAH KAMU BERCERAI-BERAI; DAN KENANGLAH NIKMAT ALLAH KEPADA KAMU KETIKA KAMU BERMUSUH-MUSUHAN (SEMASA JAHILIYAH DAHULU), LALU ALLAH MENYATUKAN DI ANTARA HATI KAMU (SEHINGGA KAMU BERSATU-PADU DENGAN NIKMAT ISLAM), MAKA MENJADILAH KAMU DENGAN NIKMAT ALLAH ITU ORANG-ORANG ISLAM YANG BERSAUDARA. DAN KAMU DAHULU TELAH BERADA DI TEPI JURANG NERAKA (DISEBABKAN KEKUFURAN KAMU SEMASA JAHILIYAH), LALU ALLAH SELAMATKAN KAMU DARI NERAKA ITU (DISEBABKAN NIKMAT ISLAM JUGA). DEMIKIANLAH ALLAH MENJELASKAN KEPADA KAMU AYAT-AYAT KETERANGANNYA, SUPAYA KAMU MENDAPAT PETUNJUK HIDAYAHNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:103)

  1. Serta berpegang teguhlah kamu dengan agama Allah & jangan buat perkara yang dapat memecahkan kesatuan ummah! 
    Kita hari ini lebih banyak benda yang boleh memecahkan daripada perkara yang baik!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Apabila Allah arahkan kita untuk bertaqwa dalam ayat sebelumnya;

    ii- Maka dalam ayat ini Allah ajar apakah alat atau mekanisme untuk kita benar-benar bertaqwa iaitu dengan berpegang dengan agama Allah, bergantung dengan tali ajaran Allah!
  1. Iaitu kita berkumpul, bersatu padu dengan kalimah tauhid terhadap Allah. 
    Jangan kerana isu yang kecil atau perkara yang remeh kita sesama Islam berbalah & bermusuh- benci-membenci lebih daripada permusuhan terhadap orang kafir.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    i- {“Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”.} (Asy-Syuura 42:13) |

    ii- {Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.} (Al-An’aam 6:153) 
  1. Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
    إِنَّ اللهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلاَثًا، فَيَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلاَّهُ اللهُ أَمْرَكُمْ؛ وَيَكْرَهُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ.
    “Sesungguhnya Allah redha terhadap kalian tiga perkara dan membenci dari kalian tiga perkara; Allah SWT meredhai kalian agar beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun; berpegang kuat dengan agama Allah SWT semuanya (bersatu) dan tidak bercerai-berai; serta agar menasihati orang yang Allah telah jadikan sebagai penguasa bagi kalian. (Dan Allah) membenci kalian dari mengatakan (setiap apa yang) dikatakan (kepada kalian), banyak bertanya, dan membuang-buang harta.” [HR Muslim].
  1. Hadis- riwayat Zaid bin Arqam RA bahawa sabda Rasulullah SAW :
    تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
    Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” [HR Imam Malik].
  1. Kemudian Allah ungkitkan nikmat-Nya kepada dua kabilah Arab yang besar di Madinah yang sentiasa bermusuh lebih daripada 100 tahun iaitu Aus & Khazraj. 
    Tetapi selepas kedatangan Rasulullah SAW & Islam ke Madinah, perdamaian dicapai antara dua kabilah ini, hati mereka bersatu berkasih-sayang menjadi seperti saudara satu agama!

    Boleh baca tentang sejarah penduduk awal Madinah dalam buku ini: https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah:
    {Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Al-Anfaal 8:63)

    {Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.} (Al-Anfaal 8:64)
  1. Hadis riwayat Abdullah bin Zaid RA yang panjang:
    Nabi SAW berdialog dengan orang-orang Ansar selepas berlaku polemik isu pembahagian harta rampasan perang Hunain & Hawazin : “Saudara-saudara kaum Ansar. Ada desas-desus disampaikan kepadaku, yang merupakan perasaan tidak puas hati yang ada dalam hati kamu terhadap diriku? Bukankah kamu dalam kesesatan ketika aku datang lalu Allah membimbing kamu? Kamu dalam kesengsaraan lalu Allah memberikan kecukupan kepada kamu, kamu dalam permusuhan, Allah mempersatukan kamu?” Mendengar itu Ansar hanya tunduk diam, dan jawaban mereka hanyalah: “Ya benar. Allah dan Rasulullah juga yang lebih bermurah hati.” Nabi SAW. bertanya lagi: “Saudara-saudara Ansar, kamu tidak menjawab kata-kataku!” Mereka masih diam, dan tak lebih hanya mengatakan: “Dengan apa harus kami jawab, ya Rasulullah? Segala kemurahan hati dan kebaikan ada pada Allah dan Rasul-Nya juga.” Mendengar jawaban itu Rasulullah berkata lagi: “Ya, sungguh, demi Allah. Kalau kamu mahu, tentu kamu masih dapat mengatakan — kamu benar dan pasti dibenarkan — “Engkau datang kepada kami ketika didustakan orang, kamilah yang mempercayaimu, engkau ditinggalkan orang, kamilah yang menolongmu; engkau diusir, kamilah yang memberimu tempat; engkau dalam sengsara, kami yang menghiburmu.” Kata-kata itu diucapkan oleh Nabi SAW. dengan jelas sekali dan penuh keharuan. Kemudian katanya lagi: “Wahai orang-orang Ansar, apakah ada dalam hati-hati kamu perasaan cintakan harta benda dunia? Tahukah kamu harta yang aku agih-agihkan kepada kepada ketua-ketua kaum di Makkkah supaya mereka jinak untuk menganut Islam? Apakah kamu masih belum puas dengan Islam yang aku beri kepada kamu? Tidakkah kamu tahu wahai orang-orang Ansar, sesungguhnya aku mengasihi orang-orang Ansar lebih daripada aku mengasihi orang-orang yang aku berikan harta rampasan perang. Orang-orang yang aku berikan harta rampasan perang itu mereka pulang membawa harta berupa kambing dan unta-unta sedangkan kamu wahai orang Ansar, pulang membawa aku Muhammad Rasulullah?  Demi Allah! Sekiranya manusia mengikut satu jalan di suatu lembah, dan orang Ansar pula mengikut jalan yang yang lain di satu lembah atau di tepi gunung, nescaya aku akan mengikut jalan atau gunung yang dilalui oleh orang-orang Ansar”. Sebahagian besar kaum Ansar ketika itu menangis, sampai air mata mereka bercucuran dan membasahi janggut-janggut mereka. Serentak mereka berkata: “Kami telah rela Rasulullah sebagai pembahagian dan pemberian”. Kemudian Nabi SAW berdoa: “Ya Allah ampunkanlah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar dan anak-anak dari anak-anak orang Ansar ” [HR al-Bukhari].
  1. Allah telah menyelamatakan kamu daripada jurang neraka- yakni jika masih terus berada dalam permusuhan itu & mati dalam kafir tidak mendapat petunjuk hidayah Islam pastilah kamu akan masuk neraka! 
  1. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 102- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa,}-

    Allah seru & panggil orang beriman untuk diberi arahan. 
    Ini menunjukkan bahawa taqwa itu adalah sumber penguat iman. 
    Maka kita sebagai orang beriman kena celik mata, buka telinga, lapang dada untuk menerimanya!
  1. Ayat 102- {dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.}-

    Ayat ini mengajar kita untuk sentiasa istiqomah duduk di atas iman. 
    Sentiasa kita baca antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah:
    i- Doa ditetapkan hati: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
    Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.

    ii- Juga minta perlindungan Allah agar tidak kembali menjadi buruk selepas menjadi baik sebagaimana doa Rasulullah SAW ini:
    “اللهم إني أعوذ بك من الحور بعد الكور”
    “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada berundur semula ke belakang (tidak melakukan amal soleh) setelah bergerak maju ke hadapan (melaksanakan amal soleh).”
    Al-Haur (الحور) bermaksud berundur ke belakang dan kembali semula kepada keadaan asal.
    Al-Kaur (الكور) bermaksud maju ke hadapan dan terus bergerak dalam perjalanan.
    Inilah yang kita takuti dan banyakkan berdoa kepada Allah agar tetapkan hati kita agama & ketaatan kepada Allah!
    Kenapa kita kena istiqomah?
    Kerana perkiraan (hisab) yang akan diambil kira adalah pengakhiran hidup kita. 
    Inilah yang kita takuti- dalam keadaan apakah kita akan mati!
    Contoh orang kafir beberapa puluh tahun; tiba-tiba dekat mati dia masuk Islam, alhamdulillah.
    Ada orang yang baik sepanjang hidupnya tiba-tiba dekat nak mati, terjerumus dengan dosa & maksiat maka dia mati dalam keadaan buruk itu- wal ‘iyazu billah!
    Kerana itulah kita cemas & bimbang- atas dasar apakah kita kan mati? 
    Apakah kita akan mati dalam keadaan beriman bertaqwa kepada Allah, dalam keadaan buat amal ibadat bukan sebaliknya!
    Maka kita kena berusaha agar kita tidak terjebak dengan perkara yang tidak baik agar hidup kita tidak berakhir dengan pengakhiran yang buruk.

    Doa- husnul khatimah: اَللّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِاْلاِسْلاَمِ وَاخْتِمْ لَنَا بِاْلاِيْمَانِ وَاخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ 
    “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan Islam, akhirilah hidup kami dengan membawa iman dan akhirilah hidup kami dengan husnul khotimah.”
  1. Ayat 103- {Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;}-

    Begitulah apabila Allah suruh satu perkara Dia akan larang satu perkara sebaliknya.
    Jadi dalam ayat ini Allah suruh bersatu maka lawannya adalah larangan daripada berpecah!
    Wajib kita berkumpul dan bersatu atas Syari’ah Allah SWT, jangan berkumpul kerana ikut hawa nafsu atau atas nama kumpulan tertentu.
    Kerana itulah umat Islam hari ini dinamakan kumpulan ahli Sunnah wal Jamaah iaitu orang yang ikut jamaah kumpulan orang muslimin yang terawal para sahabat dan ulama’ Salafus-Soleh & ikut Sunnah Nabi SAW.
  1. Ayat 103- {dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu}–

    Allah peringatkan kepada kita agar sentiasa ingat & syukur akan nikmat Allah SWT ke atas kita dalam perkara agama & dunia.
    Maka kita hendaklah sentiasa syukur kepada Allah SWT jangan kufur nikmat! 
    Maka bila kita ingat nikmat kita akan syukur! Orang yang mudah lupa nikmatlah akan melompat- yakni buat maksiat, sombong angkuh & takabbur! 
    Dulu miskin apabila kaya sombong angkuh takabbur & buat maksiat!
    Nikmat paling besar sekali ialah nikmat iman & Islam manakala nikmat harta itu adalah ujian dari Allah SWT. kepada hamba-Nya.
  1. Ayat 102- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa,} & Ayat 103- {Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;}-

    Allah ingatkan kita orang beriman agar sentiasa bertaqwa & bersatu jangan sekali berani lakukan perkara yang tidak baik.
    Dari ayat ini kesimpulannya, penguat iman ada dua iaitu taqwa & ukhuwwah:
    i- Yang utama adalah taqwa. 
    Kerana dengan taqwa banyak perkara baik yang kita buat & banyak perkara buruk yang akan kita tinggalkan. Kerana kita tidak berani untuk melakukan perkara yang tidak baik.

    ii- Tonggak kedua umat ini adalah ukhuwwah iaitu berkasih sayang sesama Islam kerana Allah! 
    Jika kita benci sesama Islam maka bukan bertaqwa lagi. Sanggup kerana nak jaga kedudukan & pangkat sehingga hilang ukhuwwah Islamiyah- maka itu adalah kerugian yang besar.
    Kemarin wasilah untuk mantapkan iman juga ada dua iaitu : Al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW.
    Akhir sekali Allah tutup ayat ini dengan mengatakan bahawa Dia sudah jelaskan semuanya dalam Al-Quran, sudah ada dalam Sunnah Nabi SAW. Maka jangan dok cari hidayah lain selain keduanya
    Jika nak selamat ikut Sunnah bukan ikut bid’ah- ikut ahli Sunnah yang berpegang dengan Sunnah Nabi bukan ikut orang lain yang banyak simpang siur & tidak jelas.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs