View Categories

(65) Surah Ali-‘Imran : Ayat 189-192

SEMUA MILIK ALLAH, LANGIT DAN BUMI TANDA KEAGUNGAN ALLAH & KEPENTINGAN BERZIKIR DAN BERTAFAKKUR.

Full video : https://youtu.be/iTKCvHHKOns?si=XZ6Q4Hx3cV1i-zww

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 189 sehingga 192, Surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa semua alam ini milik Allah, langit bumi, siang malam, bukut bukau. 
    Allah buat apa yang Dia nak dengan hikmah kebijaksanaan-Nya. 
    Kemudian Allah tadbir alam ini dengan penuh cantik & indah ikut kesempurnaan-Nya.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa langit dan bumi, serta silih berganti siang malam menjadi dalil, tanda bukti keagungan Allah bagi orang yang akalnya sempurna. 
  1. Allah juga nyatakan antara sifat ulul-Albab (orang yang mempunyai akal) iaitu berfikir & berzikir (التذكُّر والتفكُّر) serta kepentingan berzikir dan bertafakkur itu. 
    Seterusnya kita akan baca doa yang dibaca oleh para ulul-Albab.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 189- {DAN BAGI ALLAH JUALAH KUASA PEMERINTAH LANGIT DAN BUMI, DAN ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (ALI-‘IMRAN 3:189)

  1. Allah SWT yang Maha Esa adalah Pemilik segala sesuatu ini! 
    Yakni semua alam cakerawala ini adalah milik Allah, langit bumi, bukit bukau dan seluruh isi kandungannya adalah milik Allah. 
  1. Allah maha sempurna milik-Nya & Dia berkuasa penuh dalam kekuasaan-Nya, tiada siapa boleh sekat apa yang Tuhan beri & tiada siapa boleh beri apa yang Allah tidak mahu beri.

AYAT 190- {SESUNGGUHNYA PADA KEJADIAN LANGIT DAN BUMI, DAN PADA PERTUKARAN MALAM DAN SIANG, ADA TKAMU-TKAMU (KEKUASAAN, KEBIJAKSANAAN, DAN KELUASAN RAHMAT ALLAH) BAGI ORANG-ORANG YANG BERAKAL;} (ALI-‘IMRAN 3:190)

  1. Ayat ini menyatakan dalil dari alam ini tentang keEsaan, keagungan & kekuasaan Allah SWT.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelum:
    i- Antara objektif utama Allah SWT turunkan ayat al-Quran ini nak tarik hati manusia supaya berfikir mengkaji menggunakan akal & tenaganya untuk mengetahui tentang kewujudan Allah SWT lalu beriman & tauhid kepada-Nya. 
    Surah Ali-‘Imran ini sudah panjang sekali ayat-ayatnya yang membincangkan tentang hukum, menjawab keraguan & kesamaran yang ditimbulkan oleh pengacau dari kalangan munafiq & ahli kitab terhadap Islam.

    ii- Maka di akhir surah ini Allah SWT bawa kembali ayat-ayat ini untuk menenangkan hati, mencerahkan dada dengan cara kita kaji tauhid kepada Allah Azza wa Jalla mengkaji keagungan & kebesaran Allah SWT!
  1. Dalam ayat 189 Allah nyatakan dunia ini milik-Nya. 
    Dalam ayat 190- Allah nyatakan semua ini menjadi dalil kepada keEsaan, keagungan & kekuasaan Allah SWT bagi orang yang mempunyai akal.
  1. Kata ulama’ tauhid cara kita nak kenal Allah melalui 3 perkara:
    i- Dengan nama-nama-Nya yang indah (الأسماء الحسنى).

    ii- Dengan sifat-Nya yang maha tinggi (الصفات العلى).

    iii- Dengan makhluk-makhluk yang ada di depan mata kita, kita boleh kenal Allah!
  1. Allah juga mencipta semua makhluk ini daripada tiada kepada ada, Allah reka tanpa contoh daripada makhluk atau kejadian lain. Allah yang reka & cipta dengan ilmu & kebijaksanaan-Nya.
  1. Penciptaan langit & bumi ini menjadi tanda kebesaran & keagungan Allah melalui beberapa dimensi: 
    i- Dari segi besar & luasnya alam cakerawala ini! Matahari, planet, langit bumi serta semua ini adalah makhluk ciptaan Allah!

    ii- Allah ciptakan langit ini dengan segala perhiasannya- bintang-bintang yang berkelip indah! 
    Firman Allah SWT:
    {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.} (Al-Mulk 67:5)

    iii- Penciptaan langit ini Allah cipta betapa rapi & teliti, tiada kepincangan, matahari & bulan tidak pernah bertembung atau berlaku kesilapan.

    iv- Bahan penciptaan langit & bumi pelbagai bahannya, sangat indah & menarik. Kita saja yang tak faham & tak ingat.

    v- Dalam langit & bumi terdapat manfaat yang cukup banyak untuk kita; matahari bulan bintang, awan. 
    Di bumi pula laut bukit, pokok-pokok dan sebagainya. 
    Maka menjadi kewajipan untuk kita bersyukur wahai orang yang mempunyai akal! 
    Ya Allah jadikan kami & keluarga kami dari golongan ulul albab; orang yang sentiasa berfikir tentang keagungan Allah SWT lalu mantap imannya dengan berfikir & berzikir.
  1. Semua penciptaan makhluk yang pelik tadi & isi kandungannya yang menakjubkan itu menjadi tanda keagungan & keEsaan Allah SWT kepada orang yang mempunya akan sejahtera.
    i- Mereka dapat berfikir, mengkaji & mengesan bahawa dunia ini mempunyai tuannya- inilah tauhid Rububiyyah, bahawa dunia ini ada Tuan yang menyusun & mentadbirnya! 

    ii- Kemudian kita berpindah kepada tauhid Uluhiyyah iaitu wajib bagi kita menyembah, meminta pertolongan, memuja Allah Azza wa Jalla, Tuhan yang menjadi Pemilik alam ini! Jangan dok cari orang lain!
  1. Satu kisah yang menarik dari hadis Nabi SAW:
    Hadis riwayat Ibnu Abbas RA yang pergi ke rumah ibu saudaranya UM Maimunah binti Harith RA pada ketika giliran Rasulullah SAW bermalam di sana untuk melihat amalan Baginda SAW pada waktu malam.

    Lalu didapatinya:

    i- Sebelum tidur berbual-bual ringan dulu dengan isterinya. Kemudian membaca doa & zikir sebelum tidur lalu tidur.

    ii- Pada satu pertiga malam Baginda SAW bangun, menyapu mukanya dan membaca ayat 189 ini.

    iii- Kemudian bangun bersuci, bersiwak & berwuduk.

    iv- Solat tahajud sebanyak 11 rakaat.

    v- Kemudian apabila azan subuh- solat sunat fajar dua rakaat, rehat sekejap (kerana Baginda bangun awal lagi).

    vi- Kemudian keluar rumah untuk solat subuh berjemaah di masjid. [HR Bukhari & Muslim].
  1. Hadis riwayat Ibnu Mardawaih Dari Atha’ bahawa dia bersama bersama Ibnu Umar r. a dan Ubaid Bin Umair RA pergi menziarahi UM Aisyah RA di rumahnya. Sayyidah Aisyah menerima dan menemui mereka dari sebalik tabir & mereka bercakap dengannya. Beliau bertanya kepada kami, “Wahai Ubaid! Apakah yang menghalangmu dari mengunjungi kami?” Ubaid menjawab dengan pepatah yang berbunyi: – زر غبًا تزدد حبًا – ziarah jarang-jarang akan menambahkan kasih-sayang. Ibnu Umar bertanya kepada UM apakah rahsia Lalu Ibnu Umar bertanya kepada Aisyah, “Ceritakanlah kepada kami apa yang ibu lihat yang paling menakjubkan tentang perilaku Rasulullah SAW?” Sayyidah Aisyah menjawab, “Semua tingkah lakunya menakjubkan. Pada suatu malam Baginda menghampiriku sehingga bersentuh tubuhku dengan tubuhnya. Lalu Baginda bersabda kepadaku: “Bolehkah aku bangun beribadah kepada Tuhanku? Aku menjawab, “Demi Allah! Bahawa aku suka engkau berada disampingku, tetapi aku juga suka engkau beribadah kepada Tuhanmu”. (Rasulullah SAW meminta izin dari isterinya untuk beribadat- adab yang baik. Cara Aisyah menjawab apabila Rasulullah SAW meminta izin: Beri keizinan dan nyatakan perasaan/kehendak hatinya- juga akhlak yang mulia) Ssetelah berolat Baginda duduk sambil menangis tersedu-sedu sampai janggutnya basah oleh air matanya, kemudian dia bersujud dalam keadaan menangis hingga air matanya membasahi pula lantai.  Ketika Bilal datang untuk azan solat subuh, dia menemui Baginda masih dalam keadaan menangis tersedu-sedu dalam keadaan berbaring. Bilal bertanya kepadanya, “Apakah yang menyebabkan tuan menangis wahai Rasulullah padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang lalu mahupun yang akan datang?” Rasulullah SAW menjawab, “Bagaimana aku tidak menangis wahai Bilal, semalam Allah telah menurunkan ayat ini, celakalah wahai Bilal orang yang membaca ayat ini tanpa merenungkan dalam-dalam isinya.” [HR Ibnu Hibban- sanadnya hasan],

    Adapun ayat yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah Surat Ali-‘Imran ayat 190 hingga akhir surah. Inilah ayat-ayat yang menjadi tangisan bagi orang soleh.

AYAT 191- { (IAITU) ORANG-ORANG YANG MENYEBUT DAN MENGINGATI ALLAH SEMASA MEREKA BERDIRI DAN DUDUK DAN SEMASA MEREKA BERBARING MENGIRING, DAN MEREKA PULA MEMIKIRKAN TENTANG KEJADIAN LANGIT DAN BUMI (SAMBIL BERKATA): “WAHAI TUHAN KAMI! TIDAKLAH ENGKAU MENJADIKAN BENDA-BENDA INI DENGAN SIA-SIA, MAHA SUCI ENGKAU, MAKA PELIHARALAH KAMI DARI AZAB NERAKA.} (ALI-‘IMRAN 3:191)

  1. Apakah sifat Ulul Albab
    Ayat ini menjelaskannya. Allah kata orang ulul albab itu ialah orang yang sentiasa berzikir mengingati Allah, berfikir akan kejadian alam ini kemudian berdoa kepada Allah.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    a)
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT sebut dalil-dalil keEsaan Allah & hikmah serta perkara yang berkait dengan ketuanan Allah SWT iaitu Rububiyyah.

    ii- Kemudian disebut dalam ayat ini tentang perkara yang berkait dengan ubudiyyah kita sebagai hamba pula, kena berfikir & berzikir kepada Allah SWT.

    b)
    i- Allah SWT sebut dalam ayat yang lepas orang yang mendapat manfaat daripada kejadian langit & bumi ini ialah ulul-albab.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah sebut siapakah ulul-albab.
  1. Sifat-sifat seorang ulul-albab itu antaranya ialah:
    i- Orang yang sentiasa mengingati Allah pada sepanjang waktu- dengan hati, lidah & anggota. Iaitu dalam semua keadaan, ketika berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring atau mengiring.

    ii- Mereka juga memikirkan tentang kejadian langit & bumi lalu berkata: {Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
    Maka apabila Allah sebut zikir, ia termasuk berfikir dengan akal & hati tentang kejadian & keadaan makhluk ciptaan Allah yang besar, yang kecil, semuanya.

    iii- Lidah mereka juga sunat memuji Allah SWT, selepas berfikir. 

    iv- Kemudian mereka minta perlindungan Allah daripada azab neraka!
    Inilah empat perkara yang difikir & diminta melalui doa oleh ulul-albab!

AYAT 192- {WAHAI TUHAN KAMI! SEBENARNYA SESIAPA YANG ENGKAU MASUKKAN KE DALAM NERAKA MAKA SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH MENGHINAKANNYA, DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM TIDAK AKAN BEROLEH SEORANG PENOLONG PUN;} (ALI-‘IMRAN 3:192)

  1. Kemudian mereka ulul-albab mengiktiraf tentang keagungan & kekuasaan Allah SWT! 
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas apabila mereka minta Allah SWT jauhkan mereka dari neraka; iaitu satu akibat buruk nama (الخزي) yang Allah beri penghinaan kepada orang kafir, ahli syirik & maksiat! 
    Maka kita nak minta dari Allah SWT agar jangan hina kita pada hari dibangkitkan di Akhirat kelak sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS { وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ}
    {Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula.} (Asy-Syu’araa’ 26:87)

    ii- Ayat ini adalah adab berdoa; Allah ajar kita bagaimana cara nak berdoa. 
    Mula-mula kita kena puji Allah kemudian minta apa yang kita nak. 
    Kita puji Allah dengan mengatakan sesiapa yang Allah masukkan ke dalam neraka itulah orang yang hina, dan orang yang zalim tiada siapa yang dapat menolong mereka! 
    Kemudian kita minta lagi kepada Allah SWT dalam beberapa doa lagi dalam ayat yang berikutnya insya’ Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 189- {Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}-

    Langit & bumi serta seluruh isi kandungannya adalah hak Allah SWT.
    Maka wahai manusia tidak ada kuasa bagimu untuk melakukan apa-apa kecuali dengan izin Allah! 
    Jika Allah kata halal kita ambil & buat.
    Jika Allah kata haram kita jangan dekat, jangan berani jangan langgarnya!
    Walaupun dalam negara demokrasi di sana tetap ada perkara Syar’ie yang tidak boleh dilanggar. 
    Tetapi malangnya apa boleh buat; dalam negara demokrasi ini undang-undang yang dibuat oleh orang putih yang tertinggi, manakala undang-undang Syari’ah Allah menjadi kecil & terpinggir.
  1. Ayat 190- {Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang,..}-

    Ayat ini adalah menggalakkan, mengarahkan supaya kita berfikir dan mengkaji (التفكر والتعامل) tentang makhluk-makhluk Allah SWT.
    Setiap kali kita fikir & kaji kita akan nampak tanda-tanda keagungan Allah Azza wa Jalla, maka ia akan dapat menambah & meningkatkan keimanan kepada Allah SWT!
  1. Ayat 190- {ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;}-

    Orang yang sentiasa berzikir & boleh berfikir ini ialah ulul-albab orang yang mempunyai akal yang cerdik.
    Kata ulama’ tadabbur: Setiap hukum yang dikaitkan dengan satu sifat itu- maka apabila ada sifat itu akan adalah hukum itu!
    Contohnya: Allah kata orang yang akan dapat faedah daripada ayat-ayat al-Quran, tanda yang dia lihat ialah ulul-albab, orang yang berfikir. Jika kita tengok saja tanpa berfikir seperti lembu kerbau maka kita tidak akan dapat faedahnya!
    Orang yang betul-betul boleh berfikir itulah orang yang mempunyai akal yang sejahtera & waras. 
    Lagi kuat seseorang itu berakal, lagi waras akalnya; lagi mantap keimanan kepada Allah Azza wa Jalla. 
  1. Ayat 191- {(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,}-

    Allah suruh kita berzikir ingat kepada Allah SWT dalam semua keadaan. 
    Nak tidur, baru bangun dari tidur, setiap masa bukan hanya tunggu majlis khas!  
    Nak berzikir jangan hanya tunggu majlis, nak berselawat juga kena tunggu buat majlis khas- sedangkan kiat boleh lakukannya pada bila-bila masa dan di mana saja. Nak atau tak nak saja!

    Rujuk Perisai Muslim : Lengkap zikir bermula dari bangun tidur sehingga tidur semula pada waktu malamnya: https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…

    Alhamdulillah, Aplikasi Buku “Perisai Muslim” PDF sudah ada di IOS & ANDROID.
    Dapatkannya di Link : https://abuanasmadani.com/perisai-muslim/
    Semoga Bermanfaat. Amalkan dan sebar-sebarkan!

    Perhambaan diri (Ubudiyyah) kepada Allah SWT ada tiga cara:
    i- Tasdiq : Membenarkan dengan hati.

    ii- Ikrar : Kata dengan lidah.

    iii- Amal : Anggota kita beramal.
    Jika kita boleh kembarkan ketiga jenis ibadat ini mantap- hati kita berfikir, lidah kita berzikir, anggota kita beribadat. 
    Maka kita kena kembarkan ketiganya dan berzikir dalam semua keadaan.
  1. Ayat 191- {(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi..}-

    Yakni berzikir sambil berfikir.
    Zikir saja tanpa berfikir dia tidak akan dapat kedudukan yang besar di sisi Allah SWT. 
    Kena jamakkan antara dua ini!
    Kata ulama’: Ayat ini Allah SWT ajar kepada kita cara nak berdoa- antara adabnya ialah nak berdoa kena puji Allah SWT sebelum pinta apa-apa. 
    Hati kita ini sentiasa kena terikat & berhajat kepada Allah SWT.
    Siapa nak jadi ulul-albab, ambillah sifat-sifat mereka yang Allah SWT sebutkan ini, yang sentiasa berfikir & berzikir serta beramal dengan segala anggotanya!
    Ya Allah jadikan kami semua hamba-Mu yang bijak & berakal, yang sentiasa berfikir & berzikir mengingati-Mu dengan hati, lidah & anggota!

Malam ini seperti yang dijanjikan, insya’ Allah kita mulakan kuliah tentang Hakikat syaitan.
Boleh dapatkan kitabnya sama ada versi jawi atau rumi di: https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs