MUNAFIQIN BERKETUAKAN KAFIR, JANGAN DUDUK BERSAMA MEREKA & MUNAFIQ MENGINTAI PELUANG.
Full video : https://youtu.be/TR0l21lEi_0?si=ud7s03oy3IDVXzhq
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 138 sehingga 141 bagi Surah An-Nisa’.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah ceritakan tentang puak munafiqin yang menjadikan orang kafir sebagai wali iaitu berketuakan kafir, mesra & sayang kepada mereka tetapi benci kepada orang beriman!
- Kemudian Allah perintahkan lagi jika ada orang yang menghina menghentam Islam atau muslimin; jangan duduk bersama mereka, tinggalkan majlis mereka atau leave grup wassap dan lain-lain seperti zaman IT ni.
- Kerja munafiqin juga mengintai peluang mencari ruang untuk menghentam orang Islam, inilah api dalam sekam atau musang berbulu ayam yang masuk dalam kelompok orang Islam dengan niat jahat!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
a) Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan untuk beriman kepada Allah.
Dalam hal beriman terdapat pula dua kumpulan iaitu:
i- Kafir tulen, yang tidak beriman dan nyata kekafirannya zahir batin.
ii- Kafir yang kedua ada dalam negara Islam ialah puak munafiqin yang kekal kufur dalam hati mereka, duduk berwala’kan kepada orang kafir, benci kepada orang beriman!
b) Maka Allah turunkan ayat ini yang menceritakan janji azab pada mereka.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersih hati dari sifat nifaq, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 138- {SAMPAIKANLAH KHABAR BERITA KEPADA ORANG-ORANG MUNAFIK: BAHAWA SESUNGGUHNYA DISEDIAKAN UNTUK MEREKA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA;} (AN-NISA’ 4:138)
- Allah suruh beri khabar gembira bagi golongan munafiq bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Khabar gembira ini senang.
- Munafiq ialah mereka yang menyamar berpura-pura Islam secara zahirnya beriman tetapi disebaliknya iaitu hati & batin mereka kafir.
Ketika bersama Rasulullah SAW & orang muslimin, lembut gigi daripada lidah manakala apabila bersama golongan kafir mereka begitu juga terhadap mereka!
- Yakni pada zahirnya mereka begitu baik sewaktu duduk bersama orang Islam, bercakap manis penuh kepalsuan- kami bersama kamu, kami menentang orang kafir dan seumpamanya.
- Permainan puak munafiqin ini amat bahaya kerana mereka berbaju Islam pada zahirnya tetapi hati mereka tetap kufur & bersama kaum kafir!
- Mereka ini golongan yang pandai berlakon mengaburi mata orang ramai, menyebabkan sukar untuk menuduh & menjatuhkan hukuman ke atas mereka.
Jika kafir terus mudah pula pengecamannya.
AYAT 139- {(IAITU) ORANG-ORANG YANG MENGAMBIL ORANG-ORANG KAFIR MENJADI TEMAN RAPAT DENGAN MENINGGALKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. TIDAKLAH PATUT MEREKA (ORANG-ORANG MUNAFIK) MENCARI KEKUATAN DAN KEMULIAAN DI SISI ORANG-ORANG KAFIR ITU, KERANA SESUNGGUHNYA KEKUATAN DAN KEMULIAAN ITU SEMUANYA IALAH MILIK ALLAH, (DIBERIKANNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA).} (AN-NISA’ 4:139)
- Antara sifat munafiq ini ialah:
i- Mereka mengambil orang kafir sebagai teman rapat, ketua atau orang yang dimuliakan & dipatuhi.
Mereka sayang, cinta, kasih tolong & bantu orang kafir.
ii- Mereka meninggalkan orang Islam yakni tidak mempedulikan orang Islam.
Orang Islam ada tetapi ditinggalkan & tidak ambil sebagai teman atau ketua.
Sama ada kerana nak jaga kedudukan atau habuan.
- Kemudian Allah mengingkari perbuatan mereka itu- perbuatan mereka itu adalah yang tidak patut iaitu: Berbaik & mencari kemuliaan dengan puak kafir, tinggalkan puak Islam untuk mendapat kedudukan, pangkat, harta dan lain-lain habuan dunia!
- Allah jawab dengan nyatakan lagi bahawa bukanlah kemuliaan itu berada di sisi orang kafir!
Kemuliaan, kekuatan dan kemenangan yang sebenar bagi setiap perkara itu adalah di sisi Allah!
Ia milik Allah yang akan diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
- Kata ulama’ tafsir : Inilah realiti sebenar puak Munafiqin iaitu berburuk sangka kepada Allah, lemah keyakianan mereka dengan pertolongan Allah!
Mereka sangka jika baik dengan orang kafir mereka akan dapat kedudukan & kemuliaan; kerana itulah orang kafir memilih orang kafir, meminggirkan orang Islam.
Beginilah sifat mereka benci & meninggalkan orang Islam semata-mata mencari kedudukan dunia!
- Berhati-hatilah, semoga Allah beri kesedaran & kefahaman kepada orang Islam:
Siapa yang kita nak walikan, siapa yang kita nak ambil sebagai teman rapat atas dunia ini, kerana Rasulullah SAW telah bersabda:
عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ.
Daripada Abu Wa`il dari Abdullah bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.” [Sahih Bukhari No: 5702]
- Inilah bahayanya al-Wala’ & al-Bara’ (mengambil sebagai ketua & teman rapat)- pada setengan tempat ia menjadi isu untuk mengecam & menuduh agama Islam sebagai tidak bertoleransi, keras tidak mahu bergabung dengan orang lain dan seumpamanya.
Kita boleh berkawan dan berurusan dalam urusan dunia dengan mereka, Islam bukan agama perang & keras, cuma menjadikan teman rapat & beri kasih sayang kerana nak cari kedudukan itu & habuan dunia itu yang tidak boleh!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT:
i- {Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.} (Faatir 35:10)
ii- Allah detailkan tentang peranan jahat orang munafiq:
{Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): “Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)”. Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafiq itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).
{Mereka berkata lagi: “Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafiq itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (Al-Munaafiquun 63: 7-8)
Rezeki & kurnia semuanya di bawah kuasa Allah bukan di tangan orang munafiq, kemuliaan juga milik Allah & milik orang Islam, bukan milik munafiqin & orang kafir.
AYAT 140- {DAN SESUNGGUHNYA ALLAH TELAHPUN MENURUNKAN KEPADA KAMU (PERINTAHNYA) DI DALAM KITAB (AL-QURAN), IAITU: APABILA KAMU MENDENGAR AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH DIINGKARI DAN DIEJEK-EJEK (OLEH KAUM KAFIR DAN MUNAFIK), MAKA JANGANLAH KAMU DUDUK (BERGAUL) DENGAN MEREKA SEHINGGA MEREKA MASUK KEPADA MEMPERKATAKAN SOAL YANG LAIN; KERANA SESUNGGUHNYA (JIKA KAMU MELAKUKAN YANG DEMIKIAN), TENTULAH KAMU SAMA SEPERTI MEREKA.} (AN-NISA’ 4:140)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia turunkan perintah-Nya kepada kamu di dalam al-Quran.
Begitulah dalam al-Quran itu ada perintah, ada larangan, galakan, ada ancaman, cerita & pengajaran.
Begitulah agar jiwa kita tidak jemu dan menarik mendengarnya.
- Allah SWT turunkan hukum Syara’ apabila kita berada dalam satu majlis di mana orang kafir, munafiq atau seumpamanya. Jika mereka hina al-Quran, hina agama Islam, ejek-ejek orang muslim; kamu tinggalkan majlis itu, jangan duduk bersama mereka!
- Firman Allah SWT:
{Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).} (Al-An’aam 6:68)
- Yakni jika ada dalam kumpulan yang menghina islam, tinggalkan kumpulan itu, jangan dicampuri mereka lagi.
Sekiranya kamu terlalai oleh syaitan & masih bersama mereka, kamu akan dikira bersekongkol & terpalit juga dengan dosa yang berkenaan.
- Jika kamu duduk juga bersama mereka, dalam kumpulan yang menghina Islam, kumpulan yang mengumpat & mengata orang- seolah kamu redha akan perbuatan dosa & maksiat mereka; maka serupalah kamu dengan mereka.
AYAT 140- {SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENGHIMPUNKAN SEKALIAN ORANG MUNAFIK DAN ORANG KAFIR DI DALAM NERAKA JAHANNAM.} (AN-NISA’ 4:140)
- Allah beri amaran dan janji azab bahawa sesungguhnya kaum munafiqin & orang kafir akan duduk sekali di dalam neraka Jahannam kelak!
Begitu juga orang-orang yang yang menyokong mendokong mereka juga akan duduk bersama mereka!
- Ini adalah sesuatu yang sangat bahaya jika berada dan duduk dalam kumpulan yang menghina Islam kerana kita akan terseret, terheret sama ke dalam balasan azab yang akan dijatuhkan ke atas mereka!
Wal ‘iyazubillah.
- Dalam ayat ini Allah kata dia kumpulkan orang kafir dan munafiq duduk setempat, sekali di dalam neraka.
Sebagai fakta : Dalam mana-mana ayat yang dikumpul bersama kafir & munafiq- Allah biasanya sebut munafiqin dulu; kecuali sekali dalam Surah At-Tahrim ayat 9, disebut kafir dahulu baru munafiq.
- Kenapa? Ini kerana munafiqin lebih teruk dari kafir biasa, lalu Allah letakkan munafiqin di hadapan.
Dengan orang kafir kita berlawan secara zahir berdepan, secara fizikal, lawan dengan senjata atau perang.
Munafiq pula adalah lawan dalaman, secara batin, kita kena lawan mereka dengan ilmu & bayan.
- Inilah susunan yang penuh mukjizat; kenapa Allah letak munafiqin dulu kemudian ada juga disebut kafir dulu, ini bukan saja-saja atau kebetulan, susunan yang penuh hikmah & ada rahsianya yang tersendiri- apa yang mampu, kita korek cari jawapan kita cari- apa yang tidak mampu kita serah kepada Allah!
AYAT 141 – {(MEREKA YANG MUNAFIK ITU IALAH) ORANG-ORANG YANG SENTIASA MENUNGGU NUNGGU (BERLAKUNYA SESUATU) KEPADA KAMU; MAKA KALAU KAMU MENDAPAT KEMENANGAN DARI ALLAH (DALAM SESUATU PEPERANGAN), BERKATALAH MEREKA (KEPADA KAMU): “BUKANKAH KAMI TURUT BERJUANG BERSAMA-SAMA KAMU? (OLEH ITU KAMI JUGA BERHAK MENERIMA BAHAGIAN DARI HARTA RAMPASAN PERANG)”. DAN JIKA ORANG-ORANG KAFIR PULA MENDAPAT BAHAGIAN (YANG MENGUNTUNGKAN DALAM PEPERANGAN), BERKATALAH MEREKA (KEPADA ORANG-ORANG KAFIR ITU): “BUKANKAH KAMI TURUT MEMBANTU KAMU DAN MEMPERTAHANKAN KAMU DARI (SERANG BALAS) ORANG-ORANG YANG BERIMAN (DENGAN MENDEDAHKAN RAHSIA PERPADUANNYA)?” MAKA ALLAH AKAN MENGHAKIMI DI ANTARA KAMU SEMUA PADA HARI KIAMAT; DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMBERI JALAN KEPADA ORANG-ORANG KAFIR UNTUK MEMBINASAKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AN-NISA’ 4:141)
- Allah selanjutnya menceritakan orang munafiq yang menunggu-nunggu nasib yang akan menimpa orang Islam, menang atau kalah?
- Maka hati-hatilah. Allah ceritakan dengan jelas & detail; tentang sifat & keadaan golongan munafiq ini:
i- Jika orang Islam menang, mereka akan datang terhegeh-hegeh mengaku bukankah kami bersama-sama kamu dalam perjuangan?
Mereka ingin menumpang kemenangan untuk dapat harta rampasan, ghanimah, hasil kemenangan perang, projek-projek kewangan. Mereka kata mereka berhak.
ii- Jika mereka lihat orang kafir pula yang menang, mereka akan segera beralih arah, mereka pergi kepada kem kafir pula mengaku mereka yang tolong puak kafir, yang memberi bantuan & membela orang kafir dengan memecah-belahakan perpaduan & kekuatan orang Islam!
Yakni kot mana sekalipun mereka akan mencari peluang & kesempatan yang boleh memberikan mereka projek & habuan dunia dari mana pihak sekalipun!
Masalahnya orang beriman mudah percaya kepada pengakuan orang lain!
Sebagaimana hakikat dalam dunia Islam ini kebanyakan pembunuhan & kemusnahan yang terjadi adalah akibat ‘spy’ atau perisik musuh yang
menusuk masuk ke dalam pertahanan orang Islam dan mencuri maklumat dalaman (Intel).
- Maka Allah kata dia akan putuskan hukuman antara orang Islam & munafiq pada hari Kiamat. Allah tidak akan beri kekuatan kepada orang kafir di dunia ini untuk menguasai dan menghapuskan dan membunuh orang Islam secara keseluruhan!
Sesungguhnya orang Islam tetap akan menang.
- Bahkan akan ada sekumpulan orang Islam yang akan menegakkan kebenaran & tidak akan memberi kesan kepada mereka orang yang khianat itu!
Pejuang agama Islam & penegak Sunnah tak akan hilang di dunia.
- Imam an-Nawawi dalam menafsirkan : Hadis ini berkata kelompok ini bukan hanya berada di suatu tempat atau negara tertentu saja seperti di Makkah, Madinah atau Pelastin sahaja, bahkan ia akan ada muncul di setiap tempat, untuk menegak & memperjuangkan agama Islam, mengajar & menyebar Sunnah Nabi SAW yang sahih!
- Sebagaimana sejarah tragis kerajaan Islam di Andalusia, Sepanyol : Daulah/Kerajaan Islam selepas beberapa ratus tahun memerintah; runtuh akibat perangai & perbuatan orang Islam sendiri yang tunduk dan wala’ kepada orang kafir!
- Kata ahli sejarah : Walaupun nama mereka (raja-raja) menunjukkan kepada kemegahan & kekuatan seperti al-Mu’tasim Billah (yang perpegang dengan Allah), al- itu al- ini- tetapi perangai tunduk kepada puak kafir, wala’ kepada puak Nasrani maka tiada nilai.
Betapa sebahagian besar para ulama’ yang lari keluar dari Andalus pada saat akhir kerana Rajanya walaupun namanya gah tetapi tindakannya lemah, tunduk kepada nasrani!
Bukan kerana Islam lemah tetapi kerana tindakan mereka terutama raja-raja pemerintah yang terakhir!!!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 138- {Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik….}-
Berilah khabar gembira tentang azab yang dahsyat dan pedih kepada kaum munafiqin!
Khabar gembira (البشارة) biasanya sesuatu yang baik & menyukakan, tetapi kerana mereka semasa hidup sentiasa menghina, memerli-mainkan orang Islam, maka Allah ajar ayat ini untuk kita balas akan perbuatan mereka itu!
Kita nak lawan dengan orang biar padan dengan perbuatan & tindak-tanduknya!
Biar kena pada tempatnya!
Disebutkan khabar gembira untuk munafiqin disebabkan sifat mereka yang suka perli Islam, suka mengejek orang Islam, maka kita berikan khabar buat mereka iaitu merupakan azab di neraka.
Dalam ayat ini Allah sebut direct nama mereka, {ٱلْمُنَـٰفِقِينَ} munafiqin, bagi kamu wahai puak munafiqin jika tak taubat-azablah bagi kamu!
Ayat ini juga mengajar kita; Jika orang hina Islam di depan kita jangan jadi syaitan bisu! Jika tidak mampu untuk lawan atau tegur, tinggalkan mereka, keluar dari majlis atau kelompok mereka itu!
- Ayat 139- {(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman…}-
Allah naskan sifat munafiqin yang sangat memberi mudharat kepada orang mukmin.
Iaitu dengan sebab mereka suka berkasih-sayang & berpakat dengan orang kafir untuk menjatuhkan orang Islam.
Allah nyatakan betapa buruknya sifat munafiq ini, yang berwala’kan & sayang kepada orang kafir tetapi benci kepada orang yang beriman!
Inilah sifat munafiq- kamu orang beriman jangan ambil sifat yang jahat ini, benci kepada orang beriman, sayang kepada orang kafir!
Jika kita nak main politik atau perniagaan apa jangan sampai ada perasaan sayang kepada orang kafir & benci kepada orang Islam.
- Ayat 139- {kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya).}-
Kemuliaan itu di sisi Allah & milik Allah kesemuanya.
Tetapi kenapa dalam ayat lain pula Allah kata kemuliaan itu milik Allah, Rasul dan orang mukmin sebagaimana firman-Nya:
{Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (Al-Munaafiquun 63:8)
Jawapan:
Kuasa mutlak ditangan Allah & kemuliaan itu milik mutlak Allah SWT tetapi oleh kerana orang mukmin ialah orang yang ikut & taat kepada Allah SWT; maka mereka juga mendapat kemuliaan & kedudukan di sisi Allah.
Seperti mana juga para rasul, insan yang ikut Allah. Maka mereka insan yang mulia di sisi Allah SWT.
Maka jika kita nak jadi orang mulia kita kena duduk & sentiasa berhubung dengan Allah Azza wa Jalla.
- Ayat 140- {maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.}-
Allah larang : kamu jangan duduk bersama dengan orang yang hina Islam selagi mereka tidak berhentinya, sama ada dalam majlis, jalasah, grup wassap atau persekitaran!
Kata ulama’ : Dosa orang yang mendengar saja adalah sama seperti perbuatan orang yang buat & cakap itu!
Seperti orang yang mendengar orang yang mengumpat kemudian dia tidak menghalang atau lari darinya!
KAEDAH : Orang yang mendengar dengan rela, berbeza dengan orang yang terdengar saja sambil lalu; tak sengaja tidak mengapa.
Tetapi jika duduk sama ikut bertepuk tangan, maka yang bersokongkol akan mendapat dosa yang sama kerana menunjukkan sokongan akan perbuatan mereka.
Kerana itu wajib kita tinggalkan tempat yang orang hina Islam! Jika tidak kita akan sama dengan mereka iaitu dari sudut dosa dapat sekali.
Kita wajib ingkarinya, kerana itu jangan duduk sekali dengan orang yang hina Islam!
Juga jika bersama orang yang mengumpat mengata kepada orang sama ada dalam majlis atau grup, sedangkan ia adalah satu fitnah yang tidak benar; kita tahu tetapi kita tidak nafi atau ingkarinya- hanya senyap seolah sokong!
Jika tak mampu pertahankan- keluar grup!
Itu bukan sifat seorang sahabat atau yang baik kerana dia diam apabila sahabatnya dihina, dia diam apabila kemungkaran berlaku di depan matanya!
Hati-hatialh hidup kita ini tak lama, kita boleh buat apa yang kita suka tertutama dengan alam maya yang ada hari ini.
Kita boleh buat apa saja yang kita suka tanpa perlu ambil lesen atau permit!
Tapi ingat; kita akan di pertanggungjawabkan dengan semua apa yang kita kata, tulis & buat.
Ingatlah, hati-hatilah; semua itu akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT!
Ingatlah, bukan senang nak lepas apabila hak seorang muslim dicarik & dicabul tanpa kebenaran!
Dulu susah nak campur ikut masuk dalam majlis orang; sekarang masing-masing ada berpuluh grup wassap dan seumpamanya.
Jika kita tidak suka sesuatu perkara yang jelas buruk itu; keluar tinggalkan grup itu!
- Ayat 140- {Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.}-
Allah kata dia akan letakkan sekali, himpun bersama orang munafiq & orang kafir di dalam neraka Jahannam!
Bahkan orang munafiqin lebih teruk daripada orang kafir; mereka akan berada di dalam neraka terbawah.
Sebagaimana dalam ayat di atas kita sudah bincangkan kenapa dalam ayat yang disebut bersama kafir & munafiq; Allah letakkan munafiq dulu baru orang kafir, kerana munafiq lebih jahat & kuat bahayanya terhadap kesatuan umat Islam.
Contoh: Ayat 73 Surah Al-Ahzab dan lain-lain.
Kecuali dalam satu ayat sahaja iaitu (ayat 9 Surah At-Tahrim)- Kerana orang kafir kita lawan secara zahir dengan senjata, manakala munafiqin kita lawan dengan ilmu, hujjah & bayan maka diletak di belakang.
Itulah sifat munafiq yang kita kena hati-hati, kita kena jaga betul-betul kerana Allah SWT akan bangkitkan kita di Akhirat kelak dengan orang kita sayangi!
Di akhir ayat Allah kata golongan Munafiqin akan sentiasa ‘mengintai-intai’, mencari peluang { يَتَرَبَّصُونَ} atas kelemahan orang Islam untuk menyakiti & untuk disampaikan laporan kepada kafir, demi menjatuhkan orang Islam.
Jika menang mereka terhegeh datang, jika kalah mereka akan melompat ke pihak musuh!
Maka berhati-hatilah dengan munafiq.
Alhamdulillah tamatlah siri kuliah kita pagi ini semoga memberi pengajaran & amaran kepada kita dalam menghadapi & menjauhi sifat munafiqin.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.