ALLAH BERIKAN KETENANGAN KEPADA TENTERA ISLAM, GENG MUNAFIQ TERUS RESAH DI UHUD & SEMUA YANG LARI IKUT SYAITAN.
Full video : https://youtu.be/BfpuS0uy3c8?si=eZptS8z7bWXj1IXF
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 154 sehingga 155, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini masih lagi dalam kisah Ghazwah Uhud yang bawa banyak peristiwa yang perlu dimuhasabah, dikaji selidik & diambil ibrah pengajaran kerana Allah SWT uji sebahagian hamba-Nya yang beriman sehingga terkorban syahid 70 orang sahabat yang mulia. Inilah syahid yang teramai dalam awal Sirah peperangan Rasulullah SAW.
- Dalam ayat ini- Allah SWT nyatakan bahawa Allah berikan ketenangan kepada tentera Islam setelah kegawatan peperangan di Uhud.
- Golongan yang benar-benar beriman terlena dan mendapat kerehatan manakala geng munafiq terus resah gelisah, memikirkan kekalahan dan sibuk dengan andaian, spekulasi & sangkaan buruk terhadap Rasulullah SAW. Berasa rugi kerana tak dapat apa-apa habuan- inilah keresahan puak yang gilakan dunia.
- Allah SWT juga gambarkan bahawa orang yang lari medan perang; semua yang lari kerana dihasut & telah ikut syaitan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan janji untuk memberi pertolongan & kemenangan kepada orang mukmin mengalahkan orang kafir. Janji pertolongan ini pastilah akan menghilangkan rasa takut dalam diri orang mukmin.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan walaupun orang mukmin ditimpa ujian & ramai sahabat yang mati syahid- selepas Ghazwah Uhud; Allah beri ketenangan kepada mereka, boleh tidur & berehat, maka ini adalah salah satu tanda dari pertolongan Allah kepada orang mukmin.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 154- {KEMUDIAN SESUDAH (KAMU MENGALAMI KEJADIAN) YANG MENDUKACITAKAN ITU, ALLAH MENURUNKAN KEPADA KAMU PERASAAN AMAN TENTERAM, IAITU RASA MENGANTUK YANG MELIPUTI SEGOLONGAN DARI KAMU (YANG TEGUH IMANNYA LAGI IKHLAS), SEDANG SEGOLONGAN YANG LAIN YANG HANYA MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI, MENYANGKA TERHADAP ALLAH DENGAN SANGKAAN YANG TIDAK BENAR, SEPERTI SANGKAAN ORANG-ORANG JAHILIYAH. MEREKA BERKATA: “ADAKAH BAGI KITA SESUATU BAHAGIAN DARI PERTOLONGAN KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN ITU?” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA PERKARA (YANG TELAH DIJANJIKAN) ITU SEMUANYA TERTENTU BAGI ALLAH, (DIA LAH SAHAJA YANG BERKUASA MELAKUKANNYA MENURUT PERATURAN YANG DITETAPKANNYA)”. MEREKA SEMBUNYIKAN DALAM HATI MEREKA APA YANG MEREKA TIDAK NYATAKAN KEPADAMU. MEREKA BERKATA (SESAMA SENDIRI): “KALAULAH ADA SEDIKIT BAHAGIAN KITA DARI PERTOLONGAN YANG DIJANJIKAN ITU, TENTULAH (ORANG-ORANG) KITA TIDAK TERBUNUH DI TEMPAT INI?” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “KALAU KAMU BERADA DI RUMAH KAMU SEKALIPUN NESCAYA KELUARLAH JUGA ORANG-ORANG YANG TELAH DITAKDIRKAN (OLEH ALLAH) AKAN TERBUNUH ITU KE TEMPAT MATI MASING-MASING”. DAN (APA YANG BERLAKU DI MEDAN PERANG UHUD ITU) DIJADIKAN OLEH ALLAH UNTUK MENGUJI APA YANG ADA DALAM DADA KAMU, DAN UNTUK MEMBERSIHKAN APA YANG ADA DALAM HATI KAMU. DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG ADA DI DALAM DADA.} (ALI-‘IMRAN 3:154)
- Setelah berlaku peristiwa yang mendukacitakan akibat kekalahan & ramai sahabat yang mati syahid dalam Ghazwah Uhud- dalam suasanan yang begitu gawat; Allah kata Dia lalu menurunkan perasaan ketenangan & keamanan dalam hati orang beriman iaitu mengantuk lalu mereka tidur dan dapat rehat secukupnya!
- Jika dalam gawat, takut & stress kita dapat tidur dan rehat itu adalah satu anugerah nikmat dari Allah SWT; tetapi jika mengantuk dalam majlis ilmu seperti kuliah atau khutbah itu ulikan syaitan!
- Hadis tentang mengantuk yang diceritakan oleh Abu Talhah RA iaitu seorang panglima perang yang sentiasa berada di sisi Nabi SAW:
i- Dengan lafaz dalam sunan al-Tirmizi dinyatakan:
عَنْ أَبِي طَلْحَةَ قَالَ رَفَعْتُ رَأْسِي يَوْمَ أُحُدٍ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ وَمَا مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ أَحَدٌ إِلَّا يَمِيدُ تَحْتَ حَجَفَتِهِ مِنْ النُّعَاسِ فَذَلِكَ قَوْلُهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ {أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا}
Dari Abu Talhah RA katanya: Aku mengangkat kepala semasa perang Uhud dan aku melihat merela kesemuanya terhengkuk-hengkuk di bawah perisai yang dibuat dari kulit. Yang demikian iaitu tersebut dalam firman Allah (SWT) yang bermaksud: “Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah (SWT) menurunkan kepadamu perasaan aman tenteram iaitu rasa mengantuk”. [Riwayat al-Tirmizi dalam sunannya kitab tafsir surah Ali Imran no.3007 dan menyebut ia hadith hasan sahih]
ii- Lafaz yang kedua:
عَنْ أَنَسٍ أَنَّ أَبَا طَلْحَةَ قَالَ غُشِينَا وَنَحْنُ فِي مَصَافِّنَا يَوْمَ أُحُدٍ حَدَّثَ أَنَّهُ كَانَ فِيمَنْ غَشِيَهُ النُّعَاسُ يَوْمَئِذٍ قَالَ فَجَعَلَ سَيْفِي يَسْقُطُ مِنْ يَدِي وَآخُذُهُ وَيَسْقُطُ مِنْ يَدِي وَآخُذُهُ وَالطَّائِفَةُ الْأُخْرَى الْمُنَافِقُونَ لَيْسَ لَهُمْ هَمٌّ إِلَّا أَنْفُسُهُمْ أَجْبَنُ قَوْمٍ وَأَرْعَبُهُ وَأَخْذَلُهُ لِلْحَقِّ.
Dari Anas RA bahawa Abu Talhah RA berkata: Kami berasa mengantuk semasa kami berada dalam saf peperangan dalam perang Uhud. Dia memberitahu bahawa dia antara mereka yang diturunkan rasa mengantuk sehinggakan pedang terjatuh dari tangannya lalu aku mengambilnya. Pedang itu jatuh sekali lagi lalu aku mengangkatnya. Sedangkan kumpulan yang lain iaitu orang-orang munafiq yang merupakan orang yang pengecut, penakut dan jauh dari kebenaran. [HR an-Nasaei & Tirmizi].
- Ada dua kumpulan di sini iaitu:
i- Mereka yang beriman & baik Allah beri ketenangan dengan mengantuk {أَمَنَةًۭ نُّعَاسًۭا}.
ii- Manakala satu golongan lagi ialah yang tidak menjadi mengantuk.
Mereka inilah yang mementingkan diri sendiri, mereka akan lari daripada perjuangan dan membuat sangkaan buruk terhadap Allah SWT iaitu sebagaimana sangkaan golongan jahiliyyah.
Mereka ini adalah golongan munafiq diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul & Mu’attib bin Qusyair (مُعَتِّبِ بْنِ قُشَيْرٍ).
- Apabila tak ada kerja & tak tidur banyaklah andaian mereka buat; Antara sangkaan & andaian buruk mereka ialah: Islam akan kalah & hilang, Rasulullah SAW akan mati terbunuh, pengikutnya akan pupus dan hilang juga!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT ini:
{“(Itu bukanlah sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan kembali lagi kepada akan isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya; dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati kamu (serta menerimanya); dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai sangkaan yang buruk (terhadap agama Allah yang dibawa oleh RasulNya); dan (dengan itu) menjadilah kamu kaum yang rosak binasa”.} (Al-Fat-h 48:12)
- Mereka juga buat spekulasi- jika benar ada pertolongan dari Allah kenapa ramai juga di kalangan tentera muslim yang mati?
Kenapa mereka kalah juga?
Mana pertolongan Allah-Nya?
- Allah perintahkan agar Rasulullah SAW menjawab tuduhan mereka itu: {Sesungguhnya perkara yang telah dijanjikan itu semuanya tertentu bagi Allah, Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya}.
Yakni dengan mengatakan bahawa semua urusan itu adalah dengan kehendak & taqdir Allah SWT. Allah bagi kemenangan, Allah juga yang bagi kekalahaan.
Maka apabila kalah kita kena sabarlah, bukan boleh menang sentiasa!
- Puak munafiq ini menyembunyikan dalam hati mereka sifat buruk & khianat serta dalam masa yang sama menzahirkan simpati & sokongan terhadap Nabi SAW & orang Islam.
- Mereka terus membuat provokosi- kalaulah Muhammad (SAW) mendengar nasihat atau pendapat kita; pasti kekalahan & kematian ini tidak akan berlaku!
Kalaulah Muhammad tidak buat keputusan begitu- begini…
Iaitu Abdullah bin Ubai antara yang menyokong pendapat untuk berperang dalam bandar Madinah- tidak perlu keluar dari bandar. Jadi sekarang dia menyalahkan Rasulullah SAW kerana memilih pendapat ramai bukan pendapat dia.
Ini kerana Rasulullah SAW ikut keputusan syura.
- Lalu Allah SWT perintahkan Rasulullah SAW untuk menolak andaian dan provokasi mereka itu dengan menjawab: “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan oleh Allah akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”.
Yakni siapa saja yang telah ditetapkan ajalnya- akan mati juga seperti yang telah Allah tetapkan!
Bila berlaku kematian baru kita tahu- jika tidak sebelum itu kita tidak tahu!
- Hadis- larangan jangan guna kalau:
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila kamu ditimpa sesuatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan, ‘Kalau saya tadi berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan terjadi begini dan begitu’, tetapi katakanlah, ‘Ini sudah takdir Allah dan apa dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan. Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ akan membukakan jalan syaitan.” [HR Muslim].
- Allah nyatakan lagi bahawa apa yang berlaku di medan perang Uhud itu Allah jadikan untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, Yakni Allah mahu zahirkan siapa yang ikhlas, siapa yang munafiq!
- Ujian itu juga untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu- untuk membezakan antara orang mukmin & orang munafiq.
Orang mukmin tenang-tenang saja manakala golongan munafiq penuh dengan andaian, tuduhan, spekulasi & provokasi buruk!
- Maka ingatlah, Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati yang ada di dalam dada- maka tak perlu sembunyikan.
Kerana itu ikhlaskan dalam segala perbuatan & amalan kamu jika tidak mahu kerugian!
- Kata ulama’ Fudhail bin ‘Iyad RHM.
Syarat sesuatu ibadat itu diterima:
i- Ikhlas kerana Allah SWT
ii- Bertepatan & ikut Sunnah Nabi SAW.
AYAT 155- {BAHAWASANYA ORANG-ORANG YANG TELAH BERPALING (MELARIKAN DIRI) DI ANTARA KAMU PADA HARI BERTEMU DUA ANGKATAN TENTERA (ISLAM DAN KAFIR DALAM PERANG UHUD) ITU, SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH DIGELINCIRKAN OLEH SYAITAN DENGAN SEBAB SEBAHAGIAN DARI PERBUATAN-PERBUATAN (YANG SALAH) YANG MEREKA TELAH LAKUKAN (PADA MASA YANG LALU); DAN DEMI SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMAAFKAN MEREKA, KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA PENYABAR.} (ALI-‘IMRAN 3:155)
- Ayat ini Allah katakan sesiapa yang lari daripada medan peperangan Uhud itu, serta berpecah belah adalah kerana mereka telah digelincirkan oleh hasutan syaitan.
Mereka jadi ikut syaitan kerana disebabkan perbuatan salah yang mereka lakukan pada masa lalu!
- Syaitan tidak akan boleh menguasai seseorang manusia kecuali setelah mereka derhaka kepada Allah Azza wa Jalla.
- Dalam ayat 152 sebelum ini Allah telah nyatakan bahawa Allah telah maafkan mereka syuhada’ Uhud itu!
Sekali lagi Allah ulang dalam ayat ini bahawa: {dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka,}.
Yakni Allah tak ambil kira kesalahan mereka, tak jadikan mereka sebagai orang yang berdosa & bersalah!
Mereka dikira sebagai orang yang mati syahid juga dan mendapat segala kelebihannya!
- Kisah- Seseorang bertanya kepada Abdullah ibnu Umar RA tentang Uthman bin Affan RA yang dikatakan lari dalam peperangan Uhud:
Diriwayatkan dari Uthman bin Mauhab ia berkata, “Seorang lelaki datang dari Mesir untuk melaksanakan haji, lantas ia melihat suatu kaum sedang duduk-duduk, ia bertanya, ‘Siapa mereka?’ Mereka mengatakan, ‘Mereka adalah kaum Quraisy.’ Ia bertanya lagi, ‘Siapa yang paling alim di antara mereka?’ Mereka jawab, ‘Abdullah bin Umar.’ Kemudian ia berkata kepadanya, ‘Wahai Ibnu Umar, aku ingin bertanya sesuatu kepada kamu maka tolong dijawab! Apakah kamu tahu bahawa Uthman bin Affan lari meninggalkan pasukan pada perang Uhud?’ Ibnu Umar menjawab, ‘Benar.’ Ia kembali bertanya, ‘Apakah kamu tahu bahawa ia tidak ikut dalam perang Badar?’ Ibnu Umar menjawab, ‘Benar.’ Ia kembali bertanya, ‘Apakah kamu tahu bahawa ia tidak ikut pada Bai’at Ridhwan?’ Ibnu Umar menjawab, ‘Benar.’ Lelaki itu berkata, ‘Allahu Akbar.’ Ibnu Umar berkata, ‘Kemarilah aku akan jelaskan kepadamu tentang permasalahan tersebut.
i- Adapun mengenai larinya beliau dari perang Uhud sesungguhnya ia telah mendapat keampunan dari Allah.
ii- Ia tidak dapat ikut serta dalam perang Badar kerana ia sedang disibukkan mengurus isteri beliau yakni puteri Rasulullah SAW yang sedang sakit dan Rasulullah SAW bersabda kepadanya,“Sesungguhnya engkau mendapatkan pahala seorang yang ikut serta dalam perang Badar dan engkau juga mendapatkan bahagian pada harta rampasannya.‘
ii- Adapun sebab beliau tidak ikut dalam Bai’at Ridhwan, kalaulah sekiranya ada seorang yang lebih terhormat di Kota Makkah selain Uthman tentunya Rasulullah SAW akan menggantikan Uthman dengan orang tersebut.
Namun Rasulullah SAW tetap mengirimkan Uthman ke Makkah dan Bai’at Ridhwan berlaku setelah pemergian Uthman ke Makkah.
Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan kanannya seraya bersabda, ‘Ini adalah tangan Uthman.’
Lantas menepukkannya dengan tangan beliau dan bersabda, ‘Ini adalah bai’at Uthman.’
Ibnu Umar berkata kepada lelaki itu, ‘Nah bawalah berita ini kerana sekarang engkau sudah tahu’.”
- Isu inilah yang selalu digunakan oleh golongan Syiah untuk dijadikan alasan & bahan celaan untuk memburuk-burukkan Sayyidina Uthman bin Affan RA. tetapi hadis Ibnu Umar RA itu memberi penjelasan yang amat berguna untuk kita orang beriman!
- Ini kerana sesungguhnya:
i- Allah Maha Pengampun, Allah tak mabil tindakan ke atas mereka selepas mereka bertaubat & istighfar.
ii- Lagi Maha Penyabar.
- Jika nak baca kisah Ghazwah Uhud & Badar secara ringkas boleh baca buku Madinah ini: https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 154- {Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas),}-
Allah turunkan ketenangan itu selepas {ثُمَّ} tamatnya peperangan Uhud.
Ketenangan ini khas untuk para sahabat yang masih hidup, yang luka cedera & sudah lemah semangat mereka melihat kematian ramai sahabat lain, lalu mereka jadi mengantuk & mendapat rehat yang diperlukan setelah melalui peperangan Uhud yang begitu sengit.
Allah kata satu ketenangan dalam bentuk mengantuk { أَمَنَةًۭ نُّعَاسًۭا} ini kerana apabila kita takut ke, sakit ke, apabila terlena & tak sedar; maka hilanglah sebentar ketakutan & kesakitan itu!
Sekarang ini betapa ramai orang yang sakit kronik tertentu ditidurkan oleh para doktor untuk menggurangkan kesakitan & kesesakan yang dialami mereka.
- Ayat 154- {iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah.}-
Terdapat dua golongan selepas peperangan Uhud ini-
Kumpulan pertama Allah beri ketenanngan dengan rasa mengantuk.
Manakala golongan kedua adalah golongan yang resah-gelisah, yang stress iaitu kumpulan munafiq yang tidak beriman & tidak ikhlas keluar berjuang!
Ayat ini mengajar kepada kita untuk beriman dengan taqdir qadha’ & qadar Allah Azza wa Jalla.
Apabila beriman dengan taqdir Allah kita akan tenang, apabila keluar untuk berjihad mereka keluar dengan tenang & senang hati.
Ini kerana mereka yakin & percaya:
i- Jika menang dan tak mati mereka dapat kembali kepada keluarga sambil membawa harta ghanimah.
ii- Jika kalah atau mati syahid- mereka akan mendapat pahala & kelebihan yang besar di sisi Allah SWT!
Aqidah ini mengajar ketenangan & keredhaan kepada kita!
- Ayat 154- {sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah.}-
Satu golongan lagi yang pentingkan diri.
Orang yang pentingkan diri ini apabila diuji akan terserlah sikap sebenar mereka- akan menzahirkan apa yang ada dalam perut sebenarnya!
Sebagaimana dalam kisah Uhud ini terzahir keluar dari mulut golongan munafiq Abdullah bin Ubai dan lain-lain apa yang ada dalam hati mereka iaitu menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah- buat tuduhan jahat kepada Rasulullah SAW dan pelbagai provokasi terhadap umat Islam.
Maka jangan ada kepentingan diri dalam perjuangan- jika ada kepentingan diri dia hanya akan duduk di tempat yang boleh beri peluang & habuan pulangan kepada mereka, lompat pun lompatlah!
Pribahasa kata : Di mana bumi subur; di situ benih di tabur- yakni munafiq ini di mana dia akan dapat projek, dapat kedudukan di ditulah dia akan pergi!
Tidak pelik atas dunia ini penuh dengan manusia yang bersifat begini!
- Ayat 154- { Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu,}-
Allah nak zahirkan apa yang ada dalam hati kamu!
Apa yang ada dalam hati manusia orang lain tidak tahu; tetapi Allah dapat zahirkannya dengan tanda-tanda yang dapat dilihat melalui ujian yang Allah berikan!
Ayat ini juga isyarat bahawa:
i- Kita boleh kesan apa yang ada dalam hati seseorang dengan sisasat & cari bukti yang dapat menunjukkan kecenderungan dan hala tujunnya.
Contoh lihat kepada media sosialnya kita akan dapat kesan berdasarkan apa yang dia share & like.
ii- Tetapi kita tidak boleh menghukum seseorang berdasarkan apa yang ada dalam hatinya saja!
- Ayat 154- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”.}-
Allah suruh Rasulullah SAW membalas kata-kat munafiq ini.
Kaedahnya:
i- Langkah berhati-berhati setara mana pun tidak akan dapat menolak & melarikan kita daripada taqdir Allah SWT. – الحذر لا يدفع القدر.
Tetapi dalam masa yang sama kita wajib ambil langkah berhati-hati, usaha & ikhtiar sebaik mungkin- jika berlaku juga apa yang tidak diingini itu taqdir Allah SWT, kita kena terimanya dengan tenang.
ii- Kita susun atur strategi setara mana pun tidak akan dapat menembusi taqdir Allah SWT! – والتدبير لا يقاوم التقدير.
Kita kena usaha yang terbaik tetapi tidak ada siapa yang dapat melawan taqdir Allah SWT!
Ujian adalah satu kayu ukur yang paling berkesan untuk menzahirkan apa yang ada dalam hati orang.
Waktu ujianlah kita dapat melihat keikhlasan seseorang, waktu tidak ada ujian semuannya hebat- bila kena ujian semuanya lari!
Kerana itu kita jangan sesekali meminta ujian ke atas kita. Mintalah keselamatan dan kebaikan.
Kata ulama’ : Dosa akan melahirkan dosa lain! Sebagaimana orang yang lari sudah berdosa kemudian dosa lain pula iaitu ikut syaitan!
Maka jangan sesekali kita biarkan syaitan menguasai diri kita dengan mantapkan iman kita kepada Allah dan perkemaskan amal ibadat kita!
Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan bahawa Syaitan boleh menguasai anak Adam sehingga di dalam amalan soleh & jihad.
Contoh sertai jihad kerana nak habuan dunia. Atau nak buat amal ibadat tetapi tidak ikut Sunnah Nabi SAW!
Malam ini malam ke-29, kira-kira malam terakhirlah kita berada dalam bulan Ramadhan- sabarlah, teruskan melakukan amalan yang terbaik supaya kita tidak kerugian masa & tawaran yang dianugerahkan Allah SWT ini!
Tamatkan bacaan al-Quran, kita hidupkan lagi malam ini dengan tarawih & tahajudnya serta berinfaq fi-sabilillah.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.