View Categories

(46) Surah An-Nisa’ : Ayat 114-115

BISIKAN YANG BAIK, ANCAMAN MEREKA YANG LAWAN RASULULLAH SAW & MENYALAHI IJMA’ KAUM MUSLIMIN.

Full video : https://youtu.be/0Z6A-blW2UI?si=u6AOgnMa7JiQFbgY

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 114 sehingga 115 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini Allah sebut tentang keburukan bisikan, tiada kebaikan baginya kecuali bisikan yang baik iaitu nak ajak buat kebaikan & untuk damaikan orang yang berkelahi.
  1. Manakala bisikan yang mengata buruk kepada orang, nak menjahanamkan orang itu dipanggil bisikan syaitan. 
    Hati-hati kita akan permainan syaitan yang kerjanya nak suruh orang berkelahi, berbunuh-bunuhan & yang paling tinggi- hasut pasangan suami isteri agar bercerai!
  1. Kemudian ayat seterusnya ancaman bagi sesiapa yang menentang & lawan Rasulullah SAW. 
    Mereka tahu Rasulullah benar tetapi tetap nak menentang & melawannya! 
    Ini amaran besar kepada mereka ini!
  1. Allah juga bawa ancaman & melarang dari menyalahi ijma’ kaum muslimin. 
    Ulama’ telah sepakat mengeluarkan satu hukum tapi dia tetap langgar & tak mahu terimanya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang larangan daripada mengkhianati diri sendiri, orang yang buat perancangan jahat secara sembunyi atau yang menuduh orang yang tidak bersalah.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa tidak ada kebaikan pada segala bisikan, percakapan secara diam atau tiada faedah, perancangan secara tersembunyi, perjumpaan secara rahsia dan seumpamanya yang tidak ditunjukkan kepada orang, yang dibuat senyap-senyap. 
    Kecuali bisikan atau percakpan tersembunyi dengan niat baik, mahu galakkan orang buat baik & sedekah atau nak mendamaikan orang yang bersengketa!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 114- {TIDAK ADA KEBAIKAN PADA KEBANYAKAN BISIK-BISIKAN MEREKA, KECUALI (BISIK-BISIKAN) ORANG YANG MENYURUH BERSEDEKAH, ATAU BERBUAT KEBAIKAN, ATAU MENDAMAIKAN DI ANTARA MANUSIA. DAN SESIAPA YANG BERBUAT DEMIKIAN DENGAN MAKSUD MENCARI KEREDAAN ALLAH, TENTULAH KAMI AKAN MEMBERI KEPADANYA PAHALA YANG AMAT BESAR.} (AN-NISA’ 4:114)

  1. Tidak ada kebaikan bagi kebanyakan bisikin (نَّجْوَى) iaitu perancangan tersembunyi, secara rahsia & senyap-senyap yang dibuat oleh beberapa orang untuk melakukan keburukan, kejahatan untuk mengkhianati orang lain, bisikan perbualan yang tiada faedah dan lain-lain.
  1. Kecuali bisikan ke arah kebaikan seperti menyuruh orang untuk bersedekah, infaq fi-sabilillah atau ajakan ke arah buat baik atau damaikan antara orang yang berkelahi dan seumpamanya.
  1. Yakni ada juga bisikian yang baik tetapi tidak banyak. 
    Ini kerana apabila disebut pengecualian, mesti lebih sedikit daripada yang asal. 
    Macam dalam isu ini pastilah bisikan yang jahat lebih banyak daripada bisikan yang baik.
  1. Allah bawa tiga pengecualian bisikan yang baik di sini:
    i- Orang yang menyuruh bersedekah, Maksudnya suruh orang bersedekah; sama ada dengan harta, ilmu atau apa saja perkara manfaat & kebaikan adalah sedekah.

    ii- Atau berbuat kebaikan, semua jenis kebaikan yang.

    iii- Atau mendamaikan di antara manusia, sama ada dua orang yang berkelahi atau dua kumpulan yang besar yang berkelahi kita damaikan mereka! 
    Ini sangat mustahak kerana besar sekali pahalanya!
  1. Hadis : Dari Ummu Kalsum bt Uqbah RA bahawa sabda Nabi SAW.;
    ليسَ الكَذّابُ الذي يُصْلِحُ بيْنَ النّاسِ، ويقولُ خَيْرًا ويَنْمِي خَيْرًا. قالَ ابنُ شِهابٍ: ولَمْ أسْمَعْ يُرَخَّصُ في شيءٍ ممّا يقولُ النّاسُ كَذِبٌ إلّا في ثَلاثٍ: الحَرْبُ، والإِصْلاحُ بيْنَ النّاسِ، وحَديثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وحَديثُ المَرْأَةِ زَوْجَها. وفي روايةٍ: بهذا الإسْنادِ، إلى قَوْلِهِ: ونَمى خَيْرًا ولَمْ يَذْكُرْ ما بَعْدَهُ. الراوي: أم كلثوم بنت عقبة • مسلم،
    Maksudnya: “Bukanlah dianggap pendusta/pembohong seorang yang berniat untuk memperbaiki / mendamaikan di antara manusia dengan ia menyampaikan berita yang baik sahaja (di antara dua orang yang bergaduh/bersengketa) atau melaporkan yang baik-baik sahaja (dengan menyembunyikan yang tidak baik di antara mereka berdua)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim.) 
  1. Rasulullah saw bersabda:
    لَا يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا، وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ، وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ.
    Ertinya: “Tidak harus berbohong melainkan pada tiga keadaan. Suami berbohong kepada isterinya supaya senang hati isterinya. Berbohong ketika peperangan. Dan berbohong kerana mendamaikan antara manusia yang bermusuhan.” (HR at-Tirmizi)
  1. Rasulullah SAW bersabda lagi:
    كل سُلامى من الناس صدقة، كل يوم تطلع فيه الشمس تعدل بين اثنين صدقة، وتعين الرجل في دابته فتحمله عليها أو ترفع عليها متاعه صدقة، والكلمة الطيبة صدقة، وبكل خطوة تمشيها إلى الصلاة صدقة، وتميط الأذى عن الطريق صدقة.
    Ertinya: “Setiap anggota badan manusia diwajibkan bersedekah setiap harinya selama matahari masih terbit; kamu mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah; kamu menolong seseorang naik ke atas kendaraannya atau mengangkat barang bawaannya ke atas kendaraannya adalah sedekah; setiap langkah kakimu menuju tempat solat juga dikira sedekah; dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.” (HR Bukhari dan Muslim).
    Betapa besarnya perbuatan untuk mendamaikan antara orang yang berkelahi.
  1. Sesiapa yang berbuat semua kebaikan sebegini dengan niat semata-mata mencari keredhaan Allah; Allah janjikan akan memberinya pahala yang amat besar, banyak mana Allah nak beri, tidak ada siapa tahu!

AYAT 115- {DAN SESIAPA YANG MENENTANG (AJARAN) RASULULLAH SESUDAH TERANG NYATA KEPADANYA KEBENARAN PERTUNJUK (YANG DIBAWANYA), DAN IA PULA MENGIKUT JALAN YANG LAIN DARI JALAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KAMI AKAN MEMBERIKANNYA KUASA UNTUK MELAKUKAN (KESESATAN) YANG DIPILIHNYA, DAN (PADA HARI AKHIRAT KELAK) KAMI AKAN MEMASUKKANNYA KE DALAM NERAKA JAHANAM; DAN NERAKA JAHANAM ITU ADALAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AN-NISA’ 4:115)

  1. Kemudian Allah memberi amaran bagi:
    i- Orang yang menentang ajaran Rasulullah SAW sesudah nyata, jelas & terang akan kebenaran pertunjuk yang dibawanya!

    ii- Juga mereka yang menyalahi ijma’ kaum muslimin!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT janjikan pahala yang besar bagi siapa yang ikut arahan Allah & arahan Rasulullah SAW!

    ii- Maka datang ayat ini membawa amaran keras & siksaan yang berat bagi mereka yang menyalahi perintah & arahan Allah SWT & Rasul-Nya SAW! 
    Mudah sahaja : Siapa ikut dapat syurga, siapa lawan akan masuk neraka!
  1. Kita minta Allah selamatkan kita daripada sifat tidak suka kepada Syari’ah, tidak suka kepada Sunnah Nabi SAW! 
    Ada orang yang bila kita ajak kepada Sunnah marah, bila suruh ambil hadis yang sahih tinggalkan yang dhaif dia kata kita tolak hadis Nabi! 
    Entah apa yang mereka mahu sebenarnya, mahu berkelahi & dakwa pula mereka pejuang Sunnah!
  1. Sesiapa yang menyanggah ajaran Rasulullah SAW, menyalahi & keras kepala tak mahu yang Nabi ajar, tak ikut jalan Syari’ah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, yang Nabi ajar tak buat tetapi reka & ikut ajaran yang baru; sesudah nyata & jelas kebenarannya. 
    Dia tahu tapi tak mahu ikut takut orang tak terima dia, takut dibuang dari kumpulan yang mendakwa ahli Sunnah dan seumpamanya.
  1. Siapa ikut jalan selain daripada jalan orang mukmin, iaitu kayu ukurnya betul atau tidak perjalanannya ialah:
    i- Yang Nabi ajar;

    ii- Sahabat ambil;

    iii- Ulama’ tabi’en iaitu ulama’ Salafus-Soleh di kurun tiga terawal.
    Jika nak kira yang kemudian ini macam-macamlah kepelikannya- mengaku tuan guru mengaku ulama’ tetapi lidahnya tidak jaga, atau cakap tak serupa bikin- bukan begitu cara nak mendidik manusia.
  1. Jalan orang mukmin ini ialah ijma’ ulama’ Islam, dengan ikut dalam aqidah mereka, amalan mereka & dalam suluk (akhlak) mereka.
    Alhamdulillah kita ikut mazhab Syafei yang Allah berinya ilmu yang tinggi dalam Aqidah, Fiqh & suluknya.
  1. Kata Ibnu Kathir rhm. siapa yang menyalahi jalan orang mukmin ini ialah melangar apa yang telah disepakati oleh ijma’ ulama’ Islam seluruhnya!
  1. Imam asy-Syafei’ RHM mengatakan : Ayat ini adalah sebagai dalil bahawa ijma’ ulama’ itu satu hujjah! 
    Haram menyalahi ijma’ oleh ulama’ yang diiktiraf oleh seluruh ulama’ Islam.
  1. Kemudian Allah nyatakan sesiapa yang mengikut jalan lain yakni masih tidak beriman setelah diberi petunjuk yang jelas nyata; maka Allah tidak akan beri lagi petunjuk kepadanya- dia akan ditinggalkan dan dibiarkan pilih sendirilah jalan mana yang mereka nak ikut yakni jalan yang sesat! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    Maksudnya: {Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.} (As-Saaffaat 37:5)
  1. Maka Allah akan masukkannya ke dalam neraka Jahannam dan bakarnya dengan penuh azab! 
    Itulah seburuk-buruk tempat kembali- wal-‘iyazu billah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 114- {Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia.}-

    Allah nyatakan tidak ada kebaikan dalam bisikan yang buruk kecuali tiga pengecualian yang Allah bawa iaitu orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia.

    Kenapa Allah sebut kebaikan lagi (مَعْرُوفٍ) sedangkan bersedekah dan mendamaikan orang itu sudah perbuatan baik?
    Ini kerana konsep ma’ruf itu luas, banyak benda boleh menjadi kebaikan, apa saja yang boleh memberi faedah kepada umat adalah kebaikan- maka boleh berbisik kerananya! 
    Tetapi kerana Allah nak fokuskan kepada galakan bersedekah & mendamaikan orang yang bersengketa sebagai kebaikan yang amat besar sekali pahalanya maka Allah sebut pula kebaikan (مَعْرُوفٍ) secara umum untuk menyatakan banyak lagi kebaikan yang boleh dibuat.

    Hadis Nabi SAW:
    عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعودٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلاَثَةً فَلاَ يَتَنَاجَى رَجُلاَنِ دُونَ الآخَرِ حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ، أَجْلَ أَنْ يُحْزِنَهُ». روى البخاري.
    Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW. bersabda: “Apabila kamu bertiga, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menyertakan yang ketiga sebelum ia berbaur dengan yang lain, kerana hal itu dapat menyinggung perasaannya.” (HR Bukhari). 

    Ini kerana boleh menimbulkan kecurigaan & menyedihkan hati orang- jika ramai-ramai seperti tempat umum tidak jadi masalah.
  1. Ayat 114- {Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah,….}-

    Ayat ini adalah kelebihan 3 kebaikan ini.
    Semua ini menunjukkan kelebihan yang besar bagi 3 perbuatan baik ini:
    i- Orang yang menyuruh bersedekah,

    ii- Atau berbuat kebaikan,

    iii- Atau mendamaikan di antara manusia.
    Serta wajib ikhlas dalam semua kerja buat kita kerana selepas itu Allah kata: {Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah,}- nak bisik ke apa yang penting ikhlas.
  1. Ayat 114- {Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.}-

    Allah kata siapa buat semua itu akan dapat pahala yang besar.
    Allah sebut dalam ayat ini perbuatan, siapa yang buat (وَمَن يَفْعَلْ)- yakni semua kebaikan itu merangkumi sama ada kamu buat dengan kata-kata (percakapan), perbuatan, kelakuan dan sebagainya!
    Kamu buatlah semua kebaikan itu kemudian Allah akan memberi pahala yang amat besar kepada kamu, yakni kamu buat dulu kemudian Allah akan {فَسَوْف} beri pahala!
  1. Ayat 115- {Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya),}-

    Ini adalah ancaman & amaran kepada sesiapa yang menentang ajaran Rasulullah SAW sedangkan dia tahu akan kebenarannya!
    Semua dosa yang diancam dengan azab neraka, dengan laknat Allah & kemurkaan Allah adalah satu dosa besar!
    Macam dalam ayat ini Allah kata sesiapa yang menentang ajaran Rasulullah SAW & ijma ulama’ maka; {dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.}

    Tetapi ada sedikit kelonggaran, dengan syarat dia menentang & melanggar semua itu selepas mengetahui kebenarannya, selepas sudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
    Yakni diberi keuzuran jika dia jahil! 
    Tetapi jika dia alim, dia ada ilmu tetapi tidak mahu menyampaikan kebenaran kerana takut kehilangan habuan dunia maka inilah yang dimurkai Allah! 
  1. Ayat 115- {Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman,..}-

    Ayat ini menjadi dalil bahawa wajib ikut Sunnah Rasulullah SAW & wajib berpegang dengan ijma’ para ulama’ muslimin. 
    Sebagaimana kata Imam asy-Syafei rhm : Ini adalah dalil bahawa ijma’ ulama’ adalah salah satu sumber perundangan Syari’ah Islam.
    Yakni Ijma’ adalah salah satu daripada perundangan Islam yang empat:
    i- Al-Quran,

    ii- As-Sunnah,

    iii- Ijma’,

    iv- Qiyas.

    Makna ijma’ (اجماع) ialah : Sepakat ulama’ umat ini seluruhnya (ulama’ dari seluruh dunia) selepas kewafatan Nabi SAW pada mana-mana masa di atas sesuatu hukum Syara’.
    Jika ia seminar atau konvensyen biasa yang hanya dihadiri oleh sebahagian ulama’ dari beberapa negara atau kumpulan tertentu lalu mengeluarkan peraturan atau resolusi tertentu; itu bukan ijma’ walaupun peringkat antarabangsa atau peringkat kebangsaan.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs