View Categories

(38) Surah An-Nisa’ : Ayat 92-93

LARANGAN MEMBUNUH ORANG BERIMAN, HUKUM MEMBUNUH DENGAN TERSALAH & HUKUM SENGAJA MEMBUNUH.

Full video : https://youtu.be/IwvEvztWwC0?si=N95jTOsDNJPZMkRI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 92 sehingga 93 bagi Surah An-Nisa’.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang larangan membunuh orang beriman serta hukumnya. Ini adalah hukum asal, tidak boleh membunuh orang beriman tanpa hak serta ada pengecualiannya pula.
  1. Jika terjadi juga pembunuhan maka ia terbahagi kepada dua:
    i- Hukum membunuh dengan tersalah, tidak sengaja- (al-Qatlu al-Khata’) {القتل الخطأ}. 

    ii- Ini pula terbahagi kepada dua juga: Tersalah sungguh iaitu {القتل الخطأ}.

    iii- Atau macam sengaja- tetapi tidak sengaja juga sebenarnya iaitu (Qatlu Syibhu al-‘amdi)- {القتل الْخَطَأِ شِبْهِ الْعَمْدِ}
  1. Kemudian Allah juga nyatakan hukum bagi mereka yang sengaja membunuh orang Islam- (Al-qatlu al-‘amdi)- {القتل العمد}.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah bawa hukum membunuh orang munafiq yang pura-pura Islam. Ini adalah cara interaksi dengan orang munafiq yang berpura beriman!

    ii- Lalu dalam ayat ini Allah SWT sebut orang yang beriman jangan bunuh orang yang beriman. Ini pula adalah cara interaksi sesama Islam. Tidak boleh bunuh mereka juga kecuali ada sebab yang dibolehkan Syara’ seperti pembunuh juga atau murtad dan lain-lain.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 92- {DAN TIDAK HARUS SAMA SEKALI BAGI SESEORANG MUKMIN MEMBUNUH SEORANG MUKMIN YANG LAIN, KECUALI DENGAN TIDAK SENGAJA. DAN SESIAPA YANG MEMBUNUH SEORANG MUKMIN DENGAN TIDAK SENGAJA, MAKA (WAJIBLAH IA MEMBAYAR KAFFARAH) DENGAN MEMERDEKAKAN SEORANG HAMBA YANG BERIMAN SERTA MEMBAYAR “DIAH” (DENDA GANTI NYAWA) YANG DISERAHKAN KEPADA AHLINYA (KELUARGA SI MATI), KECUALI JIKA MEREKA SEDEKAHKAN (MEMAAFKANNYA).}

  1. Allah SWT memberi hukum yang jelas bahawa tidak boleh seorang mukmin membunuh orang yang beriman tanpa hak atau jika tersalah tidak sengaja! 
    Jangan gopoh ini bukan bermakna boleh bunuh orang kafir, kafir pun ada beberapa kategorinya- kita telah lihat dalam ayat yang lepas.

    Maka jika sesiapa membunuh tanpa niat, tidak sengaja Allah bawa hukumannya iaitu:
    i- Maka wajiblah ia membayar kaffarah dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman. Ini adalah haknya dengan Tuhan.

    ii- Serta membayar “diyah”, denda ganti nyawa yang diserahkan kepada ahlinya iaitu keluarga si mati.
    Ini adalah hak pewaris keluarga si mati- bukan dibayar kepada mahkamah atau kerajaan tetapi kepada mereka!
    Iaitu 100 ekor unta, nilai seekor unta sekarang ini adalah dalam SR5000.
    Diyat ini pula dibayar oleh keluarga si pembunuh yang dipanggil Aqilah (عاقلة). 
    Para aqilah pesalah perlu menanggung bersama-sama diyat tersebut untuk meringankannya.

    iii- Kecuali jika mereka sedekahkan yakni tidak perlu bayar kerana keluarga si mati telah memaafkannya.
  1. Inilah indahnya hukum Islam yang penuh rahmah & kasihan belas : Allah serahakan kuasa pengampunan di tangan keluarga si mati- bukan kepada mahkamah atau mana-mana Lembaga pengampunan!

AYAT 92- {TETAPI JIKA IA (YANG TERBUNUH DENGAN TIDAK SENGAJA) DARI KAUM (KAFIR) YANG MEMUSUHI KAMU, SEDANG IA SENDIRI BERIMAN, MAKA (WAJIBLAH SI PEMBUNUH MEMBAYAR KAFFARAH SAHAJA DENGAN) MEMERDEKAKAN SEORANG HAMBA YANG BERIMAN. }

  1. Ini pula masalah dalam kategori kedua iaitu yang terbunuh adalah orang beriman tetapi keluarga masih kafir yang tidak beriman.
    Takkan nak bayar diyah kepada mereka- rugilah nanti jika mereka gunakannya pada jalan yang salah atau untuk menentang Islam pula!
  1. Maka hukumnya jika keadaan begini: 
    i- Wajiblah ia membayar kaffarah dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman. Ini adalah haknya dengan Tuhan. 
    Hamba itu pula wajiblah seorang yang beriman.

    ii- Tidak perlu bayar diyah kepada keluarga yang kafir itu!
  1. Hadis riwayat Imam Ahmad RHM : Menceritakan bahawa datang seorang sahabat lelaki Ansar membawa seorang hamba perempuan berkulit hitam untuk dimerdekakan kerana dia ada hukuman kaffarah ke atasnya, dan bertanya kepada Rasulullah SAW untuk memastikah apakah hamba itu seorang mukminah yang beriman. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada hamba itu beberapa soalan: Apakah engkau bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah? Ia (budak) menjawab: “Ya”. Rasulullah berkata kepadanya: Apakah engkau bersaksi bahawa saya adalah Rasul (utusan) Allah? Dia menjawab: “Ya”, Kemudian Rasulullah berkata: Apakah engkau beriman terhadap hari kebangkitan setelah kematian? Dia menjawab : “Ya”, Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Merdekakan dia.” [HR Imam Ahmad- sahih].
  1. Hadis lagi- dari Muawiyah bin al-Hakam as-Salami RA:
    قَالَ: وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.
    Muawiyah berkata: “Aku memiliki seorang hamba perempuan yang mengembala kambing-kambingku disekitar Uhud dan Jawaniyah. Pada suatu hari aku saksikan seekor serigala menyambar seekor kambing gembalaannya, kerana aku seorang anak Adam (manusia biasa) maka aku menyesalinya seperti mereka juga menyesalinya. Hanya saja aku menempelengnya dengan sekali tempelengan. Kemudian aku mendatangi Rasulullah SAW, aku menyesali perbuatanku. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah perlu aku merdekakan dia?” Baginda bersabda, “Bawa dia kemari!” Maka aku bawa ia menghadap Rasulullah SAW. Baginda bertanya kepadanya, “Di mana Allah?” Ia menjawab, “Di langit.” Baginda bertanya lagi: Siapa aku? ‘Engkau Rasulullah’, jawabnya. Maka Rasulullah bersabda, “Merdekakan dia! Sesungguhnya dia seorang mukminah.” [HR Muslim].
  1. Untuk detail hukuman dan caranya boleh tengok kuliah DAAM dalam bab Jenayah dalam kuliah Kitab Fiqh al-Manhaji. 

AYAT 92- {DAN JIKA IA (ORANG YANG TERBUNUH DENGAN TIDAK SENGAJA ITU) DARI KAUM (KAFIR) YANG ADA IKATAN PERJANJIAN SETIA DI ANTARA KAMU DENGAN MEREKA, MAKA WAJIBLAH MEMBAYAR “DIAH” (DENDA GANTI NYAWA) KEPADA KELUARGANYA SERTA MEMERDEKAKAN SEORANG HAMBA YANG BERIMAN. DALAM PADA ITU, SESIAPA YANG TIDAK DAPAT (MENCARI HAMBA YANG AKAN DIMERDEKAKANNYA), MAKA HENDAKLAH IA BERPUASA DUA BULAN BERTURUT-TURUT; (HUKUM YANG TERSEBUT) DATANGNYA DARI ALLAH UNTUK MENERIMA TAUBAT (MEMBERSIHKAN DIRI KAMU). DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:92)

  1. Ayat ini membawa hukum bagi kategori ketiga iaitu yang terbunuh adalah seorang kafir tetapi ia ada perjanjian damai dengan kaum muslimin.
  1. Maka hukumnya jika keadaan begini: 
    i- Wajiblah ia membayar kaffarah dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman. Ini adalah haknya dengan Tuhan. Hamba itu pula wajiblah seorang yang beriman.

    ii- Dalam masa yang sama dia juga perlu bayar diyah kepada ahli keluarga yang kafir itu! Ini kerana walaupun kafir tetapi mereka ada perjanjian damai dengan orang Islam maka dikira kafir yang tidak memberi ancaman.
  1. Hukum seterusnya ialah jika tidak ada hamba untuk dimerdekakan atau hamba ada tetapi dia tidak mampu untuk melakukannya, tidak ada duit nak beli hamba untuk dimerdekakan.
  1. Maka hukumnya : Hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut; yakni selama dua bulan penuh tanpa putus kecuali perempuan haidh. 
    Jika terputus tanpa sebab- wajib mula semula dari hari pertama!
  1. Ini adalah hukuman yang datangnya dari Allah untuk menerima taubat kamu bagi membersihkan diri kamu walaupun tidak dimasukkan dalam mana-mana undang-undang atas dunia ini.
    Walaupun tak kena hukum hudud, hukuman ini tidak gugur kerana ia adalah hak Allah!
  1. Maka peringatan sebagai orang beriman yang insaf sungguh jika dia tersalah melakukan jenayah ini, kaffarah hukuman bagi Allah itu wajib dilakukan- iaitu sekarang tiada hamba maka berpuasalah dua bulan berturut-turut untuk membersihkan dirinya serta menunaikan haq Allah!
  1. Allah tutup ayat ini dengan menyebut dua sifat-Nya yang mulia: {Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}
    Yakni kamu manusia jangan pertikaikan hukum & undang-undang Allah ini, sesungguhnya Allah tahu apa yang sesuai & terbaik untuk hamba-Nya, Allah juga Maha Bijaksana!
    Sesiapa yang kata hukuman Allah ini zalim kejam, berat atau seumpamanya maka dia telah mempertikaikan hukum Allah & boleh jatuh kafir!
  1. Walaupun dalam negara kita tidak mengamalkan undang-undang ini- kita sebagai orang mukmin tetap beriman dengan hukum yang Allah nyatakan dalam al-Quran ini!
    Kerajaan tak dapat jalankannya; itu urusan mereka dengan Allah nak beri atas alasan apa.

AYAT 93- {DAN SESIAPA YANG MEMBUNUH SEORANG MUKMIN DENGAN SENGAJA, MAKA BALASANNYA IALAH NERAKA JAHANAM, KEKAL IA DI DALAMNYA, DAN ALLAH MURKA KEPADANYA, DAN MELAKANATKANNYA SERTA MENYEDIAKAN BAGINYA AZAB SEKSA YANG BESAR.} (AN-NISA’ 4:93)

  1. Ini adalah hukuman bagi kategori yang lain pula iaitu membunuh dengan sengaja, yakni dia memang berniat untuk membunuh atas alasan atau dengan sebab apa sekalipun!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah bawa hukum tentang pembunuhan yang tersalah.

    ii- Dalam ayat ini pula Allah bawa hukuman bagi yang sengaja membunuh, iaitu dengan niat.
  1. Kenapa Allah bawa hukuman untuk pembunuhan yang tersalah dulu sebelum yang sengaja? 
    Patutnya disebut yang sengaja dulu baru yang tidak sengaja- kalau ikut logik kita manusia.
    Jawapannya kata ulama’ tadabbur : Maksud undang-undang asalnya adalah untuk menyekat manusia daripada sengaja membunuh.
    Maka Allah SWT lewatkan sebut hukum membunuh dengan sengaja kerana terlalu dahsyat dan buruknya perbuatan jenayah ini! 
  1. Banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menyebut tentang larang membunuh orang beriman:
    i- Daripada Ibn Masud berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
    لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِى مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللهِ… ، إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ: النَّيْبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ.
    Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan Aku ialah utusan Allah.” kecuali kerana salah satu daripada tiga perkara: Berzina, padahal dia sudah berkahwin, membunuh orang dan meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jemaah (murtad).” [HR bukhari & Muslim].

    ii- Dari al-Bara’ bin Azib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hilang dunia ini lebih senang di sisi Allah SWT daripada bunuh seorang lelaki beriman.” [HR at-Tirmizi].
    Serta banyak lagi hadis tentang keburukannya.
  1. Maka sesiapa yang bunuh orang beriman dengan sengaja memang berniat untuk membunuh maka hukuman dan balasannya ialah:
    i- Neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, yakni lama duduk di dalamnya sehingga selesai hukumannya.

    ii- Dan Allah murka kepadanya,

    iii- Dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. Wal-‘iyazu billah!
  1. Bunuh diri sendiri juga adalah satu dosa besar dalam Islam. Dalilnya banyak sekali:
    i- Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
    مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهْوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا ‏”‏‏.‏
    Maksudnya: “Sesiapa yang terjun daripada gunung lalu membunuh dirinya sendiri, maka dia di neraka jahanam. Dia akan terjun ke dalam neraka selamanya. Sesiapa yang meminum racun lalu membunuh dirinya, dia akan membawa racun pada tangannya dan memakan racun itu selamanya di dalam neraka. Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka dia akan membawa besi di tangannya dan menikam perutnya selamanya di dalam neraka.” [HR al-Bukhari].

    ii- Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:
    كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏”‏‏.‏
    Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.” [HR al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya’, hadis no: 3463].
  1. Timbul persoalan apakah orang yang membunuh dengan sengaja ini diampunkan dosanya? 
    Terdapat 2 pandangan ulama’ :
    i- Ibnu Abbas RA mengatakan : Tidak ada taubat baginya kerana banyak hadis yang melaknat perbuatan tersebut serta dosanya amat besar!

    ii- Jumhur ulama’ kata : Diterima taubatnya kerana berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat ini:
    {Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.} (An-Nisa’ 4:48)

    Maka ia membawa erti diterima taubat bagi semua dosa lain kecuali syirik kepada Allah. 
    Berapa lama pula ia akan kekal berada dalam neraka wallahu a’lam ia semua atas kehendak & rahmat Allah SWT.
  1. Hadis yang sahih : Kisah seorang Israil yang bunuh 100 orang kemudian Allah terima taubatnya.
    Daripada Abu Said al-Khudri, Said bin Malik bin Sinan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dahulu, pada zaman orang sebelum kamu semua, ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Lelaki itu pun bertanya mengenai orang yang paling alim di muka bumi ini ketika itu, lalu ditunjukkan kepada seorang rahib (ahli ibadat). Maka dia pun datang bertemu rahib itu lalu mengatakan sesungguhnya dia sudah membunuh 99 orang, adakah ada taubat baginya? Ahli ibadat itu berkata: Tidak. Seketika itu juga lelaki itu membunuhnya. Maka, lelaki itu menggenapkan dengan membunuh rahib menjadi 100 orang. Kemudian dia bertanya lagi adakah ada orang yang paling alim di muka bumi ketika itu? Lalu ditunjukkan kepadanya kepada seorang yang berilmu. Maka dia pun memberitahu dia sudah membunuh 100 orang, adakah ada taubat baginya? Orang alim itu berkata: “Ya. Siapa yang menghalang dia dari taubatnya? Pergilah ke daerah ini dan ini. Kerana sesungguhnya di sana ada orang-orang yang sentiasa beribadat kepada Allah, maka beribadatlah kepada Allah bersama mereka. Dan janganlah kamu kembali ke negerimu kerana negerimu itu adalah negeri yang buruk.” Kemudian, lelaki itu bergerak ke daerah berkenaan dan ketika tiba di pertengahan jalan, dia meninggal dunia. Maka, berselisih pendapat antara malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat mengatakan dia sudah datang dalam keadaan bertaubat menghadap Allah dengan sepenuh hatinya. Sementara malaikat azab pula berkata, dia belum pernah mengerjakan satu amalan kebaikan sama sekali. Datanglah seorang malaikat dalam rupa manusia, lalu kedua malaikat itu menjadikannya hakim di antara mereka berdua. Malaikat itu berkata: “Ukurlah jarak antara dia dengan kedua negeri itu. Maka, ke arah negeri mana yang lebih dekat, maka dialah yang lebih berhak membawanya.” Lalu kedua-dua malaikat itu mengukurnya dan mendapati lelaki itu lebih dekat dengan negeri yang diinginkannya. Maka, malaikat rahmat pun segera membawanya. [HR Bukhari & Muslim].

    Kita kata rahmat Allah itu luas jangan jita sempitkannya!
  1. Cuma kita kena ingat bahawa ia adalah satu dosa yang amat besar dan hukumannya amat dahsyat di sisi Allah SWT, jangan sesekali kita berani cuba atau berniat atau cuba melakukannya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 92- {Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain,}-

    Ini adalah larangan daripada membunuh manusia dengan sengaja!
    Jangan bergurau dengan perbuatan acah-acah untuk membunuh kerana ia akan dikira sengaja! 
    Allah nyatakan dalam ayat ini betapa bahayanya dosa membunuh serta beberapa kategori pembunuh telah dijelaskan oleh Allah SWT dengan terperinci agar kita orang beriman beringat & berhati-hati serta menjauhkan diri darinya!
    Zaman kita sekarang ini walaupun bukan bunuh dengan nyawa tetapi bunuh karekter, bunuh keperibadian manusia- sebar fitnah dengan memburukkan nama, mencemarkan maruah seseorang sehingga tercalar imej dan maruahnya lalu dimasukkan dalam senarai hitam bagi kategori tertentu sehingga orang ramai turut boikot & tinggalkannya!
    Inilah mainan syaitan yang amat jahat- mungkin lebih teruk daripada bunuh dengan nyawa- bila mati boleh ditaman terus tetapi bunuh karekter ini berpanjangan kesannya sepanjang hidup seorang hamba Allah itu!
  1. Ayat 92- {serta membayar “diyah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya).}-

    Ayat ini membawa galakan untuk bersedekah atau memaafkan.
    Keluarga si mati boleh memaafkan si pembunuh, hanya mereka yang berhak sama ada:
    i- Memaafkan akan badannya : Iaitu gugurkan hukuman bunuh bagi yang membunuh dengan sengaja tetapi diyat diambil juga untuk kegunaan bagi keperluan keluarga atau anak-anak si mati yang memerlukannya!

    ii- Atau memaafkan pembayaran diyah : Kerana mungkin si mati dari keluarga miskin yang tidak mampu untuk melakukankannya atau saja dia sedekahkan tanpa sebab.

    iii- Atau maafkan keduanya secara total : Tidak kena hukuman bunuh dan tidak perlu bayar diyah juga! Ini adalah kemaafan yang amat mulia dan menyeluruh!

    Kisah yang menyayat hati seperti yang diceritakan oleh Syeikh Atiyah RHM seorang mantan Qadhi di Madinah, bagaimana salah seorang keluarga si mati memaafkan si pembunuh pada saat akhir sebelum pedang dihayunkan ke leher si pembunuh, dengan berdoa dengan dia maafkan si pembunuh-semoga Allah ampunkan juga dosa anaknya- sehingga mengundang kesedihan & terharu semua yang hadir. 

    Jika seorang sahaja daripada pewaris mati memaafkannya maka ia boleh dimaafkan.
    Yakni Allah amat galakkan sedekah hatta sedekah nyawa! Amat besar pahalanya!
  1. Ayat 93- {Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.}-

    Dalam ayat ini Allah sebut beberapa hukuman terhadap mereka yang membunuh orang beriman dengan sengaja. 
    Kata ulama’ : Tidak ada lagi dosa besar yang amat besar selain syirik yang Allah beri ancaman yang begitu dahsyat iaitu bunuh orang dengan sengaja.

    Allah sebut 4 hukumannya iaitu:
    i- Balasannya ialah kekal ia di dalam neraka jahanam,

    ii- Dan Allah murka kepadanya,

    iii- Dan melakanatkannya,

    iv- Serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.
  1. Ayat 92- {maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman..}-

    Perintah untuk membebaskan hamba sebagai hukuman. 
    Dalam Islam pintu untuk menjadi hamba hanya satu iaitu tawanan perang tetapi pintu untuk keluar dari perhambaan amat banyak sekali dan amat digalakkan! 
    Selain sebagai kaffarah dosa, denda-denda untuk perbuatan ibadat juga banyak diperintahkan untuk membebaskan hamba yang beriman.
    Galakan untuk membebaskan hamba juga secara sunat amat banyak juga serta amat besar balasan pahala yang Allah janjikan!
    Begitu juga perintah untuk berbuat baik & tidak menzalimi hamba amat banyak sekali!
    Orang kafir tidak layak untuk bercakap tentang human’s right kerana sistem perhambaan mereka amat dahsyat, zalim dan tidak sistematik seperti Islam. 
    Siapalah mereka untuk mengutuk & mengata Islam tidak adil & zalim!
  1. Ayat 92- {Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman.}-

    Jika kafir yang dibunuh itu ada perjanjian damai; kita kena serahkan juga diyat kepada mereka.
    Ini menunjukkan bahawa agama Islam amat mengambil berat sebarang perjanjian yang dibuat sama ada sesama Islam hatta dengan orang kafir sekalipun!
    Mukmin yang sejati apabila buat perjanjian tidak akan khianat, apabila janji untuk berdamai akan dihormati.
    Bukan seperti munafiq yang bersifat sebaliknya, mungkir janji dan khianat amanah itu kegemaran mereka! 
    Maka kita hati-hatilah daripada sifat yang buruk ini.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs