Surah An-Nisa’ : Ayat 17-18

SYARAT DITERIMA TAUBAT, WAKTU BERTAUBAT & TAUBAT SI KAFIR.

Full video : https://youtu.be/gsSUOXKU-q0?si=-0caBQ-o8Jo4KFQa

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 17 sehingga 18 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan tentang syarat diterima taubat, bagaimana caranya nak bertaubat dengan sebenar.
  1. Bilakah waktu bertaubat yang akan diterima Allah SWT. Kerana ada waktunya pintu taubat akan ditutup & taubat tidak akan diterima lagi.
  1. Juga tentang taubat si kafir apabila dia sudah tengok azab. 
    Sebagaimana Firaun yang baru nak bertaubat selepas lemas di dalam laut- semua taubat ini tidak akan diterima lagi.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukuman ke atas orang yang melakukan perbuatan keji seperti zina, liwat dan sebagainya. 
    Pada awalnya hukuman dikurung dalam rumah bagi wanita serta disakiti dengan celaan & hinaan ke atas kedua pelaku perbuatan tersebut.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT nyatakan syarat & cara bertaubat serta bilakah waktunya diterima taubat, Allah SWT telah menetapkan ada waktunya.
  1. Kerana itu kita orang yang beriman jangan main-main dengan taubat ini, jangan menangguh-nagguhkan taubat! 
    Kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan datang. 
    Bahkan ulama’ mengatakan : Menangguhkan taubat itu sendiri satu perbuatan yang perlu bertaubat darinya juga!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bertaubat, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 17- {SESUNGGUHNYA PENERIMAAN TAUBAT ITU DISANGGUP OLEH ALLAH HANYA BAGI ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN DISEBABKAN (SIFAT) KEJAHILAN KEMUDIAN MEREKA SEGERA BERTAUBAT, MAKA (DENGAN ADANYA DUA SEBAB ITU) MEREKA DITERIMA ALLAH TAUBATNYA; DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:17)

  1. Allah akan menerima taubat jika seseorang yang melakukan kejahatan kerana kejahilannya, kemudian mereka segera bertaubat apabila tahu, insaf & meninggalkannya.
  1. Jahil : Tidak tahu akan amaran & janji buruk Allah akannya, maka semua yang derhaka kepada Allah SWT akan dikira jahil- walaupun dia tahu benda itu haram tetapi dia tetap buat; maka dia dikira jahil!
  1. Beberapa pandangan ulama’ salaf tentang maksudnya orang jahil ini:
    i- Imam Qatadah RHM berkata : Para sahabat telah bersetuju bahawa semua perkara maksiat atau derhaka kepada Allah itu dikira jahil sama ada dibuat dengan sengaja atau tidak!

    ii- Imam Mujahid RHM : Semua orang yang derhaka kepada Allah SWT, sengaja atau tidak; akan dikira jahil sehingga dia bertaubat kepada Allah SWT.

    iii- Abu al-‘Aliyah RHM : Semua dosa-dosa yang dibuat oleh manusia maka dia dikira orang jahil.
  1. Sebab maksiat & derhaka itu dikira jahil kerana: 
    Mereka derhaka kepada Allah SWT. 
    Jika mereka benar-benar gunakan ilmunya; mereka tidak akan derhaka kepada Allah SWT.
    Walaupun mereka mempunyai pangkat & gelaran sebagai orang alim- orang yang buat maksiat & dosa kepada Allah SWT itu akan dianggap jahil walaupun dia alim pada zahirnya!
  1. Ini kerana jika dia betul-betul menghayati ilmunya dia tidak akan sesekali buat maksiat kepada Allah. 
    Maka dia jahil akan janji & ancaman buruk yang akan menanti di Akhirat kelak.
  1. Mereka yang buat dosa ini, apabila sedar & insaf, mereka wajib segera bertaubat. 
    Taubat ini ada tempohnya, Allah akan terima taubat mereka yang segera bertaubat semasa masih hidup bukan dekat nak mati dan malaikat maut di sebelah!
  1. Dalilnya : Hadis riwayat daripada Abdullah ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Allah SWT menerima taubat daripada hamba-Nya selagi mana nyawa belum tiba di halkum.” [HR at-Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain].

    Taubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, yang ikhlas kepada Allah SWT.
  1. Syarat diterima taubat itu pula:
    i- Berhenti & tinggalkan segala dosa-dosa itu! Seperti nak taubat daripada riba, tukar & keluarkan segala duit kita di dalam akaun atau bank yang mengamalkan riba.

    ii- Menyesali dosa-dosa itu. Sabda Rasulullah SAW: Menyesal (الندم توبة) itu sendiri sudah satu taubat. [HR Ibnu Majah & Ahmad].

    iii- Berazam untuk tidak akan buat lagi.

    iv- Segera bertaubat sebelum ditutupnya pintu taubat! 
    i- Sama ada pintu kecil taubat iaitu pintu individu- sebelum nak mati, nyawa sudah dihalkum.

    ii- Pintu besar iaitu Kiamat, apabila matahari naik di sebelah barat.
    Sabda Nabi SAW maksudnya: “Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya.” [HR Ahmad].

    v- Sekiranya dosa & maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, kita dengan orang- khianat, ambil barang orang, fitnah, buat tuduhan & seumpamanya – maka syaratnya ada empat- Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu): 
    Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya, wajib minta maaf & halal daripada tuannya. 
    Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). 
    Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. 
    Jika ia berbentuk ghibah (umpatan), maka harus minta dihalalkan.
    Inilah yang susah & mencemaskan kita- hak sesama manusia atau kezaliman sesama manusia! Nanti di Akhirat akan muflis jika hubungan sesama manusia ini gagal!
    Manakala untuk meminta keampunan daripada Allah SWT, taubat yang dilakukan hendaklah memenuhi sekurang-kurangnya empat syarat yang telah disebutkan di atas.
  1. Maka jika mereka yang buat kejahatan & dosa ini bertaubat sebelum dia mati, dengan segala syarat taubat dipenuhi: Allah akan ampunkan & terima taubatnya serta Allah terima kembalinya itu!
  1. Kemudian Allah tutup ayat ini dengan mengatakan- {Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}– yakni Allah tahu siapa yang insaf & bertaubat, siapa yang menyesal & bertaubat; maka Allah akan terima taubatnya!

AYAT 18- {DAN TIDAK ADA GUNANYA TAUBAT ITU KEPADA ORANG-ORANG YANG SELALU MELAKUKAN KEJAHATAN, HINGGA APABILA SALAH SEORANG DARI MEREKA HAMPIR MATI, BERKATALAH IA: “SESUNGGUHNYA AKU BERTAUBAT SEKARANG INI,” (SEDANG TAUBATNYA ITU SUDAH TERLAMBAT), DAN (DEMIKIAN JUGA HALNYA) ORANG-ORANG YANG MATI SEDANG MEREKA TETAP KAFIR. ORANG-ORANG YANG DEMIKIAN, KAMI TELAH SEDIAKAN BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AN-NISA’ 4:18)

  1. Ayat ini menyatakan tentang kumpulan yang ditolak taubatnya iaitu taubat orang yang terdesak. 
  1. Allah tidak akan terima taubat:
    i- Orang yang menangguhkan taubat. Iaitu orang yang melakukan dosa & perkara yang haram; yang tidak bertaubat sehingga kematian sudah hampir, malaikat maut sudah datang dan nyawa sudah di halkum!

    ii- Orang kafir yang mati dalam kekufuran- tiada guna lagi penyesalan mereka di Akhirat kelak! Azab siksa Allah menunggu mereka di akhirat nanti.
    Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami sesungguhnya Engkau Maha Pengampun!
  1. Ambillah peluang yang Allah anugerahkan kepada kita, jangan ditangguh & disia-siakan jika kita tidak mahu menjadi orang yang rugi! 
  1. Beberapa kategori taubat yang sering kita sebut:
    i- Taubat yang betul-betul taubat & insaf iaitu taubat nasuha.

    ii- Taubat ulu golok, taubat yang main-main & tidak bersungguh-sungguh, sudah taubat ada niat nak buat pula.

    iii- Satu lagi pada zaman kita ini taubat trak, orang yang bertaubat apabila kena tangkap oleh pihak penguasa dan diletak atas trak.

PENUTUP & FAEDAH :

Untuk faedah pertama kita undur kepada satu ayat dalam siri yang lepas:

    1. Ayat 16- {Kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmat-Nya.}-

      Sekiranya orang yang melakukan dosa dan keburukan itu insaf dan bertaubat sungguh-sunguh dengan taubat nasuha, bukan main-main serta perbaiki diri mereka; maka biarkanlah mereka.
      Yakni sekiranya yang bersalah sudah bertaubat nasuha insaf dan memperbaiki diri, janganlah lagi kita orang ramai mengungkit dosa-dosa mereka yang lepas, bahkan terima mereka dengan tangan terbuka.
      Kata ulama’ : Sepatutnya masyarakat kena ada tolenrasi, ada kasihan belas terhadap dosa-dosa mereka ini yang lepas.
      Mereka memang berdosa & buat maksiat dulu, tetapi mereka sudah insaf & bertaubat serta tinggalkan segala keburukan itu!
      Allah larang menghina mereka yang sudah taubat & kembali kepada Allah.
      Allah ajar kepada kita : Jika orang yang betul-betul bertaubat dan telah membaik-pulih dirinya daripada kerosakan yang dibuatnya, maka kita kena terima dia kembali dalam masyarakat.
      Jangan lagi ungkit cerita lamanya agar mereka tidak lari kembali kepada kehidupan gelap mereka dulu.
      Penerimaan masyarakat amat penting untuk mereka ini meneruskan kehidupan baru ke arah yang lebih baik.
      Insya’ Allah, jika mereka betul-betul taubat, insaf & baik-pulih kerosakan diri; Allah akan campakkan perasaan penerimaan masyarakat kepada mereka!
    1. Ayat 17- {Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan}-

      Allah jamin untuk menerima taubat sesiapa yang buat dosa kerana kejahilan walaupun yang berilmu sekalipun. Kerana siapa buat dosa dia adalah jahil!
      Kata ulama’ : Setiap orang yang buat benda buruk akan dikira jahil & bodoh. 
      i- Jahil tidak sedar akan akibat buruk yang akan menimpanya di Akhirat kelak.

      ii- Serta bodoh kerana menjatuhkan dirinya dalam kehinaan & kebinasaan dengan melakukan perkara buruk tersebut sedangkan dia mulia dengan ilmu yang Allah beri kepadanya.
    1. Ayat 17- {Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan..}-

      Allah kata orang yang buat kejahatan adalah kerana kejahilan.
      Maka ulama’ buat kesimpulan bahawa punca perbuatan maksiat & dosa itu berpunca dari kejahilan. 
      i- Sama ada betul-betul jahil dari segi ilmu, memang tidak ada ilmu, tidak tahu ianya haram, tidak tahu ia membawa mudharat, tidak tahu ia akan membawa kepada dosa & azab. Ini adalah jahil ilmu!
      Contoh kejahilan yang ketara adalah merokok dalam ibadat haji. 
      Taubatlah sekarang sebelum berangkat untuk menunaikan haji!

      ii- Ada ilmu tetapi jahil & bodoh juga kerana dia tahu tetapi dia buat juga! 
      Ini adalah golongan yang susah untuk menerima nasihat & berubah.
      Jika nak bertaubat & tinggalkan maksiat, wajib ada niat nak berubah, kena ada keazaman yang tinggi, yang kuat untuk berubah! 
      Jika memang niat tak nak berubah- dia tidak akan berubah!
    1. Syarat taubat Allah sebut di sini ialah buat kerana jahil, maka Allah akan terima taubatnya.

      Allah sebut di sini syarat taubat. Seperti yang telah kita sebut di atas:
      i- Tinggalkan dosa,

      ii- Menyesali perbuatannya yang lalu,

      iii- Berazam untuk tinggalkan selama-lamanya,

      iv- Jika terlibat dengan hak orang pulangkan dan minta maaf. 

      v- Bertaubat ketika pintu taubat masih terbuka.

      Sebagaimana firman Allah SWT tentang Firaun:
      {Sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”.} (Yunus 10:90) Lalu Allah jawab: {(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?} (Yunus 10:91)
      Lalu tenggelamlah Firaun dan Allah tidak terima taubatnya yang sudah terlewat.
      Malangnya ada juga manusia yang sesat yang mengatakan Firaun ini orang yang beriman dengan ayat ini, begitu juga dengan Abu Lahab dan lain-lain. Inilah fahaman pelik yang perlu kita jauhi!
    1. Ayat 18- {Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati,}-

      Allah kata apabila kematian tiba, tiada lagi taubat!
      Ayat ini menjadi dalil bahawa wajib segera bertaubat. Ini kerana kita tidak tahu bila malaikat maut datang untuk mengambil nyawa kita.
      Cara bertaubat orang Islam tidak ada ritual & acara- tidak perlu acara perdana apa- tidak ada acara solat sunat taubat mingguan di masjid dan seumpamanya. 
      Bila kita tau ada rasa telah tersalah- terus bertaubat, solat sunat taubat secara individu dan tinggalkan maksiat. Jangan tangguh-tangguh lagi!
      ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم، وتب علينا إنك أنت التواب الرحيم.

    Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs