AMARAN MENGIKUT PERKATAAN MUNAFIQIN, GALAKAN BERJIHAD & KELEBIHAN MATI SYAHID.
Full video : https://youtu.be/cd9rxdyRvgo?si=_UfY8Wyh2uav3B1r
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 156 sehingga 158, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan amaran kepada orang beriman agar jangan mengikut kerenah, perbuatan & perkataan puak kafir munafiqin.
Mereka melambung isu tentang para sahabat yang telah mati dalam perjuangan samada dalam peperangan atau musafir pada jalan Allah!
- Lalu Allah balas & bidas balik spekulasi mereka itu dengan menyatakan bahawa orang beriman yang mati fi-sabilillah itu adalah mati syahid dan bagi mereka keampunan, rahmat & pahala yang tidak putus.
- Kita semua memang akan mati- jika kamu tak keluar dan duduk dalam rumah saja pun kamu akan mati juga apabila tiba tempoh ajalnya!
- Maka ini menggalakkan orang beriman untuk keluar berjihad & jika terkorban akan mendapat kelebihan mati syahid.
- Tiada istilah rugi & kesian dalam Islam bagi yang mati syahid ini:
i- Jika mati awal dia akan masuk syurga & mendapat segala kelebihan nikmat yang Allah janjikan awal-awal lagi.
ii- Manakala keluarga ditinggalkan pula walaupun akan kehilangan suami atau bapa yang tercinta awal atas dunia ini tetapi; anak-anak akan meraih syafaat dari si bapa yang mati syahid, isteri yang bersabar akan mendapat pahala yang besar.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang kekalahan dan insiden yang berlaku dalam peperangan Uhud- semuanya kerana waswas dari syaitan yang telah mengelincirkan hati mereka menyebabkan mereka meninggalkan arahan Rasulullah SAW.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan juga waswas syaitan itu termasuk jugalah syaitan manusia; kafir yang berpura-pura beriman- namanya munafiqin.
Mereka inilah yang bermain sebagai pembantu syaitan!
Jika semasa perang Uhud ada syaitan datang mengacau, selepas perang Uhud puak munafiq pula yang datang mengacau, yang menjadi penolong kepada syaitan (أعوان الشياطين)- wal-‘iyazu billah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 156- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG TELAH KUFUR DAN BERKATA KEPADA SAUDARA-SAUDARANYA APABILA MEREKA PERGI MENGEMBARA DI MUKA BUMI UNTUK BERNIAGA, ATAU KELUAR BERPERANG (LALU MATI ATAU TERBUNUH): “KALAU MEREKA TINGGAL BERSAMA-SAMA KITA, TENTULAH MEREKA TIDAK MATI DAN TIDAK TERBUNUH”. (APA YANG MEREKA KATAKAN ITU TIDAK ADA FAEDAHNYA) BAHKAN AKIBATNYA ALLAH MENJADIKAN (KESAN PERKATAAN DAN KEPERCAYAAN MEREKA) YANG DEMIKIAN ITU: PENYESALAN DALAM HATI MEREKA. DAN (INGATLAH), ALLAH YANG MENGHIDUPKAN DAN YANG MEMATIKAN, DAN ALLAH SENTIASA MELIHAT AKAN SEGALA YANG KAMU LAKUKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:156)
- Allah SWT menyeru : Wahai orang-orang beriman jangan kamu ikut kerenah, buat feel perangai seperti puak kafir & munafiq yang menimbulkan provokasi & waswas dalam hati orang yang beriman!
Perkataan mereka itu perkataan yang mungkar terbit daripada hasil iktiqad yang fasid atau rosak!
- Mereka menimbulkan keraguan tentang orang yang keluar bermusafir, berniaga, bertugas atau berjihad dalam peperangan lalu mati terbunuh!
Mereka berkata kalaulah saudara mereka itu tidak keluar, tidak pergi dan tetap bersama mereka, pastilah mereka tidak akan mati, tidak akan terbunuh!
Kenapa tak dengar kata, tak dengar nasihat agar jangan pergi!
- Sedangkan apabila tiba ajal seseorang itu; walaupun berada di atas tilam di dalam rumah mereka; pasti akan mati juga!
Sebagaimana kisah Khalid bin Al-Walid RA, seorang panglima perang pada dua zaman- semasa kafir & selepas Islam; tidak mati dalam medan perang bahkan mati di rumahnya!
- Kata-kata tentang orang pergi haji pada zaman dulu:
(عند ذهابه مفقود وبعد عودته مولود)
Pemergian mereka seolah akan kehilangan keluarga, yang tidak tahu bila kan kembali; Kepulangan mereka pula seperti bayi yang dilahirkan, yang tanpa dosa.
Bukan seperti haji atau musafir kita hari ini- sekejap sahaja dengan kecanggihan teknologi akhir zaman.
- Perkataan dan andaian mereka itu tidak memberi faedah lansung bahkan Allah menjadikan akibatnya dari kesan perkataan dan kepercayaan mereka itu satu tekanan, memberi stress, kebimbangan & penyesalan dalam hati mereka.
Ini kerana mereka tidak dapat menerima taqdir Allah.
- Semuanya di bawah kuasa Allah, Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, iaitu orang hidup jadi mati atau orang yang hidup tidak mati.
Yakni jika belum sampai masanya tidak akan mati walaupun tenggelam kapalnya di lautan!
Yang pentingnya kita kena bijak menyusun cara kematian kita!
Ini kerana kita tahu & pasti kita akan mati cuma tak tahu masanya saja!
Iaitu jangan mati kecuali kamu dalam keadaan benar-benar beriman; iaitu susun hidup kita untuk hidup dalam taqwa kepada Allah, sabar melakukan ketaatan, sabar meninggalkan maksiat, lakukanlah segala kebaikan, perkara yang Allah tidak suka jangan buat, amalan yang menyalahi Sunnah Nabi SAW tinggalkan, harapnya kita mati dalam husnul=khatimah! Inilah orang yang bijak menyusun kematiannya.
- Ingatlah Allah sentiasa melihat akan segala yang kita lakukan; samada kita buat baik atau jahat, buat apa yang Allah suka atau Allah murka!
Jika kita sedar & tahu ini maka kita tidak akan berani buat perkara yang tidak baik & boleh mengundang kemurkaan Allah SWT!
- Motivasi:
Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah di Akhirat kelak; kitalah penulisnya!
Nak baca yang baik maka tulislah (buatlah) amalan soleh & baik!
Jangan biar adanya catatan buruk dalam buku catatan kita!
AYAT 157- {DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA KAMU TERBUNUH PADA JALAN ALLAH (DALAM PERANG SABIL), ATAU KAMU MATI (MATI BIASA – SEMASA MENGERJAKAN KEBAJIKAN UMUM), SESUNGGUHNYA KEAMPUNAN DARI ALLAH DAN RAHMATNYA ADALAH LEBIH BAIK (BAGI KAMU) DARI APA YANG MEREKA (ORANG-ORANG KAFIR DAN MUNAFIK) ITU HIMPUNKAN (MELIPUTI SEGALA JENIS KESENANGAN HIDUP).} (ALI-‘IMRAN 3:157)
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Allah larang orang mukmin agar jangan ikut, jangan buat seperti perbuatan orang kafir yang mengatakan mati kerana keluar musafir pergi berperang dan sebagainya.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan kesan daripada mati syahid, mati dalam medan perang (syuhada’) atau mati dalam dalam perjuangan pada jalan Allah, itulah kematian yang baik.
- Maka ayat in mengajar kepada kita akan kelebihan mati yang baik, iaitu pada jalan Allah dengan apa cara sekalipun- husnul khatimah- maka kita akan mendapat keampuanan & rahmat dari Allah SWT!
- Ianya (keampuanan & rahmat) adalah jauh lebih baik daripada apa yang orang kafir itu kumpulkan atas dunia ini dari segi harta & kemewahan.
Jika mereka tidak beriman semua itu tidak akan memberi keuntungan atau manfaat!
- Ayat ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT:
i- {Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.} (Yunus 10:58)
ii- {Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.} (Az-Zukhruf 43:32)
Ini kerana harta itu bukan menyenangkan bahkan menyusahkan, menyakitkan kepala, kerana yang halal pun kena hisab; apatah lagi yang haram terus kena azab!
AYAT 158- {DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA KAMU MATI ATAU TERBUNUH, SUDAH TENTU KEPADA ALLAH JUALAH KAMU AKAN DIHIMPUNKAN (UNTUK MENERIMA BALASAN).} (ALI-‘IMRAN 3:158)
- Jika mati samada mati baik, mati syahid, mati biasa atau mati yang buruk; semuanya akan kembali & dikumpulkan di hadapan Allah Azza wa Jalla di Akhirat kelak!
- Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas adalah galakan untuk berjihad, untuk mati syahid & mendapat pengampunan Allah Azza wa Jalla.
ii- Ayat ini pula untuk mengangkat darjat ketika kita kembali bertemu dengan Allah!
Jika kita mati dalam keadaan baik, dalam keadaan beribadat kepada Allah, dalam keadaan Allah redha & sayang, alhamdulillah.
- Hadis- Rasulullah SAW bersabda: مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
“Siapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka berjumpa dengan-Nya. dan siapa yang benci dengan Allah maka Allah benci berjumpa dengannya.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
ii- Dalam riwayat lain:
Diriwayatkan dari UM Sayyidah Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ.
“Siapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka berjumpa dengan-Nya. Dan siapa yang benci dengan Allah maka Allah benci berjumpa dengannya.” Kemudian Aisyah mengatakan: “Aku bertanya: Wahai Nabi Allah, apakah itu maksudnya juga benci kematian, padahal setiap kita membenci kematian? Baginda SAW menjawab, “Bukan seperti itu maksudnya. Tetapi seorang mukmin apabila (menghadapi kematian) ia diberi khabar gembira dengan rahmat Allah, keredhaan, dan syurga-Nya sehingga ia suka berjumpa dengan Allah lalu Allah suka berjumpa dengannya. Dan sesungguhnya orang kafir apabila (menghadapi kematian) ia diberi khabar ngeri dengan siksa Allah dan kemurkaan-Nya maka dia pun benci berjumpa dengan Allah dan Allah pun benci untuk berjumpa dengannya”.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Inilah maksud hadis itu- tetapi orang kafir tetap akan mati walaupun benci setara manapun!
Bila kembali kepada Allah pastilah ada hisab, ada kira-kira & pembalasan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 156- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya…}-
Ayat ini Allah ceritakan tentang orang kafir zaman dulu yang telah berkata begini. {وَقَالُوا۟}- digunakan past tense (فعل الماضي).
Kerana Allah nak kita nampak apa yang berlaku- ucapan puak kafir yang tidak beriman kepada Allah SWT. mereka gunakan pula ucapan masa depan {apabila- إِذَا}.
Diceritakan benda lepas untuk benda yang akan datang!
Faedahnya untuk memberitahu bahawa ucapan sebegini, kata-kata ini akan sentiasa ada orang yang mengucapkannya; zaman Nabi SAW ada Abdullah bin Ubai dan gengnya yang bercakap.
Zaman kita akan ada orang kafir & orang munafiq yang berkata rugilah kamu ikut Islam, rugi kamu tidak ikut sekular yang moden dan seumpamanya!
Inilah kata-kata buruk yang keluar dari lidah kafir & munafiq yang akan sentiasa berulang pada sepanjang zaman & waktu!
Kerana itulah Allah ceritakan perkara yang telah berlaku dengan percakapan masa depan.
Maka kerja kitanya, berwaspada, kena berhati-hati; jangan terjebak, jangan terpengaruh & ikut perbuatan & percakapan orang munafiq ini!
- Ayat 156- {apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang..}-
Susunan ayat : Allah sebut perang selepas mengembara.
Kenapa Allah sebut keluar berperang selepas sebut pergi mengembara- sedangkan keduanya adalah sama- nak pergi berperang bukankah kena keluar mengembara juga???
Jawapannya : Berbeza dua ini kerana:
i- Mengembara (ضَرَبُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ) ini adakalanya jauh- jika dulu untuk ke Syam mengambil masa selama sebulan perjalanan.
ii- Manakala keluar berperang (كَانُوا۟ غُزًّۭى) adakalanya dekat seperti perang Uhud yang hanya 3km dari Masjid Nabi, Ghazwah Ahzab lagi dekat mungkin hanya 2km, cuma Badar agak jauh iaitu 150km.
Ada juga ulama’ yang kata ini kerana :
i- Dimulakan mengembara dulu ini adalah perbuatan biasa untuk keluar musafir berniaga, berjalan, ziarah dan lain-lain.
ii- Keluar berperang jarang sedikit berbanding dengan keluar mengembara dengan tujuan lain.
- Ayat 157- {Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum),}-
Munafiq kata jika mereka tak keluar mereka tidak akan mati atau tidak terbunuh {مَا مَاتُوا۟ وَمَا قُتِلُوا۟}.
Kenapa Allah susun ayat ini dengan sebut mati {مَاتُوا۟ } dulu kemudian baru terbunuh {قُتِلُوا۟}?
Jawapannya:
i- Ini kerana mati biasanya, bukan semestinya kerana peperangan. Ada yang mati kerana kelaparan dalam musafir, mati sakit dan pelbagai sebab lain.
ii- Manakala yang mati terbunuh adalah khas untuk sekumpulan mereka yang pergi keluar berperang lalu mati dalam medan peperangan!
Ayat 156- {Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.}-
Menghidupkan & mematikan itu adalah di bawah kuasa Allah SWT- bukan di tangan yang lain!
Ilmu Allah SWT tidak berubah, Dia tahu sejak dari azali lagi tentang apa yang akan berlaku. Ilmu dan ketentuan Allah SWT juga tidak berubah- tidak ada kesan kita takut mati atau tidak, keluar berperang atau tidak; jika Allah dah tetapkan ajal kamu akan mati!
Begitu juga sebaliknya.
Malaikat maut tidak pernah salah alamat- tidak mungkin tertukar pergi ambil nyawa atau matikan orang lain yang tidak sepatutnya!
Bukan seperti manusia penghantar barang yang tidak teliti, buat kerja mudah-mudah sehingga tidak tertunai amanah orang, tidak sampai barang ke tangan pemilik sebenarnya!
Maka berhati-hatilah penghantar barang juga penerima barang itu!
- Ayat 156- {Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.}-
Apabila kita sedar, kita belajar ilmu tauhid tentang sifat Allah SWT yang Maha Mengetahui- Allah Maha Melihat; maka jika ilmu tauhid ini masuk dalam kepala kita- kita tidak akan berani lagi buat maksiat.
Masalah kita hari ini sifat-sifat Allah, nama-nama-Nya ini hanya sekadar menjadi polemik, nak takwil atau tak nak takwil!
Patutnya ulama’ Salaf pastikan nama & sifat Allah SWT ini masuk ke dalam hati manusia untuk dihayati- bila nak buat sesuatu yang tidak baik kita tidak akan berani dan ingat bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar & Maha Mengetahui!
Ini tidak- tidak memberi kesan dalam jiwa manusia!
Sifat itu bukan untuk kelahi tetapi untuk membetulkan perangai kita supaya kita berani buat perkara yang dimurkai Allah SWT.
- Ayat 157- {Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya ..}-
Semua manusia ini akan mati.
Sebab kematian itu banyak tetapi mati itu satu saja- iaitu keluar roh atau nyawa daripada badan.
Contoh sebab : Mati eksiden, sakit jantung dan lain-lain.
Masalah kita hari ini, ajal itu tetap tapi cara kematian yang ditakuti!
Yang penting kita nak mati dalam husnul-Khatimah, amalan kita ini mengikut yang terakhir kita buat!
Kerana itu banyaklah berdoa kepada Allah SWT agar kita mati dalam husnul khatimah dengan amalan soleh yang baik.
Hari ini mungkin adalah hari terakhir Ramadhan kita pada tahun ini.
Marilah kita berdoa banyak-banyak agar Allah menerima segala amalan soleh kita, puasa, solat, bacaan al-Quran dan semuanya
i- Doa minta diterima segala amalan:
اَللَّهُمَّ رَبَّنَا تَـقَـبَّلْ مِنَّا صَلاَتَنَا وَصِيَا مَنَا وَرُكُوْ عَنَا وَسُجُوْدَنَا وَقُعُوْدَنَا وَتَضَرُّ عَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَ نَا يَا اَلله يَا رَبَّ الْعَا لَمِيْنَ
“Ya Allah, terimalah solat kami, puasa kami, rukuk kami, sujud kami, duduk rebah kami, kerendah-dirian kami, kekhusyukan kami, pengabdian kami, dan sempurnakanlah apa yang kami lakukan selama kami menunaikan solat. Ya Allah, Tuhan sekalian alam”.
ii- Doa berpisah dengan Ramadhan:
اللهم اعد علينا رمضان اعواما عديدة وازمنة مديدة ونحن في صحة وعافية وحياة سعيدة، وتسلم منا رمضان متقبلا.
“Ya Allah! Pertemukan daku dengan bulan Ramadhan tahun berikutnya, dalam keadaan sihat wal’afiat, mudahkanlah rezeki bagiku dan segala urusanku, Ya Allah! “
iii- Jangan jadikan Ramadhan terakhir:
اللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْهُ آخِرَ الْعَهْدِ مِنْ صِيَامِنَا إِيَّاهُ، فَإِنْ جَعَلْتَهُ فَاجْعَلْنِيْ مَرْحُوْمًا وَ لاَ تَجْعَلْنِيْ مَحْرُوْمًا
Ertinya: “Ya Allah, janganlah Kau jadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan Ramadhan terakhir dalam hidupku. Jika Engkau menjadikannya sebagai Ramadhan terakhirku, maka jadikanlah aku sebagai orang yang Engkau kasihani dan jangan jadikan aku orang yang terhalangi.”
Jika besok hari Raya kita ucapkan doa ini:
1. Pertama. تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ صالح الأعمال
Semoga Allah menerima amal ibadah kita dan kamu semua, dan terima ya (Allah) yang Maha Mulia.
2. Kedua: كُلُّ عاَمٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ
Setiap tahun dan semoga kamu semua sentiasa dalam kebaikan.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.