View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 15-16

HUKUM LELAKI DAN WANITA BERZINA DI AWAL PERUNDANGAN, CARA HUKUMANNYA & TAUBAT.

Full video : https://youtu.be/BtDEBzUrcxI?si=lrAv7DuExs2ofI8e

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 15 sehingga 16 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang hukum lelaki dan wanita yang berzina di awal perundangan. 
    Kemudian ayat itu dibatlkan dengan undang-undang lain yang khas sehingga ke hari Kiamat nanti.
    Iaitu lelaki & perempuan yang belum berkahwin (البكر) berzina maka hukumnya ialah 100 kali sebatan.
    Manakala bagi yang telah pernah berkahwin الثيب – محصن
    melakukan perbuatan jahat itu- mereka akan direjam. 
  1. Allah nyatakan cara hukumannya dan galakan untuk bertaubat.
  1. Sesiapa yang bertaubat sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukum lelaki & perempuan penerima pusaka secara terperinci. 
    Bermula dari anak-anak & ibu bapa, kemudian suami & isteri & al-Kalalah- orang yang tidak meninggalkan pewaris dari kalangan ibu bapa atau anak cucu.

    ii- Kemudian ayat ini datang memberitahu bahawa kerana Islam telah membela & mengangkat martabat wanita dengan tinggi & mulia; maka jangan lagi melakukan amalan jahiliyyah iaitu melakukan perbuatan keji iaitu zina sama ada sukarela atau tidak!
    Dalam ayat ini dibawa hukum bagi zina pada awal perundangan Islam iaitu:
    i- Wanita akan dikurung dalam rumahnya sehingga mati.

    ii- Bagi lelaki pula dimaki, dikeji, dipukul dengan selipar untuk menghinanya!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 15- {DAN SESIAPA YANG MELAKUKAN PERBUATAN KEJI (ZINA) DI ANTARA PEREMPUAN-PEREMPUAN KAMU, MAKA CARILAH EMPAT ORANG LELAKI DI ANTARA KAMU YANG MENJADI SAKSI TERHADAP PERBUATAN MEREKA. KEMUDIAN KALAU KETERANGAN-KETERANGAN SAKSI ITU MENGESAHKAN PERBUATAN TERSEBUT, MAKA KURUNGLAH MEREKA (PEREMPUAN YANG BERZINA ITU) DALAM RUMAH HINGGA MEREKA SAMPAI AJAL MATINYA, ATAU HINGGA ALLAH MENGADAKAN UNTUK MEREKA JALAN KELUAR (DARI HUKUMAN ITU).} (AN-NISA’ 4:15)

  1. Allah SWT bawa hukuman, jika ada orang melakukan perbuatan keji {ٱلْفَـٰحِشَةَ} iaitu zina di antara perempuan- perempuan kamu (muslimah)- maka carilah empat orang lelaki muslim untuk menjadi saksi atas perbuatan mereka yang keji itu!
    Pada peringkat awal hukum sama saja sama ada perempuan yang masih bujang atau telah kahwin.
  1. Allah panggil zina sebagai satu perbuatan keji kerana ia membawa banyak kesan buruk seperti meruntuhkan maruah, memporak-perandakan sitem kekeluargaan, bercampur-aduk nasab keturunan dan pelbagai keburukan lagi.
  1. Allah SWT mulakan dengan menyebut wanita dahulu dalam perbuatan zina ini kerana zina ini membawa kemudharatan yang besar & kesan buruk yang amat dahsyat ke atas wanita berbanding dengan lelaki.
  1. Jika keterangan & penyaksian saksi itu jelas dan dapat mengesahkan sabit perbuatannya maka jatuhkan hukuman ke atasnya.
  1. Maka hukumannya ialah:
    i- Kurungnya di dalam rumah, mereka tidak boleh keluar sehingga tiba ajal mereka.

    ii- Atau tunggu sehingga Allah SWT jadikan bagi mereka satu jalan keluar (hukuman) yang selain daripada itu!
  1. Kata ulama’ : Ayat 15 & 16 ini dimansukhkan (batal hukumannya) dan telah ijma’ ulama’ tafsir tentang pembatalan hukumnya.
    Ia dibatalkan dengan turunnya firman Allah SWT ini:
    {Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.} (An-Nuur 24:2)
  1. Hadis dari Ubadah Bin As-Somit RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: 
    Ambillah dariku, ambillah dariku. Allah telah memberi jalan keluar bagi mereka: Pemuda yang berzina dengan gadis disebat seratus kali dan diasingkan. Lelaki yang sudah menikah berzina dengan perempuan yang sudah menikah, disebat seratus kali dan direjam.” (HR Muslim)
  1. Kata Ibnul Jauzi RHM: 
    i- Tidak ada perbezaan pandangan ulama’ tentang terbatalnya tentang hukum ini daripada zina. 

    ii- Cuma mereka berbeza pendapat tentang dengan dalil mana ia dibatalkan. Sama ada dengan ayat 2 Surah An-Nur itu atau dengan hadis Ubadah tadi.
  1. Komentar dari Imam Ibnu Kathir rhm.: 
    i- Adalah undang-undang pada awal perundangan Islam apabila sabit seorang perempuan itu berzina dengan saksi yang adil; maka ia akan dihukum kurungan dalam rumah sehingga ia mati atau sehingga Allah bawa jalan keluar kepadanya. 

    ii- Maka jalan keluar itu ialah dengan Allah turunkan ayat ke-2 Surah An-Nur membatalkan hukum yang pertama dari ayat ini & bawa hukum baru.
  1. Beberapa hukum tentang zina ini:
    i- Hukum sebat bagi penzina yang belum kahwin sama ada lelaki atau perempuan adalah sabit daripada al-Quran. Siapa yang ingkar ini jelas dia ingkar akan al-Quran.

    ii- Manakala hukum rejam bagi orang yang telah berkahwin, sabit dengan hadis Nabi SAW. Serta pernah turun ayat al-Quran yang berbunyi: {Orang tua perempuan & orang tua lelaki yang berzina mereka dihukum rejam sehingga mati..}– Kemudian dinasakh bacaan ayatnya tetapi hukumannya tetap kekal! 
    Inilah pandangan majoriti ulama’.
  1. Tetapi kita lihat hari ini,ulama’ semasa menolak undang-undang rejam kerana ia tidak sabit daripada al-Quran, menyalahi peraturan kemanusiaan (“human rights”)- inilah yang terjadi dalam dunia hari ini.
  1. Tetapi kita sebagai pencinta al-Quran kita kata undang-undang itu sabit, ia tidak berjalan itu cerita lain, para pemerintah umat Islam atas dunia ini merekalah yang bertanggungjawab di hadapan Allah SWT di Akhirat nanti.
  1. Kita jangan pula rasa untuk menyokong pandangan ini- kerana sabit hukum rejam dalam al-Quran & as-Sunnah. 
    Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menceritakan bahawa Baginda SAW telah merejam lelaki dan wanita yang mengaku telah berzina.
    i- Dari Abu Hurairah RA mengatakan:
    “Seseorang mendatangi Rasulullah yang ketika itu sedang berada di masjid. Dia menyeru beliau dan berkata: “Aku telah berzina.” Nabi SAW memalingkan mukanya, namun orang itu mendatangi dari arah mukanya yang lain dan berkata: “Ya Rasulullah, aku telah berzina!” Nabi tetap berpaling, namun orang itu datang lagi dari sebelah muka beliau yang sebelumnya dipalingkan. Setelah dia bersaksi empat kali atas dirinya, maka Nabi SAW memanggilnya dan bertanya: “Apakah kamu mengalami sakit gila?” “Tidak”, jawabnya. “Kamu sudah menikah?” tanya Nabi. “Ya”, jawabnya. Maka Nabi SAW bersabda: “Pergilah kalian bersama orang ini, dan rejamlah dia!” Jabir bin Abdullah RA berkata: “Aku di antara yang merejamnya, kami merejamnya di tanah lapang. Setelah dia terkena lemparan batu, dia melarikan diri, maka kami menangkapnya di Harrah dan kami tetap merejamnya.” (Sahih Bukhari, no. 6317, no. 6321, no. 6325)

    ii- Dari Imran bin al-Husain, bahawa seorang wanita dari Juhainah datang menghadap kepada Nabi SAW (pemerintah), padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah melanggar hukum, oleh kerana itu tegakkanlah hukuman itu (rejam) ke atasku.” Lalu Nabi Allah memanggil wali perempuan itu dan bersabda kepadanya: “Rawatlah wanita ini sebaik-baiknya, apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku.” Lalu walinya melakukan pesan tersebut. Setelah itu Nabi SAW memerintahkan untuk merejam wanita tersebut, maka pakaian wanita tersebut dirapikan (agar auratnya tidak terbuka ketika direjam). Kemudian beliau perintahkan agar dia direjam. Setelah direjam, Baginda SAW mengsolatkan jenazahnya, hal itu menjadikan Umar Al-Khattab bertanya kepada Baginda: “Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia telah berzina?” Baginda menjawab: “Sungguh, dia telah bertaubat kalau sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama (hebat) daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?” (Sahih Muslim, no. 3209, Sunan Abu Daud, no. 3852)
  1. Sudah sabit dengan jelas hukuman ini, maka jangan kita nak rempu undang-undang Allah ini dengan segala hak dan perlembagaan & undang-undang yang dicipta manusia.
    Ingatlah siapa kita semasa berhadpan dengan Allah SWT!

AYAT 16- {DAN (MANA-MANA) DUA ORANG DI ANTARA KAMU YANG MELAKUKAN PERBUATAN YANG KEJI ITU, (SETELAH SABIT KESALAHANNYA) MAKA HENDAKLAH KAMU MENYAKITI KEDUANYA; KEMUDIAN JIKA MEREKA BERTAUBAT DAN MEMPERBAIKI KEADAAN DIRI MEREKA (YANG BURUK ITU), MAKA BIARKANLAH MEREKA; KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH SENTIASA MENERIMA TAUBAT, LAGI MAHA LUAS RAHMAT-NYA.} (AN-NISA’ 4:16)

  1. Hukum yang tersebut dalam ayat ini dan ayat 15 sebelumnya telah dimansukhkan oleh ayat al-Quran dari Surah An-Nur dan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ubadah bin As-Somit yang menyatakan hukum bagi para penzina!
  1. Hukum asal ini ialah apabila sabit jenayah zina atas seseorang sama ada lelaki atau perempuan, pernah berkahwin atau tidak, maka:
    i- Hendaklah menyakiti keduanya- di letak dikhalayak ramai, dilontarkan kata-kata buruk kepada mereka, dicaci-maki- dihina dengan kata, kemudian dilontar sama ada dengan batu selipar dan lain -lain. 

    ii- Kemudian apabila mereka bertaubat dan insaf, serta baiki diri mereka & mahu memulakan kehidupan baru dengan ikhlas; maka berhentilah dari menyakiti mereka!
  1. Ini kerana Allah telah membuka pintu hati mereka untuk bertaubat nasuha maka pastilah Allah akan menerima taubat mereka. Inilah rahmat Allah yang paling besar kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmat-Nya.
  1. Ya Allah semoga kita adalah orang yang dibuka pintu hatinya oleh Allah untuk sentiasa bertaubat, sentiasa beristighfar; lalu Allah menerima taubat kita serta mengampun dan menghapuskan segala dosa-dosa kita yang lalu! 
  1. Tentang cara & waktu bertaubat yang sebenar akan kita lihat dalam ayat seterusnya nanti insya’ Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15- {Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.}-

    Allah menyatakan untuk menjadi saksi perbuatan zina itu ialah empat orang lelaki yang beriman!
    Ulama’ tadabbur kata : Ayat ini menunjukkan bahawa golongan lelaki lebih kuat & kukuh kesaksiannya. 
    Ini kerana Allah tidak akan menerima saksi dalam kes zina ini kecuali dengan 4 orang lelaki yang beriman yang menyaksikan dengan jelas perbuatan zina itu!
    Hikmahnya kerana bukan mudah untuk menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang manusia. Kerana itu hukuman zina yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW adalah dengan pengakuan penzina itu sendiri! 
    Ini kerana sukar sekali untuk mencari saksi sebegitu. Hatta hadis Rasulullah SAW yang mengatakan wajib nampak dengan jelas.
  1. Ayat 15- {Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.}-

    Wajib bawa empat orang saksi lelaki muslim yang menjadi saksi perbuatan zina itu.
    Hikmah disyaratkan sehingga 4 orang saksi itu ialah kerana undang-undang hudud ini boleh ditolak dengan ada keraguan dan kesamaran!
    Apabila salah seorang saksi itu ada keraguan atau waswas maka tidak boleh dijalankan hukuman hudud.
    Negara Arab Saudi adalah satu-satunya negara yang masih mengamalkan undang-undang hudud. 
    Tetapi bukan senang dan boleh dilakukan setiap hari! 
    Sebelum dijatuhkan hukuman nak pancung atau bunuh orang itu bukan mudah- ada beberapa lapisan prosedur perlu kepada beberapa perbicaraan dan mahkamah khas selepas saksi yang yang.
    Undang-undang hudud ini apabila dijalankan hendaklah dilakukan dihadapan khalayak ramai, mesti ada segolongan manusia yang menyaksikannya! 
    Ini supaya ia dapat memberi pengajaran & menakutkan orang ramai daripada mendekati perbuatan tersebut!
  1. Ayat 15- {maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya,}-

    Hukuman tahan wanita di dalam rumah ini adalah sebagai satu hukuman dan menjaga maruah kehormatannya!
    Bahkan wanita Muslimah yang biasa pun digalakkan untuk berada di rumahnya jika tiada keperluan untuk keluar untuk menghalangnya daripada fitnah. 
    Pada zaman itulah, zaman sekarang berada dalam rumah pun belum tentu selamat lagi!
    Tetapi undang-undang ini masih berjalan sebenarnya.
    i- Firman Allah SWT:
    {Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu;…} (Al-Ahzaab 33:33)

    ii- Bahkan solat pun lebih naik di rumah. 
    Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
    صَلاَةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي حُجْرَتِهَا وَصَلاَتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي بَيْتِهَا
    Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya”. [HR Daud, No. 570].

    Ini pada zaman wanita tidak bebas keluar rumah. Zaman wanita penuh dengan sifat malu dan menjaga diri daripada pandangan lelaki Ajnabi.
    Zaman kita ini sudah terbalik sekarang- wanita keluar rumah sejak dari pagi sehingga ke malam dengan pelbagai sebab & keperluan.
    Maka untuk keluar solat ke masjid bukan lagi satu pendedahan bagi mereka kerana mereka sudah sedia terdedah pun! 
    Jadi jangan jadikan hadis ini sebagai halangan untuk solat jemaah di masjid pagi para wanita kita hari ini jika ia tidak menimbulkan fitnah dan dapat keizinan atau pergi suami, atau mahram lain.
    Sabda Rasulullah SAW: «إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ، إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ»
    Antara perkataan para Nabi terdahulu yang telah diketahui orang ramai ialah: Jika kamu tidak malu, lakukanlah apa yang kamu mahu. (HR Al-Bukhari di dalam Sahih Al-Bukhari, bilangan: 3483)
  1. Ayat 15- {Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu,..}-

    Kenapa Allah SWT namakan zina itu sebagai satu perbuatan keji “Fahisyah”?
    Sedangkan kalau nak kira dosa besar lain lebih teruk lagi seperti syirik, kufur, bunuh orang dan lain-lain tetapi Allah tak sebut sebagai perbuatan keji {ٱلْفَـٰحِشَةَ} hanya sebut sebagai dosa besar {الكبائر}. 
    Tetapi yang terlibat dengan zina liwat, LGBT dan seumpamanya itu Allah panggil al-Fahisyah {ٱلْفَـٰحِشَةَ}.

    Kata ulama’ tadabbur Fakharuddin Ar-Razi RHM: Kerana kekuatan yang menguruskan badan manusia ini ada tiga:
    i- Kekuatan percakapan iaitu lidah : Rosaknya kawalan kekuatan percakapan akan membawa kepada kufur atau syirik kepada Allah atau pergi kepada bid’ah mengata & melakukan amalan yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW.

    ii- Kekuatan marah :Rosak kawalan kemarahan akan membawa kepada pergaduhan, pembunuhan & caci maki- pukuk memukil dan seumpamanya.

    iii- Kekuatan syahwat : Rosaknya kawalan kekuatan syahwat ini akan membawa kepada zina, liwat, lesbian dan lain-lain perbuatan keji yang berkait dengan seks haram.
    Inilah yang paling karutnya apabila rosaknya kekuatan kawalan nafsu kerana akan berlakulah kerosakan yang besar itu percampuran nasab keturunan, rosak & hilang maruah dan seumpamanya.
  1. Ayat 15- {maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya..}-

    Ulama’ tadabbur kata : Ini menjadi dalil bahawa orang yang berdosa, yang tidak tahu hukum-hakam boleh kita gunakan pendekatan hukuman penjara. 
    Kemudian dididik, diajar, diasuh, diberi ilmu & maklumat, taklimat sehingga dia faham hukum Syara’ & adab!
    Penahanan ini amat penting juga untuk menyelesaikan masalah sosial yang berlaku!
    Tetapi hari ini orang kata bahaya juga nanti sesama penjahat itu akan bertukar-tukar skill mereka pula apabila mereka bercampur! 
    Tidak mengapa cuma jangan campurkan mereka yang terlalu jahat dengan penjenayah biasa.
    Allah nyatakan dalam ayat ini beberapa perkara- jika mereka bertaubat maka hentikanlah hukuman menyakiti mereka tadi.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs