View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 130-132

LARANGAN MENGAMBIL RIBA, TAKUTI AZAB NERAKA & TAATLAH KEPADA ALLAH SWT DAN RASUL-NYA.

Full video : https://youtu.be/Lb5gknP-4vg?si=HK9qy6Rxqlne96B-

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 130 sehingga 132, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Hari ini 20 Ramadhan bermakna malam ini bermula malam pecutan, malam kerja keras untuk ahli ibadat bagi mendapat Lailatul Qadr, untuk mendapat keredhaan Allah SWT, supaya kita tidak kerugian walaupun sedetik kecuali kita berada di dalam ibadat kepada Allah SWT. Sama ada beriktikaf di masjid atau di rumah kita dengan tadarus & baca Al-Quran, zikir munajat dan seumpamanya. 
    Sesiapa yang terlepas, rugi besar kerana Allah SWT nak beri anugerah kepada kita tetapi kita tidak mahu ambil dan biarkan ia terlepas begitu saja!
    Para ahli ibadat, pencinta Allah & Rasul, perindu syurga; inilah saat yang ditunggu-tunggu, saat yang begitu berharga iaitu sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
    Sepanjang atau selama mungkin kita mampu berdiri, qiyam untuk mendapat keredhaan Allah SWT; kita buatlah! 
    Rancangkanlah malam-malam ini sebaiknya jangan sibuk dengan kerja & program lain pula.
    Ya Allah taufiqkan kami supaya dapat beribadat pada malam-malam ini sebanyak dan sebaiknya!
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan larangan mengambil riba, serta Allah ingatkan kita supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah & takutilah azab neraka. 
  1. Cara nak selamat dari azab neraka ini adalah dengan taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    A- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang beberapa perkara:
    i. Pertolongan Allah kepada orang mukmin khususnya hali Badar dalam keadaan bilangan mereka sedikit.

    ii. Allah bantu mereka dengan sebab bertakwa kepada Allah, sabar dalam mematuhi arahan. kerana itu berbbeza keadaan di Uhud & di Badar. Ghazwah Badar, Islam menang, dalam Uhud, goyah & ramai gugur syahid kerana tinggalkan arahan Nabi SAW

    iii. Allah arahkan agar kita berjihad; selain dengan nyawa juga dengan harta benda- jangan tamak dengan harta benda! 
    Kenapa sebahagian daripada tentera pemanah yang duduk atas bukit turun dari tapak pertanahan mereka? 
    Iaitu kerana semata-mana nak ambil harta Quraisy yang ditinggalkan bergelimpangan!
    Maka jangan tamak! Lalu datanglah ayat ini, menyebut antara sifat tamak manusia hari ini mengambil riba dalam perniagaan, hutang piutang dan sebagainya! 
    Larangan riba kerana adanya sifat tamak kepada harta.
    Riba ada banyak jenis- Allah sebut sejenis yang masyhur di kalangan jahiliyyah / Quraisy iaitu riba yang berganda-ganda. 

    iv. Allah berjanji kepada orang mukmin jika mereka sabar dan takwa Allah akan bantu! 
    Kerinduan orang beriman untuk tahu apakah ciri-ciri takwa yang melayakkan kita untuk mendapat pertolongan Allah, kebahagian & kemenangan! 
    Lalu Allah sebut beberapa ciri taqwa yang mesti kita jaga, khususnya dalam ayat ini ialah larangan kepada tamaknya kepada dunia dengan pengambilan riba dalam muamalat.
    Dalam ayat seterusya akan dibawa lagi ciri-ciri orang yang bertaqwa.
    Semoga kita dapat hayatinya! 

    Persoalan: Kenapa di tengah-tengah ayat peperangan Uhud & Badar diselitkan perintah larangan riba ini?
    Kata ulama’ : Antara sebab gagalnya dalam perjuangan atau terpinggir dari pertolongan Allah SWT kerana adanya dosa yang kita buat!

    v. Allah larang daripada menjadikan orang kafir sebagai teman rapat, ketua & orang kepercayaan. 
    Antara kafir pada zaman Nabi SAW yang aktif bermain dengan riba adalah ahli kitab yahudi.
    Mereka inilah tokey-tokey yang kaya manakala orang Islam seperti golongan Muhajirin adalah miskin kerana mereka meninggalkan harta mereka di Makkah. 
    Lalu mereka ini ditindas, diambil peluang oleh yahudi dengan memberi hutang yang tinggi sekali faedah ribanya! 
    Banyak masalah timbul lalu Allah SWT melarang di isini daripada mengamalkan riba dalam perniagaan dan segala urusan muamalat. 
    Susah atau senang kembalilah kepada Allah & Rasul.
    Pada permulaan Islam, orang beriman susah tetapi setelah berlakunya peperangan Khaibar pada tahun ke-7H, suasana mula berubah di Madinah. 
    Umat Islam mulai senang kerana banyaknya harta-harta tawanan perang yang diperolehi daripada yahudi Khaibar.
    Kerana itu apabila orang Islam banyak bergaul rapat dengan orang kafir- kita akan turut terjebak dengan perbuatan haram seperti riba.
    Seperti kita yang dijajah akan akan terperangkap dengan sistem riba yang masih ada sehingga ke hari ini.

    vi. Kita kena ingat makan harta dari sumber yang haram adalah salah satu sebab atau punca doa kita tertolak- tidak diterima Allah SWT. 
    Serta amalan soleh yang lain jug akan terhalang dengan sebab riba & makan haram. 
    Jangan bimbang akan kefakiran atas dunia ini kerana kekayaan yang diperolehi dari sumber haram tidak akan berkat!

    vii. Allah sebut juga dalam ayat yang lepas bahawa milik Allah langit dan bumi, maka kita kena ikut jalan Allah! 
    Jangan ikuti jalan orang lain seperti yahudi & Nasrani, semua itu kecil belaka. 
    Apabila Allah kata Aku haramkan riba; carilah sumber lain yang lebih baik & halal. 
    Ingatlah dunia ini bukan tempat tinggal tetapi tempat meninggal- maka kita tinggalkanlah perkara yang baik, yang dapat memberi kita kesenangan di Akhirat kelak!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 130- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MAKAN ATAU MENGAMBIL RIBA DENGAN BERLIPAT-LIPAT GANDA, DAN HENDAKLAH KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH SUPAYA KAMU BERJAYA.} (ALI-‘IMRAN 3:130)

  1. Wahai orang yang beriman jangan kamu makan, ambil atau terlibat yakni bermuamalah dan berinteraksi dengan apa jenis riba sekalipun! 
  1. Pada zaman jahiliyah ada sistem berhutang, bila cukup masa boss datang; bayar cepat lepas, tak boleh bayar ada peningkatan bayaran, ini mainan riba. 
    Maka bila tambah tempoh, akan bertambah riba dan akhirnya jadi bertindan.
  1. Contohnya hutang dengan ceti atau Ahlong sangat membebankan, akan berganda dan menindas! 
    Hati-hati jangan sesekali terperangkap. 
    Yang kesuntukan kewangan, carilah sistem yang halal seperti ar-Rahnu atau cari badan kebajikan Islam yang dapat menolong. 
    Ikut kemampuan, jangan libatkan diri dengan riba kerana ia ibarat menjerat tengkuk sendiri.
  1. Kenapa Allah sebut di isni berganda-ganda? Jika tidak berganda apakah riba itu tidak haram? 
    Riba adalah diharamkan dalam segala bentuknya sama ada berganda atau tidak kerana sistemnya menindas dan membebankan.
    Ayat ini hanya menerangkan tentang sejahat-jahat bentuk riba yang biasa & masyhur pada zaman jahiliyyah. 
    Riba itu faedahnya mencanak naiknya seperti anak babi yang beranak!  
  1. Pada akhir ayat Allah kata : {hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.}. Apakah makna taqwa?
    Makna taqwa ialah ikut arahan Allah, ikut arahan & Sunnah Rasulullah SAW dan menjauhkan diri daripada segala larangan Allah seperti riba; maka kamu akan berjaya!
  1. Kembar siam kepada riba ialah rasuah. Antara perkara yang kita tidak boleh terima ialah tingginya indek rasuah dalam negara kita. Betapa ramai orang yang kelihatan baik-baik tetapi terlibat dengan rasuah dan terbukti sehingga di dakwa! 
    Tetapi malangnya orang yang makan riba tidak didakwa & tidak dianggap salah dalam negara kita ini!

AYAT 131- {DAN PELIHARALAH DIRI KAMU DARI API NERAKA, YANG DISEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG KAFIR.} (ALI-‘IMRAN 3:131)

  1. Allah beri peringatan untuk kita agar jaga diri kita daripada azab neraka yang telah disediakan kepada orang kafir. Iaitu dengan taatkan diri kepada Allah & jauhi segala larangan terutama yang disebut Allah dalam ayat ini iaitu RIBA!
  1. Masa depan yang cemerlang ialah tinggalkan riba & rasuah. 
    Bukan melabur sana melabur sini tanpa hirau dan siasat apakah ia satu sistem yang patuh Syari’ah atau tidak!
  1. Dalam bab muamalat ini; Mana-mana sistem kewangan yang ada panel Syari’ah, mereka ini yang meluluskan sesuatu plan atau produk, kemudian diluluskan pula oleh panel Bank Negara- kita terima sajalah. 
    Kerana jika salah, yang bertanggung-jawab di hadapan Allah nanti adalah panel-panel Syari’ah kerana kita beli produk itu hasil dari mereka yang meluluskan produk tersebut & mereka menerima elaunnya.
    Kerana itu adalah satu tanggungjawab yang besar dan amat cemas untuk menjadi panel Syari’ah ini! 
    Jika orang percaya kepada kita lalu beli produk itu. 
    Hati-hati para ustaz yang menjadi duta atau panel Syari’ah- kita kena bertegas & bertanggung-jawab dalam tindakan kita!

AYAT 132- {DAN TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, SUPAYA KAMU DIBERI RAHMAT.} (ALI-‘IMRAN 3:132)

  1. Allah sebut di sini, dalam bab perundangan kita wajib kena taat kepada Allah SWT & taat kepada Rasulullah SAW secara lansung! Ini kerana Allah beri kuasa kepada Rasulullah SAW dalam bab perundangan & bab Syar’ie!
    Ada orang yang pening iaitu puak anti hadis- hanya mahu taat kepada Allah tetapi menolak rasul dengan alasan kerana ia juga manusia! 
  1. KIta kena bezakan antara dua perkara ini:
    i- Dalam bab Syarie memang kena taat kepada Rasulullah SAW kerana Allah telah beri kuasa-Nya.

    ii- Tetapi dalam bab pentadbiran alam ini, seperti menurunkan hujan, membawa bala & nikmat, menyembuhkan penyakit, memberi rezeki dan seumpamanya itu diluar bidang kuasa seorang rasul, bahkan Rasulullah SAW juga melarang semua ini dan ajar kepada kita untuk berdoa kepada Allah SWT!
  1. Cara taat kepada Allah dengan kita melakukan ketaatan. Taat kepada Rasul juga begitu- apa yang diajar oleh Nabi SAW, Sunnahnya kita buat. Yang wajib kita buat, galakan Sunnah yang sunat juga kita buat!
  1. Dalam ayat kita ini; antara Sunnah atau arahan yang Allah perintahkan ialah untuk tinggalkan riba, jangan makan harta haram riba, rasuah, menipu harta orang- tinggalkan segalanya insya’ Allah kita akan dapat rahmat Allah di dunia & Akhirat.
    Jika tidak kita akan terumbang-ambing tidak tahu hendak tuju ke mana!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 130- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,}-

    Allah mulakan ayat ini dengan panggil & seru orang beriman {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟}.
    Maka jika kamu orang beriman celik mata, buka telinga, lapangkan dada terima perintah Allah ini iaitu larangan jangan kamu makan (ambil) riba {لَاتَأْكُلُوا۟ ٱلرِّبَوٰٓا۟}.
    Allah guna uslub; Jangan kamu makan riba- kata ulama’ dinamakan riba dengan makan kerana manusia ambil riba untuk cari makan!
    Kita namakan satu benda dengan perkara lain yang akan berlaku- seperti orang keluar bekerja dengan istilah- keluar cari makan- walaupun yang dicari asalnya adalah duit, untuk beli makanan!

    Allah sebut jangan makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda yakni yang banyak:
    Ini adalah Allah ceritakan situasi keadaan riba pada zaman jahiliyyah kerana inilah sistem riba yang digunakan mereka pada zaman itu; iaitu hutang menjadi berlipat kali ganda jika lewat bayar!
    Ayat ini tidak menunjukkan bahawa riba hanya haram jika banyak sahaja, tetapi walaupun sedikit mana, riba tetap haram!
  1. Ayat 130- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,}-

    Allah seru kepada orang beriman agar jangan ambil riba!
    Kata ulama’ tadabbur : Ini dalil bahawa oang yang berhenti daripada riba adalah orang yang beriman.
    Ini kerana ikut perintah Allah ini tanda dia seorang yang benar-benar beriman dan iman mereka mantap! 
    Terus tinggalkan apa yang Allah larang walaupun ada habuannya!
    Sesiapa yang tidak tinggalkannya bererti iman mereka tidak mantap kerana masih tidak sanggup tinggalkan apa yang Allah larang kerana keuntungan yang didapati daripada riba. 
    Ini bukan bererti mereka yang masih tidak tinggalkan riba telah jatuh kafir, tapi tahap keimanannya tidak mantap. 
    Yang benar-benar beriman akan jauhkan diri dari amalan riba, walaupun tawarannya begitu menarik.
    Kata orang tepuk dada tanya iman. Jangan tanya selera. 
    Ini kerana Allah SWT tujukan perintah ini kepada orang beriman! 
    Kerana itu Allah kata pada akhir ayat ini jika kamu betul-betul beriman kepada Allah, nak mencari kemenangan hidup di dunia & Akhirat tinggalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT!
    Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini sila periksa segala muamalat dan pelaburan kita seperti KWSP dan seumpamanya.

    Apakah semuanya patuh Syari’ah?
    Jika tidak segeralah tukarnya sebelum malaikat maut datang mencabut nyawa dan tidak berguna lagi harta yang ada serta menghumbankan tuannya ke dalam neraka- wal-‘iyazu billah.
  1. Ayat 130- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba..}-

    Allah kata jangan kamu makan riba.
    Kata ulama’ : Ini kerana riba itu dikiaskan kepada makan kerana makan adalah perbuatan utama manusia atas dunia ini. maka Allah gunakan perkataan makan.
    Dikiaskan makan dengan kegunaan wang/habuan riba untuk segala kegunaan seperti beli makanan, minuman pakaian, isi minyak kereta, belanja kawan-kawan, buat rumah dan sebagainya. 
    Sebarang bentuk kegunaan untuk kita dari wang riba dilarang!
  1. Ayat 130- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,}-

    Riba itu akan berganda dan membiak!
    Maka apakah hanya yang berganda dan banyak saja dilarang?
    Ulama’ kata : Semua bentuk riba itu dikira haram sama ada yang berganda atau tidak selagi sistemnya ada unsur riba. 
    Maka berhati-hati, terlibat secara lansung atau tidak contohnya seperti yang disebut tadi; sebagai panel sistem riba.
    Maka kita jauhkan diri segala bentuk riba kerana orang maknanya riba ini dalam keadaan bahaya, dimurkai Allah SWT & bangun di Akhirat kelak terhuyung-hanya seperti dirasuk syaitan. 
    Maka kita hati-hatilah kerana Allah sebut selepas riba ini; kamu takutlah kepada neraka yang sudah disediakan kepada orang kafir!

    Ulama’ juga buat dalil bahawa : Allah sebut bahawa neraka {أُعِدَّت} telah disediakan dalam uslub perbuatan yang telah lepas (past tense- ماضي). 
    Maka ia menunjukkan bahawa neraka itu sudah ada sekarang inipun!
    Kerana itu pada bulan Ramadhan Rasulullah SAW berkata bahawa ditutupnya pintu neraka dan dibuka pintu syurga!

    Untuk memahami masalah & hikmah kenapa Allah haramkan riba boleh baca buku ini:
    KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
  1. Ayat 132- {Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.}-

    Allah perintahkan agar taat kepada Allah & Rasul-Nya.
    Ayat ini membawa satu isu- sedangkan dalam satu hadis Rasulullah SAW telah melarang untuk sebut nama dia sekali dengan nama Allah!
    Tetapi dalam ayat ini Allah SWT kembarkan sekali nama-Nya & nama Rasulullah SAW sebagai orang yang wajib ditaati!
    Jadi macamana kita nak memahinya? 

    Jawapan para ulama’ :
    Perhatikan baik-baik: Perkara yang tidak boleh bersama, bila sebut hak Allah dan ia bukan hak Nabi SAW., maka tidak boleh kita kembarkan sekali.
    i- Jika dalam bab pentadbiran alam ini, tidak boleh letak sekali Allah & Rasul. Seperti kita kata: Dengan kuasa Allah & dengan kuasa Nabi turun hujan! Ini tidak boleh & salah sama sekali! 
    Hanya dengan kuasa Allah turun hujan bahkan Rasulullah SAW sendiri meminta berdoa kepada Allah minta hujan!
    Bahkan Rasulullah sendiri yang larangnya seperti dalam hadis Baginda itu!
    Kerana itu hari ini ini berlaku kecelaruan- orang pergi ke kubur para wali & nabi untuk minta hajat dan pertolong kepada orang yang sudah mati! 

    ii- Jika dalam bab perundangan yang Allah berikan kepada Nabi SAW boleh duduk sekali – boleh kita sandarkan hukum Syara’ & perundangan Islam yang Allah berikan kuasa kepada Nabi SAW seperti dalam ayat ini. 
    Kamu taat kepada Allah dan kamu taat kepada Rasul secara mutlak.
    Ini kerana Rasulullah SAW tidak akan bercakap dalam bab hukum, perundangan dan bab Syari’ah kecuali apa yang Allah perintah & wahyukan kepadanya!

    Sepertimana dalam ayat ini:
    {Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW serta kepada ulil amri (orang yang berkuasa dalam kalangan kamu).} [Surah an-Nisa ayat 59].

    Taat kepada Allah mutlak, taat kepada Rasulullah juga mutlak- tetapi taat kepada pemimpin bergantung kepada selagi dia taat kepada Allah & Rasul! 
    Jika dia derhaka kepada Allah tidak wajib taat.
    Tetapi ingat; tidak wajib taat kepada pemimpin tidak semestinya kita kena bangun memberontak! 

    Sekarang ini timbul balik satu isu iaitu isu Khawarij- orang yang kita tak setuju kita kata di Khawarij! 
    Sedangkan ini adalah isu besar, ajaran yang menentang pemerintah Islam!
    Kita ni kadang-kadang lupa akan sifat para sahabat Rasulullah SAW yang tegas kepada orang kafir tetapi berkasih sayang sesama Islam. 
    Kita sebaliknya sesama Islam bekeng, lancang label melabel & tuduh menuduh- tetapi dengan orang kafir tenang-tenang lunak pula bahkan nak panggil dengan sebutan kafir pun tidak boleh lagi sekarang ini takut mengguriskan perasan mereka!

    Kesimpulannya ada perbezaan dalam bab pentadbiran alam & bab Syari’ah (الأمر الكوني والشرعي):
    i- Dalam isu Syarie Allah SWT sendiri sebut : Taatlah kepada Allah & taatlah kepada Rasulullah!

    ii- Tetapi dalam hal pentadbiran alam ini kita tidak boleh letak sekali Allah & Rasulullah SAW. 
    Hadis- sabda Rasulullah SAW : إذا حلف أحدُكم فلا يقلْ ما شاء اللهُ و شئتَ؛ و لكن ليقلْ ما شاء اللهُ ثم شئتُ
    Maksudnya: “Apabila kamu bersumpah jangan kata: Dengan kehendak Allah DAN kehendak kamu (Nabi); tetapi katakanlah: Dengan kehedak Allah KEMUDIAN kehendak kamu.” [HR Ibnu Majah].

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs