View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 11

HAK PUSAKA BAGI ANAK LELAKI, PEREMPUAN DAN IBU BAPA & TIDAK DIKETAHUI SIAPA YANG BERMANFAAT KEPADA KAMU.

Full video : https://youtu.be/a3u_vgwsPpI?si=Hspmcm4k38nYYm3t

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 11 bagi Surah An-Nisa’. 
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang pembahagian hak pusaka bagi anak lelaki dan perempuan yang telah ditentukan & ditetapkan oleh Allah SWT.
  1. Juga tentang hak pusaka bagi ibu bapa juga telah ditentukan & ditetapkan oleh Allah SWT.
    Dua golongan ini iaitu anak-anak & ibu bapa adalah dua golongan penerima yang tidak akan gugur dari senarai & pasti akan terima harta pusaka ikut bahagiannya.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa antara anak & ibu bapa kamu itu tidak diketahui siapa yang bermanfaat kepada kamu setelah kematian kamu.
  1. Allah juga nyatakan bahawa pembahagian harta pusaka ini adalah satu fardhu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT {فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ}. 
    Maka kita hati-hatilah jangan sampai terlanggar hukum Syari’ah yang telah ditetapkan Allah ini.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    a)
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukum harta anak yatim; jangan makan secara zalim, jangan serah sebelum cukup umur & matang. 
    Juga para wali bertanggungjawab terhadap pengurusan harta anak yatim untuk diniaga atau laburkannya supaya harta itu tidak habis begitu saja serta uruskannya dengan baik & jujur.

    ii- Jadi dalam ayat ini Allah SWT nyatakan bagaimana seorang manusia itu boleh memiliki harta-salah satu caranya ialah melalui keturunan iaitu warisan harta pusaka selain perkerjaan & perniagaan.

    b)
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa bagi lelaki ada bahagian serta bagi perempuan juga ada bahagian.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT memperincikan berapakah jumlah bahagian itu bagi setiap mereka. 
    Para ibu bapa tidak perlu bersusah payah pening memikirkan berapa akan diberi kepada setiap orang anaknya, siapa dapat banyak siapa dapat sikit dan seumpamanya kerana Allah telah bahagi & tetapkan bahagian setiap orang anak itu!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 11- {ALLAH PERINTAHKAN KAMU MENGENAI (PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA UNTUK) ANAK-ANAK KAMU, IAITU BAHAGIAN SEORANG ANAK LELAKI MENYAMAI BAHAGIAN DUA ORANG ANAK PEREMPUAN. TETAPI JIKA ANAK-ANAK PEREMPUAN ITU LEBIH DARI DUA, MAKA BAHAGIAN MEREKA IALAH DUA PERTIGA DARI HARTA YANG DITINGGALKAN OLEH SI MATI. DAN JIKA ANAK PEREMPUAN ITU SEORANG SAHAJA, MAKA BAHAGIANNYA IALAH SATU PERDUA (SEPARUH) HARTA ITU.}

  1. Allah perintahkan kepada kamu para ibu bapa {يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ} tentang pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu. 
    Kamu jangan bimbang & runsing tentang keadaan mereka & tentang harta kamu yang kamu tinggalkan! 
    Kerana itu ulama’ kata : Allah SWT lebih sayang & mengambil berat tentang anak-anak kita daripada kita, sudah difikirkan tentang masa depan & haknya dalam harta pusaka dari awal lagi! 
    Harta yang kamu tinggal, jangan runsing, Allah jamin ada bahagian untuk anak-anak kamu lelaki atau perempuan.
  1. Sebab nuzul ayat ini:
    i- Pertama, ayat turun berkaitan dengan harta warisan Jabir bin Abdillah RA:
    عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: عَادَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ فِي بَنِي سَلَمَةَ مَاشِيَيْنِ، فَوَجَدَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا أَعْقِلُ، فَدَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ مِنْهُ ثُمَّ رَشَّ عَلَيَّ فَأَفَقْتُ، فَقُلْتُ: مَا تَأْمُرُنِي أَنْ أَصْنَعَ فِي مَالِي يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَنَزَلَتْ يُوصِيكُمُ اللهُ فِي أَوْلَادِكُمْ. (متفق عليه)
    Ertinya : “Diriwayatkan dari Jabir RA, ia berkata: ‘Nabi SAW dan Abu Bakar RA menjengukku (yang sakit) di kampung bani Salimah (dekat masjid Qiblatain) dengan berjalan kaki, lalu Nabi SAW menemuiku dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lalu Baginda meminta diambilkan air lalu berwudhu’, memercikkan air kepadaku, kemudian aku pun sedar. Akupun kemudian berkata kepadanya: ‘Apa yang Tuan perintahkan untuk Aku lalukan pada harta warisanku wahai Rasulullah?’ Kemudian turunlah ayat ini: {…..يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوْلَـٰدِكُمْ ۖ} [An-Nisa: ayat 11]’.” (Muttafaq ‘Alaih)

    ii- Kedua, hadis riwayat Jabir RA juga, berkaitan dengan harta warisan Sa’d bin Ar-Rabi’ RA.
    عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ: جَاءَتِ امْرَأَةٌ بِابْنَتَيْنِ لَهَا فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ هَاتَانِ سَعْدِ بْنِ الرَّبِيعِ قُتِلَ مَعَكَ يَوْمَ أُحُدٍ وَقَدِ اسْتَفَاءَ عَمُّهُمَا مَالَهُمَا وَمِيرَاثُهُمَا فَلَمْ يَدْعُ لَهُمَا مَالًا إِلَّا أَخَذَهُ، فَمَا تَرَى يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَوَاللهِ مَا يُنْكَحَانِ أَبَدًا إِلَّا وَلَهُمَا مَالٌ. فَقَالَ: يَقْضِي اللهُ فِي ذَلِكَ، فَنَزَلَتْ سُورَةَ النِّسَاءِ وَفِيهَا: يُوصيكُمُ اللهُ في أَوْلَادِكُم لِلذَّكَرِ مِثلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ) إلى آخر الآية. فَقَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اُدْعُ لِي الْمَرْأَةَ وَصَاحِبَهَا، فَقَالَ لِعَمِّهِمَا: أَ عْطِهِمَا الثُّلُثَيْنِ وَأَعْطِ أُمُّهُمَا الثُّمُنَ وَمَا بَقِيَ فَلَكَ. 
    Ertinya : “Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah RA, Ia berkata: ‘Telah datang seorang perempuan dengan dua anaknya, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, ini dua anak perempuan Sa’d bin Ar-Rabi’, yang mati ketika bersamamu dalam perang Uhud, sementara bapa saudaranya telah merampas harta dan warisan mereka, lalu tidak meninggalkan harta sedikitpun bagi mereka kecuali diambilnya; maka bagaimana menurutmu wahai Rasulullah?’ Maka demi Allah mereka tidak akan dinikahi selamanya kecuali mereka punya harta. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Allah akan memutuskan urusan itu.’ Lalu turunlah surat An-Nisa’ yang di dalamnya terdapat ayat: {…..يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوْلَـٰدِكُمْ ۖ} [An-Nisa: ayat 11]’.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepadaku: ‘Panggilkan kepadaku perempuan itu dan temannya.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada bapa saudara dua anak perempuan itu: ‘Berilah kepada mereka berdua daripada harta itu dua/pertiga, bagi ibunya satu/pertiga, dan baki harta maka untukmu’.” (HR Abu Daud & Ahmad).
  1. Analisa Imam Ibnu Kathir RHM tentang dua hadis ini:
    i- Yang zahirnya hadis Jabir yang pertama menyebabkan turunnya ayat yang terakhir dalam Surah An-Nisa’ (ayat al-Kalalah) akan kita bincangkan nanti.

    ii- Manakala kisah hadis kedua lebih dekat mejadi sebab turunnya ayat ini iaitu tentang dua anak perempuan Sa’d bin Ar-Rabi’.
  1. Allah bagi wasiat kepada ibu bapa tentang bahagian pusaka anak-anak kamu lelaki atau perempuan akan dapat harta kamu, lelaki atau perempuan, ramai atau sedikit- semuanya akan dapat- kamu jangan bimbang.
  1. Tetapi bahagian mereka tidak sama iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Iaitu:
    i- Jika anak lelaki seorang dia akan dapat semua harta peninggalan ibu bapanya,

    ii- Jika dia bersama anak perempuan, dia akan mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan itu. 
    Hatta anak yang khunsa pun akan mendapat bahagiannya juga dalam Islam.
  1. Kata ulama’ : Mengapa bahagian seorang anak lelaki itu menyamai dua bahagian seorang anak perempuan.
    i- Kerana lelaki ini banyak tanggungjawabnya. Mereka yang kena keluar mencari rezeki untuk keluarga.
    Contoh : Nak kahwin suami wajib bagi maskahwin, selepas kahwin kena beri nafkah kepada isteri & anak-anak dan lain-lain tugasnya.

    ii- Manakala perempuan sepanjang hidupnya di bawah nafkah & tanggungjawab kaum lelaki. Masa kecil bapa- tiada bapa, saudara lelaki atau bapa saudaranya. 
    Jika sudah berkahwin suami pula yang wajib memberi nafkah. 
    Jika isteri kematian suami, dia juga ada bahagiannya yang telah ditetapkan Allah.

    Kata pepatah Arab : الرجل باذل والمرأة آخذة Lelaki juru hulur perempuan tukang ambil!
    Inilah yang asasnya, lelaki sebagai ketua & penanggung keluarga, jika ada yang terbalik itu adalah di luar kebiasaan.
  1. Kemudian Allah detailkan bahagian pusaka yang diterima oleh seorang anak perempuan:
    i- Jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua atau separuh harta yang ditinggalkan.

    ii- Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.
    Bahagian ini jika TIDAK ADA adik beradik lelaki bersama mereka!
  1. Tetapi jika ada persetujuan dan muafakat dari adik beradik lelaki untuk membahagikan harta itu sama rata tidak jadi masalah. Tetapi mestilah dengan keredhaan & keihklasan sepenuhnya- bukan boleh dipaksa!

AYAT 11- {DAN BAGI IBU BAPA (SI MATI), TIAP-TIAP SEORANG DARI KEDUANYA: SATU PERENAM DARI HARTA YANG DITINGGALKAN OLEH SI MATI, JIKA SI MATI ITU MEMPUNYAI ANAK. TETAPI JIKA SI MATI TIDAK MEMPUNYAI ANAK, SEDANG YANG MEWARISINYA HANYALAH KEDUA IBU BAPANYA, MAKA BAHAGIAN IBUNYA IALAH SATU PERTIGA. KALAU PULA SI MATI ITU MEMPUNYAI BEBERAPA ORANG SAUDARA (ADIK-BERADIK), MAKA BAHAGIAN IBUNYA IALAH SATU PERENAM. (PEMBAHAGIAN ITU) IALAH SESUDAH DISELESAIKAN WASIAT YANG TELAH DIWASIATKAN OLEH SI MATI, DAN SESUDAH DIBAYARKAN HUTANGNYA.}

  1. Ayat ini pula adalah tentang bahagian kedua ibu bapa pula, jika anak mereka mati & meninggalkan harta.
  1. Bahagian mereka bergantung kepada dua keadaan ini:
    i- Jika si mati meninggalkan anak; seorang atau ramai, lelaki atau perempuan: Tiap-tiap seorang dari kedua ibu dan bapanya mendapat 1/6 daripada harta pusaka yang ada. 
    Manakala anak-anaknya akan dibahagikan harta yang baki mengikut kaedah di atas tadi.  

    ii- Jika si mati tiada anak, maka pewarisnya adalah kedua ibu bapanya, ibu dapat 1/3 daripada harta manakala bapanya mendapat yang baki iaitu 2/3 daripada harta. Bahagian ini jika si mati tiada adik beradik.

    iii- Dari keadaan kedua juga: Jika si mati ada adik-beradik, maka ibu hanya dapat 1/6 manakala bakinya, 5/6 kepada si bapa.
    Ini kerana adik beradik berada di bawah tanggungjawab bapa dan mereka akan mewarisi harta darinya pula.
  1. Kata ulama’ : Kesimpulan dari pembahagian pusaka ibu bapa ini:  
    i- Ayah dan ibu tetap memiliki hak mendapat bahagian dari harta pusaka dari anak yang meninggal dunia sebagai menghormati dan memuliakan keduanya. 
    Juga sebagai tanda kenangan kepada anak itu.

    ii- Kenapa pula bahagian mereka lebih sedikit daripada bahagian anak si mati?
    Ini kerana mereka biasanya telah berusia dan memiliki harta sendiri serta tidak memerlukan belanja yang banyak lagi. 
    Manakala anak-anak pula mungkin masih kecil lalu menjadi anak yatim yang lemah & tidak ada pendapatan lain melainkan harta yang ditinggalkan oleh ibu bapa itu. 
    Perjalanan hidup mereka juga masih panjang (kerana usia muda) & memerlukan banyak belanja lagi dalam kehidupannya!
  1. Dalilnya dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    «أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»
    Maksudnya: “Berikan bahagian pusaka yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun bakinya maka berilah kepada pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya”. [HR al-Bukhari (6732), Muslim (1615)].
  1. Allah nyatakan lagi pembahagian harta hendaklah hanya dibuat apabila sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.
  1. Yakni apabila seseorang sudah meninggal, uruskan harta mereka dengan ditunaikan wasiatnya dan dibayarkan hutang kemudian barulah dibahagikan harta pusaka. 
    Pusaka hanya boleh dibahagikan apabila wasiat ditunaikan dan hutang dilunaskan.
  1. Persoalan: Kenapa wasiat didahulukan dari hutang, sedangkan hutang adalah wajib?
    Kata ulama’ : Ini kerana hutang ada tuan yang pasti akan menuntutnya manakala wasiat tidak ada tuan yang akan menuntutnya. 
    Selesaikan hutang & wasiat si mati dulu sebelum membahagikan hartanya.
  1. Manakala wasiat pula tidak boleh lebih daripada 1/3 daripada keseluruhan harta kecuali dengan persetujuan semua penerima pusaka. 
    Dalilnya hadis Saad bin Abi Waqas RA dalam siri sebelum ini adalah jelas.
  1. Ibu bapa juga beringat dan hati-hati : Tidak boleh wasiatkan harta kepada anak-anak penerima pusaka. 
    Dalilnya berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: لا وصيةَ لوارثٍ إلا أن يشاءَ الورثةُ
    Maksudnya: “Tidak boleh berwasiat kepada waris melainkan jika diizinkan oleh warisnya yang lain.” [HR Abu Daud].
  1. Cuma ada satu isu yang menarik: 
    i- Jika seorang datuk itu ada cucu yang sudah kematian bapanya (anak si datuk), manakala cucu itu tidak dapat menerima pusaka datuk kerana ada bapa-bapa saudara yang lain. 

    ii- Maka ada satu undang-undang khas yang digubal- namanya wasiat yang wajib; iaitu datuk boleh mewasiatkan sebahagian hartanya kepada cucu tadi kerana mereka bukan penerima pusakanya. 

AYAT 11- {LBU-BAPA KAMU DAN ANAK-ANAK KAMU, KAMU TIDAK MENGETAHUI SIAPA DI ANTARANYA YANG LEBIH DEKAT SERTA BANYAK MANFAATNYA KEPADA KAMU (PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DAN PENENTUAN BAHAGIAN MASING-MASING SEPERTI YANG DITERANGKAN ITU IALAH) KETETAPAN DARI ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:11)

  1. Allah nyatakan dengan jelas di sini; antara anak-anak kamu itu- kamu tidak akan tahu siapakah yang akan memberi manfaat kepada kamu! 
    Selepas kamu mati baru terserlah & tahu! 
  1. Kerana itu Allah tidak serahkan pembahagian harta pusaka ini kepada sentimen & perasaan ibu bapa, tidak ikut logik akal manusia, atau serahkannya kepada Nabi & malaikat untuk menentukannya!
  1. Bahkan penentuan harta pusaka itu dijamin oleh Allah! 
    Allah SWT sendiri yang menyatakan bahawa ia adalah ketetapan dari Allah { فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ}.
  1. Kemudian Allah ungkit bahawa sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
  1. Untuk pemahaman lebih mendalam tentang hikmah pembahagian harta pusaka ini boleh baca buku ini:
    Keindahan Islam : https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 11- {Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu,}-

    Allah SWT sendiri yang berpesan, berwasiat tentang pembahagian harta pusaka! 
    Dia sendiri yang letakkan hukum, bahagian & penerimanya dalam bab pusaka.
    Kata ulama’ : Allah SWT lebih kasihan belas & sayang kepada anak-anak kita lebih daripada kita sendiri. 
    Kerana itu Allah pesan agar tunaikan hak anak-anak & jangan diambil bahagian yang tidak berhak.
    Allah letakkan hukum pembahagian harta pusaka ini sebagai satu isu yang amat besar, kerana itu Allah kata { يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ}- Aku wasiatkan kepada kamu, bukan sekadar Aku suruh atau perintahkan kamu. 
    Lain kesannya pesan atau peringatkan dengan suruh.
  1. Ayat 11- {Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu,..}

    Allah mulakannya dengan pembahagian untuk anak-anak dulu.
    Ini kerana setiap ibu bapa secara fitrah semulajadi amat menyayangi anak-anaknya.
    Mereka pasti akan ingat & mementingkan kebajikan anak-anaknya dulu! 
    Maka Allah nyatakan kamu jangan bimbang selepas kamu mati harta kamu akan dibahagikan kepada anak-anak kamu!
  1. Ayat 11- {Allah perintahkan …. , iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.}-

    Bagi anak lelaki 2 bahagian anak perempuan.
    Wahai kaum wanita jangan runsing, jangan bimbang, jangan protes akan bahagian ini kerana Allah sendiri yang menetapkannya.
    Pembahagian yang sudah ditentukan Allah ini, pasti disebaliknya ada hikmah & kelebihan yang begitu besar!  
    Allah yang mencipta manusia & mentadbirnya pasti lebih tahu akan keperluan & kepentingan setia makhluk-Nya.
    Dalam ayat ini juga dalil bahawa harta itu jika anak lelaki hanya ada seorang diri, maka semua harta pusaka itu akan dapat kepada dia.
    Allah gunakan perkataan {الذكر والأنثى} iaitu jantina lelaki & perempuan, bukan {الرجال والنساء} yang bermakna lelaki & wanita dewasa.
    Ini kerana semua anak-anak lelaki dan perempuan yang kecil atau besar, ada bahagian mereka masing-masing ada hak yang telah ditetapkan. 
    Jika Allah sebut {الرجال والنساء} nanti orang akan pertikaikan jika anak itu masih belum baligh dan sebagainya.
  1. Ayat 11- {dari harta yang ditinggalkan oleh si mati…}- {مَا تَرَكَ} & {مِمَّا تَرَكَ}-

    Apa yang kamu tinggalkan.
    Kata ulama’ : Disini apabila disebut apa yang kamu tinggalkan maksudnya semua harta sama ada:
    i- ‘Aqar, harta yang tidak boleh dipindahkan seperti tanah, bangunan, rumah dan lain-lain.

    ii- Manqul, harta yang boleh dipindahkan seperti wang, emas perak, binatang ternakan dan lain-lain.

    iii- Hak-hak (حقوق) seperti hakcipta, royalti, hutang dengan orang dan seumpamanya.
    Kerana itu kata orang apabila mati saja tuan rumah; harta itu akan menjadi harta bersama antara pewaris. 
    Kecuali ada isterinya yang sama-sama mencari nafkah & ada harta bersama dengan si suami; maka boleh tuntut harta sepencarian.
    Kerana itu bila dah mati seseorang : Jika nak berikan kepada orang hartanya seperti pakaian dan lain-lain kena minta izin & kebenaran anak-anaknya yang ada terlebih dahulu. 
    Jangan ambil hak orang sewenang-wenangnya! 
    Kerana itu dua perkara yang kita kena sedar & tahu; iaitu apabila kita mati:
    i- Kita akan kehilangan nama. Orang tak akan panggil lagi kita dengan nama kita dulu. 
    Kita akan dipanggil, jenazah, si mati, mayat dan seumpamanya.

    ii- Harta kita akan berpindah milik kecuali untuk tiga perkara iaitu: belanja pengurusan jenazah, hutang dan wasiat. 
  1. Ayat 11- {lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu..}-

    Kita tidak tahu siapa di antara anak-anak & ibu bapa kita ini yang lebih dekat & memberi manfaat kepada kita setelah kematian kita kelak.
    Kerana itu kita letaklah keyakinan, keimnanan dengan pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan Allah ini, yang sangat cantik, sangat indah & sempurna.
    Peraturan dari Allah jangan kita ingkari dan cuba lari darinya. 
    Yakinlah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana,

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs