Surah An-Nisa’ : Ayat 94

LARANGAN MEMBUNUH ORANG MENGUCAP SYAHADAH, PASTIKAN SEBELUM JATUH HUKUM & JANGAN TAMAK HARTA DUNIA..

Full video : https://youtu.be/FbSmVy7Bg74?si=7KVelEQR2HT9LKqe

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir dalam satu ayat sahaja iaitu ayat 94 bagi Surah An-Nisa’.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah beri peringatan kepada hamba-hamba-Nya tentang larangan membunuh orang telah mengucap syahadah atau memberi salam. Allah nak ajar kepada kita untuk utamakan perdamaian- bila orang dah mengucap jangan bunuh dia lagi.
  1. Allah juga perintahkan untuk kita pastikan dulu maklumat yang diterima sebelum menjatuh hukuman ke atas seseorang sama ada nak kata kafir atau murtad atau sedemikian-sedemikian. 
    Bukan hanya dengar orang kata saja tanpa kita kaji & siasat sendiri apakah ia sahih! 
  1. Isu ketiga ialah Allah larang agar jangan tamak cari habuan harta dunia. 
    Kerana tamak nak harta rampasan perang kita bunuh orang.
    Sama juga dengan orang sekarang kerana nak pangkat & jawatan kita pijak kepala orang!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan larangan keras agar jangan bunuh orang dengan sengaja dan dibawa empat hukuman yang amat berat; Allah murka, Allah laknat, baginya azab yang berat & dihumban ke dalam neraka Jahannam! 
    Kerana itu kena berhati-hati dalam perkara yang boleh membawa kepada kemalangan walaupun terjadi pembunuhan tanpa sengaja. 

    ii- Ayat ini pula menceritakan dalam peperangan kita akan menghadapi pelbagai manusia, bertembung dengan musuh yang menyerang & saling membunuh; atau apabila dihadapan kita musuh angkat tangan beri salam & lafazkan syahadah; jangan gopoh terus bunuh juga mereka tanpa siasat (tabayyun) terlebih dahulu! Ini akan termasuk dalam pembunuhan walaupun tanpa sengaja! 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 94- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, APABILA KAMU PERGI (BERPERANG) PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA ISLAM), MAKA HENDAKLAH KAMU MENYELIDIK (APA JUA PERKARA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA), DAN JANGANLAH KAMU (TERBURU-BURU) MENGATAKAN KEPADA ORANG YANG MENUNJUKKAN KEPADA KAMU SIKAP DAMAI (DENGAN MEMBERI SALAM ATAU MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAT): “ENGKAU BUKAN ORANG YANG BERIMAN” (LALU KAMU MEMBUNUHNYA) DENGAN TUJUAN HENDAK (MENDAPAT HARTA BENDANYA YANG MERUPAKAN) HARTA BENDA KEHIDUPAN DUNIA (YANG TIDAK KEKAL). (JANGANLAH KAMU GELAP MATA KEPADA DAKI DUNIA ITU) KERANA DI SISI ALLAH ADA DISEDIAKAN LIMPAH KURNIA YANG BANYAK.} (AN-NISA’ 4:94)

  1. Allah ajar apabila kamu keluar untuk berjihad fi-sabilillah yakni dengan tujuan baik pada asalnya agar tidak gopoh, terburu membunuh orang yang dijumpai dan mengaku telah Islam atau memberi salam tanpa memeriksa terlebih dahulu! 
  1. Sabab nuzul ayat:
    i- Dari Ibnu Abbas RA yang menceritakan bahawa suatu hari pasukan kaum muslim mengejar seorang lelaki yang sedang mengurus barangnya, lalu lelaki itu mengucapkan salam kepada mereka. Tetapi mereka tidak hiraukannya, terus membunuhnya dan merampas barangnya. Maka turunlah ayat ini, iaitu firman-Nya: {Dan janganlah kalian mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepada kalian, “Kamu bukan seorang mukmin.”} (An-Nisa: 94). [HR Bukhari & Muslim]

    ii- Dari Ibnu Abbas RA : Bahawa seorang laki-laki dari Bani Sulaim yang sedang mengheret kambingnya bertemu dengan segolongan sahabat Nabi SAW yang sedangkan bersenjata. Dia lalu mengucapkan salam kepada mereka. Mereka berkata: “Dia memberi salam dengan maksud untuk menyelamatkan diri dari kita”. Mereka pun mengepung dan membunuhnya, serta membawa kambingnya kepada Rasulullah SAW. dan menceritakan kisahnya. Maka turunlah ayat al-Quran ini (An-Nisa ayat 94) sebagai teguran agar berhati-hati dalam melaksanakan suatu hukum. [HR Bukhari].

    Kena faham keadaan waktu itu. Waktu itu umat Islam sedang berperang dengan orang kafir, jadi mereka dibenarkan untuk membunuh orang kafir.

    iii- Dari Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslami RA berkata, ”Rasulullah SAW mengutus kami bersama serombongan orang-orang muslim yang di dalamnya terdapat Qatadah dan Muhallim bin Jaththaamah. Lalu kami berhadapan dengan Amir ibnul Adhbath al-Asyja’i. Kemudian dia mengucapkan salam kepada kami. Namun, Muhallim menyerangnya dan akhirnya membunuhnya. Ketika kami sampai di Madinah, kami memberi tahu Nabi SAW tentang peristiwa itu. Lalu turun pada kami firman Allah: {‘Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu pergi (berperang) di jalan Allah,…’}- hingga akhir ayat.” [HR Imam Ahmad & At-Tobarani]. 
  1. PERHATIAN : Tidak salah untuk kita mengatakan terdapat beberapa peristiwa & kisah yang menjadi asbabun-Nuzul untuk sesuatu ayat al-Quran itu. 
    Kerana kadang-kadang berlakunya beberapa sebab nuzul dan ia berlaku pada zaman Nabi SAW. 
    Yang penting apabila orang menghulurkan salam & tangannya kepada kita janganlah kita bunuh atau peranginya lagi!
  1. Dalam ayat ini Allah perintahkan: {maka hendaklah kamu menyelidik}- {فَتَبَيَّنُوا۟ }:
    i- Untuk teliti dalam berperang, tidak mudah membunuh, dan tidak mudah menuduh orang tidak beriman. 
    Allah meminta orang-orang yang berperang di daerah musuh agar teliti kepada siapa pun yang mereka temui; tidak begitu saja menuduhnya tidak beriman. 

    Yakni apabila kamu jumpa seseorang yang beri salam kemudian mengucapkan kalimah syahadah, jangan kamu terus menghukumnya hanya berpura bukan benar-benar beriman lalu terus membunuhnya!

    ii- Begitu juga dalam menerima sesuatu berita atau menghadapi sesuatu keadaan: hendaklah kamu pastikan kesahihan cerita itu dulu kemudian siasatlah kebenarannya!
  1. Kata ulama’ qira’at : Perkataan, fatabayyanu : {فَتَبَيَّنُوا۟ } ini ada 2 qiraat, bacaaannya:
    i- Jika perkataan {فَتَبَيَّنُوا۟ }- dibaca dengan perkataan {فتثبتوا} yakni tukar terus perkataan- ia bermakna pastikan kesahihannya dulu, jangan gopoh, jangan berlorat. Tasabbut yakni periksa dulu pastikan kebenaran & kesahihannya.

    ii- Jika dibaca dengan perkataan {فَتَبَيَّنُوا۟ }- ambil dari perkataan {التبين} minta penjelasan, jangan gopoh juga tenang, siasat baik-baik.
    Dua perkataan & perkara ini adalah kembar siam yang mesti seiring dalam menerima berita yang kita tidak tahu, tidak dapat dipastikan kesahihannya:
    a) Tathabbut (التثبّت)- pastikan kesahihannya.

    b) Tabayyun (والتبيّن)- siasat & minta penjelasan.
  1. Janganlah kamu terburu-terburu mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam
    (أَلْقَىٰٓ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَـٰمَ) dan mengucap syahadah; kamu bukan orang yang beriman! 
  1. Perkataan as-salam {ٱلسَّلَـٰمَ} ini juga ada qiraat- bacaaannya:
    i- Jika dibaca pendek (as-salam) tanpa huruf alif mad selepas huruf lam (ٱلسَّلَـمَ) ia bermakna menyerah diri. Apabila orang itu menyerah diri dan mengaku beriman jangan lagi kita bunuhnya!

    ii- Jika bacaan panjang (as-salaam) seperti dalam mashah kita ini (ٱلسَّلَـٰمَ) ada huruf mad- dengan makna tahiyyatul Islam, iaitu beri ucapan salam dalam Islam kemudian mengucap dua kalimah syahadah. 
    Jangan bunuh apabila mereka zahirkan diri mereka sebagai orang muslim, jika tak percaya kita siasat & tabayyun dulu.
  1. Apatah lagi jika kamu lakukan semua itu untuk mengejar habuan dunia- kerana ingin harta ghanimah yang ada padanya, maka Allah mencela orang yang gopoh kerana tamak akan habuan dunia ini, menegah membunuh dengan tujuan untuk merampas harta benda! 
  1. Jangan gelap mata dengan daki dunia yang tidak kekal ini kerana di sisi Allah sudah tersedia rezeki dan nikmatnya yang tidak terkira banyaknya. 
    Janganlah kamu gopoh mengambil tindakan.

AYAT 94- {DEMIKIANLAH JUGA KEADAAN KAMU DAHULU (DAPAT DIKETAHUI OLEH ORANG LAIN AKAN KEISLAMAN KAMU DENGAN MEMBERI SALAM ATAU MENGUCAP KALIMAH SYAHADAT), LALU ALLAH MENGURNIAKAN NIKMATNYA KEPADA KAMU. OLEH ITU SELIDIKILAH (APA-APA JUA LEBIH DAHULU, DAN JANGANLAH BERTINDAK DENGAN TERBURU-BURU). SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MEMERHATI DENGAN MENDALAM AKAN SEGALA YANG KAMU LAKUKAN.} (AN-NISA’ 4:94)

  1. Kemudian Allah ingatkan kaum muslimin akan keadaan mereka sebelum ini iaitu sebelum kuat & berhijrah ke Madinah. 
    Kamu dulu lemah & susah juga!
  1. Kamu dulu terpaksa menyembunyikan keislaman & memberi salam sesama Islam dengan senyap-senyap & tersembunyi! Samalah seperti keadaan orang yang mereka bunuhnya dengan gopoh itu!
  1. Demikianlah tarbiyah yang Allah beri, Allah ungkit balik keadaan kamu dulu. 
    Lalu Allah beri nikmat ke atas kamu dengan kemenangan, sekarang ini kamu kuat, kamu menang maka jangan gopoh untuk membunuh dan menyerang orang lemah pula sehingga kamu pastikan kekufuran & kejahatan mereka terhadap Islam!
  1. Satu kisah tragis :
    Dari Abi Zabyan berkata dia dengar dari Usamah bin Zaid bin Harithah RAnhuma yang dihantar ke Huraqah. Bahawa Usamah bin Zaid RA berkata: Rasulullah SAW mengutus kami ke Huraqah pada suku Juhainah, ketika kami sampai di sana, kami terus menyerbu dan serang mereka yang terus kalah. Tiba-tiba aku dan seorang sahabat Ansar bertemu dengan seorang dari mereka yang cuba lari. Maka ketika kami telah mengepungnya, ia berkata: {لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ} “LA ILAHA ILLALLAH”. Maka sahabatku orang Ansar itu menyuruhku berhenti (tidak membunuhnya), tetapi aku terus menikamnya dengan tombakku sehinggalah ia mati. Apabila kami telah kembali ke Madinah, berita itu telahpun sampai kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bertanya: “Apakah sesudah ia mengucapkan {لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ} -“LA ILAHA ILLALLAH”, masih juga engkau membunuhnya?” Jawabku: ”Ya Rasulullah, ia berkata seperti itu mungkin hanya kerana takut kepada senjataku”. Rasulullah SAW terus mengulangi pertanyaannya ini: “Apakah engkau membunuhnya juga sesudah ia mengucapkan “LA ILAHA ILLALLAH”? (menunjukkan betapa marahnya Nabi SAW). Kemudian Nabi SAW bertanya: “Apakah kau sudah belah dadanya? Sehingga engkau ketahui dengan jelas, apakah ia berkata kerana takut dengan senjatamu atau tidak?” [HR Bukhari].

    Usamah bin Zaid sangat menyesal dengan kejadian itu. Ini adalah pengajaran kepada kita semua juga supaya jangan senang-senang mengambil keputusan untuk membunuh orang lain yang ada ciri-ciri keislaman padanya. 
  1. Maka kerana kita sesama manusia tidak tahu & tidak nampak yang batin, apa yang ada dalam hati orang; jika telah nampak tanda-tanda yang baik dari segi zahirnya, maka berhentilah dari terus menyerang atau membunuhnya! 
    Jangan mudah-mudah untuk menjatuhkan hukum ke atas orang yang tidak mengaku akan perbuatannya tanpa kita siasat & patikan kebenarannya!
  1. Persoalan: Tentang perbuatan Usamah bin Zaid yang tersalah membunuh orang mengucap syahadah dengan sangkakan orang tersebut mempermainkan sahaja; apakah dia dikenakan hukuman diyat dengan 100 ekor unta sebagai kaffarahnya?
  1. Dalam riwayat ada mengatakan Rasulullah SAW menyuruh Usamah meminta keampunan dari Allah dan menyuruhnya memerdekakan seorang hamba kerana membunuh dengan tersalah. 
  1. Usamah RA tidak dikenakan diyat atau qisas kerana pembunuhan ini berlaku dalam peperangan, dia pula kejar orang itu yang lari- berlaku dengan spontan apabila orang itu menggucap syahadah.
  1. Para fuqaha’ berkata lagi : Jika nak kira Usamah telah membunuh orang tetapi kenapa dia tidak dikenakan qisas (bunuh balas) atau diyat 100 ekor unta?? 
  1. Jawapannya:
    i- Peristiwa ini berlaku pada awal Islam, serta hukuman belum diturunkan sepenuhnya, lalu berhenti setakat itu!

    ii- Dan Usamah bukan nak bunuh orang itu dengan sengaja. Dia telah penat mengejar musuh yang lari ini sehingga dapat menangkapnya musuh tiba-tiba mengucap syahadah. 
    Nampak pada zahirnya dia hanya nak menyelamatkan dirinya daripada pedang musuh bukan Islam sungguh! 
    Yakni Usamah ta’wil perkara yang berlaku. Jika aku yakin dia Islam, aku tidak akan bunuhnya, ada syubhat di situ! 
    Jika orang mengucap yang terpelihara darahnya, dia akan mengaku & mengucap dengan tenang; tetapi ini tidak, berlawan dulu, lari dulu- apabila tertangkap baru nak mengucap! 
  1. Ulama’ feqah berkata lagi : 
    i- Rasulullah SAW telah bersabda: 
    Aku diperintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan “La ilaha illallah”. [HR Muslim].
    Yakni jika dia kata (mengucap) cukuplah, kerana itu Nabi SAW marah apabila Usamah bunuh orang itu!

    ii- Tetapi ulama’ kata : Ini untuk kafir & musyrikin lain kecuali yahudi & Nasrani! 
    Mereka ini tidak cukup dengan hanya mengucap 1 kalimah syahadah saja {أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ} tetapi dia kena iklan & iktiraf satu lagi syahadah iaitu {وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ}- “Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah.”
    Ini kerana yang mereka ingkarnya ialah kenabian Rasulullah SAW!
  1. Kesimpulannya kata al-Qurtubi: 
    Dari sudut feqahnya; hukum-hukum ini kita lihat yang zahir sajalah, apa yang kita nampak & kita tengok kita terimalah. 
    Kerana kita tidak dapat lihat & siasat apa yang ada dalam hati manusia- itu diluar kemampuan kita!
    Kita hanya boleh ambil yang zahir saja manakala yang batin itu kita serahkan kepada Allah SWT yang tentukan! 
  1. Jika nampak tanda-tanda kebaikan, ada tanda perdamaian selesailah pihak kita jangan cuba serang lagi mereka. 
    Tetapi jika nampak & ada bibit-bibit pembohongan, perlawanan dan khianat; lain pula cara kita hadapinya!
  1. Insya’ Allah suatu hari nanti DDAAM bercita-cita untuk buat kuliah tentang hukum-hakam dalam al-Quran (Ahkamul-Quran) tetapi memerlukan masa yang agak panjang.
    Semoga Allah memberi taufiq, peluang & inayah-Nya kepada beliau.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 94- {Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru)}-

    Ayat ini mengajar & menjelaskan kepada kita tentang kesatuan & kesejahteaan ummah.
    Allah mengajar kepada kita untuk percaya kepada orang beriman kecuali ada dalil-dalil, tanda bukti bahawa dia adalah kafir!
    Yakni untuk menjaga kesatuan dan kesejahteraan ummah, bila orang itu megaku dia beriman; kita kena percaya kepada orang yang beriman.
    Kecuali ada tanda-tanda akan kekafiran serta unsur-unsur yang membuktikan pengkhianatan untuk menjatuhkan Islam barulah kita kena ambil tindakan.
  1. Ayat 94- {Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru)}-

    Allah ajar kepada kita untuk wajib tabayyun pastikan kebenaran hatta dalam peperangan, jihad & dakwah. 
    Begitu juga dalam keadaan biasa, apabila ada cerita yang tidak baik disebarkan, ada tuduhan yang dibuat; kita dengar dulu, tabayyun dulu sebelum menerima fitnah tentang seseorang. 
    Bukan terus amin- terima apa yang orang kata lalu tersalah faham sehingga memusnahkan masa depan seseorang.

    Dengan tabayyun & bertenang kita dapat banyak faedah antaranya:
    i- Kita tahan diri kita daripada buat benda tak baik sama ada tuduh orang atau bunuh orang! 

    ii- Dengan keadaan tenang kita akan dapat mengenal sifat & pribadi seseorang. 
    Jika seorang pendakwah itu mulut busuk suka mengata sana mengata sini, tak kira sama ada atas minbar atau meja kuliah; maka kita tahulah apa sifat sebenarnya!
  1. Ayat 94- {dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak.}-

    Allah larang mengambil tindakan ke atas seseorang hanya atas dasar kepentingan dunia.
    Allah beri nasihat jika kamu ada keinginan kepada mata benda dunia sehingga sanggup mengkhianati atau membunuh orang- agar jangan buat begitu kerana harta dunia ini hanya kecil jika kamu terlepas pun tak apa!
    Yang di dunia hanya sementara, yang besar adalah pahala & syurga di sisi Allah SWT! 
  1. Ayat 94- {Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat),}-

    Kamu juga dulu takut & sembunyi-sembunyi untuk mengucapkan kalimah syahadah, takut kepada kaum musyrikin Makkah yang akan membunuh mereka!
    Dulu kamu juga begitu, ketika kamu lemah & tidak kuat di Makkah dulu! 
    Maka apabila kamu kuat & ada kuasa sekarang ini; jangan pula kamu menzalimi & bertindak gopoh dalam menjatuhkan hukuman kepada orang lain!
    Dalam ayat ini Allah beri tarbiyah & didikan yang besar iaitu kita semua ini asalnya lemah, semuanya pernah berada dalam kesusahan! 
    Contoh: Para pemimpin dunia atau orang kaya atas dunia hari ini betapa ramai yang dulunya berasal daripada anak-anak golongan miskin tegar. 
    Bila kita sudah senang, kaya raya; jangan lupa kita juga pernah susah & miskin dulu. 
    Jangan bila kita kuat & berkuasa nak ambil kesempatan & menindas mereka yang susah dan memerlukan pertolongan pula!
    Kita nak kenal kawan tunggu dia senang, tunggu dia ada jawatan! Kita kata dunia ini kecil saja, suatu hari nanti apabila dia hilang jawtaan dia kan cari juga orang yang pernah dilupakannya dulu!
  1. Ayat 94- {Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.}-

    Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah sentiasa memerhati & mengetahui dengan jelasnya setiap apa yang kamu lakukan!
    Allah tutup ayat ini dengan satu ayat yang sentap & memberi amaran kepada manusia bahawa Allah SWT maha negetahu apa yang zahir & batin, yang jelas & tersembunyi!
    Maka kita kena ikhlas dalam semua perbuatan, apa yang kita lakukan adalah semata-mata kerana Allah. 
    Manakala dengan sesama manusia- kita berhukum dengan apa yang jelas dari segi zahirnya- kerana apa yang tersembunyi dalam hatinya, yang batin; hanya Allah SWT yang mengetahuinya!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs