View Categories

(35) Surah An-Nisa’ : Ayat 83-84

MUNAFIQ MENYEBARKAN BERITA YANG TIDAK BENAR, RUJUKLAH SESUATU ISU KEPADA AHLINYA & GALAKAN BERJIHAD FI SABILILLAH.

Full video : https://youtu.be/rfFD77k0y3s?si=Vw5zJd3CCJ5xyVrR

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 83 sehingga 84 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ yang kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah dedahkan perangai buruk munafiq yang suka menyebarkan berita palsu yang tidak benar, tujuannnya nak kucar-kacirkan ketenangan orang mukmin atau supaya mereka over confident rasa selesa, padahal tidak tenang pun sebenarnya.
  1. Allah lalu perintahkan supaya jangan terus percaya & sebar sesuatu khabar yang diterima; tetapi rujuklah sesuatu isu kepada pakar & ahlinya.
  1. Kemudian ayat seterusnya masih lagi perbincangan dan galakan untuk berjihad fi sabilillah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang orang yang tidak mahu beriman tetapi tidak mahu tadabbur al-Quran untuk memahaminya. 
    Kerana dengan tadabbur al-Quran kita akan ada dua sifat yang kebanyakan manusia hari ini ini telah hilang:
    a) Tathabbut (التثبّت) iaitu pastikan kesahihannya.

    b) Tabayyun (والتبيّن) siasat & minta penjelasan.

    ii- Bila tidak tadabbur al-Quran maka inilah yang akan berlaku- suka menyebarkan sesuatu berita yang belum pasti kebenarannya sama ada berita baik atau buruk, viralkan sesuatu yang mungkin palsu lalu masyarakat pula terus percaya & terimanya tanpa siasat & pastikannya juga!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 83- {DAN APABILA DATANG KEPADA MEREKA SESUATU BERITA MENGENAI KEAMANAN ATAU KECEMASAN, MEREKA TERUS MENGHEBAHKANNYA;} (AN-NISA’ 4:83)

  1. Allah nyatakan di sini perangai buruk puak munafiq apabila mereka terima berita, sama ada berita yang baik atau buruk, mereka akan terus sebarkannya, tularkannya tanpa pastikan kebenarannya. 
    Suka untuk menyebarkan fitnah, perkara buruk & tidak baik untuk menjadikan orang mukmin tidak tanang atau lalai, sedap duduk!.
  1. Sekarang bukan orang munafiq saja, kita sekarang ini pun beginilah, suka sangat share, sebar semuanya dalam grup, suka menjadi orang yang terawal berkongsi berita walaupun ianya tidak pasti lagi benar atau palsu!
    Masyarakat kita hari ini akan terikut dengan suasana persekitaran & hidup membesar ikut yang dilaluinya!
  1. Sumber agama ini berpaksikan kepada dua tonggak yang besar iaitu al-Quran & Sunnah. 
    i- Al-Quran alhamdulillah tiada yang mempertikaikannya keasliannya kecuali khilaf cara tafsir & tadabburnya. 

    ii- Tetapi hadis mempunyai beberapa darjat yang harus kita perhati & berhati-hari ketika berinteraksi dengan hadis Nabi SAW.
    Pertama pastikan kesahihannya & kedua berhati-hati dengan tafsirannya, pastikan ia dari ulama’ hadis yang pakar tentangnya.
  1. Ini kerana Rasulullah SAW telah melarang daripada terlalu ghairah untuk sebar berita dengan bersabda: 
    i- Riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia bercakap segala apa yang dia dengar.” [HR Muslim].
    Hadis ini menunjukkan larangan daripada bercakap setiap apa yang dia dengar kerana boleh jadi dia dengar pada adatnya benar atau dusta. 
    Sama ada dalam isu semasa, politik atau agama. Apatah lagi isu agama- lagi kena berhati-hati!

    ii- Nabi SAW bersabda: مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ
    Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.” [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]

    iii- dari al-Mughrirah bin Syu’bah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah membenci untuk kamu berkata: (qiila wa qoola- قيل و قال) (katanya katanya), banyak bertanya, dan menyia-nyiakan harta.” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Maka kita sabarlah, jagalah diri kita, tahanlah tangan kita daripada menjadi orang yang gila share, apa saja yang diterimanya di share balik tanpa memastikan ia berita benar atau tidak!

AYAT 83- {PADAHAL KALAU MEREKA KEMBALIKAN SAHAJA HAL ITU KEPADA RASULULLAH DAN KEPADA – “ULIL-AMRI” (ORANG-ORANG YANG BERKUASA) DI ANTARA MEREKA, TENTULAH HAL ITU DAPAT DIKETAHUI OLEH ORANG-ORANG YANG LAYAK MENGAMBIL KEPUTUSAN MENGENAINYA DI ANTARA MEREKA; DAN JIKA TIDAKLAH KERANA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN BELAS KASIHANNYA KEPADA KAMU, TENTULAH KAMU (TERBABAS) MENURUT SYAITAN KECUALI SEDIKIT SAHAJA (IAITU ORANG-ORANG YANG TEGUH IMANNYA DAN LUAS ILMUNYA DI ANTARA KAMU).} (AN-NISA’ 4:83)

  1. Allah ajar lagi, padahal sebelum kamu menyebar berita itu, alangkah baiknya jika kamu bertanya kepada orang yang pakar tentang hal itu, mereka yang bertanggungjawab di antara kamu, seperti pada zaman sahabat- rujuklah kepada Rasulullah SAW sendiri atau kepada “Ulil-Amri” iaitu orang-orang yang berkuasa di antara kamu.
  1. Yakni jika kamu bertanya dan merujuk dulu kepada ahlinya (sama ada ulama’ atau ustaz yang diyakini) pastilah kamu akan dapat jawapan yang baik, akan tahu sama ada cerita itu sahih atau tidak, khabar itu benar atau tidak- maka barulah kamu boleh membuat keputusan yang tepat akan berita itu.
  1. Allah nyatakan lagi jika bukan kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, yang memberikan kepada kamu kefahaman, keinsafan, sifat sabar, sifat tabayyun, sifat insaf …; maka kamu akan menjadi pengikut syaitan yang suka menyebarkan berita palsu. 
    Apatah lagi jika kamu menyebarkan hadis palsu, berdusta atas nama Rasulullah SAW!
  1. Kata ulama’ : dalam konteks ayat ini syaitan yang dimaksdukan ialah si munafiqin- yang lompat sana lompat sini menyebarkan berita palsu yang dapat menjatuhkan orang lain terutamanya musuh mereka.
  1. Masalah dunia hari ini dengan hp dan pelbagai gajet canggih milik semua yang caranya hanya di hujung jari saja yang dapat menularkan apa saja berita ke seluruh alam maya! 
    Atau membuat berita palsu yang dapat memberi fitnah.
  1. Maka kita berhati-hatilah! Tahan diri daripada menjadi penular berita yang tidak bertauliah, yang tidak pasti kebenarannya! 
    Kita jadilah orang yang teguh beriman, yang dapat menahan diri daripada menjadi pengikut syaitan!

AYAT 84- {OLEH ITU, BERPERANGLAH (WAHAI MUHAMMAD) PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA ISLAM DARI PENCEROBOHAN MUSUH); ENGKAU TIDAK DIBERATI SELAIN DARIPADA KEWAJIPANMU SENDIRI. DAN BERILAH PERANSANG KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (SUPAYA TURUT BERJUANG DENGAN GAGAH BERANI). MUDAH-MUDAHAN ALLAH MENAHAN BAHAYA SERANGAN ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU. DAN (INGATLAH) ALLAH AMATLAH BESAR KEKUATANNYA DAN AMATLAH BERAT AZAB SEKSANYA.} (AN-NISA’ 4:84)

  1. Allah menyuruh hamba-nya untuk keluar berperang melawan musuh yang menceroboh agama kita.
  1. Tetapi dalam masa yang sama Allah tidak memaksa hamba-Nya untuk melakukan apa yang dia tidak mampu. 
    Mereka diperintahkan keluar berperang ikut kemampuan & jika cukup syarat perjuangan!
  1. Begitu juga dalam berdakwah, menyampaikan nasihat, menyatakan yang benar, mengajar Sunnah Nabi SAW. Buatlah setakat kemampuan & kuasa kita, yang penting ada usaha & gerak kerja, orang terima atau tidak itu di luar bidang kuasa kita. Serahkan kepada Allah urusan mereka! 
  1. Allah tidak paksa diluar kemampuan kita, dan yang pentingnya kita tidak rugi! 
    Orang terima alhamdulillah kita dapat pahala, orang tak terima kita dapat pahala juga iaitu pahala menyampaikan!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT suruh berjihad & galakkan jihad dengan kelebihan mati syahid. 
    Kemudian Allah nyatakan ada sekumpulan manusia yang licik iaitu munafiq, yang sentiasa nak lemahkan semangat orang serta cari jalan tidak mahu ikut berjihad tetapi apabila ada kemenangan mahu turut mendapat nama & habuan saja!
    Inilah kelicikan munafiqin.

    ii- Kerana itu dalam ayat ini Allah nyatakan kamu orang yang beriman, pergi keluar beriman pada jalan Allah. Ikhlas kerana Allah bukan kerana nak projek, ghanimah dan lain-lain habuan dunia! 
    Allah juga tidak akan beratkan ke atas kamu apa yang kamu tidak mampu laku & tanggungnya!
  1. Dalam ayat ini Allah galakkan orang beriman untuk berperang dan jangan runsing & takut; mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu ke atas mereka.
  1. Allah juga arahkan orang beriman juga untuk nyatakan yang benar- jangan ikut perangai puak munafiqin yang suka sebarkan sesuatu berita tanpa pastikan kesahihannya!
  1. Allah perintahkan kita untuk beriman dan menyatakan yang benar, ingatlah perjuangan ini mesti diteruskan, siapa yang malas dia akan rebah & kecundang!
  1. Serta ingatlah sesungguhnya Allah :
    i- Amatlah besar kekuatan-Nya, tiada siapa boleh lawan kuasa Allah.

    ii- Dan amatlah berat azab seksa-Nya, tiada siapa boleh menyekat dari kena siksaan-Nya.
  1. Kita minta Allah selamatkan kita daripada terjebak dengan mungkar & maksiat, selamat dari menyebarkan berita & hadis palsu, moga di Akhirat kelak Allah layakkan kita untuk mendapat syafaat Nabi SAW, melintas sirat dengan lancar dan dapat menjejakkan kaki di dalam syurga!
    Amin Ya Rabbal- Alamin.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 83- {Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri”..}-

    Kerja munafikin ialah sentiasa mencari berita palsu untuk disebarkan sama ada berita baik atau khabar buruk! 
    Semuanya untuk menghuru-harakan keadaan orang Islam.
    Ayat ini memberi peringatan dan amaran keras agar kita tidak gopoh menyebarkan sesuatu berita yang belum dipastikan kesahihannya.
    Walaupun kita berniat nak sebarkan benda baik tetapi jika berita itu palsu bagaimana ia nak jadi baik!

    Sabarlah, jangan gopoh untuk viralkan (tularkan) sesuatu isu/berita sebelum kamu dapat memastikan sumbernya sahih atau tidak.
    Dalam dunia kita hari ini, selain ahli politik yang tiada fakta & maklumat sahih- mereka yang menyebarkan berita palsu yang tidak sahih ialah para bomoh, pawang, dukun, tukang tilik dan seumpamanya.

    Rasulullah SAW telah bersabda: مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
    Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam. [HR Muslim 5957].
    Ini baru pergi berjumpa, belum pasti percaya atau tidak lagi!

    Sabdanya lagi: مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
    Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” [HR Ahmad (9171)].
    Antara nasihat kita juga- jangan mudah dengar cerita dari anak lalu terus menyebelahinya- siasat dan pastikan dulu kebenarannya, pergi jumpa dengan guru atau kawan-kawannya di sekolah, dengar cerita dari kedua belah pihak, jangan gopoh nak buat keputusan dan percaya!

    Sabda Rasulullah SAW lagi: “Akan terjadi fitnah yang ketika itu orang yang duduk lebih baik dari pada orang yang berdiri, dan orang yang berdiri lebih baik dari pada orang yang berjalan, dan orang yang berjalan lebih baik dari pada orang yang berlari, dan siapa yang ingin melihat fitnah itu, maka fitnah itu akan mengintainya, siapa yang menemukan tempat pertahanan atau tempat perlindungan, hendaklah dia berlindung di dalamnya.” [HR: Al-Bukhari 3601, Muslim 2886 – Mutafaqun ‘Alaih]
    Yakni sesiapa yang minat sangat untuk layan atau main isu semasa; akhirnya dia yang akan terperangkap dengan isu itu dan meninggalkan kewajipannya!
  1. Ayat 83- padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri”..}-

    Allah kata sepatutnya jika ada masalah dan isu, kamu bertanya dan rujuklah tentangnya kepada Rasulullah SAW pada zaman Baginda. 
    Pada zaman kita pula rujuklah kepada pemimpin atau penguasa yang telus dan mahukan kebenaran. 
    Kembalilah kepada Sunnah Rasulullah SAW. Jika dalam bab agama rujuklan kepada para ulama’ dan ahli agama; jika dalam perkara keduniaan rujuklah kepada pakarnya seperti ekonomi perubatan dan seumpamanya.
    Kadang-kadang orang yang sebarkan sesuatu isu tentang ekonomi itu adalah orang yang jahat yang ada kepentingannya. 
  1. Ayat 83- {oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka;}-

    Allah sebut kita kena betul-betul pastikan sesuatu berita itu sebelum kita sebarkannya.
    Allah perintahkan untuk kita pastikan akan kebenaran sesuatu berita atau khabar itu! 
    Untuk memastikan dan ambil inti (يَسْتَنۢبِطُونَهُ ۗ) dari sesuatu perkara perlu kepada penelitian. Perlu kepada kajian dan pandangan dari yang pakar tentangnya!
    Dalam isu analisa ini jangan gopoh kita kena belajar ilmu cara nak pastikan kesahihan sesuatu berita serta cara nak olah berita itu pula!
  1. Ayat 83- {dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja}-

    Ulama’ kata : Ayat ini menunjukkan bahawa setiap perkara kita kena kembalikan kepada Allah.
    Sekiranya kita sudah buat kajian dengan teliti tak nampak, sudah buat istikaharah tiada keputusan yang baik keluar, maka sentiasa kembali kepada Allah. 
    Ulama’ kata : Semua perkara kita kembalikan kepada Allah SWT! 
    Bukan rujuk kepada bomoh, ahli sihir, tukang tilik dan sebagainya. 
    Mintalah petunjuk dari Allah, yang penuh limpah rahmatNya.
    Allah kata jika bukan kerana dengan limpah kurnia yang Allah beri kepada kita; sifat tathabbut, sifat tenang, sifat tidak gopoh- kita akan terperangkap dengan mainan syaitan yang akan membawa ke neraka! Wal-‘iyazu billah!
  1. Ayat 84- {Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri.}-

    Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa setiap perjuangan itu kita kena ikhlas!
    Allah kata:
    i- Kamu pergilah keluar berjihad, berperang pada jalan Allah.

    ii- Allah tidak akan memberatkan ke atas hamba-Nya apa yang diluar kemampuan mereka!
    Setiap orang buat ikut kemampuan yang dia ada; kita ada ilmu banyak sebarkanlah dengan banyak, kita ada ilmu sikit buat cara sikit! 
    Ada harta banyak keluarkan zakat & sedekah dengan banyak, ada harta sedikit manfaatkannya dengan cara sedikit!
    Tetapi yang peting kita jaga diri kita: jaga ibadat, jaga akhlak, jaga penampilan. 
    Ini kerana Allah SWT tidak akan tanya banyak tentang orang lain tetapi akan ditanya tentang keadaan kita & akan di pertanggung-jawab di hadapan Allah SWT!
    Kamu diberi harta apa kamu buat dengannya, dengan ilmu apa yang kamu gunakan, diberi anak apakah kamu didiknya dengan agama! Maka kita usahalah untuk sampaikan kebaikan.
    Semoga Allah beri keikhlasan kepada kita dalam menuntut ilmu & berdakwah. 
    Semoga apa yang disampaikan dari mulut & hati ini sampai masuk ke dalam hati orang yang mendengarnya pula! 
    Marilah kita sama-sama berpegang dengan al-Quran & Sunnah, kembali kepada Allah SWT semoga berikan kita yang terbaik untuk dunia & Akhirat.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs