View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 19-21

WANITA BUKAN BAHAN PUSAKA, WALI JANGAN JADI PENGHALANG & MAS KAHWIN JANGAN MINTA BALIK.

Full video : https://youtu.be/Kqy3Z6Nk17A?si=rgymbIGXWO8wNids

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 19 sehingga 21 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan kepada orang beriman agar jangan terikut dengan perangai jahiliyyah yang menjadikan wanita sebagai bahan pusaka selepas kematian suaminya. 
  1. Islam batalkan ajaran yang tidak betul itu! Wanita bukan bahan pusaka, bahkan Islam hanya menetapkan iddah waktu berkabung untuk tempoh tertentu sahaja bagi wanita yang kematian suami.
  1. Allah berpesan kepada para wali agar jangan jadi penghalang kepada wanita di bawah jagaan mereka untuk berkahwin. 
  1. Juga amaran kepada para suami agar jangan minta balik mas kahwin dan pemberian harta dari isteri yang telah bersama mereka.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 19- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, TIDAK HALAL BAGI KAMU MEWARISI PEREMPUAN-PEREMPUAN DENGAN JALAN PAKSAAN, DAN JANGANLAH KAMU MENYAKITI MEREKA (DENGAN MENAHAN DAN MENYUSAHKAN MEREKA) KERANA KAMU HENDAK MENGAMBIL BALIK SEBAHAGIAN DARI APA YANG KAMU TELAH BERIKAN KEPADANYA, KECUALI (APABILA) MEREKA MELAKUKAN PERBUATAN KEJI YANG NYATA. DAN BERGAULAH KAMU DENGAN MEREKA (ISTERI-ISTERI KAMU ITU) DENGAN CARA YANG BAIK.} (AN-NISA’ 4:19)

  1. Pada zaman jahiliyyah, apabila seorang lelaki meninggal dunia:
    i- Balunya akan menjadi bahan pusaka & waris lelakinya boleh mengahwininya dengan percuma.

    ii- Atau mengahwinkannya dengan lelaki lain & ambil mas kahwinnya.

    iii- Atau mengahalangnya daripada berkahwin terus dan dia terpaksa berkhidmat kepada mereka dengan percuma.
  1. Sebab nuzul ayat ini- 
    i- Ibnu Abbas RA meriwayatkan: 
    عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا، وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ [النساء: 19] قَالَ: كَانُوا إِذَا مَاتَ الرَّجُلُ كَانَ أَوْلِيَاؤُهُ أَحَقُّ بِامْرَأَتِهِ إِنْ شَاءَ بَعْضُهُمْ تَزَوَّجَهَا وَإِنْ شَاؤُوا زَوَّجُوهَا وَإِنْ شَاؤُوا لَمْ يُزَوِّجُوهَا فَهُمْ أَحَقُّ بِهَا مِنْ أَهْلِهَا. فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ فِي ذَلِكَ. رواه البخاري.
    Apabila matinya seorang lelaki, wali-walinya berhak ke atas wanita itu. Jika mereka mahu mereka boleh boleh mengahwininya dengan percuma atau mengahwinkannya dengan lelaki lain & ambil mas kahwinnya. Dan bila mereka menghendaki tidak menikahkannya sama sekali maka mereka tidak menikahkannya. Maka mereka lebih berhak atas perempuan tersebut daripada keluarganya. Maka Allah SWT turunkan ayat al-Quran ini untuk menjelaskan permasalahan tersebut.” [HR Bukhari].

    ii- Hadis riwayat dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif: 
    وَبِإِسْنَادٍ حَسَنٍ عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: لَمَّا تُوُفِّيَ أَبُو قَيْسِ بْنِ الْأَسْلَتَ أَرَادَ ابْنَهُ أَنْ يَتَزَوَّجَ امْرَأَتَهُ وَكَانَ ذَلِكَ لَهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَأَنَزَلَ اللهُ هَذِهِ الْآيَةَ
    Apabila mati Abu Qais al-Aslat RA, anaknya nak kahwin dengan isterinya (ibu tiri)- ini kerana pada zaman jahiliyyah adat ini dibenarkan- maka Allah SWT turunkan ayat ini: {Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan,..}. [HR Bukhari].
  1. Alhamdulillah Allah SWT telah batalkan & haramkan adat jahiliyyah yang zalim ini.
    Mengangkat darjat wanita dengan mulianya & memberi mereka hak.
  1. Kemudian Allah berpesan kepada kaum lelaki; wahai orang beriman jangan mengambil wanita yang kematian suaminya dengan cara paksa sebagai bahan pusaka lalu mengahwinkannya dengan paksaan yang boleh merosakkan hidup.
  1. Allah juga larang kepada para suami dari menyempitkan hidup wanita itu dengan menyiksanya sehingga wanita itu terpaksa menebus dan bayar untuk membebaskan diri mereka daripada hidup yang tidak bahagia itu.
    Iaitu dengan membayar sejumlah harta yang banyak atau mengembalikan harta yang mereka dapat daripada perkahwinan itu- inilah sebenarnya yang diingini oleh suami yang jahat itu.
  1. Kecuali mereka wanita itu melakukan perbuatan keji seperti berzina, derhaka kepada suami dari segi Syari’ah, dan lain-lain perbuatan mungkar! 
    Jika isteri itu baik-baik saja- haram menzalimi mereka begitu!
  1. Antara keburukan juga para suami yang kahwin secara sembunyi dengan isteri baru, tidak berdaftar dari awal kemudian cuai tidak mendaftakan perkahwinan itu sehingga lahirlah anak-anak yang tidak sah taraf kerana tidak boleh didaftarkan kelahirannya!
    Isteri dan anak-anak akan menjadi mangsa kerana tidak mendapat hak yang sepatutnya.
  1. Allah juga memerintahkan para suami untuk bergaul dan memperlakukan isteri dan keluarganya dengan cara yang baik. 
    Kita manusia cakap baik-baik, jika ada yang tak kena boleh bincang. 
    Kebaikan yang ada dalam keluarga perlu diperkukuhkan!
  1. Hadis riwayat UM Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW sabda: خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ
    “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” [HR at-Tirmizi].

AYAT 19- {KEMUDIAN JIKA KAMU (MERASAI) BENCI KEPADA MEREKA (DISEBABKAN TINGKAH-LAKUNYA, JANGANLAH KAMU TERBURU-BURU MENCERAIKANNYA), KERANA BOLEH JADI KAMU BENCIKAN SESUATU, SEDANG ALLAH HENDAK MENJADIKAN PADA APA YANG KAMU BENCI ITU KEBAIKAN YANG BANYAK (UNTUK KAMU).} (AN-NISA’ 4:19)

  1. Allah perintahkan suami isteri bergaul baik, cuma ada ketikanya dalam hidup ini adalah sesuatu yang tidak kena dengan keinginan kita atau apa yang kita mahu 100%. 
  1. Yakni ada sesuatu dari perangianya yang kita tidak suka. 
    Maka fokuskan kepada apa yang kita suka yang lebih banyak itu daripada apa yang negatif atau apa yang kita tidak suka. 
    Terimalah seadanya- kena ada give & take dan toleransi.
  1. Kerana itu kahwin itu perlu ada timbang tara & pakej dalam 4 perkara yang Rasulullah SAW sebut : Harta, kecantikan, keturunan & agama. Tetapi yang paling utama adalah agama yang akan membawa kebahagian dunia Akhirat.
  1. Hadis- riwayat dari Abu Hurairah RA. bahwa Rasulullah saw. Bersabda: لَا يَفْرَكُ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةٌ، إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا، رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ
    “Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah(isteri), jika mukminah memiliki satu sifat yang tidak disukainya, maka ia memiliki sifat lainnya yang disukainya.” [HR Muslim]

AYAT 20- {DAN JIKA KAMU HENDAK MENGAMBIL ISTERI (BAHARU) MENGGANTIKAN ISTERI (LAMA YANG KAMU CERAIKAN) SEDANG KAMU TELAHPUN MEMBERIKAN KEPADA SESEORANG DI ANTARANYA (ISTERI YANG DICERAIKAN ITU) HARTA YANG BANYAK, MAKA JANGANLAH KAMU MENGAMBIL SEDIKITPUN DARI HARTA ITU. PATUTKAH KAMU MENGAMBILNYA DENGAN CARA YANG TIDAK BENAR DAN (YANG MENYEBABKAN) DOSA YANG NYATA?} (AN-NISA’ 4:20)

  1. Allah SWT ajar dalam ayat ini: Jika kamu mahu menceraikan isteri kamu kerana nak kahwin lain; sedangkan kamu telah memberi banyak harta kepada mereka, janganlah kamu mengambil balik harta-harta itu. 
    Waktu cinta buta- beri semua harta; tetapi apabila tidak suka semuanya mahu diambil semula. 
    Kerana itu berpada dalam memberi dan fikirkan dulu baik-buruknya! 
    Jangan nak ambil balik semula apabila kamu tidak suka!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah kata jika ada perkara yang kamu tidak suka boleh jadi Allah nak beri benda baik, ada hikmah disebaliknya jika kamu sabar.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah kata jika kamu ceraikan mereka, nak tukar ambil isteri lain, jangan sekali-kali kamu ambil balik harta pemberian yang telah kamu beri kepada mereka dulu.
  1. Pemberian seperti mahar dan mas kahwin, serta harta semasa perkahwinan tidak patut bagi seorang suami untuk mengambilnya balik dengan cara yang tidak benar.
    Perbuatan ini akan menyebabkan dosa yang nyata!
  1. Kerana itu jika nak beri fikirkan dulu kesannya untuk masa depan- berpada dalam menyayangi, memberi & membenci. 
    kata pepatah Arab; Hulur kaki ikut saiz selimut, jangan melampau nanti di kemudian hari tak cukup tanah nak lari.

AYAT 21- {DAN BAGAIMANA KAMU TERGAMAK MENGAMBIL BALIK PEMBERIAN ITU PADAHAL KASIH MESRA KAMU TELAH TERJALIN ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN, DAN MEREKA PULA (ISTERI-ISTERI KAMU ITU) TELAHPUN MENGAMBIL PERJANJIAN YANG KUAT DARIPADA KAMU?} (AN-NISA’ 4:21)

  1. Allah ungkitkan kepada para suami, apakah kamu tergamak mengambil balik pemberian kamu daripada para isteri yang telah terjalin di antara kamu kasih sayang & kemesraan, yang telah kamu serahkan segala-galanya, yang banyak jasa & khidmatnya kepada kamu dulu?
  1. Kamu telah ambil dan halalkan mereka dulu dengan satu perjanjian yang kuat dari Allah SWT iaitu aqad-nikah yang mulia. 
    Ia satu perjanjian atas nama Allah SWT dan Sunnah Nabi SAW!
  1. Sebagaimana pesanan Rasulullah SAW semasa dalam khutbah Haji Wada’: 
    Rasulullah SAWW bersabda: “Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.” “Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Maka bergaullah dengan mereka secara baik, juga jika kamu tidak suka lagi, kamu jangan siksa mereka dengan gantung tidak bertali- jika tidak suka lepaskan mereka dengan baik!
    Jangan kita sewenang-wenangnya buat apa yang Allah larang!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 19- {Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan,}-

    Dalam ayat ini Allah larang para wali untuk menjadikan para wanita sebagai bahan pusaka. 
    maksudnya jangan menzalimi wanita 
    Ayat ini sekaligus membatalkan adat jahiliyyah yang buruk, yang keji yang menafikan hak & kemuliaan seorang manusia! Apatah lagi wanita- dimuliakan Allah SWT, tingi pangkat & kedudukannya.
    Alhamdulillah atas nikmat Islam ini!
  1. Ayat 19- {dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.}-

    Allah larang dari menyakiti & menyusahkan wanita dengan niat untuk mengambil balik harta yang diberikan kepada mereka dulu.
    Ayat ini mengharamkan helah dan Allah membatalkan helah tersebut.
    Yakni si suami memberi tekanan terhadap wanita dengan menyakiti mereka sehingga mereka terpaksa menyerahkan kembali harta yang sudah diberikan.
    Sama ada secara paksa atau membayar untuk membebaskan diri mereka daripada ikatan perkahwinan yang tidak membahagiakan itu dengan menebus talak dan seumpamanya.
    Inilah pengkhianatan atau kezaliman yang dibuat oleh sebahagian lelaki, yang cukup dahsyat, sama ada:
    i- Beri tekanan untuk ambil balik hartanya, 

    ii- Atau kahwin tapi tak beri mas kahwin 

    iii- Atau kahwinkannya dengan orang lain untuk ambil mas kahwin. 
    Inilah helah jahat yang Allah sudah mansuhkan, alhamdulillah.
  1. Ayat 19- {Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.}-

    Kamu buat baiklah & bergaul dengan wanita dengan cara yang baik {وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ}.
    Tafsiran kebaikan (الْمَعْرُوفِ) ini luas. Setiap orang ada caranya masing-masing. 
    Ada orang yang susah tetapi bahagia & senang; ada orang yang kaya & senang tetapi susah & tidak bahagia.
    Yakni tunaikan jawab dengan memberi kasih sayang, nafkah yang ikut kesesuaian dan kemampuan, jangan buat zalim & aniayai para isteri dengan perlakuan yang tidak sepatutnya bagi seorang suami & muslim.
    Jika suami kaya berilah banyak pun kepada isterinya, jika miskin berilah sekadar kemampuannya tetapi mestilah mencukupi keprluan hidup yang sepatutnya.
    Isteri juga kena sedar & jangan mendesak suami dalam menuntut nafkah dan perbelanjaan, lihat & ikutlah kadar kemampuan suami selagi dia tidak cuai dalam tanggungjawabnya.
  1. Ayat 19- { Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).}-

    Jangan gaduh dan terburu-buru menceraikan mereka jika ada sesuatu perangai atau sifat mereka yang kamu tidak suka. 
    Kerana jika kamu bersabar mungkin Allah nak beri benda baik lain kepada kamu disebaliknya.
    Yakni jika ada sesuatu perkara yang kamu tidak suka tentang wanita itu kamu sabarlah selagi dia tidak menderhaka & buat dosa maksiat, iaitu perkara biasa dalam kehidupan. 
    Sabarlah, Allah akan ganti kepada kamu dengan sesuatu yang lebih baik insya’ Allah.
    Jangan kita fikir dengan otak kita saja kerana kita tidak atahu apa perancangan Allah kepada kita. 
    Berapa banyak perkara yang kita tidak suka pada awalnya akhirnya kita dapati ia membawa kebaikan.
    Kecuali jika mereka menderhaka & buat dosa maksiat kepada Allah- wajib marah & nasihat jika tidak akan menjadi dayus. 
  1. Ayat 20- {sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu.}-

    Allah larang seorang suami daripada mengambil balik mas kahwin dan harta-harta yang telah diberikan sepanjang dalam tempoh perkahwinan kepada si isteri jika nak ceraikan mereka.
    Kerana itu kena berpada dalam memberi & menyerahkan harta, fikirkan kesan & akibat untuk masa depan.

    Ini kerana sebagaimana firman Allah- Ayat 21-
    {Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?}-
    Tergamakkah kamu mengambil balik segala pemberian itu sedangkan telah wujud antara kamu berdua pasangan suami isteri; kasih sayang, kemesraan yang tiada batasan dan perhubungan kamu itu telah dihalalkan oleh Allah dengan perjanjian yang kuat iaitu aqad nikah!

    Kesan daripada sepatah aqad itu begitu banyak; halalnya hubungan suami isteri, jika dapat anak boleh sandarkan keturunan, jika mati boleh saling menerima pusaka dan pelbagai faedah lagi.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs