View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 97-100

TEGURAN GOLONGAN YANG TIDAK BERHIJRAH, GOLONGAN LEMAH DIMAAFKAN & KELEBIHAN HIJRAH.

Full video : https://youtu.be/4PYPG2NGAhs?si=C9lHB6KYwPjfGfFd

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 97 sehingga 100 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang teguran Allah SWT kepada golongan yang lemah semangat, yang tidak berhijrah, iaitu mereka mampu tetapi tidak mahu keluar berhijrah.
  1. Manakala golongan yang lemah datang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka benar-benar tidak mampu berhijrah, lalu Allah maafkan mereka ini dan diberi pengecualian!
  1. Kemudian Allah SWT menyatakan tentang kelebihan hijrah- sesiapa yang keluar nak berhijrah tetapi sebelum sampai dia mati dalam perjalanan; dia tetap akan dapat pahala hijrah!
    Sama seperti orang yang nak keluar pergi haji. Belum sempat buat haji, meninggal dunia, dapat pahala haji. 
    Begitu juga orang yang nak keluar ke mana saja untuk buat kebaikan. 
    Ini menunjukkan pentingnya niat baik & memulakan langkah pertama ke arah kebaikan!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang pahala keluar berjihad diikuti celaan terhadap mereka yang tidak keluar berjihad tanpa uzur.

    ii- Allah juga sebut tentang orang yang tidak pergi berperang kerana uzur, tentang orang yang sembunyikan Islamnya semasa di Makkah kerana tidak mahu disiksa, tentang orang tidak mahu berhijrah kerana sayang nak tinggalkan harta, tinggal bersama kafir dan akhirnya terheret sama keluar berperang bersama mereka pula lalu meramaikan bilangan kafir! 
    Inilah bahayanya sembunyikan diri dalam perjuangan, akan terdedah kepada kekufuran.

    iii- Maka datanglah ayat ini bertanya kenapa begitu sedangkan kamu beriman & ada kekuatan untuk keluar berhijrah. 
    Ayat ini amat berat; menegur & mencela orang-orang yang tidak mahu berhijrah tanpa halangan & keuzuran!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 97- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG DIAMBIL NYAWANYA OLEH MALAIKAT SEMASA MEREKA SEDANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI (KERANA ENGGAN BERHIJRAH UNTUK MEMBELA ISLAM DAN RELA DITINDAS OLEH KAUM KAFIR MUSYRIK), MEREKA DITANYA OLEH MALAIKAT DENGAN BERKATA: “APAKAH YANG KAMU TELAH LAKUKAN MENGENAI AGAMA KAMU?” MEREKA MENJAWAB: “KAMI DAHULU ADALAH ORANG-ORANG YANG TERTINDAS DI BUMI”. MALAIKAT BERTANYA LAGI: “TIDAKKAH BUMI ALLAH ITU LUAS, YANG MEMBOLEHKAN KAMU BERHIJRAH DENGAN BEBAS PADANYA?” MAKA ORANG-ORANG YANG SEDEMIKIAN ITU KEADAANNYA, TEMPAT AKHIR MEREKA IALAH NERAKA JAHANAM, DAN NERAKA JAHANAM ITU ADALAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AN-NISA’ 4:97)

  1. Ini adalah tentang orang Islam yang mati, yang diambil nyawanya oleh malaikat; dalam hal keadaan mereka yang ‘menzalimi diri mereka’ kerana buat maksiat, tidak mahu hijrah, tidak mengamalkan Islam dengan sepenuhnya.
    Apabila tidak mengamalkan ajaran Islam, itu telah menzalimi diri sendiri kerana mereka akan ditanya nanti di akhirat dan mereka akan diazab.
  1. Ini adalah kerana mereka tinggal di negara kafir yang menghalang mereka dari mengamalkan Islam dengan sempurna. 
    Mereka jadi begitu kerana mereka tidak berhijrah ke negara Islam. Sedangkan mereka mampu untuk berhijrah. 
    Bahkan mereka keluar berperang bersama orang kafir dalam Peperangan Badar melawan Rasulullah SAW & kaum muslimin. 
    Lalu ada di antara mereka dicabut nyawa oleh malaikat maut dalam keadaan begitu.
  1. Sabab nuzul ayat: 
    Ibnu Abbas RAnhuma meriwayatkan : Bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan sejumlah orang muslimin yang tidak ikut berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW. Mereka kekal di Makkah tinggal bersama orang-orang musyrik dan terpaksa ikut kehendak mereka. Dan akhirnya mereka keluar bersama-sama pasukan kaum musyrik sehingga memperbanyak jumlah orang-orang musyrik yang menyerang Rasulullah SAW. dalam Perang Badar. Lalu ada di antara mereka yang mati dalam peperangan tersebut sama ada terkena panahan atau libasan pedang kaum mukmin. Maka turunlah ayat yang mulia ini, yang maknanya umum mencakup semua orang yang bermukim di tengah-tengah kaum musyrik, padahal mereka mampu melakukan hijrah, namun mereka tidak dapat menegakkan agamanya; maka dia adalah orang yang aniaya kepada dirinya sendiri dan dinilai sebagai orang yang berbuat dosa besar menurut kesepakatan umat dan menurut nas ayat ini, kerana Allah SWT. telah berfirman: {Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri.} (An-Nisa: 97) Yakni kerana ia tidak mahu berhijrah ke Madinah. Lalu malaikat akan tempelak mereka dengan) malaikat berkata, “Dalam keadaan bagaimanakah kalian ini?” (An-Nisa: 97) Dengan kata lain, mengapa kalian tinggal di Makkah dan tidak mahu hijrah ke Madinah?  Mereka menjawab, “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah) ini.” (An-Nisa: 97) Maksudnya, kami tidak mampu keluar meninggalkan negeri ini, tidak mampu pula bepergian keluar meninggalkannya. Para malaikat berkata, “Bukankah bumi Allah itu luas?” (An-Nisa: 97), hingga akhir ayat. [HR Bukhari].
  1. Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
    Sama ada kekal atau tidak semuanya atas kehendak & kuasa Allah SWT. 
  1. Kerana itu ulama’ feqah kata : Hijrah itu wajib kecuali orang ada keuzuran dan halangan seperti yang dinyatakan dalam ayat berikutnya ini.

AYAT 98- {KECUALI ORANG-ORANG YANG LEMAH (LAGI UZUR) DARI KAUM LELAKI DAN PEREMPUAN SERTA KANAK-KANAK, YANG TIDAK BERDAYA UPAYA MENCARI HELAH (UNTUK MELEPASKAN DIRI) DAN TIDAK PULA MENGETAHUI SESUATU JALAN (UNTUK BERHIJRAH).} (AN-NISA’ 4:98)

  1. Allah nyatakan mereka ini dimaafkan jika tidak keluar berhijrah kerana mereka adalah orang yang dianggap lemah oleh orang musyrikin Makkah lalu mereka ditindas & dihalang oleh kafir daripada berhijrah. 
    Mereka memang tidak mampu untuk keluar berhijrah lalu Allah maafkan mereka.
  1. Antaranya ialah: 
    i- Orang-orang yang lemah lagi uzur dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak,

    ii- Yang tidak berdaya upaya mencari helah untuk melepaskan diri

    iii- Dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan untuk berhijrah dengan sendiri jika tidak ada orang yang bawa mereka.
  1. Hadis- riwayat Abu Hurairah RA:
    أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ قَنَتَ اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ.
    Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila berkata “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” pada raka’at terakhir ketika solat ‘Isya’, Baginda membaca qunut “Ya Allah selamatkanlah ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah, Ya Allah selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Ya Allah selamatkanlah Salamah bin Hisyam, Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman. Ya Allah keraskanlah ‘azab-Mu ke atas Mudhar, Ya Allah jadikanlah (‘azab-Mu) ke atas mereka dalam bentuk musim kemarau yang panjang sepertimana musim kemarau zaman Nabi Yusuf AS”. (HR al-Bukhari).

    Inilah antara contoh qunut Nazilah yang terdapat dalam Sunnah Nabi SAW. 
    Qunut ini dibaca selepas rukuk, semasa i’tidal sebelum sujud.
  1. Rasulullah SAW tidak mampu lagi untuk menolong mereka dan membebaskan dari kafir Makkah lalu:
    i- Baginda SAW doakan keselamatan untuk mereka dan sebut satu persatu nama yang ada. 

    ii- Kemudian Baginda juga doakan ke atas kaum musyrikin Quraisy yang disebut sebagai Mudhar dalam hadis ini. Nabi SAW tak sebut minta azab ke atas Quraisy kerana Baginda sendiri adalah orang Quraisy.
  1. Begitu juga kita amalkan Sunnah ini apabila kita tidak membantu saudara se-Islam kita yang dizalimi secara fizikal atau kebendaan, maka kita doakan untuk mereka dan ke atas musuh mereka & musuh Islam.
    Kita jangan menghina orang yang telah mati & dalam masa yang sama jangan melampau sehingga kita men-konfirm-kan mereka sebagai ahli syurga!
    Itu semua adalah di bawah kuasa Allah SWT! 

AYAT 99- {MAKA MEREKA (YANG DEMIKIAN SIFATNYA), MUDAH-MUDAHAN ALLAH MAAFKAN MEREKA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA PEMAAF, LAGI MAHA PENGAMPUN.} (AN-NISA’ 4:99)

  1. Bagi mereka yang lemah yang tiada kemampuan & tiada helah untuk berhijrah ini- mudah-mudahan Allah {عَسَى ٱللَّهُ} memaafkan mereka itu kerana mereka tidak ikut dalam berhijrah. 
    Mudah-mudahan {عَسَى} yang datang dari Allah bererti suatu kepastian, iaitu mereka pasti dimaafkan oleh-Nya.
  1. Ini kerana sesungguhnya Allah SWT itu sifat-Nya Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. 
  1. Ibnu Abbas RA pernah meriwayatkan: Bahawa aku & ibuku adalah terdiri dari kalangan orang-orang yang lemah {ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ}. yang tidak mampu untuk keluar berhijrah dari Makkah.

AYAT 100- {DAN SESIAPA YANG BERHIJRAH PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA DAN MENEGAKKAN ISLAM), NESCAYA IA AKAN DAPATI DI MUKA BUMI INI TEMPAT BERHIJRAH YANG BANYAK DAN REZEKI YANG MAKMUR; DAN SESIAPA YANG KELUAR DARI RUMAHNYA DENGAN TUJUAN BERHIJRAH KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, KEMUDIAN IA MATI (DALAM PERJALANAN), MAKA SESUNGGUHNYA TELAH TETAP PAHALA HIJRAHNYA DI SISI ALLAH. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:100)

  1. Jika kamu berhijrah kepada Allah; jangan bimbang Allah akan luaskan rezeki yang luas kepada kamu! 
    Harta yang kamu tinggalkan tidak akan kerugian kerananya! 
    Sesuatu yang lebih baik sama ada di dunia mahu pun di akhirat akan diperoleh oleh golongan yang berhijrah tanpa perlu risau dan bimbang.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT murka kepada golongan yang mampu tetapi tidak keluar berhijrah. 
    Maka datang pula waswas syaitan yang membisikkan segala yang negatif akibat dari hijrah itu- rugi kamu tinggalkan harta, tinggalkan negara asal, hidup susah di tempat orang serta pelbagai lagi bisikan gangguan syaitan terhadap orang beriman!

    ii- Maka datang ayat ini Allah beri galakan untuk hijrah! 
    Sesiapa yang berhijrah tinggalkan negerinya kerana Allah SWT, untuk jaga imannya & mempertahankan agama; kamu akan dapati luasnya dunia ini, banyak tempat yang baik & mulia, lapang dada, tidak takut untuk beribadat, luas rezeki Allah dan lain-lain. 
  1. Kemudian Allah SWT nyatakan bahawa sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati dalam perjalanan sebelum sempat tiba ke tempat yang dituju, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah.
  1. Sebab nuzul ayat: 
    Riwayat dari Ibnu Abbas RA: “Dhamrah bin Jundub jatuh sakit di Makkah dan mahu keluar dari rumahnya untuk hijrah. Dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Bawalah aku keluar dari negeri orang-orang musyrik ini menuju kepada Rasulullah SAW..’ Ketika di perjalanan dia meninggal dunia sebelum sampai kepada Nabi SAW. Lalu turunlah firman Allah SWT ini: {Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah karena Allah dan Rasul-Nya,…}. [HR Ibnu Jarir].
  1. Sama juga dengan orang yang keluar untuk mengerjakan haji; lalu mati sebelum tiba atau sebelum selesai hajinya, insya’ Allah, Allah tetapkan pahala haji untuknya.
  1. Sama juga dengan kisah dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri RA : Tentang orang yang telah membunuh 100 orang kemudian disuruh bertaubat & berhijrah lalu dia mati sebelum sampai ke tempat yang mahu ditujunya….lalu dia juga mendapat keampunan Allah SWT! [HR Bukhari & Muslim].
    Hadis penuh telah ada dalam siri sebelum ini.
  1. Kerana itulah kita kena ikhlaskan niat lalu mulakan langkah ke arah kebaikan! 
  1. Perbezaan sebutan dalam ayat ini yang menunjukkan keindahan al-Quran: 
    i- {dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya}-
    Allah sebut sesiapa yang berhijrah kepada Allah & Rasul-Nya: ini kerana kita berhijah kerana nak cari Allah & Rasulullah- untuk menegakkan Syari’ah Allah & mengamalkan Sunnah Nabi SAW.

    ii- {kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah}-
    Bila dia mati pahalanya dari sisi Allah, tak disebut lagi {dan Rasulullah}- ini kerana waktu hijrah itu kita nak ikut Rasul, nak berjuang & berjihad.
    Tetapi yang beri pahala kepada kita adalah Allah bukan Rasulullah! 
    Rasulullah hanya mengisytiharkan sesiapa yang buat begini-begini; sekian-sekian pahalanya, tetapi Allah yang beri pahala itu!
    Maka para jemaah sekelian jangan minta keampuanan atau pahala dengan Nabi SAW.
    Apabila Baginda SAW wafat tiada lagi semua itu.

    Talbis Iblis ini begitu besar, kerana itu kita ambillah dalam perkara ibadat kita yang jelas, yang sahih ajarannya daripada al-Quran & Sunnah Nabi SAW!
  1. Sabda Rasulullah SAW: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada (ambillah) yang tidak meragukan.” [HR at-Tirmizi].
    Yang jelas ada. Kenapa kita nak ambil yang tidak jelas & meragukan!
  1. Kemudian Allah SWT tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 97- {Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat..}-

    Sesungguhnya malaikat itu satu makhluk yang wujud, makhluk ciptaan Allah yang kita tidak nampak.
    Salah satu tugas malaikat itu ialah mengambil nyawa manusia iaitu malaikat maut. 
    Mereka juga bercakap dan berkata, Rasulullah SAW sendiri pernah lihat & berkata-kata dengan mereka dalam rupa fizikalnya yang nampak di mata!
    Tiada dalam riwayat al-Quran atau hadis Nabi SAW yang sahih mengatakan nama malaikat pencabut nyawa adalah izrail! 
    Maka wajib kita beriman dengan adanya malaikat! 
    Allah juga telah memuji para malaikat kerana mereka telah menjalankan tugasnya dengan baik! 
    Malaikat penjaga neraka sifatnya bengis & garang, manakala penjaga syurga penuh kasih sayang & kelembutan, malaikat Hafazah pula sentiasa ikut kita.
  1. Ayat 97- {Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri..}-

    Orang yang mati, dicabut nyawanya dalam keadaan mereka menzalimi diri mereka sendiri. 
    Mereka sudah beriman tetapi zalim dengan tidak mahu berhijrah.
    Kata ulama’ : Kita manusia ini amalannya yang akan dikira ialah yang terakhirnya! 
    Kerana itu kita sentiasa pasakkan dalam hati untuk berdoa kepada Allah agar diakhiri dengan husnul khatimah, takut mati dalam keadaan yang tidak baik. 
    Mati dalam keadaan mengucap kalimah syahadah kepada Allah SWT. 
    Kerana jaminan dari hadis Rasulullah SAW: عَنْ مُعَاذَ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرَ كَلَامِهِ لَا إِلٰهَ إِلَّا الله دَخَلَ الْجَنَّةَ
    Dari Mu’az bin Jabal RA dia berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Siapa pun yang akhir ucapannya (ketika menjelang ajal) kalimat: { لَا إِلٰهَ إِلَّا الله} La ilaha illallah maka ia masuk syurga’.” [HR Bukhari].

    Berdoa menunjukkan kita ini hamba yang sentiasa berhajat kepada Allah.
    Siapa yang bergantung kepada Allah. Allah akan jaga dia, siapa yang bepegang dengan Allah, Allah akan bantu dia!
    Kita kena letakkan penghayatan hidup ini kita ini amat nak & memerlukan pertolongan dari Allah dan rahmat dari-Nya selalu.
  1. Ayat 100- {Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur;}-

    Siapa berhijrah kepada Allah- bergantung kepada Allah semata-mata- yang sempit Allah akan luaskan.
    Kata ulama’ tafsir : Sesiapa yang tinggalkanlah sesuatu perkara yang tidak baik kerana Allah; Allah akan gantikan yang lebih baik untuknya, sama ada di dunia dan akhirat.

    Contoh : Seseorang yang tinggalkan pekerjaan yang ada syubhat walaupun bergaji lumayan- kepada pekerjaan yang biasa-biasa tetapi tentu halal, tinggalkannya kerana Allah SWT! 
    Insya’ Allah- Allah akan lapangkan rezekinya- luaskan & berkati hidupnya!
    Jangan kita hanya nampak angka yang tinggi & habuan dunia yang banyak saja bawa kesenangan; tetapi keberkatan itu apabila Allah redha kepada kita! 
    Kata ulama’ : Siapa yang hinakan dirinya di hadapan Allah; 
    Allah akan muliakan di hadapan manusia & di mata masyarakat! 
    Allah kata haram kita jangan buat; Allah perintahkan suruh solat dan lain-lain ibadat kita buat- itulah maksudnya menghinakan diri di hadapan Allah!
    Dalam perjuangan kita kena sabar, jangan gopoh; tak dapat yang kita nak- lari! 
    Tak dapat yang kita nak lompat!
    Apabila kita jaga hak Allah- Allah akan jaga hak kita.
  1. Ayat 98- {Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak,..}-

    Tidak mengapa jika tidak mampu berhijrah bagi golongan ini, tidak dicela & tidak berdosa.
    Kata ulama’ : Ini menunjukkan bahawa agama Islam itu agama yang mudah, senangn & tidak menyusahkan!  
    Dalam ayat ini Allah kata tidak mengapa jika kamu adalah orang yang lemah- Allah maafkan jika mau terhalang.
    Contoh : Solat tidak boleh berdiri boleh duduk, yang penting kita cuba usahakan buat setakat yang termampu! 
    Jika tak mampu itu di bawah kuasa & kasihan-belas Allah Azza wa Jalla!
  1. Ayat 100- {dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,}-

    Kita hijrah & nak berubah kerana ikut perintah Allah SWT. 
    Yakni beriman & ikut al-Quran, serta beriman & ikut Sunnah Nabi SAW.  
    Tetapi ingat; kuasa memberi pahala di tangan Allah SWT semata-mata- kuasa memberi ajaran dakwah & bimbingan ada di tangan Rasulullah SAW. Kerana itu kita tidak boleh minta pahala daripada Nabi SAW apatah lagi selepas kewafatannya Nabi SAW. 
    Ayat ini juga menunjukkan kelebihan orang yang berjalan kepada Allah SWT, bila kamu mulakan langkah yang baik walaupun tidak sampai ke destinasinya tetap dapat pahala!
    Siapa keluar nak berhijrah tak sampai, dapat pahala, keluar untuk haji- sama, keluar nak menuntut ilmu, juga sama & semua niat untuk buat amalan yang baik!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs