View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 152-153

PERTOLONGAN ALLAH DI UHUD, KEADAAN GAWAT TENTERA PEMANAH TURUN & RASULULLAH SAW TERDEDAH KEPADA MUSUH.

Full video : https://youtu.be/L93g9cOFHtM?si=GTfbhXAhFTiCWIcD

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 152 sehingga 153, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan pertolongan Allah kepada tentera Islam di medan peperangan Uhud, yakni pada awalnya kemenangan sudah hampir di depan mata.
  1. Tetapi apakan daya keadaan menjadi gawat apabila tentera pemanah yang Rasulullah SAW letakkan atas Jabal Rumah (Ainain) turun ke bawah meninggalkan arahan Baginda SAW.
  1. Rasulullah SAW pula dalam keadaan terdedah kepada musuh, hanya tinggal beberapa orang sahabat saja yang masih mempertahankan Baginda, menjadi benteng manusia dengan tubuh mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 152- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, ALLAH TELAH MENEPATI JANJINYA (MEMBERIKAN PERTOLONGAN) KEPADA KAMU KETIKA KAMU (BERJAYA) MEMBUNUH MEREKA (BERAMAI-RAMAI) DENGAN IZINNYA, SEHINGGA KE MASA KAMU LEMAH (HILANG SEMANGAT UNTUK MENERUSKAN PERJUANGAN) DAN KAMU BERBALAH DALAM URUSAN (PERANG) ITU, SERTA KAMU PULA MENDERHAKA (MELANGGAR PERINTAH RASULULLAH) SESUDAH ALLAH PERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN APA YANG KAMU SUKAI (KEMENANGAN DAN HARTA RAMPASAN PERANG). (ALI IMRAN 3:152)

  1. Allah Azza wa Jalla telah tunaikan janji-Nya dalam Ghazwah Uhud iaitu dengan memberi kemenangan kepada tentera Islam iaitu pada awal peperangan! 
    Tetapi petolongan Allah ini dengan syarat iaitu sabar & bertaqwa.
  1. Namun apa boleh buat, kemenangan itu hanya sementara, iaitu apabila langar arahan Rasulullah SAW; kemudiannya mereka menjadi lemah, berpecah, hilang semangat & takut hendak berperang. 
    Serta berlaku perpecahan antara pemanah yang dipesan oleh Nabi SAW agar jangan tinggalkan posisi mereka, tetapi mereka melanggar juga arahan Rasulullah SAW.
  1. Hadis- tentang Ghazwah Uhud:
    i- Al-Bara’ bin Azib RA meriwayatkan:
    عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: لَقِينَا الْمُشْرِكِينَ يَوْمَئِذٍ وَأَجْلَسَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَيْشًا مِنْ الرُّمَاةِ وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ عَبْدَ اللَّهِ ،وَقَالَ: لَا تَبْرَحُوا إِنْ رَأَيْتُمُونَا ظَهَرْنَا عَلَيْهِمْ فَلَا تَبْرَحُوا وَإِنْ رَأَيْتُمُوهُمْ ظَهَرُوا عَلَيْنَا فَلَا تُعِينُونَا، فَلَمَّا لَقِينَا ، هَرَبُوا حَتَّى رَأَيْتُ النِّسَاءَ يَشْتَدِدْنَ فِي الْجَبَلِ رَفَعْنَ عَنْ سُوقِهِنَّ قَدْ بَدَتْ خَلَاخِلُهُنَّ فَأَخَذُوا يَقُولُونَ: الْغَنِيمَةَ الْغَنِيمَةَ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ : عَهِدَ إِلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا تَبْرَحُوا فَأَبَوْا، فَلَمَّا أَبَوْا صُرِفَ وُجُوهُهُمْ
    Kami bertemu pasukan Musyrikin pada hari itu (Uhud), lalu Nabi SAW menempatkan pasukan pemanah di bawah pimpinan Abdullah bin Jubir RA. Baginda SAW berpesan: “Tetaplah kamu di sini, sekalipun kamu melihat kami menang atas mereka, janganlah kami meninggalkan tempat ini, dan jika kamu melihat kami kalah, janganlah kamu bergerak untuk menolong kami.” Ketika perang mulai berkecamuk, maka pasukan musuh melarikan diri sehingga aku melihat para wanita berlarian ke gunung hingga tersingkap betis mereka dan kelihatan gelang kaki mereka. Kaum Muslimin (pasukan pemanah) berebut mengambil (ghanimah) sambil berkata: Ghanimah! (harta rampasan perang), ghanimah! Abdullah akhirnya berteriak: Nabi SAW telah berpesan kepadaku, janganlah kami meninggalkan tempat kami! Namun mereka tidak peduli, ketika mereka tidak memperdulikan wasiat Nabi SAW mereka menjadi kucar kacir (lalu dikalahkan).[HR Bukhari].

    ii- Rasulullah SAW memanggil para sahabat untuk datang kepada Baginda untuk mengguatkan semangat para tentera dan untuk memberitahu bahawa Baginda masih hidup.
    Kisah penuh dalam ayat di bawah.

    iii- Kisah Abu Sufyan yang menyeru Rasulullah SAW, Abu Bakar & Umar RA atas bukit Uhud dan mengatakan mereka semua sudah mati- Nabi SAW larang sahabat dari menjawab. Kemudian apabila dia menyebut & meninggikan berhala mereka; Nabi SAW menyuruh sahabat menjawab dan mengangkat Allah SWT. [HR Bukhari].

    Yakni apabila isu peribadi dihina tak perlu jawab tetapi apabila bab aqidah & Allah dihina wajib kita bangkit mempertahankannya! 
    Kisah penuh dalam siri sebelum ini!  

    iv- Abu Sufyan juga menyatakan jika ada mayat-mayat yang dirosakkan oleh tentera Quraisy ini bukan kerana arahannya! 
    Mereka bertindak sendiri!

AYAT 152- { DI ANTARA KAMU ADA YANG MENGHENDAKI KEUNTUNGAN DUNIA SEMATA-MATA, DAN DI ANTARA KAMU ADA YANG MENGHENDAKI AKHIRAT, KEMUDIAN ALLAH MEMALINGKAN KAMU DARIPADA MENEWASKAN MEREKA UNTUK MENGUJI (IMAN DAN KESABARAN) KAMU; DAN SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMAAFKAN KAMU, (SEMATA-MATA DENGAN LIMPAH KURNIANYA). DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MELIMPAHKAN KURNIANYA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:152)

  1. Allah katakan ada antara kamu inginkan keuntungan harta dunia – terliur harta rampasan perang sehingga sangup mengabaikan arahan & perintah Rasulullah SAW!
    Iaitu sebahagian orang mukmin terutamanya tentera pemanah di atas Bukit Pemanah- sanggup turun meninggalkan tapak kawalan mereka kerana mahu turun untuk mengutip ghanimah yang ditinggalkan oleh orang kafir. 
  1. Perbuatan mereka turun dari berikut itu dan merebut harta peperangan mendedahkan tentera Islam dengan serangan Quraisy- yang mana Khalid ibn Walid & Ikrimah yang sedang menunggu di balik bukit untuk meluru masuk memecahkan kesatuan tentera Islam.
  1. Ibn Mas’ud RA berkatanya: Aku tidak tahu & tidak pernah menyangka bahawa ada di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang inginkan harta dunia, sehinggalah peristiwa di Uhud ini! 
    Iaitu apabila tentera pemanah berlari turun meningglakan posisi mereka yang dipesan oleh Nabi SAW untuk mengutip harta rampasan perang yang ditinggalkan musuh!
    Dengan tindakan yang bertentangan arahan nabi ini, menunjukkan kelemahan mereka menghadapi godaan.
  1. Pada peringkat awalnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam- tetapi apabila tentera pemanah itu tinggalkan arahan Rasulullah SAW; kerana hati mereka nampak dunia di bawah! 
  1. Lalu Allah cabut perasaan takut dalam hati para kafir yang lari tadi untuk datang menyerang semula. 
    Ini kerana Allah SWT mahu menguji kamu untuk melihat siapa yang betul-betul taat & ikhlas dalam perjuangan & siapa yang mudah hilang pertimbangan!
    70 syahid dalam perang Uhud- 50 orang daripada keseluruhan tentera pemanah (samada yang turun atau yang setia mempertahankan kedudukan mereka seperti ketuanya- Abdullh bin Jubir RA) serta 20 orang lagi tentera lain di yang sudah berada di bawah.
  1. Tetapi Allah SWT maafkan kesalahan yang mereka lakukan itu! Lalu tentera Islam tidak kalah & binasa semuanya- hanya 70 sahaja yang mati. 
    Jika Allah nak hukum mereka- boleh saja mereka tewas & mati semuanya!
  1. Ingatlah Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat & limpah kurnianya kepada orang yang beriman kerana mereka masih ada iman dalam hati mereka. 
    Walaupun mereka tersalah, melanggar arahan Rasulullah AW. mereka masih dikira sebagai para syuhada’ Uhud. 
    Serta menerima segala kelebihan sebagaimana yang dijanjikan kepada orang yang mati syahid.

AYAT 153- { (INGATLAH) KETIKA KAMU BERUNDUR LARI DAN TIDAK MENOLEH KEPADA SESIAPA PUN, SEDANG RASULULLAH (YANG MASIH BERJUANG DENGAN GAGAHNYA) MEMANGGIL KAMU DARI KUMPULAN YANG TINGGAL DI BELAKANG KAMU (UNTUK BERJUANG TERUS TETAPI KAMU TIDAK MEMATUHINYA). OLEH SEBAB ITU ALLAH MEMBALAS KAMU (DENGAN PERISTIWA) YANG MENDUKACITAKAN (KEKALAHAN), DENGAN SEBAB PERBUATAN (KAMU MENDERHAKA) YANG MENDUKACITAKAN (RASULULLAH) ITU, SUPAYA KAMU TIDAK BERSEDIH HATI AKAN APA YANG TELAH LUPUT DARI KAMU, DAN TIDAK (PULA BERSEDIH) AKAN APA YANG MENIMPA KAMU. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN APA JUA YANG KAMU LAKUKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:153)

  1. Allah nyatakan ada juga di kalangan tentera Islam ini yang lari balik sehingga sampai ke Madinah, tidak tengok kiri kanan lagi kerana nak menyelamatkan diri!
    Ini kerana mereka menyangka Rasulullah SAW telah wafat- terbunuh.
  1. Sedangkan Baginda Nabi SAW masih gagah berjuang melawan musuh & memanggil kamu semua yang telah lari berpaling untuk terus berjuang & datang kepada Baginda! 
    Alhamdulillah beberapa orang sahabat yang terpilih telah datang menyahut panggilan Nabi SAW ini dan menjadi benteng mempertahankan nabi SAW.
  1. Lalu Allah balas perbuatan mereka yang membuat Baginda dukacita dengan melanggar perintah Rasulullah SAW; dengan kekalahan tentera Islam yang mendukacitakan!
  1. Kronologi Ghazwah Uhud ini yang diceritakan dalam ayat 153 ini ialah:
    Ketika pasukan pemanah muslimin melihat kekalahan orang Quraisy dan ternampak harta rampasan perang, mereka terus meninggalkan posisi mereka kerana menyangka perang telah berakhir.
    Mereka tidak mendengar kata pemimpin pasukan mereka iaitu Abdullah bin Jubair yang telah mengingatkan supaya Rasulullah berpesan agar tidak meninggalkan posisi mereka.
    Lalu, Khalid bin Al-Walid yang pada ketika itu masih lagi musyrikin berpatah balik bersama pasukan Quraisy dan menyerang kaum muslimin sehingga ramai para sahabat yang terbunuh. 
    Keadaan menjadi kucar-kacir sehingga mereka juga berjaya mendekati Rasulullah yang cedera parah dilempar dengan batu hingga melukakan hidung, gigi dan kepada Baginda sehingga darah mengalir.
    Dalam masa yang sama, ramai yang menyangka bahawa Rasulullah terbunuh. 

    Apa sebabnya? 
    Pada ketika itu, Ibnu Qami’ah iaitu seorang musyrikin menyerang Mus’ab bin Umair dan berjaya membunuh Mus’ab RA. 
    Disebabkan rupa paras Mus’ab sangat mirip dengan Rasulullah, maka Ibnu Qami’ah berkata kepada orang-orang Quraisy bahawa dia telah berjaya membunuh Rasulullah.
    Berita kononnya Baginda telah dibunuh tersebar begitu cepat, sehingga menyebabkan pecah-belah kaum muslimin. 
    Ada yang lari dari medan perang, ada yang duduk di tepi medan pertempuran tanpa ikut berperang, namun ada juga yang berjuang untuk mendapatkan syahid kerana telah menyangka Rasulullah telah syahid.
    Namun, orang pertama yang sedar bahawa Rasulullah masih hidup ialah Ka’ab bin Malik, namun Baginda memintanya supaya diam supaya kaum musyrikin tidak mengetahuinya. [HR Bukhari].
  1. Apabila mendengar kewafatan Rasulullah SAW segala kedukaan lain menjadi kecil- kerana berita ini lebih besar dan amat mengejutkan! Tetapi sebenarnya Rasulullah SAW selamat maka ini menjadi berita gembira pula!
  1. Kata ulama’ tafsir; maksudnya sedih di atas sedih {فَأَثَـٰبَكُمْ غَمًّۢا بِغَمٍّۢ} ialah:
    i- Kesedihan pertama sedih kerana ingatkan menang tetapi kalah, harta ghanimah tak dapat & ramai sahabat yang mati syahid. 

    ii- Kesedihan yang kedua yang lebih besar ialah kecederaan yang menimpa ke atas Rasulullah SAW di mana luka wajahnya, patah giginya dl kecederaan sehingga Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan bahagia mana-mana kaum yang telah melukakan wajah Nabi mereka SAW.” 
  1. Allah SWT tutup ayat dengan menyatakan bahawa Allah SWT maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kamu!
    Ayat ini mengajar umat Islam agar ikhlas dalam perjuangan!
    Jika tak ikhlas kita akan rugi; sudahlah sakit dan cedera atas dunia & tidak dapat kebaikan pahala yang besar pula! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 152- {Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya,}-

    Allah nyatakan bahawa Dia telah tunaikan janji-nya dengan memberi kemenangan awal kepada kamu dalam peperangan Uhud.
    Kata ulama’ tadabbur: ini menunjukkan bahawa maksiat & tidak dengar kata Allah & Rasul; akan menjadi sebab hilangnya pertolongan Allah SWT! 
    Inilah kehilangan yang amat besar iaitu menyebabkan kamu ditimpa ujian & kehilangan. Kamu sudah lihat kemenangan itu sudah hampir tercapai- tetapi kamu tidak sabar & tamak lalu langar arahan Rasulullah SAW- lalu kamu kehilangan terus semuanya!
    Kata ulama’; Orang yang buat maksiat selepas dapat nikmat adalah lebih dahsyat daripada orang yang buat maksiat sebelum dapat nikmat!
    Kita lihat orang yang dapat kekayaan & kekuasaan kemudian dia anjur atau buat maksiat- betapa dahsyatnya!
  1. Ayat 152- {sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu,}-

    Allah kata kamu akan menjadi lemah & akan kalah apabila kamu berbalah, berkelahi sesama kamu- akan hilang pertolongan Allah!
    Kata ulama’ : Ayat ini menggalakkan kita untuk meletakkan kesatuan ummah sebagai keutamaan! 
    Apabila nak buat sesuatu strategi seperti nak boikot & lawan orang kafir- kita kena bersatu & bersama barulah kita kuat & tidak lemah!
    Punca kelemahan umat Islam adalah tidak bersatu & berkelahi sesama sendiri. Ia juga akan menjadi sebab kepada hilangnya pertolongan Allah SWT!
  1. Ayat 153- { (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya).}-

    Rasulullah SAW tidak lari dari medan perjuangan bahkan memanggil saki baki tentera yang ada untuk terus berkumpul & bersemangat!
    Ini menunjukkan kepada kaedah; nak lantik seorang tentera atau panglima perang mestilah seorang yang gagah berani & setia, tegas dan kuat pendirian.
    Ketua yang pengecut melemahkan barisan kesatuan. 
    Nabi SAW sangat hebat dalam kepimpinannya dan memberi contoh yang teladan yang baik kepada para sahabat & umatnya!
  1. Ayat 153- {supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.}–

    Allah didik kita untuk bertawakkal serah urusan kepada Allah & jangan mudah bersedih.
    Kita nak buat sesuatu kena berusaha ikhtiar, buat kerja bersunguh-sungguh sebaik mungkin kemudian bertawakkal-lah dan serah urusan itu kepada Allah SWT. 
    Jika tak berjaya jangan sedihlah kerana kita cuba sebaik mungkin!
    Kerana Rasulullah SAW melarang untuk kita menggunakan perkataan kalau: 
    Sabda nabi SAW: “Jangan kamu berkata: Kalau aku buat begini, akan jadi begini. Tetapi katakanlah: ini takdir Allah, apa yang dia kehendaki akan berlaku. sesungguhnya ‘kalau’ membuka pintu syaitan.” [HR Muslim].

    Jangan sedih akan benda yang telah lepas; dok mmikir kalau-kalau; akan menyebabkan kita akan jadi stress, depression dan lain-lain penyakit jiwa!
    Allah didik orang Islam jangan mudah berdukacita jika tak dapat apa yang kita nak setelah kita berusaha sebaik-baiknya. Usaha ikhtiar kemudian bertawakkal pada Allah.
  1. Ayat 152- {dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.}-

    Allah beri jaminan di sini bahawa Dia telah maafkan mereka para sahabat yang turun tadi & tidak kurang sedikitpun pahala mereka- tetap di kira sebagai para syuhada’ dan tidak dicela mereka!  
    Walaupun Allah sebut sebahagian daripada kamu inginkan dunia.

    Macam mana kita nak tahu seseorang itu cinta & inginkan dunia?
    i- Ketika sama-sama susah, sama-sama kalah sekali, semasa berjuang pasti kita akan sangka seseorang itu ikhlas.

    ii- Tetapi apabila dapat kemenangan, kekayaan, kejayaan maka disitulah kita dapat lihat sikap sebenar akan terserlah siapa yang sebenarnya mahu perjuangan!
    Yakni sebelum dapat pangkat & kuasa- sedaplah bercakap misi visi itu ini, pelbagai janji yang ditabur! 

    Kerana itulah Allah kata di akhir ayat ini: {Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.}-
    Ikhlaslah dalam perjuangan, buat apa saja pun kita kena ikhlas- jika tidak kita akan rugi- kerja letih pahala tak dapat- hanya dapat nama & pujian manusia atas dunia ini!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs