PUNCA MUSIBAH DI UHUD, SEBAGAI PEMISAH DARI MUNAFIQ & SIKAP MUNAFIQ MELEMAHKAN SEMANGAT JIHAD.
Full video : https://youtu.be/zruEZTIIFwA?si=HXJdgCsx_l2Xs99U
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 165 sehingga 168, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Ayat ini masih lagi berkisar tentang Ghazwah Uhud.
Dalam siri ini Allah SWT nyatakan punca musibah yang terjadi di Uhud adalah kerana ada segolongan tentera yang tidak mendengar arahan Rasulullah SAW dengan meninggalkan posisi yang telah ditetapkan.
- Allah datangkan ujian sebagai pemisah antara orang mukmin dari golongan munafiq.
- Allah juga dedahkan tembelang sikap munafiq yang suka melemahkan semangat jihad di kalangan mukmin dengan pelbagai dakyah yang dilemparkan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Ayat ini masih berterusan menyatakan kesilapan tentera pemanah.
Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan keadaan munafiq dan pengkhianat ada di kalangan yang mencuri harta ghanimah.
Serta Allah selamatkan Rasulullah SAW dari tuduhan jahat munafiq, dengan menafikan bahawa Rasulullah SAW tiada semua sifat itu (sembunyi harta ghanimah & khianat).
ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan sekali lagi tentang kesilapan tentera pemanah.
Supaya kita sedar bahawa apa yang berlaku!
Dalam perang Uhud seramai 70 tentera Islam terbunuh & syahid serta tiada tawanan.
Sedangkan kamu telah mendapat kemenagan yang besar dalam Ghazwah Badar- dua kali ganda lagi iaitu 70 kafir terbunuh dan 70 lagi menjadi tawanan!
Tiba-tiba kamu bertanya kenapa kami ditimpa musibah ini!
Mereka menempa kekalahan, kerana peperangan luar kota serta tentera Islam tidak mengikuti arahan nabi SAW.
Allah beri pertolongan kepada mereka yang taat pada Allah dan rasul SAW.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 165- {(PATUTKAH KAMU MELANGGAR PERINTAH RASULULLAH)? DAN (KEMUDIANNYA) APABILA KAMU DITIMPA KEMALANGAN (DALAM PEPERANGAN UHUD), YANG KAMU TELAHPUN MEMENANGI SEPERTI ITU SEBANYAK DUA KALI GANDA (DENGAN MENIMPAKAN KEMALANGAN KEPADA MUSUH DALAM PEPERANGAN BADAR), KAMU BERKATA: “DARI MANA DATANGNYA (KEMALANGAN) INI? “KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “KEMALANGAN) ITU IALAH DARI KESALAHAN DIRI KAMU SENDIRI (MELANGGAR PERINTAH RASULULLAH)”. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (ALI-‘IMRAN 3:165)
- Allah nyatakan kaum muslimin bertanya kenapa mereka ditimpa musibah ini yakni kekalahan & kematian yang banyak dalam Ghazwah Uhud.
- Allah suruh Rasulullah SAW menjawabnya bahawa mereka ditimpa musibah & diberi ujian itu kerana beberapa sebab.
- Antara sebabnya:
i- Sebab pertama; pada awal lagi ketika bermesyuarat, Rasulullah SAW mahu berperang dalam bandar Madinah tanpa keluar tetapi mereka para pemuda memilih untuk keluar berperang di luar bandar!
ii- Sebab kedua yang lebih besar; mereka tinggalkan arahan Rasulullah SAW agar jangan tinggalkan Bukit Rumah (Pemanah) walau apapun yang terjadi.
- Di akhir ayat Allah menyatakan: {Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}:
i- Allah nak timpakan musibah ke atas Quraisy dengan kalah di Badar- jadi.
ii- Tentera Islam mengalami musibah dalam peperangan Uhud- jadi juga!
- Allah yang Maha Berkuasa akan beri pertolongan apabila cukup syarat.
Allah tidak akan beri pertolongan kecuali kepada orang yang dengar kata, akur kepada arahan, taat kepada Allah & Rasul-Nya SAW.
AYAT 166- {DAN APA YANG TELAH MENIMPA KAMU PADA HARI BERTEMU DUA KUMPULAN (ANGKATAN TENTERA – DI MEDAN PERANG UHUD) ITU, MAKA (ADALAH IA) DENGAN IZIN ALLAH, DAN DENGAN TUJUAN ALLAH HENDAK MELAHIRKAN DENGAN NYATA AKAN ORANG-ORANG YANG (SEBENAR-BENARNYA) BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:166)
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan bahawa musibah itu terjadi dengan sebab perbuatan kamu sendiri!
ii- Maka dalam ayat ini Allah mahu sekat takut timbul salah faham bahawa semua itu terjadi dengan sebab manusia sendiri bukan dengan sebab taqdir Allah.
Maka datang ayat ini; Allah perjelaskan dalam ayat ini bahawa apa yang menimpa kamu { وَمَآ أَصَـٰبَكُمْ} ini adalah sebab yang membawa kepada kekalahan iaitu kamu tak dengar kata- maka berlakulah kekalahan dalam pertempuran dua golongan itu (Uhud) dengan izin Allah { فَبِإِذْنِ ٱللَّهِ}.
- Yakni kita orang beriman yakin bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak & izin Allah.
Semuanya kena dikembalikan kepada taqdir- qadha’ & qadar Allah SWT!
Lahir- hidup kemudian mati- dengan izin Allah, turun hujan, tumbuh pokok dengan iradah Allah SWT.
- Hikmah kedua ujian ini adalah kerana Allah nak beza & zahirkan antara:
i- Orang mukmin yang sabar dan teguh bersama Rasulullah SAW tidak lari dari sisi Baginda SAW semasa saat genting & gawat!
ii- Orang mukmin yang lari meninggalkan medan perang atau yang tinggalkan tapak Bukit Pemanah (Jabal Rumah), tidak ikut arahan Nabi SAW.
iii- Atau Allah mahu membezakan antara orang mukmin yang asli dengan orang munafiq yang bermuka-muka, yang mengacau dan mewaswaskan orang beriman.
- Maka kita kena berhati-hati daripada dakyah mereka ini, jaga iman kita, jaga aqidah kita!
AYAT 167- {DAN JUGA DENGAN TUJUAN IA HENDAK MELAHIRKAN DENGAN NYATA AKAN DIKATAKAN KEPADA MEREKA: “MARILAH BERPERANG PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA ISLAM), ATAU PERTAHANKANLAH (DIRI, KELUARGA DAN HARTA BENDA KAMU)”. MEREKA MENJAWAB: “KALAULAH KAMI FAHAM ADA PEPERANGAN (DENGAN SEBENAR-BENARNYA), TENTULAH KAMI MENGIKUT KAMU (TURUT BERPERANG)”. MEREKA KETIKA (MENGELUARKAN PERKATAAN) ITU LEBIH DEKAT KEPADA KUFUR DARI DEKATNYA KEPADA IMAN. MEREKA SELALU MENYEBUT DENGAN MULUTNYA APA YANG TIDAK ADA DALAM HATINYA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:167)
- Musibah yang berlaku dalam peperangan Uhud ini juga untuk menzahirkan dengan nyata orang munafiq yang kerjanya mengacau orang mukmin.
Munafiq yang bersembunyi dan berselindung di kalangan orang mukmin.
Mereka kafir sebenarnya tetapi berselindung disebalik pakaian, slogan-slogan dan seumpamanya!
- Sebagaimana dalam kisah sebelumnya Rasulullah SAW memeriksa tentera Uhud di tengah jalan lalu mengeluarkan mereka yang kafir dari kalangan tentera mereka!
Dan geng munafiq pula minta izin nak balik juga.
Sehingga Sayyidina Umar terkejut kerana sekarang tinggal sedikit sekali tentera Islam.
- Munafiq ini apabila diajak untuk keluar berperang berjihad pada jalan Allah untuk membela agama Islam- mereka lari balik dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah dan remeh temeh.
- Kemudian mereka berpura tidak faham- mengatakan jika mereka tahu akan berlaku peperangan menentang musuh pasti mereka tidak akan lari balik- akan keluar berperang bersama Rasulullah SAW!
- Mereka ini sebenarnya lebih berat kepada kafir, iman hanya di mulut sedangkan dalam hati mereka penuh dengan kekufuran.
- Allah nyatakan tak perlu kamu berlakon wahai munafiq- Allah tahu semua apa yang ada dalam hati kamu, apa yang kamu sembunyikan!
Inilah munafiq yang menjadi api dalam sekam, duri dalam daging & gunting dalam lipatan di kalangan orang mukmin!
AYAT 168- {MEREKALAH JUGA YANG MENGATAKAN TENTANG HAL SAUDARA-SAUDARANYA (YANG TELAH TERBUNUH DI MEDAN PERANG UHUD), SEDANG MEREKA SENDIRI TIDAK TURUT BERPERANG: “KALAULAH MEREKA TAATKAN KAMI (TURUT MENARIK DIRI) TENTULAH MEREKA TIDAK TERBUNUH”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “JIKA DEMIKIAN, HINDARKANLAH MAUT DARI DIRI KAMU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (ALI-‘IMRAN 3:168)
- Mereka ini puak munafiq yang tidak pergi berperang, yang lari balik itu juga membuat propaganda selepas peperangan dengan berkata:
“Kalaulah mereka yang terbunuh itu kembali balik seperti mereka juga- yakni tidak pergi berperang pastilah mereka tidak akan mati, tidak akan terbunuh! Akan selamat seperti mereka yang telah lari balik!”
- Perkataan ini untuk melemahkan semangat orang islam.
Mereka ini adalah orang yang menentang & mengetepikan taqdir Allah, serta mencela golongan yang taat kepada Nabi SAW!
Yakni kalau ikut dia- tidak ikut Nabi pasti akan selamat, tidak akan mati dalam peperangan!
- Bagi mereka para syuhada’ yang terkorban itu malang bagi mereka munafiq.
Sedangkan mereka yang mati dalam perang Uhud adalah syuhada’ yang akan mendapat rahmat & keampunan yang besar dari Allah SWT!
- Maka Allah mencabar mereka:
Jika kamu rasa kamu bijak, kamu benar- maka cubalah kamu hindarkan diri kamu daripada kematian!
Allah cabar mereka jika rasa benar & hebat sangat cubalah jangan mati kalau boleh!
- Sedangkan mereka akan mati juga di mana pun walaupun tidak mati dalam medan peperangan!
Tidak ada siapa yang dapat lari daripada ajal maut yang Allah telah tetapkan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 165- {(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud),}-
Allah SWT tanya orang mukmin; patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah SAW kemudian kamu tertanya-tanya kenapa kami ditimpa musibah ini, kenapa ramai yang mati????
Kata ulama’ tadabbur : Allah tidak akan bantu, Allah tinggalkan orang mukmin, tidak beri pertolongan kepada mereka; sehingga mereka tewas kalah adalah kerana maksiat yang terjadi di kalangan mereka atau dalam diri mereka!
Kekalahan ini berpunca dari sebab ini- lari dalam posisi jika dalam Ghazwah Uhud!
Cuma Allah tidak nyatakan dengan jelas sebabnya dalam ayat al-Quran ini- iaitu sebab kamu tidak dengar kata arahan Nabi, kamu lari daripada medan peperangan.
Hikmahnya juga jika ada ayat sebegini juga kita tidak akan selesa untuk membacannya dalam solat dan lain-lain.
Allah sembunyikan sebab ini kerana Allah SWT masih lagi berlemah-lembut dengan orang mukmin walaupun mereka telah melakukan kesilapan!
Hanya sebut sebabnya secara umum- tidak didetailkan sebab maksiat- inilah uslub al-Quran.
Jangan disebut atau diungkit dengan jelas perbuatan maksiat seseorang itu kerana manusia itu boleh berubah, berilah ruang & peluang untuknya bertaubat & menjadi baik semula, jangan aibkan!
- Ayat 165- {(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar)}-
Allah tanya : Kenapa kamu mengeluh bahawa kamu lemah & kalah dalam peperangan Uhud ini sedangkan kamu telah mendapat kemenagan dua kali ganda dalam peperangan Badar sebelum ini!
Ulama’ tadabbur kata : Eloknya untuk kita sebut kepada dia orang perkara yang boleh menghilangkan stress & dukacitanya!
Seperti dalam ayat ini Allah mengingatkan orang mukmin yang sedang kecewa dengan kekalahan mereka; akan kemenangan mereka yang besar dalam peperangan Badar sebelum ini.
Bahkan dua kali ganda kemenangan mereka daripada kehilangan yang berlaku dalam peperangan Uhud.
Sebagaimana ayat puasa:
{Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.} [al-Baqarah: 183].
Yakni bulan kamu sahaja kena puasa, tetapi orang dahulu sebelum kamu kena puasa juga! untuk menggurangkan sedikit tekanan.
Maka Allah nak kurangkan sedikit kekecewaan orang mukmin Allah ungkit kemenangn mereka yang lepas.
Tetapi kerana ada sedikit pelanggaran arahan Rasulullah SAW, kamu ditimpa sedikit ujian!
- Ayat 166- {Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera – di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah,}-
Apa yang menimpa kamu dalam peperangan Uhud adalah dengan izin Allah!
Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah.
Kata para ulama’ tadabbur : Ubat penenang bagi orang mukmin apabila ditimpa musibah ialah apabila kita kembali kepada takdir Allah.
Tidak akan berlaku sesuatu melainkan atas izin Allah.
Allah yang tahu hikmah disebalik apa yang berlaku.
Apa yang kita nak kadang-kadang tak dapat- kita telah usaha, buat langkah berjaga-jaga yang cukup mantap tetapi kena juga musibah!
Maka kita kembali kepada taqdir Allah kita akan akur, terima, tabah, sabar walaupun tidak tercapai apa yang kita nak.
Kita nak jadi pelajar cemerlang tetapi silap sikit tak dapat, kita nak dapat anak-anak yang soleh dan bijak- tetapi bukan semuanya dapat!
Allah tidak letakkan satu taqdir kepada hamba-Nya kecuali ada hikmah, ada yang kita tahu ada yang kita tak tahu!
Sabarlah kerana adakalanya Allah SWT taqdirkan sesuatu perkara itu ada hikmahnya- mungkin beberapa tahun selepas itu baru kita nampak faedahnya, tua baru tahu.
Yang sekarang ini mungkin kita tidak faham & tak nampak!
Sebagai orang mukmin, kita terimalah segala ketetapan Allah SWT dengan tenang, redha & lapang dada!
Semoga Allah beri pahala atas kesabaran kita itu!
- Ayat 167- {Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman.}-
Allah nyatakan bahawa puak munafiq itu lebih hampir {أَقْرَبُ} kepada kafir daripada iman!
Allah tak kata mereka ini kafir terus! Padahal Allah SWT sudah tahu bahawa mereka ini munafiq yang kafir!
Ulama’ tadabbur kata : Ayat ini mengajar kita apabila nak bercakap tentang hukum kita kena berlapik jangan direct.
Bercakap kena lihat kiri kanan dulu.
Kerana mereka mungkin akan berubah dan menjadi beriman.
Maka pada ketika itu iman mereka lebih dekat dan kuat!
Kerana ini apabila nak kritik orang kita kena berhati-hati dan berlapik, jangan terlalu direct & keras. Kerana manusia ini akan sentiasa berubah!
Jika perbuatan mereka menyalahi hukum, kita hanya mengecam perbuatan yang salah itu, kerana pada masa itu mungkin mereka tidak sedar & lagha, selepas ditegur mungkin insaf & bertaubat.
Ayat ini Allah mengajar kita agar berhati dan berjaga-jaga dalam melafazkan pertuturan.
Apatah lagi melabel dan menjatuhkan hukuman terhadap orang dengan tuduhan tanpa bukti & dalil yang kukuh!
Contoh: Perbuatan ini menurut pandangan Mazhab Syafei adalah haram, harus, sunat dan sebagainya.
Semua dalam ilmu Allah, manusia tidak berhak untuk menjatuhkan hukuman ke atas orang lain.
- Ayat 168- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.}-
Ayat ini adalah cabaran kepada orang munafiq itu tentang kematian.
Jika kamu kata berperang akan mati maka kamu yang duduk di rumah ini jangan mati!
Tidak mungkin kamu akan selamat & dapat lari daripada maut!
Kerana kematian untuk semua, dimana, cepat lambat, cara kematian semua dalam ilmu Allah.
Maut akan kena semua orang- kena orang yang berjuang & orang duduk di rumah saja.
Akan kena juga orang yang berani atau orang penakut!
Maka jika kita tahu kita akan mati walau bagaimana carapun, maka jika mampu pilihlah kematian yang mulia, mati dalam iman, sebagai para syuhada’ fi-sabilillah!
Allah nyatakan dalam ayat ini orang munafiq itu buruk perkataan & buruk juga perbuatannya!
Mereka ini yang berkata {ٱلَّذِينَ قَالُوا۟}: jangan ikut Muhammad, jangan pergi berperang dan mereka sendiri tidak pergi berperang {وَقَعَدُوا۟}.
Inilah maksudnya buruk perkataan & buruk perbuatan mereka!
Marilah kita bersihkan hati kita daripada sifat munafiq yang buruk ini- semoga kita aman di dunia & selamat di Akhirat!
Sentiasalah berdoa:
اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ ”
Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.
Alhamdulillah tamatlah kuliah kita untuk siri hari ini, semoga memberi manfaat dan kebaikan.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.