HARAM BERKAHWIN DENGAN ISTERI ORANG, HARUS DENGAN SELAIN MAHRAM & KADAR MAHAR TIDAK DITETAPKAN.
Full video : https://youtu.be/rTevuwEVZlE?si=0l6Rg_OghdRQDGqo
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat ke-24 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ yang kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang tujuh hukum yang akan kita bincangkan.
Antaranya haram berkahwin dengan isteri orang, wanita bila ada suami tidak boleh berkahwin lain lagi- jika buat juga jadi zina hukumnya!
- Allah nyatakan harus berkahwin dengan wanita selain mahram yang disebut 6 kategorinya dalam ayat 22-23 dari siri yang lepas; iaitu kerana keturunan, susuan, in-laws (المصاهرة- (mertua-menantu) & kerana keadaan semasa.
- Kemudian Allah nyatakan kadar mahar terbuka, tidak ditetapkan, ikut kemampuan lelaki & ikut kadar uruf (adat) setempat.
Jangan pula kita jadi penyebab kesusahan orang lain dengan memberi mahar yang tinggi daripada kebiasaan di situ.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang wanita-wanita yang haram dikahwini sama ada dengan sebab keturunan nasab, penyusuan, perkahwinan (المصاهرة) dan dengan sebab semasa yang sementara seperti tidak boleh dikumpulkan dua beradik.
ii- Kemudian Allah nyatakan dalam ayat ini pula wanita yang harus dikahwini. Nikah ini untuk memperbaiki jiwa & nafsu juga dengan syarat adanya mahar.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 24- {DAN (DIHARAMKAN JUGA KAMU BERKAHWIN DENGAN) PEREMPUAN-PEREMPUAN ISTERI ORANG, KECUALI HAMBA SAHAYA YANG KAMU MILIKI. (HARAMNYA SEGALA YANG TERSEBUT ITU) IALAH SUATU KETETAPAN HUKUM ALLAH (YANG DIWAJIBKAN) ATAS KAMU. DAN (SEBALIKNYA) DIHALALKAN BAGI KAMU PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG LAIN DARIPADA YANG TERSEBUT ITU, UNTUK KAMU MENCARI (ISTERI) DENGAN HARTA KAMU SECARA BERNIKAH, BUKAN SECARA BERZINA. }
- Sebab nuzul ayat: Dari Abu Said al-Khudri RA;
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ حُنَيْنٍ بَعَثَ جَيْشًا إِلَى أَوْطَاسٍ فَلَقُوا عَدُوًّا فَقَاتَلُوهُمْ فَظَهَرُوا عَلَيْهِمْ وَأَصَابُوا لَهُمْ سَبَايَا، فَكَأَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تَحَرَّجُوا مِنْ غِشْيَانِهِنَّ مِنْ أَجْلِ أَزْوَاجِهِنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي ذَلِكَ: (وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلاَّ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ) أَىْ فَهُنَّ لَكُمْ حَلاَلٌ إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُهُنَّ.
Bahawa pada hari peperangan Hunain (iaitu Selepas Pembukaan Makkah- pada Syawal 8H / 630M)- Rasulullah SAW telah mengutus sejumlah pasukan menuju wilayah Autos. Apabila bertemu musuh, pasukan muslim berlawan dan berjaya mengalahkan mereka. Mereka juga berjaya menawan beberapa tawanan wanita. Para sahabat tidak tergamak mengambil mereka kerana dianggap masih terikat perkawinan dengan suami-suami mereka yang musyrik. Lalu Allah SWT menurunkan ayat ini untuk menjelaskan isu ini iaitu mereka halal untuk digauli selepas tamat iddahnya. [HR Muslim].
- Hukum pertama :
i- Allah nyatakan dengan jelas bahawa haram untuk berkahwin dengan wanita yang ada suami, tidak kira tua atau muda kerana menjaga hak seorang suami.
Walaupun mereka telah bercerai pun, wajib tunggu sehingga habis tempoh iddahnya, baru boleh dikahwini oleh suami lain.
- Ketetapan ini adalah undang-undang Allah, bukan digubal oleh parlimen, pemerintah, mahkamah atau sesiapa saja!
- Masalah ini bukan hanya terjadi pada zaman dulu bahkan makin terjadi pada zaman ini.
i- Ada yang melalui simpati selepas menjadi tempat meluah perasaan bahawa tidak bahagia dan suaminya!
ii- Ada yang melalui reunion, jumpa kawan-kawan lama walaupun sudah jadi suami & isteri orang, masing-masing jatuh hati semula lalu sanggup berpisah dengan pasangan asal masing-masing!
Inilah kecelakaan yang berlaku apabila ikhtilat (percampuran antara lelaki & perempuan) apatah lagi jika pergaulan bebas!
Inilah mainan syaitan yang menjadi kejayaan besar bagi mereka jika berjaya memisahkan (cerai) pasangan suami isteri.
- Hukum kedua dalam ayat ini :
ii- Tawanan wanita yang didapati daripada peperangan, yang suami mereka tidak ditawan sekali. Apabila habis tempoh memastikan bahawa mereka suci dari benih suami mereka (istibra’), mereka boleh digauli oleh lelaki yang menjadi tuan mereka.
Tetapi pastikan bahawa mereka tidak termasuk dalam golongan wanita yang haram dikahwini tadi.
Kerana sekarang ini tiada ladi hamba dengan tiadanya jihad fi-sabilillah- maka hukum ini tergantung buat masa sekarang bukan dibatalkan atau dihapuskan.
- Selepas membawa dua hukum ini, Allah nyatakan bahawa semua ini adalah suatu ketetapan hukum Allah yang diwajibkan atas kamu maka kamu jangan keluar darinya.
- Hukum ketiga :
Kemudian dihalalkan bagi kamu wahai kaum lelaki untuk mengahwini perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu iaitu golongan yang diharamkan nikah dalam ayat yang lepas (ayat 22-23) dan hadis melarang campur anak dan ibu saudaranya. Selain daripada itu silakan.
- Hukum keempat :
Harus untuk kamu mencari isteri dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.
Iaitu wajib beri mas kahwin, halal nikah selepas beri mas kahwin yang ditentukan itu, atau kamu guna harta itu untuk beli hamba-hamba yang dijual dari tuannya. Tujuannya untuk memperbaikkan jiwa kamu.
- Ayat ini sekaligus mengharamkan nikah mut’ah (nikah kontrak).
Iaitu nikah bertempoh- tiada wali saksi & tanpa didaftarkan dan dipersetujui antara lelaki & perempuan itu saja untuk beberapa hari & dengan bayaran tertentu.
Ia adalah haram kerana tiada bezanya dengan pelacuran!
Walaupun pada awal Islam ia dibenarkan dengan sebab tertentu- tetapi telah dimansukhkan & dibatalkannya!
Siapa buat adalah haram dan sila laporkan kepada pihak berkuasa.
- Dalilnya : Dalam Hadis Ahad Rasulullah SAW telah melarang untuk kahwin mutaah:
أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ المُتْعَةِ، وَقالَ: أَلَا إنَّهَا حَرَامٌ مِن يَومِكُمْ هذا إلى يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن كانَ أَعْطَى شيئًا فلا يَأْخُذْهُ
Sesungguhnya baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sejak hari ini kahwin mutaah itu hukumnya haram sampai kiamat nanti. Jadi, sesiapa yang pernah memberikan sesuatu (kepada wanita yang dikahwini), maka janganlah dia ambil kembali. (Riwayat Muslim)
AYAT 24- {KEMUDIAN MANA-MANA PEREMPUAN YANG KAMU NIKMATI PERCAMPURAN DENGANNYA (SETELAH IA MENJADI ISTERI KAMU), MAKA BERIKANLAH KEPADA MEREKA MASKAHWINNYA (DENGAN SEMPURNA), SEBAGAI SUATU KETETAPAN (YANG DIWAJIBKAN OLEH ALLAH). DAN TIADALAH KAMU BERDOSA MENGENAI SESUATU PERSETUJUAN YANG TELAH DICAPAI BERSAMA OLEH KAMU (SUAMI ISTERI), SESUDAH DITETAPKAN MASKAHWIN ITU (TENTANG CARA DAN KADAR PEMBAYARANNYA). SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:24)
- Hukum kelima :
Mas kahwin adalah satu undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Bayaran untuk isteri ini adalah wajib untuk setiap perkahwinan yang sah!
Disebut sebagai upah (أُجُورَ) kerana perkahwinan itu akan menghalalkan isteri itu untuk digauli, mereka juga berkhidmat untuk suami dan sebagainya.
- Ini adalah perintah dari Allah SWT, maka ia adalah wajib!
Bukan pilihan untuk kamu, suka hati kamu nak beri atau tidak!
- Hukum keenam :
Mas kahwin ini adalah ikut persetujuan antara kamu asalkan ia ada nilai.
Mas kawin boleh diberi dalam berbagai bentuk, tidak semestinya wang tunai saja, boleh guna harta seperti rumah, tanah, barangan kemas, jongkong emas atau dinar.
Manfaat atau khidmat juga diterima; yang penting apa sahaja yang diberi perlu bermanfaat.
Contoh kitab Quran dan mengajar ilmu yang bermanfaat.
Dibenarkan juga berhutang jika dipersetujui pihak isteri, tetapi perlu dinyatakan secara jelas.
- Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:
أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ»،
Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” [HR al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)]
- Sebagaimana Nabi Syu’aib mengahwinkan anak perempuannya kepada Nabi Musa AS dengan khidmat- iaitu mengembala, jaga kambing mereka selama 8 hingga 10 tahun.
- Hukum ketujuh :
Cara & kadar bayaran mas kahwin adalah mengikut persetujuan & keredhaan antara pasangan itu sendiri.
Yang penting wanita akan mendapat manfaat & faedah darinya. Belanja itu banyak atau sedikit, atau lepas terus jika setuju; adalah tidak salah dengan syarat saling redha meredhai.
- Jumlah & jenisnya terpulang, tetapi yang penting dinyatakan berapa & apa maharnya.
Mesti ditetapkan dulu tentang cara dan kadar pembayarannya.
Jika mahu ikut uruf (jangan kurang atau lebih dari orang ramai di situ), yang penting nyatakan agar tidak timbul perselisihan selepas itu, juga agar tidak membebankan.
- Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Allah yang tahu hikmah kenapa diwajibkan mas kahwin ini ke atas seorang suami maka jangan kamu pertikaikannya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 24- {Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang}-
Haram untuk berkahwin dengan isteri orang.
Allah sebut secara jelas! Wanita yang ada suami/ sudah berkahwin {وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ}- untuk mengelakkan kekeliruan & persoalan jika sebut yang ada pasangan saja.
Ini adalah hakikat & realiti yang berlaku dalam dunia ini!
Punca keruntuhan rumah tangga & berpisah suami isteri biasanya bermula dari berkawan sebagai teman sekerja, menjadi tempat meluah perasaan, memberi nasihat & kemudian kesian simpati, nak tolong sehingga rapat dan ada perasaan.
Kemudian juga melalui reunion, perjumpaan kawan-kawan lama yang ada nostalgia, lalu tumbuh kembali perasaan lama tidak kira dengan suami orang atau isteri orang.
Kemudian ambil keputusan kahwin sembunyi, tidak berdaftar, di sempadan dan seumpamanya yang tidak sah di sisi undang-undang.
Kerana itu, kaum lelaki jangan cuba dekati mana-mana perempuan yang sudah berkahwin, jangan bebas bergaul atas nama teman sekerja, tidak perlu menjadi tempat luahan atas fakta kesian, simpati niat nak tolong- biarlah mereka cari teman sejenis agar kamu akhirnya tidak hanyut terjebak.
Jauhilah agar selamat dunia Akhirat.
- Ayat 24- {kecuali hamba sahaya yang kamu miliki..}-
Juga boleh digauli hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.
Iaitu hamba perempuan yang dimiliki dengan jalan ditawan dalam Perang Sabilillah, yang suaminya tidak tertawan bersama.
Kata ulama’ : Ayat ini mengisbatkan hukum hamba dalam Islam.
Tetapi ia bukan main-main, hamba hanya ditawan daripada peperangan jihad fi-sabilillah.
Orang kafir menyerang & kritik Islam dalam bab perhambaan ini.
Sedangkan mereka tidak kaji atau ambil maklumat tentangnya.
Bahkan sistem mereka yang dahsyat & zalim.
Sistem perhambaan dalam Islam amat berbeza dengan amalan puak kafir yang zalim & kejam.
Betapa Islam amat menjaga & menjamin kebajikan seorang hamba itu & sentiasa beri galakan untuk membebaskan mereka.
Islam juga bukan membenarkan seorang tentera terus memiliki tawanan wanita dari pihak musuh yang ditangkap.
Mereka itu semua dikira sebagai harta kerajaan dan perlu diberikan kepada kerajaan dulu.
Kerajaanlah yang akan buat keputusan tentang mereka sama ada nak dibebaskan, sebagai tebusan, tukar sesama tawanan atau dibahagikan kepada tentera yang ikut berperang.
Barulah menjadi miliknya & boleh digauli.
Juga dengan syarat setelah istibra’ iaitu mengosongkan rahim dari benih suaminya yang dahulu: sama ada dengan melahirkan anak jika dia hamil atau dengan sekali haidh jika tidak hamil.
Ambil perhatian juga bahawa dalam sistem perhambaan Islam ini:
i- Pintu masuk ke dalam perhambaan ini sempit iaitu hanya satu, melalui perang jihad fi-sabilillah sahaja.
ii- Manakala pintu keluar darinya amat banyak. Banyak sekali kesalahan dalam Islam yang hukumnya adalah membebaskan hamba.
Allah juga janjikan balasan pahala yang besar bagi tuan yang memerdekakan hambanya.
- Ayat 24- {.(Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu.}-
Segala hukum ini adalah ketetapan Allah { كِتَـٰبَ ٱللَّهِ} yang diwajibkan ke atas kamu.
Kitab yang Allah {كِتَـٰبَ ٱللَّهِ} ini ada dua dimensi:
i- Kitab Syara’ iaitu perundangan. Hukum yang Allah tetapkan ke atas kamu seperti dalam ayat ini- Allah tetapkan ke atas kamu mas kahwin.
Sama juga seperti perkataan kutiba { كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ} dalam ayat 183 Surah Al-Baqarah ini iaitu diwajibkan ke atas kamu puasa.
ii- Kitab dengan makna tulisan taqdir atau ketetapan Allah SWT. (كوني قدري). Iaitu kitab catatan perjalanan hidup manusia- baik atau buruk, kafir atau muslim semuanya ditulis.
Sebagaimana firman Allah SWT: وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ كِتَابًا {Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam suatu kitab.} [An-Naba’: 29].
- Ayat 24- {Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu,}-
Dihalalkan bagi kamu semua wanita atas dunia untuk dinikahi.
Kecuali enam kategori wanita yang diharamkan daripada dinikahi sebagaimana yang disebut dalam ayat 22-23 sebelum ini.
Kata ulama’ : Wanita yang halal untuk dikahwini lebih ramai daripada yang haram dikahwini. Begitulah luasnya hukum Allah beri kepada manusia.
- Ayat 24- {untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah,}-
Nak kahwin kena beri mas kahwin- ini bermakna nak kahwin kena ada harta, kena ada duit.
Ini kerana seorang suami kena bayar mas kahwin untuk isteri, kemudian beri nafkah untuk keluarganya pula.
Ayat ini sekaligus mengharamkan nikah mut’ah. Kerana orang yang nak bina keluarga kena baik jiwanya- kena tebuka hidup ramai-ramai dalam masyarakat, bukan hanya nikah kontrak secara sembunyi begitu saja.
Mas kahwin pula hendaklah ditetapkan terlebih dahulu untuk mengelakkan perselisihan & tidak puas hati pada masa depan.
Jangan dok suruh ikut-ikutlah (terpulanglah) kemudian bila orang bawa sikit marah pula!
Sikit banyak, kadarnya ikut persetujuan kedua belah pihak dan kemampuan si suami.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.