View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 77-78

BALASAN KEJAHATAN AHLI KITAB, BATAL PERJANJIAN & BERDUSTA ATAS NAMA ALLAH.

Full video : https://youtu.be/3_Ji4irOyis?si=v__LYxB3c8YKvdbC

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 77 sehingga 78, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan balasan kejahatan ahli kitab, yahudi & nasrani yang menjual ayat-ayat Allah dengan habuan mata benda dunia yang sedikit. 
    Makna jual ayat : Tukar hukum hakam Allah, benda halal jadi haram, yang halal tukar jadi haram!
  1. Mereka juga membatalkan perjanjian sama ada:
    i- Dengan Allah : Janji nak taat tetapi ingkar atau syirik.

    ii- Janji dengan manusia : Khianat tak tepati janji.  
  1. Yang paling teruknya mereka berdusta atas nama Allah.
    Inilah perbuatan ahli kitab yahudi & nasrani yang memutar belit & memesongkan ayat-ayat (hukum-hakam) Allah SWT! 
    Allah kata lain mereka kata lain!
  1. Kita orang beriman, yang yakin & telah belajar jangan tiru perangai buruk mereka ini!
  1. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang sifat yahudi sebagai pengkhianat, memutar belit fakta untuk ambil harta orang, bersumpah dusta (Ayat 77). 
    Mereka dengan sewenangnya rampas hak orang & khianati janji. 
    Lalu ayat ini memberi amaran keras pada mereka ini, jangan suka bersumpah. 
    Kita orang beriman jangan menggunakan nama Allah sewenang-wenangnya. 
    Orang yang suka bersumpah itu sama ada mereka ahlul kitab atau munafik.

    ii- Dalam ayat lepas juga Allah telah nyatakan bahawa, mereka suka buat-buat ia adalah kata dari Allah sedangkan Allah tak kata pun begitu. Yakni mereka suka buat pendustaan terhadap Allah! 
    Maka dalam ayat ini mengatakan mereka jahat jika menukar kata-kata Allah.

    iii- Dalam ayat yang lepas Allah menyatakan pengkhianatan ahli kitab terhadap perjanjian mereka dengan sesama manusia!
    Maka dalam ayat ini dengan menyatakan pengkhianatan mereka menggunakan nama Allah. Salah guna nama Allah serta membatalkan perjanjian dengan Allah. Ayat-ayat ini mendedahkan perangai tidak baik golongan ahli kitab

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 77- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENGUTAMAKAN KEUNTUNGAN DUNIA YANG SEDIKIT DENGAN MENOLAK JANJI ALLAH DAN MENCABULI SUMPAH MEREKA, MEREKA TIDAK AKAN MENDAPAT BAHAGIAN YANG BAIK PADA HARI AKHIRAT, DAN ALLAH TIDAK AKAN BERKATA-KATA DENGAN MEREKA DAN TIDAK AKAN MEMANDANG KEPADA MEREKA PADA HARI KIAMAT, DAN TIDAK AKAN MEMBERSIHKAN MEREKA (DARI DOSA), DAN MEREKA PULA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:77)

  1. Dalam ayat ini nyatakan tentang perbuatan jahat ahli kitab yang mengutamakan dunia daripada Akhirat serta mengkhianti janji dengan Allah serta suka bersumpah palsu!
  1. Ada yang menukarkan makna ayat-ayat Quran kepada maksud lain mengikut selera sendiri. Pendeta-pendeta yahudi menukarkan ayat-ayat Allah agar mereka terus dapat berbuat maksiat mengikut kemahuan mereka. 
    Semuanya bukan atas apa yang Allah turunkan, satu pendustaan yang besar terhadap Allah. Mereka tahu apa yang mereka buat satu pembohongan!
  1. Bagi mereka ini balasannya:
    i- Tiada ada bahagian nikmat di akhirat kelak, hanya dapat azab.

    ii- Allah tidak akan berkata-kata kepadanya dengan kata-kata yang menunjukkan keredhaan-Nya. Hanya dengan kemurkaan & kemarahan.

    iii- Allah tidak akan melihat mereka dengan pandangan rahmat & kasih-sayang pada hari Kiamat.

    iv- Allah tidak akan bersihkan diri mereka ini dari dosa-dosa yang mereka buat, kerana mereka sudah kotorkan diri mereka dengan maksiat & dosa. 
    Maka Allah tidak akan bersihkan mereka kecuali jika mereka sempat bertaubat atas dunia.

    v- Di Akhirat kelak mereka akan menerima azab yang cukup menyakitkan. 
  1. Asbab nuzul- sebab turun ayat:
    i- Al-‘Asy’ath (العشعث) bin Qais RA berkata
    Ayat ini, demi Allah, diturunkan berkenaan denganku. Satu masa dulu, ada pertelingkahan tentang tanah antara aku dengan seorang lelaki Yahudi. Tanah itu adalah milikku, tetapi si Yahudi menafikannya. Aku mengajukan perkara itu kepada Nabi SAW. Baginda bertanya, “Apakah kamu memiliki bukti”. “Tidak”, jawabku. Lalu Baginda memerintahkan si Yahudi itu, “Bersumpahlah!” Aku pun berkata, “Wahai Rasulullah, jika dia bersumpah dia akan memperolehi hartaku?” Maka Allah pun menurunkan ayat: “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka…”, yakni dengan harta benda duniawi yang sedikit, yang menjadikannya rela bersumpah palsu. “Mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat”, yakni pahala. “Dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka”, yakni dengan kata-kata yang menggembirakan mereka. “Dan tidak akan memandang kepada mereka”, iaitu pandangan yang menyenangkan mereka, pandangan rahmat. “Dan tidak akan membersihkan mereka”, maksudnya tidak akan menambahkan kebaikan mereka dan juga tidak akan memuji mereka. [Hadis Sahih riwayat Bukhari & Muslim]

    ii- Abdullah bin Mas’ud berkata : “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa bersumpah atas harta seseorang muslim dengan tidak benar (dengan tujuan untuk memilikinya), maka dia akan berjumpa Allah (kelak di akhirat) dalam keadaan Allah murka kepadanya”. Abdullah seterusnya berkata, “Lalu Rasulullah membacakan satu ayat dari al-Kitab yang membenarkan sabda Baginda itu yang bunyinya:{“Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.} [Hadis Sahih riwayat Bukhari & Muslim]

    Ada kisah lain mungkin menjadi asbab nuzul ayat ini tetapi tidak berapa sahih riwayatnya.
  1. Maksudnya orang yang membeli dengan harga sedikit di sini {يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَأَيْمَـٰنِهِمْ ثَمَنًۭا قَلِيلًا}
    Ialah orang yang menukar janji & sumpah mereka untuk beriman dengan Allah & untuk berimam dengan Rasulullah SAW. Tetapi kafir!
    Janji mereka untuk tunaikan amanah- dikhianati- semua didustakan dengan sumpah palsu demi mendapatkan hak orang dengan sengaja! 
    Hari ini ada juga orang yang bersumpah palsu demi mendapatkan sokongan manusia!
    Semua ini ada tipu & manusia yang buruk perangai dan akhkak serat tidak boleh dipercayai atas dunia ini.
  1. Balasan dosa bagi mereka yang suka bersumpah palsu ini adalah seperti yang yang telah disebut di atas!
  1. Kata Syeikh al-Wahidi RHM : Ayat ini diturunkan untuk menyatakan kejahatan puak yahudi yang suka mungkiri janji, suka bersumpah palsu, suka menyembunyikan fakta yang berkait dengan kenabian Nabi SAW atau menukar sifat Rasulullah SAW yang tersebut dalam kitab Taurat. 
  1. Kita kata ayat ini termasuk semualah juga sama ada yahudi yang tukar sifat Nabi SAW, penjual yang suka bersumpah dengan nama Allah sebab nak lariskan barang jualannya atau orang yang buat perjanjian dengan nama Allah kemudian dia batalkan; semuanya termasuk penjahat yang mesti kita jauhinya serta sifat buruk yang jangan didekati.

AYAT 78- {DAN SESUNGGUHNYA, DI ANTARA MEREKA (AHLI KITAB ITU) ADA (KETUA-KETUA AGAMANYA) YANG MEMUTAR-MUTAR LIDAHNYA SEMASA MEMBACA KITAB TAURAT (DENGAN MENGUBAH MAKNANYA), SUPAYA KAMU MENYANGKANYA SEBAHAGIAN DARI KITAB TAURAT PADAHAL IA BUKANLAH DARI KITAB ITU. DAN MEREKA PULA BERKATA: “(BAHAWA) IA ADALAH (DATANGNYA) DARI SISI ALLAH”, PADAHAL IA BUKANLAH DARI SISI ALLAH; DAN MEREKA PULA TERGAMAK BERKATA DUSTA TERHADAP ALLAH SEDANG MEREKA MENGETAHUI (BAHAWA MEREKA ADALAH BERDUSTA).} (ALI-‘IMRAN 3:78)

  1. Perbuatan jahat mereka juga: mereka putar lidah mereka { يَلْوُۥنَ أَلْسِنَتَهُم}; ini sama ada dengan:
    i- Tukar lafaz perkataan sama ada dengan tukar lafaz : Bukan apa yang Allah turunkan tetapi dengan apa yang mereka mahu!

    ii- Atau dengan menukar makna : Tuhan kata lain dia tafsir lain untuk menukar makna ayat dengan ayat yang tidak sesuai atau mentakwil ayat dengan takwilan yang jauh & tidak sesuai dengan makna ayat! 
  1. Mereka juga sengaja buat dusta kepada Allah SWT, mereka kata ia adalah kata-kata Allah sedangkan ia bukan dan mereka tahunya bahawa ia adalah perbuatan yang bohong, dusta dan penipuan. 
    Ini adalah satu perbuatan yang amat jahat!
  1. Kita minta pertolongan Allah SWT agar Allah jaga kita agar jangan terjebak dengan kumpulan yang jahat ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 77- {Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat}-

    Ayat ini menunjukkan bahawa orang ini memang tidak ada agama atau istilah sekarang penunggang agama.
    Mereka sanggup jual atau beli ayat-ayat Allah semata-mata kerana agama yang sedikit dan murah bagi kepentingan diri, mendapat habuan dunia!
    Ayat ini sekaligus adalah amaran dari Allah SWT kepada para pendeta, para rahib & ulama’, ahli ilmu yang menyembuyikan ilmu & maklumat serta fakta semata-mata untuk menjaga kedudukan pangkat, pengaruh, pengikut dan seumpamanya. 
    Inilah perbuatan jahat yang dimurkai Allah SWT!
    Kita sebagai pendakwah kena jujur dengan ilmu kita! Jangan asalkan ada orang kata, asal boleh, asal ada pendapat kerana ingin mencari pengaruh!
    Biarlah kita tidak popular & ramai pengikut di dunia tetapi kita mendapat keredhaan Allah & kedudukan di Akhirat kelak.
    Yang penting kita ikut SOP nya iaitu kembali kepada Kitab Allah & Sunnah Nabi SAW serta huraian para ulama’ yang muktabar dalam ilmunya! 
    Semua orang boleh dakwa dia betul tetapi neraca timbangannya adalah begini!
  1. Ayat 77- {mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat}-

    Siapa buat kerja jahat, di Akhirat dia tidak akan ada bahagian lagi! 
    Ayat ini umum tetapi bersyarat iaitu selagi dia tidak bertaubat.
    Jika dia bertaubat walaupun sebesar mana dosanya Allah SWT akan terimanya- dengan syarat-syarat taubat yang sempurna sebagaimana yang digariskan oleh ijma’ para ulama’. Jika dia bertaubat Allah akan terimanya!
    Taubat ini ada tiga kategori:
    i- Taubat nasuha : Iaitu taubat yang betul-betul ikhlas, insaf menyesal sungguh-sungguh kerana Allah SWT semata-mata!

    ii- Taubat main-main : Taubat ulu golok- iaitu sudah taubat buat pula!

    iii- Taubat bersebab : Iaitu taubat truk- kerana ditangkap oleh polis atau majlis agama!
    Mana-mana perjanjian yang dibuat dengan nama Allah; apabila dibatalkan bermakna orang itu lemah dalam urusan & pegangan agamanya- maka dalam urusan dunianya pun tidak boleh dipercayai! 
    Ini kerana orang yang bermain-main dengan sumpah, orang yang main-main dengan nama Allah & main-main dengan perjanjian yang dibuat- kemudian didedahkan Allah tembelangnya- maka orang ini jangan lagi dipercayai!  
  1. Ayat 77- {Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah}-

    Kenapa disandarkan janji ini kepada janji Allah 
    {بِعَهْدِ ٱللَّهِ}??
    Kerana Allah sudah berjanji dalam semua kitab-kitab-Nya – Taurat, Injil, Zabur, al-Quran dan lain-lain; semua kamu mesti tunaikan janji, benar dalam perkataan, benar dalam tindakan dengan apa yang kamu buat perjanjian.
    Siapa berjanji tunaikan, siapa bersumpah laksanakan, siapa yang diberi amanah jalankan. Siapa nak beribadat kepada Allah buat betul-betul jangan melakukan Syirik & siapa nak ikut Nabi SAW- ikut Sunnah jangan reka bid’ah! 
    Ini janji dengan Allah bukan janji dengan manusia biasa, bahkan janji dengan manusia pun kena tunaikan. 
    Tetapi janji kita dengan Allah pastilah lebih besar & wajib dilaksanakan!
  1. Ayat 77- {Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka,}-

    Telah batalkan janji kepada Allah dengan habuan dunia yang sedikit sahaja {ثَمَنًۭا قَلِيلًا}. 
    Dia jual sumpah atas nama Allah untuk harta-benda dunia yang sedikit saja berbanding dengan nilai janji itu di sisi Allah.
    Allah sebut jual-beli { يَشْتَرُونَ} kerana jual-beli ini adalah urusan yang biasa dalam kehidupan manusia. 
    Maka sesiapa yang membatalkan perjanjian & sumpah ini; telah batalkannya dengan mata-benda yang sedikit sahaja! 
    Sumpah palsu amat bahaya, sumpah palsu {الْيَمِينُ الْغَمُوسُ} menenggelamkan seorang penyumpahnya dalam neraka.

    Imam Al-Zahabi RHM berkata : “Sumpah palsu (ghamus) adalah sumpah yang dilakukan oleh seseorang yang sengaja berdusta dalam sumpahnya. Disebut ghamus (menjerumuskan) kerana sumpah ini menjerumuskan orang yang bersumpah itu ke dalam dosa. Ada yang menyebut, menjerumuskannya ke dalam api neraka. (Lihat Al-Kaba’ir, hlm. 102)

    Ia tiada kafarrah- kerana ia memang berniat jahat- bersumpah atas nama Allah dengan niat nak tipu orang! Ini termasuk dalam dosa besar, dalam kemurkaan Allah. 
    Untuk mengenal dosa besar ialah : Semua perbuatan yang dimurkai Allah & dijanjikan azab yang dahsyat!
  1. Ayat 77- {dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat,}-

    Allah SWT tidak akan bercakap, tidak akan tengok kepadanya dengan percakapan & pandangan yang penuh rahmat & kasih-sayang!
    Ayat ini menjadi isbat bahawa Allah SWT akan berkata-kata dengan ahli Syurga, Allah SWT akan tengok kepada ahli syurga bahkan Allah juga akan benarkan ahli syurga untuk melihat wajah Allah SWT nanti!
    Ya Allah, jadikan kami, keluarga kami, pelajar kami dan semua orang yang disayangi menjadi orang yang layak masuk syurga-Mu & orang yang layak untuk melihat wajah-Mu di syurga kelak!  
    Tugas kita adalah berusaha agar layak mendapat rahmat & redha Allah di Akhirat kelak.
    Ulama’ Islam telah ijma’ bahawa semasa di dunia; manusia tidak akan dapat melihat Allah SWT- maka kita beriman dengannya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs