Surah An-Nisa’ : Ayat 40-42

GANJARAN PAHALA KEBAIKAN, SETIAP UMAT ADA SAKSI & PENYESALAN SI KAFIR.

Full video : https://youtu.be/heBb46fpLQ8?si=ns9Fuwy1taRR8Mzs

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 40 sehingga 42 bagi surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima. 
  1. Dalam siri ini ialah Allah nyatakan bahawa Dia bersifat adil kepada hamba-Nya tidak ada kezaliman walaupun sebesar biji zarah. 
    Jika buat baik ganjaran pahala kebaikan berganda tetapi jika buat jahat tidak berganda kecuali dosa yang berkait seperti penganjur maksiat atau pelopor ajaran sesat. Maka berhati-hatilah.
  1. Yakni pahala individu berganda, dosa individu tidak berganda. 
    Pahala dakwah pelopor ajak orang kepada kebaikan akan berganda, itulah manusia yang bahagia tuannya mati pahalanya tidak mati. Sama seperti orang yang waqaf dan ajar orang kebaikan dan ilmu yang berguna.
  1. Kemudian Allah nyatakan lagi bahawa setiap umat ada saksi & saksi terbesar ialah Nabi Muhammad SAW. Yang mana apabila Rasulullah SAW mendengar ayat ini Baginda SAW menangis.
  1. Jelas juga di Akhirat kelak, penyesalan si kafir tidak akan berguna lagi, tempoh masa yang diberikan sudah habis, maka kamu terimalah akibatnya daripada perbuatan kamu di dunia dulu.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang apa salahnya jika mereka beriman & infaq fi-sabilillah.

    ii- Maka ayat ini datang bawa jaminan bahawa Allah tidak akan zalim, jika buat baik Allah akan gandakan pahala balasanannya!
    Ini adalah galakan supaya beriman & melakukan kebaikan. 
    Ini adalah janji dari Allah, janji yang benar!

    Munasabah kedua:
    i- Dalam ayat 36 Allah suruh buat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat terdekat juga mencela kumpulan yang bakhil, tidak beriman & tidak berinfaq pada jalan Allah SWT.

    ii- Maka ayat ini datang menguatkan lagi bahawa siapa buat baik gandaan pahala baginya. Allah beri jaminan bahawa sesiapa yang buat baik walaupun sebesar zarah Allah SWT akan membalasnya. 
    Sesiapa yang buat kebaikan sikit atau banyak, Allah SWT akan gandakan pahalanya serta Allah SWT tidak akan zalim walaupun sebesar zarah!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 40- {SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENGANIAYA (SESEORANG) SEKALIPUN SEBERAT ZARAH (DEBU). DAN KALAULAH (AMAL YANG SEBERAT ZARRAH) ITU AMAL KEBAJIKAN, NESCAYA AKAN MENGGANDAKANNYA DAN AKAN MEMBERI, DARI SISINYA, PAHALA YANG AMAT BESAR.} (AN-NISA’ 4:40)

  1. Sesungguhnya Allah SWT tidak sesekali akan menzalimi, menganiayai hamba-Nya walaupun sebesar zarah (debu atom) apatah lagi sebesar gajah!
    Dinyatakan yang rendah sekali untuk menyatakan yang berat sekali.
  1. Setiap kebaikan walaupun kecil sebesar debu Allah akan membalasnya, maka tidak akan rugi sesiapa yang buat kebaikan kerana Allah akan menggandakan lagi pahalanya!
    Manakala jika dia buat jahat hanya akan dapat dosa satu saja, dan manusia yang celaka ialah dia mati tapi kejahatannya tidak mati!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini juga:
    i- {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa’ 21:47)

    ii- {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} (Az-Zalzalah 99: 7-8)
  1. Hadis riwayat dari Abu Sa’id Al Khudri RA, Nabi SAW sabdanya:
    “Setelah penduduk syurga masuk ke dalam syurga, dan penduduk neraka masuk ke dalam neraka, maka Allah berfirman: Keluarkanlah dari neraka orang-orang yang ada iman di dalam dadanya (walau hanya) sebesar biji sawi!” [HR Bukhari].
  1. Hadis- kisah yang menyentuh sanubari apabila seorang ibu datang ke rumah Ummul Mukninin Saidatina Aisyah bersama dengan dua orang anak perempuannya. “Ibu tersebut meminta sumbangan daripada Aisyah. Namun, ketika itu tiada apa yang boleh disumbangkan melainkan sebiji tamar. Lalu, Aisyah berikan kepada ibu tadi. “Apa yang berlaku di hadapan UM Aisyah sangat menyentuh hati. Si ibu telah membelah tamar kepada dua bahagian, lalu diberikan kepada dua orang anak perempuan yang bersama dengannya, sedangkan dirinya sendiri tidak mendapat sebarang makanan,” katanya. Tatkala berita itu sampai kepada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut) pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) ALLAH akan membebaskannya dari neraka.” (HR Muslim)
  1. Neraca timbangan dalam Islam ini bukan bermula dari sebiji tamar atau sebesar lengan tetapi ia adalah timbangan mikro yang bermula daripada kecil sebesar zarah, atom atau biji sawi atau biji pasir.
    Maka jangan sesekali rasa lekeh, remeh atau tidak berharga akan kebaikan yang kita buat, kerana Allah timbangnya dengan zarah bukan kilo atau kati!
  1. Gandaan pahala kebaikan pula pula bermula dari 10 sehingga 700 dan Allah SWT akan memberikannya berganda-ganda lagi mengikut berapa saja yang dia nak beri, itulah hak Allah SWT!
  1. Manakala anugerah yang paling besar apa yang tidak pernah terfikir dek akal fikiran & hati manusia tidak pernah menggambarkannya, itu ialah syurga. 
    Di dalam syurga pula ada lagi anugerah dari Allah yang tidak terfikir juga oleh manusia iaitu memandang kepada wajah Allah SWT yang mulia!
    Ya Allah jadikanlah kami dari golongan hamba-Mu yang mendapat redha-Mu & nikmat syurga-Mu di Akhirat kelak! 
    Serta hamba-Mu yang terpilih untuk memandang wajah-Mu di dalam syurga nanti!

AYAT 41- {MAKA BAGAIMANAKAH (KEADAAN ORANG-ORANG KAFIR PADA HARI AKHIRAT KELAK), APABILA KAMI DATANGKAN DARI TIAP-TIAP UMAT SEORANG SAKSI (IAITU RASUL MEREKA SENDIRI MENJADI SAKSI TERHADAP PERBUATAN MEREKA), DAN KAMI JUGA DATANGKAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) SEBAGAI SAKSI TERHADAP UMATMU INI?} (AN-NISA’ 4:41)

  1. Setiap rasul menjadi saksi kepada umat masing-masing, manakala datangnya Rasulullah SAW akan menjadi saksi kepada semuanya- seluruh manusia!
  1. Ayat ini merupakan ayat saksi kerana semua rasul-rasul akan menjadi saksi pada umat masing-masing.
  1. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
    i- Allah nyatakan dalam ayat 40 bahawa Allah tidak zalim pada hamba-hamba-Nya walaupun sedikit.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan para nabi akan menjadi saksi atas segala perbuatan umat-umatnya. Manakala Nabi kita Muhammad SAW akan menjadi saksi kepada seluruh manusia semuanya!
    Setiap perbuatan ada saksi maka tidak ada manusia yang boleh dakwa bahawa Allah telah menzalimi mereka!
  1. Tidak boleh lari dari segala perbuatan kita kerana rasul kita akan menjadi saksi kita. Setelah berdepan dengan rasul masing-masing barulah azab diturunkan.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} [Isra’: 15].
  1. Antara isi kandungan khutbah Rasulullah SAW semasa Haji terakhir ialah:
    “Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.” [HR Bukhari & Muslim].

    Kita semua bersaksi bahawa Nabi SAW yang telah menjalankan amanahnya dengan menyampaikan segala ajaran al-Quran pada umat ini, dan akan menjadi saksi kita di akhirat nanti.

    Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya“Wahai Ibnu Mas’ud, bacakanlah Al-Quran untukku.” Ibnu Mas’ud menjawab, “Bagaimana aku akan membacakan Al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?” Rasulullah menjawab, “Aku suka mendengarkan bacaan al-Quran itu dari orang lain.” Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari Surat An-Nisa’. Maka ketika bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat 41: فَكَيْفَ اِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ اُمَّةٍۢ بِشَهِيْدٍ وَّجِئْنَا بِكَ عَلٰى هٰٓؤُلَاۤءِ شَهِيْدًاۗ {Bagaimanakah (keadaan manusia kelak pada hari Kiamat) jika Kami mendatangkan seorang saksi (Rasul) dari setiap umat dan Kami mendatangkan engkau (Nabi Muhammad) sebagai saksi atas mereka?} [An-Nisa ayat 41]. Ayat itu sangat mengharukan hati Rasulullah, lalu Baginda berkata, “Cukuplah sekian saja, ya Ibnu Mas’ud.” Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya. (HR Imam Bukhari).

    Nabi SAW menangis mendengar tugasnya yang besar, menjadi saksi akan umatnya!
    1. Begitulah Rasulullah SAW, jiwanya bersama umatnya sejak dari awal sehingga akhir. 
      Jiwa kita pula kepada Nabi SAW bagaimana? Orang yang benar-benar sayang & mencintai Rasulullah akan beramal, memperjuangkan dan mempertahankan Sunnahnya walaupun dikecam dan ditentang oleh orang ramai.
      Bukan hanya setakat berselawat bergendang, memakai logo capal dan seumpamanya tetapi Sunnahnya dipinggirkan serta mengangkat ajaran dan amalan yang direka oleh orang lain. 
    1. Para sahabat begitu bimbang jika mereka tidak akan bersama Rasulullah SAW di Akhirat kelak sehingga tidak tidur lena memikirkannya.
      Lalu Rasulullah SAW bersabda: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ “Seseorang akan (dibangkitkan) bersama dengan orang yang dicintainya.” (Sahih Bukhari No: 5702)
    1. Kemudian turunlah frman Allah SWT juga: 
      {Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).} (An-Nisa’ 4:69)
    1. Maka tenanglah hati para sahabat apabila mendengar jaminan dari Allah & Rasulullah SAW ini.
    1. Tetapi ingat! Cinta hakiki kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan bukan cinta replika atau cinta gendang. 
      Cintailah orang soleh dan bertaqwa, semoga kita akan bersama mereka diakhirat nanti.
    1. Firman Allah SWT juga:
      {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa’ 21:47)

    AYAT 42- {PADA HARI ITU ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN MENDERHAKA KEPADA RASULULLAH, SUKA JIKA MEREKA DISAMA RATAKAN DENGAN TANAH (DITELAN BUMI), DAN (KETIKA ITU) MEREKA TIDAK DAPAT MENYEMBUNYIKAN SEPATAH KATA PUN DARI PENGETAHUAN ALLAH.} (AN-NISA’ 4:42)

    1. Pada hari itu orang yang menderhaka, kufur tidak beriman kepada Allah & Rasulullah SAW atau rasul-rasul mereka yang dahulu berangan, berharap jikalah mereka menjadi tanah atau hilang ghaib di telan bumi, lalu tidak akan dihisab akibat kekufuran mereka itu.
    1. Firman Allah SWT:
      {Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.} [An-Naba’: 40].
    1. Di hari kiamat, tiada guna lagi penyesalan, orang kafir dan derhaka pada rasul, takut untuk dibangkitkan, berharap biarlah mereka mati menjadi tanah balik. Tetapi apa boleh buat segalanya telah dicatat menjadi bukti & saksi kepada mereka.
    1. Penyesalan tidak ada gunanya, segala anggota akan menjadi saksi, tiada tempat untuk bersembunyikan. 
      Semua perbuatan di dunia akan dipersoalkan, bahkan anggota sendiri juga menjadi saksi atas segala perbuatan di dunia dulu, mulut terkunci tetapi anggota lain seperti kaki dan tangan yang berkata-kata dan menjadi saksi.
    1. Siksaan di Akhirat juga ada pelbagai dimensi:
      i- Siksaan fizikal : Tubuh badan dibakar disiksa,

      ii- Siksaan mental : Mereka nenghadapi tekanan jiwa, melihat kawan-kawan mereka mendapat nikmat di dalam syurga- manakala mereka di dalam neraka.
      Mereka juga mneyesal dengan berkata alangkah baiknya sekira, alangkah {يا ليتني }. 
    1. Bahkan mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah SWT.
      Segalanya akan dihitung dihisab dan mereka akan menerima pembalasannya. Segala anggota badan sendiri menjadi saksi atas kejahatan yang mereka buat dulu, semuanya akan dipersoal.
    1. Sentiasalah kita baca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini agar kita selamat dunia & Akhirat: 
      اَللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَاْلاَخِرَةِ، اَللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِيْ دِيْنِيْ وَدُنْيَايَ وَأَهْلِيْ وَمَالِيْ، اَللّٰهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِيْ وَاٰمِنْ رَوْعَاتِيْ.
      “Ya Allah, aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga, dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut…” [Imam Nawawi, al-Azkar].
      Sila rujuk buku Perisai Muslim : https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
      Inilah antara bacaan atau doa yang warid dari Rasulullah SAW. jadikan ia amalan kita agar kita tidak menyesal di Akhirat kelak! 

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 40- {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)…}-

      Allah memberi jaminan bahawa Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya walaupun dengan sebesar debu zarah!
      Kata ulama’ : Ayat ini mengajar & memberi bimbingan kepada kita untuk saksikan hikmah pentadbiran Allah SWT dalam janji baik & janji amaran siksaan!
      i- Kita akan saksikan ihsan limpah kurnia Allah SWT dalam janji-Nya kepada hamba yang beriman.

      ii- Juga kita akan lihat keadilan Allah SWT dalam janji balasan siksa kepada orang yang celaka.
      Hikmah yang besar Allah letakkan dalam setiap amaran kepada mereka.
      Kita boleh nampak apabila ada perbandingan ini; yang buat baik berganda-ganda pahala balasannya bermula dengan 10 sehingga 700 kali ganda manakala yang jahat hanya satu per satu.
      kerana itu apabila bercakap tentang Allah kita gunakan bahasa yang baik.

      Sebagaimana yang sering diucapkan oleh para penceramah:
      Setiap yang baik itu datang dari Allah manakala yang buruk itu dari diri saya sendiri & dari syaitan.
      Padahal semua perkara atas dunia ini berlaku dengan ketetapan Allah SWT; tetapi kita tidak sandarkan benda yang buruk kepada Allah! Itu adabnya.
    1. Ayat 40- {dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.}-

      Allah akan beri pahala yang besar kepada hamba-Nya.
      Kebaikan akan melahirkan kebaikan manakala keburukan juga akan membawa keburukan yang banyak! 
      Pahala & syurga ini yang kamu layak masuk adalah dengan sebab kebaikan & amalan yang kamu lakukan atas dunia dulu! Pahala dan syurga buat yang berbuat kebaikan di dunia, semuanya atas rahmat Allah.
      Yang banyak berbuat kebaikan, dilorongkan ke jalan kebaikan.

      Persoalan: 
      Apakah ia tidak bertentangan dengan hadis Rasulullah SAW ini: لاَ يُدْخِلُ أَحَداً مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ. وَلاَ يُجِيْرُهُ مِنَ النَّارِ. وَلاَ أَنَا. إِلاَّ بِرَحْمَةِ مِنَ اللهِ.
      Tidaklah dimasukkan seseorang daripada kamu ke dalam syurga kerana amalannya. Dan tidak dijauhkan daripada neraka (kerana amalannya). Dan tidak juga aku. Kecuali dengan rahmat daripada Allah. [HR Muslim]
      Jawapan:
      i- Maksudnya: seseorang itu dengan rahmat Allah ‘Azza wa Jalla akan mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. 
      Dalam ertikata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat Allah dan amal soleh untuk masuk syurga.

      ii- Rahmat Allah bererti hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. 
      Tanpa rahmat Allah, mungkin sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat riya’ yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah.

      iii- Ini kerana kita buat amal ibadat & kebaikan kerana Allah SWT yang perintahkan semua itu & dengan rahmat-Nya- Allah akan bawa kita ke syurga!
      Siapa yang buat baik akan dibuka kepadanya jalan kepada kebaikan yang banyak lagi!

      Bermula dengan bertaqwa- lorong-lorong kebaikan akan terbuka kepadanya. 
      Mula-mula suka ibadat, suka baca al-Quran, suka infaq, suka tolong orang dan sebagainya semakin mesra & bertambah kebaikan.

      Maksiat begitu juga, awalnya maksiat kecil seperti pergaulan lawan jantina- kemudian berlaku ikhtilat (percampuran) dan yang teruk lagi akan bawa kepada zina- wal-‘iyazubillah! 
      Kerana itu Rasulullah SAW kata jadilah kamu pembuka pintu kebaikan bukan pembuka pintu kejahatan!
    1. Ayat 40- {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu).}-

      Allah beri jaminan bahawa Dia tidak melakukan kezaliman walaupun sebesar zarah!
      Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menafikan kezaliman Allah SWT serta dalam masa yang sama mengisbatkan sempurnanya keadilan Allah SWT! 
      Nafi kosongkan zalim serta isbat (yakinkan) akan keadilan. 
      Kita kena letak dua-duanya sekali seperti dalam memperkenalkan seseorang, baru lengkap persaksiannya.
      Contoh baik dengan orang tetapi tidak baik dengan Tuhan atau sebaliknya! Mulut & tangan tak selari, mulut baca al-Quran tetapi tangannya memfitnah orang!
    1. Ayat 40- {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)…}-

      Allah nyatakn bahawa Dia tidak zalim walaupun sebesar zarah.
      Jika kata Allah tidak zalim itu sudah cukup tetapi kenapa Allah ta’kidkan lagi dengan mengatakan sebesar zarah lagi pun tidak zalim!
      Kata ulama’ tadabbur : ini kerana orang Arab itu suka buat baik bandingan dengan perkara kecil dulu- yakni jika benda sekecil itu pun tidak buat, apatah lagi benda yang besar!
      Sebagaimana Allah larang daripada berkata {Uh} kepada ibu bapa. 
      Maka jika bercakap kasar, garang atau tengking ibu bapa pastilah lebih dilarang!

      Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menyatakan bahawa rahmat Allah SWT lebih besar daripada kemurkaannya; kerana pahala kebaikan berganda tetapi dosa maksiat & kejahatan tidak berganda!
      Tanda cinta dan sayangnya Allah SWT kepada hamba-Nya yang baik diganda, yang buruk tidak!
    1. Ayat 41- {apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?}-

      Ayat ini mengajar kepada kita bahawa semua kita akan menjadi saksi kepada satu sama lain!
      Nabi SAW akan menjadi saksi kepada umatnya & umat terdahulu, kita juga akan menjadi saksi kepada umat terahulu, bahkan anggota kita sendiri akan menjadi kepada tuan masing-masing.
      Di akhir ayat Allah kata orang kafir ialah orang derhaka kepada rasul; maka Ayat ini sekali lagi mengajar kepada kita wajib kita beramal dengan Sunnah Nabi SAW! 
      Jika ada dalam al-Quran cukup, tiada dalam al-Quran cari dalam Sunnah Nabi SAW, jika ada dua-dua alhamdulillah lagi kuat!
      Semua arahan nabi SAW yang bersifat perundangan yang wajib, wajib kita buat, yang sunat, buatnya dapat pahala, tak buatnya rugi. 
      Buat yang wajib juga dapat pahala tetapi jika tak buatnya akan dapat bala!

      Ya Allah bersihkan hati kami agar ikhlas beribadat semata kepada-Mu, jauhkan kami dari segala sifat syirik & riya’ dan semua sifat yang tidak baik, yang mengundang kemurkaan-Mu. 
      Matikanlah kami dalam husnul-khatimah, dalam redha-Mu yang melayakkan kami masuk ke dalam syurga-Mu.

    Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs