HAK PEWARIS MENERIMA PUSAKA, CAKAP ELOK DENGAN BUKAN PENERIMA & ANCAMAN AMBIL HARTA YATIM.
Full video : https://youtu.be/JfAFTg47O4Q?si=tD8xvVLQrp6B9xUK
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 7 sehingga 10 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang hak pewaris menerima pusaka, setiap orang sama ada lelaki & perempuan yang berhak, ada bahagiannya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
- Allah juga ajar adab ketika pembahagian harta pusaka itu agar cakap elok dengan mereka yang datang tetapi bukan penerima pusaka.
- Kemudian Allah beri ancaman keras & kata putus siapa makan harta yatim- dia akan makan api neraka dalam perutnya.
Sebelum ini nasihat & amaran agar berbuat baik kepada mereka & amanah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang haram ambil harta anak yatim, jangan serah harta mereka sehingga mereka cerdik, wanita yang dikahwini mesti diberi maharnya.
Pada zaman jahiliyyah, wanita & kanak-kanak lelaki kecil yang tidak dapat memikul senjata lagi tidak boleh menerima pusaka.
Bahkan wanita pula menjadi bahan pusaka selepas kematian suaminya.
ii- Maka datang ayat ini Allah SWT angkat darjat wanita, disebut khas, bagi lelaki & bagi wanita; setiap mereka ada hak masing-masing untuk menerima pusaka!
- Al-Quran mengangkat darjat wanita dari awal daripada mana-mana pergerakan kebebasan manusia atau mana-mana agama!
Islam membebaskan wanita dari penindasan lelaki atas dunia ini dan membebaskannya dari api neraka di Akhirat pula.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 7- {ORANG-ORANG LELAKI ADA BAHAGIAN PUSAKA DARI PENINGGALAN IBU BAPA DAN KERABAT, DAN ORANG-ORANG PEREMPUAN PULA ADA BAHAGIAN PUSAKA DARI PENINGGALAN IBU BAPA DAN KERABAT, SAMA ADA SEDIKIT ATAU BANYAK DARI HARTA YANG DITINGGALKAN ITU; IAITU BAHAGIAN YANG TELAH DIWAJIBKAN (DAN DITENTUKAN OLEH ALLAH).} (AN-NISA’ 4:7)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan dengan jelas bahawa lelaki atau wanita boleh menerima pusaka, dengan disebut secara berasingan. Setiap orang bahagian masing-masing dari harta pusaka peninggalan ibu bapa dan kerabat yang lain.
- Islam anugerahkan kepada wanita untuk menerima pusaka dengan bahagian khas yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Keduanya boleh menerima pusaka cuma bahagian mereka mungkin tidak sama.
Yakni sedikit atau banyak, wanita tetap ada bahagian, jumlahnya berdasarkan daripada harta yang ditinggalkan!
- Sedangkan pada zaman jahiliyyah, sebelum kedatangan Islam darjat & kedudukan wanita amat buruk dalam mana-mana agama, sejarah & tamadun!
Ini adalah satu fakta yang tidak dapat dipertikaikan lagi sama ada di barat atau timur!
- Cuma perbezaan darjat antara lelaki & perempuan dalam Islam ini ada hikmah yang cukup besar, sesiapa yang tahu akan tahu, orang yang tidak tahu tidak akan tahu!
- Untuk menerima pusaka ini kena ada pertalian kerabat, silatur-rahim atau sebab nikah (suami/isteri) dengan si mati.
Ibu bapa mati, anak boleh terima pusaka. Begitu juga sebaliknya- adik beradik lihat dulu.
Ini tiada siapa yang boleh sekat atau ubah, Allah sendiri yang tetapkannya siapa yang dapat dan berapa bahagiannya!
- Allah tegaskan lagi di akhir ayat- {نَصِيبًۭا مَّفْرُوضًۭا}-
Bahagian yang telah ditetapkan & diwajibkan oleh Allah SWT!
Allah SWT sendiri yang membahagi & menetapkan bahagian ini!
Jangan cuba dipertikai atau diubah lagi.
- Hikmah disebalik pembahagian pusaka ini boleh kita baca dalam kitab ini & dengar kuliahnya di YouTube:
KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
AYAT 8- {DAN APABILA KERABAT (YANG TIDAK BERHAK MENDAPAT PUSAKA), DAN ANAK-ANAK YATIM SERTA ORANG-ORANG MISKIN HADIR KETIKA PEMBAHAGIAN (HARTA PUSAKA) ITU, MAKA BERIKANLAH KEPADA MEREKA SEDIKIT DARIPADANYA, DAN BERKATALAH KEPADA MEREKA DENGAN KATA-KATA YANG BAIK.} (AN-NISA’ 4:8)
- Allah ajar kepada kita, jika ada kaum keluarga yang tidak berhak mendapat harta pusaka atau orang miskin yang hadir semasa pembahagian harta itu:
i- Berilah sedikit habuan untuk menyukakan hati mereka.
ii- Berkatalah dengan kata-kata yang baik, agar mereka tidak terkilan.
- Sebelum pembahagian pusaka hendaklah dijelaskan dulu perkara ini dengan menggunakan harta si mati:
i- Persiapan menguruskan mayat si mati seperti untuk memandikannya, kafan & urusan pengebumiannya mengikut keperluan tanpa membazir & terlu kikir.
ii- Jelaskan segala hutang simati jika ada.
iii- Tunaikan wasiatnya jika ada- tetapi tidak boleh lebih 1/3 daripada harta.
iv- Barulah dijalankan pembahagian harta pusaka ikut ketetapan yang telah dibuat Allah SWT.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat ke-7 yang lepas Allah SWT menyatakan lelaki ada bahagian & wanita ada bahagian masing-masing.
Manakala kaum kerabat ada yang boleh menerima harta pusaka, ada yang tiada bahagiannya.
ii- Maka dalam ayat ini Allah beri arahan secara sunat, bukan wajib; untuk menghulurkan sedikit hadiah kepada kaum kerabat yang tidak berhak itu (seperti bapa saudara, sepupu dan lain-lain) untuk mengeratkan perhubungan kerabat,
iii- Atau jika orang miskin & anak yatim yang datang- sedikit pemberian untuk mengembirakan hati mereka agar tidak pergi sia-sia.
iv- Pemberian atau bahagian yang tidak memudharatkan keluarga si mati.
v- Ahli tafsir kata pemberian itu hukumnya sunat tidak wajib.
- Tetapi harta ini apabila sudah dapat atau jatuh ke tangan orang, sudah jadi milik orang; bukan senang nak dapatkannya balik.
Kisah yang amat menyentapkan, kisah jutawan Arab yang mati tidak meninggalkan waris terdekat- lalu kerabatnya yang jauh menerimanya.
- Di akhir ayat Allah SWT ajar untuk bercakap dengan baik kepada mereka yang datang waktu pembahagian atau nak mengendeng harta, sedangkan tiada bahagian pusaka itu untuk mereka.
Jangan pula mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati mereka.
- Syeikh Said bin Jubir RHM menafsirkan antara kata-kata baik itu ialah:
i- Ambillah dulu walaupun sedikit, semoga diberkati Allah.
ii- Jika ada banyak boleh kami beri banyak, tetapi apabila boleh buat ada sedikit saja.
iii- Rezeki jika ada boleh ambil- tak perlu minta maaf.
AYAT 9- {DAN HENDAKLAH TAKUT (KEPADA ALLAH DARIPADA MELAKUKAN ANIAYA KEPADA ANAK-ANAK YATIM OLEH) ORANG-ORANG (YANG MENJADI PENJAGANYA), YANG JIKA DITAKDIRKAN MEREKA PULA MENINGGALKAN ANAK-ANAK YANG DAIF (YATIM) DI BELAKANG MEREKA, (TENTULAH) MEREKA AKAN MERASA BIMBANG TERHADAP (MASA DEPAN DAN KESELAMATAN) ANAK-ANAK MEREKA; OLEH ITU HENDAKLAH MEREKA BERTAQWA KEPADA ALLAH, DAN HENDAKLAH MEREKA MENGATAKAN PERKATAAN YANG BETUL (MENEPATI KEBENARAN).} (AN-NISA’ 4:9)
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
i- Apabila Allah SWT ulang sebut balik tentang anak yatim dalam ayat ini & arahan untuk bercakap baik kepada mereka yang tiada bahagian;
ii- Maka Allah ulang balik dalam ayat ini dengan ayat psikologi, yang boleh menginsafkan dan menyedarkan- iaitu kamu fikir jika kamu yang akan mati & meninggalkan anak kamu sebagai anak yatim- mestilah kamu mahu orang buat baik & tidak menganiayai anak kamu!
Maka kamu jaga anak yatim, jagalah elok-elok, buat baiklah kepada anak yatim orang sebagaimana kamu mahu orang buat baik kepada anak kamu.
Sebagaimana pepatah Arab : كما تدين تدان! Sebagaimana kamu buat kepada orang; begitulah orang akan buat kepada kamu!
- Ayat ini boleh ditafsirkan kepada dua maksud:
i- Jika kamu dengar ada orang yang nak mati dan kamu tahu dia telah menzalimi orang, makan harta amanah, ada peganga harta secara tersembunyi, harta anak yatim belum dikembalikan dan wasiat orang yang belum ditunaikan; nasihatkanlah dia dengan baik tentang semua perlakuannya yang tidak baik itu.
Ingatkannya bahawa selepas dia mati, apa yang akan terjadi kepada anak-anak dia pula??? Nanti Allah balas terhadap anak-anakmu- kasihanlah mereka pula.
ii- Tafsiran kedua:
Wahai para penjaga anak yatim, jagalah anak yatim ini dari sudut maslahah dunia & agama sekali- elokkan penjagaan & hubungan dengan mereka sebagaimana kamu mahu kebaikan itu kepada anak kamu sendiri!
Kamu buat baik kepada anak yatim insya’ Allah, Allah akan jaga anak kamu pula!
- Kisah menarik yang menginsafkan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz RHM di saat kematiannya, walaupun seorang khalifah tetapi tidak meninggalkan harta untuk anak-anaknya yang masih kecil kerana tidak mahu mereka salah menggunakannya, lagha & berjoli hidup mewah.
Tetapi dia yakin jika anaknya soleh, Allah akan jaga mereka walaupun tiada harta.
Dengan taqdir Allah apabila dewasa anak-anaknya semua berjaya dan senang, bahkan menjadi pembayar zakat yang banyak.
- Maka ingatlah! Tinggalkan anak kita dengan pendidikan dan ajaran agama yang sempurna, bukan hanya tinggalkan harta yang banyak untuk mereka.
- Hadis- kisah Saad bin Abi Waqas RA, wasiat tidak boleh lebih 1/3 daripada harta yang ditinggalkan.
Dari Saad bin Abi Waqash RA bahawa ia pernah berkata ketika sakitnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya hartaku banyak dan tidak ada yang akan mewarisi harta itu selain seorang anakku yang perempuan. Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW:
قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ
“Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh.” Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”. Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”. [HR al-Bukhari (2742)].
AYAT 10- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMAKAN HARTA ANAK-ANAK YATIM SECARA ZALIM, SEBENARNYA MEREKA ITU HANYALAH MENELAN API KE DALAM PERUT MEREKA; DAN MEREKA PULA AKAN MASUK KE DALAM API NERAKA YANG MENYALA-NYALA.} (AN-NISA’ 4:10)
- Sekali lagi Allah ingatkan sesiapa yang makan harta anak yatim secara zalim (tanpa hak) maka nerakalah balasannya!
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
i- Sudah banyak & panjang Allah beri amaran, bagi peringatan, kata keras tentang penjagaan anak yatim & hartanya.
Maka apabila dengar ayat-ayat ini- orang menjadi takut untuk bertanggungjawab terhadap anak yatim- takut akan berlaku kesilapan & akan berdosa .
ii- Maka Allah bawa ayat ini menyatakan bahawa bukan begitu. Kamu yang menjaga anak yatim, akan dapat pahala yang besar dan akan bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga kelak.
Yang celakanya, yang besar dosanya, ialah mereka yang makan harta anak yatim secara haram, disumbat dalam perutmya dengan api neraka & dibakar api neraka yang menyala-nyala.
- Ayat ini juga menyatakan bahawa azab itu adalah dua-dua; yakni secara zahir & batin- hok batin disumbat ke dalam perutnya api neraka- yang zahinya kan dibakar tubuhnya keseleuruhannya dengan api neraka!
Ya Allah kami minta perlindungan-Mu dari azab neraka & semua perkara yang boleh membawa kepadanya!
- Ayat ini ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW ini:
“Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya: Apakah dosa itu wahai Rasulullah? Baginda berkata: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” [HR Bukhari & Muslim].
- Maka jelaslah makan atau salah guna harta anak yatim termasuk dalam salah satu dosa-dosa besar!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 7- {Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka..}-
Allah nyatakan secara jelas bagi lelaki & bagi perempuan bahagian mereka masing-masing dalam bab harta pusaka.
Ayat ini sebut secara satu-satu, berasingan antara lelaki & perempuan sebagai satu isyarat yang menunjukkan betapa pentingnya hak wanita itu dijaga.
Wanita itu dia sendiri yang berhak menerima pusaka, bukan menumpang kaum lelaki.
Allah nyatakan juga lelaki ada hak, wanita ada hak tetapi tidak sama.
Ini adalah di bawah hikmah & kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla.
Ayat ini juga nak menbatalkan ajaran & amalan jahiliyah yang menafikan hak wanita & kanak-kanak kecil yang belum pergi berperang dari menerima pusaka.
Maka Allah bawa golongan yang terdekat yang layak menerima pusaka dengan kadar yang telah tetap, mengikut ketetapan Allah.
Ayat juga sebut lelaki dahulu daripada perempuan kerana bahagian mereka tak sama dan untuk menunjukkan kedudukan orang lelaki.
- Ayat 8- {Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu..}-
Jika hadir pada ketika pembahagian pusaka itu orang yang tidak berhak yakni bukan pewaris, maka:
i- Islam ajar adab & akhlak yang mulia, untuk bermanis muka & berkata baik dengan mereka- jangan menyindir, mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti & buat mereka sedih.
ii- Jika ada harta berilah sedikit sebagai ubat & penat lelah mereka datang itu seperti duit minyak dan lain-lain. Kerana mereka memang datang kerana nakkan harta. Jika tak dapat beri, gunakanlah perkataan yang baik dengan mereka.
Allah ajar adab yang baik & akhlak yang mulia dalam menjaga perhubungan sesama kaum kerabat.
Kerana itu orang kaya kena banyak buat jamuan & bersedekah agar jiran-jiran tidak terasa hati.
- Ayat 8- {Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin..}-
Dalam ayat ini Allah sebut kaum kerabat dulu kemudian anak-anak yatim serta orang-orang miskin.
Ini kerana ihsan kepada keluarga lebih besar pahalanya daripada orang lain.
Kita ini kadang-kadang lupa kepada kaum keluarga yang susah di kampung, sibuk dengan projek derma & misi bantuan luar negara!
Ini untuk menunjukkan jika kita nak beri sumbangan, bantuan & sedekah- kena utamakan keluarga iaitu kaum kerabat dulu. Kemudian anak-anak yatim & orang miskin yang ada dekat kita.
Yakni beri kepada keluarga terdekat yang memerlukan terlebih dahulu lebih utama daripada orang lain.
Jika anak yatim atau orang miskin itu keluarga kita; maka pastilah lebih tinggi darjatnya & wajib mereka diutamakan.
Hadis- Dari UM Maimunah binti al-Haris RA : Pada suatu hari dia memerdekakan seorang hamba perempuan, tetapi tidak minta izin kepada Nabi SAW terlebih dahulu. Ketika tiba hari giliran Baginda dengannya, dia berkata: “Ketahuilah, wahai Rasulullah! Saya telah memerdekakan hamba sahaya”. Jawab Rasulullah: “Telah engkau lakukan?” Jawabnya: “Ya!” Baginda SAW lalu bersabda: “Sesungguhnya kalau engkau berikan (hamba itu) kepada pakcikmu, nescaya lebih besar pahalanya bagimu”. [HR Bukhari].
Sama seperti ibadat korban, yang afdhalnya buat di mana tempat kita berada & berhari raya- mahal sedikit pun tak apa- kita boleh bahagikannya kepada kaum kerabat & orang miskin yang ada dekat kita.
Ada duit lebih boleh buat juga yang di luar negara tetapi utamakan yang di sini dulu!
Sunnah ini perlu dihidupkan, afdhal berkorban di tempat kita berhari-raya & berkongsi rezeki dengan kaum keluarga & kerabat terdekat yang ada!
- Ayat 9- {yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka;}-
Allah nyatakan bahawa kamu mesti memikirkan keadaan anak kamu apabila kamu tinggalkan mereka nanti- menjadi anak yatim pula.
Ini adalah ayat motivasi & sentap untuk berfikir.
Yakni tentang anak mereka sendiri, mereka fikir & runsing tetapi tentang anak yatim mereka tak fikir pula tentang kebajikannya sehingga sanggup menzalimi & mengambil harta mereka tanpa hak!
Maka Allah ingatkan mereka agar sentap & sedar:
Sebagaimana kamu nak orang buat baik kepada anak kamu, buatlah kepada anak yatim lain begitu juga.
Sebagaimana kamu tidak mahu anak kamu dizalimi, janganlah kamu menzalimi anak yatim lain!
Perlakukan anak-anak yatim dalam penjagaan kita dengan baik, sekiranya kita mahu perkara yang sama diperlakukan kepada anak cucu kita.
Jagalah anak yatim dengan baik & tunaikan amanah, insya’ Allah, Allah akan jaga anak kita dengan baik.
- Ayat 10- {Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.}-
Orang yang makan harta anak yatim dengan zalim; yakni tanpa hak & keperluan- maka balasannya akan menelan api dalam perut mereka dan akan dibakar pula oleh api neraka yang marak menyala!
Kata ulama’ : Balasan adalah mengikut amal yang dibuat!
Oleh kerana kamu makan harta anak yatim; Allah sumbat api dalam perut kamu.
Oleh kerana kamu khianat kepada orang; Allah bakar badan kamu!
Cukuplah ini menjadi motivasi keimanan kita kepada Allah SWT.
Kenapa Allah sebut di sini: {mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka;}-
sedangkan telan atau makan memang akan masuk ke dalam perut.
Jawapan:
Dari segi balaghah : Adalah ayat sindiran & menguatkan- makan dalam perutmu, sebagaimana kamu makan harta anak yatim dulu!
Kamu salah gunanya untuk kepantingan & habuan kamu.
Disebut perut & makan sinonim dengan penggunaan- keluar cari makan sebenarnya keluar cari rezeki.
Inilah gambaran buruk & dahsyat kepada orang yang makan harta anak yatim tanpa hak & dengan zalim.
Maka hati-hatilah jika kita ditakdirkan untuk menjadi penjaga & pemegang amanah anak yatim- bertaqwalah kepada Allah jika nak selamat dari azab yang dahsyat ini!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.