Surah An-Nisa’ : Ayat 173-175

BALASAN ORANG TAAT, HUJJAH YANG NYATA DIBERIKAN & MENDAPAT SIRAT AL-MUSTAQIM.

Full video : https://youtu.be/dLuUc53MBjc?si=nsYKLto6KySm8e9z

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 173 sehingga 175 bagi Surah An-Nisa’.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan tentang balasan orang yang taat & beriman, mereka akan mendapat balasan pahala yang besar. 
    Manakala orang yang enggan sombong tidak mahu beriman, maka akan dihumbankan ke dalam azab & tiada siapa yang dapat menolongnya!
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa hujjah yang nyata telah diberikan dengan Kitab yang bercahaya ini, sesiapa yang beriman akan dapat anugerah Allah iaitu balasan pahala yang besar.
  1. Mereka juga akan mendapat Sirat Al-Mustaqim, menuju ke syurga Allah di atas jalan yang lurus, jalan yang penuh petunjuk & hidayah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Nabi Isa AS & malaikat adalah hamba Allah yang sentiasa taat patuh kepada Allah, tidak ingkar & tidak enggan akan perintah Allah. 

    ii- Maka kamu orang yang beriman, jika kamu beriman & beramal soleh sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Isa AS & para malaikat al-Muqarrabun; maka kamu akan nikmat & pahala, Allah akan sempurnakan balasan pahala & anugerah nikmat yang amat besar untuk kamu.

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 173- {SESUDAH ITU, ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERAMAL SOLEH, ALLAH AKAN MENYEMPURNAKAN BAGI MEREKA PAHALA (BALASAN) MEREKA, DAN IA AKAN MENAMBAHKAN LAGI LIMPAH KURNIANYA KEPADA MEREKA. SEBALIKNYA ORANG-ORANG YANG ENGGAN BERIBADAT KEPADA ALLAH DAN BERLAKU SOMBONG TAKBUR, MAKA ALLAH AKAN MENYEKSA MEREKA DENGAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN MEMPEROLEH SESIAPA PUN – YANG LAIN DARI ALLAH – YANG AKAN MENJADI PELINDUNG ATAU PENOLONG BAGI MEREKA.} (AN-NISA’ 4:173)

  1. Allah nyatakan bahawa mereka yang telah menggumpulkan dua sifat ini:
    i- Beriman kepada Allah sebagaimana yang telah Allah perintahkan dalam rukun iman.

    ii- Menunaikan amalan soleh sama ada ibadat yang wajib atau yang sunat dengan ikhlas dan mengikut ajaran Nabi SAW.
    Yang wajib jika tak buat berdosa manakala yang sunat tak buat rugilah pahalanya!
  1. Allah akan berikan balasan, upah & ganjaran yang cukup mengikut kadar iman dan amal soleh mereka itu! 
    Tidak ada orang yang akan kerugian & dizalimi!
  1. Kenapa Allah sebut pahala & balasan sebagai upah/ganjaran (أُجُورَهُمْ) dalam ayat ini?
    Jawapan:
    i- Ini kerana jika kata pahala saja- ianya bergantung kepada ihsan semata-mata- nak beri boleh, tak nak beri boleh.

    ii- Manakala perkataan ganjaran atau upah ia mengandungi tanggungjawab. 
    Lalu Allah guna perkataan upah untuk menunjukkan bahawa pahala itu Allah akan bayar atau berikan, kamu jangan bimbang segala amal soleh itu akan diberikan ganjaran pahalanya seolah satu upah yang wajib!
    Betapa indah & lengkapnya bahasa al-Quran! Setiap perkataan yang Allah guna pasti ada makna & erti yang khas.
  1. Kemudian Allah akan menambahkan lagi limpah kurnia-Nya kepada mereka- selain daripada balasan yang dijanjikan di dunia & di Akhirat; Allah Yang Maha Berkuasa maka Dia akan berikan bergantung kepada ihsan-Nya.
  1. Manakala orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, sama ada kerana:
    i- Dia kafir yang tidak beriman atau 

    ii- Orang Islam yang malas & enggan tidak mahu beribadat; serta sombong.
  1. Maka Allah SWT akan azab mereka dengan azab yang tidak terperi, amat menyakitkan & amat pedih!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.} (Ghaafir 40:60)
  1. Serta mereka tidak akan dapati sesiapa yang dapat menjadi penolong mereka untuk menghalang dari azab ini! 
    Jika Tuhan murka dan tidak sayang, lalu Allah beri azab; tiada siapa lagi boleh bantu & tolong untuk menyelamatkan kita! 
    Wal ‘iyazu billah!

AYAT 174- {WAHAI SEKALIAN UMAT MANUSIA! SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU: BUKTI DARI TUHAN KAMU, DAN KAMI PULA TELAH MENURUNKAN KEPADA KAMU (AL-QURAN SEBAGAI) NUR (CAHAYA) YANG MENERANGI (SEGALA APA JUA YANG MEMBAWA KEJAYAAN DI DUNIA INI DAN KEBAHAGIAAN YANG KEKAL DI AKHIRAT KELAK).} (AN-NISA’ 4:174)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah batalkan, kondem & tolak keraguan yang telah ditimbulkan oleh penentang Islam sama ada dari kalangan ahli kitab yahudi & Nasrani, musyrikin atau puak munafiq, liberal sekular.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah tegakkan hujjah ke atas mereka & dalil yang jelas bahawa segala hujjah & fahaman mereka itu batil! 
    Allah juga tegakkan hujjah bahawa kita semua ini hamba Allah! 
    Allah tegakkan hujjah ini untuk membimbing kita ke jala yang diredhai-Nya! 
  1. Dalam al-Quran ini sudah ada semua dalil bukti yang nyata tentang keagungan & keEsaan Allah SWT!
  1. Telah datang kepada kamu bukti (بُرْهَـٰنٌۭ) dari Allah iaitu Nabi SAW yang telah terbukti kebenaran yang jelas & nyata sebagai utusan Allah Azza wa Jalla! 
    Yang tersembunyi & tidak jelas itu adalah minda yang masih terjajah, yang menganggap perundangan ciptaan manusia itu lebih baik untuk manusia atas dunia ini!
  1. Allah juga telah menurunkan Al-Quran sebagai Nur (cahaya) yang jelas bagi menerangi jalan untuk dipilih untuk manusia.
    Iaitu untuk menerangi segala perkara yang boleh:
    i- Membawa kejayaan di dunia ini

    ii- Dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
  1. Maka kamu yang nak selamat, nak cari keredhaan Allah kena duduk di bawah petunjuk, bayangan, perintah, ajaran al-Quran. Yang penting kita wajib bersama al-Quran.
  1. Dua buah buku DDAAM yang berkait dengan al-Quran:
    i- Indahnya Hidup Bersama Al-Quran

    ii- Nasihat Tentang Al-Quran

AYAT 175- {OLEH ITU, ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN BERPEGANG TEGUH KEPADA (AJARAN AL-QURAN) INI, MAKA ALLAH AKAN MEMASUKKAN MEREKA KE DALAM RAHMATNYA (YANG KHAS IAITU SYURGA) DAN LIMPAH KURNIANYA (YANG TIDAK TERKIRA), DAN ALLAH AKAN MENUNJUKKAN MEREKA KE JALAN YANG LURUS (JALAN AGAMA ISLAM), YANG MEMBAWA KEPADANYA.} (AN-NISA’ 4:175)

  1. Kemudian Allah nyatakan sesiapa yang:
    i- Orang-orang yang beriman kepada Allah dan

    ii- Berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dalam setiap waktu, ibadat.
    Aqidah & kehidupan sehariannya, waktu perang & damai, senang & susah yakni dalam semua keadaan.
  1. Maka bagi mereka itu Allah akan memberi balasan dengan:
    i- Memasukkan mereka ke dalam rahmatNya yang khas iaitu Syurga.

    ii- Dan limpah kurniaNya yang tidak terkira, nikmat kurnia yang tidak terhingga & terbayang!
  1. Hadis dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah SAW bersabda: 
    Allah SWT berfirman: {Aku telah menyiapkan bagi hamba-hambaku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dibenak manusia.} [HR Bukhari].
  1. Sekarang kita tidak perlu fikir bagaimana syurga itu & bagaimana nikmatnya; selain daripada fikirkan untuk usaha, untuk mujahadah apakah jalan & cara (amalan) yang boleh membawa kita ke syurga. 
    Yang kita takutnya syurga itu luas, pintunya banyak tetapi takut kita yang tak jumpa jalan ke syurga, takut nama kita tidak tersenarai dalam ahlinya!
  1. Hadis :
    i- Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
    “Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku limpah kurnia dan rahmat-Nya.” (HR al-Bukhari).

    Tetapi jangan ingat kita tak perlu beramal, ini kerana kita beramal supaya ia menjadi sebab untuk kita masuk syurga dengan rahmat Allah! Hatta Rasulullah SAW suruh kita perbaiki amalan.

    ii- Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.”  Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarublah dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.” (HR Bukhari, no. 5241)
  1. Ini kerana apabila kita beriman & beramal, menjadi sebab untuk kita mendapat rahmat Allah. 
    Maka dengan rahmat-Nya Allah akan memberi taufiq dengan menunjukkan ke jalan yang lurus (jalan agama Islam), yang membawa kepada-Nya & Syurga-Nya.
  1. Kerana itu dikatakan nilai taufiq itu amat mahal, bukan mudah untuk mendapatkanya.
    Allah akan beri kita taufiq untuk beramal soleh mengikut al-Quran & Sunnah. 
    Selagi kita tidak dapat taufiq ini tidak akan terjamin natijahnya untuk selamat dunia & Akhirat.
  1. Tambahan untuk siri lepas : Nabi Isa ada 4 nama yang masyhur iaitu:
    i- Al-Masih (ٱلْمَسِيحُ) kerana tangannya mempunyai mukjizat untuk menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang sakit, buta & sakit kulit.

    ii- Isa (عِيسَى)

    ii- Kalimah (وَكَلِمَةٌ) kerana dia dicipta dengan kalimah (كُنْ) lalu dia pun menjadi manusia yang dicipta tanpa bapa.

    iv- Ruh iaitu ruh yang ditiup oleh Jibril AS kepada Maryam lalu terciptalah Isa. Iaitu Ruh dari Allah (وَرُوحٌۭ مِّنْهُ) untuk menunjukkan kemuliaan Nabi Isa bukan Ruh Allah- ini karut! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 173- {Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur,..}-

    Dalam ayat ini Allah sebut tentang dua kumpulan iaitu:
    i- Orang-orang yang beriman dan beramal soleh

    ii- Orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur.
    Maka ayat ini mendetailkan ayat yang lepas iaitu Nabi Isa tidak enggan untuk beriman & menjadi hamba Allah- maka Allah nak nyatakan lagi siapakah pula kumpulan yang tidak enggan & tidak sombong itu!
    Allah sebut mereka ini dulu dalam ayat ini, iaitu orang yang beriman & beramal soleh- kerana Allah nak menunjukkan kemuliaan mereka golongan ini! 

    Kerana itulah yang sepatutnya!
    Kemudian didatangkan kumpulan yang sebaliknya iaitu mereka yang keras kepala, enggan beriman lagi sombong takabbur!

    Maka ayat ini sekaligus amaran kepada:
    i- Orang sombong tidak mahu beriman serta 

    ii- Orang yang tidak mahu berdoa kepada Allah, dikira orang yang sombong angkuh juga.
    Kita ini kena berdoa setiap masa untuk menunjukkan kita berharap & perlu kepada rahmat Allah Azza wa Jalla, jangan sesekali sombong berasa kita tidak perlu lagi berdoa.

    SELINGAN : Seseorang telah membuat analisa (yang tidak benar) iaitu budaya buruk yang lekat selepas balik haji.
    i- Selepas solat tidak mahu berzikir & berdoa, ini tidak benar kerana kita patut belajar & pandai untuk berzikir & berdoa sendiri tidak bergantung kepada imam.

    ii- Tidak baca qunut, tidak benar juga. Kerana jika ke masjid, tidak ada lagi masjid di Malaysia yang tidak baca qunut pada waktu solat subuh kecuali terlupa. Mungkin dia tidak ke masjid!

    iii- Makan berdiri kerana di Makkah orang biasa makan berdiri. Ini juga tidak benar kerana di Malaysia pun banyak tempat makan yang tidak cukup kerusi atau tidak menyediakan kerusi juga!
    Maka janganlah kita balik dari Makkah bawa pendapat yang pelik-pelik & tidak benar yang boleh menjadi fitnah.
  1. Ayat 173- {Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka…}-

    Selepas beriman kita juga perlu beramal soleh.
    Ayat ini juga menolak fahaman jabariyyah yang mengatakan manusia seperti robot, segala perbuatannya dibawah kawalan & control tiada ikhtiar & usaha apa.
    Maka Allah sandarkan amalan itu ke atas diri kita sendiri, memang ikut taqdir Allah. Tapi kita yang usaha, dalam kepala kita yang nak beramal.
    Kemudian apabila kamu beriman & beramal- Allah akan memberi ganjaran pahala atas amal soleh itu- ini untuk memberi galakan & motivasi untuk hamba-Nya beramal soleh. 

    Allah sebut sebagai ganjaran/bayaran supaya kita nampak jika bayaran tetap akan dapat!
    Allah nak beri pahala itu walaupun tiada siapa yang dapat paksa Allah tetapi janji Allah itu benar, Allah tidak menyalahi janji!
    Bahkan Allah kata Dia akan tambah lagi, walaupun apa yang kamu tak buat Dia akan beri juga pahala!
  1. Ayat 174- {Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi..}-

    Di sini Allah bawa dua hujjah & dalil, al-Quran itu turun untuk semua makhluk & Nabi SAW itu sendiri menjadi bukti keEsaan Allah & kekuasaan dan menjadi bukti benarnya perintah Allah SWT.
    Allah anugerahkan kepada kita dua burhan (dalil) dari Allah sendiri yang jelas & nyata iaitu:
    i- Nabi SAW itu sendiri sebagai dalil {بُرْهَـٰنٌۭ} dengan sifatnya yang benar, jujur & amanah & keperibadian yang indah!

    ii- Al-Quran sebagai cahaya {نُورًۭا} penunjuk jalan ke arah kebenaran & kebahagiaan dunia & Akhirat.
    Maka sesiapa yang lari dari petunjuk ini bukan salah Tuhan lagi tapi salah dia sendiri yang tak dengar kata!
    Allah sandarkan Burhan itu kepada diri-Nya sendiri, dari Tuhan-Mu yang bersifat dengan kekuasaan Rububiyyah & keEsaan.
  1. Ayat 174- {dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi..}-

    Al-Quran itu sendiri adalah cahaya yang menerangi.
    Cahaya itu adalah sesuatu yang tidak tidak boleh disekat, seperti matahari yang datang menerangi waktu siang & lampu yang dipasang menerangi ruang pada waktu malam!
    Jika al-Quran ada di mana saja dalam hati manusia maka cerahlah hatinya dengan iman.
    Kemalapan yang berlaku bukan dengan sebab al-Quran tetapi dengan sebab tak cukup minyak iaitu ilmu & amal tentang al-Quran itu tak cukup! 
  1. Ayat 175- {Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira),}-

    Mereka yang beriman & berpegang teguh dengan ajaran al-Quran akan dimasukkan ke dalam syurga!
    Kenapa Allah gunakan perkataan akan dimasukkan {فَسَيُدْخِلُهُمْ} bukan kata masuk terus?
    Ini kerana antara kamu & Syurga ada jarak, kena lari kena usaha ke arahnya (kena berhungga gi : Kelate)! 
    Tetapi amalan itu tidak datang atau terjadi dengan sendiri, kita kena buatnya! 

    Nak bangun solat fardhu, nak bangun tahajud, nak puasa & pergi jemaah adalah mencabar, nak sedekah mencabar, maka jika kamu buat kamu akan masuk ke dalam syurga kerana ada jaraknya!
    Allah kata Dia akan masukkan mereka ke dalam rahmat-Nya ini kerana nak masuk ke dalam syurga adalah dengan sebab mendapat rahmat Allah & limpah kurnia Allah SWT!
    Sebagaimana hadis Nabi SAW tadi.

    Ya Allah. Kami memohon dengan nama-Mu yang maha Indah & sifat-Mu yang maha Tinggi. Jadikan kami, ibu bapa kami, anak isteri kami & seluruh orang yang kami sayangi sebagai orang yang layak mendapat rahmat-Mu lalu layak menjadi penghuni syurga-Mu.
  • Kempen kita untuk sedeqah minggu & bulan ini ialah wakaf besar-besaran bagi Pembangunan masjid, maahad (sekolah agama) & pusat dakwah yang kita pilih di Selatan Thailand.

    Bagi sesiapa yang nak menambah saham pahala, boleh menyumbang ke akaun ini:
    Nama akaun: Dakwah Unlimited
    CIMB: 8603-6011-68
    Ref: Projek Selatan Thai.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs