SIFAT NABI SAW DENGAN SAHABAT, BERLEMAH LEMBUT, PEMAAF, BERMESYUARAT DAN JANJI KEMENANGAN & LARANGAN MENCURI HARTA GHANIMAH.
Full video : https://youtu.be/SaBJX1wYJls?si=_SWEFYBmslxa_nP5
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 159 sehingga 161, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan sifat Nabi SAW dengan para sahabat Baginda AS; sentiasa berlemah lembut, pemaaf dan sentiasa bermesyuarat dengan mereka.
- Allah beri janji kemenangan serta larangan mencuri harta ghanimah iaitu harta rampasan perang yang belum dibahagikan atau ambil/guna harta Kerajaan tanpa hak.
- Setelah bercuti beberapa hari, hari ini kita kembali tadabbur untuk memahami ayat-ayat Allah SWT. yang sangat besar.
Allah turunkan al-Quran kepada kita, tetapi jika tak baca, bagaimana kita akan memahami apa yang Allah perintahkan kepada kita.
Walaupun ia berada di tangan kita, kita tak tau apa yang Tuhan kata, maka kita tidak akan mendapat faedah darinya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT memberi nasihat & menyatakan tentang ramai para sahabat yang gugur & cedera dalam peperangan Uhud.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan bahawa Dia telah berikan kepada Rasulullah SAW sifat lemah-lembut, pemaaf, mulia dan memohon keampunan untuk mereka para sahabat.
Walaupun ada sebab untuk Baginda SAW marah & murka kepada para sahabat iaitu kerana:
i- Golongan pemanah yang telah meninggalkan tapak yang telah ditetapkan oleh Nabi SAW.
ii- Ada yang tak dengar arahan Rasulullah SAW dalam beberapa perkara lagi.
- Namun begitu orang yang mulia (الكريم); orang yang mudah melupakan kesalahan orang & memaafkannya serta melupakan kebaikannya sendiri.
Manakala orang yang hina (اللائم); ialah suka mengungkit kebaikannnya sendiri & melupakan kesalahannya sendiri serta tidak lupa & terus mengungkit kesalahan orang juga!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 159- {MAKA DENGAN SEBAB RAHMAT (YANG MELIMPAH-LIMPAH) DARI ALLAH (KEPADAMU WAHAI MUHAMMAD), ENGKAU TELAH BERSIKAP LEMAH-LEMBUT KEPADA MEREKA (SAHABAT-SAHABAT DAN PENGIKUTMU), DAN KALAULAH ENGKAU BERSIKAP KASAR LAGI KERAS HATI, TENTULAH MEREKA LARI DARI KELILINGMU. OLEH ITU MAAFKANLAH MEREKA (MENGENAI KESALAHAN YANG MEREKA LAKUKAN TERHADAPMU), DAN POHONKANLAH AMPUN BAGI MEREKA, DAN JUGA BERMESYUARATLAH DENGAN MEREKA DALAM URUSAN (PEPERANGAN DAN HAL-HAL KEDUNIAAN) ITU. KEMUDIAN APABILA ENGKAU TELAH BERAZAM (SESUDAH BERMESYUARAT, UNTUK MEMBUAT SESUATU) MAKA BERTAWAKALAH KEPADA ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERTAWAKAL KEPADANYA.} (ALI-‘IMRAN 3:159)
- Ayat ini masih lagi berkisar tentang Ghazwah Uhud yang gawat dan menyayatkan hati, iaitu di mana Rasulullah SAW sendiri telah cedera & luka wajahnya, ramai sahabat yang mati syahid, ada yang tidak dengar arahan Rasulullah, ada yang lari medan pertempuran dan pelbagai kecelaruan lagi!
Pastilah Rasulullah SAW akan ada perasaan marah & kecewa Baginda SAW terhadap sebahagian para sahabat.
- Maka Allah nyatakan dengan limpah kurnia Allah SWT Rasulullah SAW walaupun ketua negara & panglima perang; telah bersifat lemah-lembut, pemaaf, mulia, tidak berdendam dan memohon keampunan untuk mereka.
- Ayat ini juga ditafsirkan oleh firman Allah SWT ini:
i- {Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.} (At-Taubah 9:128)
ii- {Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah, dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap KASIH SAYANG sesama mereka (umat Islam).} (Surah Al-Fath: Ayat 29)
- Ini kerana jika Rasulullah SAW bersifat kasar lagi keras hati dengan pengikutnya, tentulah mereka lari dari keliling Baginda SAW.
- Al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan dalam kitab Asy-Syifa bahawa ‘Atha’ ibnu Yasar pernah bertanya kepada ‘Amru bin al-‘Ash tentang sifat Rasulullah SAW yang terkandung dalam kitab Taurat.
‘Amru bin al-‘Ash menjawab, “Ya memang demi Allah, sesungguhnya Nabi SAW telah disebutkan sifat-sifatnya dalam kitab Taurat sesuai dengan sebahagian sifatnya disebut oleh firman Allah SWT:
{Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).} [Al-Ahzaab: 45]
Berita dalam kitab Taurat tersebut mengatakan, “Demi memelihara kaum yang ummi (buta huruf), engkau adalah hamba dan rasul-Ku.
Ku namakan engkau Al-Mutawakkil (orang yang bertawakkal) yang tidak keras, tidak berhati kasar, dan tidak bersuara gaduh di pasar-pasar. Dia tidak menolak keburukan dengan keburukan yang lain, tetapi dia pemaaf dan pengampun.
Allah tidak akan mematikannya sebelum agama-Nya tegak kukuh sehingga mereka mahu mengatakan la ilaaha illallah (tiada tuhan selain Allah), sebelum Allah membukakan mata yang buta dan telinga yang tuli serta hati yang terkunci.” [Riwayat Bukhari].
Yakni dengan iman mereka akan masuk Islam.
- Allah juga telah nyatakan bahawa Dia telah mengampunkan mereka sebanyak dua kali dalam dua ayat al-Quran yang lepas.
Maka Allah suruh Rasulullah SAW juga maafkan mereka dalam apa yang mereka tersilap & tersalah.
- Rasulullah SAW juga sentiasa bermesyuarat dengan para sahabat dalam bab keduniaan & peperangan- tidak gunakan kuasa wahyu Baginda untuk bermesyuarat dengan malaikat Jibril.
Ini kerana akan menyusahkan para khalifah pengganti Baginda selepas ini yang bukan lagi seorang Nabi yang mempunyai wahyu dari Tuhan.
Jadi Rasulullah SAW didik awal-awal lagi bahawa seorang pemimpin mesti bermesyuarat dengan pengikutnya.
- Sebagaimana firman Allah SWT juga:
{Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
– Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;
– Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;
– Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).
– Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.
– Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.
Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).}
(Asy-Syuura 42: 36-43)
- Kemudian selepas kamu bermesyuarat, berbincang, buat perancangan, strategi dan seumpamanya maka bertawakkallah kepada Allah SWT!
Jangan sesekali kamu berazam buat sesuatu tanpa usaha & ikhtiar yang sepatutnya.
- Tawakkal tanpa usaha itu tidak betul begitu juga ikhtiar tanpa tawakkal itu sesat!
Sebagaimana kata pendakwah: الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام غالبا
Orang yang benar tetapi tiada perancangan akan dikalahkan juga oleh orang yang batil tetapi mempunyai strategi yang mantap!
- Allah memerintahkan kamu untuk bergantung kepada-Nya kerana sesungguhnya Allah suka kepada hamba-Nya yang bertawakkal & kembali kepada-Nya.
AYAT 160- {JIKA ALLAH MENOLONG KAMU MENCAPAI KEMENANGAN MAKA TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG AKAN DAPAT MENGALAHKAN KAMU; DAN JIKA IA MENGALAHKAN KAMU, MAKA SIAPAKAH YANG AKAN DAPAT MENOLONG KAMU SESUDAH ALLAH (MENETAPKAN YANG DEMIKIAN)? DAN (INGATLAH), KEPADA ALLAH JUALAH HENDAKNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU BERSERAH DIRI.} (ALI-‘IMRAN 3:160)
- Jika Allah SWT telah tetapkan untuk Dia beri pertolongan & kemenangan kepada umat Islam- tiada siapa akan dapat menghalang & mengalahkan mereka walaupun seramai & sekuat mana tentera musuh!
Sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Badar.
- Begitu juga sebaliknya jika Allah SWT telah tetapkan ujian & kekalahan kepada umat Islam- tiada siapa akan dapat menolong & memenangkan mereka walaupun seramai & sekuat mana tentera mereka!
- Kerana itu kita dengan Allah jangan rasa kita besar & bijak. Wajib kita sentiasa ada pergantungan diri & tawakkal sepenuhnya kepada Allah!
AYAT 161- {DAN TIADALAH PATUT BAGI SESEORANG NABI ITU (DISANGKAKAN) BERKHIANAT (MENGGELAPKAN HARTA RAMPASAN PERANG), DAN SESIAPA YANG BERKHIANAT (MENGGELAPKAN SESUATU), IA AKAN BAWA BERSAMA PADA HARI KIAMAT KELAK APA YANG DIKHIANATINYA ITU; KEMUDIAN TIAP-TIAP SEORANG AKAN DISEMPURNAKAN (BALASAN BAGI) APA YANG TELAH DIUSAHAKANNYA, SEDANG MEREKA TIDAK AKAN DIKURANGKAN SEDIKITPUN (BALASANNYA).} (ALI-‘IMRAN 3:161)
- Munasabah ayat ini dengan ayat yang lepas:
a- Pertama;
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT sebut galakan untuk berjihad (ayat 157-158), jika kamu mati pada jalan Allah, Allah akan bagi rahmat & keampunan. Inilah galakan untuk berjihad.
ii- Maka dalam ayat ini Allah sebut antara hukum berjihad itu ialah larangan daripada mengambil harta ghanimah sebelum dibahagikan.
b- Munasabah kedua:
i- Dalam ayat yang lepas juga Allah SWT nyatakan bahawa menang kalah semuanya di bawah kuasa Allah.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan kamu nak berperang atau nak buat apa saja biarlah kerana Allah, kerana nak cari keredhaan Allah.
Maka jika nak cari redha Allah; harta rampasan yang ada di tangan kita jangan disembunyikan, jangan dibawa lari.
c- Munasabah ketiga:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT arahkan kita untuk bertawakkal.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan antara perbuatan yang menafikan tawakkal itu ialah mencuri harta rampasan perang atau harta kerajaan.
- Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa bukanlah sifat seorang Nabi itu pengkhianat, menyembunyikan atau mengambil harta ghanimah tanpa hak.
Apa saja perkara yang menunjukkan kepada pengkhianatan itu bukan sifat Nabi SAW.
- Maka semua pemimpin & panglima tentera, ketua-ketua orang Islam lain juga kena ikut sifat amanah & jujur Rasulullah SAW ini!
Jangan khianat dan curi harta awam, kerana siap curi harta ghnimah, harta kerajaan; dia kan bawa semua itu atas kepalanya nanti!
- Beberapa hadis Rasulullah SAW tentang amaran daripada mengambil harta kerajaan & ghanimah perang:
i- Dari Muaz bin Jabal RA meriwayatkan:
Rasulullah SAW telah menghantar aku ke satu tempat, setelah bertolak tiba-tiba ada wakil datang menyatakan bahawa Rasulullah SAW memanggilku balik. Akupun berpatah balik. Setiba kepada Rasulullah SAW Baginda bertanya kepadaku: “Apakah kamu tahu kenapa akau memanggimu balik? Aku menjawab: Hanya Allah & Rasul-Nya yang tahu. Baginda lalu bersabda: Kamu jangan sekali-kali ambil apa-apa pun harta sama ada dari rampasan perang, dari kutipan zakat atau apa saja dari harta kerajaan tanpa izin aku kerana itu harta yang haram. Lalu Rasulullah SAW membaca ayat ini: {dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;} Aku panggilmu balik untuk memberi pesanan tentang ini. Maka pergilah.” [HR Bukhari].
ii- Kisah ibnu al-Lutbiyah yang dilantik pungut zakat dari bani Sulaim:
Abu Humaid as-Saidi meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah melantik seseorang dari bani Asad yang disebut sebagai Ibnu al-Lutbiyah, sebagai `amil (petugas) pemungut zakat dari Bani Sulaim. Setelah selesai dari memungut zakat, dia datang dan berkata kepada Rasulullah SAW, “Ini adalah untuk kamu, sementara ini adalah hadiah yang diberikan kepadaku.” Mendengar itu, Rasulullah SAW bangun berkhutbah: Amma ba`du. Aku telah menugaskan seseorang di antara kamu untuk melaksanakan suatu tugas di antara perkara yang dipercayakan Allah kepadaku. Lalu dia berkata, “Ini adalah harta untuk kamu (Kerajaan), sementara ini adalah hadiah yang diberikan kepadaku.” Apakah tidak lebih baik ia duduk di rumah bapa dan ibunya hingga hadiahnya datang kepadanya? (yakni sekiranya dia hanya duduk di rumahnya sahaja, apakah mereka akan memberinya hadiah itu?) Demi Allah, tidaklah salah seorang dari kamu mengambil sesuatu tanpa hak kecuali pada Hari Kiamat ia akan menjumpai Allah dengan memikul apa yang diambilnya. (Riwayat Bukhari: 6636)
Begitulah Rasulullah SAW apabila mahu menegur sesuatu perbuatan Baginda akan buat secara umum supaya orang lain dapat mendengar juga hukumnya, tetapi tidak menyebut nama siapa orang itu.
Jika tengok hadis ini: Betapa bahayanya pegawai Kerajaan yang ambil hadiah daripada tempat dia bertugas.
iii- Hadis riwayat dari Sayyidina Umar al-Khattab RA sebuah kisah yang berlaku setelah perang Khaibar. Terdapat sekumpulan sahabat setelah melihat jasad-jasad pejuang yang syahid di medan perang, mereka berkata, orang itu telah Syahid, orang ini pun telah syahid, sehinggalah mereka menemui jasad seorang lelaki dan berkata ini pun syahid. Namun Rasulullah SAW terus menafikan: Tidak sekali-kali, kerana sesungguhnya aku melihat dia berada di dalam neraka! Kerana sehelai selendang yang diambilnya (daripada harta ghanimah yang belum dibahagikan)! [Hadis Sahih Muslim]
iv- Dari Abu Hurairah RA. berkata, “Suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda menyebut tentang “berkhianat”, menganggapnya sebagai sesuatu yang besar, menganggapnya sebagai suatu urusan yang besar. Lalu Baginda bersabda, “Sungguh aku akan mendapati seseorang di antara kamu pada hari kiamat datang dengan memikul unta yang mengerang. Ia akan berkata, “Wahai Rasulullah tolonglah aku”. Maka aku jawab, “Aku tidak memiliki sesuatupun dari Allah untuk itu. Sungguh aku telah menyampaikan semuanya kepadamu. Aku juga akan mendapati seseorang di antara kamu pada hari kiamat datang dengan memikul kuda yang meringkik-ringkik. Ia akan berkata, “Wahai Rasulullah tolonglah aku”. Maka aku jawab, “Aku tidak memiliki sesuatupun dari Allah untuk itu. Sungguh aku telah menyampaikan semuanya kepadamu. Aku juga akan mendapati seseorang di antara kamu pada hari kiamat datang dengan memikul kambing yang mengembik-ngembik. Ia akan berkata, “Wahai Rasulullah tolonglah aku”. Maka aku jawab, “Aku tidak memiliki sesuatupun dari Allah untuk itu. Sungguh aku telah menyampaikan semuanya kepadamu”. Aku juga akan mendapati seseorang di antara kamu pada hari kiamat datang dengan memikul binatang yang mengeluarkan suara-suara keras. Ia akan berkata, “Wahai Rasulullah tolonglah aku”. Maka aku jawab, “Aku tidak memiliki sesuatupun dari Allah untuk itu. Sungguh aku telah menyampaikan semuanya kepadamu”. Aku juga akan mendapati seseorang di antara kamu pada hari kiamat datang dengan memikul kain dan baju-baju yang berkibar-kibar. Ia akan berkata, “Wahai Rasulullah tolonglah aku”. Maka aku jawab, “Aku tidak memiliki sesuatupun dari Allah untuk itu. Sungguh aku telah menyampaikan semuanya kepadamu”. Aku juga akan mendapati seseorang di antara kamu pada hari kiamat datang dengan memikul barang-barang berharga. Ia akan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah aku”. Maka aku jawab, “Aku tidak memiliki sesuatupun dari Allah untuk itu. Sungguh aku telah menyampaikan semuanya kepadamu”. [HR Bukhari]
v- Abu Hurairah RA. meriwayatkan, “Kami berangkat bersama Rasulullah SAW menuju Khaibar (dan kami memenangi pertempuran tersebut). Kami tidak mendapati ghanimah berupa emas ataupun wang. Yang kami dapat adalah makanan dan pakaian. Lalu kami berangkat lagi menuju lembah (Wadil Qura). Pada masa itu ada seorang hamba bersama Rasulullah SAW, hadiah dari salah seseorang bani Jidzam (iaitu Rafa’ah bin Yazid dari bani Dabib). Ketika kami sampai di lembah, hamba milik Rasulullah SAW itu melepaskan pelana unta Baginda. Tiba-tiba meluncur anak panah mengenainya dan dia pun menemui kematiannya. Kami pun berkata, “Alangkah indah sekali dia mendapatkan kesyahidan wahai Rasulullah”. Maka Rasulullah pun bersabda, “Tidak, demi yang jiwaku ada di tangannya. Baju (yang dipakainya) itu benar-benar akan dipenuhi api yang menyala-nyala. Dia telah mengambilnya dari harta ghanimah yang belum sempat dibahagi-bahagikan”. Hal itu mengejutkan orang ramai. Lalu ada seseorang yang datang membawa satu atau dua utas tali kasut sambil berkata, “Aku mengambilnya ketika terjadi pertempuran di Khaibar”. Rasulullah SAW bersabda, “Satu atau dua utas tali sepatu dari api”. [HR bukhari & Muslim]
- Nasihat- Kita sebagai orang biasa ini jangan suka mensyurgakan atau menerakakan orang yang mati kerana kita tiada wahyu.
Dalam hadis di atas beberapa kes yang sahabat sangka mereka mati syahid dalam peperangan tetapi Rasulullah SAW menafikannya.
Yang bolehnya kita berdoa & mengharapkan syurga untuk mereka.
Ini adalah satu kesilapan yang besar jika kita dengan konfiden mengatakan betapa bahagianya si fulan, mati dalam husnul-khatimah, pasti syurga menantinya atau seumpamanya!
Kita bersaksikan kebaikannya yang kita tahu tidak mengapa- manakala yang lain itu semua di bawah kuasa Allah SWT!
- Di akhir ayat ini Allah SWT nyatakan setiap orang akan mendapat balasan mengikut apa yang dikerjakan semasa hidup di dunia ini dan Allah juga tidak menzalimi hamba-Nya iaitu tidak akan dikurangkan sedikitpun balasannya sama ada kebaikan atau kesalahannya itu!
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah sebut bila orang yang mencuri harta Kerajaan, yang berkhianat, menggelapkan sesuatu milik kerajaan, ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;
ii- Kemudian Allah nyatakan di sini bahawa setiap orang akan dibalas dengan perbuatannya sendiri. Iaitu akan disempurnakan balasan bagi apa yang telah diusahakannya; buat baik dapat syurga, khianat dan makan harta haram pastilah balasan neraka!
- Maka kita hati-hatilah dalam menjalankan kerja lain ketika dalam waktu bertugas, jangan salah guna harta kerajaan, jangan salah guna kemudahan & peruntukan yang diberikan ketika kita bertugas.
Takut dan bimbanglah akan kedudukan kita di sisi Allah SWT kelak.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 159- {Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu),}-
Allah nyatakan dengan rahmat dari Allah SWT; Rasulullah SAW bersifat dengan akhlak yang mulia iaitu lemah-lembut, berkasih sayang & toleransi.
Kata ulama’ tadabbur : Seorang ketua negara atau pemimpin di mana saja mesti bersifat lemah lembut dan penuh kasih sayang terhadap orang bawahannya.
Jika setengah ketua yang zalim & bengis- pasti hanya akan ditakuti oleh orang bawahannya di depan saja, sedangkan dibelakang mereka membencinya dan tunggu masa saja dia untuk jatuh.
Ingatlah dunia ini berputar, kita bukan sentiasa berada di atas!
Ini kerana orang yang baik dan adil akan dikenang dan dimuliakan sehingga ke mati. Orang akan kenang & ingat kebaikannya dan membawa kasih sayang kembali.
Jika mereka (orang bawahan/rakyat) buat silap atau salah kena tegur tetapi garang & tegas kena bertempat dan teguran ikut SOPnya.
- Ayat 159- {Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu),}-
Jika ketua atau penjaga agama Islam ini bersifat lemah lembut, menunjukkan imej yang mulia & baik- akan membuatkan orang suka juga dengan agama ini.
Ini kerana ada orang yang bukan Islam akan tertarik dengan Islam apabila melihat sifat baik dan akhlak mulia para pendakwah yang ditunjukkan.
Jangan sampai orang lari dari Islam kerana sifat & akhlak buruk kita!
Ini sangat penting untuk kita jaga!
Yang penting imej ketua agama mesti membawa imej yang dapat menarik perhatian orang lain.
Malangnya ada yang memegang jawatan sebagai penjaga atau ketua agama Islam tetapi anak isteri sendiri pun tak mampu nak suruh untuk tutup aurat.
Apatah lagi hukum-hakam yang lebih besar! Ingatlah atas dunia ini mungkin kita besar, tetapi di Akhirat kelak semua manusia sama!
Rasulullah SAW ini ada kedudukan yang besar- Allah SWT yang lantik dan pilih Baginda untuk pegang jawatan- kedudukannya tidak sama dengan manusia biasa.
Kerana itu kena hormat, sayang, cinta kepada Nabi sebagaimana yang sepatutnya.
Ini tidak, mengaku cinta Nabi tetapi Sunnah Nabi banyak lagi yang tidak diamalkan!
Kita kena ingat banyak hak Nabi SAW yang kita kena jaga dan perhatikan.
- Ayat 159- {dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,}-
Ayat ini menyuruh kita bermesyuarat dalam pelbagai keadaan dan ia amat penting.
Terdapat beberapa kelebihan mesyuarat yang Allah SWT bawa:
i- Supaya ketua tidak hanya guna pendapatnya semata-mata.
ii- Menggalakan masyarakat untuk sama-sama berfikir- supaya semua berfikir bukan hanya sebahagian atau orang tertentu sahaja.
iii- Kita akan bersifat rendah diri- tawadhuk apabila kita minta pendapat orang lain juga. Bukan hanya bijak seorg diri.
iv- Nak galakkan ummat/masyarakat untuk pertahankan keputusan yang telah dibuat bersama.
v- Apabila kita buat keputusan bersama dan minta petunjuk dari Allah; insya’ Allah, Allah akan bantu kita dan beri petunjuk kepada kita.
Banyaklah kelebihan apabila kita bermusyuarat dan buat keputusam bersama!
- Ayat 159- {kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,}-
Ayat ini mengajar kepada kita selepas kita buat keputusan dan azam buatlah apa yang telah diputuskan itu! Jangan buat keputusan sendiri pula setelah sama-sama memerah otak berfikir.
- Ayat 160- {Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu?}-
Jika Allah menolong kamu tidak akan ada orang dapat mengalahkan kamu lagi!
Ini menunjukkan betapa pentingnya kita sebagai seorang hamba untuk mencari pertolongan Allah SWT.
Jika kita nak pertolongan Allah kena ikut salurannya yakni buat yang Allah suka & redhai- ikut perintah Allah, ikut Sunnah Nabi SAW, ikut arahan ketua barulah datangnya pertolongan.
Allah tak tolong dengan mudah-mudah; kena ikut syaratnya, kamu tolong Allah baru Allah tolong kamu iaitu dengan ikut arahan & perintah Allah.
- Ayat 161- {Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;}-
Dalam ayat ini Allah nafikan Rasulullah SAW daripada sifat khianat.
i- Maka pemimpin-peminpin Islam jangan khianat!
Jika nabi atau pemimpin khianat; akan sangat besar dosa & kerosakan dan dosanya daripada orang biasa.
Orang agama yang ada ilmu & tahu apabila khianat tidak sampaikan kebenaran itu adalah lebih besar juga dosanya daripada orang lain.
ii- Rasulullah SAW adalah sebaik-baik manusia; pastilah tidak layak sekali untuk Baginda mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.
Maka demikian juga orang lain, orang yang ada ilmu, jangan cuba jadi pengkhianat kepada agama sendiri.
Tak perlu sokong dan back-up orang kafir yang menentang atau mengecilkan agama kita.
iii- Wahyu datang kepada Rasulullah SAW- tidak mungkin Nabi kita khianat.
iv- Dalam peperangan, tentera ada yang faqir, yang miskin dan susah maka jika kita ambil harta itu maka kita telah khianat, ambil hak orang lain.
Begitu juga apabila kerajaan lantik pegawai: Tiba-tiba ambil untuk pribadinya- maka ini khianat juga seperti kes Ibnu al-Lutbiyah tadi.
Maka kita hendaklah sentiasa berhati-hati supaya kita tidak terperangkap dengan fitnah dunia yang banyak ini insya’ Allah.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.