View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 26-28

ALLAH SWT JELASKAN HIKMAH SYARI’AH, PENGIKUT HAWA NAFSU BINASA & SYARIAH RINGAN KERANA MANUSIA LEMAH.

Full video : https://youtu.be/Ry3QDVMn2Ig?si=NKsaNv96JFPiOiKd

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 26 sehingga ayat 28 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima. 
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah SWT jelaskan hikmah Syari’ah.
    Sebab-sebab hukum Syara’ orang terdahulu.
    Orang dahulu macamana perundangannya, kita pula macamana.
    Syari’ah orang terdahuku jika tidak bercanggah dengan Syari’ah kita ini dikekalkan. 
    Jika berbeza maka terbatallah ia, kerana kita kena ikut al-Quran, tidak boleh lagi ikut Taurat atau Injil.
  1. Allah sebut pengikut hawa nafsu & syahwat semata-mata, akan binasa. 
  1. Allah juga nyatakan bahawa hukum-hakam Syariah ini ringan kerana manusia ini lemah. Umat sekarang ini juga lemah berbanding dengan umat terdahulu. 
    Ia juga sesuai pada semua zaman bermula dari zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari Kiamat nanti, bermula dari zaman naik unta sehingga ke zaman naik kereta & kapal terbang ini.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    A.
    i- Allah SWT nyatakan dalam ayat ini tentang hukum-hukum umat terdahulu yang berkait dengan rumah-tangga, perkahwinan dan hikmah-hikmahnya kemudian dibawakan sebabnya. 

    ii- Ini supaya hati kita tenang serta belajar ambil faedah daripada hukum tersebut, lebih semangat untuk mengamalkanya serta lebih tenang & redha untuk mendapatkan keampunan & kasih-sayang Allah SWT.

    B.
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang wanita-wanita yang haram dikahwini dengan nyata & jelas batasan sempadannya. 
    Ini untuk menyatakan bahawa ia sama dengan Syari’ah terdahulu kecuali dari beberapa sudut kecil seperti hukum perkahwinan pada zaman Adam pada peringkat awal kerana tiada manusia lain.

    ii- Dalam ayat ini pula Allah nyatakan kelebihan & ketinggian Syari’ah Islam yang diberikan perundangannya kepada Rasulullah SAW mengatasi Syari’ah nabi-nabi yang terdahulu.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 26- {ALLAH MENGHENDAKI (DENGAN APA YANG TELAH DIHARAMKAN DAN DIHALALKAN DARI KAUM PEREMPUAN ITU) IALAH UNTUK MENERANGKAN (SYARIATNYA) DAN UNTUK MENUNJUKKAN KEPADA KAMU JALAN-JALAN ATURAN ORANG-ORANG YANG DAHULU DARIPADA KAMU (NABI-NABI DAN ORANG-ORANG YANG SOLEH, SUPAYA KAMU MENGIKUTINYA), DAN JUGA UNTUK MENERIMA TAUBAT KAMU. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:26)

  1. Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan dengan jelas tentang golongan wanita yang halal dan haram untuk dikahwini kerana beberapa sebab.
  1. Ini untuk menunjukkan jalan & aturan orang terdahulu dari kamu iaitu Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh; supaya kamu tahu & supaya kamu mengikutinya.
  1. Kemudian Allah SWT beri taufiq kepada kamu, untuk ikut jalan yang terpuji ini, ikut Syari’ah Allah SWT. 
    Maka Allah sayang & redha kepada orang yang melakukannya, jangan melencong, jangan lari daripada Syari’ah Allah SWT!
  1. Kemudian Allah nyatakan jika seseorang itu tersalah lalu terus bertaubat dari dosanya, Allah akan menerimanya & tariknya kepada jalan taat kepada Allah dan tinggalkan segala maksiat.
    Orang yang benar-benar bertaubat dengan taubat nasuha- Allah akan ampun & hapuskan dosanya, dia akan dikira tidak bersalah lagi!
  1. Sedangkan tiada manusia yang tidak bersalah kecuali Nabi SAW yang maksum.
    Orang lain pasti ada kesilapan, kecil atau besar, banyak atau sedikit. 
    Tetapi alhamdulillah Allah SWT buka pintu taubat untuk kita bertaubat.
    Dengan syarat sebelum pintu taubat tertutup iaitu sebelum nyawa sampai di halkum atau sebelum tibanya hari Kiamat. 
  1. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa saja yang berlaku atas dunia ini, cerah atau gelap, zahir atau tersembunyi!
  1. Antara ilmu Allah SWT ialah Dia tahu apa yang sesuai & baik bagi hamba-Nya untuk perjalanan hidup mereka atas dunia ini! 
    Kerana itu Allah sendiri yang menentukan tentang hukum perkahwinan, harta pusaka, hukum jenayah hudud dan lain-lain. 

    Tiba-tiba ada manusia yang kata ianya tidak sesuai dengan zaman! 
    Boleh dia membantah Allah SWT yang bersifat Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
    Sedangkan kita kena yakin dengan sepenuhnya bahawa semua yang Allah buat itu ada hikmah & faedahnya..
  1. Allah SWT juga Maha Bijaksana iaitu penuh dengan hikmah segala hukum & perbuatan-Nya. 
    Antara hikmah kebijaksaan Allah yang kita kena yakin ialah: 
    i- Dalam menetapkan hukum-hakam yang Allah syari’atkan kepada hamba-hamba-Nya.

    ii- Dibukanya pintu taubat bagi hamba-Nya yang berdosa & bersalah. 
    Cuba kita andaikan sekiranya orang bersalah tetapi tiada pintu taubat- maka habislah semua manusia akan ke neraka! 
    Tetapi Allah yang Maha Bijaksana buka pintu taubat untuk kita, alhamdulillah.

    iii- Allah SWT akan biarkan, tidak akan peduli, tidak beri taufiq kepada orang-orang yang tidak diberi peluang untuk bertaubat- mati dalam keadaan berdosa begitu! 
    Ini adalah sesuatu yang cukup bahaya & menakutkan! 
  1. Sekiranya Allah SWT anugerahkan kepada kita taufiq & hidayah untuk kita bertaubat; maka itu adalah nikmat yang besar selepas nikmat Islam!

AYAT 27- {DAN ALLAH HENDAK (MEMBERSIHKAN KAMU DARI DOSA DENGAN) MENERIMA TAUBAT KAMU, SEDANG ORANG-ORANG (YANG FASIK) YANG MENURUT KEINGINAN HAWA NAFSU (YANG DIHARAMKAN OLEH ALLAH ITU) HENDAK MENDORONG KAMU SUPAYA KAMU MENYELEWENG (DARI KEBENARAN) DENGAN PENYELEWENGAN YANG BESAR BAHAYANYA.} (AN-NISA’ 4:27)

  1. Allah SWT yang memilih hamba-hamba-Nya untuk diberi taufiq untuk bertaubat! 
    Maka sentiasalah kita beristighfar kepada Allah SWT dengan mulut & lidah kita. 
    Selagi peluang masih ada, kita sentiasalah basahkan lidah dengan istighfar dan zikir kepada Allah SWT.
  1. Dikatakan bahawa Rasulullah SAW beristighfar dalam satu majlis sebanyak 70 atau 100 kali sedangkan Baginda SAW adalah seorang yang maksum, tidak melakukan dosa.
    Ia adalah motivasi untuk mengajar kita agar lidah tidak kering untuk sentiasa bertaubat & beristighfar memohon keampunan dari Allah SWT.

    Manakala golongan kedua yang sebaliknya : Mereka hanya mencari lelazatan dunia semata-mata & sentiasa mengikut hawa nafsu yang tidak peduli tentang halal-haram asalkan kehendaknya dipenuhi. 
    Mereka ini sama ada golongan kafir atau fasik & jahat dan orang derhaka. 
  1. Kerja mereka akan cuba menarik kamu menyeleweng keluar dari jalan yang benar & landasan yang Allah redha untuk masuk ke jalan yang batil. Yang dimurkai Allah SWT!
    Maka kamu akan jadi seperti mereka, calon yang akan dihumban ke dalam neraka! Wal-‘yazubillah
  1. Begitulah bahayanya orang yang ditinggalkan Allah SWT tanpa hidayah, tanpa taufiq & tanpa taubat- mereka akan terumbang-ambing.
  1. Maka hati-hatilah dengan tipu daya syaitan.
    Boleh dapatkan buku ini & ikuti kuliahnya setiap minggu malam Jumaat: https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…

AYAT 28- {ALLAH (SENTIASA) HENDAK MERINGANKAN (BEBAN HUKUMNYA) DARIPADA KAMU, KERANA MANUSIA ITU DIJADIKAN BERKEADAAN LEMAH.} (AN-NISA’ 4:28)

  1. Allah SWT ringankan beban hukumnya ke atas manusia kerana kita ini lemah! Alhamdulillah. 
    Tetapi yang ringan inipun masih ramai yang kecundang, yang rebah koya, tidak ikut apa yang Allah SWT kehendaki, tidak ikut perundangan Allah SWT!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat 26 Allah nyatakan, bahawa ayat-ayat yang dibawa dari awal Surah An-Nisa’ sehingga sekarang; semuanya berkaitan dengan hukum-hakam tentang keluarga, tentang harta & pusaka. 
    Ini kerana Allah nak suruh kita tahu bagaimana orang terdahulu mengikut syariat Allah SWT, maka kamu juga kena ikut Syari’at Allah.

    ii- Kemudian datang ayat ini menyatakan bahawa Syariat buat umat Nabi Muhammad SAW ini Syari’at yang ringan, mudah dan tidak memberatkan.
    Syari’ah Allah SWT ini menunjukkan kasih sayang & kelembutan Allah SWT terhadap hamba-Nya. 
    Ini untuk jaga kemaslahatan keperluan manusia & menolak keburukan & kesusahan yang menimpa. 
  1. Sebagaimana dalam hukum dibolehkan kahwin dengan hamba mukminah bagi lelaki merdeka yang tidak mampu untuk kahwin dengan wanita merdeka serta takut akan terjebak dengan maksiat.
    Ini adalah untuk buka pintu atau jalan bagi orang yang ada masyaqqah (kesusahan).
  1. Serta banyak lagi keringanan dan kemudahan yang Allah syari’atkan.
    Islam itu mudah & tidak memayahkan, Syari’ahnya sesuai untuk semua bangsa, warna & keturunan manusia di mana saja mereka berada atas dunia ini.
  1. Semua keringanan dan kemudahan itu kerana Allah SWT Pencipta kita, tahu bahawa manusia itu diciptakan dhaif, berkeadaan lemah.
    Lemah dari segi kekuatan jiwa & keazaman, lemah dari segi kesabaran, keamanan & juga lemah tubuh badan- maka Allah beri undang-undang & peraturan yang ringan dan bersesusaian.
  1. Antara contoh keringanan berbanding dengan awal pensyari’atan:
    i- Dulu seorang tentera Islam kena lawan 10 orang kafir : Kemudian diringankan kepada 2 orang musuh saja.

    ii- Dulu umat Islam difardhukan untuk puasa selama 23jam : Kemudian diringankan puasa hanya pada waktu siang dari subuh sehingga maghrib saja.
  1. Boleh baca atau dengar kuliah dari buku ini: KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
  1. Percaya & yakinlah kita kepada Allah & perundangan-Nya. Semua hukum & undang-undang diturunkan bersesuaian dengan keadaan manusia yang lemah,untuk setiap masa & zaman. 
    Allah lebih tahu apa yang zahir dan tersembunyi kerana Allah pencipta kita, semua dalam ilmu & kebijaksanaan-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26- {Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya),}-

    Allah katakan Dia nak nyatakan kepada kamu undang-undang & Syari’ah-Nya. 
    Seolah Allah mahu berikan ketenangan buat orang mukmin, boleh menerima undang-undang Allah dari awal surah sehingga ayat ke-25. 
    Kerana ia adalah hukum hakam dari Allah, Allah yang mensyari’atkannya, Allah yang turunkan hukum itu, walaupun jika tak berkenan oleh hawa nafsu, terima & akurlah akannya.

    Ada manusia mulut celupar yang mengatakan Allah SWT tidak adil dalam pembahagian harta pusaka!
    Ayat ini seolah ekor atau penutup kepada hukum-hakam yang datang dari awal surah sehingga kepada ayat yang ke-25, sinopsis atau kesimpulan kepada apa yang kamu belajar dalam ayat sebelum ini.  
    Semua hukum ini telah diterima & dipakai oleh nabi-nabi terdahulu, bukan kita saja. 
    Hanya Syari’ah yang dibawa oleh Rasulullah SAW saja yang berkekalan sehingga ke hari Kiamat.

    Allah gunakan lafaz {يُرِيدُ ٱللَّهُ- Allah menghendaki} ini dalam present tense- sighah (مضارع) bukan past (ماضي)- untuk menunjukkan bahawa penjelasan ini akan berterusan. Bermula dari Nabi SAW hurai, sahabat tafsir kemudian sehingga zaman kita ini para ulama’ tafsir masih menafsirkan ayat-ayat al-Quran berdasarkan konteks realiti semasa. Itulah yang kitakan sesuai dengan semua zaman, masa & tempat.
  1. Ayat 26- {Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan..}-

    Allah kata Aku nak nyatakan kepada kamu untuk memberikan lebih kefahaman tentang undang-undang yang Allah kehendaki. 
    Kata ulama’ tadabbur : Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah pada hamba-hamba-Nya. Antara rahmat-Nya- Allah tidak dibiarkan umat ini jahil, diberikan keterangan berterusan & menyeluruh. 
    Jika jahil lagi bukan salah al-Quran, tetapi kerana tak mahu belajar! 
    Untuk keluar dari kejahilan & tak faham adalah dengan terus menuntut ilmu. 

    Kata ulama’ Usul : Tiada dalam Syariat Islam sama ada dalam al-Quran atau dalam hadis Nabi SAW; suatu undang-undang yang semua orang tidak faham.
    Kita tak faham mesti ada seseorang yang faham, ulama’ ini tak faham pasti ada golongan ulama’ lain yang faham. 

    Ada 4 sebab kenapa tidak faham agama, sebab terdindingnya hukum Syara’ ke atas manusia:
    i- Tiada ilmu atau kurang ilmu- kemudian tak mahu belajar pula!

    ii- Lemah dalam memahami konteks ayat & kefahaman yang cetek. Ulama’ khilaf dengan ilmu, manusia biasa yang tidak ada ilmu- khilaf dengan nafsu.

    iii- Kecuaian dalam menuntut ilmu- tidak cuba mencari ilmu yang lain. 

    Kata bijak pandai : Sesiapa yang banyak mengkaji dan cari maklumat maka kuranglah kritikannya.
    Maka antara nikmat yang Allah berikan kepada kita ialah untuk belajar dan banyak mengkaji kebenaran terutama dua-dua aliran & fahaman yang berbeza. 
    Jangan terus tolak & belajar sebelah pihak saja.

    iv- Mempunyia niat yang buruk. Bukan tidak faham tetapi tidak mahu mengalah & tunduk kepada orang. Ambil kesempatan hasut pemerintah untuk sekat & kekang orang tertentu yang tidak sehaluan dengannya.
  1. Ayat 26- {Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}-

    Allah bawa dua sifatnya { وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ}.
    Ayat ini memberi ketenangan kepada kita, pertama kita isbatkan nama Allah {حَكِيمٌۭ} yang bersifat dengan hikmah & bijaksana! 
    Apabila kita kenal sifat Allah SWT yang bersifat dengan hikmah maka kita akan yakin semua yang Allah buat susah atau senang, redha dengan semua yang terjadi, apa yang Allah cipta & tentukan hatta musibah yang menimpa semuanya bersebab.
    Hatta kenapa Allah cipta syaitan yang menyusahkan kita ini.
    Boleh baca tentang Hakikat Syaitan & dengar kuliahnya : https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
  1. Ayat 27- {Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.}-

    Ayat ini adalah satu amaran keras daripada mengikut syahwat & hawa nafsu.
    Ini kerana pengikut hawa nafsu ini kerjanya nak pesongkan orang daripada Syari’at Allah SWT, dia kira nak penuhkan perutnya, nak selesai farajnya saja.

    Sama ada syahwat itu melalui perut, fikirkan nak makan saja atau nak berbini saja ataupun syahwat tentang pemikiran & hati.  
    Keduanya bahaya belaka.
    Pengikut hawa nafsu dipanggil orang yang mencari rekaan dari agama iaitu ahli bid’ah maka mereka terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW yang benar.

    Dua sebab yang membuatkan manusia terpesong dari agama ialah:
    i- Kerana syubhat dalam agama : Iaitu puak kafir & munafiq yang mencari benda yang meragukan untuk memesongkan umat Islam.

    ii- Syahwat : Semua orang ikut & ada nafsu cuma kawalan & penggunaannya berbeza. 
    Bagi orang yang beriman kena ikut SOP Syari’ah dan mengawalnya dengan baik maka ia akan memberi pahala pula!
    Mereka yang ikut hawa nafsu tanpa kawalan Syari’ah adalah golongan yang paling rendah kedudukannya dalam dunia Islam ini. 
  1. Ayat 28- {Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.}-

    Allah kata Dia ringankan bebanan Syari’ah untuk hamba-Nya kerana manusia itu lemah.
    Dalam ayat ini Allah juga ajar kepada kita untuk ambil yang mudah & ringan.  
    Ini supaya kita tidak rasa terbeban, ini ada dalam bab rukhsah (keringanan & kelonggaran) dalam ibadat. 
    Boleh tengok dalam buku Keindahan Islam tadi juga.

    Allah SWT juga ulang beberapa kali bahawa Allah beri peluang kepada orang yang tersalah, yang ikut hawa nafsu, yang terjebak dengan perangkap syaitan; diberi peluang untuk bertaubat. Ini kerana manusia itu lemah.
    Manusia itu lemah dari sudut fizikalnya juga lemah jiwanya dari menentang kehendak syahwat yang buruk. 
    Lemah juga dari segi kehidupan, kecuali jika beramal dengan Islam, ikut Syari’ah Islam barulah hilang kelemahan itu.
    Kita akur & akui kita ini manusia yang lemah, maka kita bergantunglah kepada Allah Azza wa Jalla, bergantung kepada Syari’ah Allah SWT, kepada rahmat Allah SWT  
    Insya’ Allah kita akan selamat di dunia & aman di Akhirat.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs