SYARAT BERKAHWIN DENGAN HAMBA, HUKUMAN ZINA HAMBA & SABAR BAGI YANG TAK MAMPU KAHWIN.
Full video : https://youtu.be/tgpNtZlz_bA?si=NR0L5aYPinI-NwIE
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat ke-25 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang syarat berkahwin dengan hamba ketika darurat dan tidak mampu untuk kahwin dengan orang merdeka.
Maka dibenarkan dengan beberapa syarat yang digariskan oleh Allah SWT sendiri.
- Allah juga nyatakan hukuman bagi hamba yang berzina, ia berbeza dengan hukuman bagi orang merdeka.
- Serta galakan bersabar bagi yang tak mampu kahwin, untuk tungu dulu cari rezeki sehingga mampu untuk berkahwin dengan orang biasa yang merdeka.
- Walaupun hamba secara rasminya tiada ada sekarang ini, tetapi perhambaan dalam pelbagai cara wujud.
Serta sistem hamba dalam Islam tidak sama dengan mana-mana perhambaan amalan manusia!
- Semua ayat & hukum dalam al-Quran kita kena belajar jangan kita kata kita tinggalkan saja ayat ini kerana tiada kaitan dengan kita lagi atau kerana ia sudah dimansukhkan.
Ini kerana kita sebagai orang Islam kena yakin bahawa jihad akan dilaksanakan semula suatu hari nanti apabila Islam kembali kuat, paling lambatpun apabila munculnya Nabi Isa AS & Imam Mahdi.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT senaraikan golongan yang haram dikahwini seperti seperti nasab, penyusuan, musoharah (mertua & menantu) serta kerana sebab sementara & juga senarai golongan yang halal dikahwini.
ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan satu lagi golongan yang halal dikahwini iaitu nikah dengan hamba bagi orang yang tidak mampu.
Ayat ini disandarkan kepada ayat 24 iaitu diharuskan kahwin dengan mana-mana perempuan selain golongan yang diharamkan itu.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 25- {DAN SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG TIDAK MEMPUNYAI KEMAMPUAN YANG CUKUP UNTUK BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BAIK-BAIK (YANG MERDEKA, YANG TERPELIHARA KEHORMATANNYA) LAGI BERIMAN, MAKA BOLEHLAH KAMU BERKAHWIN DENGAN HAMBA-HAMBA PEREMPUAN YANG BERIMAN YANG KAMU MILIKI. DAN ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN IMAN KAMU; KAMU MASING-MASING (SUAMI YANG MERDEKA DAN ISTERI DARI HAMBA – ABDI ITU) ADALAH BERASAL SAMA (DARI ADAM, DAN SEAGAMA PULA). OLEH ITU BERKAHWINLAH DENGAN MEREKA DENGAN IZIN WALINYA SERTA BERIKANLAH MASKAHWINNYA MENURUT YANG PATUT. MEREKA (HAMBA-HAMBA PEREMPUAN YANG AKAN DIJADIKAN ISTERI, HENDAKLAH) YANG SOPAN BUKAN PEREMPUAN-PEREMPUAN LACUR, DAN BUKAN PULA YANG MENGAMBIL LELAKI SEBAGAI TEMAN SIMPANAN. } (AN-NISA’ 4:25)
- Jika seorang lelaki itu beriman mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi dia tidak mampu dari segi kewangan & harta benda untuk berkahwin dengan wanita merdeka yang beriman & terpelihara kehormatannya; maka Allah nyatakan bolehlah mereka kahwin dengan hamba beriman yang dimiliki oleh orang beriman. Ini adalah satu bentuk jalan keluar dari masalah.
Tetapi Allah nyatakan juga sebaiknya kamu bersabarlah sehingga berkemampuan. Carilah rezeki, berusaha dulu sehingga berkemampuan untuk berkahwin dengan perempuan yang sama-sama merdeka.
- Kata ulama’ tafsir : Maksudnya “maka kahwinilah dengan hamba-hamba yang kamu miliki maksudnya dimiliki oleh orang beriman lain.
Ini kerana tuan hamba itu sendiri tidak perlu berkahwin dengan hambanya kerana mereka sudah mempunyai hak untuk menggauli mereka seperti seorang isteri.”
Anak yang lahir nanti akan menjadi orang yang merdeka, serta mereka (si ibu) akan menjadi orang merdeka dengan kematian si bapa kerana seorang anak tidak boleh menjadi tuan kepada ibunya sendiri.
- Jika kita lihat seorang hamba itu beriman dan nampak secara zahirnya baik sifatnya maka bolehlah kahwininya.
Allah lebih mengetahui akan iman setiap orang sama ada si suami yang merdeka dan isteri dari hamba abdi itu.
- Dari ayat ini Allah SWT mengajar bahawa kita manusia hanya perlu ukur & lihat yang zahir saja pada diri seorang manusia lain.
Yang batin, yang di dalam hatinya jika dia menipu kita serah kepada Allah.
Jangan kita pula terlebih pandai mengaku tahu apa yang ada dalam hati orang!
- Ini kerana kita semua ini hamba atau orang merdeka, adalah manusia yang berasal dari keturunan yang satu iaitu datang dari nabi Adam AS.
Maka tidak salah untuk berkahwin dengan seorang hamba yang beriman ketika ada keperluan dan ketika darurat.
Kata AAM nak cari bibik : Pembantu rumah atau pengasuh anak carilah orang yang beriman.
Juga nak anak hantar anak-anak kecil ke nursery, tadika, pusat asuhan apa pun carilah tempat orang Islam. Kerana pendidikan awal seorang anak itu amat penting!
- Apabila kamu nak kahwin dengan seorang hamba itu, mintalah keizinan dari tuan atau izin walinya terlebih dahulu.
Kamu juga wajib berikan kepada mereka maskahwin yang sepatutnya.
- Hamba yang dipilih untuk jadi seorang isteri mestilah yang baik akhlaknya (yang jjuruh), yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan.
Yakni yang bebas bergaul dengan lelaki lain sehingga ada teman lelaki atau yang dijadikan pelacur oleh tuannya!
Inilah kriteria yang perlu dipenuhi untuk dijadikan seorang isteri.
- Sebagaimana yang kita nyatakan dulu, pintu masuk dalam perhambaan hanya satu manakala pintu keluarnay amat banyak & luas.
Islam amat menggalakkan untuk memerdekakan hamba & banyak kaffarah, (denda) atas sesuatu kesalahan dimulakan dengan bebaskan hamba.
AYAT 25- {KEMUDIAN SETELAH MEREKA (HAMBA-HAMBA PEREMPUAN ITU) BERKAHWIN, LALU MEREKA MELAKUKAN PERBUATAN KEJI (ZINA), MAKA MEREKA DIKENAKAN SEPARUH DARI (HUKUMAN) SEKSA YANG DITETAPKAN KE ATAS PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG MERDEKA. (HUKUM PERKAHWINAN) YANG DEMIKIAN (YANG MEMBOLEHKAN SESEORANG BERKAHWIN DENGAN HAMBA-HAMBA PEREMPUAN) ITU IALAH BAGI ORANG-ORANG YANG BIMBANG MELAKUKAN ZINA DI ANTARA KAMU; DAN SABARNYA KAMU (TIDAK BERKAHWIN DENGAN HAMBA-HAMBA PEREMPUAN) ITU ADALAH LEBIH BAIK BAGI KAMU. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:25)
- Kemudian jika perempuan hamba yang dijadikan isteri itu selepas perkahwinannya; melakukan perbuatan keji seperti zina: maka mereka dikenakan separuh dari hukuman seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.
Ulama’ kata : Iaitu disebat 50 kali sebatan iaitu separuh daripada bilangan sebatan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.
- Hukuman dibolehkan kahwin dengan hamba ini untuk orang yang sudah tidak dapat bersabar lagi, mungkin sudah tidak dapat menahan nafsunya sehingga dikhuatiri akan terjebak dengan zina pula. Wal-‘yazu billah.
- Maka Allah berikan kemaafan untuk mereka kahwin dengan hamba dengan syarat-syarat & SOP Syari’ah yang disebut tadi- bukan hanya main-main & sembunyi-sembunyi!
- Tetapi jika mereka dapat bersabar tidak berkahwin dengan hamba itu adalah lebih baik.
Tunggu sehingga ada kemampuan.
Tetapi jika sudah tidak dapat sabar lagi tidak mengapa kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dia beri kamu jalan untuk keluar dari kesusahan & darurat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 25- {Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki.}-
Allah beri hukum bahawa mana-mana lelaki beriman yang tidak mampu kahwin dengan orang yang merdeka, di bolehkan mereka berkawin dengan hamba yang beriman.
Kedudukan hamba adalah tidak sama dengan orang merdeka. Ini kerana seorang hamba itu milik tuannya, kebebasan terhad dan dia boleh dijual beli oleh tuannya bila-bila masa saja.
Ia juga tidak memiliki dirinya sendiri, semua hartanya juga milik tuannya walaupun dia yang bekerja tungkus lumus memperolehinya.
Harta milik kita atas dunia ini hanya sementara, semua akan kembali kepada Allah SWT!.
Tetapi atas dunia ini kita memiliki & punya kuasa atas harta kita sama ada ia milik sempurna, hak kita sepenuhnya, sesuatu yang kita beli atau pusakai tetapi kita milikinya dengan mengikut undang-undang Syari’ah.
Atau milik yang tidak sempurna, seperti menyewa & meminjam- bukan milik penuh kita.
- Ayat 25- {maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki.}-
Tidak halal bagi orang yang tidak berkemampuan untuk kahwin dengan hamba sebarangan.
Tidak boleh kahwin dengan hamba ahli kitab atau hamba kafir. Kerana anak yang lahir nanti akan ikut agama ibunya.
Allah letak syarat khas bagi orang seorang lelaki muslim untuk kahwin dengan seorang hamba perempuan:
i- Beriman
ii- Hamba yang baik bukan pelacur dan perempuan buruk akhlak.
iii- Lelaki itu tidak mampu berkahwin dengan orang merdeka.
iv-Terlalu darurat keperluannya, sehingga takut terjebak dengan maksiat seperti zina jika tak kahwin!
Jika masih boleh sabar tunggu & sabar dulu adalah lebih baik sehingga mampu kahwini orang merdeka juga.
- Ayat 25- {kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seagama pula).}-
Lelaki yang merdeka & perempuan yang hamba itu adalah manusia yang berasal dari keturunan yang sama iaitu dari Adam & sama-sama muslim.
Kita semua manusia yang sama, kecuali kedudukannya menjadi sebagai seorang hamba kerana tertawan dalam peperangan.
Maka jangan kamu hina & rendahkan mereka.
Daripada mereka terjebak dengan dosa baiklah mereka berkahwin untuk menjaga diri & maruah.
Dalam ayat ini Allah nafikan unsur kasta dalam dunia ini & tiada kasta dalam Islam.
Yang dikira adalah sama-sama beriman kepada Allah SWT!
Untuk elakkan bermaksiat dan menjaga iman dibenarkan berkahwin walaupun dengan seorang hamba tapi mestilah hamba yang beriman bukan kafir.
Seperti zaman ini : Seorang lelaki majikan, boleh berkahwin meskipun dengan pembantu rumah jika ia lebih baik daripada berkhalwat dan untuk mengelakkan kemungkaran yang terjadi dalam rumah sendiri.
- Ayat 25- {dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan.}-
Bukan perempuan yang ada teman lelaki. Yakni yang bebas bergaul dengan lelaki bukan mahram walaupun mereka tidaklah sampai berzina.
Kerana itu Islam mengharamkan pergaulan bebas & berkhalwat iaitu berdua-duaan lelaki & wanita kerana ia amat bahaya boleh membawa kepada perkara yang keji & merosakkan.
Hadis : Rasulullah SAW bersabda: أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan. [HR At-Tirmizi (2165)].
Maka berhati-hatilah jangan kamu kahwini wanita yang tidak elok perangainya yang biasa bergaul bebas dengan bukan mahram, bebas keluar rumah ke sana sini, yang tidak terjaga auratnya walaupun mereka perempuan merdeka!
Ini kerana ditakuti tabiat buruk itu sukar ditingalkan!
Jika kamu dapat membimbing mereka alhamdulillah tetapi jika sebaliknya, bala lah!
- Ayat 25- {dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-
Jika kamu masih mampu bersabar, maka sabarlah tidak perlulah kamu mengahwini seorang hamba.
Sabar itu lebih baik jika kamu mampu menahan diri dari berkahwin dengan hamba ia lebih baik bagi kamu.
Sabarlah tunggu sehingga kamu mampu berkahwin dengan perempuan merdeka.
Tetapi jika sudah tidak mampu menahan nafsu sehingga bimbang berzina, maka boleh berkahwin dengan mereka.
Bahkan adalah lebih baik berkahwin dengan hamba dari terjebak dalam perkara keji dan mungkar, yang diharamkan Allah SWT.
Ayat ini memberi amaran agar jangan kahwin dengan seorang hamba kecuali ketika darurat!
Darurat itu ialah:
i- Tidak mampu kahwin dengan orang merdeka
ii- Takut tidak dapat tahan diri dari terjebak perkara buruk.
Hikmah kenapa Islam tidak menggalakkan lelaki merdeka berkahwin dengan seorang hamba:
i- Anak itu akan ikut ibunya- jika ibunya hamba maka anak itu akan jadi hamba juga. Maka ini untuk menjaga nasab keturunan.
Berbeza dengan anak yang lahir hasil hubungan dengan tuannya sendiri- ia akan jadi orang yang merdeka secara automatik.
ii- Biasanya seorang hamba itu bebas keluar masuk, melayan orang itu orang ini- maka itu sudah menjadi kebiasaannya.
Dikhuatiri selepas kahwin nanti dia susah untuk berubah untuk meninggalkan kebiasaan & tabiat lamanya itu.
iii- Hak tuannya lebih besar daripada hak suami. Ini jika dia masih menjadi milik tuannya.
iv- Tuannya masih boleh jual hamba itu dan dia akan bertukar pemiliknya pula, ada pandangan begitu.
v- Mas kahwin yang diberikan kepada hamba itu akan dapat kepada tuannya! Bukan akan menjadi miliknya.
Serta banyak lagi keburukan & kekurangannya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.