Surah An-Nisa’ : Ayat 66-70

GOLONGAN KAFIR KERAS KEPALA, KELEBIHAN GOLONGAN TAAT & DIBANGKITKAN BERSAMA PARA NABI DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/8krqHHxSvx4?si=QFAwP1HqP8F32PTa

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 66 sehingga 70 bagi Surah An-Nisa’.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan tentang golongan kafir atau munafiq yang keras kepala, suruh tak ikut & larang tak dengar.
  1. Allah juga nyatakan kelebihan golongan taat kepada Allah dan rasul. Akan mendapat balasan pahala & syurga di Akhirat kelak.
  1. Maka sesiapa yang taat kepada Allah & Rasul-Nya mereka akan dibangkitkan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ & solehin. 
    Siapa yang nak bangkit bersama golongan ini jadilah golongan beriman yang taat & akur; manakala sesiapa yang nak bangkit bersama Firaun, haman & segala taghut yang lain, maka beranilah buat maksiat & ingkar kepada Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa tidak akan betul-betul sempurna iman sehingga mereka jadikan Nabi SAW sebagai hakim yang meutuskan segala keputusan. Yakni ambil Syari’ah Allah SWT sebagai perundangan.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT nyatakan betapa ramai manusia yang akan gagal, cuai & lemah dalam menunaikan perintah Allah SWT kerana lemah imannya.
    Ulama’ tafsir menyatakan : Lemah iman inilah yang merupakan sebab & punca utama manusia tidak melakukan amal soleh, tidak dengar perintah Allah Azza wa Jalla & tidak buat perbuatan baik. Itulah punca utamanya.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 66- {DAN SESUNGGUHNYA KALAU KAMI WAJIBKAN KEPADA MEREKA (DENGAN PERINTAH): “BUNUHLAH DIRI KAMU SENDIRI, ATAU KELUARLAH DARI TEMPAT KEDIAMAN KAMU”, NESCAYA MEREKA TIDAK AKAN MELAKUKANNYA, KECUALI SEDIKIT DI ANTARA MEREKA. DAN SESUNGGUHNYA KALAU MEREKA AMALKAN NASIHAT PENGAJARAN (MELIPUTI SURUH DAN TEGAH) YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA MEREKA, TENTULAH YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI MEREKA DAN LEBIH MENEGUHKAN (IMAN MEREKA).} (AN-NISA’ 4:66)

  1. Allah nyatakan wahai puak munafiqin: jika kamu umat sekarang ini diperintahkan, diwajibkan sebagaimana umat terdahulu; jika nak bertaubat kena bunuh diri atau keluar meningalkan kampung halaman.
  1. Nescaya tidak akan terima arahan ini kecuali beberapa orang yang sedikit. 
    Yakni manusia yang dengar kata itu sedikit; yang tidak dengar kata itu ramai! 
    Inilah yang kita takuti, umat Islam ramai tetapi tidak ada kualiti, mudah saja ditindas, dihina, diganyang oleh pihak lawan Islam.
  1. Sabda Nabi SAW:
    يوشك الأمم أن تداعى عليكم، كما تداعى الأكلة إلى قصعتها. فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ؟ قال: بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل، ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم، وليقذفنَّ الله في قلوبكم الوَهَن. فقال قائل: يا رسول الله، وما الوَهْن؟ قال: حبُّ الدُّنيا، وكراهية الموت
    “Akan hampir seluruh manusia mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit? Jawab Baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai, tetapi kamu hanya seperti buih, seumpama buih air banjir. Dan Allah akan cabut daripada sanubari musuh kamu perasaan gerun terhadap kehebatanmu, dan Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata: Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu? Lalu sabda Baginda: Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.” [HR Imam Abu Daud dan Imam Ahmad].
  1. Allah nyatakan lagi: Jika puak munafiq itu melakukan apa yang diperintah kepada mereka & menjauhkan segala yang dilarang; mereka akan mendapat rahmat & kasih sayang dari Allah. 
    Jika mereka buat itulah yang terbaik bagi mereka!
    Tetapi apa boleh buat, mereka keras kepala degil & tidak mendengar perintah Allah SWT!
  1. Al-Quran itu diturunkan bukan untuk sekadar menjadi simbol, replika, acara, alat pertandingan, dihormati fizikalnya atau dibaca saja, (membaca al-Quran tidak dinafikan ada pahala khasnya); tetapi tujuan utama al-Quran iaitu untuk diamalkan terhenti setakat itu!
  1. Kata ulama’ tabi’en, al-Hasan al-Basri RHM : Allah turunkan al-Quran untuk diamalkan, tetapi sebahagian manusia menjadikan baca itu saja menjadi amalannya. 
    Baca itu dapat pahala juga tetapi yang tinggi darjatnya ialah beramal dengan isi kandungannya. 
    Jalankan perintahnya, tinggalkan larangannya itulah yang besar, lebih teguh & mantap iman, kuat pegangan & istiqomahnya!

AYAT 67- {DAN (SETELAH MEREKA BERKEADAAN DEMIKIAN), TENTULAH KAMI AKAN BERIKAN KEPADA MEREKA – DARI SISI KAMI – PAHALA BALASAN YANG AMAT BESAR;} (AN-NISA’ 4:67)

  1. Allah nyatakan lagi jika kamu dengar kata, ikut arahan & patuh kepada larangan; di Akhirat kelak kamu akan mendapat pahala yang besar!
  1. Tiada balasan yang paling besar & tinggi kecuali syurga dengan segala nikmatnya yang tidak terhitung & tidak terbayang!
    Inilah faedah ketaatan yang pertama yang terutama!
    Ya Allah jadikan kami dan dari keluarga kami dari kalangan mereka yang layak ke syurga & selamatkan klami daripada azab neraka!

AYAT 68- {DAN TENTULAH KAMI PIMPIN MEREKA KE JALAN YANG LURUS.} (AN-NISA’ 4:68)

  1. Faedah dan balasan nikmat bagi orang yang taat kepada Allah lagi ialah; Allah pimpinnya kepada jalan yang benar {صِرَٰطًۭا مُّسْتَقِيمً}!
  1. Semasa atas dunia ini lagi Allah akan pimpin dia di atas lorong yang akan menyampaikannya kepada keredhaan Allah SWT & jalan ke syurga.
  1. Jalan Allah itu adalah jalan yang lurus {صِرَٰطًۭا مُّسْتَقِيمً} jangan kita ikut lorong & cabang lain. 
    Ikutlah jalan yang diredhai Allah & Sunnah Nabi SAW- inilah dua lorong yang satu iaitu lorong al-Quran & lorong Sunnah Nabi SAW!
  1. Malangnya ada orang yang beriktiqad bahawa untuk sampai kepada keredhaan Allah & kepada syurga tidak cukup dengan dua lorong ini (al-Quran & Sunnah.
    Huraian para ulama’ Salafus-Soleh) : Perlu kepada lorong lain yang seperti ajaran tariqat dan seumpamanya yang datang dari guru-guru mereka melalui mimpi dan lain-lain. 
  1. Kita redhalah dengan lorong yang benar {صِرَٰطًۭا مُّسْتَقِيمً} yang kita pilih ini, walaupun lorong ini sunyi & tidak ramai pengikutnya!

AYAT 69- {DAN SESIAPA YANG TAAT KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, MAKA MEREKA AKAN (DITEMPATKAN DI SYURGA) BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG TELAH DIKURNIAKAN NIKMAT OLEH ALLAH KEPADA MEREKA, IAITU NABI-NABI, DAN ORANG-ORANG SIDDIQIIN, DAN ORANG-ORANG YANG SYAHID, SERTA ORANG-ORANG YANG SOLEH. DAN AMATLAH ELOKNYA MEREKA ITU MENJADI TEMAN RAKAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG TAAT).} (AN-NISA’ 4:69)

  1. Allah nyatakan juga sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-nya, ikut perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya; mereka akan ditempatkan di dalam syurga kelak bersama orang-orang yang mendapat kurnia & nikmat Allah yang amat besar.
  1. Siapakah mereka itu? Iaitu: 
    i- Para Nabi-nabi AS {ٱلنَّبِيِّـۧنَ }- insan terpilih di sisi Allah SWT.

    ii- Dan orang-orang Siddiqiin {وَٱلصِّدِّيقِينَ}, orang yang benar dalam iman, zahirnya sama dengan batinnya dalam beriman. 
    Bukan seperti munafiq yang zahir beriman tetapi batinnya kafir atau golongan liberal yang menolak.
    Juga orang yang benar dalam percakapan & tindakannya.

    iii- Orang-orang yang Syahid {وَٱلشُّهَدَآءِ}, mereka yang mati syahid fi-sabilillah.

    iv- Orang-orang yang soleh {وَٱلصَّـٰلِحِينَ}, orang soleh yang bepegang dengan kitab & Sunnah dengan sebenarnya. 
    Bukan yang hanya didakwa atau ditabal wali yang suci oleh orang tertentu.
    Mereka ini adalah teman atau rakan yang amat elok & istimewa kepada orang-orang yang taat.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat-ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat 59 Allah perintahkan kita agar taat kepada Allah & rasul-Nya. Kemudian Allah nyatakan kumpulan yang tidak dengar kata, yang tinggalkan Allah & rasul, pergi cari taghut dan menyekat jalan kebaikan.
    Kemudian dalam ayat 64 sekali lagi Allah ulang bahawa Allah tidak utuskan rasul kecuali untuk diikut & ditaati.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah sebut bahawa jika mereka taat. Allah akan berikan kebaikan, iman yang mantap, pahala yang besar & jalan hidayah petunjuk. 
    Ayat 69 ini sebagai penutup kata (mmati awah- rencah) terakhir; bahawa jika kamu taat kepada Allah & Rasul; Allah akan bangkitkan kamu di dalam syurga kelak bersama para nabi, orang-orang Siddiqiin, orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. 
  1. Maka apa lagi yang kita nak? 
    Bersama siapa lagi kita nak dibangkitkan? Inilah yang pelik & ajaibnya; 
    Nak kepada Allah tetapi tidak mahu ikut jalan Allah, nak kepada Nabi SAW tetapi tidak mahu ikut jalan atau Sunnah nabi SAW!
  1. Sebab nuzul ayat ini: 
    Dari UM Sayyidah Aisyah RA, katanya: “Ada seseorang datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasûlullâh SAW, sesungguhnya engkau (Nabi SAW) lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada keluarga dan hartaku, serta lebih aku cintai daripada anakku. Sungguh, seandainya aku di rumah, aku mengingatmu dan aku tidak sabar untuk bertemu dan memandangmu Kalau aku ingat kematianku dan kematianmu (Nabi SAW), aku tahu engkau (Nabi SAW) masuk Syurga, engkau dinaikkan bersama para Nabi. Dan kalau aku masuk Syurga, aku khuatir tidak melihat engkau (Nabi SAW)”. Nabi SAW tidak memberi jawaban hingga (Malaikat) Jibril turun membawa Ayat 69, Surat An-Nisa’ ini: وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا (٦٩) {Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul (Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para Siddîqîn, orang-orang yang mati Syahid, dan orang-orang Soleh; dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya”.} [HR at-Tobarani dan lain-lain- sanadnya baik].

    Maka tenang dan bergembiralah orang yang taat & cintakan Allah & Rasulullah SAW dengan sebenarnya! 
    Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini dan lebih bersemangat untuk beramal dengan Sunnah Nabi SAW.
  1. Seorang ulama’ ditanya apakah yang ada di dalam syurga? 
    Beliau menjawab : Cukuplah untuk kita bersama dengan Nabi Muhammad SAW!
  1. Hadis: Bersama Orang Yang Dicintai Di Akhirat:
    عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ
    Daripada Anas RA, dia mengatakan bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari kiamat. Orang itu mengatakan:‘Bilakah hari kiamat itu?’ Rasulullah SAW bertanya kembali, ’Apa yang telah engkau persiapkan untuk hari tersebut?’ Orang itu menjawab, ‘Tidak ada, melainkan sesungguhnya saya mencintai Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda, ‘Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.’ Anas RA mengatakan, “Kami tidak pernah merasakan kebahagiaan sebagaimana kebahagiaan kami ketika mendengar sabda Rasulullah SAW ‘Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.’ Anas RA mengatakan, ‘Saya mencintai Nabi SAW , Abu Bakr dan Umar. Saya berharap dapat bersama mereka dengan sebab kecintaanku kepada mereka meskipun saya tidak mampu melakukan amalan yang mereka lakukan.” (HR Bukhari No: 3412)

    Kata AAM hafizahullah : Ya Allah! Kami mencintai Allah & Nabi SAW, kami juga mencintai al-Quran & Sunnah Nabi SAW. Ya Allah, walaupun kami ditentang disekat dan dihina kerana al-Quran & Sunnah ini; bangkitkan kami di Akhirat kelak bersama Rasulullah SAW dan para orang soleh di Akhirat kelak!
  1. Hadis- Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى، قيل ومن يأبى يا رسول الله؟! قال: من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبى.
    “Setiap umatku akan masuk syurga, kecuali orang-orang yang enggan untuk memasukinya.” Ada seseorang yang bertanya: “Siapakah orang yang enggan tersebut wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Barangsiapa mentaatiku akan masuk syurga, barangsiapa tidak taat kepadaku sungguh dia orang yang enggan masuk syurga.” [HR Bukhari].

    Maka pilihan di tangan masing-masing- janganlah amalan kita tidak sama dengan kehendak kita.
  1. Hadis- PARA NABI DIBERI PILIHAN SAMA ADA TERUS HIDUP ATAU MEMILIH MATI:
    عَنْ عَائِشَةَ، قَالتْ: كُنْتُ أَسْمَعُ: “أَنَّهُ لَا يَمُوتُ نَبِيٌّ حَتَّى يُخَيَّرَ بَيْنَ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، فَسَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، وَأَخَذَتْهُ بُحَّةٌ، يَقُولُ: {مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ} [النساء: ٦٩] الآيَةَ فَظَنَنْتُ أَنَّهُ خُيِّرَ”.
    Daripada UM Aisyah RA katanya: “Aku pernah mendengar bahawa tidak mati seorang nabi melainkan diberi pilihan antara dunia dan akhirat (sama ada untuk terus hidup atau memilih mati pada masa kedatangan malakul maut). Aku juga terdengar Baginda SAW berkata ketika baginda sakit tenat sebelum wafat, dan ketika itu baginda terbatuk-batuk, Baginda membaca firman Allah; {(Aku mahu bersama) mereka yang diberi nikmat kepadanya mereka….. sehingga ke akhir ayat.} Aku berpendapat baginda telah diberi pilihan (ketika itu sama ada untuk terus atau wafat pada hari itu)”. [HR Bukhari].
  1. Hadis dari UM Aisyah RA juga, beliau menceritakan:
    نَزَلَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِى غُشِىَ عَلَيْهِ سَاعَةً ثُمَّ أَفَاقَ فَأَشْخَصَ بَصَرَهُ إِلَى السَّقْفِ ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى.
    Ketika Rasulullah SAWmendekati ajal, saat kepala Baginda ada di pahaku, Baginda pingsan seketika. Kemudian Baginda sedar kembali, dan menatapkan wajahnya ke atap rumah. Kemudian Baginda mengucapkan: ‘Allahumma ar-Rafiq al-A’la- اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى.” (HR. Bukhari 6509 & Muslim 6450)
  1. Dari UM Aisyah RA juga : Ketika saat-saat kematian Rasulullah SAW, dihadapan Baginda SAW ada sebekas kecil berisi air. Baginda SAW mencelupkan tangannya di dalam bekas air tersebut, lalu menyapunya di muka sambil berkata: “Tidak ada Tuhan selain daripada Allah, sesungguhnya bagi kematian itu kesakitan-kesakitan.” [HR Bulhari & Muslim].

AYAT 70- {YANG DEMIKIAN ITU ADALAH LIMPAH KURNIA DARI ALLAH; DAN CUKUPLAH ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI (AKAN BALASAN PAHALANYA).} (AN-NISA’ 4:70)

  1. Demikianlah nikmat yang Allah anugerahkan kepada para nabi, siddiqin, para syuhada’, solehin para pencinta Nabi yang hakiki. 
    Bukan pencipta para replika dan logo yang kerjanya apabila ke kubur Nabi hanya menggosok di situ sini.
  1. Kita cari Nabi nak ikut Sunnah dan ajarannya. Maka Allah alakn beri kepada kita anugerah yang besar.
  1. Cukuplah Allah yang mengetahui semua amalan kita. 
    Yakni semua kita di bawah ilmu pengetahuan Allah Azza wa Jalla, kita buat baik atau buruk Allah akan tahu semuanya tak perlu kita declare nak tunjukkan kepada orang ramai!
    Ingatlah kamu akan dibangkitkan di Akhirat bersama orang yang kamu cintai & taati!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 66- {Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya,}-

    Jika Kami paksa mereka bertaubat dengan bunuh diri; nescaya mereka tak akan buat!
    Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang dalam ibadat ini ada benda yang kita tak suka & susah nak buat- contoh seperti kena bangun awal subuh, nak berwuduk atau solat pada musim salji yang sejuk.
    Sebagai motivasinya kita kena ingat akan pulangan balasan pahalanya yang besar, janji baik yang Allah janjikan, insya’ Allah kita akan rasa ringan & mudah.
    Allah juga nyatakan sebab kenapa manusia tak ikut perintah: iaitu kerana lemahnya iman & lemahnya jiwa manusia. 
    Apabila dua kelemahan ini bergabung; tak ada apa lagi yang kita boleh buat.
    Kerana itu ingat perjuangan dalam Islam itu bukan senang, jiwa kena kental terutamanya untuk lawan hawa nafsu.
  1. Ayat 66- {Nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka.}-

    Yang ikut & taat kepada Allah itu tidak ramai.
    Sebagaimana dalam banyak ayat yang sudah kita baca; kebanyakan manusia itu kafir, kebanyakan manusia zalim & derhakan kepada Allah SWT. yang betul-betul ikut tidak ramai.
    Contoh : Umat Nabi Nuh, kaum nabi Ibrahim, nabi Isa hatta kaum Rasulullah SAW sendiri berapa ramai orang Makkah masuk Islam sebelum Pembukaan Kota Makkah! 

    Zaman kita hari ini pun! Berapa ramai yang berpegang dengan Sunnah Nabi SAW?
    Tak usah kirala yang memang kafir tu, hatta yang sudah beriman pun berapa ramai yang berani bertegas untuk menegakkan kebenaran & mengamalkan Sunnah Nabi SAW!!!!!
    Ingatlah yang sedikit itu tidak semestinya salah atau sesat & yang ramai itu bukan bererti benar & betul- itulah keadaannya. 
    Tidak kiralah mana-mana kumpulan atau tempat pun!
  1. Ayat 66- {Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).}-

    Allah kata siapa yang taat akan akan dapat kebaikan & mantap imannya.
    Kata ulama’ : Perkataan yang tetap & sabit, istiqomah atas Sunnah ini akan menyebabkan kita dapat kebahagiaan di dunia & ketenangan di Akhirat.

    Firman Allah SWT:
    {Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.} (Ibrahim 14:27)

    Kata ulama’ lagi : Sesiapa yang boleh tetap pendirian di jalan yang berliku, di lorong yang licin; itulah orang yang mantap imannya.
    Sekarang ini jalan & lorong yang ikut syhawat amat banyak! 
    Sesiapa yang boleh lawan tidak ikut nafsu itulah orang yang mantap imannya.

    {Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka,}-
    Kenapa arahan Allah SWT dipanggil nasihat?
    Sedangkan sebenarnya nasihat lain daripada arahan.
    Jawapan: Ini kerana hukum-hakam Allah SWT itu- buat dapat pahala; langar dapat dosa- maka kerana itu dinamakan nasihat segala hukum Allah!
  1. Ayat 70- {Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah;}-

    Siapa yang ikut Allah akan beri pahala yang banyak. 
    Balasan itu bergantung kepada jenis amalan.
    Ada orang kata : Tidak boleh kita buat amal ini kerana nak pahala semata; tetapi kita buat amal itu kerana nak keredhaan Allah! 
    Kita kata semualah : Kita buat amalan baik kerana nak cari redha tetapi dalam masa yang sama pahala itu Allah sendiri yang janjikan, Nabi SAW yang janjikan jadi kenapa tak bolehnya? Janganlan kita terlebih warak pula daripada yang Allah janjikan!
  1. Ayat 69- {Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya,}-

    Dalam ayat ini Allah SWT gunakan perkataan (dan- وَ) iaitu Allah DAN Rasul-Nya.
    Terdapat dalam hadis Nabi SAW larang apabila kata: Dengan kehendak Allah dan Rasul bahkan kena kata kehendak Allah saja semata-mata!
    Maka persoalannya bilakah pula boleh digunakan perkataan Allah (dan) Rasul ini dan bila pula dilarang.

    Jawapan:
    i- Dibenarkan guna perkataan (dan) ini dalam arahan yang bersifat Syar’i. Allah suruh taat : {Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya,}

    Allah larang derhaka seperti dalam firman Allah ini:
    {Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.}(Al-Ahzaab 33:36)- yakni dalam perkara Syara’ boleh.

    ii- Tetapi dalam masalah pengurusan dunia (kauniyyah), hanyalah kerana kuasa Allah semata-mata. Kita tidak boleh guna (dan) yakni bukan bersamam kuasa Nabi SAW. 
    Yakni dalam masalah kuasa & kejadian alam kita tidak boleh gunakan dengan kehendak Allah & kehendak Nabi- wajib yakin bawa semuanya adalah dengan kuasa & kehendak Allah SWT. Jika nak sebut juga peranan Nabi SAW kena kata kemudian (ثم).

    Hadis: Nabi SAW larang sahabat daripada mengatakan hujan turun dengan sebab kehendak Allah & kehendaknya Nabi SAW. 
    Baginda marah & tanya: Apakah kamu nak jadikan aku sekutu dengan Allah?
    [HR Ibnu Majah & Ahmad].

    Jadi kita kena hati-hati dalam berkata-kata dan buat ucapan. Seperti bila sudah berjumpa dengan kawan atau berlaku sesuatu; kita kata: (Boleh jadi Allah dah tentukan untuk kita berjumpa hari ini) atau (boleh jadi Allah dah tentukan ini berlaku)!
    Salah itu, boleh jadi apanya lagi memang dah jumpa atau berlaku dengan kehendak Allah!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs